Sahabat Sejati

Thursday 19 May 2011

Terima kasih duhai guru...


Guru merupakan pengganti kepada ibu bapa di sekolah yang mendidik murid tanpa jemu. Keikhlasan dan semangat yang tinggi untuk melihat anak muridnya berjaya dan menjadi seorang manusia. Menghormati dan memuliakan guru adalah sesuatu yang amat dituntut oleh Islam dan merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.

Saya masih ingat ketika belajar dahulu, guru seringkali berpesan, “Sebahagian daripada keberkatan ilmu adalah dengan kamu mengamalkannya, manakala sebahagian lagi adalah dengan kamu menghormati guru kamu.”

Benar, ilmu tidak dapat dipisahkan dari keberkatan. Jika kita tidak menghormati guru, maka keberkatan itu tidak akan datang. Sedangkan dalam setiap perkara kita amat berhajat kepada keberkatan. Rezeki yang berkat, keluarga yang berkat, kehidupan yang berkat dan sebagainya. Oleh yang demikian, hormatilah guru dengan mengenang dan menghargai jasa mereka sepanjang zaman.

Kita seharusnya bersyukur di atas pengorbanan dan jasa guru yang telah mendidik serta membimbing kita. Tidak kira guru di peringkat manapun, baik guru sekolah, universiti dan tidak kurang penting juga guru di kampung yang mengajar kita mengenal ayat-ayat al-Quran. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka semua pasti kita meraba-raba dalam kehidupan.

Sesungguhnya guru yang amanah dan ikhlas dengan ilmu, seperti mata air yang mengalir air yang bersih dan jernih untuk di minum oleh semua. Manakala guru yang khianat dan tidak ikhlas dalam kerjayanya sama seperti mata air yang mengalirkan air yang keruh, lalu keruhlah air itu sampai di kuala.

Tatkala diriku keliru di bendang ilmu,
Merangkak-rangkak mengenal kehidupan,
Meraba-raba mengira kepayahan,
Guru datang membawa suluhan cahaya,
Tanpa jemu menyampai ilmu dan pengajaran,
Gigih menyemai bakti mencurah jasa,
Terima kasih guru,
Tanpamu tidaklah aku seperti hari ini...

Selamat Hari Guru.

Terima kasih guru... sentiasa kupanjatkan doa buatmu agar sentiasa di dalam kebaikan.

0 comments:

Post a Comment