Sahabat Sejati

Wednesday 30 January 2013

Benar, rahmat untuk sekelian alam!



Kita masih berada di dalam bulan Rabi’ul Awwal. Bulan yang dimuliakan, Allah SWT telah memilih bulan ini sebagai bulan kelahiran Rasulullah saw. Sesungguhnya baginda dilahirkan ketika manusia berada di dalam kegelapan jahiliah yang penuh dengan keserabutan. Kehidupan masyarakat Makkah khususnya ketika itu boleh dikatakan tidak bertamadun. Undang-undang rimba menjadi peraturan. Siapa yang kuat menjadi raja dan berkuasa, manakala yang lemah menjadi hamba dan tertindas hina.

Sebenarnya para ahli sejarah Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Rasulullah saw. Di dalam satu hadis, Rasulullah saw pernah ditanya tentang puasa (syaum) hari Isnin. Baginda saw menjawab:

“Itu hari kelahiranku, dan hari aku diutus serta diturunkan kepadaku al-Quran." (Riwayat Muslim)

Jika kita melihat hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim ini hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya.

Di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) menyatakan berbagai pendapat tentang haribulan bulan kelahiran baginda saw.

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping itu ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada bulan Ramadan dan mereka mempunyai hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Saya tidak bermaksud untuk mengheret kita semua dalam perbezaan ini. Bilakah tarikh sebenar kelahiran Rasulullah saw bukanlah menjadi persoalan utama untuk kita bahaskan. Begitu juga persoalan apakah harus menyambut Maulidur Rasul. Setiap tahun persoalan ini akan menjadi polemik dan kerap dijadikan bahan perdebatan yang akhirnya menjadi medan memperlekeh antara satu sama lain. Apakah perlu setiap kali menjelang Rabi`ul Awwal kita mula menyemai titik kebencian di antara satu sama lain hanya kerana satu persoalan yang tidak sepatutnya kita bersikap begitu.

Oleh itu, bagi saya sesiapa yang tidak bersetuju dengan sambutan Maulidur Rasul janganlah mencela orang yang mahu menyambutnya, manakala sesiapa yang mahu menyambutnya hormatilah pandangan mereka yang tidak bersetuju dengannya. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri berdasarkan keilmuan mereka. Maka apakah ia menjadi sesuatu yang tidak baik, jika kita dapat menghormati pandangan masing-masing? Bukankah menjaga kesatuan umat Islam satu keutamaan?

Sebagaimana kita tahu, sambutan Maulidur Rasul adalah bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad saw atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah serta mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah dan syafaat Nabi di akhirat. Namun, jika sekadar mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.

Teringat satu cerita yang pernah saya dengar. Seorang suami yang menyertai perarakan Maulidur Rasul, dengan bersemangat membawa sepanduk yang memuji-muji Rasulullah saw beserta gema selawat di udara yang mengiringi perarakan itu.

Tatkala pulang ke rumah dalam keadaan kepanasan dan keletihan, dia meminta isterinya membawakan air minuman. Hendak dijadikan cerita isterinya terlupa menaruh gula ke dalam minumannya. Lalu bergemalah di udara maki hamun dan sumpah seranah kepada isterinya. Hairan! Dimanakah kata-kata memuji Rasulullah yang dilaung-laungkan tadi. “Rasulullah contoh ikutan kami”, “Kami sayang Rasulullah” dan sebagainya. Apakah sekadar ikut-ikutan. Inilah kesilapannya, kita memuji mengangkat nabi setingginya, tetapi sunnah ajarannya kita tolak ke tepi.

Bukankah kita menyakini bahawa perutusan Rasulullah saw adalah sebagai pemberi rahmat?

Rahmat sekelian alam 


Firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.” (al-Anbiya`: 107) 

Secara umumnya rahmat dapat disimpulkan sebagai segala macam pemberian Tuhan kepada manusia, iaitu menunjukkan kasih sayang-Nya. Dari segi bahasa pula ia bermaksud sesuatu yang bertentangan dengan bala, musibah, keburukan dan kerugian.

Manakala di dalam Tafsir al-Baidhawi pula menyebut bahawa menurut bahasa; rahmat bermaksud kelembutan hati dan perasaan melindungi yang mendorong untuk memberi dan berbuat baik. Di sini diambil kata rahim wanita kerana ia melindungi apa yang ada di dalamnya.

Termasuk dalam definisi rahmat ialah dengan pengutusan para rasul, seperti yang disebutkan di dalam surah al-Anbiya` di atas.

Kata as-Syahid Sayyid Qutb di dalam Tafsir fi Zilalil Quran: “Sistem ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah sistem yang membawa kebahagiaan bagi manusia seluruhnya, dan memimpinnya kepada kesempurnaan yang telah dijangkakan baginya dalam hidup ini.”

Risalah ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw ialah bahawa martabat manusia adalah kemulian yang satu, iaitu kemuliaan disisi Allah kerana iman dan amal. Tidak ada perbezaan pangkat, harta, warna kulit dan sebagainya. Semua perbezaan ini dihapuskan oleh Islam setelah kedatangan Rasulullah saw. Ini juga di antara rahmat yang besar kepada manusia selain dari rahmat-rahmat yang lain. Bahkan terlalu banyak rahmat kepada manusia jika mahu disenaraikan. 

Rahmat kepada haiwan contohnya wajib kita menggunakan alat yang tajam ketika menyembelih dan diharamkan membunuh haiwan sesuka hati. Begitu juga rahmat kepada tumbuh-tumbuhan yang dilarang daripada dicabut, ditebang sesuka hati walau pun dalam peperangan. Akibat manusia rakus merosakkan hutan dengan menebang tumbuh-tumbuhan secara melampau antara penyebab yang membawa kepada kepanasan global yang semakin tinggi dan membahayakan kesihatan.

Oleh itu, dapatlah kita fahami bahawa rahmat yang dimaksudkan dengan pengutusan Rasulullah saw serta penyebaran risalahnya adalah untuk memberi kelembutan dan perlindungan kepada sekelian alam. Semuanya dapat merasai rahmat pengutusan Rasulullah saw baik manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Oleh itu. bilakah tarikh kelahiran Rasulullah saw, harus atau tidak kita menyambutnya, tinggalkan persoalan tersebut jika ia boleh mengganggu gugat ketenteraman dan kesatuan umat Islam. Apa pun, yang penting kita semua tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah serta menjadi rahmat kepada seluruh alam dengan sebab pengutusannya.

Benar, rahmat untuk sekelian alam!

Sunday 27 January 2013

Semua berbogel di Padang Mahsyar?

Soalan: 

Apakah benar yang saya dengar bahawa semua manusia akan dibangunkan di Padang Mahsyar nanti, dalam keadaan bertelanjang bogel tanpa sehelai benang pun di badan mereka, hatta Nabi Muhammad saw dan rasul-rasul semuanya bertelanjang bulat. Lelaki dan perempuan, tua dan muda, sama-sama bertelanjang. Apakah semua ini benar? Mohon penjelasan.

Jawapan: 

Persoalan anda adalah berkaitan kepercayaan kepada perkara ghaib. Perkara belum berlaku, betul atau tidak akan berlaku, seperti yang anda sebut, bergantung kepada keyakinan (iman kita kepada nas-nas syarak yang sahih). Kepercayaan kepada hari kiamat adalah Rukun Iman. Apa yang akan berlaku pada hari itu, hendaklah diimani dan dipercayai atas keterangan-keterangan nas yang sahih dan sareh (terang).

Ada hadis daripada Aishah r.anha (mafhumnya): “Dihimpun manusia pada hari kiamat dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang bulat dan tidak berkhatan (bersunat). Lalu Aishah bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, kalau begitu pada hari itu manusia dapat melihat aurat orang lain.” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aishah, suasana pada hari itu amat menggemparkan manusia, amat menakutkan, sehingga tidak ada yang peduli kepada aurat orang lain.” (Riwayat Imam Muslim)

Apa yang anda sebut tentang rasul-rasul juga berbogel pada hari itu adalah benar. Ada hadis daripada Ibnu Abbas ra. beliau menceritakan (mafhumnya): “Rasulullah saw pernah berucap, “Wahai manusia sesungguhnya kamu akan dihimpunkan di Mahsyar nanti dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat, sebagaimana kamu lahir daripada perut ibumu dahulu. Ketahuilah bahawa awal-awal manusia yang diberi pakaian di hari kiamat, adalah Nabi Ibrahim as.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Suasana berlaku kiamat dan manusia dibangunkan semula dalam keadaan yang menggerunkan dan mengerikan itu, akan menyebabkan setiap manusia di dalam kebingungan dan ketakutan yang amat sangat.

Setiap orang hanya memikir tentang dirinya sahaja, hendak menyelamatkan dirinya sahaja.

Perihal ini Allah ceritakan di dalam firman-Nya (mafhumnya): “Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya. Dan ibunya serta bapanya. Dan isterinya serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.” (‘Abasa: 34-37)

Anda boleh bayangkan perihal analogi di dunia ini, andai kata berlakulah gempa bumi yang memusnahkan sebuah negeri atau kebakaran menyeluruh berlaku, maka anda akan dapat saksikan suasana hiruk-pikuk, pekik-memekik berlaku, manusia meraung meminta pertolongan, berlari ke sana ke mari.

Dan sudah tentulah dalam keadaan sebegitu, jika ada orang berlari tanpa pakaian, apakah di dalam ketakutan yang amat sangat, masih ada orang yang hendak memandang (mempedulikan) aurat orang lain?

Apa yang lebih penting, mereka menyelamatkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain.

Demikian itulah keadaan yang anda boleh bayangkan berlaku di akhirat nanti. Apa yang penting, kita muhasabah diri sendiri, apakah kita cukup persediaan untuk menghadap Allah SWT. Apakah amal ibadat kita diterima Allah atau tidak.

Apakah tidak akan berlaku amalan manusia, ditolak kesemuanya, seperti firman Allah (mafhumnya): “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu (terbatal) yang berterbangan (oleh angin kencang).” (al-Furqan: 23)

Sumber: Bersama Dato' Dr Harun Din

Ceramah Maulid ar-Rasul oleh Dr MAZA

Alhamdulillah, terbaik...


Friday 25 January 2013

KEMPEN TUTUP AURAT, JOM!

Warga Kuantan, jom kita pakat turun ke Teluk Chempedak.


Thursday 24 January 2013

MUHAMMAD BUKAN NASIONALIS


Barangkali mereka yang tinggal di negara pemerintahan nasionalis mengatakan nabi itu seorang nasionalis. Semasa saya melawat ke Uzbekistan, sebuah negara bekas jajahan komunis, terdapat masjid yang tersergam indah, tok imam yang berjubah dan berkemungkinan boleh menjadi seseorang yang berfikiran komunis, lantas mereka juga mengatakan bahawa nabi seorang komunis. 

Tidak sama sekali. Nabi Muhammad SAW adalah 100 peratus Islam, bukannya komunis dan bukan juga nasionalis. Jangan sesekali kita mengatakan bahawa nabi seorang yang berfahaman komunis, nasionalis, demokrasi atau lain-lain fahaman yang menjadi anutan dunia. Inilah yang menjadi teras dalam aqidah.  
(Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat)

Sesungguhnya kehadiran Islam merupakan rahmat kepada segenap umat manusia serta jalan keselamatan bagi mereka yang mendambakan kebahagiaan hakiki. Semangat Islam adalah semangat pengabdian (ibadah dan ubudiyah) kepada Allah serta jalan hidup yang lurus di atas nilai-nilai keadilan, perdamaian, keluhuran dan kasih sayang.

Rasulullah saw yang diutus membawa risalah Islam berperibadi luhur dan berakhlak mulia. Baginda manusia sempurna (insan kamil) yang menjadi teladan kebaikan bagi semesta alam. Allah mengutus Nabi Muhammad sebagai rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia agar mereka mencontohi baginda dalam menjalani hidup di dunia ini dengan kebenaran Muhammad bukanlah seorang yang memperjuangkan bangsa mahupun negara.

Baginda memperjuangkan nilai-nilai iman dan Islam yang bersifat universal dan berjuang untuk membangunkan peradaban kehidupan Islam. Perjuangannya menembusi sempadan bangsa dan negara. Syariat Islam yang diserukannya juga sentiasa sahih dan selaras dengan realiti zaman dan tempat.

Tajuk : MUHAMMAD BUKAN NASIONALIS
Penulis : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat & Ustaz Azrul Hakim Suradi
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
M/S : 326
Harga : SM 25.00 / SS 27.00

KANDUNGAN

Bab 1: Al-Quran Panduan Hidup Manusia
Bab 2: Agama Islam Bukti Rahmat Allah Kepada Manusia
Bab 3: Syariat Islam Penyelesai Masalah Bagi Kehidupan Manusia
Bab 4: Rasulullah Diutus Untuk Kemanusiaan Universal
Bab 5: Rasulullah Berjuang Untuk Membangunkan Peradaban
Bab 6: Jejak Perjuangan Rasulullah Menegakkan Keuniversalan Islam
Bab 7: Gerakan Islam Melintasi Sempadan Negara Dan Bangsa

"BACALAH DENGAN MENYEBUT NAMA TUHANMU YANG TELAH MENCIPTAKAN"

Salam Maulidur Rasul 1434H


Indahnya peribadimu duhai Rasulullah bagaikan pancaran mata air yang tidak pernah kering, untuk diteguk oleh umatmu.

