Sahabat Sejati

Tuesday 29 December 2009

Sibuknya di tahun baru...


“Apa azam tahun baru ni?” tanya si A yang prihatin.

“Azam aku nak bekerja lebih rajin, tekun dan terancang, tengok ni diari pun dah beli.” Jawab si B.

“Saya nak belajar bersungguh-sungguh, nak masuk ‘U’.” Kata seorang pelajar yang bersemangat tinggi.

“Aku nak berhenti merokok, membazir je.” Kata pemuda harapan bangsa. Azam yang amat biasa kita dengar setiap tahun, walaupun tidak pernah makbul. (bukan semua).

“ I nak menamatkan zaman bujang.” Kata si artis sambil tersenyum malu.

Di ambang tahun baru. Adegan dan dialog yang seumpama di atas akan kedengaran semula. Macam-macam. Kadang-kadang berulang azam yang sama.

Alhamdulillah, semuanya azam yang baik-baik. Tentulah tidak pernah kita dengar azam seperti, “aku nak gagal dalam ‘exam’... “aku nak jadi pengumpul saman terbanyak, nak masuk buku Malaysian Record.” Kalau ada, mesti ada yang tak kena dengan orang tu. Itu cerita azam, memang biasa.

Err.. azam tahun lepas tertunaikah atau tertangguh lagi?

Bagi ibu bapa pula mungkin sibuk memikirkan persiapan persekolahan anak-anak. Baju, seluar, beg, kasut, buku, yuran dan sebagainya. Yang mempunyai anak yang ramai, mungkin tambah pening. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang masih kurang stabil. Harga barangan ketika ini amat membebankan. Kenalah berjimat, walaupun dah lama dan sentiasa berjimat. Beli yang benar-benar perlu sahaja. Kadang-kadang timbul masalah, anak-anak pula mahu yang berjenama. Tambah pening. Kasihan ayah dan ibu.

Itu belum tengok adegan hari pertama persekolahan bagi tahun 1. Ada yang ‘cool’, ada yang sedih, tak kurang juga yang menangis, mengamuk pun ada takut kena tinggal. Terpaksalah ibu atau bapa tunggu. Kadang-kadang sampai sebulan. ‘Ape keroje’ kata orang Perak. Sekali lagi kasihan ibu dan ayah. Itu cerita sekolah, memang biasa.

Bagi pemuda dan pemudi yang mahu berkahwin di tahun baru ini, baguslah. Berkahwinlah, ikutlah syarak. Ikutlah panduan agama. Jangan membazir. Mudah-mudahan perkahwinan menjadi ibadat. Keberkatan itu yang kita cari. Itu kisah kahwin, memang biasa.

Yang bergelar pelajar, realisasikan azam mahu belajar bersungguh-sungguh. Jangan jadi budaya hanya berazam di tahun baru. Akhirnya azam tinggal azam. Banggakan ibu bapa, gembirakan mereka. Pohonlah restu dan doa mereka. Ingat redha Allah terletak pada keredhaan ibu bapa. Insya-Allah kita pasti berjaya. Itu kisah pelajar, memang biasa.

Yang bekerja, bekerjalah dengan penuh amanah. Ingatlah azam tahun lepas, mahu meningkatkan produktiviti, mahu mendapat anugerah pekerja cemerlang. Ayuh buktikan. Ikhlaskan diri bekerja kerana Allah. Mudah-mudahan walaupun sedikit yang dibawa balik tetapi dapat membangunkan kemanusiaan diri dan keluarga. Itu kisah pekerja, memang biasa.

Muhasabah dari kesibukan

Azam baru, persiapan persekolahan, tekun bekerja, mahu berkahwin dan 1001 macam kesibukan, itulah realiti yang sinonim di tahun baru. Yang pasti setiap orang mempunyai kesibukan yang berbeza. Walau apapun kesibukan kita, janganlah kita lupa merenung ke dalam diri kita adakah kesibukan kita ini mempunyai nilai di sisi Allah. Peruntukkanlah masa untuk beribadat. Sibukkan diri untuk menambah saham akhirat. Jangan sampai terlerai tali hubungan dengan Allah. Tiada ertinya kita sibuk siang dan malam tetapi kesibukan itu menjadi murka Allah.

Islam tidak melarang penganutnya mencari kesenangan di dunia ini, tetapi biarlah kesenangan itu membawa kepada senangnya beribadat. Apa yang kita bimbangkan semakin manusia disibukkan dengan mencari kesenangan dunia, semakin jauh dihimpit oleh nafsu yang melemaskan. Akhirnya merosakkan diri sendiri.

Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disiapkannya untuk hari esok. Bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah akan menceritakan tentang apa yang telah kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah melupakan mereka kepada dirinya sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq”. (59:18-19)
Justeru itu, tingkatkan amal dan istiqamah. Sentiasa muhasabah akan kelemahan diri serta kekurangan amal kita.

Eh, dah hampir 12.00 tengah malam.

4, 3, 2, 1....Bommm...tumm...bommm... tengok tu cantiknya bunga api, eh, ada konsert pula. Err.. sibuknya menyambut tahun baru. Ini lagi BIASA...

“Ya Allah adakah sibukku ini ada nilai di sisi-Mu.”

Sunday 27 December 2009

Umar Abd Aziz: satu pengajaran


Saya memperkemaskan sila, menunggu butir-butir mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh ustaz Ramli.

Saya melihat kiri dan kanan. Tidak ramai yang menunggu. Ada yang sudah mengangkat punggung seusai solat maghrib tadi. Ada yang duduk di luar berborak sambil menghisap rokok.

"Dah pandai belaka barangkali," bisik hati kecil saya yang nakal. Saya tersenyum sendirian.

"Hah, apa yang kamu senyum sorang-sorang ni," tegur pakcik Hasan disebelah.

"Tak ada apa-apa."

Alhamdulillah, amat menarik kuliah pada malam itu. Saya cukup teruja mendengarnya. Laju tangan saya mencatat butir-butir pengajaran sebagai nota ilmu. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh saya bawa balik. Teringat kata-kata murabbi di waktu belajar dahulu agar sentiasa membawa pen dan kertas.

“Kemana sahaja kamu pergi pastikan ada pen dan kertas untuk mencatat, itu syarat dalam menuntut ilmu. Jika kamu menuntut ilmu tanpa membuat sebarang catatan, itu seumpama kamu menulis di atas takungan air. Tidak akan memberi bekas apa yang disampaikan.” Saya memegang erat azimat sang murabbi.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah kisah yang diceritakan oleh ustaz Ramli, kisah Khalifah Umar Abd Aziz yang amat masyhur dengan sifat tawadhuknya.

Kisah Umar Abd Aziz

Diceritakan bahawa pada suatu malam datanglah seorang tetamu kepada Khalifah Umar bin Abd Aziz. Waktu itu beliau sedang menulis. Lampunya hampir padam.

Tetamu itu kemudian berkata: “Biarlah saya yang membaiki lampu itu, ya Amirul Mukminin.” Beliau menjawab: “Ah, jangan, tidak baik seseorang menganggap tetamunya itu sebagai pelayannya. Itu bukan termasuk suatu sifat yang mulia.” Tetamu itu berkata lagi: “Kalau begitu, biarlah saya bangunkan pelayan sahaja.” Beliau menjawab pula: “Ah, jangan, ia baru sahaja tidur, agaknya sejak tadi ia belum merasakan nikmat bantalnya.”

Selanjutnya tetamu itu menceritakan bahawa beliau sendiri mengisikan minyak kedalam lampunya itu. Ia berkata: “Wahai, apakah tuan sendiri yang membetulkan lampu itu ya Amirul Mukminin.

Beliau lalu menjawab: “Mengapa tidak, kalau saya pergi, saya pun tetap Umar. Kalau saya kembali, saya pun tetap Umar juga. Tidak akan berkurang sesuatu pun dari diriku dengan apa yang saya lakukan tadi bukan? Selamanya pun saya tetap Umar. Memang sebaik-baik manusia ialah orang yang tawadhuk disisi Allah Taala.”

Harapan saya

Amat berkesan cerita yang disampaikan oleh ustaz Ramli itu kepada saya. Saya merenung jauh ke dalam diri, betapa sukarnya kita untuk tawadhuk merendah diri, menadah telinga untuk mendengar butir-butir ilmu dari para ustaz. Sepatutnya kita bersesak-sesak sehingga bercantum lutut untuk mengambil seberapa banyak pelajaran dan pengajaran yang disampaikan.

Bagi yang mendengar pula catatlah isi kuliah buat bekalan kita dan juga untuk disampaikan kepada orang lain pula. Mudah-mudahan kita saling lengkap melengkapi diantara satu sama lain.

