Sahabat Sejati

Sunday 10 June 2012

Lemahnya kita, bukankah ia juga satu nikmat?

Betapa hina dan kerdil di sisi Allah SWT. Hina dan kerdil kerana merasakan lemahnya diri ini.

Terkena hujan pasti demam begitu juga jika lama berpanas, sekiranya tidak demam, mungkin kepala pula berdenyut-denyut kesakitan. Terhiris luka berdarah. Jatuh terhempas pasti menanggung kesakitan. Hati pula mudah goyah tatkala ditimpa musibah. Resah dan gelisah tidak mampu direda.

Mahu menyuap makanan dengan pertolongan-Nya. Hatta mahu mengerdip mata pun dengan pertolongan-Nya jua.

Dimana kekuatan yang kubanggakan...tiada.

Tanpa pemeliharaan dan pertolongan-Nya, sudah tentu aku tidak dapat bertahan menghadapi gelombang kehidupan ini.

Sedangkan DIA Maha Gagah lagi Maha Perkasa.

Betapa hina dan kerdil di sisi Allah SWT. Hina dan kerdil kerana merasakan faqirnya diri ini.

Apa yang ada disisiku bukanlah milikku. Walaupun seringkali aku melaungkan hartaku, milikku, kepunyaanku, hakikatnya hanyalah pinjaman semata. Hatta apa yang ada pada diriku pendengaran, penglihatan, akal, kesihatan malah nyawa juga bukan milikku? Malahan DIA berkuasa mengambilnya pada bila-bila masa tanpa perlu meminta izin mahupun memberitahu kepadaku.

Sekian lama aku menggunakannya tanpa perlu membayar harganya walau sedikit pun.

Rasa berterima kasih???

Entah berapa pula nilainya jika mahu dihitung-hitung.

Sedangkan DIA Maha Kaya lagi Maha Memiliki.

Betapa hina dan kerdil di sisi Allah SWT. Hina dan kerdil kerana merasa jahilnya diri ini.

Walau setinggi manapun aku menuntut ilmu, walau berapa banyak aku mengunjungi guru, walau segudang penuh aku menghimpun buku, namun semakin banyak pula yang tidak mengerti.

Jahil tentang diri...

Jahil tentang alam...

Jahil tentang kehidupan...

Dan bermacam-macam kejahilan lagi.

Apakah yang mahu dibangga pada segulung ijazah, sedangkan ilmu yang mengisi dada tidak sampai separuh debu berbanding alam yang luas ini. Itupun semata-mata kurniaan-Nya.

Sedangkan DIA Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Lemahnya manusia kerana kasih sayang-Nya

Mengapa kita diselimuti dengan bermacam-macam kelemahan, sedangkan kita diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Mengapa ya?  Pernahkah kita memikirkan sebabnya? Mari kita lihat firman Allah SWT ini:

يُرِيدُ اللّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً 
“Allah (sentiasa) hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia dijadikan bersifat lemah.”(an-Nisa’: 28) 

Benar, Allah mahu memberi keringanan kepada kita, maka diciptakan kita dengan banyak kelemahan.

Hayati satu kisah dari peristiwa Isra` dan Mikraj di bulan rejab ini.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW. Di dalam peristiwa itu Rasulullah saw telah menerima perintah menunaikan solat daripada Allah SWT. Namun, dalam perjalanan turun, telah berlaku satu dialog di antara baginda saw dengan Nabi Musa as.

Berkata Nabi Musa as. kepada Nabi Muhammad saw pada malam Isra’ sekembalinya dari Sidratul Muntaha apabila melaluinya: “Apakah yang diwajibkan oleh Tuhan ke atas kamu.” Nabi Muhammad saw menjawab: “Allah SWT telah mewajibkan ke atas kami melakukan solat lima puluh kali sehari semalam.” Maka Nabi Musa berkata kepada baginda saw: “Kembalilah kepada Tuhanmu memohon keringanan, kerana umatmu tidak akan berdaya melakukan hal yang seumpama itu.”

“Aku telah cuba mengenali orang-orang sebelum engkau memerintahkan sesuatu yang lebih ringan dari itu dan ternyata mereka tidak dapat melakukannya, sedangkan umatmu adalah lebih pendengarannya, lebih lemah penglihatannya dan lebih lemah hatinya. Kemudian kembalilah Nabi Muhammad saw kepada Tuhan memohon keringanan sehingga dikurangkan menjadi lima waktu sehari semalam.”

Sebuah hadis dari Anas ra, beliau mengatakan, "Diwajibkan sembahyang ke atas Rasulullah pada malam Isra' dengan 50 waktu, kemudian ia dikurangkan lagi sehingga menjadi 5 waktu. Setelah itu Rasulullah diseru, "Wahai Muhammad, sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Sesungguhnya bagimu 5 waktu ini sama pahalanya dengan 50 waktu sembahyang". (Riwayat Ahmad dan an-Nasa'ie)

Allah SWT Maha Mengetahui bahawa kita makhluk-Nya yang lemah, jika tidak tentu kita akan diperintahkan bersolat sebanyak 50 waktu sehari semalam. Namun kerana lemahnya kita, Allah SWT memberikan 5 waktu sahaja, tetapi pahalanya menyamai 50 waktu. Bukankah ini tanda kasih sayang-Nya.

Merenung dan berfikir

Bahkan banyak lagi jika kita fikirkan, setiap kelemahan yang ada pada kita kerana Allah SWT mahu memberikan keringanan dan memudahkan kita dalam menjalani kehidupan ini.

Begitu juga seorang hamba yang tahu dirinya serba lemah dan kerdil, maka dia akan sentiasa memohon dan merintih kepada-Nya. Dia akan sentiasa meletakkan setinggi-tinggi harapan kepada Allah SWT. Bukankah ini juga satu nikmat yang terbesar, bersungguh dengan penuh keikhlasan mengharap kepada-Nya. Sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan apabila merasa diri cukup dan sempurna. Maka janganlah kita bersedih dan kecewa dengan kelemahan yang dimiliki. Ingatlah setiap apa yang Allah SWT jadikan atau taqdirkan tidak akan ada yang sia-sia, melainkan ada nilainya yang mungkin tidak kita sedari.. 

Betapa sayangnya Allah SWT kepada kita. Oleh itu marilah kita menghargai dan membalas kebaikan Allah SWT kepada kita dengan mengabdi diri hanya kepada-Nya, iaitu dengan melakukan dengan segala yang diperintah dan meninggalkan segala tegahan-Nya.

يُرِيدُ اللّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً
“Allah (sentiasa) hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia dijadikan bersifat lemah.”(an-Nisa’: 28)

0 comments:

Post a Comment