Sahabat Sejati

Monday 9 May 2011

Persoalan government loan selepas peminjam meninggal


Soalan:

Pegawai-pegawai kerajaan dibolehkan membuat pinjaman perumahan menerusi 'government loan', yang dilindungi insurans yang boleh melangsaikan hutang itu apabila peminjam tersebut meninggal dunia. Keraguan saya, terlepaskah si mati yang berhutang itu dari tanggungannya kerana dibayar oleh insurans kerajaan, dia tidak membayarnya. Tidakkah hutang itu sepatutnya dibayar oleh keluarganya dari harta peninggalannya.

Jawapan:

Hutang wajib dibayar. Disepakati oleh semua ulama Islam semasa hidup atau sesudah mati.

Jika si berhutang mati sedangkan beliau masih mempunyai harta, maka wajiblah dibayar segala hutang piutang itu dengan harta yang ditinggalkannya, sebelum dibahagikan harta tersebut kepada waris-waris yang berhak.

Membayar hutang boleh dibuat dengan berbagai cara:

Pertama: Dari harta peninggalan si mati.

Kedua: Jika tidak ada harta maka sesiapa sahaja yang hendak menolong membayar bagi pihak si mati, boleh berbuat demikian.

Seperti berlaku kepada seorang sahabat yang meninggal dunia pada zaman Rasulullah saw. Baginda ketika itu mengetahui sahabat yang meninggal itu masih mempunyai hutang. Baginda enggan menunaikan solat jenazah ke atasnya sehingga seorang sahabat lain, tampil melangsaikan hutang tersebut, maka barulah Rasulullah saw menunaikan solat jenazah.

Ketiga: Dibayar oleh pihak yang bertanggungjawab menyelesaikannya iaitu insurans Islam.

Bagi kes yang anda ajukan kepada saya, iaitu si mati mempunyai insurans kerajaan dan baki pinjamannya dibayar oleh insurans tersebut, maka dikira hutang tersebut sudah langsai.

Maka dalam kes ini waris-waris si mati tidak perlu lagi membayar hutang tersebut dari harta peninggalannya.

Amat jelas si mati meninggalkan hutang dan hutang telah dibayar oleh pihak berkenaan. Ini berdasarkan kepada perjanjian yang termeterai antara si pemiutang dengan insurans yang menjadi penjamin kepada hutang tersebut.

Persoalan akan timbul, bolehkah hutang tersebut dibayar jika insurans diambil dari kelompok konvensional (riba). Insurans yang tidak diasaskan kepada Islam. Jika insurans tersebut diasaskan secara riba, pemiutang meninggal dunia, hutangnya selesai kerana ada pihak yang membayar.

Akan tetapi kesalahannya atau dosanya tetap ada kerana bermuamalah atau mengambil insurans yang tidak Islamik.

Harta peninggalan si mati setelah diselesaikan wasiatnya, hutang-hutangnya jika ada, akan menjadi pusaka yang bakal difaraidkan kepada waris-waris yang sah. Yang penting hutang perumahan sudah langsai kerana dibayar oleh insurans. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment