Sahabat Sejati

Monday 31 December 2012

Cerita di sebalik banjir (2)


Terlibat dalam misi-misi kebajikan dan kemanusiaan benar-benar memberikan seribu obor keinsafan. Apa yang dilihat dan diperhati tentunya meruntun jiwa dan meninggalkan kesan yang mendalam. Sejujurnya setiap manusia mempunyai rasa cinta dan kasih sesama mereka. Walaupun tidak terzahir namun ia tetap wujud di celahan denyut nadi insan.

Kerana cinta dan kasih itu, kita mudah melahirkan simpati tatkala melihat sebuah penderitaan. Simpati itulah yang akhirnya diterjemahkan dengan empati. Itulah yang menggerakkan kita untuk membantu sesama insan.

Kerana cinta dan kasih itu juga, kita merasa rindu. Merindui suasana kebaikan dan sebuah kegembiraan. Tidakkah kita merasa gembira apabila berjaya memutikkan kegembiraan kepada orang lain? Demikianlah nikmat kepuasan yang tidak mampu diungkapkan dengan coretan maupun bual bicara.

Allah SWT berfirman:
“Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasnya sedikit pun.” (al-Baqarah: 281)

Yang menjentik hati


Dari al-Munzir bin Jarir, dari bapanya ra, katanya: Semasa kami sedang duduk di sisi Rasulullah saw pada waktu tengahari (di Masjid Nabi di Madinah), tiba-tiba datang satu rombongan (dari kaum Arab, suku Mudhar yang sangat-sangat miskin) dengan berkaki ayam dan berpakaian compang-camping, berubahlah air muka Rasulullah saw kerana melihatkan penderitaan mereka. Lalu baginda masuk (ke rumahnya: yang terletak di tepi masjid) kemudian keluar semula, lalu menyuruh Bilal azan. Bilal pun azan dan iqamat, lalu baginda (bersama-sama sidang jemaah) mengerjakan solat (Zohor). Selepas solat, baginda (bangun) berucap (menggalakkan umatnya bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan bantuan). Baginda memulakan ucapannya dengan ayat al-Quran yang bermaksud:

“Wahai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam)...” hingga akhir ayat.

Nabi membacakan lagi sebahagian dari (ayat 18), surah al-Hasyar yang bermaksud: “(Wahai orang-orang yang beriman), bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah dia sediakan dari (amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat)...”

(Rawi hadis ini berkata: Mereka pun bersedekah), ada yang memberi dari wang dinarnya, dari wang dirhamnya, dari pakaiannya, dari segantang gandumnya, dari segantang buah kurmanya, sehingga baginda bersabda: “(Bersedekahlah) walau dengan sebiji buah kurma sekalipun.”

Katanya lagi: Tiba-tiba datang seorang lelaki dari kaum Ansar membawa satu bungkusan besar dan berat, hampir-hampir tapak tangannya lemah menatangnya, bahkan tidak dapat menatangnya.”

Setelah itu, orang ramai pun datang berduyun-duyun, (membawa sedekah, menurut kemampuannya), sehingga aku melihat bertimbun dua longgok dari makanan dan pakaian. Pada saat itu aku melihat wajah Rasulullah saw berseri-seri seperti benda indah yang keemasan (kerana gembira) lalu baginda bersabda:

“Barang siapa membuat satu rancangan yang baik dalam Islam maka ia akan dapat pahala rancangannya itu dan pahala orang-orang yang mengerjakannya sesudah ia memulakannya, dengan tidak mengurangkan pahala orang-orang yang mengerjakannya sedikit pun.” “Dan barang siapa yang membuat satu rancangan yang jahat dalam Islam maka ia akan menanggung dosanya dan dosa orang-orang yang melakukannya sesudah ia melakukannya, dengan tidak mengurangkan dosa orang-orang yang melakukannya sedikitpun.” (Hadis sahih – Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis yang panjang ini, maka dapatlah kita ambil pengajaran iaitu Rasulullah saw adalah seorang yang amat mengambil peduli akan keadaan dan kesusahan orang lain. Lebih dari itu Rasulullah saw turut menggalakkan sahabat-sahabat yang lain untuk membantu meringan beban penderitaan manusia lain.

Niat hati saya


Apakah yang saya mahukan dari coretan ini, Rasa megah dan bangga diri kerana turut sama dalam menabur kebaktian ini? Layakkah saya untuk merasa megah?

Ahh...tidak sekali-kali terniat untuk merasa begitu dengan apa yang dilakukan. Sedaya-upaya saya cuba mengikisnya dari melekat di dinding hati. Apalah yang mahu dibanggakan dengan amal kebaktian yang sedikit ini berbanding mereka yang diberikan keluasan dalam medan amal yang tidak bertepi ini.

Sedar, sebesar zarah rasa riyak sudah cukup untuk melebur hanguskan markah amal yang telah dikutip. Bimbang menjadi manusia yang muflis di akhirat kelak. Bagaimana agaknya jika mengadap Allah SWT dalam keadaan membawa segunung pahala amal kebaktian, tetapi tanpa sedar ianya dimakan sedikit demi sedikit oleh perasaan riak dan bangga diri. Akhirnya habislah amal kebaikan itu, maka tinggallah apa yang akan tertinggal. Ibarat kayu kering yang dimakan api, yang tersisa hanyalah abu yang lenyap begitu sahaja apabila ditiup angin. Ataupun seumpama batang kayu dimakan anai-anai, terlihat cantik dan indah di luar, tetapi lompang di dalam. Hanya menunggu masa untuk menyembah bumi. Sentiasa saya ingati dan jadikan ia bekalan azimat dalam perjalanan hidup ini.

Pastinya tidak saya menyangkal akan perkongsian pengalaman ini semata-mata dengan niat mahu merangsang dan menjentik hati sahabat sekelian untuk sama-sama menyedari bahawa kita hidup bukan untuk kehidupan kita sahaja. Teringat kata guru saya: “ Tidak ramai orang yang menjadikan hidupnya untuk orang lain. Sedangkan Rasulullah saw sentiasa menjadikan seluruh kehidupannya untuk orang lain. Dicerca, dipulau, diusir dan diancam bunuh semata-mata untuk memberikan kegembiraan hidup kepada orang lain.”

Benar, biarlah kegembiraan hidup ini kita kongsi bersama dengan manusia lain. Mudah-mudahan di akhirat nanti ia akan menjadi sumber kegembiraan pula kepada kita. Insya-Allah.

Terkesan dengan pesanan ini. Amat dalam maknanya.

Alhamdulillah, Allah SWT yang saya kasihi sentiasa melimpahkan ruang dan peluang untuk saya berbuat sedikit amal kebaktian. Dengannya juga saya dapat menyelami kesedihan dan kesusahan mereka yang ditimpa musibah. Bahkan lebih besar lagi tersimbah ingatan akan rahmat dan kasih sayang-Nya yang memutikkan rasa keinsafan dan muhasabah diri betapa kita ini hamba yang amat lemah. Tiadalah harapan yang dapat disandarkan melainkan pada-Nya jua.

