Sahabat Sejati

Tuesday 20 April 2010

Macam-macam cerita

“Assalamualaikum!”

“Assalamualaikum!”

Kedengaran suara memberi salam dari luar. Saya yang baru pulang dari kerja segera menjenguk ke pintu. Kelihatan dua orang anak muda tercegat di luar. Pakaiannya...masya-Allah, dengan fesyen rambut ‘terpacak’. Di sisinya terdapat sebuah kotak.

“Wa ‘alaikum as-salam, ada apa?” Saya bertanya.

“Abang, saya seorang pelajar dan sekarang saya sedang buat latihan untuk melihat tahap komunikasi saya dengan orang ramai,” katanya.

“Betul bang, saya penyelia yang akan membuat penilaian tahap komunikasinya. Jadi saya nak minta kerjasama abang, boleh?” Sambung pula rakan disebelahnya.

“Tak nampak macam pelajar pun, pakaian entah apa-apa, macam nak jual barang je.” Getus saya di dalam hati, sambil memikirkan bagaimana untuk menangani situasi ini.

Diluar pagar kelihatan dua lagi rakannya sedang menunggu di dalam kereta. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan.

“Kamu berdua ni nampak macam nak jual barang je, itu apa dalam kotak tu, penapis air ke?” Duga saya. Kebiasaannya penapis air.

“Tidak bang, ini adalah barang yang kami gunakan untuk praktikal. Bukan untuk di jual, “ jawab si ‘penyelia’ itu, cepat sahaja dia menjawab.

“Kamu belajar di mana? Boleh saya lihat kad pelajar atau apa-apa surat yang berkaitan dengan dengan kerja kursus kamu ni,” saya bertanya kepada yang mengaku pelajar itu.

“Err..saya...belajar di kolej XXX,” jawabnya. Nampak sedikit kalut. Mungkin beliau tidak menyangka saya akan bertanya soalan itu.

“Surat tu saya yang pegang, tetapi saya tertinggal kerana nak cepat tadi,” pantas pula si ‘penyelia’ itu menjawab.

Sukar untuk saya mempercayai penjelasan mereka. Dari apa yang saya perhatikan mereka tiada langsung gaya seorang pelajar. Dengan rambutnya, bajunya, seluarnya serta kasutnya, gayanya seperti...........

“Macam mana bang boleh kami mulakan,” tanya mereka lagi. Saya ligat mencari akal fikiran. Bagaimana agaknya.

“Kamu kenal ‘Encik Sazali Osman’. Dia pegawai di bahagian pentadbiran kolej, tempat kamu belajar tu”. Saya bertanya.

Saya pun tidak mengenali siapa dia ‘Encik Sazali Osman’ serta kewujudannya, macam mana boleh terkeluar namanya pun saya tidak tahu, semuanya sepintas lalu. Saya bertanya sekadar mahu menguji mereka. Lucu pula rasanya.

“Saya kurang pastilah, bang. Saya tak berapa kenal mereka yang di bahagian pentadbiran,” jawab pelajar tersebut. Si ‘penyelia’ di sebelahnya hanya diam.

“Dr Wan Zawidi Adam? Dia pensyarah di situ.” Saya menduganya lagi. Rasa ‘bertanduk’ pula, semoga Allah mengampunkan saya. Sebenarnya Wan Zawidi itu adalah nama rakan saya. Beliau bukan pensyarah, beliau sebenarnya bertugas di Jabatan Kimia di Petaling Jaya. Sengaja saya meminjam namanya, setelah otak beku memikirkan nama yang nak diguna. (maaf Wan Zawidi).

“Ohh..Dr Wan, kenal. Macam mana abang kenal dia?” Dia pula bertanya saya.

“Kawan lama.” Jawab saya pendek.

Kesangsian saya terhadap mereka semakin bertambah, setelah mendengar jawapan mereka. Dan saya rasa mereka sebenarnya ingin menjual barang, kerana saya acap kali berdepan dengan keadaan seperti ini. Ada yang datang untuk buat kaji selidik penduduk di kawasan itu, ada yang mahu buat kaji selidik untuk membina kilang, ada juga yang datang untuk sekadar soalan kuiz, dan berbagai-bagai cara dan taktik yang digunakan. Akhirnya kena tarik sampul surat yang berisi hadiah, hadiah tersebut percuma tetapi untuk mendapatkannya kena bayar sedikit wang. Pulak dah...