Sempurna akhlaqmu memancarkan kejernihan budi di atas hamparan kemuliaan.
Engkau bagaikan permata yang menyinari diri dan umat dengan cahaya kebenaran.
Umpama pembawa obor penerang hidayah ketika berhala-berhala dijadikan tuhan sembahan.
Engkau membawa rahmat dan keberkatan di saat dunia gelap diserkup kejahilan.

Engkau tinggalkan dunia ini setelah lengkap risalah dan aturan.
Sedangkan kami sentiasa mendakap sebuah kerinduan.
Syafaatlah kami duhai Rasulullah, di saat gelap-gelita menghadang.
Sedangkan kami pula tiada kuat untuk menahan...

Semoga Allah SWT melimpahimu salam kesejahteraan, selama roda kehidupan dunia berjalan. Juga kepada ahli keluargamu, beserta seluruh sahabat dan pendukungmu sekelian.

Monday 21 January 2013

Penzina tidak boleh kahwini bukan penzina?

Soalan:

Betulkah bahawa orang yang berzina (penzina) tidak boleh berkahwin atau dikahwini, melainkan orang yang berzina juga? Bagaimana jika seorang perempuan yang pernah berzina, dipinang oleh lelaki yang bukan penzina, sedangkan lelaki itu tahu perempuan itu pernah melakukan zina, dia tetap mahu mengahwini perempuan tersebut. Boleh kahwinkah atau tidak, kerana saya dengar ada yang mengatakan tidak boleh. Mohon penjelasan.

Jawapan: 

Apa yang anda ajukan, adalah permasalahan yang sering berlaku dalam masyarakat Islam, terutama pada hari ini. Sekarang berlakunya zina dengan hebatnya, persundalan sudah menjadi profesyen yang ramai menggemarinya, tanpa tindakan pencegahan yang berkesan. Anak luar nikah hasil penzinaan seperti yang dilaporkan oleh jabatan Pendaftaran Negara, sejak tahun 2000 hingga Julai 2008, terdapat lebih daripada 257,000 sijil kelahiran didaftarkan oleh JPN, tanpa catatan nama bapa (anak luar nikah).

Secara puratanya, kelahiran anak luar nikah 2,880 kes setiap bulan, atau 96 kes setiap hari, atau 1 kes pendaftaran setiap 15 minit. Bayangkan, itu yang berdaftar, bagaimana yang tidak berdaftar, yang membunuh dan mencampakkan anak-anak mereka di merata-rata tempat. Sungguh memilukan.

Persoalan yang anda ajukan, seolah-olah mudah dijawab. Firman Allah SWT (mafhumnya): “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.” (an-Nur: 3)

Akan tetapi, tidak semudah itu membuat hukum. Ayat yang tersebut di atas, sebenarnya telah ‘mansukh’ atau hukumnya dibuang dan ditiadakan. Ia ditukar dengan hukum baru. Ertinya, maksud ayat tersebut tidak dipakai lagi.

Di dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk 12, halaman 169, ada disebut, bahawa ayat itu dibuang hukumnya (mansukh), digantikan dengan firman Allah (mafhumnya): “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (an-Nur: 32)

Ayat ini, jelas tidak menyebut perihal zina atau tidak, asalkan mereka layak berkahwin, maka kahwinilah mereka.

Ayat akhir (ayat 32, surah an-Nur) ini kata mufassirun (ahli tafsir) menjadi ‘nasikh’ dan ayat 3, surah an-Nur menjadi ‘mansukh’. Jumhur ulama mengatakan ayat ini dibuang hukumnya dan ahli fatwa mengatakan bahawa penzina boleh berkahwin dengan orang yang berzina dengannya dan orang lain yang bukan penzina pun, boleh berkahwin dengannya.

Itulah juga pendapat Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie.

Maka hukum yang diterima pakai, bukan ayat 3, surah an-Nur tetapi ayat 32 dari surah yang sama. Oleh kerana itu tidak timbul masalah penzina dengan yang tidak.

Jika sudah jodoh dan masing-masing memahami keadaan pasangannya dan mereka hendak berkahwin seperti mana yang anda sebutkan dalam soalan anda, maka jawapan saya, ia adalah harus, walaupun perbuatan itu (zina) harus dikutuk dan dihukum dengan hukum Allah SWT. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato’ Dr Harun Din

Sunday 20 January 2013

Bicara santai: Aku dan bro `Castello`

Semalam saya sekeluarga pulang kampung isteri. Tiada yang lebih menyeronokkan selain daripada pulang ke kampung. Tidak kisah samada kampung saya atau kampung isteri. Yang paling seronok tentulah anak-anak kerana dapat berjumpa dengan nenek mereka yang sentiasa sabar melayani 1oo1 macam karenah cucu-cucunya.

“Eh, abang... tengok tu ramainya orang depan rumah mak, siap dengan kanopi lagi.” Kata isteri saya sewaktu kami memasuki simpang berhampiran rumah ibunya. Beberapa kanopi tersusun berhampiran rumah mertua saya.

“Ada kenduri ke? Takkan kenduri pun tak bagitau,” saya mengomel di dalam hati.

“Nampak macam penggambaran filem je...” isteri saya membuat andaian setelah melihat deretan kamera filem dengan beberapa orang yang seperti dalam kesibukan.


Saya kebingungan, hendak terus ke halaman rumah mertua atau bagaimana. Bimbang mengganggu kerja-kerja penggambaran yang sedang dilakukan.

“Macamana ni?”

Dalam kebuntuan itu, tiba-tiba Nazri, adik ipar saya datang menghampiri: “Mak ada dirumah Ngah. Abang dengan kakak ke sanalah.” Dia memberitahu. Ngah yang dimaksudkannya ialah adik isteri saya yang kedua. Isteri saya yang sulong, di bawahnya ada lagi tiga orang, semuanya lelaki. Rumah Ngah tidak jauh dari situ, sekira-kira melaung pun boleh mendengar suara.

Daripada Nazri tahulah saya bahawa memang penggambaran filem sedang diadakan. Rumah mertua saya telah dijadikan lokasi penggambaran. Hari ini adalah hari yang pertama penggambaran. Patutlah ramai orang tadi. Orang-orang kampung pun ada yang datang untuk melihat para pelakon yang biasanya hanya dilihat di kaca televisyen.

“Tiga hari diorang sewa dari 9 pagi sampai pukul 12 malam.” Kata Nazri lagi yang memang terkenal dengan banyak cakap ataupun peramah. Ibu mertua saya pula terpaksa berpindah sementara ke rumah Ngah selama penggambaran itu.

“Glamerlah rumah mak nanti,” usik isteri saya kepada emaknya.

“Yelah, aku pulak yang kena pindah,” jawab emaknya pula.

“Ha...ha..ha..” kami ketawa beramai-ramai.

