Sahabat Sejati

Friday 28 February 2014

Tuesday 25 February 2014

Manusia realiti bukan mithali


Saya bukan manusia mithali, tetapi yang pasti saya adalah manusia realiti. Manusia realiti yang ada baik dan ada buruknya. Manusia realiti yang sentiasa ada percikan dosa. Jika tidak dosa pada tingkah laku anggota, mungkin dosa pada lintasan hati dan jiwa.

Seringkali saya mengingatkan diri, setiap kali saya menulis sesuatu kebaikan atau mengajak berbuat kebaikan, tidaklah bermakna saya telah sempurna kebaikannya. Malahan, realitinya saya sedang bertatih menguruskan kesempurnaan. Tetapi, kesempurnaan yang dicari bukanlah kesempurnaan pada hakikatnya kerana tiada yang sempurna melainkan al-Khaliq. Sempurna kita hanyalah sempurna pada padangan mata makhluk yang lemah.

Kadang-kadang di saat sedang mencoretkan tinta-tinta dakwah, tidak semena-mena perasaan malu menyelimuti diri. Saya merenung panjang. Bertubi-tubi pertanyaan menjengah dalam diri, “layakkah aku menulis begini dan begini”. Kerana apa? Sedar kerana diri sendiri belum berupaya untuk melakukan apa yang didakwahkan. Namun, atas dasar “SAMPAIKAN DARIKU WALAUPUN SATU AYAT”, saya mengagahkan diri untuk mencoretnya, dan di waktu yang sama saya tidak lupa untuk sentiasa memanjatkan doa:

 “Ya Allah, dengan rahmat-Mu berilah kekuatan kepadaku untuk turut sama melakukan kebaikan. Dan dengan rahmat-Mu jua berilah kekuatan kepadaku untuk meninggalkan keburukan.”

Saya tidak pernah lupa merenung dan menginsafi diri. Tinta hikmah ulama digenggam seeratnya. Kata mereka: “Manusia melihat kita baik bukannya kerana kita baik. Tetapi ingatlah Allah SWT dengan kasih sayang-Nya yang menutupi keaiban kita.”

Benar, kita tampil di hadapan manusia ramai dengan sempurna kerana Allah SWT menutupi keburukan kita. Tidak semua episod lakonan insan diketahui orang lain. Sebahagiannya adalah rahsia kehidupan yang terlindung. Hanya empunya diri dan Tuhan yang mengetahui. Benar sekali tinta alim ulama, jika dosa itu berbau , nescaya kita tidak mampu keluar rumah kerana malu busuk tubuh dikesani orang kerana dosa-dosa yang dilakukan. Demikianlah, jika tiada pemeliharaan-Nya entah bagaimana susuk penampilan kita.

Itulah yang sentiasa bermain di dalam jiwa. Bimbang jika ada yang tersalah erti, melihat apa yang tercoret di dalam pondok kecil abuikhwan ini mewakili seluruh kehidupan saya. Sedangkan ia hanyalah picisan yang terungkap di sebalik kata “saya manusia realiti bukan manusia mithali.”

Monday 24 February 2014

KB1M di Kuantan, bagus-bagus


Saya memang suka membaca. Di rumah, satu sudut saya jadikan ‘mini library’ dengan timbunan buku yang saya beli dan yang digunakan pada zaman belajar dahulu. Membaca menjadi satu cara untuk diri saya berehat. Justeru, kedai buku adalah spa terbaik untuk saya kunjungi jika ada masa yang terluang. 

Saya teruja semasa mendapat tahu tentang pembukaan sebuah kedai buku baru di bandar Kuantan. Tidak lain dan tidak bukan, kedai buku yang saya maksudkan ialah Kedai Buku 1 Malaysia. Saya pernah ke kedai Buku 1 Malaysia yang terletak di Pudu Sentral sewaktu ke ibukota tempohari. Kemudian saya cuba mencari-cari melalui internet jika terdapat kedai buku ini di Kuantan. Rupa-rupanya ia sudah lama dibuka iaitu pada 16 Mac 2013. Hasil carian di internet, saya mendapat tahu setakat ini hanya ada 4 cawangan KB1M di seluruh Malaysia dan cawangan di Kuantan merupakan yang terbaru. Saya sahaja yang tidak mengikuti perkembangan, ‘ketinggalan keretapi’ lagi. 

Objektif penubuhan KB1M adalah membantu dan meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan menawarkan produk yang berkualiti pada harga yang berpatutan sejajar dengan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" bertepatan dengan "Janji Ditepati". 

Lokasinya terletak di Jalan Putra Square 6, Putra Square. Berhampiran dengan Malay Town. Anda boleh melalui jalan berhampiran Stadium Darul Makmur, atau boleh juga melalui jalan berhadapan East Coast Mall dan Zenith Hotel. 

Baru-baru ini, saya mencuri masa untuk berkunjung ke kedai buku ini. Turut bersama, dua lagi rakan yang termakan hasutan saya untuk mengunjunginya. Semasa meneroka ke dalam, saya lihat koleksi buku jualan yang tidak menghampakan. Dengan keluasan yang cukup besar, rak-rak yang tersusun cantik serta keramahan pekerjanya membuatkan saya merasa cukup selesa. 

Sempat juga saya membeli beberapa buah buku dengan potongan harga yang menarik untuk koleksi perpustakaan saya. Alhamdulillah, satu lagi kedai buku yang menjadi lokasi kunjungan yang tercatat di dalam diari. 

Saya amat menyambut baik inisiatif pihak kerajaan menyediakan Kedai Buku 1 Malaysia ini dan ia memberi peluang masyarakat yang berpendapatan rendah dan sederhana berpeluang mendapatkan bahan bacaan berkualiti pada harga mampu beli. Dengan pembukaan lebih banyak lagi kedai buku ini, diharapkan akan menyemarakkan lagi industri buku tanah air.

Bagus, bagus...

Sunday 23 February 2014

Karnival Gegar Ria Irsyad Balok

Alhamdulillah, Karnival Sekolah Islam al-Irsyad kembali lagi. Kali ini, menampilkan selebriti-selebriti yang  dikenali ramai dengan susunan program-program yang menarik menanti anda.

Kepada yang semua yang berdekatan dijemput untuk sama-sama memeriahkan karnival ini.



Saturday 22 February 2014

Kongsi-kongsi: Hapuskan nyamuk aedes cara mesra alam


Mendengar berita mengenai penularan wabak denggi amat merisaukan. Merujuk laporan Kementerian Kesihatan, Malaysia mencatatkan peningkatan wabak denggi yang sangat serius iaitu 10,712 kes dan 19 kematian direkodkan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Perkembangan ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kerana denggi bukanlah satu wabak yang boleh dianggap enteng kerana mampu meragut nyawa. Selain daripada semburan aerosol serta tidur di dalam kelambu, yang paling penting ialah menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes dengan menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal.

Saya sendiri pernah menghidap demam denggi beberapa tahun yang lalu. Bukan sekali tetapi dua kali terlantar di hospital kerananya. Terasa menyakitkan sangat. Mudah-mudahan tiada yang ketiga, insya Allah.

Di sini saya ingin kongsikan satu cara untuk menghapuskan nyamuk aedes melalui kaedah yang mudah dan mesra alam.

INFO: CARA BUNUH NYAMUK. (sumber)


Bahan-bahan :
• 200 ml air
• 50 gram gula merah
• 1 gram ragi
• botol plastik saiz besar

Langkah-langkah:

1. Potong botol plastik ditengah-tengah. Simpan bahagian atas/mulut botol.
2. Campur gula merah dengan air panas. Biarkan hingga sejuk kemudian tuangkan ke dalam potongan bawah botol.
3. Masukkan ragi. Tidak perlu dikacau. Tujuannya untuk menghasilkan karbon-dioksida.
4. Masukkan potongan botol bagian atas sebelum ini dengan posisi terbalik seperti corong.
5. Lilit keliling botol dengan tape hitam atau kain, bukan di bahagian atas botol dan letakkan di bahagian sudut rumah.

Dalam dua minggu, anda akan melihat sejumlah besar nyamuk yang mati di dalam botol.

Selamat mencuba.

Info:
Demam Denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebar oleh nyamuk Aedes betina. Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat.

Wednesday 19 February 2014

Benarkah??


Saya tidak mengiyakan atau menidakkan. Tetapi banyak sumber yang saya temui lebih mirip kepada 'mengiyakan'. Jika benar, ia adalah satu perhambaan kepada kanak-kanak atas nama Pusat Tahfiz.  

Dulu saya sering melihat budak-budak yang menjual produk tahfiz ini di sekitar tempat saya. Biasanya mereka berada di stesen minyak atau di hadapan pasaraya. Sekarang ini nampaknya sudah tidak kelihatan. Ada masa-masanya saya beli juga dengan niat infaq. Kadang-kadang hanya menghulurkan wang tanpa mengambil barang yang dijual. Namun, setelah tersebar cerita ini, semakin bertambah kasihan pula kepada mereka. Kalaulah ianya benar, ‘tak sempat nak mikir’, macamana. Tergamak pula ‘mereka itu’ melakukannya.

Bagaimana agaknya keadaan ibu bapa  budak-budak tersebut sekiranya mengetahui situasi yang terjadi kepada anak-anak mereka. Tentu merasa kecewa dan marah. Tetapi jika di fikir-fikir dengan akal yang sihat, takkanlah mereka tidak mengetahui? Pelik bin ajaib!

Apa pun, diharap pihak yang berwajib dapat menjalankan pemantauan dengan kadar segera. Sekiranya terbukti benar sebagaimana yang didakwa, maka tindakan hendaklah diambil tanpa sebarang kompromi.

Di antara blog yang memuatkan cerita ini:

http://www.mazidulakmal.com/2013/04/perhambaan-remaja-pusat-tahfiz-amal.html?m=1

http://mymedialab.blogspot.com/2014/02/5-gambar-pengetua-pusat-tahfiz-amal.html

http://segalanyaberita.blogspot.com/2014/02/berdusta-atas-nama-agama-pusat-tahfiz.html

Tuesday 18 February 2014

Mencintai Isteri Jangan Separuh Hati


Lelaki dan wanita, suami dan isteri, ayah dan ibu, sama-sama mempunyai peranan lebih untuk tergapainya keindahan dan syurga dari sebuah pernikahan atau keluarga. Semua mesti menunaikan kewajiban, semua mesti memperhatikan, semua juga mesti saling menjaga. Begitulah keluarga, ia jalan menuju surga, jika semua berdiri pada posisinya. Jangan ada yang menzalimi atau terzalimi, baik isteri maupun suami. Bangun syurga pernikahan bersama, melangkahlah bersama. Hidupkan suasana cinta dalam keluarga. Agar pengabdian pada-Nya semakin indah dirasai. 

Beberapa abad silam Islam sudah menggariskan kemuliaan untuk kaum wanita. Tanpa perlu di demo dan dituntut, Islam menyetarakan masalah hukum antara laki-laki dan wanita. Islam menempatkan wanita pada singgasana indah, walaupun Islam tidak memberi peluang bagi mereka menduduki jabatan sebagai pimpinan kenegaraan. Bukan meremehkan, lebih pada sebuah penjagaan akan kehormatan, kelembutan serta kesantunan yang sesuai dengan tuntunan kesucian mereka sebagai wanita. Kerana sekali lagi, dalam banyak hal, wanita punya hak yang sama dengan kaum adam. 

Untuk anda para suami, janganlah berhenti mencintai dan menyayangi isteri anda. Bimbing dan tuntun mereka dalam menggapai redha-Nya. Jaga selalu, segala cintanya, kepercayaan, keikhlasan dan pengorbanan yang ia limpahkan pada anda. Syukuri segala lebih dan kurang yang ada dalam dirinya. Agar mereka tidak akan merasa sia-sia berbakti pada anda.

Tajuk : Mencintai Isteri Jangan Separuh Hati
Penulis : Dr. Najah Ahmad Zhihar
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Harga : RM 15.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Monday 17 February 2014

Hmm, jajan serbuk


Sewaktu sedang berjalan menuju ke kenderaan setelah menghantar anak sulung menaiki bas untuk balik ke asrama, saya melewati satu kiosk yang menjual makanan. Tiba-tiba pandangan mata tertumpu pada satu jajan serbuk yang mengingatkan pada zaman kanak-kanak dahulu. 

Eh, lama benar saya tidak memakannya. Kalau dulu saya selalu melihat arwah ibu membuatnya. Kemudian kami sama-sama menikmatinya di beranda pada waktu petang bersama jiran-jiran yang bertandang. 

Seingat saya tidaklah terlalu rumit cara membuatnya, manakala bahan-bahan yang digunakan pun tidak banyak. Cuma ia memerlukan sedikit kerajinan. Bermula daripada memarut kelapa menggunakan kukuran sehinggalah proses mengorengnya. Inilah jajan serbuk yang digelar namanya sagun. Tetapi di tempat saya ia disebut dengan sagong. Biasalah ada huruf “g” sebab dekat dengan Kemaman. 

Wah, terkejut juga dengan harganya. Tidaklah mahal dan saya masih mampu membayarnya, tetapi melihat pada saiznya memang tidak kena. Hendak buat macamana zaman sudah berubah, barang-barang semua sudah naik harga. Yang tidak berubah hanyalah pembungkus dan lilitan kertas warna sebagai hiasan. Sejak dari dahulu hingga sekarang begitulah 'pesennya'. Cuma yang ini tiada kertas rambu-ramba di atasnya.

