Sahabat Sejati

Tuesday 11 January 2011

Usah ada 'nujum pak belalang' dalam perkahwinan

Soalan:

Saya merancang mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Ibu bapa saya merestui, tetapi salah seorang bapa saudara saya yang kebetulan mempunyai ilmu agama yang agak tinggi, memberitahu kami semua bahawa perkiraan nama saya dengan bakal suami saya yang di'bin' kepada ibu kami masing-masing, katanya hasilnya amat tidak sesuai. Jika dikahwinkan juga, pasti akan bergaduh. Kami sekeluarga agak bingung, benarkah ada ilmu agama yang dikira dari nama bakal pengantin, dengan nama ibu mereka, boleh dikira sebagai penentu masa depan, baik atau buruk. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Hal sebegini banyak berlaku dalam masyarakat kita. Amalan sebegini, ada yang menamakannya sebagai firasat. Ada yang menamakannya kasyaf. Ada yang kata tenung makrifat. Ada yang kata nujum dam berbagai-bagai lagi.

Hakikatnya, yang sebahagian besarnya berlaku adalah 'auta' temberang kosong atau omong kosong.

Kerana apa yang disebut sebagai merenung nasib atau tengok nasib sehingga dapat memberitahu perihal masa hadapan seseorang, hendak jadi baik atau buruk, hendak kekal bahagia hingga ke akhir hayat atau bergaduh di pertengahan jalan.

Itu semua adalah perkara-perkara ghaib. Tiada manusia mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

Perihal perkahwinan, patut kita berpandu kepada ajaran Islam, bukan dengan kata-kata seperti persoalan anda di atas,ataupun kata mana-mana orang yang berpandu kepada tilik meniliknya.

Rasulullah saw bersabda, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hatim al-Muzani yang mafhumnya: "Apabila datang kepadamu (wali), pinangan ke atas orang di bawah jagaanmu daripada calon suami yang kamu berpuas hati (redha) agamanya dan akhlaqnya, maka hendaklah kamu mengahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya, nescaya akan mengundang fitnah (sesuatu yang buruk) dan mengundang kerosakan yang banyak (lebar) dibumi Allah." (Riwayat at-Tirmidzi).

Hadis di atas jelas memberitahu kita bahawa perkahwinan tidak dirujuk kepada firasat, tenung, makrifat atau 'nujum pak belalang'.

Yang menjadi fokus utama ialah komitmen keagamaan dan akhlaq yang terpuji. Jika kedua-dua ini jelas nyata, maka kahwinlah.

Rasulullah saw tidak pernah sekalipun dalam hidupnya, tatkala hendak mengahwinkan puteri-puteri baginda atau mengahwinkan anak-anak para sahabat, tidak sesekali dengan mengira nama bakal pengantin yang dicampurkan dengan 'bin' ibu mereka.

Dalam masyarakat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah saw dahulu, ada satu peristiwa perancangan pernikahan yang Nabi saw tidak merestuinya, bukan kerana firasat atau tenung nasib, tetapi kerana fakta fizikal yang jelas.

Senario ketika itu berlaku dimana seorang perempuan bernama Fatimah binti Qais meminta nasihat baginda tentang dua orang calon suaminya, mana satu baginda hendak pilihkan sebagai suaminya. Seorang bernama Abu Jahm dan seorang lagi bernama Muawiyah.

Mendengar dua nama sahabat itu, Rasulullah saw tidak mengira atau menghitung nama mereka atau nama ibu mereka. Malah baginda tidak membuat sebarang perhitungan kerana baginda mengenali mereka berdua.

Nabi saw menasihatkan Fatimah binti Qais: "Usah berkahwin dengan Abu Jahm, kerana beliau selalu sangat mengembara dengan meninggalkan rumahnya. Dan, jangan pula berkahwin dengan Muawiyah kerana dia tidak mempunyai harta, tetapi berkahwinlah dengan Usamah bin Zaid, kerana dia lebih baik daripada kedua-duanya." Akhirnya Fatimah berkahwin dengan Usamah dan bahagialah mereka sepanjang hayat.

Apa yang bapa saudara anda lakukan itu, saya tidak mengetahui apa asas perbuatannya. Tetapi natijah daripada perhitungannya itu, dia seolah-olah mengetahui masa hadapan anda.

Amalan seperti itu menyamai amalan merenung nasib dan mendakwa dia mengetahui sesuatu yang ghaib, hal sedemikian tidak benar dan tidak mungkin benar. Firman Allah SWT (mafhum-Nya): "Tuhan sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun.
Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)." (al-Jinn: 26-27).

Daripada `Imran bin Husain ra. katanya, Nabi saw pernah bersabda (mafhumnya): "Bukan daripada golonganku (bukan umatku) sesiapa yang membuat ramalan perkara ghaib, atau orang yang meminta nasibnya diramalkan." (Riwayat dari al-Bazzaj dengan sanadnya yang kuat - jayyid).

Banyak lagi hadis yang seperti ini. Iaitu Rasulullah saw melarang umatnya merenung nasib atau memberitahu orang mengenai perkara ghaib.

Itu semua adalah kerja Allah SWT, kita hanya berpandu kepada fakta-fakta zahir, sama ada sesuai atau tidak sesuatu perkahwinan berdasarkan kepada fakta yang ada di hadapan kita.

Fakta sebenar adalah komitmen keagamaan dan kemuliaan akhlaq sebagaimana hadis baginda (mafhumnya): "Pilihlah orang yang komitmen keagamaannya, kamu pasti akan mendapat keberuntungan." Wallahua`lam bissawab.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment