Sahabat Sejati

Tuesday 4 June 2013

Terima kasih, orang berbudi kita berbahasa...

Daging arnab

“Masak apa yang sedap daging arnab ni?” Saya bertanya kepada abang Azman, rakan sekerja saya pagi tadi. Bungkusan plastik yang berisi daging arnab berpindah tangan.

“Apa-apa pun boleh. Kari ke, rendang ke, goreng berempah pun sedap juga.” Jawab abang Azman. Walaupun berlainan jabatan tetapi kami sentiasa bertemu terutama di surau ketika mahu bersembahyang Zohor.

Hari ini abang Azman membawakan kepada saya seekor arnab. Bukan arnab hidup tetapi arnab yang telah disembelih serta siap dibuang kulit cuma belum dipotong kepada potongan yang kecil. Asalnya pada Jumaat lepas saya dengan nada berseloroh meminta seekor arnab yang dipeliharanya setelah beliau memberitahu saya bahawa beliau banyak memelihara arnab.

“Cepat betul membiak, dua bulan sekali beranak dalam lima atau enam ekor anak.” Katanya menerangkan. Saya pun tidak tahu sejak bila beliau mula memelihara arnab, sedar-sedar dia bercerita yang arnab peliharaannya semakin membiak.

“Kalau macam tu bawalah seekor, nak rasa macam mana dagingnya, sedap atau tidak.” Saya berseloroh. Sebelum ini pun saya tidak pernah makan daging arnab kecuali burger arnab, itupun cuma sekali dua sahaja.

“Boleh, nanti abang bawakan.” Kata abang Azman.

“Eh, saya bergurau saja.” Malu pula rasanya. Memang saya hanya bergurau dengan abang Azman. Lagipun kami memang biasa bergurau-senda baik di tempat kerja ataupun ketika bersua di luar.

“Tak apa, lagipun abang memang nak sembelih yang jantan, banyak sangat.”

“Kalau macam tu abang tolong sembelihkan terus ye, saya tak sampai hati. Tak tergamak tengok matanya tu kasihan, mukanya pun baik sangat.” Saya memberitahu kepada abang Azman. “Walaupun dulu nenek moyangnya pernah bersikap sombong sewaktu perlumbaan dengan kura-kura tapi itu cerita lama. Tak ada kena mengena dengan arnab yang ini.” Abang Azman tersenyum mendengar gurauan saya.

Tak sangka pula beliau bersungguh dan membawakannya pada hari ini.

Sebut tentang arnab, saya teringat satu kisah yang pernah saya baca iaitu mengenai golongan Syiah Nusairiyyah di bandar Serinyol, Antakiya yang mengharamkan pemakanan arnab kerana kepercayaan tahyul mereka terhadap hubungan Saiyidina Ali dengan arnab. Entahlah, saya pun tidak pasti dari mana kepercayaan itu.

Serinyol terletak tidak jauh dari pusat bandar Antakya. Dikatakan bandar Antakiya menjadi pertikaian di antara Turki dan Syria. Masing-masing mendakwa ia adalah milik mereka.

Hari ini Serinyol merupakan kampung penginapan golongan Syiah Alevi (Alawiyyin) aliran Nusairiyyah yang sangat melampau. Golongan Alevi ini dikatakan hidup merempat di zaman Othmaniyyah, lantaran polisi Othmaniyyah yang amat keras terhadap Syiah. Mereka sering dijadikan hamba abdi dan tidak mempunyai hak untuk memiliki harta. Namun selepas kejatuhan kerajaan Othmaniyyah, golongan Alevi ini bangkit. Malah hingga salah seorang daripada mereka berjaya menjadi Presiden Syria iaitu Hafiz al-Asad.

Itu kisah yang pernah saya baca.

Tetapi pada hari ini regim Hafiz al-Asad sedang galak membantai rakyatnya tanpa belas kasihan yang dianggapnya sebagai pengganas untuk menggulingkan pemerintahannya. Saya berdoa mudah-mudahan Allah SWT mempermudahkan urusan serta memberikan kemenangan kepada para tentera Pembebasan Rakyat Syria.

Ucapan terima kasih


“Terima kasih abang Azman atas daging arnab ini.” Terharu dengan kesungguhannya. Bukan setakat sembelih, tetapi siap buang kulit pula.

