Sahabat Sejati

Thursday 28 February 2013

Mimpi bertemu Rasulullah mimpi benar

Soalan: 

Saya ingin mengetahui mngenai mimpi berjumpa Rasulullah saw. Bagaimana orang sekarang boleh mengetahui itu adalah Rasulullah, sedangkan tiada sesiapa pun di zaman ini pernah menemui Rasulullah secara `live`. Ertinya tiada sesiapa pun mengenal baginda, bagaimana boleh didakwa itu Rasulullah? Mohon bantu hilangkan kekeliruan saya.

Jawapan: 

Mimpi bertemu Rasulullah saw adalah mimpi benar dan wajib dipercayai bahawa mimpi itu adalah benar. Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang bermimpi melihat daku dalam tidurnya, maka sesungguhnya dia telah melihat daku. Sesungguhnya syaitan tidak berupaya untuk menyerupai daku, apabila dimimpikan dalam tidur seseorang.” (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Hadis sebegini, amatlah banyak. Semuanya sahih, malah ada hadis (mafhumnya): “Sesiapa yang bermimpi melihat daku dalam tidurnya, maka dia akan bertemu dengan aku secara sedar (yaqazah) dan syaitan tidak boleh menyerupai aku di dalam mimpi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian juga hadis (mafhumnya): “Sesiapa yang melihat daku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia melihat yang benar (haq).”

Al-Qadi `Iyaadz menyebut, beliau menukilkan daripada ulama muktabar, katanya: “Allah mengkhususkan mimpi yang benar, hanya mimpi bertemu Rasulullah saw, kerana Allah menjaga kekasihnya, dari ditiru oleh musuh Allah (syaitan) untuk menyesatkan manusia.

Al-Imam an-Nawawi dalam syarah Muslimnya, ada menyebut:

“Mimpi berjumpa Rasulullah adalah mimpi benar, sama ada di dalam keadaan Rasulullah benar-benar dalam kenabiannya ataupun tidak.”

Menurut ulama muktabar, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah saw dalam apa keadaan sekalipun , maka ia telah benar-benar menemui Rasulullah saw.

Adapun tentang bagaimana mengenalinya, sedangkan tidak pernah orang zaman ini bertemu dengan Rasulullah saw secara `live`, maka boleh dijelaskan dengan berbagai cara:

i) Orang yang bermimpi itu mendapati dirinya berada benar-benar di zaman Rasulullah. Iaitu pada suasana ketika itu, dengan bangunan lama, binatang-binatang peliharaan unta, kambing berkeliaran. Orang ramai berpakaian Arab, berpusu-pusu menanti Rasulullah saw yang akan keluar dari masjid atau rumah. Semua mengetahui dan bermimpi pun mengetahui dan yakin Rasulullah akan keluar menemui mereka. Lalu berlaku sungguh-sungguh Rasulullah keluar.

ii) Bermimpi bersama rombongan Rasulullah saw ke medan perang atau mengerjakan haji atau umrah. Atau bersama dalam satu misi dakwah yang Nabi saw sendiri mengetuainya. Semua dalam rombongan itu mengenali bahawa di hadapan mereka adalah Rasulullah. Dengan hati yang amat yakin bahawa itu adalah Rasulullah saw.

iii) Bermimpi Rasulullah sedang bertazkirah di hadapan orang ramai. Dalam suasana yang benar-benar diyakini di dalam hati bahawa itu Rasulullah sedang berbicara dan anda berada di dalam jemaah itu, tetapi tidak jelas butiran apa yang diperkatakan, tetapi itu adalah Rasulullah saw.

iv) Bermimpi seorang lelaki hebat, penuh beradab sedang berjalan di hadapan, di belakangnya sahabat-sahabat ramai. Orang yang bersama dengan anda mengatakan, “Itu Rasulullah, itu Muhammad Rasulullah, itu Muhammad Habibullah.”

v) Yang bermimpi berhadapan-hadapan dengan Rasulullah dalam satu suasana yang benar-benar diyakini itu adalah Rasulullah dan anda mengadap serta berhadapan dengannya.

Dan banyak lagi yang menunjukkan bahawa mimpi itu adalah Rasulullah yang benar-benar diyakini tanpa sebarang keraguan. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Wednesday 27 February 2013

Doakan mereka...


Tiada yang lebih menyeronokkan selain daripada pulang ke kampung.

Bagi saya yang memang `budak kampung`, ada sesuatu yang istimewa yang menghadirkan satu perasaan. Apakah perasaan itu? Entahlah, sulit untuk saya jelaskan, namun saya menikmati perasaan itu sepuasnya. Biarpun tidak bagi sesetengah orang, mungkin bagi mereka ianya sesuatu yang biasa sahaja.

Di kampung ada kokokan ayam jantan yang bertenggek di tunggul mati, ada kicau burung yang melompat-lompat dari dahan ke dahan, ada juga sahutan katak di belakang paya selepas hujan dan anak-anak pula bebas berkejaran di tengah halaman nan luas.

Tetapi kedamaian sebenar ialah di kampung ada tangan yang hendak dicium, ada rindu yang mahu didakap dan ada wajah yang sentiasa menghadirkan ketenangan dan kedamaian yang sentiasa dirintih oleh hati sanubari. Benar, berada di dalam pelukan bonda menghadirkan seribu ketenangan, bagaikan turun sakinah dari langit Ilahi. Lalu saya menyedari, sekelip mata hilang terbang semua keresahan dan kegelisahan yang memagut dinding hati. Insan, sentiasa memerlukan penawar dalam hidup.

Namun itu semuanya telah pun berlalu, tidak sekali-kali ia akan kembali menyapa saya. Ia pergi jauh dan semakin menjauh. Seperti pertanyaan Imam al-Ghazali: Apakah yang paling jauh?” Biarpun berbagai jawapan yang diberikan oleh murid-muridnya, yang pasti jawapannya adalah “masa lalu...” Waktu akan terus datang dan pergi tanpa siapa pun dapat menghalangnya. Ia terus berlalu bersama kenangan yang dilewati.

Bonda telah pun berkelana ke alam abadi. Ayahanda pula terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi mendahului bonda. Kehidupan, ia hanyalah sebuah perjalanan, yang pasti ada akhirnya. Tiada siapa yang dapat menghalang, walau hebat manapun ia dan sehebat mana perancangan yang dibuat. Dunia adalah persinggahan sementara, ada hari datang dan ada hari pergi, tiada yang kekal melainkan DIA.

Kadang-kala saya seakan-akan menyesali kesilapan diri. Banyak yang tidak sempat saya lakukan sebagai amal bakti untuk keduanya. Hari-hari yang pergi umpama mewarisi kesedihan yang terpalit dalam memori. Saya merintih memohon keampunan-Nya atas ilmu-Nya Yang Maha Tahu.


