Sahabat Sejati

Friday 31 August 2012

Ucapan Hari Merdeka 2012 - Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Perutusan Kemerdekaan yang telah disampaikan oleh tuan guruku, al-Fadhil Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hayati kata-katanya. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada sahabat-sahabat sekelian.


Merdekakah aku???

Kita gembira menyambut kemerdekaan negara yang ke 55. Merdeka dengan makna bebas dari cengkaman atau ikatan yang membelenggu.

Merdeka daripada penjajah adalah dengan menghalaunya keluar dari negara kita. Kita memegang sendiri tampuk pemerintahan. Merdeka daripada Allah adalah dengan kita mengesampingkan undang-undang dan peraturan-Nya, sekaligus menolak ketuanan dan kekuasaan-Nya. Yang mana satu kita?

Kita isytiharkan merdeka walaupun kita masih mengekalkan undang-undang penjajah. Jika begitu, ia bererti kita tidak menggunapakai undang-undang dan peraturan-Nya. Merdekakah kita? Lihatlah betapa rapuhnya agama pada jiwa anak muda hari ini. Apa makna jika kita merdeka hanya pada jasad, tetapi akal pemikiran dan roh masih terkongkong.

Fikir-fikir.

Salam kemerdekaan buat jiwa yang merdeka.

Merdekalah sebagai hamba Allah yang mutlaq!

Gambar hiasan: Merdekakah aku???

Thursday 30 August 2012

Tengok kartun la kejap...

Kartun yang diminati ramai, Upin dan Ipin di dalam versi bahasa Arab yang disertakan dengan sarikata berbahasa Inggeris.

Terima kasih dan syabas kepada yang telah mengusahakan video klip ini. Sangat sesuai untuk mereka yang mahu belajar dan memahirkan diri dalam bahasa Arab. Keseluruhan dialog ini menggunakan bahasa Arab Fushah, namun terdapat juga beberapa patah perkataan yang menggunakan lahjah `Amiyyah.

#Jarjit dan Mei Mei pun  berbahasa Arab walaupun bunyinya pelat. Hebat...hebat...!!


Tuesday 28 August 2012

Bukan nak berpolitik, tapi...

 Bukan ahli politik...

Saya bukan ahli politik. Tidak terfikir di minda saya untuk menjadi seorang ahli politik. Blog ini juga bukan blog politik, biarpun ada juga sesetengah artikelnya menyentuh tentang politik. Walaupun begitu ini tidak bermakna saya buta politik, menutup mata dan memekakkan telinga dari berfikir tentang politik, apatah lagi menganggap politik bukan urusan saya dan bukan urusan agama.

Bagi saya politik adalah sebagai disiplin mengatur kehidupan manusia. Tentang peraturan hablun minannaas yang merupakan separuh daripada tuntutan agama kita. Mahu tidak mahu, kita tetap merupakan sebahagian daripada politik. Soal keterlibatan kita dengan parti-parti politik, itu soal kedua. Parti politik hanyalah kenderaan dan wadah untuk memperjuangkan isu-isu serta masalah masyarakat.

Isu tol, kenaikan harga minyak, kepincangan sosial, korupsi serta kronisma dan nepotisma semuanya adalah isu yang merupakan masalah kepada masyarakat. Tetapi tanpa parti politik sekali pun, isu berkenaan tetap wujud di depan mata dan perlu diperjuangkan.

Sebab itulah di dalam Islam ada istilah amar makruf, ada istilah nahi munkar. Bagaimanakah kita melaksanakan dua tanggungjawab ini, semua ini akan dipersoalkan peranan kita terhadapnya.

Saya tegaskan sekali lagi, saya bukan ahli politik, blog ini juga bukan blog politik.

Tetapi apabila saya membaca satu tulisan daripada seorang ahli politik yang telah melepasi tahap veteran, saya merasa sedikit kurang selesa. Tulisnya: "Lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal. Malaikat itu bukanlah golongan yang suci kerana kadang-kadang, malaikat juga boleh buat banyak perkara salah.”

Mungkin beliau mempunyai niat atau maksud yang tersendiri, wallahua`lam. Tetapi kenyataan yang sebegini pasti akan mengundang pelbagai persepsi yang negatif. Mengapa tidak digunakan istilah lain untuk menggambarkan apa yang dimaksudkan? Apakah telah tiada istilah lagi yang boleh dibuat analogi?

Di dalam al-Quran sendiri banyak ayat-ayat yang menegaskan betapa syaitan itu musuh, bahkan disebut dengan musuh yang paling nyata. Maka layanlah dia sebagai musuh, malaikat pula Allah sifatkan tidak pernah bantah apa yang diperintah dan buat apa yang disuruh. Saya bertanya, yang mana hendak dibuat kawan?

Tepuk dada tanya iman. Fikir-fikir dalam diri. Mudah-mudahan kita dilindungkan daripada menjadi golongan Allah SWT sebutkan di dalam firman-Nya:

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ أُوْلَئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ
"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi." (al-Mujadalah: 19)

Marah? Tentu sekali tidak tetapi kerana sayang.

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang Allah dan marah juga kerana Allah.” (Riwayat Imam Ahmad).

Tuesday 21 August 2012

Perutusan Aidilfitri 1433H - Tuan Guru Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man

Perutusan Aidilfitri yang juga amanat daripada guruku:


Monday 20 August 2012

Jernihkanlah dengan memaafkan


Minta maaf tidak semestinya dah buat salah, tapi kalau dah buat salah memang patutlah minta maaf. Bukankah begitu? 

Justeru, dilebaran yang mulia ini bermaaf-maafanlah dengan segenap ketulusan. Mudah-mudahan bertautan kembali dengan penuh kejernihan. Sesungguhnya Islam mengajar umatnya untuk bersikap pemaaf dan suka memaafkan kesalahan orang lain tanpa menunggu permohonan maaf daripada orang yang berbuat salah kepadanya. Demikianlah semurni-murni akhlaq yang diajar di dalam Islam.

Rasulullah saw bersabda: “Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayamu.” (Riwayat Hakim)

Firman Allah SWT:
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik pada waktu lapang mahupun pada waktu sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali-Imran: 133-134)

Maafkan daku!

Saturday 18 August 2012

Salam Aidilfitri 1433H, Maaf Zahir Batin


Assalamualaikum warahmatullah.

Pertama dan selamanya, segala ucapan tahmid dipanjatkan kepada Tuan empunya dunia dan akhirat, Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk menjalani ibadah puasa di bulan barokah Ramadhan sehingga ke penghujungnya. Sesungguhnya ibadah puasa adalah satu perjalanan spiritual, mentarbiah rohani dan menguji fizikal.

Kini Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita dengan seribu satu peluang yang tidak mungkin dapat diulang kembali. Alhamdulillah, kita diberi kesempatan untuk menikmati Ramadhan pada tahun ini, mudah-mudahan kita diberikan lagi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya, Insya Allah.

Tibanya hari raya yang mulia yang disyariatkan untuk kita menyambutnya.

Oleh itu, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H Maaf Zahir Batin kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Semoga anda semua berbahagia menyambutnya bersama keluarga dan mereka yang tersayang. Raikanlah dengan penuh kesempurnaan tanpa bergelumang dengan pembaziran dan kemaksiatan. Marilah kita menghayati erti sebenar Aidilfitri seperti yang dilakukan oleh junjungan besar Rasulullah saw dan para sahabat r.ahum.

Jadikanlah Aidilfitiri ini sebagai satu peluang untuk memperbaiki dan meningkatkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan, bak kata pepatah: “Buang yang keruh, ambil yang jernih.” Begitu juga kekalkanlah hubungan dengan Allah SWT yang telah dibina sepanjang Ramadhan. Tidak lupa juga marilah kita sentiasa memperbanyakkan doa kepada saudara-saudara kita diseluruh pelosok dunia yang tidak bernasib baik seperti kita. Walaupun mereka juga bergembira menyambut ketibaan Aidilfitiri, namun suasananya pasti berbeza dengan kita.

Akhir kalam: “Berhati-hati di jalan raya, pastikan keluarga anda menanti dengan penuh kegembiraan bukan dengan tangisan – nasihat ikhlas daripada abuikhwan.blogspot.com

Selamat Hari Raya Aidil Fitri Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu am wa antum bi Alf al-Khair...