Saya tidaklah terlalu teruja melihat para pelakon yang ada, lagipun saya jarang menonton televisyen. Ada pelakon yang saya tidak kenal dan tidak tahu dia seorang pelakon tatkala ditunjukkan oleh adik ipar saya. Cuma seorang sahaja yang cukup dikenali dan sempat saya berbual dengannya,tetapi saya bukanlah peminat setianya, sekadar ‘gitu-gitu’ sahaja.

Saya teringat filemnya yang pertama saya tonton ialah ‘Gila-Gila Remaja’, kisah sekumpulan anak muda bermotosikal. Gila-Gila Remaja merupakan sebuah filem remaja Malaysia yang ditayangkan pada tahun 1985. Filem ini telah diarahkan oleh Hussein Abu Hassan dan diterbitkan oleh Shah Film Productions. Saya rasa masa itu ramai anak muda yang kepingin memiliki motor scrambler seperti dalam filem tersebut.

Dialah ‘Bro Castello’.

“Apa yang abang bualkan dengan si Rosyam tadi, nampak mesra sangat...” tanya isteri saya ketika kami sedang berehat sambil makan keropok lekor yang saya beli semasa dalam perjalanan ke sini tadi.

“Ohh...si Rosyam tu ajak berlakon filem dia, tapi abang tak nak takut awak cemburu pulak. Maklumlah jadi hero...” saya menjawab dengan nada bergurau kepada isteri.

“Gatal ye...”

Sap..!

Satu cubitan kasih sayang daripada isteri solehah.

Alhamdulillah.

 Aku dan Bro Castello di halaman rumah.

Saturday 19 January 2013

Fikir-fikir: Keutamaan cinta akhirat


Satu analogi.

"Jika kita menanam padi, rumput pasti akan tumbuh. Tetapi jika kita menanam rumput, padi tidak akan tumbuh."

Dari Zaid bin Tsabit ra. beliau berkata, kami mendengar Rasulullah saw bersabda:

 مَنْ كانت الدنيا هَمَّهُ فَرَّق الله عليه أمرَهُ وجَعَلَ فَقْرَهُ بين عينيه ولم يَأْتِه من الدنيا إلا ما كُتِبَ له، ومن كانت الآخرةُ نِيَّتَهُ جَمَعَ اللهُ له أَمْرَهُ وجَعَلَ غِناه في قَلْبِه وأَتَتْهُ الدنيا وهِيَ راغِمَةٌ 
“Barangsiapa yang (menjadikan) dunia tujuan utamanya maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan/tidak pernah merasa cukup (selalu ada) di hadapannya, padahal dia tidak akan mendapatkan (harta benda) duniawi melebihi dari apa yang Allah tetapkan baginya. Dan barangsiapa yang (menjadikan) akhirat niat (tujuan utama)nya maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan/selalu merasa cukup (ada) dalam hatinya, dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).“ (Riwayat Ibnu Majah (no. 4105), Ahmad (5/183), ad-Darimi (no. 229), Ibnu Hibban (no. 680) dan lain-lain dengan sanad yang sahih. Dinyatakan sahih oleh Ibnu Hibban, al-Bushiri dan Syeikh al-Albani)

Hadis ini menceritakan keutamaan akhirat berbanding kehidupan dunia. Bukan bermakna dunia ini langsung tidak ada kepentingan, tetapi celaan kepada mereka yang rakus mengejar kehidupan dunia sehingga melupakan kehidupan akhirat. Dunia adalah jambatan akhirat, tempat mengumpul amal untuk kesenangan di akhirat. Jika tiada dunia bagaimana mahu beramal? Yang dilarang dan ditegah ialah mengejar dunia tanpa mempedulikan atau memikirkan nasib di akhirat nanti.

Orang yang cinta kepada akhirat akan memperoleh rezeki yang telah Allah SWT tetapkan baginya di dunia tanpa bersusah-payah, berbeza dengan orang yang rakus mengejar dunia, dia akan memperolehnya juga harta yang dikejar itu, namun dengan segenap kepayahan lahir dan batin. Bahkan apa yang diperolehinya itu tidak pula mencukupi. 

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Orang yang mencintai dunia (secara berlebihan) tidak akan lepas dari tiga (macam penderitaan): Kekalutan (fikiran) yang selalu menyertainya, kepayahan yang tiada henti, dan penyesalan yang tiada berakhir. “ (Igaatsatul lahfaan: 1/37)

Sekadar ingatan bersama. Fikir-fikir...

Thursday 17 January 2013

Jom pakat dengar kuliah Ustaz Azhar Idrus Junior...

Sebelum dengar kuliah Big Boh pada 21 Januari nanti, mari kita pakat dengar kuliah Ustaz Afis Ibrahim yang glamer dengan jolokan Ustaz Azhar Idrus Junior...

Tarikh : 17 Disember 2013
Tempat : Masjid al-Fatah, Batu 3, Kuantan


Ce dengar...hampir sama, betul tak?
 

Wednesday 16 January 2013

Coretan kasih di pesisir waktu


Saya mendongak ke langit tinggi, merenung di kejauhan malam yang hening. Gumpalan awan yang berarak bagaikan memaksa sang bulan bersembunyi di sebalik warna kelabunya. Hilanglah cahaya kekuningan yang tadi tersimbah menyuluh disegenap hamparan alam.

Rasa nyaman dijiwa berkusar dek kerana bulan yang malu-malu mengintai. Kelam dan suram seperti menceritakan isi hati saya yang benar-benar berkecamuk ketika ini. Entah mengapa begitu sukar melelapkan mata malam ini, sedangkan isteri dan anak-anak telah lama terlena hanyut dibuai mimpi.

Termenung sendirian di malam-malam yang begini, ada sesuatu yang mengundang sebak di dada. Kerinduan dan kesyahduan memayuti dinding hati, tidak semena-mena terbayang diruangan mata wajah kasih emak. Sesungguhnya wajah emak bersama seraut senyuman yang terukir dipipi tuanya sangat-sangat berbekas dalam ingatan saya ketika kini. Saya benar-benar rindukan emak. Rindukan suaranya yang sentiasa menyapa lembut tiap kali saya dihimpit pelbagai cabaran. Akhirnya masalah itu terbang berlalu dengan sendiri hilang bersama desiran angin.

Saya teringat sehari sebelum emak pergi mengadap Ilahi. Petang itu emak menelefon saya untuk berbual-bual. Ceria sungguh saya dengar suara emak dan banyak pula bual bicaranya. Tetapi saya tidaklah mengesyaki apa-apa kerana emak memang sentiasa ceria dengan anak-anaknya. Rupa-rupanya bagaikan petanda emak akan meninggalkan kami semua, mungkin.

Malam semakin merangkak sepi. Jika dapat saya bertanya, kemanakah hilangnya suara riang-riang dan cengkerik malam. Mungkinkah mereka juga seperti saya tidak keharuan? Berlagulah wahai makhluk Tuhan, hiburkan hati ini agar hilang resah dan terubat gundah yang tiba-tiba menyesakkan dada.