Doakan mereka

Firman Allah SWT:

"Dan Kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan dan tempoh mengandung berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang matang dan sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)." (al-Ahqaf: 15)

Betapa indahnya bait-bait ayat ini. Ia tersusun dengan cantik dan menusuk kalbu. Firman Tuhan ini menceritakan satu perjalanan panjang kehidupan manusia. Bermula dari dalam kandungan, kemudian dilahirkan sehinggalah bercerai susu, kemudian menjadi remaja yang matang dan seterusnya mencapai usia 40 tahun. Lalu diketika itu disarankan pula agar sentiasa bertaubat dengan memohon doa kepada-Nya, memohon keampunan kepada kedua ibu bapa dan untuk zuriat keturunannya.

Kita ini sentiasa menyusahkan mereka, ketika di dalam kandungan membawa kita ke sana ke mari, kita menyusahkan ketika dilahirkan sehingga dikatakan berbagi nyawa di antara hidup dan mati. Ketika dibesarkan, kenakalan apa yang tidak kita lakukan yang memang mengundang keresahan mereka. Justeru, kenangilah kepayahan mereka dengan seadanya.

Saya tidak dapat mengundurkan masa kerana masa bukanlah milik saya. Namun ayat di atas mengajar akan kebaktian yang dapat kita lakukan kepada kedua ibu bapa walaupun mereka telah tiada. Benar, ianya adalah doa!

Ayuh, sahabat-sahabat! Jangan lupa untuk sentiasa mendoakan kepada ibu bapa samada mereka masih ada ataupun telah kembali mengadap Ilahi. Demikianlah satu-satunya kebaktian yang dapat dihulurkan tanpa perlu mengeluarkan modal...

Mudah-mudahan.

Monday 25 February 2013

Poster: Palestin (1)

 ...اين انت يا عمر

 

"Dimanakah engkau wahai Umar,
Adakah engkau telah mendengar perkhabaran,
Sesungguhnya al-Aqsa sedang menunggu..."

Saturday 23 February 2013

Kata-kata hikmah Imam al-Muhasibi

 Risalah al-Mustarsyidin karangan Imam al-Muhasibi

1- Setiap sesuatu ada perkara paling bernilai padanya. Perkara paling bernilai bagi manusia ialah akalnya. Perkara paling bernilai pada akal ialah taufiq yang diberi kepada akal itu.

2- Sebaik-baik umat ini ialah orang yang tidak meninggalkan dunia ini kerana mencari akhirat, dan tidak juga meninggalkan akhiratnya untuk mencari keuntungan dunia.

3- Akhlak yang baik ialah menahan diri daripada melakukan penganiayaan, kurang marahnya, ceria wajahnya, dan elok tutur katanya.

4- Sesiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah, sesungguhnya dia mengundang kehilangannya.

5- Semua orang yang berzuhud mengikut kadar ilmunya. Ilmunya menurut nilai akalnya. Akalnya pula menurut nilai kekuatan imannya.

6- Orang yang zalim akan menyesal walaupun dipuji oleh manusia. Orang yang dizalimi akan selamat walaupun dicela oleh manusia.

7- Orang yang sentiasa merasa cukup adalah orang yang sebenarnya kaya walaupun dia berada dalam kebuluran. Orang yang tamak adalah miskin walaupun dia berada dalam kekenyangan.

8- Sesiapa yang membetulkan hatinya dengan muraqabah dan keikhlasan, Allah akan mengindahkan zahirnya dengan mujahadah dan mengikut sunnah.

9- Seorang hamba yang soleh akan Allah jadikan kesolehannya pada orang lain. Seorang hamba yang rosak, Allah akan jadikan kerosakannya menjangkiti orang lain.

10- Sifat perhambaan yang sebenar ialah engkau tidak melihat kekuasaan pada dirimu, dan engkau mengetahui bahawa engkau tidak berupaya memberi mudarat atau manfaat untuk dirimu.

11- Ikhlas yang sebenar ialah mengeluarkan (membuang) seluruh makhluk dalam urusan ketuhananmu, dan dirimu sendiri adalah makhluk yang pertama yang dikeluarkan.

12- Sesiapa yang bersungguh-sungguh memelihara batinnya, Allah akan mewariskan kepadanya perlakuan yang baik pada zahirnya, dan sesiapa yang mengindahkan urusannya dengan Allah pada perkara yang zahir bersama dengan kesungguhannya menjaga batinnya, maka Allah akan mewariskan kepadanya hidayah.

Imam al-Muhasibi ialah Abu Abdillah, al-Harith bin Asad al-Muhasibi al-Basri. Lahir di Basrah sekitar tahun 165H. Meninggal di Baghdad pada tahun 243H. Dikenali sebagai al-muhasibi kerana banyak bermuhasabah tentang dirinya.

Beliau meriwayatkan hadith daripada Yazid bin Harun dan ulama seangkatan dengannya. Pernah belajar dengan Imam as-Shafie. Beliau seorang ahli ibadat yang tekun, sufi yang zuhud, faqeh dan ulama usul serta ilmu kalam. Pendakwah yang mampu mengalirkan airmata para pendengarnya. Ulama hadith yang fasih berbicara. Bercakap perkara yang baik dan memberi nasihat sehingga pendengar terkesan dengan ucapannya. Karangan beliau mencecah 200 buah. Imam Ahmad bin Hanbal pernah menghadiri majlis ilmunya sehingga menangis dan pengsan kerana kesan ucapannya yang menusuk qalbu.

Wednesday 20 February 2013

Kesedihan adalah kasih sayang-Nya, tidakkah kita mahu merasakannya?


Kehidupan ini dipenuhi onak dan liku-liku. Ada perkara yang menggembirakan dan tidak kurang juga perkara-perkara yang mendukakan. Kita tidak akan merungut atau runsing disebabkan sesuatu yang menggembirakan. Tetapi kita banyak mengeluh dan mengadu kepada `sesiapa` ketika ditimpa kesedihan dan kekecewaan. Keresahan dan kegelisahan mudah terpancar diriak wajah tatkala ditimpa kesedihan.

Apakah yang kita lihat di sebalik kesedihan dan kekecewaan itu. Mungkin kita merasakan diri bernasib malang dan sebagainya. Bahkan ramai yang begitu, merasakan seolah-olah tiada sehari dalam hidupnya mengecapi kebahagiaan apabila ditimpa kedukaan.

Bicara mengenai kesedihan. Seringkali kita memandangnya dari sudut yang negatif. Mengapakah kita tidak melihat itu semua adalah proses didikan Allah. Benar, didikan dan aturan Allah buat hamba-Nya yang sentiasa lalai dan alpa. Proses didikan yang membuka ruang untuk muhasabah diri bahawa kita adalah hamba yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Kita adalah hamba yang sepatutnya meletakkan sepenuh pengabdian diri semata-mata untuk-Nya.

Hikmah kesedihan 


Antara perkara-perkara yang Allah boleh campakkan ke dalam hidup manusia dan manusia itu tidak boleh berbuat apa-apa untuk menolaknya. Allah mencampakkan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira siapa dia, seorang raja atau rakyat biasa, si miskin atau si kaya, orang tua atau muda, iaitu perasaan dukacita atau kesedihan.