Apa yang ditakuti saat hadirnya zaman seperti yang disebut oleh Rasulullah saw dalam hadisnya:

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan merentapnya dari dada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulama. Apabila tiada lagi ilmuan, maka nantinya manusia akan mengambil pemimpin-pemimpin yang jahil, pemimpin itu ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu, maka sesatlah golongan yang bertanya, sebagaimana sesatnya juga golongan yang ditanya” [Hadith riwayat al-Tirmidhi]

Tidak melibatkan yang hidup dan yang mati...

Wednesday 23 December 2009

Cerita malam tadi


"Assalamualaikum, anta kat rumah ke, tunggu ana datang ambil." Saya menerima panggilan telefon dari Sheikh Azlan. Beliau adalah ketua penyelaras Unit Amal Kawasan.

"Waalaikum as-salam, ya kat rumah, ok ana tunggu." Saya menjawab.

Malam ini kami akan ke Indera Mahkota untuk program penerangan Unit Amal kemudian di sambung dengan mesyuarat bulanan amal. Unit Amal bermesyuarat bulanan di cawangan yang berbeza setiap bulan. Salah satu cara untuk mengenali dan mendekati ahli. Cukup berkesan.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Respon yang diterima dari hadirin dalam sesi soal jawab juga agak memuaskan.

"Kita tutup majlis dengan tasbih kaffarah dan surat al-`Asr." Jam sudah menghampiri 12.30 pagi.

Kami semua berpisah. Saya dan Sheikh Azlan membelah malam menyusuri jalan bypass yang sepi itu. Sekali sekala berselisih dengan kenderaan lain. Kami memasuki jalan kampung Sg Karang, sengaja memilih jalan itu untuk melihat suasana kampung dinihari dan bagi saya mungkin ada percikan ilham buat menulis nanti.

Sheikh Azlan memandu tenang, tiba-tiba...`sang kancilnya` bagaikan hilang daya pecutan, tidak dapat bergerak laju, merangkak-rangkak. Cukup perlahan. Saya rasa boleh dikejar oleh pelumba jalan kaki.

"Eh, kenapa ni? Beliau kehairanan. Masya-Allah, tali minyak putuslah," kata Sheikh Azlan.

Habis macam mana ni, kalau laju macam ni subuh baru kita sampai," saya menjawab

"Tak apa ana `call` Al Haras suruh dia ambil kita. Kereta kita tinggalkan di rumah Haji Din, dia tinggal di sini, lagipun dia ada bengkel kereta dekat rumahnya. Boleh ana minta dia baiki kereta ana, ana `call` Haji Din dulu" balas Sheikh Azlan lalu menelefon Haji Din.

Pukul 2.00 pagi saya tiba di rumah.

Terima kasih

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak boleh tidur.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Terima kasih kepada Haji Din yang sudi meninggalkan tempat tidur sebentar semata-mata untuk membantu kami. Juga kepada sahabat amal, saudara Al Haras yang sanggup keluar semula mengambil kami walaupun sudah sampai ke rumah, mungkin baru hendak masuk tidur barangkali. Budi baik kalian tak mungkin dilupakan.

Asam garam perjuangan.

Tuesday 22 December 2009

Konvensyen Blogger Pas 2009: Harapan buat blogger


Saya belum boleh dipanggil blogger. Jangan panggil saya blogger. Saya masih baru dalam arena penulisan blog. Amat baru. Diibaratkan si kecil yang baru belajar bertatih, banyak jatuh dari bangun. Biarpun jatuh berkali-kali, namun saya percaya jatuh itu adalah satu proses pembelajaran. Seingat saya demikian.

Oleh itu, apabila seorang sahabat mempelawa saya untuk mengikuti Konvensyen Blogger Pas 2009, saya tidak memerlukan masa yang lama untuk memberikan persetujuan.

"Peluang yang baik, jangan lepaskan." bisik hati kecil saya.

Konvensyen ini diadakan di Taman Melewar yang amat dekat dengan jiwa saya.

"Ya Allah, permudahkan perjalanan kami pergi dan balik," harapan yang tulus dipagi hari. Kami memulakan perjalanan menyusuri kesejukan pagi yang menggigit di musim tengkujuh.

Taman Melewar

Kami tiba pada pukul 9.00 pagi. Orang tidak berapa ramai, mungkin masih awal barangkali. Setelah mendaftar, kami melangkah masuk dengan harapan yang tinggi menggunung. Mahu mengambil sebanyak mana ilmu yang disampaikan oleh pembentang. Setiap peserta dibekalkan dengan bahan kursus.


Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Penerangan pas Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Beliau menyentuh tentang perana blog sebagai medium penerangan dan penyampai maklumat kepada masyarakat. Ini secara tidak langsung dapat membetulkan persepsi masyarakat terhadap Pas.

Manakala majlis perasmian pula disempurnakan oleh Presiden Pas Tuan Guru Hadi Awang yang memulakan ucapan dengan membacakan firman Allah SWT:


"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia." (QS fushilat : 33-34).

Tegasnya, kewartawanan adalah mesej, risalah dan penyampai maklumat. Oleh itu kita mesti amanah dalam menyampaikan maklumat. Kerana ini semua akan dihitung oleh Allah bergantung dengan apa yang kita sampaikan. Penulisan yang baik seumpama mata pedang yang boleh mempertahankan Islam, menaikkan Islam dan mempertahankan Islam.

Jihad yang besar adalah berkata benar, menasihati pemimpin. Suara atau tulisan yang benar adalah jihad yang besar. Ulama-ulama silam ramai yang dibunuh kerana menulis perkara yang benar yakni menegur pemimpin, seperti Sayyid Qutb rah. walaupun beliau telah lama mati namun tulisannya masih dibaca hingga sekarang.

Tuan Guru juga menceritakan satu kisah, berdasarkan hadis Imam Nawawi, Rasulullah saw dibawa Jibril as melawat neraka. Rasulullah melihat ada penghuninya yang dicangkuk dengan penyangkuk besi didagunya hingga menembusi pipi dan mata. Rasulullah bertanya kepada Jibril as mengenai orang itu. Jawab Jibril, "Itulah orang yang suka menyebarkan berita bohong iaitu fitnah.

Oleh itu kita mesti cermat dalam menyebarkan maklumat. Jangan sampai menjadi fitnah dan melukakan orang lain.

"Barangsiapa yg membuat satu sunnah yg baik, maka ia memperolehi pahala dan pahala orang yg beramal dengannya, tidak berkurangan sedikitpun pahala mereka. Barangsiapa yg membuat satu sunnah yg buruk, maka ia memperolehi dosa dan dosa orang yg beramal dengannya dan tidak berkurang sedikitpun." (sahih Muslim)

Seterusnya beliau melancarkan Kelab Blogger Pas Pusat bagi menyatukan blogger di bawah satu bumbung.

Kertas Kerja 1


Kertas kerja 1 telah dibentangkan oleh Prof. Dr Abu Hasan Hasbullah atau lebih dikenali dengan 'Dr Google'. Beliau merupakan seorang pensyarah di Jabatan Multimedia Universiti Malaya.

Beliau membentangkan kertas kerja yang bertajuk: Mengurus Potensi Media Dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Strategi Menurut Perspektif Future Studies. Mendengar tajuknya sahaja boleh membuatkan kita menggaru kepala.

Tajuk ini amat bersesuaian dengan senario politik masa kini. Lebih-lebih lagi ketika populariti Pas dan PR agak merudum kebelakangan ini. Di mata rakyat khususnya penyokong, Pas dan PR sedang menghadapi perbezaan pendapat yang agak membimbangkan.

Kata Prof. Abu Hasan, "Politik kurun ke 21 ini adalah politik yang di kuasai dan menguasai informasi. Media baru khususnya blog merupakan alat paling berpengaruh dalam menyampaikan maklumat di ketika media tradisi seperti akhbar dan televisyen di kawal dan dimiliki oleh kapitalis politik. Blog misalnya telah meluaskan satu-satunya pengetahuan yang cukup besar dalam proses tamadun baru iaitu informasi. Ia juga menyediakan interaksi dinamik secara langsung dengan masyarakat, segala diskusi secara cerdas dapat terciptakan termasuk pada batas-batas terbuka yang mengundang subverisme dan segala macam aliran terkedepan." (Prof Madya Dr Abu Hasan Hasbullah (UM): Kertas Kerja 1)

Sambungnya lagi, kita mesti bersedia untuk menghadapi gelombang ketiga internet (wave 3) yang lebih besar cabarannya. Akan datang manusia semakin malas membaca kerana sesetengah tulisan sukar difahami dan bersifat super script. Cara yang paling senang adalah menonton video, sama ada video blog atau video online.

Saya agak terpukau dengan penyampaian Prof Abu Hasan yang mantap dan penampilannya yang berkarisma.

