Sahabat Sejati

Sunday 13 November 2011

Celoteh pagi hari...


Saya menjenguk ke luar jendela, hujan renyai-renyai yang turun membasahi jalan tar di hadapan rumah. Belum ada tanda-tanda mahu berhenti.

Hujan dari cucur atap memercik ke wajah. Saya yang sudah lengkap berpakaian sukan begitu juga anak-anak, sabar menanti hujan reda. Cuti hujung minggu begini, hajat di hati mahu berjogging mengeluarkan peluh, bukan berlari jauh pun, sekadar berpusing-pusing di sekitar taman perumahan. Orang tua! Bukan boleh berlari jauh-jauh, nanti sakit urat.

Lagipun jarang saya dapat bersama keluarga di hujung minggu. Biasanya ia terisi dengan program-program kebajikan, kadang-kadang sehingga keluar kawasan. Alhamdulillah, masa yang terluang saya gunakan dengan kualiti yang semaksimum mungkin.

“Abi, bila nak pergi jogging ni?” Acik bertanya, mengejutkan saya yang masih mengelamun di jendela. Hujan tidaklah lebat sekadar renyai-renyai sahaja,tetapi takkan nak berjogging di dalam hujan.

“Tunggulah kejap, kan hujan ni.” Saya memberitahu mereka. Kepala ligat berputar mencari akal fikiran, cuba untuk memujuk anak-anak. Bimbang mereka terkilan tidak dapat keluar berlari, lagipun saya yang berjanji dengan mereka semalam.

Hujan masih lagi membasahi bumi.

“Tahu tak siapa yang menurunkan hujan?” saya bertanya kepada anak-anak, cuba berkongsi sesuatu. Mengetuk minda mereka untuk berfikir.

Sesungguhnya Malaikat Mikail dan pembantunya ditugaskan mengurus hujan, mengatur angin dan awan serta tumbuh-tumbuhan dengan perintah Allah. Dengannya juga diciptakan rezeki untuk semua makhluk di bumi ini. Tidak setitis pun hujan yang turun dari langit melainkan Mikail bersama pembantunya menurunkan di tempat yang diperintahkan.

“Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan ia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.” (al-Mukminun: 18)

“Baiknya Allah kepada kita dengan ditugaskan malaikat-Nya menolong kita. Allah baikkan?” Saya bertanya.

Anak-anak mengangguk sambil tersenyum.

Saya tidak dapat menahan hujan, saya hanya menanti Malaikat Mikail menguruskan hujan dengan izin-Nya.


Hujan yang turun

Dalam Tafsir al-Jalalain menyatakan, maksud rahmat adalah rezeki dan hujan. Ada juga ulama yang menyimpulkan rahmat itu termasuk hujan, rezeki, doa yang dimakbul, taubat yang diterima, taufiq dan hidayah.

Firman Allah SWT:

“Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati, (daerah yang kering-kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan ituberbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” (al-A`raaf: 57)

Pada dasarnya hujan adalah rahmat daripada Allah SWT. Seisi alam mendapat kebaikan dan manfaat daripada hujan yang mencurah dari langit. Bumi yang tandus menjadi hijau tumbuh dengan tanam-tanaman.

Di dalam buku `Pembuktian tanda-tanda kiamat kecil sudah terjadi` dinyatakan kalaulah tidak kerana adanya manusia yang taat beribadah dan anak-anak yang sedang menyusu serta binatang-binatang yang kehausan maka dosa-dosa manusia akan menahan hujan dari langit walaupun setitis.

Sabda Rasulullah saw:

“(Pada suatu saat) Sulaiman as. telah keluar (bersama pengikutnya) untuk melakukan solat istiqa` maka ia melihat seekor semut menelentang di atas punggungnya sambil mengangkat kaki-kakinya ia berdoa ke langit dan berkata: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah makhluk-makhluk-Mu, kami bukanlah tidak memerlukan kepada hujan-Mu.” Maka Sulaiman as. berkata: “Kembalilah kamu kerana kamu akan diberi hujan dengan makhluk selain kamu.” (hadis riwayat Ahmad dan Hakim dari Abu Hurairah)

Hadis akhir zaman

Rintik-rintik hujan masih berkabus.

Saya teringat satu hadis Rasulullah saw yang disebut sebagai hadis akhir zaman:

“Di antara tanda dan syarat kiamat adalah bahawa anak-anak menjadi pemarah, hujan akan menjadi bencana, dan bahawa jumlah orang-orang jahat akan melimpah.” (hadis riwayat Thabrani dari Ibnu Mas`ud)

Jika kita melihat di akhir-akhir ini hujan yang turun bagaikan berbeza dengan dahulu. Banyak bencana seperti banjir besar dan tanah runtuh ekoran hujan, yang membuatkan manusia merasa takut. Hujan tidak lagi menjadi khabar gembira buat mereka. Yang terbaru banjir besar yang berlaku di Negara Thailand yang mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan. Termasuk juga yang berlaku di negara kita. Kita mohon perlindungan-Nya.

“Ya Allah, jadikanlah hujan ini bermanfaat buat kami.” Doa tulus seorang hamba.

Dalam siraman hujan pagi ini, saya imbau kembali keriangan bermain hujan di zaman kanak-kanak dahulu. Keseronokan yang sudah jarang terlihat kini, budak-budak sekarang pun dah tak suka mandi hujan!

Semoga mentari bersinar kembali

2 comments:

Nazihah@Jiha said...

Subhanallah..alhamdulillah..

mmg suka dgn hujan..bau hujan mendamaikan hee~
sejuk memanjang..budak skrg tak suka main hujan sbb org kata hujan skrg bawa penyakit,cuaca dulu n skrg dah len ustaz =='

semoga hujan yg turun membawa manfaat bt makhluk sekitarnya.

abuikhwan said...

Ameen...juga suka hujan

Post a Comment