Sahabat Sejati

Friday 3 December 2010

Tidak sembuh kerana dimakan sumpah?

Soalan:

Ada seorang di tempat kami suka sangat bersumpah, hampir tiap-tiap hari ada sahaja sumpahnya. Baru-baru ini dia sakit, diubati macam-macam cara tak sembuh-sembuh. Ada orang kata itulah suka sangat bersumpah dan sekarang ini dimakan sumpah. Orang yang dimakan sumpah atau disumpah dek sumpahnya tidak akan sembuh sakitnya selama-lamanya, betulkah begitu Dato`?

Jawapan:

Bersumpah atau (al-Yamin) adalah satu perbuatan yang disyariatkan. Boleh bersumpah kerana untuk kuatkan sesuatu dakwaan, kadang-kadang dituntut atau dipastikan seseorang itu bersumpah lebih-lebih lagi dimahkamah dalam kes-kes dikendalikan ada yang menuduh dan kemukakan bukti sedangkan yang kena tuduh tiada bukti dan kalau dia hendak nafikan tuduhan ke atasnya, maka dia diminta bersumpah.

Sumpah itu adalah bukti, dan terpulang sama ada kadhi atau hakim mahu terima atau menolaknya. Sumpah bukan boleh dimudah-mudahkan atau disengajakan tanpa ada keperluan, perlu diingat bahawa sumpah yang sebenar adalah menggunakan nama Allah.

Elokkah nama Allah untuk digunakan atau untuk dimainkan atau berbohong atau untuk dimainkan nama tersebut untuk sedap mulut berkata-kata, kerana itu Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 224 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu jadikan Allah (nama Allah) dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia, ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha mengetahui."

Sumpah yang terkeluar dari mulut yang tidak disengajakan atau tidak dimaksudkan bersumpah atau sumpah main-main atau terlajak tidak sengaja ia tidak mengapa, Allah akan memaafkan, diasaskan kepada ayat 225 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Allah tidak mengira kamu bersalah disebabkan sumpah kamu yang tidak dimaksudkan untuk bersumpah, tetapi Dia mengira kamu bersalah dan dikenakan hukuman disebabkan sumpah yang disengajakan oleh hati kamu dengan niat bersumpah, ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun."

Adapun masalah dimakan sumpah atau sumpah makan diri, tidak tahulah saya benar atau tidak. Itu adalah perkara ghaib yang mungkin berlaku atau tidak. Tetapi yang nyata saya tidak pernah bertemu dengan nas syarak ada orang sakit dimakan sumpahnya, sakit tak sembuh. Yang anda imbas-imbas dengannya ialah perbuatan dosa seseorang itu mengundang padah, atau mungkin banyak sangat bermain dengan sumpah, atau sengaja main-main nama Allah dan sengaja mempergunakannya untuk berbohong atau kalau nak syok sendiri itu adalah mendatangkan dosa. Kalau dosa sudah banyak maka adalah balasan daripada Allah.

Dalam surah Ali-Imraan ayat 11 firman Allah yang bermaksud: "Lalu Kami ambil tindakan ke atas mereka, angkara dosa-dosa mereka (hingga membinasakan mereka) disebabkan dosa-dosa mereka, ingatlah Allah maha berat seksaan-Nya."

Dan dalam ayat lain, surah al-Ankabut ayat 40 Allah berfirman yang bermaksud: "Maka masing-masing daripada kamu akan menjatuhkan hukuman ke atas mereka hingga ada yang dibinasakan dengan dosa mereka."

Dan banyak lagi ayat yang membawa makna bahawa angkara dosa manusia di atas dunia ini Allah akan turunkan azab sengsara ke atas mereka sehingga ada kampung halaman dimusnahkan, nyawa dan harta benda mereka melayang dan dimusnahkan. Ini untuk menyedarkan manusia yang boleh mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Mungkin kerana itulah ada orang yang mengaitkan ada orang dimakan sumpah sakit tak sembuh.

Penyakit boleh berlaku di alam manusia bukan semestinya kerana dosa dan sumpah tetapi Allah mengkehendaki berlaku demikian, walau apa pun eloklah sumpah jangan dimudah-mudahkan atau dimainkan, kerana Allah tidak suka namanya dimain-mainkan. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato' Dr Haron Din
Harakah bil 1579

0 comments:

Post a Comment