Beliau yang juga pengasas Zentrum Future Studies Malaysia (ZENTRUM), iaitu satu badan penyelidikan bebas (RNGO) yang mengendalikan penyelidikan-penyelidikan transdisiplin berkenaan dengan prediksi masa depan.

"Menguasai media baru iaitu internet adalah menguasai pengaruh di masa hadapan, yang menolaknya adalah primitif." Beliau mengakhiri pembentangannya.


Kertas kerja 2

"Blog Sebagai Arena Dakwah Dan Bukan Medan memfitnah" sepatutnya dibentangkan oleh Ustaz Abd Ghani Shamsudin selaku Pengerusi Lujnah IT Pas Pusat. Tetapi beliau memohon keuzuran kerana ada komitmen lain dan akan datang jika sempat. Tempat beliau digantikan dengan Pengarah ICT Pas Pusat.

Beliau menerangkan mengenai adab-adab serta etika seorang blogger. Di antaranya mengelakkan berita-berita bohong atau fitnah. Disaat-saat akhir barulah Ustaz Abd Ghani tiba dan beliau diberi ruang untuk menjawab soalan-soalan daripada peserta.

Kesimpulannya, konvensyen ini amat memberi manfaat dan perlu diadakan di peringkat bawahan. Selain dapat mengumpulkan para blogger ia juga sebagai satu perbincangan strategi perang saraf dalam politik.

3.30 petang, kami melangkah pulang setelah dijamu dengan nasi ayam. Walaupun agak keletihan tetapi tergambar kepuasan di wajah peserta. Akan saya manfaat apa yang saya terima di sini. Cuma apa yang saya mahu katakan "jangan panggil saya blogger."

Saturday 19 December 2009

Ramai Umpama Buih

Daripada Tsauban ra: Rasulullah saw bersabda: Hampir tiba suatu masa dimana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit `wahan`" Seorang sahabat bertanya: "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi saw menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati." (hadis riwayat Abu Daud)

Mari kita renungkan apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah saw ini. Nabi menyebut lebih 1400 tahun yang lalu. Dan kita lihat sedikit sebanyak ia telah pun berlaku. Umat Islam kini melebihi 1 bilion. Mereka bertebaran di seluruh pelosok dunia. Kebanyakkannya tinggal di negara yang dikurniakan Allah hasil mahsul yang mewah. Seumpama negara-negara Arab yang kaya dengan hasil petroleum. Persoalannya mengapa umat Islam menjadi lemah, sedangkan dalam masa yang sama mereka umat yang teramai dan mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh.

Umpama buih

Rasulullah saw telah menjelaskan punca kelemahan umat ini adalah kerana penyakit yang menimpa mereka, iaitu penyakit `wahan`. Apakah penyakit wahan itu? Dijelaskan oleh Rasulullah saw penyakit wahan itu ialah kamu cinta pada kehidupan dunia dan pada masa yang sama kamu takut pada kematian.

Cinta pada kehidupan dunia menyebabkan umat Islam menjadi tamak, bakhil, dengki, sombong, mementingkan diri serta tidak mahu berjihad di jalan Allah. Istilah berkorban untuk agama telah lama terpadam di dalam kamus kehidupan segelintir umat Islam masa kini. Mereka tergoda dan leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat yang abadi.

Lihatlah realiti yang berlaku hari ini. Selaklah lembaran-lembaran akhbar pasti ada terpampang berita mengenai krisis keruntuhan akhlaq dan moral. Ianya semakin hari semakin membarah. Ditambah lagi dengan kegawatan ekonomi yang melanda dunia kini.

Peranan media baik elektronik maupun cetak (tidak semua) yang seolah-olah turut sama menyuburkan krisis kegawatan moral ini. Lambakan rancangan realiti bagaikan tiada belas kasihan pada iman kita yang sudah setipis kulit bawang.. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga untuk orang tua yang sudah senja. Begitu juga dengan kecanggihan teknologi IT, dunia tanpa sempadan, dunia di hujung jari akhirnya iman kita umpama di hujung tanduk.

Masalah rasuah bukan rahsia lagi. Ia telah menyerap ke dalam pelbagai organisasi kepimpinan. Terbaru kajian Transperancy International melaporkan kedudukan negara kita dalam Indeks Persepsi Rasuah merudum dari tangga 47 pada tahun 2008 ke tangga 56 pada tahun 2009. (Sumber: Harakah bil 1490). Apa yang kita bimbangkan, keadaan seperti ini seakan membuka jalan kepada musuh Islam untuk menghancurkan Islam.