Kokok ayam sayup-sayup kedengaran singgah di cuping telinga, jam sudah pun menunjukkan dinihari. Angin sejuk yang bertiup sesekali menyelinap masuk melalui bingkai tingkap yang agak renggang. Saya bangun berjuntai di katil, bilik sempit yang agak usang itu saya tatap, bagaikan itulah kali pertama saya menginap disitu, sedangkan di bilik inilah dahulunya saya dan abang-abang bergurau-senda sebelum melelapkan mata. Sesekali kaki atau tangan tertampan ke dinding.

“Tidur..! jerit emak dari bilik sebelah.

Lantas kami membatukan diri sambil tersengih di dalam gelap. Kenangan itu juga telah lama berlalu.

Telah semusim berlalu

Pantasnya masa yang bergulir, pejam dan celik telah menghampirkan bilangan dua musim emak meninggalkan kami semua. Perit mengenangnya? Pasti, namun itulah ketentuan yang harus ditelan biarpun pahitnya menunjah ke anak tekak.

Sebagai anak yang paling kecil tentunya saya memiliki segudang kenangan bersama emak. Di saat adik-beradik lain yang telah pun keluar mencorak kehidupan keluarga sendiri, saya masih lagi bermanja tinggal di bawah bumbung yang sama bersama emak.

Seingat saya, emak tidak pernah memanggil nama saya, tidak pernah, sebaliknya dengan nama timangan yang amat manja. Dulu, saya terasa amat malu dengan panggilan tersebut. Lebih-lebih lagi di hadapan kawan-kawan. Saya akan masam mencuka jika emak memanggilnya di hadapan kawan-kawan. Kini sekian lama berlalu, saya amat rindukan panggilan itu. Jika boleh saya mahu mendengar emak memanggilnya tiap ketika. Biarlah panggilan itu menunjah ke anak telinga. Biarlah, saya relakan. Namun tidak mungkin. Semuanya tidak akan terjadi. Benarlah kata pujangga seni, sesuatu itu akan kita ketahui nilai dan harganya apabila ia hilang dari pandangan. Sungguh, baru kini saya merasai nilai harganya setelah ia terluput dimamah waktu.

Tatkala pulang ke desa tercinta, saya termenung di beranda rumah pusaka. Hati mula dihimpit hiba, saya cuba mengutip kembali kepingan-kepingan kenangan yang masih berbaki. Hakikatnya satu persatu telah hilang dimamah masa. Saya cuba membayangkan pohon jambu air yang telah bergenerasi tegak di hadapan rumah. Begitu juga rumpun buluh yang menyimpan berbagai kenangan lucu. Di belakang rumpun buluh itu pula mengalir sebatang anak sungai yang seringkali saya randuk bersama rakan-rakan sambil menangkap berudu yang disangka ikan berkaki. Kadang-kadang merasa juga sedas dua libasan rotan ‘kasih sayang’ emak tatkala pulang dengan badan dan pakaian yang comot berselut. Itulah naluri seorang ibu, marah kerana masih ada sayang.

Emak tidak bersekolah tinggi, hanya bersekolah kampung setakat darjah lima.

“Anak perempuan tidak perlu belajar tinggi.”

Bahasa pemikiran penghuni desa dulu-dulu.

Emak tidak pernah menyesali akan taqdir dirinya, keadaan waktu itu memang begitu. Hanya mereka yang berada sahaja dapat belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Namun begitu, cita-cita emak untuk melihat anak-anaknya berjaya tidak pernah pudar. Emak tidak mahu anak-anaknya mewarisi kejahilan dan melalui taqdir hidup sepertinya dahulu.

Sesuatu yang sentiasa saya ingat tentang emak, setiap pagi mahu ke sekolah emak tidak pernah lupa berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh dan serta menghormati dan mendengar nasihat guru. Sehingga sekarang kalimat ini amat berbekas dan saya jadikan ia azimat yang tersemat kukuh di sudut sanubari.

Saya perasan. Emak seorang yang amat pemaaf. Dia memaafkan saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa. Walau bagaimanapun saya, nakal atau degil, rajin atau malas, emak menerima saya seadanya, tanpa berlengah menghulur maaf.

Begitu besarnya jiwa ayah dan ibu. Tidak mungkin anak-anak dapat menandinginya. Ayah dan ibu mampu menahan kepedihan dan keperitan membesarkan anak-anak, tapi mampukah anak-anak menahan kesabaran menjaga seorang ayah atau ibu. Entahlah, setiap orang mempunyai jawapan yang tersendiri.

Saya melihat 

Hati saya amat tersentuh satu hari apabila memerhati seorang ibu yang memayungkan anaknya sedangkan dia sendiri basah kuyup ketika menghantar anaknya ke sekolah. Saya memerhati dengan penuh kesyahduan. Bahasa kasih sayang seorang ibu bukan sekadar luahan di kelopak bibir. Bergenang airmata dan keringat darah demi kebahagiaan anak-anak.

Kita menumpang selama sembilan bulan di alam kasih sayang dan alam belas kasihan. Jika tiada secangkir kasih sayang di hati seorang ibu, nescaya dicampaknya kita yang masih merah ke dalam tong sampah, ke dalam longkang, disangkut pada pagar surau atau dimana sahaja. Kita berada di tempat di mana kita berada sekarang kerana secebis belas dan kasihan seorang ibu.

Lihatlah... seorang wanita yang kita panggil ibu.

Aduhai, kita ini sentiasa menyusahkan. Ketika di dalam kandungan, ibu kepenatan kerana kita. Masa lahir, ibu kesakitan kerana kita. Masa membesarkan, ibu kepeningan dengan berbagai karenah kita. Kita menjerit sesuka hati, memalukan ibu bapa di tengah kenduri? Kita kencing dan berak sesuka hati, kita demam tanpa mengira musim serta seribu karenah yang tidak ada kesabaran melainkan pada hati seorang ibu.

Saya juga kehilangan kata-kata tatkala menatap berita-berita di dada akhbar, kisah anak-anak yang membuang orang tuanya, kisah anak-anak yang menyingkir ibu bapa dalam kehidupan mereka. Apakah yang selayaknya mahu digelar kepada mereka ini?

Seburuk mana pun ibu bapa, sejahat dan sebusuk manapun mereka, kita janganlah sekali-kali membenci mereka, janganlah kita lupa akan kebaikan mereka. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kewajipan kita sebagai anak-anak untuk berbuat baik, menjaga kebajikan dan menghormati mereka. Biar apa pun mereka, bukan hak kita untuk menghukum mereka atas kesilapan dan kekurangan mereka. Bahkan Allah SWT yang selayaknya menilai dan menghisabnya. Kepada Allahlah mereka akan bersoaljawab akan peranan dan tanggungjawab terhadap anak-anak.