Ada juga taktik yang digunakan seperti demostrasi barangan, gores dan menang, pelajar praktikal dan sebagainya. Tidak perlu beli barang kerana kami bukan nak jual barang, hanya untuk memberi penerangan sahaja. Tetapi akhirnya kena beli kerana kotak barang sudah dibuka. Pun sama...

Tak faham bahasa

“Bolehlah bang, 10 minit kami ambil masa abang untuk tunjukkan barang ini. Kami bukan nak jual, hanya latihan untuk dia ni.” Kata ‘penyelia’ itu sambil menunjuk kepada pelajarnya.

“Maaf, saya tak berminat,” saya menjawab. Harap-harap mereka faham.

“Ala..10 minit je, bukannya lama. Susahlah macam ni, kita patut tolong bangsa kita. Kalau orang melayu tak tolong orang melayu siapa lagi yang nak tolong. Macam mana orang melayu nak maju,” makin lebat si ‘penyelia’ bercakap. Makin melalut rasanya.

“Tak apalah saya tak berminat, saya pun nak keluar ni, minta maaf,” saya bercakap lembut. Masih ada toleransi, dan mengharapkan agar mereka segera beredar kerana saya sudah terasa rimas.

“Bolehlah bang, abang cuma dengar sahaja,” katanya lagi. Nada merayu, putus asa pun ada barangkali.

“Saya tak berminat, awak tak faham bahasa ke!” Saya sedikit meninggikan suara. Rasa rimas telah bersarang, rasa menyesal pun ada juga.

Mereka berdua tersentak. Saya sendiri pun terkejut dengan perbuatan saya meninggikan suara.

“Tak apalah bang, kalau abang tak berminat nak menolong bangsa kita” mereka berdua segera beredar, sambil berbisik sesama mereka mungkin tidak puas hati.

“Yang menipu bangsa sendiri pun ramai juga,” kata saya tetapi di dalam hati. Sambil memerhatikan mereka berlalu.

Harapan

Tidak dapat dinafikan banyak syarikat-syarikat perniagaan langsung yang tumbuh dewasa kini. Ada yang menjual barangan kesihatan, ubat-ubatan, alat senaman dan sebagainya. Ia satu perkembangan yang baik. Tetapi jika ada unsur-unsur gharar dalam proses pengendaliannya, maka saya fikir ini adalah satu perkara yang tidak patut berlaku. Maka akan ada yang menjadi mangsa dan teraniaya. Oleh itu, sistem muamalat yang baik asalnya menjadi rosak dan menimbulkan sikap prejudis.

Saya amat berharap agar pihak yang berwajib dapat melakukan pemantauan ke atas isu ini. Bagaimana jika yang menjadi mangsa itu dikalangan warga emas yang tidak mengerti apa-apa. Seperti mana yang pernah diceritakan oleh seorang sahabat, yang mana pasangan warga emas ini terpaksa membeli penyedut hampagas atas alasan mereka telah membuka sampul surat. Difahamkan dirumah mereka hanya ada tikar mengkuang, jadi nak sedut apa. Mujurlah anak lelaki mereka kebetulan pulang ke rumah pada waktu itu kerana ada urusan dan sempat menyelamatkan keadaan. Jika tidak, pasti pasangan warga emas tersebut menjadi mangsa penipuan terancang dan licik ini.

Saya tidak bermaksud untuk bersikap pukul rata, dengan melabelkan semua syarikat jualan tersebut adalah penipu. Ada juga yang menjalankan perniagaan dengan jujur, tetapi kerana perbuatan segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan yang lain terpalit sama. Lalu mengundang ketidakpercayaan orang ramai.

Justeru itu, untuk memperbaiki kesongsangan ini ia memerlukan komitmen banyak pihak dan usaha-usaha yang dijalankan mestilah dengan berterusan dan sebaik mungkin. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Kepada yang mereka yang jujur, istiqamahlah. Saya amat menghargai kejujuran anda. Semoga anda di rahmati Allah SWT.

Sama-sama beringat.

0 comments:

Post a Comment