Sahabat Sejati

Sunday 30 December 2012

Cerita di sebalik banjir (1)


Seawal 8.00 pagi saya dikejutkan dengan deringan telefon bimbit yang terletak di atas rak televisyen. Segera saya menyambutnya, kebiasaan pangilan pada waktu pagi-pagi begini sesuatu yang penting. Saya mengagak berasaskan pengalaman.

Ternyata telahan saya benar, SMS daripada sahabat saya yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Operasi Banjir, Parlimen Indera Mahkota.

 “URGENT CALL!! Mohon hadir ke PUTRA pagi ini untuk operasi bantuan banjir yang akan diketuai oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Beserah.”

Diberitakan beberapa tempat di sekitar daerah Kuantan telah terjejas teruk ekoran hujan lebat yang turun. Sejak dua hari yang lalu hujan turun tidak berhenti, jika berhenti pun sekadar 10 minit atau 20 minit kemudian turun semula.

Tanpa berlengah, saya bersiap-siap dan terus menuju ke bilik operasi yang terletak di Pusat Tarbiah Islamiyyah Indera Mahkota (PUTRA). Tidaklah jauh dari tempat tinggal saya, hanya “sepuntung rokok orang asli” sahaja.. Hujan masih lagi turun tatkala saya menongkatkan motosikal di perkarangan bangunan PUTRA. Telah ramai sahabat yang berkumpul di sana.

Kami dibahagikan kepada dua kumpulan dan diberi taklimat oleh Pengarah J/K Banjir berkaitan operasi bantuan banjir ini. Termasuklah agihan bantuan, aspek-aspek keselamatan dan beberapa perkara yang perlu diambil tindakan.

Tanpa berlengah kami mula bergerak ke kawasan yang telah ditetapkan. Saya bersama anggota yang lain ditugaskan ke zon 1 iaitu dari Gebeng sampai ke Chendor di sempadan Kemaman. Manakala satu kumpulan lagi menuju ke zon 2 iaitu bermula di Beserah sehingga ke Perkampungan Cenderawasih.

Sungai Ular di antara kawasan yang boleh dikatakan terjejas teruk. Keadaan agak kelam-kabut. Sayu rasanya hati melihat keadaan mangsa-mangsa banjir. Kami turut sama membantu mengangkat barangan mangsa ke tempat yang selamat. Saya sempat berbual dengan seorang pakcik yang rumahnya turut dinaiki air. Katanya selama 44 tahun beliau tinggal di situ, inilah kali pertama kawasan itu dilanda bah yang teruk.


Allahu rabbi...

Kampung Sungai Ular kami tinggalkan setelah semua maklumat mangsa banjir kami perolehi serta serba sedikit bantuan yang dapat diberikan. Destinasi seterusnya ialah di Cherating.

Kami mendapat maklumat di hadapan Sekolah Kebangsaan Cherating air telah pun melimpahi jalan dan menyukarkan pergerakan lalu lintas. Perjalanan kami ke sana agak perlahan, kebanyakan kenderaan bergerak mengengsot-engsot dek kerana hujan lebat yang turun.

Di sana kami membantu menolak kenderaan yang tersekat oleh banjir. Termasuklah kereta dan motosikal yang mati di tengah jalan.

Dua watak

Seperti biasa saya suka memerhati. Apabila berada di kawasan yang ditimpa musibah, bermacam-macam gelagat dan sikap yang dapat dilihat. Terserlah watak-watak diri yang sebenarnya. (wallahua`lam). Ada yang positif dan ada yang negatif. Semuanya diciptakan oleh Allah SWT untuk kita memerhati dan berfikir. Bukan setakat itu sahaja, mana yang baik kita ambil pengajaran, manakala mana yang tidak baik sama-sama kita perbaiki.

Seorang mangsa yang kami temui mengadu bermacam-macam hal. Barang-barang, pakaian dan berbagai-bagai lagi yang musnah. Dengan masalah itu, ada masalah ini, tetapi tidaklah sampai menyalahkan Tuhan. Tidak sekali-kali. Kami hanya menadah telinga mendengar pengaduannya, rakan saya mencatat segala maklumat untuk dihantar ke bilik operasi yang akan menguruskan bentuk bantuan yang akan disalurkan nanti.

Saya tidak menyalahkannya, saya faham, perkara biasa tatkala ditimpa musibah. Ramai yang begitu. Entah-entah saya juga akan bersikap sepertinya ataupun lebih teruk lagi. Wal`iyuzubillah.

Kadang-kadang kita boleh berkata, “Aku boleh bersabar”, “aku seorang yang penyabar.” Mungkin itu semasa belum kena ujian. Bila ditimpa musibah atau ujian barulah kita tahu kemampuan dan kekuatan diri serta tahap kesabaran yang ada. Sebab itulah kita diminta untuk sentiasa berdoa agar Allah menguji kita menurut kesanggupan dan kemampuan kita. Iman kita tidak selalu di atas. Ada ketika iman kita kuat ada masa ia terkulai layu.

Bimbang benar jika Allah SWT menguji kita di saat indeks iman jatuh merudum, tanpa sedar terpacul dari bibir kita ungkapan yang tidak sewajarnya, seperti menyalahkan Tuhan atas apa yang berlaku. Atau merasakan tidak patut Tuhan menimpakannya sebegitu.

Ada pula yang saya lihat seperti tidak ada apa-apa. Bagaikan tidak terkesan dengan apa yang terjadi.

Kami menyusuri ke hujung jalan denai, di sana terdapat tiga keluarga yang juga ditimpa banjir. Air telah memasuki rumah mereka sehingga paras pinggang. Tetapi apa yang menakjubkan kami semua, air muka di wajah mereka tenang dan biasa-biasa sahaja. Ceria melayani anak-anak mereka bermain air. Boleh lagi mengambil beberapa keping gambar suasana banjir di sekitar rumah mereka. “Untuk kenang-kenangan,” katanya, selamba dan bersahaja.

Terasa benar mahu memiliki kekuatan dan ketenangan yang ada pada mereka. Atau setidaknya jika dapat saya pinjam sebentar kekuatan dan ketenangan itu di masa-masa saya diterjah musibah. Alangkah bernilainya!

Saya berbisik kepada teman di sebelah: “Tengok tu, biasa je. Tak nampak macam orang yang ditimpa musibah.”

“A`ah, kita yang tengok pula yang jadi pelik.” Balas rakan saya, mengiakan.

Sempat pula kami dijamu dengan ubi kayu rebus. Malah seolah-olah kami diraikan sebagai tetamunya sedangkan kami datang untuk membantu mereka. Maka berjamulah kami di dalam kesejukan berendam di dalam banjir dan hujan yang masih berintik-rintik kasar.

Hebatnya kuasa sabar


Di dalam al-Quran, Allah SWT menyebut lebih dari tujuh puluh tempat berkaitan dengan sifat sabar. Dalam kebanyakan huraian itu, disertakan pula betapa besarnya kebaikan dan darjat yang diperolehi berkat dari kesabaran itu. Allah SWT berfirman:

“Kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” (an-Nahl: 96)

“Sesungguhnya orang-orang yang sabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (az-Zumar: 10)

Sesungguhnya ujian atau musibah adalah sesuatu yang datang di luar jangkaan dan kawalan kita. Di antara musibah yang menimpa ialah kebinasaan harta benda akibat kebakaran, banjir, kecurian dan sebagainya. Boleh jadi juga kehilangan kesihatan kerana sakit, kehilangan anggota badan serta bencana. Sabar dalam keadaan ini adalah setinggi-tinggi tingkat kesabaran.

Bagaimana tingkat kesabaran dapat diperolehi?

Tentunya dengan meninggalkan kesedihan yang melampaui batas seperti merobek-robek baju, memukul-mukul pipi sendiri serta menangis dengan menjerit-jerit. Termasuk juga dalam kesedihan yang melampau ialah dengan mengubah kebiasaan hidup, contohnya tidak mahu bercakap, tidak mahu makan atau tidur sehingga terabai kesihatan diri. Begitu juga banyak menyendiri, menyalahkan diri sendiri sehingga meninggalkan tanggungjawab hidup yang sepatutnya dilaksanakan. Ini semua boleh menggambarkan seperti ketidakrelaan hati atas taqdir Allah SWT. Di waktu beginilah dibimbangi syaitan akan mencucuk-cucuk hatinya supaya melakukan sesuatu di luar batas-batas norma manusia.

Justeru, perlihatkanlah rasa tunduk hati dan kerelaan dengan taqdir-Nya. Tentunya dengan mengingati diri bahawa segala sesuatu yang dikasihi seperti anak-pinak, harta benda, kesihatan, pangkat dan pengaruh adalah titipan Tuhan yang dipinjamkan hanya sementara waktu. Dengan demikian tiada sesalan dan kesedihan apabila pinjaman tadi diambil kembali secara mendadak atau tiba-tiba.

Timbul pula pertanyaan, apakah seseorang yang mendapat musibah, lalu hatinya pedih dan air matanya bercucuran keluar, bolehkah terus dikatakan termasuk mereka yang tidak redha?

Sebenarnya bukan begitu. Kepedihan hati dan cucuran air mata adalah sifat manusia biasa. Sedih, gembira, risau, bimbang, takut, ceria dan sebagainya adalah lumrah kehidupan manusia. Selagi mana ia tidak terkeluar dari batas-batas yang dibenarkan.

Bahkan Rasulullah saw sendiri ketika puteranya yang bernama Ibrahim meninggal dunia, bergenanglah air mata di kedua mata baginda yang mulia. Tatkala para sahabat bertanya sebabnya, lalu baginda bersabda:

“Ini adalah sebagai tanda kasih sayang. Allah hanya memberi kasih sayang-Nya kepada para hamba-Nya yang bersifat kasih sayang.”

 "Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 153)

Bersambung.....

1 comments:

||aLeaSaRa|| said...

assalammualaikum shbt ^^ lama sy x update entri dan lama x sggh ke sini huhu..

bc entri ni seakan sy ada di tempat kejadian,yelah ms diberi ujianlah pelbagai sikap manusia dpt kita lihat,yg selalu terlindung di sebalik topeng ketenangan di wajah.kesian kpd mangsa banjir di kala anak2 sedang sibuk nak mulakan alam psekolahan.

oowh sy ada byk nk kgsikan kisah spanjang kehilangan sebentar di dunia blog,nanti sy akan sggh sini lg baca entri sahabat yg selalu buat sy tenang alhamdulillah ^^

Post a Comment