Sahabat Sejati

Tuesday 30 April 2013

Mereka kreatif, 5 tahun sekali

Bahang pilihanraya ke 13 semakin terasa. Kurang dari seminggu lagi seluruh warga Malaysia yang layak akan membuang  undi di tempat masing-masing. Mereka akan memilih siapakah yang dirasakan berkemampuan mewakili mereka seterus bertindak sebagai pembawa suara mereka ke Parlimen dan juga di peringkat Dun.

Sekarang ini, tentunya calon-calon parti yang bertanding dan pasukannya sibuk 'all out' berkempen, mengambil hati dan meyakinkan para pengundi dengan manifesto masing-masing. Tidak kurang juga para petugas parti yang bersengkang mata memastikan gerak kerja berjalan lancar, demi memastikan kemenangan calon yang dipilih.

Buatlah pilihan yang bijak berdasarkan fakta bukan auta!

Kalau dulu hanya poster menjadi bahan untuk memancing undi, kemudian ditambah pula dengan banner dan bunting. Tetapi sekarang menjadi semakin meriah. Para petugas berlumba-lumba pula membuat berbagai-bagai replika. Jika tidak silap saya, pembinaan replika ini bermula di negeri Kelantan di tahun 90-an. Namun sekarang, trend ini sudah pun merebak ke seluruh negara.

5 tahun sekali, memang kreatif rakyat Malaysia. Kebanyakan bahan yang digunakan pun daripada bahan terpakai.

Sebahagian foto-foto yang dikongsi.
Sumber foto: GOOGLE   

Kereta kebal 1 Malaysia

Terowong yang unik di negeri Kedah.

Jet pejuang masih dalam pembinaan

Kapal perang laut

Yang ini pun kapal perang

Kincir angin

Wau bulan yang berwarna biru

Kapal terbang ini di Kedah. Dikhabarkan setiap hari ramai orang datang untuk naik dan bergambar 

Dacing daripada tudung saji

'Siap landing atas 'bus stop'

Big foot dengan wajah DS Najib

Macam helikopter betul!


Kapal layar yang cantik


Kapal selam, entahlah boleh menyelam atau tidak...

Jet pejuang bersedia untuk berlepas, harap-harap enjinnya tak hilang

Kereta Formula 1 pun ada

Harley Davidson, besarnya. Ini kalau tayar pancit jenuh nak menolaknya

Wau gergasi hijau, sampai guna 2 kren

Ini tak pasti. Kerbau? tenuk? lembu? Entahlah...

Monday 29 April 2013

Manusia perlukan CINTA

Pencerahan daripada Dato Dr MAZA...


Friday 26 April 2013

Ingat-ingat pada-Nya


Kita tidak pernah bercita-cita untuk lahir dan hidup di dunia ini. Kita lahir kerana dilahirkan, dan kita hidup kerana dihidupkan. Semuanya adalah kehendak dan taqdir kuasa Allah SWT. Kita melalui perjalanan hidup ini, kita diberi peluang untuk mencipta diari dan perjalanan hidup sendiri. Namun, semuanya tidak terkeluar dari batas kehendak dan perancangan-Nya. Oleh kerana itu, tiada sekali-kali kita boleh lupa atau berpisah dengan-Nya. Apatah lagi cuba menentang hukum-hukum dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kata Imam al-Ghazali rah. di dalam Ihya `Ulumiddin: “Segala sesuatu jika kau pisahkan darimu nescaya ada penggantinya. Kecuali Allah, jika kau berpisah dengan-Nya pasti tiada penggantinya.”

Mari kita berfikir sejenak.

Bagaimanakah keadaan haiwan peliharaan samada lembu, kambing, ayam atau itik, jika tuannya sering mengabaikan atau tidak menjaganya dengan baik. Tentu kita dapat lihat haiwan itu akan kurus kering.

Bagaimana pula jika kita melihat seorang anak yang tidak mendapat perhatian atau jagaan yang sepatutnya daripada ibu bapanya. Kita dapat lihat anak itu akan menjadi tidak terurus, selekeh, mungkin akhlaknya menjadi rosak dan sebagainya.

Samalah seperti manusia apabila tidak mendapat jagaan daripada Allah SWT.

Menurut as-Syahid Syed Qutb, manusia ini mempunyai pancaindera keenam atau ketujuh, iaitu pancaindera kehinaan. Apakah yang dimaksudkan pancaindera kehinaan? Pancaindera kehinaan ini adalah satu perasaan berharap kepada tuannya.

Adakalanya hati kita terasa sunyi, tidak tenteram, berkecamuk dengan seribu mainan perasaan lebih-lebih lagi tatkala dirundung pelbagai ujian. Kita merasa amat lemah dan tidak berdaya, bahkan segala sumber kekuatan turut hilang entah ke mana. Kita seakan-akan buta dan gelap-gelita walaupun hakikatnya kita masih mampu mengelus pandangan. Apakah ubat untuk gejolak derita batin ini?

“Mengingat kepada-Nya” adalah ubat yang paling mujarab untuk mendamaikan gelodak batin dan menggelongsorkan segala kegalauan hidup manusia. Sesungguhnya dalam diri manusia telah ada satu kepercayaan diri yang azali bahawa “hidup ini tidak bersendirian”. Di saat segalanya telah lumpuh dan pintu harapan telah tertutup, tiba-tiba kita dapati pintu-Nya sentiasa terbuka.

Tanpa sedar kita bisikkan dengan perlahan:

“Oh Tuhan... oh Tuhan...”

Fitrah kita memerlukan tempat untuk mengadu. Perasaan kita memerlukan tuan. Tidak lain dan tidak bukan tuan kita adalah Allah SWT Yang Maha Mendengar dan Maha Memelihara. Dia yang tidak jemu-jemu mendengar sebarang pengaduan hamba-Nya. Maka halakanlah ketundukan kita hanya kepada-Nya. Dialah sahaja yang boleh menjaga kita dan memberikan kebahagiaan yang hakiki.

Maka, biarpun betapa mewah dan megahnya kemajuan manusia, berapa banyak pula longgokan harta dan tingginya pangkat, tidak akan mampu melahirkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Sesungguhnya keterasingan dan ketandusan jiwa yang menjerat manusia, yang menyebabkan rapuh dan kosongnya dari memahami erti dan tujuan hidup yang sebenar, lantaran perlakuan mereka sendiri yang “melupakan Allah dalam kehidupan”.

Justeru, Allah SWT berfirman memberi ingatan:

“Janganlah engkau seperti orang-orang yang melupakan Allah sehingga Dia menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka inilah orang-orang yang sesat (jalan hidupnya).” (al-Hasyr: 19)

Ingat-ingat pada-Nya...

Tuesday 23 April 2013

Tuhan, Aku Kembali


Fitrah manusia, mereka akan sentiasa mahu kembali kepada Tuhan.

Inilah kisah penuh inspirasi, penghijrahan Sham Kamikaze, yang kembali menemui fitrahnya.

Persoalan bila, bagaimana, dan mengapa penghijrahan itu berlaku, diceritakan kisah demi kisah. Sehingga akhirnya, beliau hidup sejahtera dalam dunia dakwah.

Kisah-kisah yang boleh dijadikan sebagai titik mula, kepada sebuah penghijrahan.

Tajuk : Tuhan, Aku Kembali
Penulis : Sham Kamikaze & Ainuddin Kamaruddin
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
M/S : 160
Harga : SM 15.00 / SS 17.00

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan"

Saturday 20 April 2013

P082, N12 & N13...hari ini

Foto sekitar penamaan calon di Parlimen Indera Mahkota, layan...

PAS yang Hijau

BN dengan Biru

Muslimat PAS

Wanita BN

Tukar profesion sekejap, jadi pengamal media, ada gaya?

Calon-calon yang disahkan bertanding. Mudah-mudahan menjadi pertandingan yang sihat tanpa mengurangkan kasih sayang sesama kita, kerana kita semua adalah rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

Seperti kami yang boleh bersama mengikat kemesraan walaupun berlainan...??

Thursday 18 April 2013

Hari ini adalah hari mereka, anak-anakku..

Persembahan pelajar ibtidae. Yang kiri sekali baju pink bukan pelajar, anak-salah seorang hadirin yang tiba-tiba naik ke pentas, nak tonjolkan bakat juga agaknya.

Hari ini saya mengambil cuti untuk menghadiri Majlis Ihtifal Pusat Pengajian Taman Islam (PPTI), tempat anak saya yang kedua belajar. Ihtifal ini adalah yang ke-36, bermakna anak saya adalah generasi yang ke-36 belajar di sini. Hampir seusia dengan saya rupanya.

Jika mahu diikutkan penat badan memang terasa malas untuk menghadirinya. Semalam hampir jam dua pagi saya pulang ke rumah kerana terlibat dalam program kebajikan penduduk setempat. Tetapi, kerana mengetahui betapa besarnya makna majlis-majlis sebegini kepada anak-anak, saya berazam untuk tidak sekali-kali terlepas menghadirinya.

Walaupun ibu bapa saya tidak pernah menghadiri majlis-majlis sekolah saya dahulu, saya tidak kesal atau terkilan. Sememangnya saya amat mengerti dan memahami akan kepayahan dan kesukaran mereka ketika itu. Sedangkan keazaman mereka menyediakan pengajian kepada saya bermula dengan mengenal ABC dan 123, sehinggalah menanggung biaya kepada pengajian ke peringkat seterusnya, merupakan jasa kebaktian yang terlalu besar. Mana mungkin saya mampu membalasnya, biarpun ditukar dengan seisi dunia.

Sepanjang perjalanan saya terhibur dengan pemandangan aneka bendera yang merintangi jalan serta yang dipacak di kiri kanan jalan. Oh, ya! Rakyat Malaysia sedang berada di ambang PRU ke-13. Bahangnya amat terasa. Tidak cukup dengan itu, ditambah dengan kreativiti mereka membina pelbagai replika. Ada meriam, wau bulan, kapal selam, jet pejuang, kereta perisai, malah lembu pun ada. Memang kreatif rakyat negara ini. Bakat yang tertonjol 5 tahun sekali.

Kumpulan nasyid Lambaian Kasih. Daripada pelajar Sanawi, amat berbakat

Walaupun dalam keadaan mengantuk, saya menggagahkan juga diri untuk ceria dan gembira. Majlis ihtifal ini sungguh meriah, suka saya melihat pelajar lelakinya dengan berjubah dan berserban putih, manakala pelajar perempuan pula serba hitam dengan jubah dan niqab. Majlis diserikan dengan persembahan nasyid dan sajak oleh para pelajar PPTI. Bermula dengan pelajar tahap Ibtidae, E`dadi dan Sanawi. Memang berbakat pelajar-pelajar ini, rasanya boleh tidak rugi jika buat album. Insya-Allah...

Manakala penyempurnaan perasmian telah dilakukan oleh al-fadhil Ustaz Mazlan Ibrahim, mudir Madrasah Darul Iman yang juga merupakan bekas pelajar PPTI di tahun 80-an dulu. Manakala pada malamnya, kuliah maghrib pula akan disampaikan oleh big boh, al-fadhil Ustaz Azhar Idrus. Tidak sempat saya untuk menunggu kuliah maghrib kerana malam ini ada satu lagi program yang perlu untuk saya menghadirkan diri.

Dalam perjalanan pulang sempat saya singgah membeli keropok lekor di gerai yang sentiasa saya singgah setiap kali melalui jalan itu terutamanya apabila ke Terengganu. Keropok buatannya benar-benar kena dengan selera saya. Keropoknya banyak ikan dan tanpa tulang, masih lembut selepas digoreng walaupun setelah 4 hari diletakkan di dalam peti ais. Isteri dan anak-anak turut menyukainya. Hari ini RM10 keropok lekor untuk dibawa pulang.

Keropok lekor yang kena dengan selera...

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar untuk hari ini, mudah-mudahan begitu juga untuk hari-hari seterusnya.

Saya sentiasa berazam untuk meraikan hari `mereka` biarpun tubuh penat serta jiwa lelah dengan kesibukan yang entah bila akhirnya. Hari itu adalah hari mereka, anak-anakku...

Wednesday 17 April 2013

Ilmu pengetahuan, belajar dan mengajar

Aisyah r.ha berkata, turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah saw ialah berupa mimpi, berlakunya pada waktu pagi, lalu baginda terus ke gua Hiraa` untuk melakukan ibadah dengan membawa sedikit bekalan. Apabila saat datangnya wahyu, Malaikat Jibril datang menyuruh Nabi saw Iqra` (bacalah). Nabi saw menjawab: Maa ana biqaari` (Aku tidak tahu membaca). Lalu Malaikat Jibril memeluk Nabi saw dengan erat. Sehinggalah tiga kali Malaikat Jibril bertanya dan memeluk Nabi saw. Lalu diajarkan surah al-Ala` ayat 1 – 5.

Nabi saw turun dari bukit sambil gementar seluruh tubuhnya. Apabila sampai di rumah, baginda berjumpa isterinya Khadijah dan berkata : Zammiluni, zammiluni (Selimutilah aku, selimutilah aku). Maka Khadijah menyelimuti Nabi saw. Setelah merasai ketenangan, Nabi saw menceritakan peristiwa yang berlaku di gua Hiraa`.

Inilah ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT dan ia merupakan rahmat Allah kepada para hamba-Nya. Dalam ayat-ayat permulaan ini, Allah SWT memerintahkan Nabi saw supaya membaca dan memerhatikan bukti kebesaran-Nya.


Islam agama yang amat menitikberatkan ilmu pengetahuan sebagaimana ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Ayat pertama “BACALAH” adalah saranan dan suruhan menuntut ilmu kerana ia dapat menjauhkan seseorang itu daripada kejahilan. Jahil dalam perkara keduniaan tidaklah terlalu memberi kesan, tetapi apabila jahil dalam perkara agama amat membahayakan. Kejahilan dalam perkara agama mudah mengheret manusia ke arah kemurkaan Allah. Kadang-kadang tanpa sedar seseorang itu mudah melakukan perkara dosa sedangkan dalam masa yang sama dia terkeliru kerana merasakan apa yang dilakukan adalah betul.

Ilmu pengetahuan yang dimiliki hendaklah diamalkan dan disebarkan pula kepada orang lain. Inilah yang dituntut oleh Islam agar menyampaikan menurut kemampuan yang ada. Tanpa kita sedari dengan menyebarkannya seolah-olah kita membina rantaian MLM yang akan mengundang pahala.

Imam Muslim, Imam Nasaie dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir Bin Abdullah : "Sesiapa yang membuat sesuatu yang baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya pahala dan juga pahala seumpama orang yang melakukannya tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun, dan sesiapa yang membuat sesuatu yang tidak baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya dosa dan juga dosa seumpama orang yang melakukannya selepasnya tanpa dikurangi dosanya sedikitpun."

Daripada hadis ini dapatlah kita fahami bahawa sesiapa yang membuat satu kebaikan lalu mengajarkannya kepada orang lain, maka baginya pahala dan apabila ia diamalkan pula oleh orang yang diajarnya maka dia juga mendapat pahala itu tanpa dikurangi pahala orang yang diajarinya. Sesungguhnya pintu perbendaharaan pahala tidak akan tertutup, bahkan sentiasa akan terbuka. Betapa pemurahnya Allah SWT kepada kita.

Setiap pahala yang diperolehi oleh setiap Muslim sehingga hari Kiamat juga akan disalurkan kepada Rasulullah saw yang mulia dan para sahabat baginda yang memikul serta menyampaikan ke serata pelosok dunia.

Tidakkah kita menginginkannya juga?

Sampaikanlah walaupun sepotong ayat.

Teman-teman...

Tuesday 16 April 2013

Bicara santai: Semoga Tuhan memberikan kesembuhan...

 

Kelmarin salah seorang sahabat setaman dengan saya telah dimasukkan ke hospital kerana disyaki terkena jangkitan kuman dari kencing tikus atau nama saintifiknya Leptospirosis. Saya beristighfar panjang tatkala menerima berita itu. Kalau dulu kes-kes yang sebegini saya dengar jauh di tempat lain, tetapi tidak sangka ia terjadi pula di taman perumahan saya. Bimbang juga rasanya.

Penyakit kencing tikus atau Leptospirosis disebarkan melalui kencing haiwan yang dijangkiti dan berjangkit selagi ia masih lembab. Tikus dan mondok merupakan agen utama. Manusia boleh dijangkiti melalui hubungan dengan air, makanan, atau tanah yang mengandungi kencing haiwan yang dijangkiti ini. Ini mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang dicemari, atau melalui sentuhan luka pada kulit.

Seingat saya, dulu pun ada juga tikus tetapi tidak pernah terdengar mengenai penyakit ini. Teringat saya masa budak-budak dulu, jika emak dan kakak mengemas atau mengalihkan almari-almari lama, saya pun menyibuk sama. Bukan nak menolong, tapi mahu mengintai-ngintai sarang tikus di belakang almari atau di dalam laci. Sedang mengalihkan almari, bertempiaran ibu tikus meninggalkan anaknya yang masih kecil di dalam sarang. Anak-anak tikus yang masih kecil menjadi mainan saya sebelum dicampakkan kepada kucing peliharaan. Masa itu tidak pernah bimbang dan takut dengan penyakit kencing tikus. Tetapi tidak untuk zaman ini, selisih...

Sekarang ini bukan sahaja penyakit kencing tikus atau Leptospirosis, malah bermacam-macam penyakit pelik yang timbul, hendak menyebut namanya pun susah. Kalau dulu ada Rubella, HIV Aids, Autoimmune Disorders, Ebola, Japanese Encephalitis, Avian Influenza dan sebagainya.

Berfikir sejenak. Benar, menjaga kebersihan adalah pokok utama. Saya yakin semua bersetuju dengan kenyataan ini. Sekiranya kita tidak menjaga atau mengabaikan aspek-aspek kebersihan tentulah akan mengundang agen bawaan penyakit. Lalat, nyamuk, tikus, lipas dan sebagainya. Itu memang sunnatullah, saya bersetuju. Bahkan Islam sendiri meletakkan kebersihan adalah sebahagian daripada iman.

Namun, tiba-tiba benak saya terfikir sesuatu. Teringat satu hadis Rasulullah saw:

Abdullah ibn Umar berkata, Rasulullah saw telah menghampiri kami lalu bersabda: "Wahai Muhajirin, kamu akan ditimpa 5 bencana; semoga Allah tidak mengizinkan kamu hidup untuk menyaksikannya: (1) Apabila zina berleluasa, ketahuilah bahawa ia tidak berlaku tanpa ditimpa penyakit-penyakit baru yang tidak pernah diketahui/dialami oleh manusia sebelumnya. (2) Apabila manusia menipu dalam timbangan, ia tidak berlaku tanpa ditimpa kemarau dan kebuluran ke atas orang ramai serta ditindas oleh pemerintah mereka. (3) Apabila manusia tidak memberi zakat, ketahuilah bahawa hujan akan tertahan ke atas mereka. (4) Apabila manusia memutuskan perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, ketahuilah bahawa Allah akan menghantar musuh kepada mereka untuk merampas kepunyaan mereka. (5) Apabila pemerintah mereka tidak memerintah mengikut Kitabullah, ketahuilah bahawa Allah SWT akan pecah-belahkan mereka dan menjadikan mereka berbalahan sesama mereka.” (Riwayat Ibn Majah, Kitab al-Fitan (Hadith 4019), 2/ 1332).

Hadis ini adalah hadis yang menceritakan perihal bencana yang menimpa umat manusia di akhir zaman. Saya tidak bermaksud untuk menghuraikan semuanya. Cukuplah dengan mengambil bencana yang pertama iaitu berkaitan dengan dosa zina. Hari ini, perzinaan berleluasa tanpa mampu disekat. Saban hari ada sahaja yang diberitakan dalam akhbar dan televisyen. Di internet lebih-lebih lagi.

Pengalaman saya dalam misi-misi dakwah membenarkan apa yang berlaku. Malam tahun baru, malam merdeka, malam valentine dan seribu satu malam yang entah apa-apa. Sahabat sekalian boleh membaca entry lama saya berkaitan misi dakwah yang saya sertai. Bermacam-macam ragam dan karenah manusia yang dijumpai.

Tetapi saya tidaklah memaksudkan bahawa setiap pengunjung yang datang pada malam-malam tersebut, semuanya memang hendak berzina. Tidak! Ada yang datang untuk bersiar-siar bersama keluarga. Saya fokuskan pada pasangan-pasangan yang kami temui di lokasi-lokasi yang tidak sepatutnya dan dengan perlakuan yang mencurigakan. Apa yang boleh kami lakukan, sekadar menyampaikan nasihat kebaikan dan meminta beredar. Selebihnya diserahkan kepada pihak jabatan agama. Cuma apabila melihat jumlah tangkapan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Agama melalui serbuan di hotel-hotel bajet, kita boleh merumuskan sesuatu. Ditambah dengan statistik kelahiran anak-anak tidak sah taraf. Amat meresahkan!

Semoga Allah SWT melindungi kita semua...

Buat sahabatku, mudah-mudahan semoga Allah SWT memberikan kesembuhan dan segenap kesabaran dalam menghadapi ujian yang menimpa ini.

Sunday 14 April 2013

Sertai pilihanraya jihad fisabilillah?

Soalan:

Adakah memasuki pilihanraya dalam sistem politik yang diamalkan di Malaysia, demi untuk menegakkan hukum-hukum Allah menerusi perjuangan kepartian, apakah ia suatu jihad fisabilillah, seperti yang disebut-sebut sebagai suatu jalan untuk memartabatkan agama Allah? Terimakasih.

Jawapan:

Termasuk atau tidak jihad pilihanraya sebagai suatu jihad fisabilillah tergantung sepenuh kepada niat dan matlamat seseorang yang memasuki pilihanraya itu.

Jika niatnya jelas ketara, hanya untuk mendapat pulangan keduniaan atau mempertahankan status quo politik perkauman yang sempit, demi kuasa dan kepentingan duniawi semata-mata, tanpa ukhrawi dan Islam tersisih, tercorot dan tertekan tanpa penghayatan, maka jadilah perjuangan seperti yang Allah SWT sebutkan (mafhumnya): "Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan." (Hud: 15-16)

Seandainya perjuangan yang dimasuki dalam pilihanraya itu semata-mata kerana dunia dan kemajuannya, di waktu yang sama menentang perjuangan keIslaman  dan tidak berhasrat memartabatkan Islam dan melaksanakan perintah-perintah Allah di dalamnya, maka perjuangan sedemikian, bukan sahaja tidak tersenarai dalam fisabilillah, malah tergolong dalam golongan penentang-penentang agama Allah.

Firman Allah (mafhumnya): "Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalang manusia daripada jalan Allah (Islam), serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya." (Ibrahim: 3)

 Adapun yang berniat dan berazam untuk bersungguh-sungguh memasuki pilihanraya itu untuk menegakkan agama Allah demi memartabatkannya, dan bermatlamat untuk melaksanakan tuntutan bernegara atas prinsip-prinsip Islam yang luhur, dengan matlamat untuk mencapai keredhaan Allah, maka itulah yang boleh disebut perjuangan fisabilillah.

Seperti firman Allah SWT (mafhumnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan berjuanglah (berjihad) pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan (dunia dan akhirat)." (al-Maidah: 35)

Perintah Allah agar orang yang beriman dengan-Nya, berjihad demi memartabatkan agama Allah, amat banyak dalam al-Quran. Antara firman-Nya (mafhumnya): "Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta-benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya - as-sadiquun)." al-Hujurat: 15)

Pentingnya niat dan matlamat mencari keredhaan Allah. Redha Allah asas yang menentukan nilai sesuatu perjuangan.