Wednesday 15 August 2012

Sabar...sabar

Gambar hiasan sumber FB

Bukankah Ramadhan adalah bulan kesabaran, maka sentiasalah bersabar. Sesungguhnya Allah menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas kepada orang-orang sabar dalam al-Quran, maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas.” (az-Zumar: 10)

Rukun sabar ada tiga. Ini dijelaskan oleh Ibnu Qayyim al-Jawziyah iaitu menahan diri dari sikap murka terhadap ketentuan ALLAH, menahan lisan dari keluh-kesah, dan menahan anggota badan dari perbuatan yang dilarang oleh ALLAH.

Beliau membawakan contoh di dalam kitabnya al-Wabilis Shayyib seperti menampar wajah (ketika terjadi musibah), merobek pakaian, memotong rambut dan sebagainya.

Seorang sarjana Islam Ibnu Rajab al-Hambali menjelaskan eratnya hubungan puasa dengan sifat sabar dalam ucapan beliau, “Sabar itu ada tiga macam: (1) sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada ALLAH, (2) sabar dalam meninggalkan hal-hal yang diharamkan-Nya, dan (3) sabar dalam menghadapi ketentuan-ketentuan-Nya yang tidak sesuai dengan keinginan. Ketiga bentuk sabar ini terkumpul dalam ibadah puasa, kerana (dengan) berpuasa (kita harus) bersabar dalam (menjalankan) ketaatan kepada ALLAH, dan bersabar dari semua keinginan syahwat yang diharamkan-Nya bagi orang yang berpuasa, serta bersabar dalam (menghadapi) beratnya (rasa) lapar, haus, dan lemahnya badan yang dialami orang yang berpuasa” (Lataif Ma’arif)

Sahabat Nabi bernama Abu Sa’id al-Khudri ra. meriwayatkan dari Nabi Muhammad saw bahawa baginda bersabda ertinya: “Barang siapa sungguh-sungguh berusaha untuk sabar, nescaya ALLAH akan memudahkan kesabaran baginya, dan tidaklah seseorang dianugerahi pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sifat sabar.” (riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Sesungguhnya puasa yang sempurna itu menjana kesabaran!

Tuesday 14 August 2012

Cetusan rasa: Akhir Ramadhan


Pejam dan celik, separuh Ramadhan sudah lama berlalu. Bagaikan tidak tersedar cepatnya masa berjalan. Bukan hanya saya, mungkin orang lain juga turut merasakan demikian sehingga baru tersedar puasa sudah hampir tiba ke penghujungnya.

Cuba kita bayangkan dulu jika kita berpuasa, mahu menunggu waktu berbuka terasa begitu lama. Mahu menangis rasanya. Tetapi sekarang dari pagi membawa ke petang terasa amat singkat sekali. bahkan tidak cukup masa yang ada untuk melunaskan kerja-kerja harian.

Teringat kepada hadis Rasulullah saw:
Dari Anas bin Malik ra. katanya Rasulullah saw telah bersabda: “Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Kenangan bersamanya

Malam-malam yang sepi di bulan barokah Ramadhan ini memberikan ruang waktu untuk bemuhasabah, menginsafi kelalaian dan kelekaan diri dalam melayari kehidupan di bumi Tuhan ini. Dada langit yang cerah dan indah dilatari dengan bintang-bintang berkelipan, bintang kejora yang sentiasa termuat sebagai inspirasi lirik lagu menjadi simbol sang bidadari malam dengan panahan mata yang mengasyikkan. Ada doa yang saya lantunkan di kejauhan malam. Memohon dengan keberkatan bulan yang penuh kemuliaan ini.

Tentunya doa buat bonda yang telah bersemadi di ‘sana’.

Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan pertama tanpa bonda. Benar, disebalik kegembiraan Ramadhan yang penuh keberkatan ini terselit sedikit perasaan sebak dan kesedihan. Masih segar diingatan ketika berpuasa di zaman kanak-kanak dahulu. Lebih-lebih lagi sewaktu mula-mula belajar berpuasa. Ia amat memeritkan dan menyeksakan!

Selalunya saya akan melepek di beranda melayani perut yang berkeroncong, menunggu-nunggu waktu berbuka yang dirasakan berzaman lambatnya. Kadang-kadang jika tidak tertahan sangat lapar dan dahaga saya akan segera mendapatkan emak, memujuk rayu untuk mencairkan hatinya supaya saya dapat berbuka.

