Sahabat Sejati

Sunday 9 June 2013

Bicara santai: Cuti Ahad cuti Jumaat?


Hari ini adalah hari terakhir cuti persekolahan, semua pelajar yang tinggal di asrama akan pulang menyambung kembali persekolahan. Anak kedua saya telah pun pulang ke asrama semalam di Kemaman. Negeri Terengganu bersekolah pada hari ini kerana cuti hujung minggunya pada hari Jumaat.

Saya berpendapat alangkah baiknya jika cuti hujung minggu dapat diselaraskan pada hari Jumaat di seluruh negara. Benar, Islam tidak mewajibkan cuti pada mana-mana hari pun dalam seminggu, oleh kerana keadaan dan suasana masyarakat pada hari ini memerlukan cuti rehat dalam seminggu, maka bolehlah dipilih hari tertentu untuk dijadikan cuti mingguan.

Kita melihat di Malaysia ada negeri yang menetapkan hari Jumaat, dan ada negeri yang menetapkan hari Ahad sebagai cuti hujung minggu. Negeri-negeri seperti Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah menjadikan hari Jumaat sebagai cuti hujung minggu.

Saya membaca di dalam laman fatwa negeri Perlis yang diputuskan pada 11 Mei 1988, namun ia tidak diwartakan, berbunyi:

“Hari cuti tersebut tidak boleh mengikut kebiasaan masyarakat Kristian yang bercuti pada hari Ahad dan merupakan hari penganutnya pergi ke gereja. Menjadikan hari Jumat sebagai hari bekerja menimbulkan banyak keburukan dan kesulitan seperti bagi pekerja kilang dan pelajar sekolah yang tidak dapat hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Sementara tindakan menjadikan Hari Ahad sebagai hari cuti mingguan adalah tindakan membesarkan hari tersebut sebagaimana penganut Kristian membesarkannya. Dengan berbuat demikian kita telahpun mengikut jalan dan jejak langkah mereka.

Sedangkan Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang menyerupai atau mencontohi cara hidup sesuatu kaum (bukan Islam) maka dia tergolong dari kalangan mereka.” 

Jika cuti hari Jumaat tidaklah terkejar-kejar masa untuk pergi ke masjid bagi menunaikan sembahyang Jumaat, kemudian tidak juga terkejar-kejar untuk masuk semula bekerja. Kalau seperti ini situasinya bagaimana mahu mendengar khutbah yang disampaikan dengan tenang. Dalam kepenatan bekerja kemudian tidak sempat mandi. Terus ke masjid duduk dibawah kipas, waktu tengahari pula, saya rasa kita banyak tidur daripada mendengar isi khutbah. Lainlah kalau orang itu tidak menunaikan sembahyang Jumaat.

Hari Jumaat juga mempunyai banyak kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Kita disarankan agar banyak melakukan amal ibadat pada hari ini. Banyak hadis-hadis yang menyebut akan kelebihannya. Bahkan di dalam al-Quran sendiri Allah meletakkan satu surah yang bernama surah Jumaah.

Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah saw bersabda : “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seumpama mandi janabah(iaitu mandi penuh), kemudian dia pergi ke masjid, maka seumpama dia mendapat(pahala) seekor unta. Kemudian peringkat kedua seumpama (pahala)seekor lembu. Kemudian peringkat ketiga seumpama (pahala)kibas yang bertanduk. Kemudian peringkat keempat seumpama (pahala)ayam betina. Kemudian peringkat kelima seumpama(pahala)telur ayam. Apabila imam menaiki mimbar, maka malaikat (menutup buku catatan kehadiran dan terus ke mimbar )untuk mendengar khutbah.” (SAHIH BUKHARI MUSLIM) 

Harap-harap cuti hujung minggu negeriku ditukarkan kepada hari Jumaat...Insya-Allah.”

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam sahabat AI,alhamdulillah dah boleh bw guna chrome.owh teringat ayah tiri saya yang kerja sebagai chef di hotel kat klia.ayah minta cuti hari jumaat,tapi pihak pengurusan kaum lain bising2..sebab jumaat kiranya ramai customerlah konon.ayah pulak chef masakan jepun.

kalau fikirkan sayang kerjaya,memanglah kan.tapi ayah ambil keputusan berhenti sebab rasa tak berkat kerjanya menghalang ayah menunaikan tanggungjawab pada hari jumaat :)

abuikhwan said...

salam sahabat, alhamdulillah...

Terharu dan kagum dengan ayah tiri sahabat yang nekad serta sanggup berhenti kerja kerana itu. rasanya tidak semua yang kuat utk melakukannya, lebih2 lagi apabila memikirkan keselesaan yang sudah pun didapati...apapun tabik double spring kat ayah tiri aleasara.

"harap2 saya pun ada kekuatan spt itu jika ditaqdirkan berhadapan dgn situasi yg begitu I-Allah..."

Post a Comment