Bahkan, kadang-kadang kesedihan atau dukacita mendatangi hati manusia tanpa manusia itu mengetahui mengapa dia bersedih. Boleh jadi ada perkara-perkara yang mengundang kesedihannya tetapi bagi orang lain ia tidak menimbulkan sebarang kesedihan.

Tatkala bersedih, manusia mula runsing dan mencari-cari jalan bagaimana untuk keluar daripada kesedihan itu. Mereka melakukan berbagai-bagai usaha untuk menghilangkan kesedihan daripada kehidupan mereka.

Memang kita tidak disuruh meminta kesedihan. Bahkan Rasulullah mengajar doa memohon perlindungan daripada kesedihan yang lalu dan yang akan datang. Namun, kadang-kala dukacita dan kesedihan berjaya merubah seseorang itu daripada satu watak kepada watak yang lain.

Pernahkah kita terfikir, atau mungkin kita tidak pernah terfikir bahawa ramai orang yang mencari dan menemui Allah ketika mereka ditimpa kesedihan. Dan realitinya tidak ramai orang yang mencari Allah ketika dia gembira dan berada di dalam keadaan selesa. Mudahkah bersyukur ketika diri berada dipuncak kesenangan berbanding ketika diri berada di segenap kekurangan.

Fikirkanlah...

Ada orang yang sombong dan angkuh suatu masa dahulu tetapi menjadi tawadhuk dan rendah hati kerana ada perkara-perkara yang mendukacitakannya. Ada juga orang yang dahulunya sentiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat tetapi berubah menjadi soleh dan ahli ibadat setelah Allah timpakan kesedihan kepadanya. Benar, jika tidak kerana ada perkara-perkara membibitkan kesedihan, mungkin ramai yang terleka dan tersesat lalu mati menjadi ahli neraka, na`udzubillah.

Demikianlah besarnya hikmah kesedihan bagi sesiapa yang melihatnya dengan cahaya hati. Oleh itu, laluilah kehidupan ini dengan sebaiknya. Kesedihan dan dukacita bukannya musibah yang seharusnya dibenci. Tetapi lihatlah ia sebagai satu ‘jemputan’ daripada Allah menuju kepada kasih sayang-Nya.

Tidakkah kita mahu merasakan begitu?

Tuesday 19 February 2013

14 Februari, saya merintih...


Hati kecil saya sering merintih keseorangan. Terfikirkan tentang keadaan diri manusia akhir zaman ini, seakan-akan begitu terasing jauh dari petunjuk dari langit. Melihat realitinya, hati kecil berkira-kira: “Seolah-olah Nabi tidak tidak pernah datang, al-Quran tidak pernah muncul.”

Apakah sehingga begitu sekali rintihan saya, bahkan ia berkocak mengganggu kedamaian hati.

Membaca berita tentang gejala keruntuhan moral dan akhlaq dikalangan masyarakat khususnya remaja amat meresahkan. Kerosakan akhlaq, minda dan jiwa serta seribu satu kerosakan yang melanda di tahap yang amat membimbangkan. Saya mencoret berdasarkan pengalaman dalam keterlibatan misi-misi dakwah. Saya memerhati, sesungguhya cabaran hidup pada akhir zaman menjadikan kita mudah alpa dan sering terkeliru.

Remaja merupakan aspek penting dan tonggak utama sesebuah negara. Tidak keterlaluan jika dikatakan remaja ibarat hati di dalam diri manusia. Maka jika rosak hati itu, lama-kelamaan akan rosaklah seluruh jasadnya. Begitulah remaja, jika ia rosak maka akan rosaklah sesebuah negara kerana remaja adalah bayangan kepada masa depan sesebuah negara. Benarlah ungkapan yang berbunyi: “Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada pemuda dan pemudinya.”

Itulah realitinya dan saya melihatnya setiap kali terlibat dalam misi-misi dakwah, baik malam tahun baru, malam kemerdekaan serta hari valentine.

Seringkali saya tertanya-tanya, mengapakah ini semua berlaku? Bukankah Allah SWT telah menurunkan panduan buat umat manusia, dan dengan rahmat kasih sayang-Nya diturunkan pula pemudahcara kepada panduan tersebut. Maka, apakah pantas untuk kita berkata lagi bahawa petunjuk kebaikan yang menjadi panduan tidak pernah menjenguk diri manusia zaman ini?

Sirah membuktikan generasi para sahabat yang menjadi sebaik-baik umat. Sedangkan sebelum itu mereka terkenal dengan manusia yang ganas, zalim, suka berperang dan sebagainya. Akhirnya daripada kehidupan zaman jahiliyyah mereka bertukar menjadi umat yang baik, adil, penyayang, bertamadun tinggi serta terbaik di sepanjang zaman. Nah! Inilah hasil didikan Rasulullah saw melalui petunjuk wahyu Ilahi.

Petunjuk yang sama juga telah menjenguk dan menyentuh hati kita di zaman ini.Apakah kita tidak merasakan ia sesuatu yang amat berharga dan mesti didakap seeratnya?

Oleh itu, marilah kita sama-sama menginsafi diri, sesungguhnya tidak ada jalan dan cara, yang sebenarnya melainkan masyarakat ini mesti kembali kepada petunjuk dan bimbingan daripada langit itu. Hanya dengan jalan demikian, kita akan selamat dunia dan akhirat. Saya benar-benar mengingatkan diri saya.

Seorang teman berlabun: “Apa persamaan malam tahun baru, malam kemerdekaan dan hari valentine?”

“Musim mengawan.” Dia sendiri yang memberikan jawapan.

Kasar, tetapi itulah realitinya...

Sunday 17 February 2013

Petunjuk mimpi benar atau bohong

Soalan:

Apakah panduan-panduan syarak untuk kita boleh mempercayai bahawa mimpi kita itu adalah benar atau pun bohong. Apa petunjuk yang jelas, kita boleh percaya dan berpegang dengannya sebagai panduan. Terima kasih.

Jawapan:

Mimpi benar atau `ar-rukya assadiqah`, memang boleh berlaku ke atas manusia biasa. Hatta ke atas orang fasik, munafik dan kafir pun boleh berlaku mimpi sebegitu.

Contohnya pada zaman sebelum Islam, datuk Nabi Muhammad saw, iaitu Abdul Mutalib pernah bermimpi daripada zuriatnya akan dibangkitkan seorang rasul.

Parameswara iaitu pemerintah Melaka sebelum menganut agama Islam, dikatakan pernah bermimpi berjumpa Nabi Muhammad sawyang mengajaknya memeluk Islam dan akhirnya masuk Islam. Dan banyak lagi yang seumpama dengannya.

Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): "Tidak tinggal lagi daripada kenabian, melainkan mubasysyraat." Sahabat bertanya kepada baginda, "Apakah mubasysyraat?" Nabi menjawab, "Mimpi-mimpi kamu yang benar."

Ertinya mimpi benar itu boleh berlaku ke atas orang biasa.

Abu Hurairah ra. pernah meriwayatkan hadis Nabi (mafhumnya): "Mimpi yang baik, adalah khabar gembira daripada Allah kepada hamba-Nya." (Riwayat Imam Muslim)

Abu Hurairah juga pernah meriwayatkan hadis Rasulullah saw, yang pada suatu ketika sesudah solat malam bersama para sahabat, baginda bertanya (mafhumnya): "Adakah sesiapa daripada kalian, bermimpi perkara yang baik malam semalam? Sebenarnya tidak tinggal daripada kenabian melainkan mimpi-mimpi yang baik." (Riwayat Imam Malik dan al-Hakim - hadis sahih)

Ertinya apa sahaja mimpi yang menyeronokkan atau mimpi baik adalah petanda kebaikan kepadanya terutamanya jika bermimpi berjumpa Rasulullah saw atau bermimpi mengerjakan haji dan umrah, atau berada di hadapan Kaabah, atau mengadakan kenduri, bersolat jemaah yang diimamkan ulama besar, atau Nabi sendiri mengimamkan solatm, atau memberi sedekah atau apa sahaja kebaikan kepada manusia, semuanya adalah petanda mimpi itu benar.

Adapun mimpi buruk pun berlaku. Ada panduan hadis yang jelas, seperti hadis (mafhumnya): "Jabir bin Abdullah pernah meriwayatkan hadis perihal seorang Arab berjumpa Nabi Muhammad saw dan menceritakan kepada baginda tentang mimpinya yang menakutkan, iaitu bahawa kepalanya dipenggal orang, berpisah kepala daripada badannya dan kepala itu bergolek-golek di atas bumi. Dia sangat ketakutan. Lalu baginda berkata kepadanya, "Jangan kamu menceritakan mimpimu itu kepada mana-mana orang, itu adalah mainan syaitan dalam mimpi kamu."

Hadis sebegini, menjadi panduan kepada kita, bahawa mimpi-mimpi yang buruk atau menakutkan, adalah perbuatan daripada syaitan yang mungkin sesuatu tidak baik boleh berlaku.

Rasulullah saw memberi panduan kepada kita dalam hadis baginda (mafhumnya): "Sekiranya kamu bermimpi perkara yang menakutkan, jika kamu terjaga daripada tidur, maka mohonlah perlindungan daripada Allah, agar yang buruk itu tidak berlaku dan kamu tiup dengan kuat, dengan mengeluarkan sedikit air liur sebelah kiri, dan berubah kepada posisi tidur dan jangan cerita kepada mana-mana orang, insya-Allah yang buruk itu tidak berlaku."

Jika mimpi tadi tergolong dalam mimpi yang baik-baik dan menyeronokkan, maka ceritalah kepada orang yang dikasihi, iaitu yang dekat dengan kamu.

Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Jika seseorang kamu bermimpi yang baik-baik, maka pujilah Allah di atas nikmat mimpi yang baik itu dan berceritalah kepada orang yang dikasihi." (Riwayat Imam Bukhari) Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din 

Saturday 16 February 2013

Catatan Jumaat

Sekarang adalah pertengahan bulan Februari. Kebiasaannya ia bukan musim hujan, tetapi di tempat saya sudah enam hari hujan membasahi bumi. Bermula pada pagi Ahad Tahun Baru Cina sehinggalah ke hari ini. Kadang-kadang lebat, kadang-kadang hanya renyai-renyai, jika berhenti pun sekadar dua tiga jam dengan cuaca yang sentiasa mendung. Bahkan ketika saya sedang menaip ini, di luar berdetak bumbung beranda ditimpa hujan tetapi tidaklah lebat.

Jumaat tadi saya bersembahyang di masjid Balok Makmur. Alhamdulillah masjid yang sangat makmur dengan kuliah-kuliah ilmu. Boleh dikatakan hampir setiap malam ada kuliah maghrib di situ. Saya selalu saya juga ke situ mendengar kuliah selain daripada musollah di tempat saya. Biasanya saya ke situ jika ada ustaz jemputan dari luar menyampaikan kuliah.

Khatib yang berkhutbah pada hari ini ialah al-Fadhil Ustaz Khairul Ikhwan a.k.a ustaz budak besar. “Kewajipan memilih pemimpin yang adil dan amanah”, wahh... cukup sesuai dengan keadaan semasa. Luas mata saya menghayati isi-isi khutbah yang amat segar dan relevan itu. Kalau tidak saya pun terkulai layu seiring dengan khutbah yang mendodoi-dodoi. Saya pernah bersembahyang Jumaat di satu daerah, masya-Allah khutbahnya, entah berapa kali saya tersengguk-sengguk menahan mengantuk yang amat sangat.

 Buku-buku yang dibeli

Keluar dari masjid saya singgah sebentar di deretan gerai yang menjual bermacam –macam barangan. Ada gerai menjual buku, minyak wangi, barangan kesihatan, kurma, kismis dan sebagainya. Saya pula akhirnya ‘terbeli’ juga 3 buah buku untuk koleksi. Membaca sinopsisnya di kulit belakang menarik minat saya membelinya. Entahlah bila agaknya dapat menghadam isi kandungannya, saya tidak pasti. Begitulah keadaan saya, amat lemah jika di kedai atau toko buku. Paling tidak pun mesti membelinya walaupun satu. Tak apalah, bukannya sesuatu yang membazir. Boleh dipusakakan ke anak cucu...

Si kecil Haikal

Petang tadi ketika balik dari kerja saya perasan yang ‘si kecil’ Haikal tampak seperti tidak selesa, sekejap menggaru badan, sekejap menggaru kaki dan tangan. Saya segera mengambil tahu. Ahh, rupanya-rupanya ada suatu keganjilan, kaki, tangan dan belakangnya ditumbuhi ruam-ruam kemerahan.

Sah! Demam campak, tapi demamnya belum lagi.

Saya cuba untuk bertenang, walaupun merasa amat kasihan melihatnya tergaru-garu kegatalan. Selepas Isyak saya dan isteri membawanya ke klinik. Alhamdulillah keadaannya tidaklah membimbangkan, sang doktor manis bertudung itu memberikan ubat sapu yang berwarna putih berserta ubat demam yang perlu diminum sekiranya ada tanda-tanda demam.  Mudah-mudahan tidak melarat dan semuanya berada di dalam keadaan baik.

Sabtu dan Ahad saya tidak berkerja, bolehlah saya menemani isteri menjaga Haikal.

Insya Allah.

Tuesday 12 February 2013

14 Feb: Gerakan Hari Menutup Aurat Sedunia

KUALA LUMPUR: Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia ingin menarik perhatian umum berkenaan pelancaran kempen Gerakan Menutup Aurat (Gemar) yang kini telah masuk tahun kedua.