Takziah buat semua mereka yang ditimpa ujian banjir baru-baru ini. Namun, renungilah dengan mata hati agar tersingkap bicara Allah di sebalik segalanya...

Firman Allah SWT:
"Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf: 87).

Sunday 30 December 2012

Cerita di sebalik banjir (1)


Seawal 8.00 pagi saya dikejutkan dengan deringan telefon bimbit yang terletak di atas rak televisyen. Segera saya menyambutnya, kebiasaan pangilan pada waktu pagi-pagi begini sesuatu yang penting. Saya mengagak berasaskan pengalaman.

Ternyata telahan saya benar, SMS daripada sahabat saya yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Operasi Banjir, Parlimen Indera Mahkota.

 “URGENT CALL!! Mohon hadir ke PUTRA pagi ini untuk operasi bantuan banjir yang akan diketuai oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Beserah.”

Diberitakan beberapa tempat di sekitar daerah Kuantan telah terjejas teruk ekoran hujan lebat yang turun. Sejak dua hari yang lalu hujan turun tidak berhenti, jika berhenti pun sekadar 10 minit atau 20 minit kemudian turun semula.

Tanpa berlengah, saya bersiap-siap dan terus menuju ke bilik operasi yang terletak di Pusat Tarbiah Islamiyyah Indera Mahkota (PUTRA). Tidaklah jauh dari tempat tinggal saya, hanya “sepuntung rokok orang asli” sahaja.. Hujan masih lagi turun tatkala saya menongkatkan motosikal di perkarangan bangunan PUTRA. Telah ramai sahabat yang berkumpul di sana.

Kami dibahagikan kepada dua kumpulan dan diberi taklimat oleh Pengarah J/K Banjir berkaitan operasi bantuan banjir ini. Termasuklah agihan bantuan, aspek-aspek keselamatan dan beberapa perkara yang perlu diambil tindakan.

Tanpa berlengah kami mula bergerak ke kawasan yang telah ditetapkan. Saya bersama anggota yang lain ditugaskan ke zon 1 iaitu dari Gebeng sampai ke Chendor di sempadan Kemaman. Manakala satu kumpulan lagi menuju ke zon 2 iaitu bermula di Beserah sehingga ke Perkampungan Cenderawasih.

Sungai Ular di antara kawasan yang boleh dikatakan terjejas teruk. Keadaan agak kelam-kabut. Sayu rasanya hati melihat keadaan mangsa-mangsa banjir. Kami turut sama membantu mengangkat barangan mangsa ke tempat yang selamat. Saya sempat berbual dengan seorang pakcik yang rumahnya turut dinaiki air. Katanya selama 44 tahun beliau tinggal di situ, inilah kali pertama kawasan itu dilanda bah yang teruk.


Allahu rabbi...

Kampung Sungai Ular kami tinggalkan setelah semua maklumat mangsa banjir kami perolehi serta serba sedikit bantuan yang dapat diberikan. Destinasi seterusnya ialah di Cherating.

Kami mendapat maklumat di hadapan Sekolah Kebangsaan Cherating air telah pun melimpahi jalan dan menyukarkan pergerakan lalu lintas. Perjalanan kami ke sana agak perlahan, kebanyakan kenderaan bergerak mengengsot-engsot dek kerana hujan lebat yang turun.

Di sana kami membantu menolak kenderaan yang tersekat oleh banjir. Termasuklah kereta dan motosikal yang mati di tengah jalan.

Dua watak

Seperti biasa saya suka memerhati. Apabila berada di kawasan yang ditimpa musibah, bermacam-macam gelagat dan sikap yang dapat dilihat. Terserlah watak-watak diri yang sebenarnya. (wallahua`lam). Ada yang positif dan ada yang negatif. Semuanya diciptakan oleh Allah SWT untuk kita memerhati dan berfikir. Bukan setakat itu sahaja, mana yang baik kita ambil pengajaran, manakala mana yang tidak baik sama-sama kita perbaiki.

Seorang mangsa yang kami temui mengadu bermacam-macam hal. Barang-barang, pakaian dan berbagai-bagai lagi yang musnah. Dengan masalah itu, ada masalah ini, tetapi tidaklah sampai menyalahkan Tuhan. Tidak sekali-kali. Kami hanya menadah telinga mendengar pengaduannya, rakan saya mencatat segala maklumat untuk dihantar ke bilik operasi yang akan menguruskan bentuk bantuan yang akan disalurkan nanti.

Saya tidak menyalahkannya, saya faham, perkara biasa tatkala ditimpa musibah. Ramai yang begitu. Entah-entah saya juga akan bersikap sepertinya ataupun lebih teruk lagi. Wal`iyuzubillah.

Kadang-kadang kita boleh berkata, “Aku boleh bersabar”, “aku seorang yang penyabar.” Mungkin itu semasa belum kena ujian. Bila ditimpa musibah atau ujian barulah kita tahu kemampuan dan kekuatan diri serta tahap kesabaran yang ada. Sebab itulah kita diminta untuk sentiasa berdoa agar Allah menguji kita menurut kesanggupan dan kemampuan kita. Iman kita tidak selalu di atas. Ada ketika iman kita kuat ada masa ia terkulai layu.

Bimbang benar jika Allah SWT menguji kita di saat indeks iman jatuh merudum, tanpa sedar terpacul dari bibir kita ungkapan yang tidak sewajarnya, seperti menyalahkan Tuhan atas apa yang berlaku. Atau merasakan tidak patut Tuhan menimpakannya sebegitu.

Ada pula yang saya lihat seperti tidak ada apa-apa. Bagaikan tidak terkesan dengan apa yang terjadi.

Kami menyusuri ke hujung jalan denai, di sana terdapat tiga keluarga yang juga ditimpa banjir. Air telah memasuki rumah mereka sehingga paras pinggang. Tetapi apa yang menakjubkan kami semua, air muka di wajah mereka tenang dan biasa-biasa sahaja. Ceria melayani anak-anak mereka bermain air. Boleh lagi mengambil beberapa keping gambar suasana banjir di sekitar rumah mereka. “Untuk kenang-kenangan,” katanya, selamba dan bersahaja.

Terasa benar mahu memiliki kekuatan dan ketenangan yang ada pada mereka. Atau setidaknya jika dapat saya pinjam sebentar kekuatan dan ketenangan itu di masa-masa saya diterjah musibah. Alangkah bernilainya!

Saya berbisik kepada teman di sebelah: “Tengok tu, biasa je. Tak nampak macam orang yang ditimpa musibah.”

“A`ah, kita yang tengok pula yang jadi pelik.” Balas rakan saya, mengiakan.

Sempat pula kami dijamu dengan ubi kayu rebus. Malah seolah-olah kami diraikan sebagai tetamunya sedangkan kami datang untuk membantu mereka. Maka berjamulah kami di dalam kesejukan berendam di dalam banjir dan hujan yang masih berintik-rintik kasar.

