Sahabat Sejati

Friday 11 March 2011

Ibrah dari seekor ibu kucing


“Subhanallah...” Saya menarik nafas dalam-dalam.

Tidak semena-mena perasaan tenang dan tenteram menyelinap ke dalam diri, puas. Ketenangan yang tidak mampu saya ungkapkan dengan kata-kata, tetapi saya merasai dan menikmati ketenangan itu. Suasana yang bening di dalam rumah Allah menambahkan lagi ketenangan yang hadir. Tenang, damai dan mendamaikan. Mungkin orang lain juga merasainya seperti saya, entahlah.

“Agaknya ketenangan dari keberkatan majlis ilmu di rumah Allah,” saya menduga tetapi penuh keyakinan.

Teringat ungkapan Rasulullah saw bahawa majlis ilmu adalah seumpama taman syurga. Bertuah sesiapa yang mendapatnya, taman syurga di dunia. Itupun ketenangannya sukar digambarkan, bagaimana pula jika taman syurga yang sebenarnya diakhirat kelak. Pasti berlebih-lebih lagi.

Satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Allah SWT berfirman: “Aku sudah menyediakan buat hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga serta belum pernah terlintas oleh hati seseorang."

Manakala para malaikat pula memayungkan mereka yang berada di dalam majlis ilmu dengan sayap-sayapnya.

Sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya para malaikat mengembangkan sayap-sayapnya kepada para penuntut ilmu, kerana redha dengan apa yang dilakukannya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Betapa besarnya kelebihan majlis ilmu bagi mereka yang mengerti.

Majlis ilmu

Malam ini kuliah maghrib membahaskan buku “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” karangan al-marhum Syeikh Dr Fathi Yakan. Seorang tokoh Islam yang cukup dikenali. Beliau telah meninggal dunia pada tanggal 13 Jun 2009 pada usia 76 tahun. (semoga Allah merahmatinya)

Saya memperkemaskan sila, sabar menunggu gugusan mutiara ilmu yang akan terbit dari ulas bibir sang ustaz.

Saya melihat kiri dan kanan, wajah-wajah yang sentiasa melazimi majlis ilmu. Ada rona ceria dari raut wajah mereka. Ada juga yang sudah mengangkat punggung seusai solat maghrib tadi.

“Ada hal yang lebih penting agaknya,” saya cuba bersangka baik.

Alhamdulillah, amat menarik kuliah yang disampaikan. Saya cukup teruja mendengarnya. Laju tangan saya mencatat butir-butir pengajaran sebagai nota ilmu. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh saya bawa balik. Teringat kata-kata murabbi di zaman belajar dahulu agar sentiasa membawa pen dan kertas.

“Kemana sahaja kamu pergi pastikan ada pen dan kertas untuk mencatat, itu syarat dalam menuntut ilmu. Jika kamu menuntut ilmu tanpa membuat sebarang catatan, itu seumpama kamu menulis di atas takungan air. Tidak akan memberi bekas apa yang disampaikan, sekadar riak-riak di permukaan sahaja.” Begitu dalam kiasan dan saya memegang erat azimat berharga sang murabbi.

Ibrah dari seekor ibu kucing

Tatkala kuliah maghrib hampir menuju ke penghujung, tiba-tiba seekor ibu kucing melalui di celah-celah peha jemaah sambil menggonggong anaknya.

Ibu kucing tersebut membawa anaknya ke ruang hadapan masjid lalu meletakkannya di tepi rak sejadah. Selepas itu ia balik semula mengambil anaknya yang lain membawa ke tempat yang sama sehingga cukup tiga ekor.

Saya memerhati dengan penuh minat.

Mungkin kerana agak terganggu dengan suara anak kucing yang mengiau-ngiau, seorang pakcik bergegas menangkap ibu kucing itu bersama anaknya lalu membawa ke luar. Tidak berapa lama kemudian, ibu kucing tadi menggonggong semula anaknya lalu membawa ke tepi rak sejadah tadi.

“Haa...tengok betapa sayangnya dia pada anaknya,” kata ustaz.

Hati saya berdetik. Benar-benar tersentuh dengan kelakuan ibu kucing tersebut, betapa hebatnya. Kasih ibu!