“Gemar merupakan satu usaha kreatif untuk memberi pendedahan dan kefahaman masyarakat berkenaan isu-isu eksploitasi wanita dan lelaki melalui kempen penutupan aurat yang sempurna,” ujar Setiausaha Gemar Malaysia, Hikmah Sahimi dalam satu kenyataan.

Katanya, eksploitasi tubuh sebagai sebuah komoditi komersial jarang disedari oleh masyarakat kerana eksploitasi itu dijelmakan dalam bentuk fesyen atau ‘trend’ tanpa masyarakat sedar tubuh mereka sebenarnya telah dieksploitasi demi keperluan meterialistik.

Tambahnya, terdapat juga tanggapan menutup aurat adalah penyebab kemunduran umat Islam, tidak kurang juga yang mengatakan penetapan menutup aurat ke atas wanita Muslim adalah bentuk penindasan kaum lelaki ke atas wanita.

Sebagai contoh, ujarnya isu yang pernah ditimbulkan oleh salah satu pertubuhan wanita di Malaysia yang mengatakan bahawa wanita mempunyai hak dan kebebasan untuk menentukan cara mereka berpakaian.

“Dalam hal ini, kami berpandangan bahawa dalam Islam hak berpakaian bukanlah hak milik mutlak individu.

“Sebagai hamba Allah, kita perlu memahami hidup sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain,” tegasnya.

Katanya, komuniti yang berpakaian sopan adalah hak yang perlu dinikmati masyarakat, sementara persoalan-persoalan lain berkenaan aurat telah juga Gemar sediakan jawapannya di laman ‘facebook’ Gemar Malaysia’.

Justeru, katanya diharapkan ia dapat menjadi rujukan umum bagi mereka yang memerlukannya.

Tambahnya, tarikh 14 Februari pula dipilih sempena sambutan hari kekasih dan ia diharapkan dapat menjadi satu sambutan alternatif kepada keghairahan sambutan tersebut.

Jelasnya, Gemar Malaysia turut menegaskan, sambutan Hari Kekasih oleh warga muslim pada hari ini, tidak lebih dari sekadar eksploitasi komersial untuk melariskan produk-produk cinta, mengambil kesempatan diatas kejalihan dan pendek akal masyarakat.

Katanya, kempen Gemar telah dimulakan di peringkat nasional dan antarabangsa sejak pertengahan Januari.

Kata beliau, di peringkat nasional dan Pulau Pinang khususnya, satu garis panduan mudah telah dipromosiakan di laman ‘facebook’ Gemar Malaysia.

“Melalui garis panduan ini, sesiapa sahaja yang mempunyai kesedaran tentang kempen aurat ini boleh memulakan usaha dakwah mereka di komuniti masing-masing dengan mudah dan secara rasmi, mereka adalah sebahagian daripada 1,500 penyokong Gemar setakat ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, katanya hal ini menyatakan bahawa anda tidak berseorangan dalam memperjuangkan isu kewajipan menutup aurat.

Beliau berkata, kempen Gemar Malaysia telah disambut oleh komuniti-komuniti di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Di peringkat antarabangsa, kempen ini dijalankan secara aktif oleh rakan NGO-NGO Indonesia di samping sokongan oleh komuniti muslim Nusantara di Mesir, Perancis dan Hong Kong,” jelasnya lagi.

Katanya, acara kemuncak kempen itu akan diadakan di Pulau Pinang pada 14 Februari iaitu aktiviti turun lapangan untuk temu seru komuniti di sekitar Bayan Baru dan Kepala Batas dan Karnival Gemar di Masjid At-Taqwa, Bertam Indah pada 17 Feb yang akan menampilkan selebriti bertudung Diana Amir sebagai tetamu.

Selain itu, ujarnya penyokong-penyokong Gemar Malaysia di komuniti yang lain juga, merancang aktiviti mereka tersendiri.

(Sumber: Harakahdaily: 11 Februari 2013)

Alhamdulillah, kempen yang amat baik. Mudah-mudahan kempen di peringkat nasional ini mendapat sambutan dan dapat memahamkan umat Islam yang masih lagi terkeliru di antara hak Allah dan hak individu. Sokong sangat-sangat! -(abuikhwan)

Monday 11 February 2013

CHICKEN SOUP FOR THE SOUL - Berfikir Positif


101 cerita pendek yang berkesan di hati

Kita akan tersenyum, ketawa, dan menangis membacanya.

Kita terinspirasi dan hidup semakin bahagia.

Hidup Semakin Ceria

101 cerita yang menggugah emosi, merangsang semangat, dan menceriakan hidup ini dihimpun daripada pelbagai individu berlainan. Setiap cerita ada keistimewaan yang tersendiri. 101 cerita ini berbeza tetapi ada tujuan yang sama, iaitu menceriakan hidup kita.

Berkongsi Kebahagiaan

Ramai orang berkongsi penderitaan yang sama. Walaupun begitu, cara setiap orang menghadapinya adalah berbeza. Mereka berkongsi kebahagiaan mereka selepas mengalami kesusahan hidup. Satu daripada cerita ini mungkin betul-betul sedang ataupun pernah dialami oleh kita.

Hati Semakin Tenang

Ketenangan adalah sumber kebahagiaan. Ketenangan hati datang apabila kita percaya setiap kesusahan hidup akan berakhir dengan kegembiraan. Kita percaya dan kita berjaya. Cerita di dalam buku ini memberi inspirasi bagi kita meneruskan hidup dengan lebih bersemangat.

Antara kisah yang menarik dalam buku ini adalah:

- Setiap Hari adalah Sebuah Keajaiban 
- Keriangan Semasa Kanak-Kanak
- Menemui Diri Saya yang Sebenar
- Terus Berjalan Walaupun Lumpuh
- Keindahan dalam Kekecewaan
- Kegembiraan Ada di Mana-Mana

Tajuk : CHICKEN SOUP FOR THE SOUL - Berfikir Positif
Penulis : Jack Canfield, Mark Victor Hansen, Amy Newmark
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn Bhd
M/S : 246
Harga : SM 27.00 / SS 30.00
Kategori : Bantu Diri

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Sunday 10 February 2013

Bolehkah berpegang dengan mimpi?


Soalan:

Bolehkah kita percaya dengan mimpi? Adakah mimpi kita benar atau adakah kita diberi petunjuk yang kita harus berpegang dengannya. Ada orang kata jangan percaya kepada mimpi kerana semuanya mainan syaitan belaka. Elok jika dapat dijelaskan dengan dengan hujah-hujah syarak yang kita boleh berpegang dan berpandu dengannya. Terima kasih.

Jawapan:

Mimpi adalah sesuatu yang benar-benar berlaku . Boleh dikatakan semua orang mengalami mimpi di dalam tidur mereka. Ada yang kerap berlaku, ada yang jarang-jarang.

Persoalan sama ada boleh berlakukah atau tidak, seperti yang anda alami di dalam mimpi itu, bergantung kepada beberapa keadaan.

