Sahabat Sejati

Friday 13 August 2010

Berpuasalah wahai si Muslim

Dr. Yusuf al-Qardhawi ketika menyarankan supaya melatih anak-anak berpuasa mengatakan: Ketika umat Islam zaman dahulu berpuasa, anak-anak mereka yang kecil juga turut berpuasa. Hinggakan mereka memberikan permainan buat anak-anak itu daripada pelepah kurma....bulu-bulu yang dihambur-hamburkan supaya waktu berpuasa itu tidak disedari berlalu pergi sehingga tibanya waktu berbuka.

Oleh kerana itu, setiap Muslim hendaklah berusaha melatih anak-anaknya berpuasa supaya membesar dalam keadaan menunaikan ibadat ini.

Bagi anak-anak yang berumur tujuh tahun hendaklah disuruh berpuasa. Manakala yang berumur sepuluh tahun hendaklah dipukul jika tidak berpuasa. Ada kemungkinan dia berpuasa sehari dan berbuka sehari, tetapi dengan demikian dia dapat dilatih berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan. Kebaikan itu dibentuk dengan kebiasaan. Demikian juga kejahatan dilatih menerusi kebiasaan.

Satu sketsa

Bulan Ramadhan begini teringat satu cerita lama, yang diceritakan oleh ustaz semasa bersekolah agama dulu. Pada masa itu cerita ini saya ambil hanyalah sebagai satu hiburan halwa telinga, tetapi apabila telah dewasa barulah terlihat hikmahnya...

Pada satu ketika seekor lembu sedang berfikir bagaimana ia boleh mengalahkan manusia yang diketahui hebat. Sedang sang lembu berfikir ia terus meragut rumput di hadapannya. Ia tahu bahawa tugas untuk memakan rumput adalah tugas yang telah diperintahkan oleh Allah kepadanya, maka sang lembu berkata kepada dirinya bahawa ia lebih baik daripada manusia.

Sedang sang lembu berfikir nampaklah ia beberapa orang yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Lalu berkata lembu kepada mereka: “Sebenarnya aku lebih baik daripada kamu kerana aku patuh pada perintah Allah sedangkan kamu yang Allah perintahkan puasa di bulan Ramadhan, kamu tidak berpuasa maka aku lebih baik daripada kamu!”


Manusia pula berkata: “Wahai lembu yang bodoh, kamu tiada akal sedangkan Allah anugerahkan akal kepada manusia maka aku lebih baik daripada kamu.”


Begitulah cerita di mana manusia yang ego tidak pernah mahu merasakan dirinya bersalah dan kadangkala makhluk yang tidak dikurniakan Allah akal adalah lebih baik daripada manusia yang ada fikiran…

Siapakah yang cerdik, manusia yang berakal atau lembu yang tidak mempunyai berakal yang hanya meragut rumput di padang. Fikir-fikirkan...

Oleh itu, latihlah berpuasa di usia rebung supaya ianya menjadi satu kebiasaan. Jika telah menjadi buluh maka amatlah sulit untuk berbuat demikian. Pasti puasa dilihat sebagai satu beban yang berat dan tidak mampu dipikul.

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjana rasa dan nilai taqwa sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183.

0 comments:

Post a Comment