Hebatnya kuasa sabar


Di dalam al-Quran, Allah SWT menyebut lebih dari tujuh puluh tempat berkaitan dengan sifat sabar. Dalam kebanyakan huraian itu, disertakan pula betapa besarnya kebaikan dan darjat yang diperolehi berkat dari kesabaran itu. Allah SWT berfirman:

“Kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” (an-Nahl: 96)

“Sesungguhnya orang-orang yang sabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (az-Zumar: 10)

Sesungguhnya ujian atau musibah adalah sesuatu yang datang di luar jangkaan dan kawalan kita. Di antara musibah yang menimpa ialah kebinasaan harta benda akibat kebakaran, banjir, kecurian dan sebagainya. Boleh jadi juga kehilangan kesihatan kerana sakit, kehilangan anggota badan serta bencana. Sabar dalam keadaan ini adalah setinggi-tinggi tingkat kesabaran.

Bagaimana tingkat kesabaran dapat diperolehi?

Tentunya dengan meninggalkan kesedihan yang melampaui batas seperti merobek-robek baju, memukul-mukul pipi sendiri serta menangis dengan menjerit-jerit. Termasuk juga dalam kesedihan yang melampau ialah dengan mengubah kebiasaan hidup, contohnya tidak mahu bercakap, tidak mahu makan atau tidur sehingga terabai kesihatan diri. Begitu juga banyak menyendiri, menyalahkan diri sendiri sehingga meninggalkan tanggungjawab hidup yang sepatutnya dilaksanakan. Ini semua boleh menggambarkan seperti ketidakrelaan hati atas taqdir Allah SWT. Di waktu beginilah dibimbangi syaitan akan mencucuk-cucuk hatinya supaya melakukan sesuatu di luar batas-batas norma manusia.

Justeru, perlihatkanlah rasa tunduk hati dan kerelaan dengan taqdir-Nya. Tentunya dengan mengingati diri bahawa segala sesuatu yang dikasihi seperti anak-pinak, harta benda, kesihatan, pangkat dan pengaruh adalah titipan Tuhan yang dipinjamkan hanya sementara waktu. Dengan demikian tiada sesalan dan kesedihan apabila pinjaman tadi diambil kembali secara mendadak atau tiba-tiba.

Timbul pula pertanyaan, apakah seseorang yang mendapat musibah, lalu hatinya pedih dan air matanya bercucuran keluar, bolehkah terus dikatakan termasuk mereka yang tidak redha?

Sebenarnya bukan begitu. Kepedihan hati dan cucuran air mata adalah sifat manusia biasa. Sedih, gembira, risau, bimbang, takut, ceria dan sebagainya adalah lumrah kehidupan manusia. Selagi mana ia tidak terkeluar dari batas-batas yang dibenarkan.

Bahkan Rasulullah saw sendiri ketika puteranya yang bernama Ibrahim meninggal dunia, bergenanglah air mata di kedua mata baginda yang mulia. Tatkala para sahabat bertanya sebabnya, lalu baginda bersabda:

“Ini adalah sebagai tanda kasih sayang. Allah hanya memberi kasih sayang-Nya kepada para hamba-Nya yang bersifat kasih sayang.”

 "Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 153)

Bersambung.....

Saturday 29 December 2012

"Berani sangat...?"

Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu berucap di hadapan penyokong dan pengikutnya dikelilingi cermin kalis peluru serta berpuluh pengawal peribadi (sumber foto)

Mereka memiliki kelengkapan perang yang canggih, mereka juga menguasai teknologi moden. Atau lebih tepat lagi memang mereka menguasai dunia ketika ini. Namun ini semua tidak dapat mengubah ketentuan Allah SWT bahawa Yahudi adalah bangsa yang cukup lemah, bacul dan penakut.

Apa buktinya?

Al-Quran secara jelas menerangkannya. Lihat di dalam surah al-Maidah ayat 24, Allah SWT berfirman:

“Mereka berkata: ‘Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasuki nya selama-lamanya, selagi mereka ada didalamnya, Karena itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti disini saja“.

Kisahnya ketika Nabi Musa bersama kaum Yahudinya tiba di pinggir negara Palestin, bangsa Yahudi yang kononnya hebat ini sebenarnya takut untuk masuk ke dalam. Walaupun nabi Musa telah memberi jaminan bahawa mereka akan menang, namun bangsa Yahudi yang penakut tetap tidak mahu masuk. Melainkan masuklah Musa dengan Tuhanmu , kami akan menunggu hasil kemenangan, setelah itu barulah kami masuk.

Lihatlah bangsa Yahudi itu, sungguh-sungguh membayangkan sikap bacul dan pengecut!

Allah SWT berfirman lagi:

“Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israil sesudah nabi Musa, yaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah”. Nabi mereka menjawab: “Apakah tidak akan terjadi kelak, jika kamu nanti diperintahkan berperang, kamu tidak akan berperang”. Mereka menjawab: “Mengapa kami tidak mau berperang dijalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan (dari) anak-anak kami?”. Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, merekapun berpaling, kecuali beberapa saja di antara mereka dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang zalim.” (al-Baqarah: 246)

Lihat! Mereka meminta diangkat untuk mereka seorang pemimpin, dan berjanji untuk sama-sama berperang di jalan Allah. Diriwayatkan nabi yang mereka temui itu ialah Nabi Samuel. Tetapi Kata Nabi Samuel: “Apakah tidak akan terjadi kelak, jika kamu nanti diperintahkan berperang, kamu tidak akan berperang”. Nabi Samuel berkata demikian kerana telah pun mengetahui hal keadaan bangsa yang telah rosak itu. Mereka tidak akan pergi berperang biarpun sebelum itu telah berjanji dengan bersungguh-sungguh.

Kelemahan dan sifat penakut bangsa Yahudi ini begitu ketara sekali. Apabila sudah dilantik pemimpin dan diperintahkan untuk turun berperang, mereka ingkar pula.

Jika kita meneliti di dalam sirah, tidak pernah berlaku peperangan secara terbuka antara Islam dengan Yahudi sejak zaman Rasulullah saw. Semuanya berlangsung secara kepungan ke atas Kota Yahudi, seperti pengepungan Kota Bani Qainuqa', Bani An Nadhir dan Bani Quraizah. Kemuncaknya adalah Ghazwah Khaibar, juga ditawan melalui kepungan. Kerana apa? Kerana bangsa Yahudi cukup pengecut dan penakut untuk berperang secara berhadapan dengan umat Islam.

Lihatlah firman Allah SWT ini:

“(Kerana) sesungguhnya kamu dalam hati mereka sangat ditakuti lebih dari Allah. Yang demikian itu kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti (akan kekuasaan Allah dan kebesaran-Nya). (Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik), dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya) permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras. Engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).” (al-Hasyr: 13 – 14)

Anda bersetuju dengan saya?

Thursday 27 December 2012

23.12.2012, telah tercatat di Lauh Mahfuz


Apa yang mahu dicoretkan pada waktu-waktu begini.

Bagaikan ada sesuatu yang berkocak menyimbah di fikiran.

Buntu...

Keliru...