Walau bagaimanapun, saya membayar juga harganya. Tak kisahlah, niat memanjangkan rezeki Tuhan. Sama-sama dapat pahala, insya-Allah. 

Setiba di rumah saya tunjukkan kepada anak-anak sambil bercerita mengenai sagong. Setelah menikmati sagong ini, saya perasan yang keenakkannya tidak seperti yang saya nikmati puluhan tahun dahulu. Ada kurang sedikit sedapnya. Namun, dalam kurang sedap itu habis juga 2 bungkus sagong kami kerjakan.

Alhamdulillah...

Sunday 16 February 2014

Cetusan rasa: Semoga berbahagia


Alhamdulillah, petang ini telah pun selesai majlis menyambut menantu kakak saya. Anaknya yang sulung telah pun bergelar suami. Majlis diadakan di rumah bapa saudara kami, yang saya kira sangat sesuai berbanding dengan rumah kakak saya. 

Bukannya apa, rumah kakak saya masih lagi belum terurus dengan sempurna selepas banjir tempohari. Manakala rumah bapa saudara saya pula dengan persekitaran yang luas suasana kampung. Lagi pun memang dia sangat-sangat mahukan majlis itu dibuat di rumahnya. Mungkin juga dia rasa tanggungjawabnya terhadap kami semua setelah pemergian ibu bapa kami. Sementelah lagi dia merupakan adik ibu yang paling tua. 

Sungguh seronok bersama-sama kaum keluarga bergotong-royong menyiapkan majlis tersebut. Majlis ini memberi peluang untuk kami beramah mesra dan meng'update' perkembangan diri masing-masing. Maklumlah jika hari lain mungkin tidak dapat kerana sibuk dengan urusan kehidupan sendiri. Kalau tidak hari raya, maka majlis-majlis sebegini menjadi peluang untuk kaum keluarga berkumpul. Jenuh juga mahu bersuai-kenal dengan ahli keluarga yang datang. Samada yang jauh maupun yang dekat. Yang ini dua pupu, yang ini bapa tiga pupu, yang ini pula anak saudara sepupu dan macam-macam lagi pangkat keluarga yang diselidiki. Tentunya semua ini amat menggembirakan hati saya. 

Saat berkumpul sebegini juga memberi peluang kepada semua untuk memunggah kembali nostalgia lampau. Satu persatu kenangan lalu dikisah semula. Namun bagi saya ia seumpama kembali menerobos terowong masa. Sesekali diselangi ketawa jika ada perkara yang mencuit hati, sesekali pula semuanya terdiam jika ada kisah yang menyentuh perasaan. Yang pasti semua itu telah tinggal kenangan. Satu demi satu hilang daripada kehidupan. 

Insya-Allah, jika dipanjangkan umur dan ada rezeki, kakak saya dan suaminya akan bergelar atuk dan tok wan. Manakala saya pula secara automatik akan mendapat pangkat tok su. Alahai, terasa tua sangat dengan panggilan tersebut. Namun demikian, tidak mengapa kerana memang pun sedang menuju ke arah itu. Bahkan sekurang-kurangnya ia memberi peringatan kepada saya bahawa saya tidak lagi muda seperti dahulu. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: 
"Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya."(Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Ia cuma seekor kambing


Buah mangga daripada pokok yang saya tanam. Alhamdulillah, sedap buahnya. Sewaktu mula-mula berpindah dahulu, memang setiap rumah ditanam sebatang pokok oleh pihak pemaju. Bahkan ia merupakan pemandangan perkara biasa di mana-mana kawasan perumahan yang baru. Tidak berapa lama saya telah mencabut pokok tersebut dengan bantuan jiran-jiran. Pada mulanya saya takut juga untuk berbuat demikian, bimbang dimarahi oleh pihak perbandaran, namun setelah melihat jiran-jiran yang lain mencabutnya, saya pun turut sama.

Bukannya apa, saya tidak tahu pokok apa yang ditanam. Hendak kata pokok bunga bukan, pokok buah pun bukan. Jadi, saya rasa tidak ada manfaatnya pokok tersebut. Setelah membongkar akarnya, saya pun menggantikan dengan pokok mangga yang dibeli di pasar tani berhampiran rumah.

