Sahabat Sejati

Tuesday 28 June 2011

Bicara santai: cerita unta


Allah SWT berfirman:

“Maka apakah mereka tidak memerhatikan kepada unta, bagaimana ia diciptakan?” (al-Ghaasyiyah: 17)

Subhanallah!

Kata Enstein: “Barangsiapa yang mahu mengkaji alam ini, nescaya dia akan mengetahui bahawa si Pencipta pastilah Maha Bijaksana dan tidak bermain-main dalam penciptaan-Nya.”

Dalam peristiwa hijrah

Si unta ini datang dari Quba', berebut-rebut golongan Ansar agar unta itu berhenti di rumah mereka, kerana di atasnya Rasul yang mulia, dan sahabat yang setia.

“Wahai Rasulullah, sudilah singgah di rumah kami,” kata mereka.

Masing-masing berebut memegang tali unta yang ditunggang Rasulullah dengan harapan baginda sudi singgah dirumah mereka.

“Lepaskan tali unta ini, biarkan ia terus berjalan. Di mana unta ini berhenti, di situlah saya singgah,” ujar Rasulullah.

Akhirnya unta berhenti dan melutut di kawasan lapang tempat orang menjemur kurma. Begitulah perancangan Allah SWT, unta berhenti di rumah sahabat bertuah, Abu Ayyub al-Ansori.

“Wahai Rasulullah, alangkah gembiranya hati saya kerana tuan sudi singgah di sini,” kata Abu Ayyub penuh gembira.

Peristiwa Badar al-Kubra

Unta menghuraikan kekusutan sahabat mengenai berapa jumlah tentera musyrikin di dalam Badar al-Kubra. Perisik yang ditangkap Ali ra. Berkata, “kami makan unta, kami sembelih sehari-hari, kadang-kadang 9 ekor, kadang-kadang 10 ekor.”

Lalu dijawab oleh Rasulullah saw, “jumlah mereka 900-1000 orang kerana seekor unta boleh dimakan oleh 100 orang!”

Salahuddin al-Ayubi

Begitu juga ketika Salahuddin al-Ayubi yang menyamar sebagai penduduk kampung menyiasat kekuatan benteng Khusnul Ahzan, bertanya kepada tentera salib berapakah unta yang disembelih dalam satu hari. Lalu mereka menjawab:

“Dua puluh ekor.”

Maka dijawab oleh Salahuddin: “Jumlah saudara adalah dua ribu orang, kerana seekor unta dapat dimakan oleh seratus orang. Dua puluh ekor unta adalah makanan untuk dua ribu orang.“

"Sauadara bukan penduduk kampung sebaliknya pengintip tentera Salahuddin!" jerit tentera salib itu dengan marah, setelah sedar dirinya tertipu.

Di Hudaibiyah

Unta itu menurut perintah ALLAH, enggan ia berjalan lagi di Hudaibiyah. Duduk diam ia di atas tanah. Para sahabat mengambil sebatang kayu, lalu menyucuk-nyucuk punggung unta, mengarahkan ia meneruskan perjalanan.

“"Adakah si Qushwa (nama unta) ini mengalami sesuatu yang tidak baik sehingga tidak mahu bergerak ke hadapan?”, seru mereka.

Rasulullah saw menyahut, “Ia tidak berwatak demikian. Ia dihentikan oleh Allah SWT seperti dahulu Allah menghentikan pasukan gajah. Demi Allah jika mereka memintaku suatu langkah (persyaratan) yang akan menghormati Tanah Haram, pasti akan aku kabulkan”.

Fikir-fikir

Unta haiwan yang taat kepada tuannya. Sanggup ditunggang di padang pasir yang luas lagi tandus, dengan rasa lapar dan haus. Perjalanannya tidak akan berubah haluan dari ketentuan tuannya, walaupun ia melihat kehijauan daun dan pancuran air. Sehinggakan ia sanggup menipu perutnya dengan memasukkan batu-batu ke dalam mulutnya. Supaya dapat membayangkan sebagai makanan yang sedang di makan.

Demikianlah betapa setianya seekor haiwan yang tidak berakal. Bagaimana pula dengan manusia yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian dan dikurniakan akal yang sempurna, sanggup membinasakan dirinya dengan memakan harta yang haram, melakukan perkara-perkara dosa dan maksiat.

Bukankah hidup ini tidak habis di sini sahaja? Ada lagi kehidupan selepas ini yang akan kekal selamanya.

Fikir-fikirkanlah!

Monday 27 June 2011

Travelog: Debu-debu Kota 1000 Menara



Travelog Debu-debu Kota 1000 Menara’ adalah catatan perjalanan ilmu. Ia mengupas pengalaman dan jerit perih sebagai seorang musafir ilmu yang ingin mengutip mutiara-mutiara khazanah tinggalan nabi, aulia dan ulama’-ulama’ terdahulu di Kota Mesir yang terkenal dengan jolokan Kota 1000 Menara. Mesir juga terkenal sebagai gelaran yang diberikan Nabi SAW iaitu Ardul Kinanah (Bumi yang subur).

Subur dengan pengetahuan, ilmu pengetahuan dan doa. Bumi bertuah ini dikurniakan satu institusi terulung dunia iaitu Universiti Al-Azhar yang telah melahirkan jutaan ulama’ terbilang yang menjadi sumber rujukan agama hingga ke hari ini. Satu-satunya institusi pendidikan yang masih mengekalkan keaslian ilmu agamanya dengan sistem pendidikan klasik dan moden.

Catatan perjalanan ilmu ini diharap dapat dijadikan petunjuk serta panduan kepada penuntut ilmu bahawa mencari ilmu memerlukan pengorbanan yang tinggi dan perjuangan yang tidak mengenal erti mengalah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Imam As-Syafie rahimahullah yang akhirnya jasad beliau tersemadi di bumi barakah ini.

(Lorekan kata pada sudut belakang buku Travelog: Debu-debu Kota 1000 Menara)

Tajuk : Travelog: Debu-debu Kota 1000 Menara
Penulis : Farid Rashidi
Penerbit : MUST READ SDN BHD
m/s : 239
Harga : SM 24.90 / SS 27.90

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Sunday 26 June 2011

Sudah ditaqdirkan aku jadi begini?

Saya menyelak fail-fail tazkirah yang banyak kedapatan di dalam komputer riba. Saya mencari-cari apakah artikel yang boleh saya kongsikan bersama rakan-rakan.

Kadang-kadang. Ada harinya ketandusan idea. Walaupun telah diperah otak sehingga mengalir keringat, namun tidak mengalir juga idea yang di hajati. Komputer riba telah lama terpasang, jari-jemari sudah di butang huruf, tetapi masih lagi tandus.

Ada pula hari-harinya, idea datang mencurah-curah. Tetapi kesempatan masa pula yang mengekang. Sibuk dengan program-program kemasyarakatan, tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Mudah-mudahan kesibukan ini ada nilai di sisi Allah SWT.

Demikian buat diri saya, idea dan masa yang sentiasa membantutkan hasrat dan mahu.

Akhirnya saya terjumpa dengan satu hadis.

“Akan ada di akhir zaman, satu kaum, mereka melakukan perbuatan-perbuatan kemaksiatan, kemudian mereka berkata, “Sudah ditaqdirkan Allah kami jadi begini.” Orang yang menentang orang-orang itu di saat begitu, sama pahalanya dengan orang yang menghunus dan mengacungkan pedangnya fisabilillah.” (Riwayat Ibnu Jarir)

Termenung saya seketika.

Membaca hadis di atas amat menginsafkan, kerana pernah berprasangka begitu. Dan saya percaya bukan saya sahaja, mungkin ramai yang pernah berprasangka demikian. Ya, kerana cetek dan dangkalnya ilmu, maka kita berkongsi emosi yang sama.

Pernah saya bertanya kepada seseorang mengapa tidak bersolat, lalu beliau menjawab:
“Allah belum buka pintu hati aku.”

Terpempan dengan jawapannya. Mudah, ringkas dan padat.
Menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Menunggu hidayah dari Allah.

Benar. Saya mengakui dengan yakinnya bahawa Allah SWT yang memberi hidayah ataupun petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki. Kerana yang menguasai hati manusia itu ialah Allah SWT, hatta Rasulullah saw pun tidak mampu memberikan hidayah kepada bapa saudaranya, Abu Thalib. Sebagaimana tersebut di dalam sirah yang amat masyhur di saat Abu Thalib hampir menemui ajalnya.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya kamu tidak dapat memberikan hidayah kepada sesiapa yang kamu cintai, tetapi Allahlah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki. Dan Dia lebih mengetahui siapakah yang dapat diberi petunjuk itu.” (al-Qashah: 56)

Namun, harus diingat bahawa hidayah mesti dicari dan dipinta dari pemiliknya iaitu Allah SWT. Maka, pernahkah kita meminta dari-Nya. Seterusnya kita mesti berusaha setiap masa dan doa itu sendiri adalah satu usaha.

Ingatlah, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka yang berusaha dan mencarinya.

Dari Abu Hurairah ra, katanya: Bersabda Rasulullah saw: “Berfirman Allah SWT: Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersamanya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)

Bersegeralah...

Friday 24 June 2011

Buat kalian, duhai anak-anakku

Pokok nangka di tepi pagar, sebahagian dahannya sudah kering.

Seekor burung murai melompat-lompat dari ranting ke ranting. Mungkin mengintai-ngintai rezeki habuan temboloknya. Rezeki yang telah dijanjikan-Nya.

Benar, rezeki telah pun ditentukan, dan tugas manusia hendaklah berusaha dan menggerakkan kudratnya untuk mendapatkannya. Rezeki tidak akan bergolek sendiri di depan mata, seperti cerita hikayat kayangan.

Teringat kepada firman Allah SWT:

“Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang melata di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Hud: 6)

Manakala Rasulullah saw bersabda:

“Seandainya kamu sekalian benar-benar tawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kalian sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung. Di mana burung itu keluar pada waktu pagi dengan perut kosong (lapar), dan pada waktu petang ia kembali dengan perut kenyang.” [riwayat at-Tirmidzy (4/2344), Ibnu Majah (2/4164), dan al-Hakim dalam Al-Mustadrak (4/318), dan dia berkata: ”Hadis ini hasan sahih.” Dan disepakati oleh Adz-Dzahaby)]

Petang yang damai

Lembutnya hembusan bayu petang mencetuskan damai dalam diri. Saya berdiri di jendela rumah pusaka ayah, melepaskan pandangan yang bercampur-baur seribu rasa. Mata tidak berkedip, hati tidak berdetik. Mengelamun dan berkhayal, memunggah kembali memori masa silam. Lorekan warna-warna pelangi yang tercetak di atas kanvas putih zaman hingusan. Ada manis dan ada indah, ada pahit dan ada derita.

Meniti hari-hari yang berlalu, ada rindu yang masih terlekat, dan basahnya umpama embun yang hadir di setiap pagi. Seringkali ianya bertamu di alam mimpi. Hati dan nurani bagaikan terpahat, tidak mungkin dikikis dan disisih dari ingatan, biarpun begitu lama merentas masa dan ketika.

Hati saya terusik.

Rumah pusaka ayah bagaikan sebuah gedung yang menyimpan segala kenangan perjalanan hidup. Setiap episod yang terakam membangkitkan nostalgia dalam jiwa.

Mentari petang memancarkan cahaya merah yang bening.

Dan rumah pusaka ini masih lagi mendamaikan hati yang resah.

Teringat bicara seorang teman:

“Adakalanya manusia tidak dapat membendung perasaan rindu pada masa silam. Apabila jiwa diruntun kerinduan yang menggigit jiwa dan perasaan, mereka semacam mahu kembali pada saat-saat keindahan yang mencorakkan seribu satu macam kenangan, agar kenangan itu tetap segar dan hijau di ingatan.”

Tidak terkecuali saya.

Ada rindu yang masih berputik.

Ada memori yang sukar dipadam oleh perjalanan masa.

Ada kenangan yang masih berbekas di sudut hati.

Kenapa saya gigih menulis

“Kenapa dalam blog abuikhwan banyak cerita-cerita tentang masa lalu?” Tanya seorang teman pada suatu hari.

“Kenapa tidak suka ke?” Saya pula bertanya.

“Tak adalah, saja bertanya.” Jawabnya sambil tersenyum. “Mungkin ada sesuatu yang istimewa agaknya.” Sambungnya lagi.

Saya menyedut nafas dalam-dalam, melepaskan sebuah pandangan yang jauh.

Kerana rindukan hari-hari itu, saya berusaha menulis apa jua pengalaman dan kenangan lalu, agar ia tidak terluput hilang begitu sahaja di saat berlalunya masa. Di saat pudarnya ingatan kerana bertambahnya usia.

Bukan sekadar itu, saya tidak mahu anak-anak mengalami kesedihan seperti saya.

Kesedihan kerana bayangan ayah semakin kabur dan pudar dari ingatan. Saya tidak pasti, saya mengenang ayah sebagai siapa. Banyak perkara mengenai ayah yang belum saya ketahui, tidak sempat saya tanyakan.

Ayah pergi ketika saya berusia 3 tahun. Usia jagung yang terlalu hijau. Dan tahun ini genap 32 tahun ayah meninggalkan kami semua, keluarga yang dikasihinya.

Oleh kerana itu, Saya akan terus menulis dan menyelitkan setiap pengalaman hidup ini supaya anak-anak saya dapat berkongsi dan merasainya bersama. Agar anak-anak saya dapat mengambil pelajaran dari pengalaman hidup saya ini. Jangan berulang apa yang menimpa saya, masih tercari-cari coretan hidup ayah untuk dijadikan tauladan dan juga sempadan. Sedangkan semuanya semakin hari semakin kabur dan kelam.

Terimalah cetusan rasa dari pengalaman hidup abi buat kalian semua duhai anak-anakku.

Wednesday 22 June 2011

Setiap orang akan senantiasa bersama orang yang dicintainya


“Wahai Rasulullah, sesungguh engkau lebih kucintai daripada diriku dan anakku,” kata seorang sahabat pada suatu hari kepada Rasulullah saw. “Apabila aku berada di rumah, lalu kemudian teringat kepadamu, maka aku tak akan tahan memendam rasa rinduku sampai aku datang dan memandang wajahmu. Tapi apabila aku teringat pada kematian, aku merasa sangat sedih, kerana aku tahu bahwa engkau pasti akan masuk ke dalam syurga dan berkumpul bersama nabi-nabi yang lain. Sementara aku sekiranya ditakdirkan masuk ke dalam syurga, aku khuatir tak akan dapat lagi melihat wajahmu, kerana darjatku jauh lebih rendah dari darjatmu.”

Mendengar kata-kata sahabat yang mengharukan hati itu, Rasulullah saw tidak memberi sebarang jawapan sehinggalah Jibril turun dan membawa firman Allah SWT: “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka mereka itu (akan bersama-sama) dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah; yaitu nabi-nabi, para siddiqin (orang yang benar imannya), syuhada dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (an-Nisa`: 69)

Entah apa pula jawapan untuk diriku.

Kadang-kadang aku tertanya-tanya, ke mana hilangnya rasa cinta di dalam jiwaku?

Seringkali dua ulas bibirku melafazkan kata-kata cinta kepadamu, namun hanyalah sekadar mainan lidah semata-mata. Jauh sekali hendak menembusi lubuk hati ini. Malahan ucapan cinta itu hanya sementara sahaja, mudah pula aku melupakannya.

Kadang-kadang mengalir juga air mata tatkala mengenang cintamu, namun sebentar sahaja basahnya, cepat pula keringnya.

Cintamu.

Kasihmu.

Tidak pernah lenyap baraannya. Sentiasa menyala-nyala terhadap umatmu. Teringat kisah yang amat masyhur ketika denyut dan nafas akhir kehidupanmu, saat ditemani puteri tercinta, lalu tidak lekang di bibirmu, “Ummati...ummati... Sebuah ungkapan kerinduan dan kecintaan yang teramat indah kepada umatnya. Mana mungkin ada cinta lain yang dapat mengatasinya.

Seringkali juga aku melihat cerminan diriku. Berapa kerap aku mengingatimu, berapa kali aku berselawat kepadamu, sedangkan pahit jerihmu demi menyelamatkan umat dari bakaran api neraka tiada bandingannya.

Teringat kepada sabdamu:

“Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Duhai Rasulullah!

Wahai kekasih Allah!

Cinta dan kasih sayang yang kau hulurkan tidak sekali-kali untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Sesungguhnya aku amat mengerti bahawa meneladani cintamu pasti membawa bahagia, pasti membawa ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera, akan menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya, dan terlebih dari itu akan lebih menghargai si pemberi kasih sayang. Seterusnya menterjemahkan pemberian itu dengan menumpahkan ketaatan yang tidak berbelah bagi.

Ahh...sungguh besar jasamu mengiringi cintamu.

Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Aisyah berkata:

Tatkala saya melihat Rasulullah saw berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” Rasulullah saw pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah saw bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu” Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”

Subhanallah!

Tidak mampu lagi kuteruskan coretan rasa hati ini.

Monday 20 June 2011

Apakah ada qada bagi solat sunat?

Soalan:

Masalah solat sunat; kita sering tertinggal melakukan ibadat solat sunat, seperti solat sunat sebelum subuh dan sebagainya. Adakah solat sunat tersebut harus diqada sebab saya rasa pelik apabila mendengar ada orang berkata, solat sunat yang tertinggal pun harus diqada balik. Betulkah begitu?

Jawapan:

SOLAT wajib yang tertinggal, wajib diqadakan semuanya. Adalah menjadi suatu tuntutan syarak yang diketahui secara dharurah.

Ini berdasarkan hadis Sahih Muslim (mafhumnya): "Jika seseorang daripada kamu tertidur sehingga tertinggal solatnya, atau terlalai daripadanya, maka hendaklah dia mendirikannya solat tersebut, apabila dia teringat padanya. Sesungguhnya Allah SWT berfirman: "Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku."

Adapun qada solat sunat, yang anda ajukan persoalan di atas, memang menjadi tanda tanya kepada sebahagian masyarakat Islam.

Solat sunat, khususnya yang rawatib seperti solat sunat sebelum subuh, sunat sebelum zohor dan sebagainya, jika tertinggal dengan apa sebab sekalipun, ia sunat diqadakannya semula.

Hujah ini berdasarkan peristiwa berikut: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw terlihat seorang lelaki menunaikan solat dua rakaat selepas solat subuh. Lalu Rasulullah saw berkata kepada lelaki itu; "Solat subuh hanya dua rakaat sahaja (mengapa kamu menambah lagi dua rakaat)." Jawab sahabat tersebut, "Saya belum menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum subuh." Maka baginda Rasulullah saw apabila mendengar jawapan itu berdiam (tanda setuju)." (Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menunjukkan bahawa lelaki yang menunaikan solat sunat dua rakaat selepas subuh itu, dia mengqadakan solat sunat tersebut.

Nabi saw berdiam diri kerana baginda bersetuju dengan tindakan tersebut.

Lebih jelas daripada itu al-Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis (mafhumnya): "Baginda Rasulullah saw telah mengqadakan solat sunat ba`diyyah (solat sunat sesudah solat wajib) zuhur selepas bersolat asar."

Ertinya Rasulullah saw pernah tertinggal solat sunat rawatib ba`diyyah zohor. Lalu baginda mengqadakan solat sunat tersebut selepas solat asar.

Berdasarkan kepada hadis-hadis tersebut, banyak lagi hadis-hadis lainnya, maka dapat diambil kesimpulan bahawa solat-solat sunat rawatib, harus diqadakan semula, meskipun pada waktu-waktu yang pada dasarnya dilarang seperti larangan solat sunat selepas solat subuh dan asar.

Namun apabila sebab yang nyata untuk mengqadakan solat sunat yang tertinggal, maka rasulullah saw sendiri dan para sahabat melakukannya.

Oleh yang demikian jelaslah bahawa mengqadakan solat sunat yang tertinggal itu, adalah termasuk dalam perkara-perkara harus yang dibolehkan kita melakukannya.

Sebaik-baiknya solat wajib dan solat-solat sunat rawatib seperti ini tidak ditinggalkan dan digalakkan dilakukan secara konsisten. Sekian, wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Entah apa tujuannya



Saya mengambil sedikit tulisan Dr. Asri di dalam laman sesawangnya (Minda Tajdid):

"Saya tidak pasti, apakah kartunis Utusan itu hendak menghina Islam atau hendak menghina pihak tertentu. Jika dia bertujuan menghina Islam, dilakukan pula dalam keadaan yang sedar akal fikirannya, maka dia terkeluar daripada Islam. Namun, jika dia bertujuan mengkritik salah faham sesetengah pihak mengenai perbezaan hukum zina dan rogol, maka itu tidak merosakkan imannya, bahkan satu sumbangan membetulkan fahaman yang salah. Adapun jika dia bertujuan membohongi fakta yang dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbulkan salah sangka, maka dia berdosa besar."

Saya tidak berhasrat membahaskannya dari sudut hukum-hakam, kerana saya bukanlah orang yang layak untuk membicarakannya. Lagipun telah ramai ahli agama yang memberi perhatian mengenainya.

Tetapi setelah membaca dialog si perempuan tersebut, berbintang-bintang kepala saya memikirkannya.

Kata si perempuan tersebut sambil menangis, "Saya hanya sempat rakam dengan handphone saja."

Masih sempat lagi ke nak merakam? Bagaimana ya? Bukan ke sibuk untuk menyelamatkan diri.

Entahlah.

Saya tidak tahu apa moral karikatur ini.

Mungkin anda ada jawapannya.

Fikir-fikirkanlah.

Sunday 19 June 2011

Nikmat yang tak ternilai...


Alhamdulillah, tiada yang mampu diucapkan untuk menzahirkan kesyukuran atas nikmat kehidupan ini, perjalanan yang merentasi masa dan ketika sehinggalah kita dipanggil kembali mengadap-Nya.

Kehidupan ini, tidak memberi apa-apa erti tanpa dibekali dengan nikmat Islam dan Iman. Dua nikmat terbesar yang dihidayahkan kepada mereka yang terpilih. Namun begitu ada jua yang mensia-siakan setelah memilikinya. Tanpa merasa kerugian dengan kehilangannya, tanpa ada kesedihan setelah melihatnya meluncur pergi. Sedangkan generasi terawal berkorban harta dan nyawa untuk mempertahankannya. Teringat kisah Saiyidina Bilal bin Rabah, keluarga Yasir dan ramai lagi.

