Sahabat Sejati

Saturday 13 July 2013

Ramadhan, meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah

Teruja.

Seronok dan gembira.

Sejuk hati melihat bilangan jemaah yang hadir ke surau sejak tiga malam yang lalu. Saf penuh sampai ke belakang. kanak-kanak pun sama, sehingga baru saya perasan yang ramainya kanak-kanak termasuk budak-budak muda di tempat saya.

Alhamdulillah, semuanya mahu mengambil kesempatan beribadat di bulan yang mulia ini yang dijanjikan ganjaran yang besar. Yang tidak pernah datang ke surau mula menunjukkan muka, yang sakit dan sibuk sebelum ini tidak dapat ke surau pun berusaha untuk datang sama-sama menunaikan solat isyak seterusnya berterawih. Bukan sahaja di tempat saya, malahan di-mana-mana masjid dan surau kelihatan suasana yang sama. Setiap orang dipermudahkan dan diringankan untuk beribadat.  Saya berharap suasana ini akan berlanjutan sehingga akhir Ramadhan seterusnya berkekalan selepas Ramadhan. Inilah kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan iaitu meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.” (Bukhari dan Muslim) 

Syaikh ‘Utsaimin rahimahullah menjelaskan:
”Pintu-pintu syurga dibuka pada bulan ini oleh kerana banyaknya amal soleh yang dikerjakan, dan sekaligus untuk memotivasi umat Islam agar melakukan kebaikan. Manakala pintu-pintu neraka ditutup kerana berkurangnya bahkan sangat sedikit maksiat yang dilakukan oleh orang-orang yang beriman. Syaitan-syaitan diikat dan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti di bulan-bulan selain Ramadhan.” [Majaalisu Syahri Ramadhan, Syaikh ‘Utsaimin)

Jaga-jaga


Mungkin ada yang ingin berkata: "Bulan Ramadhan baru nak datang ke masjid..."

Atau: "Baru nampak muka, lepas ni Ramadhan tahun depan la pulak..."

Memang mereka boleh berkata demikian dan betul apa yang dikatakannya, tetapi saya rasa lebih baik jika kita cuba meraikan mereka dengan menghulurkan 'tali'. Mudah-mudahan dengannya terbuka hati untuk istiqamah datang ke surau lagi selepas ini. Jika kita bersikap seumpama menghulurkan 'cambuk api' rasanya itulah kali terakhir mereka datang. Selepas ini 'kirim salam la...'

Marilah kita bersikap menerang bukan menyerang. Kita bukan mencari salah tetapi menyampaikan dakwah. Jika tidak rugilah kita, rugilah mereka.

Oleh itu, marilah kita berusaha mencari jalan kebaikan agar keberkatan dan kehangatan rahmat Ramadhan dapat dikongsi bersama. Berlumba-lumbalah meraih apa sahaja kebaikannya selagi diberi kesempatan. Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan Ramadhan ini yang terbaik dan menerima segala amal yang dilakukan, Insya-Allah.

0 comments:

Post a Comment