Sebak...

Semuanya diuli sebati dalam satu perasaan. Bagaimana mahu saya jelaskan perasaan itu, entahlah saya sendiri tidak tahu. Tetapi ianya membuak-buak di dalam seumpama mahu menghambur keluar.

Angin dingin musim tengkujuh bertiup lembut. Pemandangan bulan Disember dengan awan yang sentiasa kelam dan suram.

23.12.2012, 5.00 petang

Hujan masih menyimbah di luar saat saya menikmati minum petang bersama keluarga. Rintik-rintik kasar yang menerjah ke bumi di musim tengkujuh menaikkan selera makan. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, hujan bagaikan satu pesta bagi kami.

Saya suka melihat hujan, nyaman dan mengundang nostalgia.

Tiitt...tiitt...

Tiba-tiba lamunan saya terhenti dikejutkan oleh deringan telefon bimbit. Saya dengan bermalas-malasan menyambut panggilan tersebut. Rupa-rupanya panggilan daripada sahabat saya, Aliff.

“Assalamualaikum, ini saya nak bagitahu harap bersabar.” Suaranya agak serius. Saya tidak sedap hati, menunggu patah-patah bicaranya.

“Sahabat kita Mie kemalangan di Pekan...dia meninggal.” Sambungnya lagi. Ada getar di hujung suara.

“Allah...ye ke?” Saya tersentak, seolah-olah ada sesuatu yang menghempap ke dada. Antara percaya dan tidak, terlalu mengejutkan.

“Innalillah...”

“Macamana kemalangan tu terjadi?” Saya menguatkan diri untuk bertanya.

Suasana senyap seketika.

“Entahlah, saya pun tak pasti, belum dapat apa-apa maklumat. Saya nak ke Hospital Pekan sekejap lagi, nak ikut ke? Kalau nak ikut saya datang ambil.” Tanya Aliff lagi.

“Baiklah, saya tunggu dirumah.” Saya menjawab perlahan.

Setengah jam kemudian Aliff pun sampai, kami berdua bergerak menuju ke rumah seorang lagi rakan yang juga kenalan kepada Allahyarham, Cheong. Rumahnya di bandar Kuantan. Setibanya di sana kami mendapat panggilan dari sahabat yang berada di Pekan memaklumkan jenazah Allahyarham telah pun dibawa pulang ke rumah mertuanya di felda Cerul, Kemaman. Tanpa membuang masa kami berpatah balik untuk ke sana.

Luruh juga air mata

Musafir ke Kuala Lumpur suatu masa dahulu

Jalanraya Jabor - Jerangau sepi, tidak banyak kenderaan malam ini. Di kiri kanan hanya deretan pokok kelapa sawit yang berbalam-balam diserkup kegelapan malam. Hujan masih lagi turun sekejap lebat, kadangkala renyai-renyai.

Sepanjang perjalanan saya terkenang perbualan dengan Allahyarham pada dua hari lepas. Allahyarham menyatakan rasa malas untuk mengikut keluarga mertuanya ke Johor kerana pada hari Ahad beliau ingin pulang ke kampungnya di Kelantan. Allahyarham bertanya pendapat saya, saya tidak memberikan jawapan yang jelas, menyuruh tidak melarang pun tidak, terpulang padanya. Tidak sangka pada hari Ahad itu beliau terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya.

“Kata Muhaizul yang menelefon tadi, anaknya yang kedua masih lagi di ICU.” Aliff memberitahu memecah kesunyian malam.

“Hospital Pekan juga ke?” Cheong bertanya setelah hanya diam dari tadi. Mungkin juga dia seperti saya masih dalam keadaan tidak percaya dengan apa yang berlaku.

“Di hospital Pekan, tapi mungkin dipindahkan ke HTAA, isteri dan anak-anak yang lain tak apa-apa. Mereka naik kereta yang satu lagi.” Aliff tenang bercerita.

Setibanya di sana, segera kami mendapatkan jenazahnya. Tatkala menatap jenazahnya yang terbujur kaku, luruh juga sedikit air mata saya. Saya menarik nafas dalam-dalam untuk menguatkan semangat. Sebelum pulang saya mencium dahinya, ciuman buat kali yang terakhir.

“Sehingga kita bertemu lagi...semoga beroleh rahmat di sisi-Nya. Insya-Allah kami semua akan menyusul juga nanti.” Saya membisikkan doa.

Berehatlah sahabatku

Ramai sahabat-sahabat yang menelefon saya untuk bertanya cerita mengenai kemalangan itu. Mereka sedia maklum akan keakraban saya dengannya, terlalu akrab. Kami selalu keluar bermusafir bersama menghadiri program-program keagamaan yang diadakan di luar daerah Kuantan. Program-program di Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut sehinggalah jauh ke Terengganu dan Kuala Lumpur.

Allahyarham juga mempunyai ramai kawan dek kerana sikapnya yang mudah memutikkan kemesraan. Bahkan sesiapa sahaja yang mula mengenalinya akan merasakan seperti sudah lama bersahabat dengannya, seingat saya demikian.

Permergiannya merupakan satu kehilangan yang amat dirasai oleh ramai orang. Tentu sekali saya juga merasakan demikian, kerana saya di antara teman rapatnya yang sentiasa menadah telinga berkongsi cerita. Apa sahaja cerita, kemanisan dan kesedihan.

Saya redha dengan ketentuan-Nya...

Foto terakhir bersama Allahyarham: 15 Disember 2012, Kuala Dungun

Dalam kedinginan hujan, ingatan saya terbang jauh mengenang kembali hari-hari yang pernah ditempuhi bersamanya. Dengan segala kemanisan, tidak kurang juga kepahitan, saya abadikan segalanya menjadi lipatan sejarah yang akan saya simpan sampai bila-bila.

Allah jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Tidak sekali-kali Allah mahu menzalimi hamba-Nya, kerana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Kita insan yang lemah serta tiada daya dan upaya, tentunya kita tidak dapat meneka apa yang tersirat disebalik kejadian yang tersurat.

“Ya Allah, Engkau telah memberikan kerehatan kepadanya dari kesibukan dan kelelahan dunia, cucurilah rahmat-Mu dan kurniakanlah keampunan-Mu kepadanya...”

Monday 24 December 2012

Kuantan banjir!!!

Selepas hujan tidak henti-henti selama 13 jam, bandar Kuantan kini dilanda banjir yang disifatkan penduduknya paling teruk sejak empat dekad lalu.  Banjir yang bermula kira-kira jam 11 pagi tadi menyebabkan banyak kenderaan terperangkap dan jalan raya sesak teruk.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila hujan masih belum berhenti sehingga jam satu petang tadi. Antara jalan-jalan yang dilaporkan teruk dinaiki air ialah Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Pasar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Mahkota, Jalan Abd Aziz, Jalan Air Putih, Jalan Haji Ahmad, Jalan Beserah Jalan Tun Ismail Satu, Terminal Makmur dan persimpangan lampu isyarat Jabatan Ukur Dan Pemetaan (JUPEM).