Kehidupan ini, tidak surut dengan liku-liku kesusahan dan kepayahan, kegembiraan dan kebahagiaan. Warna-warni silih berganti. Tiada jaminan mereka yang bahagia akan bahagia selamanya, begitu juga tiada siapa yang dapat mengagak apakah mereka yang gagal akan selamanya di dalam kegagalan.

Namun demikian, sebagai seorang Islam yang beriman sepenuhnya, kita mempunyai sumber peringatan dan ruang muasabah diri, tatkala dicurahkan nikmat yang mendatang agar tidak hanyut dalam keseronokan dan kealpaan. Akhirnya tanpa sedar tenggelam di celahan kerosakan.

Begitu juga telah tersedia untuk kita panduan dan tempat meletakkan harapan sepenuhnya, andaikata ditimpa musibah yang menerbitkan gundah gulana, agar ianya tidak mencalar perasaan lantas mengganggu proses kehidupan seterusnya.

Benar, tiada yang negatif sekiranya kita beriman dengan qada` dan qadar Allah SWT.

Mungkin tanpa kita sedari, kasih sayang Allah terlalu besar dan luas. Allah menunjukkan tanda-tanda kasih sayang-Nya, sehingga meyakinkan bahawa nikmat Islam dan Iman itu adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Namun, kadang-kadang sukarnya untuk mempertahankan keyakinan ini.

Mengapa?

Mungkin kerana tali penghubung dengan –Nya masih lemah, pandangan masih kabur serta langkah kaki masih belum teratur. Di kiri dan kanan banyak pengait yang mahu menarik kepada kerosakan. Tidak mustahil, tiba-tiba keyakinan itu semakin tipis dan beransur-ansur hilang. Kita memohon perlindungan-Nya.

Di mana-mana kita berada di perjalanan kehidupan ini pasti ada ujian. Oleh itu, berpegang teguhlah dengan tali Allah. Walau setinggi mana gelombang yang melanda, sekuat mana badai yang menghempas, ujian dan dugaan yang ditempuh, ia tetap akan kukuh. Andainya ternampak dunia yang mahu dikejar, janganlah lupa mengendong sama akhirat. Begitu juga jika memburu akhirat, jangan dicicir dunia ini.

Sesungguhnya, hikmah di sebalik kehidupan ini terlalu besar ertinya. Seandainya difikir dengan akal yang sihat, dipandang dengan mata hati yang tulus. Maka pohonlah kembali keyakinan itu, keyakinan kepada nikmat Islam dan Iman. Hanya Dia yang Maha Berkuasa mengurniakannya semula. Katakanlah, moga Allah bersama-samaku di sepanjang perjalanan itu.

Subahanallah...terlalu indah untuk di susuri kembali perjalanan hidup ini. Dengan nikmat Islam dan Iman yang telah dikurniakan tanpa perlu bersusah payah, berbanding mereka yang ditaqdirkan mendapatnya dengan seribu satu macam derita dan kesakitan. Tidak sedikit air mata yang tumpah, tidak sedikit darah yang mengalir, bergalang nyawa untuk mempertahankannya.

Tidak sekali-kali kulepaskanmu, duhai nikmat Islam dan Iman...

Thursday 16 June 2011

Lembutkanlah hati...


Tanah yang subur mudah diteroka untuk bercucuk tanam. Kelembutannya menjadikan ia mudah diusahakan, dan membolehkan tanaman hidup subur. Akar umbi mudah menjalar dan meneroka mencari baja dan air yang sedia ada di dalam tanah.

Manakala hati yang lembut pula adalah tapak yang baik untuk menerima segala pengajaran dari Allah dan Rasul-Nya. Hati yang lembut juga mudah dimasuki iman, bagi menyuburkan sifat-sifat taqwa. Dengan sifat iman dan taqwa akan memberi kebahagiaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Demikianlah hanya perumpamaan.

Mungkin kita merasa hairan, mengapa hati mudah teransang kepada perkara-perkara keduniaan. Mengapa hati tiada perasaan cinta kepada Allah SWT, jika ada pun hanya sekelumit. Kita merasa malas dan letih dalam beramal dan melakukan kebaikan, sedangkan kita tidak merasa penat dalam melakukan perkara yang boleh mengundang dosa.

Pernahkah kita mendengar seseorang berkata:

“Letihnya mengumpat hari ini...”

“Penatnya tinggal sembahyang...”

Tidak pernahkan!

Tetapi bagaimana pula dalam perkara-perkara ibadat dan kebajikan, letih mengerjakannya.

Sembahyang? Letih
Puasa? Letih
Haji? Letih.
Sedekah?
Menahan diri dari mengumpat?
Iktiqaf?

Semuanya meletihkan.

Mengapa terjadi demikian?

Sedikit sebanyak mungkin hati kita telah terhijab, sakit, kotor, keras dan buta, lebih parah lagi jika hati telah mati. Sedar atau tidak dosa yang dilakukan menyebabkan penghalang kita dengan Allah SWT. Dosa-dosa inilah yang mempengaruhi hati sehingga sukar menerima peringatan dan nasihat.

Oleh itu, orang-orang yang beriman hendaklah berusaha melembutkan hati, iaitu sentiasa mencari sesuatu yang dapat melembutkan hati. Sifat hati ini mudah dipengaruhi oleh sesuatu keadaan, ia boleh menjadi lembut selembut tanah yang mudah diairi, ia juga boleh menjadi keras seumpama batu yang pejal.

Kata Imam al-Ghazali di dalam Ihya` Ulumiddin: “Hati manusia adalah sebagai medan perebutan di antara roh suci dan nafsu jahat, atau pun kita gambarkan hati manusia menjadi rebutan di antara malaikat dan syaitan.”

Keduanya sentiasa berebut untuk menguasai hati manusia. Yang mana hati lebih cenderung maka yang itulah akan menang. Selalunya syaitanlah yang akan menang kerana turut dibantu oleh nafsu yang sedia ada dalam tubuh manusia. Syaitan dan nafsu sentiasa bekerjasama untuk menguasai hati manusia, lebih-lebih lagi di akhir zaman ini. Pelbagai unsur luaran dan keadaan sekeliling yang turut membantu mempengaruhi hati manusia.

Lihatlah keadaan kehidupan di dunia zaman ini yang terlalu banyak perkara yang boleh mempengaruhi hati. Sehingga melalaikan dari memperingati Allah SWT. Dunia adalah salah satu anasir yang boleh mempengaruhi hati. Yang dimaksudkan dunia di sini ialah dunia yang tidak membawa kebaikan kepada manusia di akhirat. Dunia yang tidak menjadi tempat bercucuk tanam untuk kehidupan akhirat.

Hati adalah bekas yang kita harapkan dari Tuhan untuk dicampakkan hidayah-Nya. Allah bersifat dengan Pengasih dan Penyayang, hanya memberi cahaya hidayah-Nya ke dalam hati yang bersih dan suci. Oleh sebab itu, kita mesti sentiasa berusaha membersihkan hati agar cahaya hidayah-Nya sentiasa bersama kita.

Tidak ada jalan lain, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat sebagaimana berkaratnya besi, oleh itu untuk mencucinya adalah al-Quran dan banyak mengingati mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasulullah saw.

Teringat pesan Imam al-Ghazali:

"Carilah hatimu di tiga tempat... Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

Carilah...