Emak dengan naluri kasih sayangnya, memahami dan mengerti, memberikan kata-kata nasihat dan semangat. Emak bercerita tentang keseronokan berbuka puasa dengan hidangan yang berbagai-bagai. Keseronokan yang lebih ketara adalah kerana makan bersama-sama keluarga, serta makan dengan sebenar-benar lapar dan dahaga. Lalu rasa lapar dan dahaga segera terbang bersama kata-kata lembutnya itu.

Kini emak saya telah tiada, pemergiaannya tanpa mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir baginya. Begitu juga dengan diri saya, apakah saya dapat menghabiskan Ramadhan ini hingga ke penghujungnya, saya sendiri tidak pasti apakah jawapannya. Bahkan seminit daripada saat ini pun saya tidak pasti bagaimana, apatah lagi mahu memikirkan masa yang lebih panjang. Ajal maut hanyalah milik mutlaq-Nya!

Semoga Ramadhan ini lebih bermakna daripada yang sebelumnya, kerana ia mungkin yang terakhir untuk kita. Mudah-mudahan demikian.

Saturday 11 August 2012

Tersentuh...

Amat menyentuh perasaan, bagaikan lerai keegoan diri. Disamping itu jutaan kesyukuran dipanjatkan tatkala merenungi diri yang dilimpahi dengan berbagai-bagai nikmat.

Tatkala diri berkata: "kita susah, rupa-rupanya ada lagi yang lebih susah."  Tatkala kita berkata: "kita serba kekurangan, sebenarnya ramai lagi yang kekurangan daripada kita." Maka bersyukurlah dengan nikmat yang tidak terhitung ini.

Tahniah kepada BERNAS kerana telah menghasilkan iklan yang benar-benar memberikan keinsafan ini.

Iklan raya BERNAS 2012

Friday 10 August 2012

Ingatan diri (1)

Motivasi diri untuk kembali kepada fitrah, sesungguhnya setiap insan fitrahnya suka kepada kebaikan. Maka, tutupilah jalan-jalan yang boleh mencemar fitrah yang suci itu. Fikir-fikir dalam diri...

Sumber poster: FB

Thursday 9 August 2012

Tazkirah Ramadhan 1

Tips Transformasi Ramadhan bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Bagaimanakah cara kita mengukur keberkesanan Ramadhan?

Ada 2 checkpoint untuk menilai diri:

1 - Ketika berbuka puasa. Adakah kita berbuka dengan akal yang waras?

2 - Aidilfitri. Bagaimana kita menyambutnya? Adakah amal ibadat yang dilakukan pada bulan Ramadhan berterusan sehingga selepas Ramadhan?


Wednesday 8 August 2012

Hari bahagia...tentunya


Sesiapa pun tidak menafikan bahawa setiap hari di bulan Ramadhan adalah hari yang penuh kebahagiaan dan kegembiraan. Ramadhan menjanjikan keberkatan, kerahmatan dan keampunan.

Lihatlahlah, di bulan Ramadhan kita dan masyarakat lebih mencintai Islam dan amalannya. Kita mudah berbuat kebaikan dan kebajikan. Solat lima waktu lebih terjaga. Solat-solat sunat mudah sahaja disempurnakan. Membaca al-Quran dan mendengar tazkirah menjadi budaya. Masjid dan musolla dipenuhi dan diimarah. Bersedekah dan menderma tanpa berkira-kira. Menepati masa menjadi keutamaan, buang masa dan lepak menjadi kurang. Makan sekeluarga di rumah menjadi amalan. Suasana hidup berjiran diraikan. Umpat-mengumpat, kata-mengata dan cela-mencela ditinggalkan.

Sesungguhnya semua ini sukar dicari rentaknya di luar Ramadhan, tetapi menjadi mudah semasa Ramadhan. Benar-benar bulan Ramadhan ini dipenuhi dengan kelebihan, kebaikan dan kesuburan. Dan semua itu menjadi punca kebahagiaan kepada hati-hati orang yang beriman.

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda: “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.” (Bukhari & Muslim)

Juga hari bahagia


Tanggal 03 Ogos yang lepas adalah hari ulangtahun perkahwinan saya dan isteri. Tentunya ia juga menjadi hari yang amat membahagiakan kepada kami berdua.

Perkahwinan kami tidak susah. Keluarga memainkan peranan yang amat besar dalam menyatukan kami berdua. Tanpa pengetahuan kami, rupa-rupanya kedua keluarga kami telah pun saling mengenali sejak sekian lama. Ini memudahkan banyak perkara kepada kami dalam membina dan melayari kehidupan kurniaan Tuhan yang penuh ujian ini.

Ketika saya mengambil keputusan untuk memperisterikannya, saya hanya berpandukan fatwa hati. Sememangnya hati saya tenang, lalu saya memohon kepada Allah SWT agar memberkati pilihan saya ini. Tidak lupa restu kedua ibu bapa yang setiap masa ditagih dan diraih. Alhamdulillah, kami disatukan setelah bertunang selama 3 bulan. Walaupun dia tidak mempunyai kelulusan yang tinggi, sekadar bekas pelajar pondok, namun saya yakin memilihnya atas dasar agama adalah sesuatu yang tepat.

Rasulullah saw bersabda: "Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu." (Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya hadis di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”. Ini disebabkan wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.

Setiap orang mahukan keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya juga inginkan demikian. Saya mengharapkan isteri saya seorang yang solehah. Tetapi dalam muhasabah penuh keinsafan, berbisik dihati kecil yang menyapa bahawa isteri mengharapkan saya sebagai suami serta ayah yang soleh dan penyayang melebihi pengharapan saya kepadanya.

Dulu saya ada juga marah-marah pada isteri. Lelaki, seringkali dibalut keegoan dan rasa enggan mengalah. Seorang isteri pula, dalam lemah dan tidak berdaya seorang perempuan dia bekerja mengabdikan diri kepada kita. Betapa besar jasa seorang perempuan, walau apa gelarannya, ibu atau isteri.

Kemudian saya belajar erti kehidupan, erti perkongsian hidup, saya belajar erti kesabaran. Dimanakah nilainya? Tentu nilainya terletak pada sebuah pengorbanan. Lantas saya mengerti tiada yang berkorban setulusnya mencurah kasih tanpa syarat selepas ayah dan bonda, selain isteri saya yang sentiasa memaafkan tanpa syarat.

Lalu saya berhenti memarahinya. Setiap kali pulang dari bekerja saya akan berkata: “Terima kasih sayang atas segala pengorbanan, maafkan abang atas setiap kekurangan.”

Apakah mesti saya menutupi muka, apakah saya perlu berasa malu untuk mengkhabarkan dengan sesungguhnya betapa ada ketikanya saya sering menangis kehibaan, tatkala saya menatap wajah isteri, saat memerhatinya tidur melepas lelah berjasa kepada saya, menghela nafas keletihan mengurus kehidupan saya, suami yang sering ketinggalan.

Sungguh Allah SWT menyayangi para wanita. Mereka adalah penghias utama syurga Tuhan di akhirat. Benar-benar mereka penyejuk mata dan pendamai hati.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ”Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Isteri yang solehah sentiasa di tempat pertama!

Doakan kebahagiaan rumahtangga kami...

Tuesday 7 August 2012

Ramadhan dan nuzul al-Quran

17 Ramadhan semalam baru berlalu.

Tentunya ia merupakan suatu tarikh yang amat bermakna kepada orang yang beriman iaitu Nuzul Al-Quran atau penurunan al-Quran, Kalam Allah SWT yang berupa mukjizat, yang diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibrail as. kepada Nabi Muhammad saw yang dikira sebagai ibadat dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah An-Nas.

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ
"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil”  (al Baqarah: 185)

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi saw hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Allah SWT tidak mencipta manusia tanpa garis panduan atau peraturan untuk mereka mengurus hidupnya di dunia ini. Sebagai khalifah di muka bumi ini, mereka bertanggungjawab mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini selaras dengan kehendak dan ketentuan Allah SWT. Maka Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai panduan untuk mengurus kehidupan ini.

Allah memuliakan Ramadhan untuk kita. Al-Quran adalah di antara kemuliaan Ramadhan kerana diturunkan di dalamnya. Tadahlah tangan untuk menyambut al-Quran, syukurilah kedatangannya. Bacalah ia, fahamilah ia dan amalkan dalam kehidupan.

Sesungguhnya bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik bagi kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang meninggalkan Al-Quran. Apa yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan di setiap Ramadhan yang kita lalui dan yang kita tinggalkan.

Malanglah kita jika masih mencari suatu panduan yang lain selain dari al-Quran. Pastinya ia adalah satu tindakan yang meletakkan kita sebagai hamba Allah yang derhaka.