Akhir coretan

Emak saya bukan “sesiapa”, bukan juga isteri kepada yang bergelar “sesiapa”. Emak saya tidak pernah berjasa kepada “sesiapa”, jauh sekali berjasa kepada negara. Emak saya hanyalah insan biasa, tetapi seorang yang amat hebat di mata saya.

Di dalam dunia ini ada berbillion wanita, tetapi kita hanya ada seorang wanita yang kita panggil ibu.

Jika ditanya kepada saya: “Apakah yang anda mahu lakukan jika anda mampu mengundurkan putaran masa?”

Tentunya saya menjawab: “Saya mahu memeluk dan mencium emak saya dan melakukan segala kebajikan untuknya yang tidak sempat saya lakukan dulu...”

Sentiasalah bibir ini basah dengan doa untukmu, duhai ibu...

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’: 24)

Tuesday 15 January 2013

Big Boh nak turun pulok!

Jom warga Kuantan, kita pakat datang ramai-ramai! 

Tarikh : 21 Januari 2013 (ISNIN)
Tempat : Masjid Balok Makmur, Kuantan


Friday 11 January 2013

Selamat Hari Lahir Tuan Guru

Selamat hari ulangtahun kelahiran yang ke 82 kepada MB Kelantan, YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat pada 10hb. Januari 2013M/27 Safar 1434H.

Sambutan ringkas telah diadakan di pejabat beliau dengan dihadiri oleh EXCO Kerajaan Negeri Kelantan dan beberapa yang lain.

Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kesihatan dan kekuatan kepada Tuan Guru untuk mentadbir negeri Kelantan sebagai model pentadbiran Islam.  






BIODATA TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA HJ NIK ABDUL AZIZ NIK MAT 

Tahun Lahir:
1931

Tempat Lahir:
Pulau Melaka, Kelantan

Status:
Berkahwin dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak dan memperolehi 10 cahaya mata (5 lelaki & 5 perempuan). Kesemua anak-anaknya mengambil jurusan agama sebagai pilihan utama.

Pendidikan: 
Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (3 Bulan) – 1936.
Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian.
Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu.
Universiti Deobond, India – 1952.
Lahore, Pakistan – Ilmu Tafsir Quran – 1957.
Universiti Al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab. Universiti Al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.

Penguasaan Bahasa:
Melayu, Inggeris,Tamil, Urdu,Arab

Pekerjaan: 
Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor.
Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka.
Penyelia Kelas Dewasa – KEMAS.
Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Politik: 
1967 – Daftar sebagai ahli PAS.
1967-1969 -Pilihanraya Kecil – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.
1969-1974 – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.
1974-1978 – Ahli Parlimen Kelantan Hilir. (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa). 1978-1982 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
1982-1986 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
1986-1990 – Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan.
1990-Sekarang – Menteri Besar Kelantan.

Kesimpulan Jawatan Politik: 
19 Tahun Sebagai Ahli Parlimen.
4 Tahun Sebagai Ahli DUN.
Hingga Sekarang Beliau Telah Berkhidmat Sebagai Menteri Besar Kelantan Selama 21 Tahun.

Wednesday 9 January 2013

OLEY 2 Episod 1

Semoga terhibur...


Saturday 5 January 2013

Lawaknya...


Baca betul-betul.

Ini adalah apa yang telah disiarkan di dalam tabloid ‘Mega' yang dikepilkan bersama akhbar Utusan Malaysia.

Tajuknya ialah 'Menarik tentang Justin Bieber' , saya tercari-cari apa kaitan tajuk dengan artikel yang ditulis...tak ada kena mengena langsung!

Local tabloid marks Bieber as a country

A tabloid pullout called Mega from the local Malay newspaper Utusan even quoted Justin Bieber as the ninth biggest country in the world.

Reader Firdaus Hassan captured a snapshot of a column that ran in a tabloid pullout named Mega from local Malay newspaper Utusan, which carried a short write-up entitled 'Interesting facts about Justin Bieber'. The write-up was published today. The snapshot went viral on Facebook today as the column showcased eight 'facts' about Bieber, as a country. The first 'fact' read as Bieber was 'freed from the ruling of Communist Party of the Soviet Union on 16 December 1991', whilst the second 'fact' listed Bieber as 'the ninth biggest country in the world with a population of 16.6 million (as of the year 2011)'.

Another 'fact' read as there were 130 ethnic groups in Bieber country, including Kazakh, Russia, German and Ukraine. Many users find the error as amusing, calling it an 'epic typo' and that the editor must have been a 'Belieber'.


*Kalau kita translate, kemudian hantar kepada Justin Bieber tentu dia gelak sambil guling-guling...

Friday 4 January 2013

40 nasihat Hasan Albanna untuk aktivis Islam

Renungan hari Jumaat


As-Syahid Imam Hasan al-Banna (1906 - 1949)

1. Hendaklah engkau mempunyai wirid harian dari kitabullah tidak kurang dari satu juz. Usahakan mengkhatamkan al-Quran dalam masa tidak lebih daripada sebulan dan tidak kurang daripada tiga hari.

 2. Hendaklah engkau membaca al-Quran dengan baik, memerhatikannya dengan teliti dan memikirkan ertinya.

3. Hendaklah engkau mengkaji Sirah Nabi dan sejarah para generasi salaf. Banyak membaca hadis Rasulullah SAW, sekurang-kurangnya hafal 40 hadis dalam al-Arba'in An-Nawawiyah dan juga mengkaji asas-asas akidah dan fiqh.

4. Hendaklah engkau bersegera melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala atau berubat, begitu penyakit terasa mengenaimu. Di samping itu perhatikan faktor-faktor penyebab kekuatan dan perlindungan tubuh serta hindarilah faktor-faktor penyebab lemahnya kesihatan.

5. Hendaklah engkau menjauhi sikap berlebih-lebihan dalam mengambil kopi, teh, dan minuman perangsang yang lain. Elakkan sama sekali merokok.

6. Hendaklah engkau perhatikan kebersihan dalam segala hal sama ada tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman, badan dan tempat kerja kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.

7.Hendaklah engkau jujur dalam berkata dan jangan sekali-kali berdusta.

8.Hendaklah engkau menepati janji, jangan mengingkarinya bagaimana keadaan pun yang engkau hadapi.

9.Hendaklah engkau menjadi seorang yang berani dan tahan ujian. Keberanian yang paling utama adalah terus terang dalam menyatakan kebenaran, ketahanan dalam menyimpan rahsia, berani mengakui kesalahan, adil terhadap diri sendiri dan dapat menguasainya dalam keadaan marah sekalipun.

10. Hendaklah engkau sentiasa bersikap tenang dan serius. Namun janganlah keseriusan itu menghalangimu daripada bercanda, senyum dan tawa.