Mahukah anda bersama saya?

Hati yang tenang dan damai seumpama takungan air tasik

Tuesday 14 June 2011

Layakkah ibu tunggal terima zakat?


Soalan:

Bolehkah bagi zakat fitrah, saya tidak membayarnya melalui amil zakat dilantik, akan tetapi saya adik-beradik mengumpulkannya dan memberikannya kepada saudara-mara yang kesempitan hidup dan ibu-ibu tunggal yang memerlukan?

Jawapan:

ZAKAT harta atau zakat fitrah adalah kewajipan asas umat Islam yang terkandung salah satu daripada rukun-rukun Islam. Kita wajib menunaikannya dengan sempurna, dan penuh yakin ia bertepatan dengan kehendak syarak.

Yang terpenting sekali, anda keluarkan zakat itu menepati syariat, menepati kehendak Allah seperti yang difirmankan-Nya (mafhumnya): "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu adalah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah:60)

Seandainya zakat fitrah atau zakat harta anda keluarkan kepada salah satu atau kepada semua atau sebahagian daripada asnaf-asnaf ini, maka sahlah zakat tersebut menurut hukum syarak.

Sama ada anda keluar sendiri kepada semua mereka atau salah seorang daripada asnaf ia sudah dikira sah zakat. Misalnya anda keluarkan zakat tersebut kepada amil yang sah, maka sahlah zakat anda.

Adapun mengeluarkan sendiri zakat itu, dan anda sendiri menyerahkan kepada mereka yang berhak menerimanya, maka ia sah dari segi hukum syarak, kerana tertunai kewajipan anda.

Timbul persoalan oleh kerana kita ada peraturan yang dibuat oleh kerajaan yang mengkehendaki orang ramai membayar zakat melalui amil rasmi yang dilantik kerajaan, maka apakah mesti zakat tersebut diserahkan kepada amil tersebut, jika tidak, zakat tidak sah?

Sebenarnya dengan tidak berbuat sedemikian, zakat tetap sah dari segi hukum syarak. Cuma ianya berlawanan dengan peratuaran yang dibuat oleh manusia.

Fuqaha telah lama berbincang mengenai perkara ini, yang kesimpulannya sebahagian ulama muktabar menyatakan, jika sekiranya baitulmal yang mengumpulkan zakat itu tidak tersusun kemas dan tidak melaksanakan fungsi mengagihkan zakat menurut yang ditetapkan syarak, jika jelas ada kepincangannya, maka ia tidak diharuskan.

Jelas disebut oleh Nabi Muhammad saw dalam hadis baginda, seperti sabdanya (mafhumnya): "Diambil (zakat) dikalangan kaya dan diberikan kepada golongan miskin."

Jika semuanya ini berjalan dengan baik, tersusun dan kemas, maka lebih baik kita serahkan zakat atau zakat fitrah kepada amil pemerintah, kerana mereka boleh membahagi-bahagikannya kepada asnaf yang memerlukan.

Jika tidak, maka bolehlah pemberi zakat, memberi zakat kepada asnaf yang dipilihnya sendiri.

Anda menyebutkan tentang ibu tunggal. Oleh kerana ibu tunggal tidak semestinya boleh menerima zakat kerana banyak ibu tunggal yang kaya-raya. Disebut sebagai janda kaya, juga adalah ibu tunggal. Insan seperti ini tidak termasuk dalam asnaf zakat.

Jika ibu tunggal termasuk dalam golongan fakir atau miskin, maka bolehlah dia menerima zakat. Wallahua`lam

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Friday 10 June 2011

Kasih yang tercurah tanpa syarat

Saya pernah mendengar kisah ini.

Kisah seorang pemilik dusun yang menembak seekor ibu monyet. Ketika monyet itu meraung kesakitan, darah mencucur laju dari liang tembakan. Kesakitan menyelinap ke segenap saraf dan sendi akibat dari muntahan timah panas mendidih. Darah pekat bercampur buih terus mengalir. Raungan terus bergema tetapi semakin perlahan. Kesakitan yang tidak mampu dibayangkan. Saat itu, ketika anaknya mendakap kemas pada tengkuknya gelisah ketakutan.

Dalam saki-baki nafas yang sukar lalu si ibu memeluk anaknya lalu disuakan ke susunya. Hanyir darah yang mengalir serta kesakitan yang ditanggung tidak dapat memisahkan kasih antara ibu dan anak.

Hela nafasnya makin perlahan. Sesaat kemudian rangkulannya kian lemah, lalu terkulai. Hayatnya berakhir. Meninggalkan anaknya yang masih merah menyusu, yang bukan sahaja dahagakan air susu tetapi dahaga kasih sayang dari ibunya.

Demikianlah contoh kasih ibu.

Sungguh hiba, terasa sebak yang menyucuk-nyucuk rasa. Remuk rendam hati nurani saya ketika mendengar kisah ini. Hampir bertakung kolam air mata saya. (saya mengelaknya agar tidak dilihat oleh sesiapa)

Lantas mengingatkan saya pada satu hadis yang mulia.

Berkata Abu Hurairah ra. saya mendengar Rasulullah saw bersabda: "Allah membahagi kasih sayang menjadi seratus bahagian dan Dia menahan sembilan puluh sembilan bahagian di sisi-Nya dan menurunkan satu bahagian ke bumi, dan disebabkan oleh yang satu bahagian itu, makhluk-Nya saling berkasih sayang antara satu sama lain, sehingga seekor kuda menahan kukunya daripada anaknya yang masih kecil, kerana khuatir akan menginjaknya." (Riwayat Bukhari)

Harga kasih ibu yang tidak mampu dinilai oleh sesiapa pun.

Maafkan diri ini

Kasih yang tercurah tanpa syarat

Hari ini saya sekeluarga berangkat pulang ke kota, setelah menghabis cuti di kampung halaman. Meninggalkan emak keseorangan, masih terasa hangat pelukan sesusuk tubuh yang pernah berkongsi nyawa dengan saya. Kerana saya datang dari DIA melalui dia.

Kasihan emak.

Keseorangan di kampung, melayani hari-hari kosong pada usia senja.

Termenung di malam sepi, sendirian di meja makan yang dulunya riuh rendah dengan suara anak-anak.

Kesunyian di hujung dunia yang terasing, menghitung masa-masa yang telah berlalu. Di saat teman-teman berbualnya sudah ramai yang dijemput Tuhan.

Teringat kata seorang teman: “Derhaka anak-anak pada zaman ini bukan pada melawan kata, bukan pada perangai nista. Tetapi membiarkan bonda kesunyian tanpa teman bicara.”

Saya merintih memohon keampunan-Nya atas dosa membiarkan emak kesunyian.

Masih terngiang di telinga kalimah keramat ungkapan sang murabbi: "Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah selama-lamanya. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan penuh mulia."

Daripada Umar ra. Katanya telah bersabda Rasulullah saw: “Redha Allah ada pada redha kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan Allah ada pada kemarahan kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Bagaimana mungkin redha Ilahi dapat diraih sekiranya syarat mendapat redha-Nya tidak dipenuhi?

Sentiasalah kubasahkan bibir ini dengan doa buatmu duhai ayah dan bonda

Thursday 9 June 2011

Laksana pohon tanpa buah

Saya lontarkan satu analogi:

Bayangkan seorang lelaki yang gagah perkasa masuk ke dalam hutan, membawa bersama-sama berbagai senjata. Ada pedang, lembing, kapak, pistol dan senapang. Sedang ia berjalan, tiba-tiba menghambur seekor singa yang ganas, menyerang dan ingin memakannya. Dapatkah ia mempertahankan dirinya tanpa mengangkat dan menggunakan senjata tersebut? Selamatkah dirinya dari menjadi mangsa singa yang kelaparan itu?