Dalam masyarakat Melayu, ada beberapa istilah yang digunakan dalam persoalan ini, antaranya:

1 - Mimpi
2 - Merepek
3 - Menggigau
4 - Mengelamun dan sebagainya

Masing-masing daripada di atas ada maknanya yang tersendiri. Mimpi adakalanya benar, tetapi yang lain-lain itu, lupakanlah sahaja.

Di dalam Islam ada beberapa istilah yang al-Quran dan hadis gunakan. Antaranya adalah:

1 - Ar-rukya
2 - Busyra atau mubasysyraat
3 - Alhulmu
4 - Adgrhaathu ahlam

Ar-rukya adalah mimpi benar yang berlaku kepada para Rasul dan Nabi alaihimussolatuwassalam. Seperti mana Nabi Ibrahim as. bermimpi menyembelih anaknya. Firman Allah (mafhumnya): "Maka ketika anakinya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar." (as-Saffat: 102)

Ini juga berlaku kepada Nabi Muhammad saw seperti firman Allah (mafhumnya): "Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid al-Haram - insya-Allah (pada masa yang ditentukan-Nya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya faedah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya)." (al-Fath: 27)

Ini bererti, mimpi para Nabi dan Rasul adalah benar. Diistilahkan sebagai ar-Rukya assadiqah. Ia benar-benar berlaku, malah ada wahyu-wahyu Allah, diturunkan melalui mimpi para Nabi.

Inilah yang Rasulullah saw sabdakan (mafhumnya): "Mimpi benar adalah daripada Allah dan mimpi bohong adalah daripada syaitan." (Riwayat Imam Bukhari)

Mimpi benar yang berlaku kepada para anbiya, boleh juga berlaku ke atas bukan Nabi atau Rasul, seperti ke atas kita. Mimpi itu dipanggil ar-rukya assadiqah.

Sabda Nabi Muhammad saw (mafhumnya): "Ar-rukya assadiqah adalah daripada Allah (benar), sedangkan al-hulmu adalah mimpi dusta (merepek) adalah daripada syaitan." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Al-Imam al-Baghawi pernah menyebut, al-hulmu itu adalah mimpi dusta daripada syaitan. Mimpi sebegini adalah mainan syaitan dalam tidur manusia, hati-hatilah.
   
Inilah juga yang disebut di dalam al-Quran mengenai adgrhaarthu ahlam seperti firman Allah (mafhumnya): "(Mereka bukan sahaja menyifatkan al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh dengan berkata: "Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan (adgrhaarthu ahlam) oleh Muhammad, bahkan perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair. (Kalaulah ia sebenarnya seorang Rasul) maka hendaklah ia membawa kepada kita satu mukjizat sebagaimana mukjizat-mukjizat yang yang dibawa oleh Rasul-Rasul yang telah diutus dahulu." (al-Anbiya`: 5)

Merepek adalah mimpi yang dibuat oleh syaitan untuk menakut-nakutkan anak Adam. Ia mungkin juga menjadi isyarat kepada sesuatu yang buruk akan berlaku. Oleh kerana itu, Rasulullah saw pernah menasihatkan kita agar berlindung dengan Allah daripada kejahatan yang dinampakkan dalam mimpi-mimpi itu. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din  

Kita adalah tetamu

Sesungguhnya kita ini hanyalah umpama tetamu. Apabila diibaratkan tetamu, maka sudah tentu kita mesti akur dengan sebarang peraturan. Umpama kita menjadi tetamu di sebuah rumah, maka syarat-syarat atau peraturan yang telah ditetapkan oleh tuan rumah mesti kita patuhi. Kita tidak boleh berkelakuan sewenang-wenangnya. Apatah lagi berbuat sesuka hati dan menjadikan rumah itu seperti hakmilik sendiri.

Kita tidak akan naik ke rumahnya dengan berkasut, bebas berkeliaran atau duduk dan bangun sesuka hati. Kita bersungguh menjaga adab dan perilaku agar tidak mengundang kemarahan dan rasa tidak senang hati tuan rumah.

Demikianlah jika kita benar-benar mengerti akan kehidupan di atas muka bumi ini. Kita hanyalah tetamu di dunia yang sementara ini. Oleh itu, kita mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan pemilik dunia ini iaitu Allah SWT. Segala suruhan dan tegahan-Nya perlu diikuti tanpa persoalan. Kita tidak akan sekali-kali melakukan perbuatan yang akan mengundang kemurkaan-Nya.


Allah SWT dengan rahmat kasih sayang-Nya menciptakan dunia ini berserta isinya untuk keperluan manusia. Air, udara, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya menjadi bukti kasih sayang Allah, tanpa mengira manusia itu taat ataupun engkar. Pada diri manusia pula dianugerah kesempurnaan anggota serta akal fikiran untuk keselesaan menjalani kehidupan.

Firman Allah SWT:

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit sebagai bangunan; dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui.” (al-Baqarah: 21-22)

Apakah dengan segenap kebaikan yang telah Allah anugerahkan ini, tidak mahu kita syukuri? Bahkan kita tergamak pula melakukan perbuatan yang dimurkai-Nya. Apakah yang mahu digelarkan kepada kita ini? Seumpama seseorang yang telah menolong kita di saat kita kesusahan, tidakkah kita terdorong untuk berterima kasih kepadanya? Atau kita mencelanya pula dibelakang? Bukankah ini menggambarkan sikap yang biadap?

Oleh itu, mari kita sentiasa merenungi dan muhasabah akan diri kita. Apakah layak untuk kita tidak bersyukur kepada-Nya serta melanggar segala perintah dan suruhan-Nya sedangkan kita tinggal di bumi-Nya dan menikmati bermacam-macam pemberian-Nya.

 Renungi kisah ini (buat diri saya)


Suatu hari, seorang ahli hikmah, Ibrahim bin Adham didatangi oleh orang yang mengaku ahli maksiat. Ibrahim bin Adham memberikan nasihatnya, seraya berkata, "Jika ingin menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka tidak mengapa kamu meneruskan sikapmu yang gemar berbuat maksiat."

Mendengar perkataan Ibrahim, ahli maksiat dengan tidak sabar bertanya, "Ya Abu Ishaq (panggilan Ibrahim bin Adham), apa syarat-syaratnya?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Pertama, jika ingin melakukan maksiat kepada Allah, janganlah kamu memakan rezeki-Nya."

"Lalu aku harus makan dari mana? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?" kata sang ahli maksiat kehairanan. Ibrahim bin Adham berkata lagi, "Ya, kalau sudah menyedarinya, masih layakkah kamu memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu melanggar perintah-perintah-Nya?”

“Kemudian syarat yang kedua, kalau ingin bermaksiat kepada-Nya, maka janganlah kamu tinggal di bumi-Nya.”

"Ya Abu Ishaq, kalau demikian, aku akan tinggal di mana? Bukankah semua bumi dan isinya ini kepunyaan Allah?" kata lelaki itu. "Ya Abdullah, renungkanlah olehmu, apakah masih layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu masih hendak melanggar perintah-Nya?" kata Ibrahim. "Ya benar, " kata lelaki itu tertunduk malu.