Di beberapa kawasan sekitar pusat bandar didapati banyak kenderaan yang terkandas di jalan raya dan beberapa premis serta pusat beli-belah utama terpaksa menutup perniagaan akibat situasi yang tidak terduga itu.

Semoga Allah memberikan kesabaran kepada semua yang ditimpa musibah ini.

Sumber foto: FB











Sunday 23 December 2012

Allahumma yassir wala tu`assir ya Kareem...


Saya tidur lewat malam tadi.

Terlalu banyak yang perlu dibaca untuk exam akhir tahun ini. Entahlah sempat atau tidak saya menghabiskannya.

Di luar hujan musim musim tengkujuh mencurah-curah bersama deru angin malam yang bagaikan mengajak saya melabuhkan kepala.

Beratnya mata tidak tertahan. Antara sedar dan tidak saya terlelap.

Hampir jam dua pagi saya terjaga. Ahh...bagaimana saya boleh terlelap. Lantas saya ke dapur membancuh kopi untuk memujuk mata supaya dapat bertahan.

Allahu rabbi...! Menjelang subuh saya terkejut mendengar alunan ayat suci dari surau berhampiran rumah. Rupa-rupanya saya terlelap lagi. Tidak menjadi rupanya minum kopi untuk menghilangkan rasa mengantuk. Benarlah kata Ustaz Hasrizal, ubat mengantuk adalah tidur!

Selepas subuh saya membaca sedikit mana yang sempat, menambah mana-mana yang kurang.

8.30 pagi dengan lafaz seeru `ala barakatillah, saya membelah kedinginan menuju ke Akademi ar-Rasyidin bersama renyai-renyai hujan. Nyaman dan tenang melihat hujan, rahmat Allah. Mudah-mudahan ketenangan ini masih menemani ketika menjawab soalan-soalan exam nanti, Insya-Allah.

Allahuma yassir wala tu`assir ya Kareem...ameen.

Friday 21 December 2012

Bukan aku yang kata...

Fikir-fikir... 

Sumber fb

Thursday 13 December 2012

Kembara Mencari Hamba, hari ini...


Kebelakangan ini hujung minggu saya sentiasa terisi dengan program masyarakat. Kesibukan yang bagaikan menghambat masa yang terluang. Sibuk tetapi menyeronokkan, melelahkan tetapi menyegarkan. Tiadalah kesibukkan ini menjadi satu bebanan tetapi sentiasa diiringi rasa syukur yang tidak terhingga kerana dapat menginfaqkan sedikit usia sebagai amal jariah. Tiadalah niat menjulang riak jauh sekali membumbung rasa bangga diri melainkan kepada Allah jua di kembali segala urusan.

Saya benar-benar yakin dan percaya kewujudan kita ini adalah untuk memaknai sebuah kehidupan. Kita tidak hidup hanya untuk sebuah kehidupan. Jika sekadar kehidupan, maka samalah seperti kehidupan makhluk yang lain. Hidup, berkembang biak dan mati, lalu kehidupan diteruskan oleh generasi seterusnya sehinggalah masa yang telah ditentukan. Kita tidak begitu, kita ada tujuan dan matlamat yang harus dicapai. Kita nyata berbeza.

Kata guru saya: “Tidak ramai orang yang menjadikan kehidupan mereka untuk orang lain. Mereka hidup untuk kehidupan mereka. Sedangkan Rasulullah saw adalah contoh insan yang menjadikan kehidupannya untuk orang lain.”

Benar. Selaklah lembaran sirah, kita pasti kita akan memahaminya. Tidak sedikit ujian dan cabaran yang dihadapi baginda dalam menyampaikan apa yang telah kita perolehi hari ini.

Kembara mencari hamba, hari ini 

Setiap dari kita mengimpikan kekuatan dalam melayari kehidupan ini. Kita sentiasa mahukan kekuatan untuk menampal kelemahan dan kesilapan yang sering memayuti diri setiap masa. Tanpa pertolongan dan kasih sayang-Nya tidak mungkin kekuatan itu kita miliki. Kita hanyalah hamba-Nya yang amat lemah.

Hari ini Kembara Mencari Hamba telah pun memasuki tahun ketiga. Maknanya sudah tiga tahun saya mencoretkan tinta-tinta di pondok kecil abuikhwan ini. Biarpun masih di usia bertatih namun cabarannya cukup besar. Seringkali kesuntukan masa dan ketandusan idea merencatkan coretan dan nukilan. Tetapi dapat istiqamah dalam meneruskan perjuangan tinta dakwah juga menjadi kejayaan yang besar buat saya.

Saya memasuki diri di dalam dunia blog ini dengan ketakutan gagal untuk sentiasa menghasilkan coretan-coretan yang baru. Sahabat-sahabat akan berkunjung ke sini tetapi akan merasa kecewa apabila saya gagal memberikan yang terbaru. Membina blog semudah menghitung ABC, tetapi untuk terus istiqamah menulis dan menulis adalah menjadi cabarannya. Kita boleh membuat banyak blog, tetapi untuk sentiasa memberikan coretan yang baru amat menyukarkan. Tidak hairan ramai yang kecundang dengan situasi sebegini, sehingga blog mula terbiar bersawang. Ini juga di antara perkara yang amat meresahkan saya.

Saya hanya menulis, segala kebaikan hanyalah milik Allah SWT, sedangkan segala kelemahan dan kesilapan pastilah milik saya.

Segera saya memohon keampunan-Nya. Justeru, doakan agar saya sentiasa diberikan kekuatan dan istiqamah untuk terus menulis dengan niat yang tulus ingin menyampaikan dakwah dan berkongsi segenap kebaikan.

Jika pondok kecil abuikhwan ini dapat menyumbang sedikit peranan untuk dakwah Islam, mengapa perlu berhenti darinya?

Dari Abu Hurairah ra., dari Nabi saw sabdanya: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka." (Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Sekalung Takziah buat keluarga Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah


Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, 80, bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Ia disahkan oleh adik Allahyarham Engku Taib kepada Bernama di sini.

Engku Ibrahim adalah anak kelahiran Besut yang boleh menjadi contoh kepada rakyat negeri itu di perantauan yang berjasa kepada negara dan berjaya menaikkan nama anak Terengganu di perantauan.

Jenazah allahyarham dijangka dikebumikan pada pukul 11.00 pagi di Tanah Perkuburan Bukit Kiara hari ini.

Allahyarham yang dilahirkan pada 15 April 1932 di Besut meninggalkan seorang balu Tengku Zahab dan enam orang anak, empat daripadanya lelaki.

Beliau memegang jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun dari 1989 hingga 2011 dan muncul menerusi RTM untuk mengumumkan tarikh penting kepada umat Islam di negara ini seperti berpuasa Ramadhan, Idul Fitri dan Idul Adha.

 *Klip pengisytiharan Aidifitri 1426H/2005M (Sumber)

 Teringat-ingat...

