Sahabat Sejati

Sunday 9 June 2013

Pulau Tawar, harapanku melihatnya dengan suasana yang berbeza

 Pulau Tawar (foto "recycle")

Setelah semalam anak saya yang kedua pulang ke PPTI Kemaman, hari ini anak sulong saya pula berangkat pulang ke asramanya di Jerantut. Saya cuma menghantarnya ke terminal bas , beliau akan menaiki bas ekspres ke bandar Jerantut kemudian bersambung pula dengan menaiki teksi menuju ke SMA Pulau Tawar. Nampak macam sukar juga kerana terpaksa bersalin kenderaan awam. Dulu saya ada juga bertanya kepada beliau, katanya mula-mula sahaja rasa kesukaran itu tetapi bila dah biasa jadi seronok pula. Lagipun bukan dia seorang sahaja, ramai lagi teman sekolahnya yang sama-sama menaiki teksi dari bandar Jerantut ke Pulau Tawar.

Selalunya mereka akan berkumpul beramai-ramai dan sama-sama bergerak dari bandar Jerantut dengan lima atau enam buah teksi, itu belum lagi termasuk teksi yang pergi juga ke Pulau Tawar tetapi berlainan sekolah. Macam berkonvoi pula. Sukar tetapi seronok, anak lelaki biarlah merasai sedikit kesusahan sekurang-kurangnya menambah pengalaman. Bahkan menuntut ilmu memang banyak kepayahan dan amat memerlukan kekuatan serta kesabaran. Barulah kita dapat merasai akan nikmat dan kepuasan setelah berjaya nanti, insya-Allah.

Imam Syafie rah. dalam syairnya telah menggariskan syarat-syarat untuk menuntut ilmu: “Wahai saudaraku, engkau pasti tidak akan mencapai ilmu kecuali dengan 6 perkara. Aku akan menerangkannya dengan memberitahu secara terperinci. Pertama, perlu ada kecerdikan, kehalobaan (minat yang tinggi), kesabaran, sempurna akal, bersahabat dengan guru dan panjang masa.”

Demikianlah peringatan yang disampaikan oleh Imam Syafie rah. kepada para penuntut ilmu.

Pulau Tawar tempat bersejarah

Sebelum ini saya tidak pernah ke Pulau Tawar, letaknya di mana. Yang saya tahu ia berada di dalam daerah Jerantut. Namun, “berkat” anak saya bersekolah di situ, maka sedikit sebanyak tahu beberapa jalan dan nama kampung di sekitarnya.

“Ini jalan sekian-sekian. Kampung ini namanya sekian-sekian, selepas ini kampung...kat sebelah tu ada...” begitulah keadaannya setelah entah berapa kali saya ke Pulau Tawar. Semuanya sudah dihafal, insya-Allah. Kalau ada yang saya tidak tahu pun mungkin yang tersorok atau terpencil.

Pulau Tawar adalah sebuah mukim tradisional yang terletak dipinggir Sungai Pahang. Dikatakan ianya mula-mula dibuka lebih kurang 200 tahun yang lalu oleh orang-orang dari Sumatera (Tok Malim Deman). Sekitar tahun 1850 hingga 1920 kampung ini sangat terkenal kerana menjadi tempat lahirnya perjuangan jihad para pahlawan-pahlawan Islam untuk menghalau penjajahan Inggeris dari bumi Pahang. Sultan Pahang bersemayam di Pulau Tawar sekitar tahun 1800-an setelah berpindah dari Pekan. Di sinilah lahirnya pahlawan Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau. Pada tahun 1970 , setelah sekian lama menghilangkan diri , Mat Kilau muncul kembali setelah mengistiharkan dirinya di Masjid Pulau Tawar.

Namun, saya agak kecewa kerana banyak tinggalan sejarah di sini yang terabai. Sedangkan ia mempunyai nilai sejarah yang boleh menjadi tatapan generasi akan datang. Di antara kesan tinggalan sejarah yang perlu di ambil perhatian ialah makam Mat Kilau, rumah kelahiran Mat Kilau, masjid Pulau tawar yang dibina oleh Mat Kilau, istana Sultan Pahang (kini diruntuhkan dan telah dibangun Sekolah Menengah Pulau Tawar), tapak pertemuan Sultan Pahang dengan para pembesar Pahang semasa British berusaha memujuk Sutan Pahang supaya menerima residen British dan bermacam-macam lagi.

Masjid lama Pulau Tawar tempat Pahlawan Mat Kilau mengisytiharkan dirinya

Saya berharap kerajaan Negeri Pahang di bawah exco yang terlibat dapat melakukan sesuatu agar nilai tinggalan sejarah ini tidak hilang di telan masa begitu sahaja. Mungkin kita dapat mencontohi keprihatinan kerajaan negeri Melaka yang telah membangunkan kampung Duyung, tempat kelahiran Hang Tuah. Begitu juga kerajaan negeri Kedah yang membangun Padang Mat Sirat, tempat kelahiran Mahsuri. Biarpun kewujudan mereka hanyalah satu lagenda menurut pendapat sesetengah pihak, tetapi tetap dibangun dan dipulihara dengan baik. Bahkan jika ke Pulau Pinang pula kita akan melihat tersegam indah rumah kelahiran P. Ramlee yang telah dibangunkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk tatapan generasi baru. Cemburu pula rasanya dengan keadaan ini.

Destinasi sejarah, selain memberi ‘input’ pengetahuan yang berharga kepada generasi akan datang, ia juga mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan kepada tempat tersebut.

Saya bukanlah orang Pulau Tawar dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan di Pulau Tawar. Hanya anak sulung saya sahaja yang sekarang sedang belajar di SMA Pulau Tawar. Saya mencatatkan ini atas dasar seorang rakyat Pahang yang terlalu meminati kajian dan tinggalan sejarah. Sayang pula jika sesuatu yang berharga itu (mungkin tidak bagi orang lain) disia-siakan begitu sahaja. Mudah-mudahan ia membuka mata pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil perhatiannya.

abuikhwan: minat sangat-sangat sejarah...

0 comments:

Post a Comment