Berubahlah!

Oleh itu marilah kita berganding bahu, berpadu tenaga memainkan peranan untuk mengembalikan kegemilangan umat ini. Janganlah kita menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya tekadkan diri kita untuk berubah demi Islam tercinta.

Marilah kita mencontohi umat Islam generasi pertama dahulu. Selaklah lembaran sejarah. Para sahabat telah mengorbankan harta dan jiwa mereka, serta melalui peristiwa pahit getir, kesusahan semata-mata untuk agama ini. Kesakitan dan kesusahan hidup tidak sekali-kali mampu menggugat iman dan keyakinan mereka. Malahan segala ujian ini menjadikan iman mereka semakin subur dan mantap.

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali redha terhadap kamu selama-lamanya, sehingga kamu mengikut cara hidup mereka." (2:120)

Wednesday 16 December 2009

Muhasabah diri di 1431H

Siang dan malam silih berganti. Pejam dan celik, 1430H hampir melabuhkan tirainya. Masa beredar dan terus beredar meninggalkan mereka yang masih lagi tidur di dalam jaga.

Dengan terbukanya tirai tahun baru, maka bertambah setahun umur kita dan semakin berkurang baki usia kita. Ini bermakna hampirnya kita menuju kepada janji yang pasti. Janji kematian dari Ilahi, telah terungkap di dalam kitab al-Quran maupun dari lisan para nabi. Tidak seorang pun yang akan terlepas darinya.

Maka beruntunglah mereka yang menjadikan kehidupan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik berbanding hari ini. Sebaliknya bagi mereka yang masih lagi leka dan alpa dengan kesibukan dunia yang amat menggoda ini, nantikanlah kerugian dan penyesalan tatkala bertemu ALlah nanti.

Pergunakan masa

Antara nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya:
"Tanda ALlah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan di dalam ibadah, pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umur 40 tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka."

Ingatlah, masa yang diperuntukkan kepada kita hendaklah kita pergunakan dengan sebaiknya. ALlah mengurniakan masa kepada setiap manusia sama sahaja. Setiap orang diberikan 24 jam sehari. Tidak lebih dan tidak kurang. Sama ada yang beriman ataupun tidak.

Kata Imam Hasan al-Banna: "Sempurnakan tanggungjawab lebih banyak berbanding dengan masa. Oleh itu, masa adalah sumber berharga yang perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap muslim."

Pepatah Arab ada menyebut: "Masa umpama mata pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu."

Dunia adalah kebun akhirat, yang hasilnya akan dituai pada hari hisab kelak. Itulah matlamat kehidupan kita sebenarnya. Dan itulah yang sering dilupakan. Oleh itu, dengan kasih sayang ALlah kita diberikan peringatan demi peringatan agar tidak lupa akan penghijrahan ke negeri abadi.

Di ceritakan Nabi Musa pernah memberitahu malaikat agar memberitahunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, ALlah telah menghantar peringatan demi peringatan cuma kamu tidak menyedarinya.

Diantara peringatan yang dihantar oleh ALlah ialah rambut yang dulu hitam kini menjadi putih, badan yang kuat menjadi lemah, mata menjadi kabur, kulit menjadi kendur dan sebagainya.

Oleh itu di tahun baru ini, marilah kita menghitung diri dan menilai sejauh mana kita telah mentaati ALlah dalam segenap perkara.

Justeru itu, berpegang teguhlah dengan tali ALlah, kuatkanlah simpulannya kerana ia seteguh-teguh pegangan yang tidak akan putus walau sebesar mana ujian dan dugaan, fitnah dan mehnah.

Kata pengarang buku 'siapalah aku': Dan ingatlah jika dalam perjalanan menuju Tuhan lalu ternampak lambaian keduniaan lalu dikejar, jangan lupa menggendong sama akhirat dan jika akhirat yang di buru, jangan dicicirkan keduniaan.

"Barang siapa yang berpindah pada jalan ALlah nescaya mereka akan memperolehi di muka bumi ini rezeki yang banyak (dan tenteram). barangsiapa yang berhijrah kerana ALlah dan rasul-Nya kemudian ia meninggal dunia (dalam perjalanan) maka sesungguhnya ALlah memberi jaminan pahala ke atasnya. Dan ALlah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (4:100)

Tuesday 15 December 2009

Terus beramal...