11. Hendaklah engkau memiliki rasa malu yang kuat, berperasaan yang sensitif dan peka oleh kebaikan dan keburukan. Hendaklah engkau juga bersikap rendah diri dengan tanpa menghina diri, tidak bersikap taklid dan tidak terlalu berlunak hati.

12. Hendaklah engkau bersikap adil dan benar dalam memutuskan suatu perkara pada setiap situasi. Jangan kemarahan melalaikanmu daripada berbuat kebaikan, jangan permusuhan membuatmu lupa daripada pengakuan jasa baik. Berkata benar meskipun itu merugikan orang yang paling dekat denganmu.

13. Hendaklah engkau menjadi pekerja rajin dan terlatih dalam aktiviti-aktiviti sosial. Bahagia jika dapat mempersembahkan bakti kepada orang lain, gemar melawat orang sakit, membantu yang memerlukan, menanggung orang yang lemah dan meringankan derita orang yang terkena musibah.

14. Hendaklah engkau berhati kasih, dermawan, bertolak ansur, pemaaf, lemah lembut kepada manusia mahupun binatang, berperilaku baik dalam berhubungan dengan semua orang, menjaga etika sosial Islam, menyayangi yang kecil dan menghormati yang besar, memberi tempat kepada yang lain dalam majlis, tidak memata-matai, tidak mengumpat, meminta izin jika masuk mahupun keluar rumah dan lain-lain.

15. Hendaklah engkau pandai membaca dan menulis, serta memperbanyak membaca akhbar, majalah atau tulisan lain. Bangunkan perpustakaan khusus, seberapapun ukurannya, konsentrasilah terhadap spesifikasi keilmuan dan keahlianmu jika engkau seorang pakar, dan kuasailah persoalan Islam secara umum yang dengannya dapat membina persepsi yang baik untuk menjadi rujukan bagi pemahaman terhadap tuntutan fikrah.

16. Hendaklah engkau mempunyai usaha ekonomi yang mandiri, betapapun kecil, dan cukupkanlah dengan apa yang ada pada dirimu betapa tingginya kapasiti keilmuan.

17. Janganlah engkau terlalu berharap untuk menjadi pegawai dan jadikanlah dia sebagai sesempit pintu rezeki namun jangan pula engkau tolak jika diberi peluang untuk itu. Jangan engkau melepaskannya melainkan jika benar-benar bertentangan dengan tugas dakwahmu.

18. Hendaklah engkau perhatikan tugas-tugasmu secara cermat dan berkualiti.

19. Hendaklah engkau penuhi hakmu dengan baik, penuhi hak-hak orang lain dengan sempurnan dan janganlah menunda-nunda pekerjaan.

20. Hendaklah engkau menjauhkan diri daripada judi dengan segala jenis apapun maksud disebaliknya. Jauhi mata pencarian yag haram, betapapun keuntungan besar yang ada di baliknya.

21. Hendaklah engkau menjauhkan diri daripada riba dalam setiap aktiviti mu dan sucikan sama sekali daripada riba.

22. Hendaklah engkau memelihara kekayaan umat Islam secara umum dengan mendorong berkembangnya kilang-kilang dan projek-projek ekonomi Islam. Engkau pun hendaklah menjaga setiap keping mata wang agar tidak jatuh ke tangan orang non-Islam dalam keadaan bagaimanapun. Janganlah makan dan berpakaian kecuali produk negeri Islammu sendiri.

23. Hendaklah engkau mempunyai sumbangan kewangan dalam dakwah, engkau tunaikan kewajipan zakatmu dan jadikan sebahagian daripada hartamu itu bagi orang yang meminta dan yang kekurangan, betapa kecil pun penghasilanmu.

24. Hendaklah engkau menyimpan sebahagian daripada penghasilanmu untuk persediaan masa-masa sukar, betapa sedikit dan jangan sekali-kali menyusahkan dirimu untuk mengejar kesempurnaan.

25. Hendaklah engkau menghidupkan tradisi Islam dan menghapuskan tradisi asing dalam setiap aspek kehidupanmu. Jagalah sunnah dalam setiap aktiviti tersebut.

26. Hendaklah engkau memboikot kehakiman kehakiman yang tidak Islami, demikian juga penerbitan-penerbitan, organisasi-organisasi, sekolah-sekolah dan segenap institusi yang tidak menyokong fikrahmu secara total.

27. Hendaklah engkau sentiasa merasa diawasi oleh Allah, mengingati akhirat dan bersiap-siap untuk menuju redha Allah dengan tekad yang kuat, serta mendekatkan diri kepada Allah dengan banyak ibadah sunah, memperbanyak zikir (hati dan lisan), dan berusaha mengamalkan doa yang diajarkan pada setiap kesepatan.

28. Hendaklah engkau bersuci dengan baik dan usahakan agar sentiasa dalam keadaan berwuduk (suci) pada sebahagian besar waktu anda. 29. Hendaklah engkau melakukan solat dengan baik dan sentiasa tepat waktu dalam menunaikannya. Usahakan untuk sentiasa berjemaah di masjid.

30. Hendaklah engkau berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji. Lakukan sekarang juga jika kamu telah mampu.

31. Hendaklah senantiasa menyertai dirimu niat jihad dan cinta mati syahid. Bersiaplah untuk itu pada bila-bila saja peluang untuk itu tiba.

32. Hendaklah engkau sentiasa memperbaharui taubat dan istghfarmu. Berhati-hatilah terhadap dosa kecil, apatah lagi besar. Sediakanlah untuk dirimu beberapa saat untuk mengintropeksi diri terhadap apa-apa yang telah dilakukan, yang baik mahupun yang buruk. Perhatikan masa, kerana masa adalah kehidupan itu sendiri. Janganlah engkau pergunakan ia sedikitpun tanpa guna dan janganlah engkau ceroboh terhadap hal-hal yang syubhat supaya tidak jatuh ke dalam lembah yang haram.

33. Hendaklah engkau berjuang meningkatkan keupayaan dengan bersungguh-sungguh agar engkau dapat menerima tongkat kepemimpinan. Hendaklah engkau menundukkan pandanganmu, menekan emosimu, dan mengawal jiwamu. Gapailah hanya yang halal dan baik serta hijabilah dari yang haram dalam keadaan bagaimanapun.

34. Hendaklah engkau jauhi mabuk dan seluruh makanan atau minuman yang memabukkan sejauh-jauhnya.

35. Hendaklah engkau menjauh daripada pergaulan dengan orang jahat dan persahabatan dengan orang yang rosak serta jauhilah tempat-tempat maksiat.

36. Hendaklah engkau perangi tempat-tempat yang tidak sepatutnya, jangan sekali-kali mendekatinya, serta jauhi gaya hidup mewah dan bersantai-santai.