Inilah yang disebutkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab (mafhumnya): "Sesungguhnya semua pekerjaan kamu, tergantunglah dengan niat pelakunya. Dan bagi seseorang insan itu akan memperolehi menurut apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah (berjihad) kerana Allah dan Rasul-Nya, maka akan dibalas apa yang diniatkan. Dan sesiapa yang berhijrah (berjihad) dengan niat untuk mengahwini seorang perempuan, atau dengan niat sesuatu matlamat keduniaan yang diingininya, maka hijrahnya (jihad) tersebut akan dibalas mengikut apa yang dikehendakinya."

Oleh itu maka, renungilah semula kerja-kerja besar untuk menghadapi pilihanraya, yang melibatkan tenaga, wang ringgit dan masa serta tekanan-tekanan yang dihadapi.

Akan beruntunglah kita, jika semuanya dilakukan semata-mata hendak memartabatkan agama Allah, dan rugilah akhirnya jika orang yang mengkehendaki semuanya itu kerana keduniaan, kerana akhirnya dunia akan meninggalkan kita. Wallahua`lam.  

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din 

Saturday 13 April 2013

Sesuai ke tak sesuai?

Pencerahan daripada big boh!


Wednesday 10 April 2013

Nasihat tulus buat pemimpin


Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (al-Qasas:26).

"Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka berhukumlah antara manusia dengan yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya mereka yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu." (Sad: 26).

Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari).

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi. Dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).

”Sesiapa yang diserahkan oleh Allah akan sesuatu urusan dari beberapa urusan pemerintahan kaum muslimin, lalud ia tidak mempedulikan tentang keperluan mereka, kesusahan dan penderitaan mereka nescaya Allah tidak akan mempedulikan tentang keperluan, kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat nanti.” (Abu Daud dan Tirmidzi)

"Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Khalifah Abu Bakr al-Siddiq memberi ucapan tatkala diangkat memegang tampuk kuasa: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

 Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun kemarau melanda Madinah lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

..suatu hari pada tahun kemarau disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada rakyat. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat Khalifah ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah. Beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik menanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Katanya: “Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang pelbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang dijauh, orang tua yang uzur, orang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu Tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis.” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul Ulya min Qada al-Islam, 144).

Duhai pemerintah, tiadalah nasihat ini disampaikan melainkan dengan tulus tanpa mengurangkan kasih kepada kalian. Sesungguhnya kami sekalian rakyat merindui keadilan, kejujuran dan kesaksamaan dalam pemerintahan kalian. Kami mempunyai hak di dunia untuk bertanya dan memintanya, juga hak di hari akhirat untuk mendakwa dan menuntutnya.

Friday 5 April 2013

Ketika Malaikat Tidak Bersayap


 Himpunan kisah penuh hikmah yang menyegarkan jiwa anda...
 
Suatu ketika, Allah mengutus malaikat maut yang menjelma dalam bentuk seorang lelaki kepada Musa. Malaikat meminta Nabi Musa menjawab panggilan Tuhan. Ini bererti bahawa ajalnya telah tiba dan saatnya telah dekat. Disebabkan Musa mempunyai emosi yang cukup tinggi, baginda telah menampar wajah malaikat maut dan merosakkan matanya. Malaikat maut kembali kepada Allah untuk mengadukan apa yang diperolehinya daripada Musa lalu berkata: “Engkau menyuruhku pada hamba yang tidak mahu mati.” (Jami`ul Usul: bab orang yang ingin di kubur di tanah suci. 3/206, No. 1339)

Dalam satu lagi kisah dinyatakan: “Dulu semasa aku pergi untuk menunaikan solat Isyak aku telah diculik oleh jin. Aku menetap bersama mereka. Suatu hari, golongan jin yang menculikku diserang oleh golongan jin Muslim. Pertempuran itu telah dimenangi oleh golongan jin Muslim.

“Cukup banyak golongan jin pertama yang ditawan dan termasuklah aku.” Para jin Muslim yang menawan kami bertanya padaku, “Apa agamamu?” “Aku orang Islam.” Jawabku. “Engkau sama seperti kami, sehingga kami tidak boleh menawanmu.” Kata mereka, lalu mereka menawarkan kepadaku untuk hidup bersama mereka atau kembali...”
 
Tajuk : Ketika Malaikat Tidak Bersayap 
Penulis : Anas al-Hazimi 
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd 
M/S : 245 
Harga : SM 18.00 / SS 21.00 

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Mengapa tak sokong perjuangan Islam?

Soalan: 

Tidakkah segala keterangan sudah sampai dengan jelas, bahawa perjuangan menegakkan Islam adalah kewajipan utama yang sepatutnya menjadi prioriti umat seluruhnya dalam melaksanakan amanat Allah. Kenapa realitinya tidak demikian, malah mengapa majoriti umat Islam, mengambil ‘side’ terus-menerus tidak menyokong perjuangan Islam? Mengapa hal sebegini boleh berlaku.