Penglibatan anggota-anggota Amal dalam memberi khidmat kepada masyarakat dan PAS memang tidak dapat dinafikan. Hampir 20 tahun Jabatan Amal (dahulunya dikenali dengan Unit Amal) telah menabur jasa dalam kerja-kerja kebajikan.

Dengan jolokan "tentera merah", Jabatan Amal gigih membantu orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama serta merentasi sempadan politik.

Seiring dengan motto "Beramal Kerana ALlah", Jabatan Amal benar-benar merealisasikannya.

Namun dalam kesibukan dan keseronokan anggota-anggota Amal bertugas, ramai yang tidak mengetahui perit jerih yang kadangkala terpaksa dipikul oleh petugas Amal. Semua ini adalah satu cabaran dalam menunaikan tanggungjawab serta amanah yang diberikan. Demikianlah asam garam dalam perjuangan.

Tetapi dalam kepahitan itu ada jua kemanisan...

Jabatan Amal Pahang kini miliki van

Temerloh: Jabatan Amal Pahang maju setapak lagi dengan memiliki sebuah van sendiri bagi memudahkan operasinya.

Setiausaha Amal Pahang, Johari Wahid berkata, dengan adanya van tersebut ia akan memudahkan operasi harian Amal untuk membawa anggotanya ke lokasi yang memerlukan khidmatnya.

Timbalan Pesuruh Jaya PAS Pahang, ustaz Yusof Embong diberi penghormatan memotong reben bagi merasmikan van berkenaan.

Amal Pahang, kata Johari, sering terlibat dalam operasi sukarela membantu orang ramai di seluruh negara seperti mangsa banjir dan sebagainya.

Dengan adanya van ia akan lebih memudahkan pergerakan pasukan Amal katanya.

Selain van, pihaknya juga sedang berusaha untuk membeli sebuah bot bagi operasi menyelamat mangsa banjir.

“Pihak kami mengalu-alukan sebarang sumbangan orang ramai bagi melengkapkan peralatan Amal ini.” Katanya. (Sumber: Harakah bil. 1495)
Selamat beramal kepada semua...

Sunday 13 December 2009

Tazkirah di musolla...

"Janganlah kita semua menyimpan sifat sombong di dalam diri. Berjalan di bumi milik ALlah SWT ini dalam keadaan sombong dan takbur."

"Buanglah sifat sombong itu kerana sifat itu adalah sifat iblis. Kerana sifat itulah ia menjadi hina."

Di antara butir-butir nasihat yang di sampaikan oleh Ustaz Yusof di dalam kuliahnya malam itu. Kelihatan beberapa orang hadirin mengangguk-anggukkan kepala. Sebilangannya pula tunduk, memikirkan sesuatu barangkali.

Takbur atau sombong merupakan satu sifat manusia yang tercela (mazmumah). Ia boleh membinasakan diri serta merosakkan amal-amal yang telah dilakukan. Takabbur yakni merasa diri lebih tinggi dan hebat daripada orang lain, dari segi kedudukan, harta benda, kecantikan paras dan sebagainya. Kadangkala sehingga menghina dan memperlekeh orang lain.

Kisah iblis
 
Menurut satu riwayat, iblis telah beribadat kepada ALlah selama 80 ribu tahun, dan telah diberi kebebasan beribadat kepada ALlah dimana-mana yang dikehendaki di langit atau di bumi. Dan dalam satu riwayat yang lain, menyatakan bahawa iblis yang digelar azazil ini telah dilantik oleh ALlah sebagai ketua ibadat di kalangan malaikat.

Tetapi apabila ia ingkar, enggan mematuhi perintah ALlah supaya sujud kepada Adam, menyebabkan ia dimurkai oleh ALlah. Keengganan iblis ini disebabkan merasa dirinya lebih mulia daripada Adam.

Ia berkata, "aku dijadikan daripada api dan Adam daripada tanah." Maka terusirlah ia kerana kesombongannya itu.

Firman ALlah SWT:
"Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada malaikat, sujudlah kamu (memberi hormat) kepada Adam, lalu mereka tunduk kecuali iblis. Ia enggan dan takbur dan ia termasuk golongan yang kafir." (2:34)

Kisah Qarun

Firman ALlah di dalam :

"Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi Musa (sepupu Nabi Musa), ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang anak-anak kuncinya (sahaja) begitu berat dipikul oleh beberapa orang yang kuat. Kaumnya berkata, "janganlah engkau bongkak! Sesungguhnya ALlah tidak mengasihi orang-orang yang bongkak."