Wednesday 12 December 2012

Ngomelan 12.12.12

 Ramai yang asyik memperkatakan tarikh hari ini. Tidak kurang dengan bermacam-macam acara yang mahu diraikan kerana mudah mahu mengingatnya. 12.12.12!

Kita telah pun berada di penghujung bulan Muharam, hari ni sudah 28 Muharam. Beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Safar, bulan kedua di dalam pengiraan kalendar Islam. Bulan yang dahulunya menjadi kepercayaan masyarakat melayu dengan bulan sial. Lalu dalam bulan ini masih ada sesetengah individu dalam masyarakat Islam yang melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang nyata bertentangan dengan syariat. Contohnya ialah upacara mandi safar yang pernah popular suatu ketika dahulu.

Apabila tiba bulan Safar, mereka yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dan kepercayaan perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Selain daripada itu kepercayaan orang-orang tua juga tidak menggalakkan majlis perkahwinan diadakan dalam bulan Safar ini kerana mereka percaya bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat.

Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam dan sesiapa yang masih berpegang padanya akan rosak akidahnya.

Daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya : “Tiada jangkitan, tiada sial, tiada jangkitan safar dan tiada jangkitan hammah (binatang berbisa yang membunuh) Seorang Arab Badwi berkata: “Apakah gerangan unta yang berada dalam pasir seakan-akan kijang betina lalu dicampuri oleh unta lain yang berkurap lalu menyebabkan ia berkurap? Rasulullah saw bersabda : “ Siapakah yang menjangkitkan unta yang pertama?” (Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Sebenarnya nahas atau bala bencana tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja, bahkan nahas atau musibah juga berlaku di dalam bulan-bulan yang lain.

Allah SWT berfirman di dalam surah at-Taubah ayat 51 yang maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah kepada kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”

Muhasabah diri 

Beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Safar.

Pejam dan celik, bagaikan tidak terasa hari yang berlalu. Angka usia kita semakin bertambah tetapi baki umur pula semakin berkurang. Semakin lewat hari yang dilalui adalah mendekatkan diri kepada detik kematian. Sedangkan kematian adalah cerita yang pasti. Walaupun kita memilki duit yang berlipat, rumah yang bertingkat, isteri yang memikat, pengaruh yang kuat dan pangkat yang hebat, namun semuanya akan ditinggalkan.

Dunia bagi manusia adalah tempat persinggahan untuk mengumpul bekalan. Dunia bukan tempat istirehat, tetapi tempat beramal ibadat.

Rasulullah saw bersabda: "Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas berehat seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan."

Hadis Nabi saw ini adalah satu peringatan terhadap manusia, bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal buat selama-lamanya. Inilah hakikat yang diajar oleh Rasulullah saw kepada umatnya, kehidupan di dunia umpama persinggahan sebentar berteduh ketika hari panas. Selang beberapa ketika, setelah badan kembali segar, maka perjalanan pun diteruskan semula.

Diriwayatkan orang yang mati itu apabila telah bertemu Allah, semuanya meminta kembali ke dunia. Kenapa? Menyesal kerana semasa di dunia dahulu tidak mahu beribadat. Ditanya kenapa semuanya menyesal? Orang sembahyang pun menyesal, orang masuk syurga pun menyesal.

Mengapa orang yang sembah yang pun menyesal? Dia menyesal kerana di dunia dahulu dia hanya sembahyang fardhu, tidak tambah dengan sembahyang sunat. Maka dia menyesal tatkala melihat banyaknya ganjaran sembahyang sunat. Sudah msuk syurga juga masih menyesal? Syurga itu bukan satu tingkat tetapi bertingkat-tingkat. Dia menyesal kerana tidak dapat masuk syurga paling atas, alangkah baiknya jika dapat masuk syurga Firdaus atau pun syurga Na`im.

Kehidupan di dunia adalah tumpangan sementara waktu sahaja. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Sesungguhnya kesenangan hanyalah sementara dan bersifat palsu. Begitu juga kesusahan di dunia, juga sementara dan bersifat palsu.

Justeru, marilah kita berlumba-lumba mencari bekalan akhirat. Janganlah kita lupa pertemuan yang pasti dengan Allah SWT. Kematian hanyalah hijrah atau perpindahan alam, dari negeri binasa ke negeri kekal abadi. Sedarlah diri kita akan kematian yang pasti akan menemui kita. 

Beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Safar.

Saya mengingati diri...

Tuesday 11 December 2012

KUIZM tawar kursus Asas Pengajian Islam

KUALA LUMPUR: Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) akan membuka kelas khas, Kursus Asas Pengajian Islam bermula tahun hadapan.

Program ini akan berlangsung mulai Januari 2013 sehingga Mei 2013 dengan menghadiri kuliah wajib selama 64 jam iaitu selama 4 bulan.

Program ini juga dijalankan berorientasikan penilaian peperiksaan bertulis (70 %) dan peperiksaan lisan (30 %).

Kursus formal peringkat sijil itu disusun bagi membuka peluang kepada masyarakat untuk mendalami pengajian Al-Quran, Bahasa Arab dan ilmu-ilmu fardhu ain berdasarkan kitab-kitab turath.

Pengajian kursus ini akan berjalan sepanjang hujung minggu setiap hari Sabtu di kampus KUIZM, Taman Melewar.

Lapan silibus akan dibentang selama dua semester iaitu Pengajian Al-Quran & Tafsir, Pengajian Bahasa Arab, Pengajian Hadis, Pengajian Tauhid, Pengajian Feqah, Pengajian Tasawuf, Pengajian Dakwah dan Pengajian Siyasah Islam.

Setiap semester pelajar perlu menamatkan empat silibus yang ditawarkan bagi memperolehi sijil asas tersebut.

Pengajian asas ini akan dibentang sendiri oleh para pensyarah KUIZM sendiri dan ulama’ yang berpengalaman dalam mendidik dan menyampaikan dakwah secara berkesan dan komprehensif.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web KUIZM dan mendaftarkan diri secara online.

Sumber: Harakahdaily

Sunday 9 December 2012

Pikir la sendiri teman-teman

Isu yang agak panas baru-baru ini!

Seorang ahli majlis syura Ulama Muda....menyebut di dalam kuliahnya mengenai tiada jihad di bumi Palestin, rakyat Palestin mestilah keluar dari tanahairnya serta pemboikotan barangan israel adalah sia-sia. Ramai yang terkilan dengan kenyataan itu, tidak kurang yang merasa marah sehingga ke peringkat memaki hamun.

Saya tidak bermaksud untuk mengulas panjang kenyataannya, kerana saya bukanlah seorang yang berilmu. Cuma saya rasakan ia tidak wajar di ketengahkan kepada masyarakat lebih-lebih lagi di saat rakyat Palestin sedang berjuang untuk membebaskan tanahair dan kehidupan mereka.

Saksikan video ini:


Ini pula adalah hujah Dr MAZA menjawab apa yang disebut oleh ustaz berkenaan. Fikirkanlah teman-teman, manakah hujah yang lebih menepati realiti yang berlaku serta pendekatan yang seharusnya diambil.