Jawapan: 

Itulah dia manusia. Daripada jenis manusia yang anda sebutkan di atas itulah Allah menurunkan kitab al-Quran kepada mereka, mengajak mereka kepada Islam yang syumul. Membuka minda mereka supaya memahami makna kehidupan yang hakiki, iaitu hidup ini tidak habis dengan mati, kerana mati adalah permulaan kepada penghidupan yang sebenar.

Itulah yang al-Quran menyebutkan firman-Nya (mafhumnya): “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (al-Ankabuut: 64)

Bagi manusia yang telah dipengaruhi, dari segi pemikiran dan cara hidupnya, dengan keduniaan yang melampau, sehingga melupakan akhirat, maka tidak hairanlah dengan tindakan mereka yang membelakangi agama dan tuntutannya, dan terus-menerus memperjuangkan hal-hal keduniaan dengan membelakangi hal-hal keakhiratan, maka itulah yang disebutkan dalam soalan anda.

Sedangkan memperjuangkan agama Allah demi memartabatkannya dalam penghidupan yang sementara ini, adalah tuntutan utama yang wajib dilaksanakan.

Firman Allah (mafhumnya): “Allah telah menerangkan kepada kamu – antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya.” Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat).” (asy-Syura: 13)

Ertinya, seluruh Rasul-rasul yang diutus Allah kepada manusia, daripada Adam as. Sehingga ke Muhammad saw, menjadi tugas mereka ialah menegakkan agama Allah, memartabatkan syariat Allah dan melaksanakan tuntutan wahyu dengan sebaik-baiknya, tanpa mengendahkan tentangan golongan kuffar yang sudah pasti akan menentang mereka.

Inilah yang Allah sebut khusus kepada Nabi Muhammad saw menerusi firman-Nya (mafhumnya): “Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (al-Hijr:94)

Penentang-penentang gerakan Islam ada di mana-mana dan ada bila-bila masa dari dahulu sehingga sekarang ke hari akan datang.

Cuba renung semula, hatta di zaman Rasulullah saw, penentang-penentang Islam wujud dengan ketara dari luar dan dari dalam. Dari luar golongan kuffar, malah dari kalangan keluarga baginda Rasulullah saw sendiri, bapa saudara dan emak saudara menentangnya, sepupu-sepapatnya dan rakan karib menentangnya.

Malah dari dalam organisasi Islam sendiri, iaitu daripada kalangan umat Islam yang berlegar hidup bersama Rasulullah saw, wujud penentang-penentang Islam, iaitu golongan al-munafikin.

Sehinggakan Allah berfirman (mafhumnya): “Dan antara orang-orang yang di sekeliling kamu daripada orang-orang Arab ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian daripada penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.” (at-Taubah: 101)

Jika itu realitinya, maka tidak hairanlah di zaman kita ini, ada orang Islam, yang walaupun mereka mengetahui Islam itu benar dan PAS yang memperjuangkan Islam itu mereka tahu benar, tetapi mereka tidak suka kepada undang-undang Islam.

Anehnya mereka mengaku bahawa mereka mukmin, beriman kepada Allah, tetapi tidak beriman kepada ayat-ayat-Nya, tidak percaya kepada hukum dan undang-undang-Nya.

Oleh kerana itulah Allah SWT mengajak kita yang faham dan sedar dengan kebenaran agama Allah, agar berjihad memperjuangkannya, tanpa mengambil kira golongan-golongan yang menentang kerana mereka menolak hidayah Allah dan kita memahaminya sebagai satu kewajipan.

Ayuh kita gembleng tenaga bersama-sama, mengajak diri dan masyarakat kita memperjuang dan memartabatkan agama Allah yang salah satu daripada cara atau jalannya, adalah bersama-sama dengan PAS. Untuk memperjuangkan Islam yang syumul. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Tuesday 2 April 2013

Damai desa, damai jiwa...

Cuti sekolah sudah pun berakhir kelmarin. Bagaikan tidak terasa seminggu berlalu, terlalu cepat. Anak-anak pun sudah balik ke asrama masing-masing.

Cuti sekolah ini saya tidak dapat bergerak ke mana-mana, dek kerana kesibukan yang mengekang. Sebenarnya saya sudah berjanji dengan anak-anak untuk balik ke kampung pada cuti sekolah tersebut, namun atas alasan tersebut saya terpaksa membatalkannya. Mujurlah anak-anak memahami dan dapat menerimanya. Terasa juga terkilan di hati kerana tidak dapat mengotakan janji kepada anak-anak.