"Dan carilah dengan rezeki yang diberikan ALlah kepadamu kebahagiaan di kampung akhirat. Dan janganlah kamu lupakan kebahagiaanmu (kemakmuran) di dunia. Berbuat baiklah sebagaimana ALlah telah berbuat baik kepadamu. Sesungguhnya ALlah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan."

"Qarun berkata, "kekayaan yang diberikan kepadaku (aku peroleh) kerana ilmu pengetahuanku (kerana usaha dan perjuanganku). Apakah ia tidak mengetahui bahawa ALlah telah menghancurkan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat dan lebih banyak harta benda daripadanya. Dan tidak ditanya lagi dosa orang-orang yang berdosa."

"Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dengan segala kemegahannya. Orang-orang yang cita-citanya hanya kebahagiaan dunia berkata, "semoga kita kaya seperti Qarun ini. Sesungguhnya Qarun mempunyai keuntungan (kekayaan) yang besar."

"Dan berkata orang-orang yang berpengetahuan, "celaka kamu! (ketahuilah bahawa) pahala yang disediakan ALlah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Orang-orang yang bersabarlah yang dapat mencapainya."

"Maka Kami benamkan Qarun dan rumahnya ke dalam bumi. Tidak ada golongan yang membantunya selain ALlah. Dan dia sendiri tidak dapat menolong dirinya."

"Maka orang-orang yang bercita-cita seperti Qarun masa dahulu mulailah mengejek, aduhai! Sesungguhnya ALlah melimpahkan dan membatasi rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dari para hamba-Nya. Sekiranya tidak kerana ALlah memberi kurnia kepada kita, tentulah ditimbus-Nya kita ke dalam tanah, aduhai! Orang-orang yang kafir tidak akan berjaya." (28:76-82)

Dari firman ALlah ini kita dapat melihat kesombongan Qarun. Ia merasa paling kaya, kuat dan melakukan perbuatan yang dimurkai ALlah. Dengan angkuh ia mengatakan bahawa segala kekayaan yang dimilikinya adalah dari usaha dan kepandaiannya. Akibatnya ia dihukum oleh ALlah. Demikianlah kisah yang ALlah nukilkan dalam al-Quran untuk kita ambil pengajaran dan peringatan.

Marilah kita semua bermuhasabah diri, membersihkan hati kita ini dan merenung sedalamnya ke dalam diri kita sebagai insan yang tidak mempunyai apa-apa melainkan apa yang dikurniakan oleh ALlah.

"Yang baik itu datangnya dari ALlah, dan yang tidak baik itu datangnya dari kelemahan diri saya. Sekadar itu sahaja untuk kali ini. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.."ustaz Yusof mengakhiri kuliahnya.

"ALlahu akbar...ALlahu akbar..Muazzin mengalunkan iqamah...

Izinkan diri ini...

Dengan nama ALlah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih,

Segala puji dan sanjungan itu milik Allah. Selawat dan salam buat junjungan besar penghulu kami Nabi Muhammad SAW, jua kepada keluarganya serta sekelian sahabat baginda.

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan ialah kitab ALlah, sebenar-benar petunjuk ialah petunjuk yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekerjaan ialah mengada-adakan sesuatu dalam agama, setiap sesuatu yang diada-adakan itu adalah bida`ah.
-------------------------------------------
Kata seorang rakan..,

"Ada ketikanya manusia tidak dapat membendung perasaan rindu pada masa silam. Apabila jiwa diruntun kerinduan yang menggigit jiwa dan perasaan, mereka semacam mahu kembali pada saat-saat keindahan yang mencorakkan seribu satu macam kenangan, agar kenangan itu tetap segar dan hijau di ingatan."

Tidak terkecuali saya, akibat rindu pada hari-hari itu, lalu saya mencari-cari satu medan agar dapat saya titipkan pengalaman dan kenangan...supaya ia tidak terluput hilang begitu sahaja di ketika mana berlalunya masa dan zaman kelupaan seiring bertambahnya usia.

Justeru itu lahirlah blog abuikhwan di persada maya ini buat catatan hari-hari semalam, jua untuk berkongsi minda dan rasa, berkongsi percaya seadanya. Mudah-mudahan dengan perkongsian ini dapat mengubati jiwa saya pada kerinduan itu...kembara mencari hamba.