Firman Allah SWT:

“Kami wasiatkan kepada manusia, supaya ia berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya yang mengandung dia dengan berbadan lemah yang berlipat ganda, melahirkannya dan menyusukannya, dan mencerainya dari susu sesudah dua tahun lamanya. Sebab itu hendaklah berterima kasih kepada-Ku dan kepada ibu bapamu.” (Luqman: 14)

Kehidupan seorang manusia, sebahagian besarnya bergantung kepada belaian kasih sayang dan kasih mesranya seorang ibu. Ibulah yang mengandungkan dengan seribu kepayahan, ibulah yang melahirkan sehingga bersabung nyawa diantara hidup dan mati, dialah yang menyusukan, memandikan dan menyuap makan. Beratnya beban yang ditanggung oleh seorang ibu.

“Syurga di bawah tapak kaki ibu” ungkapan yang menggambar ketinggian seorang ibu. Kita sering terlupakannya. Tidak sempat membayangkan jika ada anak yang membenci ibunya sendiri. Malahan ada yang membenci sehingga peringkat membentak ibunya. Ada yang sanggup berkata “Aku tidak diminta dilahirkan di dunia ini.” Benci yang teramat sangat.

Sesungguhnya ibu juga tidak minta mengandung dan melahirkan kita. Apa guna mengandung dan melahirkan seorang pembenci. Namun kerana sifat kasih sayang, kita menumpang selama sembilan bulan di dalam alam rahim. Ibu tidak pernah menyesal melahirkan kita.

Sahabat sekelian! Renungkanlah betapa besarnya fungsi wanita sebagai ibu.

“Ketika datang seorang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Siapakah orang yang paling berhak saya pergauli dengan baik? Jawab baginda: Ibumu.” Kemudian siapa lagi? Jawabnya lagi: “Ibumu! Kemudian siapa? Jawabnya: “Ibumu! Dan lalu siapa? Jawab baginda: “Ayahmu! (Bukhari dan Muslim)

Terima kasih Tuhan!

Manusia perlu kepada petunjuk dan didikan Allah. Sama ada melalui ayat-ayat Allah SWT yang termaktub di dalam kitab-Nya ataupun dengan memerhati pada kejadian alam ini.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Aali-Imraan: 191)

Kadang-kadang Allah mendatangkan pelajaran pada beberapa peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Maknanya segala apa yang berlaku itu pasti ada hikmah dan tujuannya. Perkara yang berlaku itu akan membawa kepada perkara yang lain dan akan mencetuskan kesan yang lain. Sambung-menyambung dan kait-berkait dengan benda-benda yang lain. Ini hanya akan kita rasai apabila kita merenung dan berfikir.

Dalam kehidupan seharian, tentunya kita sentiasa bersua dengan berbagai-bagai kejadian atau peristiwa. Ada peristiwa lucu, sedih, takut, bimbang dan sebagainya. Demikianlah perjalanan hidup manusia, memang begitu.

Tetapi apakah yang ada di fikiran kita tatkala melihat dengan sesuatu peristiwa atau kejadian. Adakah kita peduli, kebanyakannya kita hanya melihat apa yang berlaku dengan pandangan yang kaku tanpa memikirkan hikmah atau pengajaran. Kita tidak mengambil ibrah yang tersirat sedangkan setiap yang berlaku adalah dari Allah SWT dan pastinya ia tidak sia-sia.

Entah mengapa malam ini lena saya terganggu. Seraut wajah kasih ibu menerpa di ruangan mata. Apa khabar ibu ketika ini, lenakah tidurnya, selerakah makannya. Tiba-tiba perasaan ini menjadi sebak dan hiba.

Maha Suci Allah. Sesungguhnya ibrah yang Dia datangkan melalui ibu kucing tadi benar-benar memberi makna yang amat menyentuh hati. Menusuk ke sanubari yang paling dalam, hingga gugur air mata saya.

Terima kasih Tuhan.

2 comments:

Iman_Inside said...

salam alaik.

tersentuh..

betul tu..setiap yg berlaku itu pasti ada sesuatu yg hendak disampaikan melaluinya..

semoga terus thabat dalam perjuangan Islam..:)

abuikhwan said...

Moga dipermudahkan...

Post a Comment