*Bimbang kita semakin hilang sensitiviti kepada sesama ummah...

Tuesday 4 December 2012

Saat aku merindui hujan

Hujan petang ini berdetak memukul atap anjung rumah saya. Bisingnya membingitkan telinga hingga menenggelamkan suara anak-anak saya yang sedang bermain di situ. Namun saya tidak pula terganggu dengan kebisingannya, malah bagaikan irama yang teralun, sesekali menjadi pengubat rindu pada kenangan lama.

Kebelakangan ini hujan seringkali turun di tempat saya. Jika tidak di sebelah pagi, di waktu petang ataupun malam. Kadang-kadang lebat, adakalanya renyai-renyai sahaja. Mungkin ditempat lain pun begitu juga. Musim tengkujuh!

Hujan dan ribut saling mendahului untuk menimpa bumi. Ada yang mengeluh dan ada juga yang bersyukur. Ada yang ditimpa musibah lalu kampung dan rumahnya ditenggelami air, namun mereka sabar menghadapinya. Ada sebilangan pula yang menyumpah seranah dan memaki hamun lalu menyalahkan pelbagai pihak kerana banyak tugas harian tergendala Jemuran tidak sempat kering, hendak keluar bersiar-siar bersama keluarga juga terencat. Titisan hujan yang luruh umpama tetamu yang tidak dialukan.

Pekebun getah juga pastinya bercuti panjang, demikian sang nelayan yang rezekinya di laut, pastinya mereka jua terpaksa menggantung pukat serta melabuhkan bot buat tempoh yang agak panjang. Pendek kata, banyak urusan terpaksa ditunda kerananya.

Titisan hujan yang luruh

“Hujan itu rahmat.” Ungkapan yang seringkali kita dengar, kita tidak mungkin dapat menyangkal akan kebenarannya. Ungkapan hujan itu rahmat adalah bertepatan dengan konsep penurunan rezeki. Dalam tafsir al-Jalalain menyatakan, maksud rahmat adalah rezeki dan hujan. Sebahagian ulama juga menyimpulkan bahawa rahmat termasuk hujan, rezeki, doa yang dimakbulkan, taubat diterima, hidayah dan taufiq.

Firman Allah SWT: “Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” (al-A`raf: 57) 

Hujan yang turun menghidupkan tanah yang kering-kontang, menyuburkan bumi ini. Lalu menumbuhkan biji-bijian yang menghasilkan buah-buahan. Kesemuanya memberi manfaat dan kegunaan buat seisi alam. Lihatlah dan renungkankanlah kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya. Mudah-mudahan terpercik sedikit keinsafan yang memancarkan rasa syukur dan terhutang budi, hanya kepada-Nya.

Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman: “Dialah yang telah menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit sebagai atap. Dan Dia yang menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan hujan itu tumbuhlah buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu. Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah SWT sedangkan kamu mengetahui.” (al-Baqarah: 22) 

Prof Hamka di dalam Tafsir al-Azharnya menyatakan: “Ayat ini menyuruh kita berfikir dan merenung, diikuti dengan merasainya. Bahkan ayat ini mengandungi pengertian tauhid yang dapat dilihat langsung daripada alam.”

Bukankah kemakmuran hidup kita sangat bergantung kepada pertalian langit dan bumi lantaran hujan? Adanya gunung-ganang dan pokok-pokok, menghambat air hujan itu jangan tertumpah percuma sahaja ke laut, tetapi ianya tertahan-tahan lalu menimbulkan sungai-sungai, manakala sebahagiannya lagi terpendam ke dasar bumi menjadi persediaan air.

Pertalian langit dengan bumi, dengan adanya air hujan ia melengkapi proses kehidupan kita. Ayat ini juga menyuruh kita merenung dan berfikir, bahawa semua itu ada yang menciptanya iaitu Allah SWT. Bumi yang terhampar, langit yang menjadi binaan, air hujan yang mencurah sehingga tumbuh bermacam-macam tanaman sebagai rezeki untuk manusia. Tidak mungkin ada kekuasaan lain yang dapat membuat aturan setertib dan sebaik ini. Inilah yang dinamakan Tauhid Rububiyyah.

Di penghujung ayat ini Allah SWT menegaskan pula: “Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah SWT sedangkan kamu mengetahui.”

Benar! Selepas kita menikmati bermacam-macam rezeki kurniaan Allah, maka Allah menyuruh agar tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Sembahlah Dia dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Inilah Tauhid Uluhiyyah! Demikianlah itu sebagai tanda patuh dan taat serta menunjukkan sifat hamba yang bersyukur.

Hujan masih turun 

Hujan masih berdetak, tetapi tidak selebat tadi dan bingitnya sudah semakin perlahan memukul gegendang telinga. Saya mendongak ke langit, sepasang anak mata saya mencakup awan yang masih hitam mengandung hujan, saya renung ke bawah, hanya lopak-lopak air yang beriak diterjah rintik hujan. Angin sejuk terasa lembut menyentuh kulit pipi, saya mengesat kelopak mata menjelaskan pandangan yang tidak semena-mena kabur. Entah mengapa, tiba-tiba hati saya diserkup kerinduan yang amat mendalam. Ada nostalgia yang terbungkus rapi bersama rintik-rintik hujan. Saya cuba memunggah kembali gudang-gudang kenangan.

Sekumpulan budak melintasi hadapan rumah saya membelah hujan sambil mengelek sebiji bola. Saya tersenyum, ada sesuatu yang mencungkil di benak. Lantas terimbau ingatan lebih 2 dekad yang lalu. Saya juga seperti mereka, merayakan musim hujan dengan semahunya dan emak seperti faham, jarang-jarang melarang.

Jika kelaparan selepas berkubang di dalam hujan, balik sahaja ke rumah, mengeringkan badan dan menyelongkar periuk apa rezeki yang ada. Hujan yang mengganas di luar, menaikkan selera makan. Biarpun sekadar nasi putih bersama kuah kicap atau hanya sambal ikan bilis, tetapi itulah nikmat rezeki yang dicicip tanpa bersungut.

Rintik hujan yang menimpa atap juga menjadi irama yang mengasyikkan. Tidak sedar bila mata terlelap tatkala melabuhkan kepala. Selepas hujan ada pula sahutan katak di belakang rumah. Mendamaikan, sentiasa mengundang bahagia.

“Abi nak mandi hujan,” tiba-tiba anak saya bersuara di belakang. Tidak sedar bila mereka menghampiri saya. “Dekat bawah atap tu je,” tukasnya lagi.

“Pergilah, jaga adik tu baik-baik,” jawab saya sambil menghela satu senyuman.

Hujan itu rahmat. Mudah-mudahan rahmat Ilahi membasahi dirimu duhai anak-anakku, sebagaimana hujan yang turun membasahi bumi petang ini.

Kami dambakan ya Allah...

Monday 3 December 2012

MONEY DROP & WHO WANTS TO BE MILLIONAIRE

Soalan:

Assalammuailakum Ustaz, saya ingin membuat pertanyaan, apakah hukum seseorang muslim itu jika dia menyertai gameshow di TV seperti ¨money drop" dan "who wants to be a millionaire"?