37. Hendaklah engkau mengetahui teman pergaulanmu satu persatu dengan pengetahuan yang lengkap dan kenalkanlah dirimu kepada mereka dengan selengkap-lengkapnya. Tunaikanlah hak-hak ukhuwah mereka dengan sepenuhnya hak kasih sayang, penghargaan, pertolongan dan itsar. Hendaklah hadir di majlis mereka, tidak hadir kecuali ada keuzuran atau kecemasan dan pegang teguhlah sikap dalam pergaulanmu dengan mereka.

38. Hendaklah engkau elakkan hubungan dengan organisasi atau jamaah sekiranya hubungan itu tidak membawa maslahat bagi fikrahmu.

39. Hendaklah engkau menyebarkan dakwahmu di mana-mana dan memberi maklumat kepada pemimpin tentang segala keadaan yang melingkupimu. Jangan engkau berbuat sesuatu yang memberi kesan penyertaan kecuali dengan izinnya.

40. Hendaklah engkau sentiasa menjalinkan hubungan baik secara rohani mahupun fizikal dengan Jamaah dan menempatkan dirimu sebagai "tentera yang berada diberek yang sedang menanti arahan komander".

Sumber: http://detikislam.blogspot.com/

Thursday 3 January 2013

2013, azam dan tekad


2012 telah pun melabuhkan tirainya. Kini mentari 1 Januari membuka jendela 2013 yang pastinya akan diisi dengan berbagai episod kehidupan, cerita duka atau gembira.

Tahun baru amat sinonim dengan satu perkara iaitu memperbaharui azam dan tekad. Azam bermaksud cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan diri sendiri untuk masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan ceria.

Maka ramailah yang berazam mahu melakukan itu dan ini, ada yang nak tambah ini, mahu kurang ini. Tidak salah untuk berazam kerana ia menunjukkan kita mempunyai keinginan untuk berusaha melakukan sesuatu. Namun, bimbang kalau-kalau ia menjadi satu resam atau budaya iaitu tibanya tahun baru, maka berazamlah dengan seribu satu azam. Sedangkan ianya tidak pernah tertunai. Yang merokok semakin banyak bilangan batangnya walaupun saban tahun berazam “aku nak berhenti merokok, membazir”.

Tetapi saya tidak melarang untuk anda semua berazam atau memasang tekad. Bahkan azam juga semuanya yang baik-baik. Tidak pernah kita mendengar ada orang yang berazam dengan azam yang pelik atau tidak baik. Jadi, jika anda bercita-cita untuk berbuat kebaikan atau ada keinginan berubah kepada kebaikan, mengapa perlu disekat. Ayuh, jadikan azam anda satu kenyataan!

Kata pepatah Arab: “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”

Oleh itu, untuk menjadi orang yang beruntung, kita mestilah sentiasa menjadi yang terbaik. Tafsiran terbaik boleh diukur sendiri dengan menilai setiap apa yang dilakukan. Bertambahkah amal atau semakin berkurang, suka kepada majlis ilmu serta perkara-perkara kebaikan atau sebaliknya. Jika ini berlaku, maka kita dapat menilai sendiri graf iman yang dimiliki samada menaik, menurun atau mendatar.

Tekadkan seperti mereka

Sesungguhnya setiap denyut nadi dan hembusan nafas adalah anugerah Allah SWT yang diberi percuma. Bagi yang menggunakan akalnya, pasti mengerti bahawa anugerah ini adalah amanah yang perlu dijaga dan digunakan dengan sebaik mungkin. Ia pasti akan dipersoalkan tatkala tiba masanya.

Perbezaan orang yang menggunakan akal dengan orang yang menurut hawa nafsu ialah dari sudut bagaimana mereka melihat dunia ini. Ada orang yang melihat dunia ini adalah satu persinggahan sebentar dalam perjalanan menuju destinasi yang abadi. Manakala ada pula yang melihat dunia merupakan tempat untuk memburu dan meraih keseronokan, kemewahan dan kesenangan.

Tidak salah untuk mencari kesenangan dan kemewahan, kerana ia adalah naluri keinginan manusia dan di antara salah satu perkara-perkara yang dapat mengundang kebahagiaan. Islam tidak menyekat atau melarang untuk mencari harta kemewahan. Tetapi biarlah kemewahan itu menjadi penyebab untuk meraih rahmat dan ganjaran pahala daripada Allah SWT. Bukan seperti penghimpun kekayaan persis Qarun yang dilaknat oleh Allah, tidak juga seperti kapitalis yang memonopoli kekayaan sehingga menindas orang lain.

Islam amat indah. Di dalamnya terkandung sifat kasih sayang sesama manusia. Islam mengemukakan sistem zakat, menggalakkan sedekah, infaq, derma dan sebagainya supaya manusia menjadi pemurah, prihatin dan bertanggungjawab terhadap orang lain. Bahkan Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang membantu meringankan kesusahan orang lain dengan bersedekah.

Sirah membuktikan Rasulullah saw tidak melarang para sahabat berniaga dan memiliki harta. Kita melihat berdirinya pasar Uqaz yang menjadi tempat para sahabat memperlihatkan kepakaran dalam bidang perniagaan. Mereka memiliki harta kemewahan tetapi ianya itu tidak mengongkong hati mereka. Abdul Rahman bin Aus ra. misalnya, dengan mudah menyerahkan 100 ekor unta beserta barang dagangannya yang ada di belakang unta tersebut. Beliau dengan senang hati menyerahkannya kepada Rasulullah untuk dimanfaatkan kepada kepentingan akhirat iaitu untuk meninggikan kalimah Allah SWT.

Kita?

Kita tidaklah seperti Abdul Rahman bin Aus ra, sekadar mana iman dan keyakinan kita di akhir zaman ini, tetapi ianya boleh dijadikan peringatan dan peransang. Mudah-mudahan ada azam dan tekad untuk menginfaqkan kesenangan yang termampu yang telah Allah limpahkan kepada kita. Insya-Allah, moh berazam!

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud ra. katanya: "Nabi Muhammad saw pernah bersabda :" Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain." (Riwayat al-Bukhari)

Tuesday 1 January 2013

Perutusan tahun baru 2013

Perutusan tahun baru 2013 oleh tuan guruku, al-Fadhil Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man .


Sempena kedatangan tahun 2013 ini, marilah kita bertekad dan berazam untuk sama-sama meningkatkan usaha ke arah yang lebih baik. Bina semangat juang, jihad dan kesungguhan bekerja dan bergerak ke arah perubahan.

Semoga tahun 2013 ini menjadi tahun perubahan, Insya Allah.

Inilah bahananya!


Awal Januari kita pakat-pakat sambut tahun baru.
Awal September pula kita pakat sambut __________________.
(Isikan tempat kosong dengan perkataan yang sesuai) 

Klu: Diletakkan dalam tong sampah, atau disangkut pada pagar surau, atau yang terbaru dicampak dari tingkap rumah pangsa.

Inilah bahananya!
Muhasabah diri teman-teman, semoga Allah melindungi kita semua...