Saya pasti semua akan menjawab, lelaki itu tidak akan selamat dan bakal menjadi habuan perut sang singa. Walaupun di badannya berselirat dengan senjata, tetapi semuanya tidak memberi apa-apa manfaat jika tidak digunakan.

Begitulah perbandingan, jika seseorang yang belajar, banyak membaca dan mengetahui banyak perkara, tetapi tidak langsung menggunakan pengetahuannya yang banyak itu. Ilmunya tidak akan memberi manfaat, tanpa dia beramal dengan ilmu-ilmu tersebut.

Banyak sekali peringatan mengenai kewajipan beramal yang disebutkan di dalam al-Quran serta hadis-hadis Nabi saw. Ini menggambarkan betapa pentingnya beramal dengan imu yang ada.

Walaupun kita mengetahui bahawa seseorang hamba itu dapat masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah serta syafaat Nabi saw, tetapi semua ini hanya akan diperolehi selepas hamba tersebut beramal. Iaitu dengan melakukan ketaatan dan beribadah kepada-Nya. Ketahuilah! Rahmat Allah hanya dikurniakan kepada mereka yang taat melaksanakan perintah-Nya. Jika tidak, jangan dimimpi rahmat yang bersangatan mahal itu.

Benar, selagi hamba itu tidak beramal, selagi itulah ia tidak akan memperolehi pahala.

Tanpa buah

Firman Allah SWT:

"Sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Tuhannya, hendaklah dia beramal dengan amal yang soleh." (al-Kahfi: 110)

Di sini terdapat kalimah 'berharap'. Harapan itulah yang menjadi sebab untuk kita beramal. Kita yakin dan percaya, tegasnya jiwa dan hati kita tidak kosong daripada harapan. Sesungguhnya apa yang kita amalkan tidak akan terbuang sia-sia seumpama air tercurah ke daun keladi. Tidak! Telah tercatat bahawa Allah telah menyediakan ganjaran kepada yang beramal iaitu pertemuan dengan-Nya. Pasti!

Beramallah dengan ilmu yang ada serta beristiqamah dengannya. Yakin dan sedar bahawa ilmu semata-mata tanpa amal tidak akan menyelamatkan seseorang di akhirat. Bahkan lebih berat lagi persoalan yang akan dihadapi berkaitan ilmunya itu.

Rasulullah saw bersabda, seperti yang diceritakan oleh Abi Barzah Nadhlah ‘Ubayd al-Aslamiy, yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang empat perkara:

- Usia, dimana dia perhabiskan?
- Masa muda remaja, dimananakah dia pergunakan?
- Harta, dari sumber manakah dia perolehi dan kemanakah dia belanjakan?
- Pada ilmunya, adakah dia amalkan? (walau sedikit atau banyak, iaitu ajaran-ajaran agama yang ada di dalam pengetahuannya adakah diamalkan atau tidak)
(Riwayat at-Tirmidzi - hadis ini bertaraf Hasan Sahih)

Maka pergunakanlah ilmu untuk mendidik, membimbing, menegur atau menasihati orang lain apabila melihat mereka berbuat kemungkaran? Mengapa kita tidak menyebarkan kepada orang lain sesuatu ilmu yang kita ketahui? Bukankah itu termasuk dalam sifat-sifat para Rasul yang perlu dicontohi iaitu menyampaikan pengajaran dan peringatan.

Sabda Rasulullah saw:

"Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa merendah diri dan beramal sebagai bekalannya selepas mati. Manakala orang yang bodoh pula ialah orang yang mengikut hawa nafsu dan mengharap-harap kebaikan daripada Allah tanpa usaha."

Imam al-Ghazali pula mengatakan:

"Ilmu tanpa amal itu gila, amal tanpa ilmu itu sia-sia. Ketahuilah ilmu tidak akan memudahkan kamu melakukan kebaikan. Ilmu juga tidak akan menjauhkan dirimu dari neraka kelak. Sekiranya kamu tidak beramal hari ini, atau pada masa lampau yang idak akan kembali, maka di hari Kiamat kamu akan berkata, "Kembalikan kami ke dunia, kami ingin beramal soleh!"

Akan dikatakan kepadamu, "Wahai bodoh, sememangnya dari sana engkau kemari!"

Fikir-fikir dalam diri...

Sesungguhnya tiadalah bagi insan kecuali apa yang telah diperbuatnya." (al-Najm:39)

Beramallah ketika usia masih muda, ketika tenaga masih banyak terkumpul

Monday 6 June 2011

Fikir-fikir hidup ini


Masa dan usia amat terbatas bagi makhluk bernama manusia. Tentunya usia bagi umat Muhammad di akhir zaman ini tidak panjang berbanding umat-umat terdahulu.

Manusia diberi peluang hidup selepas melalui proses kejadian yang sungguh unik.

Allah SWT mengurniakan hidup dengan kelahiran manusia dari rahim ibu, setelah mendiami selama sembilan bulan di alam kasih sayang.

Mengisi kehidupan ini mestilah dengan perkara-perkara yang berfaedah dan memberi manfaat. Kerana kehidupan di dunia ini akan dipertanggungjawabkan, ianya akan persoalkan selepas mati dan ianya akan memberi kesan pada kehidupan di akhirat.

Syeikh Said Hawwa rahimahullah di dalam bukunya "al-Mustakhlas fi tazkiyyatin nafs" menyatakan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia dari kotoran mazmumah. Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT.

Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah saw, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik? “Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang yang cerdik.” (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Menurut Imam al-Ghazali rahimahullah, manusia terbahagi kepada dua golongan di dalam berhadapan dengan mati:

Pertama: Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia. Kalau boleh mereka langsung tidak mahu mengingati mati. Jika diberi pilihan mereka mahu hidup selamanya, oleh itu mereka akan berusaha mengeluarkan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan boleh hidup lama.

Atau terlalu bimbang memikirkan bagaimana hartanya akan digunakan oleh anak-anaknya nanti. Golongan ini merasa tidak penting ke masjid kecuali hari Jumaat atau hari raya sahaja. Waktu lain dihabiskan dengan hiburan. Kerja dunia dilaksanakan bersungguh-sungguh dan bermati-matian, tetapi amal ibadah dibuat hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja lagaknya. Soal menutup aurat dianggap terlalu remeh. Golongan ini memang susah untuk dilihat di masjid-masjid dan majlis-majlis ilmu, tetapi begitu senang melihat mereka di pesta-pesta hiburan dan konsert-konsert nyanyian yang melalaikan.

Kedua: Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau tazkirah bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah Taala.

Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat, manakala ingat mati menjadi benteng memelihara kerja keduniaan mereka supaya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Oleh itu, mana satu pilihan anda?

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185).

Bagaimana mahu elak pandang aurat orang?


Soalan:

Assalamualaikum, bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menjalani kehidupan dalam keadaan masyarakat kita sekarang ini berlaku terlalu banyak kemaksiatan, terutamanya pendedahan aurat secara terang-terangan dan melampau. Sedangkan kita tidak lari daripada melihatnya, walau di mana sekalipun. Mohon panduan dan penjelasan, terima kasih.

Jawapan:

WAALAIKUMSALAM. Zaman-zaman yang dilalui oleh umat Nabi Muhammad saw di sepanjang sejarahnya, akan berlaku apa yang disebut dalam istilah sebagai 'fasaaduzzaman' (rosaknya zaman).

