Sahabat Sejati

Wednesday 27 January 2010

Padanya kutemui hikmah

2004...

“Pakcik, pakcik ni dah tua dah uzur, apa tak berat ke pakcik buat kerja-kerja macam ni.”

“Apa boleh buat, kena cari makan bos.”

Masih saya ingati dialog diantara Harun Mahfiz (P. Ramlee) dengan pakcik tua yang akhirnya menjadi datuk mertuanya. Saya kira ramai yang masih mengingatinya di dalam filem “Anak Bapak”.

Hasrat saya untuk menegurnya seperti demikian tidak kesampaian, bagaikan tersekat di kerongkong.

Akhirnya saya mendekatinya setelah melihat dia berhenti menyapu dan duduk di simen kaki lima. Sambil mengesat peluh di dahi, dia meneguk air minuman yang di bawanya.

“Assalamualaikum pakcik,” tegur saya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Waalaikum salam, ada apa-apa yang boleh pakcik tolong.” Jawabnya ramah sambil tersenyum.

“Pakcik sibuk ke? Saya cuma nak berborak dengan pakcik, dulu saya tengok orang lain yang menyapu di sini.”

“Oh boleh, mari kita duduk di kerusi bawah pokok sana.”

Kami berjalan beriringan. “Tukang sapu yang dulu dah berhenti. Pakcik yang gantikannya.”

Kami melabuhkan punggung di kerusi panjang itu. Sungguh selesa berbual di situ. Sesekali angin bertiup perlahan, nyaman.

Pakcik Abu (bukan nama sebenar) memang berasal dari kawasan situ. Usianya sekitar 60-an. Usia yang sepatutnya dihabiskan dengan duduk di rumah melayani sisa-sia hidup, ataupun bermain dengan cucu-cucu. Tetapi tidak bagi insan yang seorang ini, masih jua melangkah mencari sesuap rezeki. Isterinya telah ‘pergi’ kira-kira 4 tahun yang lalu. Tatkala menyebut tentang isterinya, saya lihat matanya berkaca. Saya dapat merasakan betapa dalamnya kasih terhadap isterinya. Ya, melalui kata-katanya. Perkongsian hidup dengan isterinya, makcik Rokiah (bukan nama sebenar) dikurniakan 5 orang cahaya mata. Mereka semua sudah berkeluarga.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah diciptakan-Nya untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu mendapat sakinah (ketenangan hati). Dan dijadikan-Nya kasih sayang antara kamu (suami isteri). Sesungguhnya yang demikian menjadi tanda-tanda kebesaran (Allah) bagi orang-orang yang berfikir.” (30:21)
Terima kasih pakcik

“Kenapa pakcik tak tinggal bersama anak-anak?” Saya bertanya meredakan suasana.

Dengan nada perlahan dia bersuara, “mereka ada mengajak, tapi pakcik tak nak menyusahkan mereka semua. Mereka pun ada keluarga sendiri. Apa yang pakcik harapkan hanyalah doa serta kepatuhan mereka kepada agama. Itulah sebagai bonus buat pakcik.”

Saya terpaku mendengar kata-katanya, sungguh mengharukan. Hingga tiada perkataan yang mampu saya tuturkan. Diam dan terus diam.

Tambahnya lagi, dia sudah ‘membawa’ mereka ke dunia, membesarkan dengan penuh kasih sayang. Serta membekalkan ilmu dunia dan akhirat sekadar termampu dan selebihnya diserahkan kepada Yang Maha Kuasa.

“Pakcik hanya mengharapkan balasan dari Allah SWT, mudah-mudahan Dia mengampuni dan meredhai segala apa yang pakcik lakukan.” Dengan perlahan pakcik Abu bersuara sambil menepuk bahu saya.

“Didiklah anak-anak kamu atas 3 perkara: mencintai Nabi kamu, mencintai ahli baitnya dan membaca al-Quran. Sebab, kandungan al-Quran itu berada pada naungan singgahsana Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya.” (Riwayat at-Thabrani)
“Pakcik gembira dengan kerja ni?”

“Ya, pakcik sangat gembira. Apa yang nak dimalukan, sekurang-kurangnya dapat melatih diri pakcik. Bukankah menjaga kebersihan itu tuntutan agama, melambangkan iman kita?” soalan yang saya jawab dengan hanya mengangguk.

Sambungnya lagi, “pakcik menolong orang lain menjaga kebersihan. Sebelum menjaga kebersihan orang lain, pakcik kena pastikan diri pakcik dulu yang bersih, baik kebersihan luaran dan lebih-lebih lagi kebersihan dalaman. Iaitu hati yang bersih dari sifat yang keji, mungkin orang lihat pakcik orang susah kerja sebagai tukang sapu. Tetapi pakcik yakin kesusahan ini adalah satu ujian kebaikan buat pakcik. Dengan menyapu pakcik dapat buang sifat sombong dalam diri, sifat menjadi tuan. Sedangkan pakcik adalah hamba, hamba kepada Allah. Betul tak?”

Sungguh di ketika ini saya sudah tidak terdaya lagi untuk melafazkan kata. Terasa bagaikan bertubi-tubi persoalan ke dalam diri, hingga tepu di dalam dada. Siapalah aku...

Hampir sejam kami berbual, banyak nasihat dan tauladan yang dapat saya kutip darinya. Mudah-mudahan saya mampu menghadamnya.

“Tak apalah pakcik, saya minta diri dulu. Insya-Allah ada masa nanti kita jumpa lagi,” ujar saya.

“Baiklah, pakcik pun nak sambung kerja semula. Jalan elok-elok,” kami bersalaman.

Saya melangkah lemah meninggalkan dia yang istimewa. Bagaikan luruh jiwa saya, terungkai keegoan yang membaluti diri. Hilang perasaan ‘memiliki’. Benar, dalam kesusahan itu ada jalan menuju kesejahteraan iman, andai kita leburkan sifat tuan, sifat memiliki, kita adalah hamba. Tanpa saya sedari hati saya menangis. Mudah-mudahan pertemuan yang singkat ini menjadi proses mendidik jiwa yang sedang sakit ini.

Maha Suci Tuhan yang memberikan saya ilmu dan hikmah pada hari ini, walaupun hanya dari lidah orang biasa. Seorang tukang sapu tua. 

“Terima kasih pakcik”

Padanya kutemui hikmah...

0 comments:

Post a Comment