Jawapan:

1. Kuiz ilmiah yang menjanjikan hadiah perlu dilihat pada beberapa segi:

a) Dari mana sumber hadiah? Jika diambil dari para peserta yang memohon masuk - walau sebahagian dari hadiah yang ditawarkan- (seperti dikenakan ke atas permohonan masuk suatu bayaran tertentu dan bayaran itu dikumpulkan menjadi hadiah untuk peserta yang berjaya masuk dan berjaya menjawab soalan yang dikemukakan), maka itu tergolong dalam perjudian yang diharamkan Syariat. Jika hadiah datang dari pihak lain yang tiada kaitan dengan peserta (seperti dari penaja atau sebagainya), ia tidak menjadi perjudian dan halal bagi peserta yang berjaya dengan syarat syarikat penaja itu menjalankan aktiviti perniagaan yang halal. Jika hadiah ditawarkan oleh syarikat arak, perjudian atau seumpamanya, haram seorang muslim menyertainya kerana akan membawanya menerima wang dari sumber yang haram secara nyata di samping terlibat mempromosi perkara haram di sisi Syariat.

b) Soalan-soalan yang ditanya? Hendaklah soalan-soalan yang ditanya adalah soalan-soalan yang bermanfaat dan tidak mempromosi dosa/maksiat/munkar. Dalam akad Ju'alah (iaitu tawaran hadiah/saguhati yang diikat dengan suatu kerja/peranan) disyaratkan kerja/peranan yang menjadi tukaran kepada hadiah itu hendaklah halal mengikut pandangan Syariat. Oleh kerana hadiah yang ditawarkan merupakan imbalan kepada jawapan bagi soalan yang ditanya, jika jawapan adalah berupa dosa/maksiat, hadiah itu akan menjadi imbalan kepada perkara maksiat, maka tidak harus hadiah tersebut kerana ia menjadi imbalan kepada perkara haram di sisi Syariat.

c) Suasana program itu sendiri hendaklah menepati Syariat Islam; tiada percampuran lelaki dan wanita, tidak bercampur perkara masksiat dan munkar dan tidak bertujuan mempromosi perkara yang haram di sisi Syariat, kerana seorang muslim tidak harus berada dalam majlis yang dimurkai Allah.

2. Khusus bagi program "Who wants to be a milionaire" telah terbit fatwa dan pandangan dari beberapa ulamak mengharamkannya, antaranya:

a) Syeikh Dr. Nasr Farid Wasil (Mufti Mesir)
b) Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
c) Syeikh Abdul Aziz bin Baz (Mufti Arab Saudi) (Lihat; www.islamqa.com, fatwa no. 21078).
d) Syeikh Dr. 'Alauddin Za'tari (dalam bukunya Fiqh al-Muamalat al-Maliyah al-Muqaran, hlm. 345).
e) Syeikh Abdus-Somad Balhaji (dalam bukunya Ahkam al-Musabaqaat, hlm. 225; tesis MA bawah seliaan Syeikh Dr. Muhammad Khair Haikal)
f) Majlis Fatwa Ulamak-Ulamak Halab, Syria (lihat laman resminya; http://www.eftaa-aleppo.com/, fatwa no. 495).

Sebab pengharaman secara amnya adalah kerana terdapat unsur perjudian di dalamnya.

Walallahu a'lam.

Sumber: Ilmu dan Ulamak

Saturday 1 December 2012

Tauhid dan keimanan

Sebelum Allah mengutuskan Nabi Muhammad saw, manusia seluruhnya tenggelam dalam kegelapan jahiliyyah, kezaliman menjadi satu perkara biasa, kehidupan tidak tenteram manakala hawa nafsu dijadikan panduan. Mereka benar-benar berada di dalam kesesatan.

Setelah Rasulullah saw diutuskan dengan membawa risalah tauhid dan cahaya iman, sebahagian mereka menerima dan sebahagian lagi menolak dan menentang. Mereka yang menerima cahaya iman itu sedikit demi sedikit berubah perangainya ke arah yang lebih baik. Kehidupan mereka mula bertukar. Ini semua berlaku kesan dari iman yang tumbuh di dalam hatinya. Iman yang bertunjangkan ke kalimah tauhid mula menjalar ke seluruh tubuhnya sekaligus membunuh kuman-kuman jahiliyyah yang telah lama bersarang, membunuh sifat-sifat keji dan digantikan dengan sifat-sifat mulia.

Jaga iman 

Tauhid dan iman yang tersemat di hati seseorang mukmin hendaklah dijaga sebaik mungkin. Apabila ia dipupuk dan dibaja, pasti akan menggerakkan pemiliknya supaya melakukan segala tuntutan syahadah yang telah dilafaznya. Sekaligus ia merubah seseorang itu daripada perhambaan kepada sesama manusia kepada hanya menyembah Allah Yang Maha Esa. Ia berubah daripada menghayati dan mengagungkan ajaran-ajaran jahiliyyah dan taghut kepada menghayati ajaran-ajaran Islam. Bahkan menjadikan seseorang itu melihat Islam sebagai sesuatu yang amat bernilai dan berharga.

Sejarah menukilkan bagaimana jawapan Rabi`e bin Amir kepada Rustam, ketua angkatan perang kerajaan Parsi semasa disoal jawab sebelum berlaku peperangan Qadisiyah. Dalam peperangan itu beliau menjawab: “Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendaki daripada menyembah manusia kepada menyembah Allah Yang Esa, dan untuk mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia kepada kelapangan dan keluasan akhirat dan dari kezaliman agama-agama (selain agama Islam)kepada keadilan Islam.”

Mari kita lihat realiti masyarakat Islam hari ini. Boleh dikatakan ramai yang masih kabur dan tidak memahami tentang tuntutan tauhid yang sebenar. Memang, tidak dinafikan ramai umat Islam tidak mengingkari tentang adanya Allah dan tentang Tauhid Rububiyyah. Mereka juga tidak menolak segala sifat-sifat Allah yang sempurna, malah mereka terkehadapan dalam membelanya. Tetapi dari sudut yang lain, kadang-kadang mereka mengingkari tentang kehakiman Allah SWT dan hak kuasa perundangan-Nya, sehingga menolak ke tepi undang-undang dan peraturan Allah. Kemudian mereka gantikan dengan peraturan dan undang-undang ciptaan mereka sendiri. Inilah yang berlaku hari ini.

Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi berkata: “Sesiapa yang melakukan syiar Islam dengan bersembahyang, berpuasa serta menunaikan ibadat haji dan umrah, tetapi masih menerima dan mencari hukum selain daripada hukum Islam dalam urusan masyarakat dan negara, sesungguhnya ia telah menyembah tuhan selain Allah, dan ia telah memberi kepada yang selain daripada Allah hak yang khusus bagi Allah sahaja.”

Oleh itu, jagalah iman dan tauhid kepada Allah, sesungguhnya ia adalah satu perkara yang amat penting dalam agama kita.