Berelaklah diri dari melupai atau melekakannya.

Salam Ramadhan!

Monday 6 August 2012

Agak-agak la woi!!!

Ketika sedang melayari fb, tiba-tiba tersua dengan cerita ini, terkedu seketika. Bukan nak berpolitik, tetapi saya tidak tahu bagaimana keadaan orang yang membuat cerita ini. Mungkin hatinya sekeras-keras hati sebagaimana kerasnya batu, atau lebih keras lagi.

Semoga penyebar cerita ini beroleh hidayah dan sempat bertaubat kepada Allah SWT, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.


Firman Allah SWT: "Kemudian sesudah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.Sesungguhnya pada sebahagian batu-batu itu,terpancar dan mengalir air sungai daripadanya, dan ada pula di antaranya yang pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah. Sedang Allah sekali-kali tidak lalai daripada apa sahaja yang kamu kerjakan.” (aL-Baqarah: 74)

Thursday 2 August 2012

Memberi kerana masih ada kasih...


Jiwa yang penuh kasih sayang akan melahirkan seorang yang pengasih. Sesiapa yang memiliki lebih kasih sayang maka dia akan banyak memberi. Apabila kurang memberi maka itu petanda kurang rasa kasih. Oleh itu, hidup ini akan damai dan harmoni jika kita saling memberi.

Hari ini kita lihat ramai yang beranggapan mereka akan berjaya dan lebih bahagia dengan menerima. Sebagaimana sepotong kata-kata hikmah yang berbunyi: “Kita membina hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan.”

Kekayaan sebenar bukanlah kerana kita banyak ‘memiliki’, tetapi kerana kita banyak ‘memberi’. Justeru, Allah SWT adalah sebaik-baik Pemberi kerana Dia bersifat dengan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Islam adalah agama yang amat sinonim dengan amalan memberi. Rasulullah saw diutuskan sebagai rahmat kepada sekelian alam. Lihatlah sirah baginda saw tentang kesantunannya memberikan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat yang kesusahan.

Sejarah kehidupan Rasulullah saw merakamkan baginda memberi bukan sahaja dalam keadaan senang, malahan semasa susah. Memberi penuh kesabaran ketika susah, manakala memberi dengan penuh kesyukuran ketika senang. Selayaknya baginda saw digelar tokoh misi bantuan.

Oleh itu, di bulan Ramadhan yang penuh dengan keampunan, keberkatan dan kelebihan ini, marilah kita kikiskan sifat bakhil yang masih tersisa di dalam diri. Memberilah kepada yang memerlukan, sesungguhnya tidak akan berkurang apa yang ada pada kita dengan memberi, malahan akan bertambah dan bertambah. Itulah yang perlu kita yakini dengan sebenarnya.

Mungkin ada yang terfikir bagaimana harta boleh bertambah dengan memberi, sedangkan jika sesuatu yang dikeluarkan maka ia akan berkurang. Contohnya kita ada sepuluh, dikeluarkan dua maka akan tinggallah lapan. Benar! Jika kita berfikir dengan logik akal tanpa melihat dengan hikmah. Tetapi bukan begitu.

Analoginya mudah! Jika anda mahukan pokok tanaman anda subur merimbun, apa yang anda lakukan selain menyiram dan membaja. Anda tentu akan memotong pucuk-pucuk yang ada, maka pokok anda akan bertunas baru dengan lebih banyak lagi. Bukankah pokok anda akan lebih rimbun dan  merendang? Manakala membaja boleh diibaratkan sifat ikhlas dan menyiram adalah sifat istiqamah. Kedua-duanya perlu ada ketika memberi.

Dari Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda: “Tidak berlalu hari-hari yang tatkala manusia memulakan pekerjaan melainkan turun dua malaikat yang satu malaikat berdoa, “Ya Allah berilah ganti kepada orang yang membelanjakan (iaitu menderma atau mensedekahkan) hartanya.” Sedangkan malaikat yang kedua berdoa : “Ya Allah, binasakanlah orang yang bakhil.” (Bukhari no. 2383)

Sahabat sekelian, berikanlah apa yang Allah SWT berikan kepada kita kerana di sana ada hak yang perlu diamanahkan. Begitu juga ini memberi isyarat bahawa kita masih lagi memiliki sifat kasih sayang.

Salam Ramadhan!