Maksud 'fasaaduzzaman' bukan masa yang rosak. Tetapi umat Muhammad pada zaman itu yang rosak.

Kerosakan yang ketara berlaku dirujuk kepada 'fasaadul akhlaq' (rosaknya akhlaq).

Inilah yang Allah SWT sebut dalam firman-Nya (mafhumnya): "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (ar-Rum: 41)

Setiap umat Islam diperintah Allah mematuhi semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya. Akan tetapi manusia tetaplah manusia.

Dunia tidak akan sunyi daripada insan-insan yang derhaka kepada Allah SWT dan melanggari perintah-Nya. Kadang-kadang penderhakaan mereka berada di tahap yang amat melampau.

Mereka yang mematuhi perintah Allah dan tidak mahu melakukan kesalahan seperti yang anda ajukan pada persoalan di atas, namun kejahatan akan berlaku juga angkara orang lain.

Tetapi oleh kerana perbuatan orang lain, (misalnya yang tidak menutup aurat), dan kita terpaksa melihatnya.

Mereka yang mendedahkan aurat adalah berdosa kerana mendedahkannya di hadapan orang ramai.

Jika mereka mendedahkan aurat seorang diri atau di hadapan pasangan yang sah, mereka tidak berdosa.

Masalahnya berlaku apabila mereka mendedahkan aurat mereka di hadapan khalayak ramai, termasuk anda dan saya.

Maka disitu timbullah pendedahan aurat dan salahnya yang melihat. Bagaimana kita hendak mengelakkannya.

Permasalahan yang harus difikirkan ialah, bagaimana kita hendak mengelakkan daripada melihat aurat yang terdedah di hadapan kita?

Jawapannya, cubalah sedaya upaya untuk mengelakkannya. Jika tidak boleh, maka berpeganglah firman Allah SWT (mafhumnya): "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (al-Baqarah: 286)

Firman Allah SWT (mafhumnya): "Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim." (al-An`am: 52)

Firman Allah SWT (mafhumnya): "Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh - (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya." (al-A`raf: 42)

Firman Allah SWT (mafhumnya): "Dan kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya; dan di sisi Kami ada sebuah kitab (suratan amal) yang menyatakan segala-galanya dengan benar, sedang mereka tidak dianiaya." (al-Mukminun: 6)

Semua ayat-ayat ini boleh dikatakan hampir sama maksudnya iaitu, Allah tidak membebani seseorang itu dengan kewajipan, melainkan yang terdaya olehnya, melaksanakannya.

Untuk mengelak perkara tersebut, mestilah dengan berjalan tanpa membuka mata. Jika buka mata ternampak yang dilarang tadi. Persoalannya bolehkah kita berjalan sambil menutup mata?

Contoh lain yang ingin saya sebutkan, umpamanya larangan riba atau terlibat dengan riba, hukumnya riba itu mestilah tidak boleh mendekatinya, tidak boleh mengambilnya walaupun sedikit.

Akan tetapi di zaman kita ini, bagaimana hendak mengelak daripada riba? Ianya ada di mana-mana sahaja.

Kerana itulah Rasulullah saw pernah menyebut dalam hadis (mafhumnya): "Akan datang suatu zaman ke atas umatku, mereka keseluruhannya terlibat dengan riba. Ada yang kalau pun tidak mengambil riba secara terang-terangan, tetapi mereka akan terlibat dengan debu-debu riba."

Maksud debu-debu riba ialah tempias daripada amalan riba itu. Ada yang tidak beramal dengan riba, turut menikmati faedah daripada hasil riba. Misalnya berada atau mengambil faedah daripada bangunan yang dibina dengan wang riba. Atau berada di jalan raya yang dibina dengan wang riba.

Bagaimana kita hendak mengelaknya? Begitu juga kenderaan yang dibeli dengan insurans yang berasaskan riba. Mengambil cahaya daripada elektrik yang dibina dengan wang riba dan lain-lain.

Oleh kerana itu, carilah jalan yang terbaik dengan mengurangkan kemaksiatan itu sekadar yang anda boleh lakukan. Jika tidak boleh juga mengelak daripada terpandang seperti yang anda sebutkan, maka beramallah dengan pesanan Rasulullah saw dalam hadisnya (mafhumnya): "Apabila aku perintahkan kamu melakukan sesuatu perkara atau meninggalkan sesuatu perkara, maka lakukan sekadar mana yang terdaya oleh dirimu sahaja." Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Sunday 5 June 2011

SENYUMLAH


Mengapa harus membenci masalah dan kesusahan, sedangkan ia tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan? Mengapa harus berputus asa mengalami kesusahan hidup, sedangkan kemudahan yang Allah janjikan sebagai jalan keluarnya lebih banyak? Mengapa harus berkeluh-kesah, sedangkan apa pun masalah yang datang, ia akan berlalu jua akhirnya?

Tajuk : Senyumlah
Penulis : Syed Alwi Alatas
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
M/S : 300
Harga : SM 21.00 / SS 23.00

SENYUMLAH ditulis untuk membantu pembaca dalam melihat masalah dengan cara pandang yang baru. Setelah membaca buku ini, mudah-mudahan pembaca akan menjadi lebih bahagia dan tidak mengeluh atau berputus asa saat menghadapi masalah. Bukan hanya tidak mengeluh, boleh jadi saat menghadapi masalah dia justeru akan tersenyum. Kerana dia sudah mengetahui rahsia di sebalik kesusahan hidup dan dia juga mengetahui bagaimana cara menghadapi semua itu.

SENYUMLAH ditulis dengan bahasa yang sederhana dan mudah difahami, buku ini disokong oleh banyak kisah serta rajah yang akan memudahkan pembaca memahami isinya.

Apa pun masalahmu ia pasti akan berlalu. SENYUMLAH. Hidup akan lebih bahagia. Dada akan menjadi lapang, beban terasa ringan dan bibir lebih mudah tersenyum.

Saturday 4 June 2011

Cepatnya masa berlalu


Masa begitu cepat berlalu. Rasanya masih banyak yang belum sempat diselesaikan pada siang hari, tiba-tiba malam sudah menjengah. Kesibukan yang melanda bagaikan tiada masa kosong yang terluang, tetapi entah apa yang disibukkan. Diri sendiri tidak dapat menjawabnya.

Dua puluh empat jam sehari bagaikan tidak mencukupi...

Lalu teringat kepada sepotong hadis Rasulullah saw:

Dari Anas bin Malik ra. Katanya Rasulullah saw telah bersabda: “Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya waktu ialah dicabut keberkatan daripadanya.

Berkata Ibnu Hajar: “Yang benar adalah bahawa keberkatan akan dicabut dari segala sesuatu termasuk dari waktu itu sendiri sedangkan yang demikian itu adalah di antara tanda sudah hampirnya kiamat."

Katanya lagi: "Adapun berkurang amal maka ia mengandungi dua maksud, iaitu: berkurangnya amal itu akan menimpa setiap orang kerana apabila seseorang didatangkan dengan banyak permasalahan (hal), maka hal itu akan melengahkannya dari beribadah dan zikir kepada Allah, dan ia mengandungi maksud tentang munculnya sifat khianat dalam amanat dan pekerjaan."

Manakala Syeikh Ibnu Abi Hamzah berkata: "Berkurangnya amal yang lahir adalah disebabkan oleh kurangnya agama, dan berkurangnya amal batin adalah disebabkan oleh kerosakan-kerosakan yang menimpanya yang bermula dari makanan yang tidak baik dan kurangnya usaha dalam pekerjaan sedangkan diri kita ini selalu cenderung untuk berehat (malas bekerja).