Saya tahu, sebut sahaja balik kampung, tentunya yang paling gembira adalah anak-anak. Saya juga turut menumpang kegembiraan ahli fitrah. Di kampung, macam-macam aktiviti yang boleh dilakukan. Tambahan pula saya suka bercerita kepada anak-anak pengalaman sewaktu zaman budak-budak dahulu. Mandi sungai, meranduk paya dan belukar, menjerat burung, bermain permainan yang telah pun pupus di zaman ini dan seribu macam lagi aktiviti budak kampung. Cukup nostalgia,

Jika pulang ke kampung isteri, nenek setia menanti kepulangan cucunya-cucunya. Seronok berhimpun bersama ipar-duai, anak-anak pula berkejar ke sana sini bagai mahu meruntuhkan rumah, sekejap pula mereka berkejaran di laman hijau yang luas. Rumah mertua saya berhampiran dengan pantai. Singkap sahaja jendela belakang, terbentang saujana kebiruan laut dengan deruan angin pantai yang bertiup. Kebiasaannya, setiap kali balik, adik-adik ipar saya akan mengajak memancing di laut menaiki bot fiber miliknya.

Saya memang minat memancing di laut tetapi tidaklah sampai tahap ‘kemaruk’ memancing. Teringat semasa di awal perkahwinan dahulu, saya mengikuti adik-adik ipar memancing di laut. Apa yang terjadi, saya hanya sempat sekali menurunkan tali kail selepas itu saya terbaring lesu kepeningan ‘mabuk laut’. Lucu pula mengenangnya. Itulah pengalaman pertama kali memancing di laut. Tetapi selepas daripada peristiwa itu, saya sudah tidak mabuk lagi setiap kali turun ke laut.

 Pemandangan dari jendela. Kelihatan Pulau Ular di tengah kebiruan air laut.

Di situ juga terdapat sebuah pulau yang dikenali oleh penduduk tempatan dengan Pulau Ular. Entahlah, saya pun tidak pasti bagaimana asal-usul pulau itu mendapat nama. Mungkin dulu di pulau itu banyak ular agaknya, sekarang dah tiada sebabnya setiap kali saya singgah di pulau itu setelah penat memancing tak pernah pula terserampak dengan ular. Sekali pun tidak pernah. Yang ada hanya burung-burung yang memang banyak bersarang di atas batu.

Petang, jika tiada apa yang mahu dibuat, dengan membawa bekal makanan dan minuman kami turun ke pantai untuk mandi-manda. Alangkah seronoknya menjamu selera ditemani deburan ombak setelah penat berkejaran bermain air serta mencari kepah dan udang kara yang banyak bersarang di pasir pantai.

Ahh..andai mahu diceritakan keseronokkan di kampung tidak akan habis dan tidak menjemukan. Kerana disitulah terletaknya kedamaian dan ketenangan. Mengapa begitu mudah penyakit orang kota begitu mudah terubat sekembalinya ke kampung?

Saya memetik tulisan Ustaz Hasrizal, yang saya benar-benar berkongsi rasa dengannya.

Kerana kami pulang ke asal. Itulah formulanya. 

Untuk mencari damai di hati dan jiwa, pulanglah ke asal.

Mungkin kerana itu, zikrullah, solat dan majlis ilmu, sering mengundang damai. Sedangkan dosa, lagha dan tenggelam oleh urusan dunia, acapkali menimbulkan resah dan gelisah. Kerana asal jiwa ini “dekat” dengan Allah. Masakan tidak “dekat”. 

Kita pernah bersoal jawab dengan Allah secara langsung, di alam roh yang misteri, namun boleh difahami bahawa asal maujudnya kita adalah “dekat” kepada-Nya. Allah bertanya secara langsung kepada kita: 

“Bukankah Aku Tuhan kamu?” 

Dan kita semua telah menjawabnya secara langsung kepada Dia:

“Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi” (Al-A`raaf : 172) 

Di alam itu kita “dekat” dengan-Nya. Dan hakikat itu memainkan peranannya pada kembara kita di sebuah dunia. 

ANALOGI PERANTAU 

Apa rasanya seorang perantau yang terbuang sendirian di bumi asing? 

Sunyi, rindu, dan resah tidak tentu masa. 

Bagaimanakah perasaan perantau itu tatkala bertemu dengan seorang insan yang dikenal pastinya sekampung, sedaerah dan berkongsi persamaan, ketika dirinya sedang remuk rindu di perantauan? 

Pastinya gembira, hilang sunyi, terhibur malah rasa “selamat”. 

Bagaimana perasaan itu menjelma? Dari mana kepuasaan itu muncul di dalam jiwa? 

Tentu sahaja, kerana insan yang ditemuinya itu berkongsi asal yang sama. Bila diri dibawa pulang ke asalnya, jiwa tenteram beroleh damai. 

Itulah rahsia zikrullah menenangkan jiwa, ketika roh kita dibawa kembali ke sifat asalnya. “Dekat” dengan Allah. 

Bagaimana mungkin titis hujan, liku alur dan hijau pohonan tidak mendamaikan? Sedangkan saya lahir di alam begitu, membawa diri pulang ke asal, itulah kunci kebahagiaan yang sejati.

Kuala sungai, tempat nelayan mendaratkan hasil tangkapan