Ibrahim bin Adham kembali berkata, "Syarat ketiga, kalau ingin juga bermaksiat, masih mahu makan rezeki-Nya, masih mahu tinggal di bumi-Nya, maka carilah suatu tempat yang tersembunyi dan tidak dapat dilihat-Nya."

"Ya Abu Ishaq, mana mungkin Allah tidak melihat kita?" ujarnya. Sang ahli maksiat itu pun terdiam merenungkan petua-petua Ibrahim. Lalu ia kembali bertanya, "Ya Abu Ishaq, kini apa lagi syarat yang ke empat?"

"Kalau malaikat maut datang hendak mencabut ruhmu, katakanlah, "Tangguhkanlah kematianku. Aku ingin bertaubat dan melakukan amal sholeh." kata Ibrahim.

"Ya Abu Ishaq, mana mungkin malaikat maut mahu mengabulkan permintaanku itu." jawab lelaki itu. "Baiklah ya Abu Ishaq, sekarang sebutkan apa syarat yang ke lima?" tanyanya lagi.

"Kalau malaikat Zabaniyah hendak membawamu ke neraka di hari kiamat, janganlah engkau ikut bersamanya."

"Ya Abu Ishaq, jelas saja mereka (malaikat Zabaniyah) tidak akan mungkin membiarkan aku menolak kehendak-Nya." ujar lelaki itu.

"Kalau demikian, jalan apa lagi yang dapat menyelamatkanmu ya Abdullah?" tanya Ibrahim bin Adham.

"Ya Abu Ishaq, cukuplah! Cukup! Jangan engkau teruskan lagi, mulai detik ini aku mahu beristighfar dan mohon ampun kepada Allah. Aku benar-benar ingin bertaubat." ujar lelaki itu sambil menangis penuh penyesalan.

Kitakan hamba!

Saturday 9 February 2013

Tuesday 5 February 2013

Kulit mung tebal kut...

Berat dah mung ni. Mungkin kulit tebal kut tahan api neraka, sebab tu berani kata macam gini. Agak-agak la kalau nak gurau pun...

Bawa-bawalah bertaubat, cukuplah dengan fitnah yang berat ni. Lain la kalu kulit mung tebal...

Rasa marah ada jugak, tapi rasa kasihan lagi banyak pada admin page ni...



Monday 4 February 2013

Mengapa ulama kerap selisih pendapat?

Soalan:

Sengketa dan perselisihan hukum-hukum Islam, tak habis-habis berlaku. Dari dahulu hingga sekarang. Kadang-kadang membabitkan sesama ulama yang hebat-hebat. Kadang-kadang antara mufti dan ulama yang bukan mufti. Mohon penjelasan, mengapa hal-hal sebegini boleh berlaku? Apakah tidak ada jalan untuk mengatasinya?

Jawapan:

Masalah perselisihan pendapat ulama dalam hukum-hukum cabang (furuk) adalah perkara tabii yang berlaku dari dahulu hingga sekarang. Akan terus berlaku sehingga ke hari kiamat, kerana itu anda usah risau sangat. Hatta di zaman Rasulullah saw pun sahabat sesama sahabat berselisih pendapat pada perkara-perkara furuuiyyaat (cabang-cabang), cuma mereka segera merujuk kepada Rasulullah saw dan dijelaskan hukum sebenar. Maka, selesai kerana mereka ada tempat untuk merujuk.

Selepas wafat Rasulullah saw, andaikata berlaku perselisihan pendapat seperti itu, dan sememangnya telah berlaku maka kepada siapa mereka merujuk? Tidak ada. Kalau ada yang mahu mengalah selesailah dan kembali bersatu pendapat tetapi kalau tidak ada yang hendak mengalah maka berlakulah perselisihan pendapat. Masing-masing berpegang dengan pendapatnya sahaja. Kenapa berlaku?

Jawapannya, kerana dua sebab utama. Sebab-sebab umum dan sebab-sebab khusus.

Sebab-sebab umum:

1- Nas-nas syarak (al-Quran dan as-Sunnah), kebanyakannya bersifat umum dan boleh ditafsirkan berbagai-bagai. Membawa kepada kelainan pendapat.

2- Pengetahuan dalam hal ini, tafsir nas berbeza-beza. Ada yang lebih kepada yang kurang.

3- Tidak semua ayat al-Quran dan as-Sunnah dimiliki dan dikuasai oleh semua ulama. Mereka berbeza-beza.

4- Hadis-hadis pula ada yang bertelagah, dari segi sahih tidaknya dan kadang-kadang ada yang seperti berlawanan maksudnya.

5- Kaedah ‘istimbat’ (mengeluarkan hukum dari ayat) berbeza-beza antara ulama dengan ulama.

6- Sumber tasriyat berbeza-beza selain daripada al-Quran dan as-Sunnah, ada yang banyak dan ada yang sedikit tambahannya.

7- Persekitaran berbeza dan masalah pula berbeza.

Sebab-sebab khusus berlaku:

1- Cenderung kepada aliran nas iaitu amat berpegang dengan nas dan tidak menerima takwilan dan tafsiran.

2- Cenderung kepada aliran akal, hingga melangkaui kefahaman biasa dan berpegang dengan tafsiran akal

3- Ada ulama melampau dalam pandangan dan amalan (terlalu ketat).

4- Ada diambil mudah.

5- Amat terikat dengan mazhabnya tidak mahu berubah kepada pendapat mazhab lain yang sepatutnya boleh

6- Amat terbuka, bebas dan tidak terikat dengan mana-mana mazhab dan lain-lain.

Mazhab saya adalah berlapang dada mendepani semuanya itu. Islam itu luas dan jangan taksub membuta tuli dan saya amat berkenan dan nak diturunkan apa yang dinasihati oleh Ibnu Qainiah kepada kita semua seperti tersebut dalam kitabnya yang terkenal, al-Fataawa (juzuk 2: halaman 292) bermaksud: ‘Buka Kamu Kutip’. Apa yang dilarang Allah SWT dan Rasul-Nya adalah taksub dan perselisihan hingga berpecah belah atau memberi petua dengan ilmu, itu jangan. Adapun masalah perselisihan pendapat seperti ada imam yang dirasai pendapatnya lebih baik daripada pendapat imam yang lain atau seorang tok guru, pendapatnya lebih diterima daripada pendapat tok guru lain berdasarkan ijtihad masing-masing.

Sepertimana khilaf mereka pada hukum membaca qunut subuh. Membaca Bismillah nyaring atau perlahan atau tak baca langsung dan seumpamanya. Ini adalah masalah ijtihadiah. Masing-masing ada hujah, yang betul ijtihadnya dapat dua pahala, yang salah dapat satu pahala. Bolehlah diikut yang mana-mana satu. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato' Dr Harun Din

Saturday 2 February 2013

Teman, berbagai watakmu...

Jam sudah pun menunjukkan pukul 1.46 pagi ketika saya tiba di rumah, keluarga sudah pun lama melelapkan mata. Perjalanan dari Jerantut menuju ke Kuantan memakan masa lebih tiga jam melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Mata belum mengantuk. Bertemankan secawan kopi, saya memunggah kembali buku-buku lama yang berlonggok di atas meja tulis. Sebenarnya ia adalah buku-buku lama yang saya bawa balik dari kampung dua hari lepas, tetapi tidak sempat menyusunnya di dalam rak. Saya membelek satu-persatu, mencari-cari kenangan lama. Tiba-tiba saya menemui sebuah buku yang sudah hilang kulitnya.

Usang.

Ada muka suratnya yang sudah berlubang dimakan bubuk buku. Ohh...rupa-rupanya ia buku yang saya gunakan ketika belajar di peringkat i’dadiah dahulu. Perasaan rindu saya tiba-tiba bangkit semula, teringatkan zaman bergulat di medan menuntut ilmu. Hati saya terusik.

Saya menghembus habuk yang terlekat padanya, bau lapuk terserak sama. Pandangan mata saya tertancap pada satu tulisan tangan di penjuru kanan atas:

 لا تعرف الاخ الا عند الحاجة 
"Engkau tidak akan mengenal rakan yang sebenar kecuali ketika engkau kesusahan dan berhajat kepada sokongannya." 

Saya merenung dengan mendalam catatan pendek ini, ternyata ada kebenarannya. Kita tidak akan kenal rakan yang sebenar kecuali bila kita terhimpit oleh kepayahan dan saat kita memerlukan sokongan teman-teman. Waktu itu kita akan dapat melihat wajah mereka yang sebenar.

Berbagai watak teman 

Rakan atau teman ada bermacam jenis. Ada rakan yang sentiasa mencari peluang menikam kita. Awaslah! Tidak mustahil ada teman yang begini. Mereka mungkin kelihatan baik di hadapan kita, manis senyum dan lembut tutur katanya. Tetapi itu hanya lakonan semata-mata. Jika terdapat sedikit kesilapan kita maka wataknya segera berubah. Kita akan diburuk-burukkan dimana-mana. Jika tidak dilakukannya sendiri, maka akan digunakannya seseorang yang boleh diperalatkannya.

Tangannya sentiasa disembunyikan di belakang, tetapi batu yang dilemparnya sangat menyakitkan. Kadang-kadang mereka menampakkan wajah simpati, tetapi tersembunyi senyum puas atas kesusahan yang kita hadapi. Teman yang kita harapkan datang membela di saat kita terhenyak oleh kesakitan atau setidak-tidaknya memberikan kita semangat menghadapinya entah dimana. Maka tinggallah kita bersendirian menghadapi kesusahan tersebut.

Ada pula teman yang bersama kita hanya kerana ada kepentingan yang dihajatinya. Jika didapatinya kita tidak lagi dapat memberikannya apa-apa, lantas kita dipinggirkan. Jika sekadar itu sahaja tidak mengapa, tetapi lebih dahsyat lagi kita diburuk-burukkannya. Mungkin kita pernah melalui pengalaman ini. Kita hanya dijadikan batu loncatan untuk mencapai cita-citanya. Apabila berjaya kita pula dipijak dan ditekan.

Ada ramai sahabat yang baik. Tetapi sahabat yang baik juga banyak jenisnya. Kenapa saya katakan begitu? Benar, ada sahabat yang baik tetapi tidak sanggup menanggung risiko bersama kita. Lalu saat kita kepayahan, beliau akan agak renggang. Kita tidak diburukkanya atau di aibkan. Namun kita dijauhinya. Akhirnya tinggallah kita sendirian menghadapi kesusahan itu.

Teman yang baik adalah teman yang sejati. Teman yang tetap menjaga nama baik, membantu di saat yang memerlukan. Teman yang sentiasa bertanya khabar dan melahirkan sifat persaudaraan dan kasih sayang. Namun tidak mudah untuk mencari teman yang begitu, seumpama satu dalam seribu.

Carilah teman sejati 

 Teman-teman sejati, Insya-Allah...

Rasulullah saw bersabda:

"Apabila seseorang itu dikehendaki oleh Allah menjadi baik, maka Allah memberikan rezeki kepadanya berupa seorang kekasih (sahabat) yang soleh. Kalau ia lupa, kekasih itulah yang mengingatkannya. Jikalau ia ingat maka kekasih itu akan menolongnya." (Abu Daud) 

Teringat saya kepada riwayat, pernah suatu ketika seorang lelaki menemui Saiyidina Umar dan berkata, bahawa dia telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi.

Lantas Saidina Umar bertanya, "Apakah engkau kenal lelaki itu?"

Pemuda itu menjawab, "Tidak ya amirul mukmimin."

Saiyidina Umar bertanya lagi. "Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?"

Orang itu jawab, "Tidak pernah,"

Bertanya lagi Saiyidina Umar, "Apakah engkau pernah berjiran dengannya?"

Orang itu menjawab,"Tidak pernah." Lantas ditanya Saiyidina Umar lagi, "Macam mana engkau kenal dia?"

Dijawab si pemuda. "Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik."

Saiyidina Umar berkata, "Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal kepadanya."

Bermusafir bersama dan bergaul rapat itu adalah di antara jalan untuk kita saling mengenal hati budi. Setelah bermusafir barulah kita mengetahui hati budi dan cerminan sebenar seorang sahabat. Baguskah dia, pemarahkah dia, bakhilkah dia dan sebagainya. Itulah khasiat di sebalik setiap kembara yang di lalui.

Itulah sebabnya Saiyidina Umar menilai bahawa selagi kita tidak pernah bermusafir bersama, atau bergaul mesra, janganlah kita mendakwa bahawa telah mengenalinya. Jangan!

Sesungguhnya perjalanan hidup ini adalah satu proses untuk mengenal hati budi sahabat dan paling utama adalah mengenal hati budi sendiri.

Alhamdulillah, Allah SWT mengurniakan kepada saya ramai teman yang sejati. Mudahan-mudahan kita bersahabat hingga ke akhirat.

Friday 1 February 2013

Big Boh nak turun stadium pulok, hebat..hebat!

Wahai orang Pahang khususnya orang Kuantan!

Insya-Allah, esok 02 Februari ini akan diadakan ceramah agama bersama Ustaz Azhar Idrus di Stadium Darul Makmur. Kali ni kita buat di stadium terus bagi memuatkan hadirin yang semakin bertambah. Turut bersama ialah Ustaz Haslin Baharin a.k.a Ustaz Bollywood dan Ustaz Khairul Azhar Ghazali.

Orang Kuantan jangan lepaskan peluang hadir beramai-ramai.  Rugilah kalau tak datang, bukan senang nak buat di stadium. Masuk adalah PERCUMA, tak perlu bayar apa-apa! Datang, duduk dan dengar. Santai.....