Beratnya cubaan dan dugaan di zaman ini.

Siapakah di antara kita yang mampu mengkhatam al-Quran seminggu sekali?

Siapakah di zaman ini yang dapat berqiamullail setiap malam?

Siapakah di zaman ini mampu berpuasa setiap minggu atau setiap bulan?

Siapakah yang di antara kita mampu berzikir dan ia menjadi amalan hariannya?

Siapakah...

Siapakah...

Pastinya hanya sedikit sahaja dikalangan kita yang mampu melakukannya.

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian..."

Senja, permulaan tirai malam. Siang yang telah berlalu di simpan dalam lipatan memori.

Wednesday 1 June 2011

Sakit itu ruang muhasabah diri



“Saya akan buat surat rujukan hospital, dan encik Wan kena pergi ke hospital pada hari ini juga,” kata doktor wanita yang manis bertudung itu sambil menulis pada sekeping surat.

“Apa sakit sebenarnya doktor?” Saya bertanya meminta penjelasan dengan sedikit debaran yang tiba-tiba menguasai dada.

Penantian satu penyeksaan.

Saya keresahan, menanti jawapan yang akan terbit dari mulut sang doktor. Suhu dari penghawa dingin menyebabkan saya berpeluk tubuh menahan kesejukan.

“Emm.., melihat pada tanda-tandanya saya agak denggi, tak apalah bawa surat ini ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.” Jawabnya lembut, mungkin kerana mahu meredakan resah yang bersarang di hati saya.

Sudah 3 hari saya tidak sedap badan, menggigil kesejukan pada malam hari walaupun badan berpeluh. Sungguh tidak selesa. Selera makan mula berkurang manakala tidur malam pula sering terganggu. Masuk hari ke tiga kelihatan bintik-bintik merah di lengan dan bahu.

Bimbang dengan keadaan yang berlaku, saya membuat pemeriksaan di klinik lalu saya diminta merujuk ke hospital. Saya akur.

Akhirnya saya disahkan menghidap denggi dan ditahan di wad.

Ujian kesakitan

Sesungguhnya sakit adalah di antara ujian Allah SWT kepada hamba-Nya.

Apabila kita berdepan dengan ujian kesakitan ini, kita ada dua keadaan yang perlu dilakukan. Pertamanya, kita mesti berikhtiar mengubatinya. Jangan terbitkan rasa jemu dan berputus asa walaupun kesakitan itu mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Dalam satu peristiwa, orang Arab Badwi telah datang kepada Rasulullah saw dan mereka bertanya: "Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat?" Maka sabda Nabi : "Ya, wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali satu penyakit sahaja." Maka mereka bertanya, "apakah penyakit itu?" Sabda Nabi : "Penyakit itu ialah 'tua'." (Riwayat Ahmad)

Keduanya, disamping kita berikhtiar, kita mesti ada rasa menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT. Kita amat memerlukan kekuatan emosi dan spiritual, semuanya adalah dengan merujuk kepada-Nya.

Ketika seseorang ditimpa sakit, hendaklah dia memperbanyakkan taubat dan istighfar kepada Allah SWT. Hendaklah dia juga sentiasa mengingati Allah SWT dan mengharapkan keampunan-Nya. Sesungguhnya seseorang itu tidak akan mengetahui apakah sakitnya itu akan sembuh ataupun sakit itu akan menyebabkan ajalnya.

Da juga mestilah sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam hadis Qudsi “Aku selalu dekat dengan sangkaan hamba-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku.”

Janganlah sekali-kali menganggap bahawa sakit ini adalah musibah, nasib buruk atau hukuman dari Tuhan. Patrikan di dalam diri bahawa sama ada sakit atau sihat, ianya adalah ujian dari Allah SWT. Kita diuji dengan sihat agar kita sentiasa bersyukur kepada-Nya, manakala kita diuji dengan sakit agar sentiasa bersabar dengannya.

Ujian kesakitan juga adalah supaya kita sentiasa menghargai nikmat sihat yang diberikan. Oleh itu haram melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menghilangkan atau memudaratkan kesihatan seperti minum arak, menagih dadah dan sebagainya.

Jadi, sakit dan sihat adalah ujian. Baik dan buruknya bergantung kepada cara kita melihatnya.

Dalam satu kisah yang diceritakan, pada suatu hari Rasulullah saw menziarahi seorang pemuda yang sedang sakit dan baginda bertanya kepadanya: “Bagaimanakah perasaanmu?”

Lalu pemuda itu menjawab: “Aku meletakkan sepenuh harapanku kepada Tuhanku dan aku selalu cemas tentang dosa-dosaku.”

Maka Rasulullah saw bersabda: “Selama dua sifat ini terkumpul di dalam hati seorang Muslim, sedang ia dalam keadaan meghampiri maut, maka Allah akan mengabulkan semua yang diharapkan dan menyelamatkan dari semua yang ditakutinya.” (Tirmidzi)

Ruang muhasabah diri

Pengalaman tinggal di wad selama 2 minggu memberikan ribuan keinsafan dan pengajaran kepada saya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa memberikan kesakitan secara tiba-tiba, biarpun berbagai usaha pencegahan dilakukan.

Benar, di dalam setiap pemberian Allah SWT yang pada zahir pandangan kita adalah sesuatu yang tidak menyenangkan, tetapi disebaliknya terkandung 1001 hikmah kemanisan yang tidak ternilai. Seandainya kita melihat setiap satunya dengan mata hati yang ikhlas.

Saya tidak nafikan, bukan mudah melihat ujian yang datang terkumpul di depan mata. Walaupun bibir boleh mengucapkan kalimat sabar, namun mempelajari erti kesabaran itu amat mudah berbanding mengalaminya.

Justeru itu dalam kedaifan iman saya ini, saya cuba menghitung setiap detik yang dilalui agar tidak berkurang rasa syukur yang meniti di bibir atas kurniaan yang amat besar ini. Sentiasa sihat menjadikan kita lupa betapa besarnya nikmat tersebut yang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Tetapi bila sakit barulah dapat rasakan kasih sayang Ilahi. Moga keinsafan ini berpanjangan dan menjadikan diri ini lebih hampir kepada-Nya.

“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya beroleh kebaikan, nescaya diujinya dengan kesusahan” (Riwayat al-Bukhari)

Cerita lucu 2

Haram menikahi gadis satu kampung

MUI Jakarta mengeluarkan fatwa baru. Setelah diadakan muzakarah dan diskusi di antara para pemimpin MUI dan dewan pakarnya, fatwa pun diberikan pada tanggal 3 Oktober tahun 2003:

"HARAM HUKUMNYA BAGI SEORANG MUSLIM LAKI-LAKI UNTUK MENIKAH DENGAN GADIS SEKAMPUNG"

Fatwa MUI ini telah menimbulkan perdebatan yang sangat sengit di antara yang pro dan kontra. Bahkan banyak pihak yang menyatakan bahwa MUI telah tersilap dalam mengambil keputusan tersebut. Untuk mengetahui alasan MUI mengeluarkan fatwa tersebut, maka wartawan republika mewawancara sekretari umum MUI Prof. Dr. Din Syamsudin, inilah isi wawancara tersebut:

Wartawan: Pak Syamsudin, bagaimana MUI bisa mengeluarkan fatwa haram untuk menikahi gadis sekampung?

Prof. Dr. Din Syamsudin: Bagaimana enggak haram, menikahi empat orang gadis aja berat, apalagi satu kampung, kan itu banyak jumlahnya.....

Ha..Ha..Ha..