Berterima kasih adalah fitrah setiap manusia. Ia adalah akhlak mulia yang menjadikan pergaulan dan persahabatan lebih mesra. Ucapan terima kasih adalah anugerah Allah SWT kepada para hamba-Nya untuk melaksanakan peranan khalifah di muka bumi ini.

Di dalam kehidupan sehari-hari kita tidak terlepas daripada mengucapkan terima kasih. Kita mempunyai banyak sebab untuk berterima kasih. Kita banyak menerima bantuan dan pemberian daripada orang lain ketika menjalani kehidupan seharian. Kita tersesat jalan, lalu ada yang membantu menunjukkan arah, kita berterima kasih kepadanya. Begitu juga kepada posmen yang menghantar surat, pemungut sampah yang memungut sampah di hadapan rumah kita, begitu juga pemandu bas atau teksi yang memberhentikan kenderaannya di saat kita menahannya.

Hari ini ada orang yang bersikap tidak mahu berterima kasih atas alasan sememangnya apa yang dilaksanakan itu adalah tanggung jawab, memang itu kerja mereka, jadi tidak perlulah berterima kasih. Ada pula yang mengatakan, bersyukur kepada Allah sudahlah. Begitulah antara pandangan yang dilontarkan apabila bercakap soal 'terima kasih'.

Benar. Tetapi bagaimana mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Contohnya jika pemandu bas atau teksi tidak mahu berhenti semasa kita menahannya sedangkan diwaktu itu kita kesuntukan masa sedangkan kenderaan kita rosak. Atau si posmen memilih untuk membuang surat kita, lebih-lebih lagi surat itu amat penting.

Contoh yang lebih besar lagi, cuba kita renungkan, kita semua ada ibu dan bapa. Mereka ialah insan yang bertanggungjawab mencari nafkah membesarkan kita, memberikan tempat tinggal, duit belanja, membeli baju baru dan segala keperluan serta memberikan pendidikan dan agama yang terbaik kepada kita. Pernahkah kita mengucapkan terima kasih atas apa yang telah dilakukan itu? Atau kita masih mahu mengatakan itu memang tanggungjawab mereka. Ingatlah, orang yang tidak tahu menghargai tidak patut dihargai.

Terima kasih, kalimah yang pendek dan ringkas, tetapi natijah amat besar. Ia menunjukkan akhlak kita serta menggambarkan kehalusan budi kita.

Ia juga sebagai tanda menghargai dan kegembiraan kepada mereka yang membantu kita. Cuba sesekali kita ucapkan terima kasih yang tulus daripada hati yang paling dalam. Lihatlah kegembiraan mereka dengan penghargaan ini. Renungkanlah pula ke dalam hati kita, bukankah dengan kegembiraan mereka kita juga turut merasa gembira? Mengucapkan terima kasih dengan benar-benar ikhlas, hakikatnya kita bersyukur kepada Allah SWT.

Dalam satu hadis riwayat Imam Tirmidzi ada menyatakan: "Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia". Demikian sabda Rasulullah saw dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dengan sanad yang sahih dalam al-Adab al-Mufrad, Hadis No: 218.

Justeru ringan-ringankanlah lidah untuk mengucapkan terima kasih, mudah-mudahan kita termasuk di kalangan orang yang bersyukur kepada-Nya. Insya-Allah.

6 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam singgah sini pulak.wah daging arnab ke tu...huhu..saya pernah sekali je makan sate arnab itupun sebab abah beli.abah tak kata pun tu arnab,dah makan seketul terasa lain macam je,memang macam ayam tapi daging tu macam halus ..

TERIMA KASIH juga nak ucapkan kepada sahabat sebab masih sudi singga dan komen entri.mudah bukan berkata terima kasih.pelik semakin ramai sombong di luar sana :)

Unknown said...

teringin plak nk mkn daging arnab.... :)

My recent post : Salam Perkenalan dari GREEN ARTWORK

Unknown said...

SEDAP KE DAGING ARNAB NI...BELUM PERNAH MAKAN...


www.noormalashahar.com.my

abuikhwan said...

Daging arnab ni rasanya sama macam daging ayam, kalau org yang first time makan mesti kata daging ayam..

abuikhwan said...

Betul, terlalu mudah utk menuturkan dua perkataan ini, namun tidak semua yg mahu berbuat demikian krn alasannya "mmg sudah tugasnya....."

abuikhwan said...

Salam perkenalan kembali, terima kasih atas kunjungannya...

Post a Comment