Sehingga kini sudah tiga kali ia berbuah dalam masa hampir 7 tahun menanamnya. Lebih kurang 3 bulan menanamnya, satu hari ia telah dimakan oleh sang kambing. Bengang! Habis togel tanpa sehelai daun, cuma batang sahaja yang masih tegak berdiri. Seorang jiran berkata, jika pokok sudah dimakan kambing, elok dibuang sahaja kerana tidak akan berbuah. Atau pun kalau berbuah tentu tidak baik buahnya.

"Bisa air liur kambing ni," nasihatnya kepada saya.

Saya hanya mendengar sahaja tanpa sebarang ulasan, mengiya pun tidak membantah pun tidak. Sebetulnya saya belum pernah mendengar mengenainya. Di sekolah pun seingat saya tidak ada pula cikgu-cikgu yang menyebut demikian. Mungkin hanya kata-kata orang dulu-dulu berdasarkan pengalaman mereka. Akhirnya saya tawakal sahaja, hendak dicabut sayang pula rasanya kerana tingginya sudah hampir menyamai ketinggian saya. Hendak hidup, hiduplah. Kalau mati saya ganti yang lain, habis cerita. "Insya-Allah, jika Allah taqdirkan ia berbuah, ia akan berbuah." Tukas saya sendirian menyedapkan hati.

Ia cuma seekor kambing


Saya biarkan sahaja pokok mangga togel tersebut dengan membina pagar disekelilingnya untuk mengelakkan kejadian yang sama berlaku. Betullah silap saya tempohari tidak membina pengadang di sekelilingnya, kambing bukannya tahu pokok siapa-siapa. Asalkan kena dengan nafsunya ia tidak kira, namanya pun haiwan. Tiada pula perkiraan dosa dan pahala baginya. Tetapi jika ada manusia yang bersikap demikian, ini yang susah.

Ada ungkapan yang berbunyi: "Di kalangan haiwan tiada manusia, tetapi di kalangan manusia ada haiwan."

Memang keras bunyinya. Namun, inilah kenyataannya. Cuba kita lihat kehidupan umat manusia di zaman ini. Pening dengan perlakuan-perlakuan yang berlaku, yang sebahagiannya bagaikan tidak percaya boleh berlaku. Kata orang kampung, "tak sempat nak mikir".

Saya mengambil satu contoh, gejala gay dan lesbian yang sudah menjadi barah dalam masyarakat kita. Dulu saya pernah menonton saya klip video menerusi aplikasi youtube, pengakuan seorang umat melayu yang telah pun melangsungkan perkahwinan sejenis di UK. Dengan wajah yang ceria campur bangga dia memberitahu, siap upload dalam youtube pula. Masya-Allah, memang tak sempat nak mikir. Macamana dia boleh buat begitu. Kambing pun kenal mana jantan dan betina. Sekiranya kambing tahu ada manusia yang buat begitu, malu kita kepada kambing. Yang tambah sakit hati, sudahlah buat dosa boleh pula rasa bangga. Alahai, ke mana hilangnya rasa malu dalam diri umat melayu ini. Nad`uzubillah...

Benarlah peringatan Rasulullah saw:

 Daripada Abu Mas`ud Uqbah bin Amru al-Ansari al-Badri r.a, beliau berkata: “Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) para Nabi yang terawal ialah: “Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu suka”. (Riwayat Bukhari)

Sifat malu adalah di antara warisan para nabi. Sifat malu adalah asas kepada akhlak yang mulia iaitu mendorong seseorang untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan diri dari keburukan. Oleh yang demikian, sebab itu sifat ini menjadi warisan para nabi terdahulu yang tidak dimansuhkan dalam syariat mereka. Sifat ini diamalkan sejak dulu dan menjadikan para Nabi mashur dikalangan umat manusia.

Sifat malu telah menjadi warisan sehingga Nabi terakhir Muhammad saw. Sehubungan dengan itu, kita juga diminta berpegang dengan sifat ini sebagai warisan kepada kita. dengan berpegang kepada sifat malu ini akan mendatangkan kebaikan di dalam kehidupan harian sebagai hamba-Nya yang beriman.

Sebaliknya, jika seorang manusia kosong dari sifat malu yang boleh diusahakan dan hatinya kosong dari sifat malu menurut fitrahnya, tidak ada sesuatu yang boleh menghalang dirinya daripada melakukan sesuatu yang maksiat dan hina, dia seolah-olah tidak memiliki iman dan sama seperti manusia yang berperangai haiwan.

Benar, ia cuma seekor kambing. Maka, tiada perkiraan dosa dan pahala baginya.

Wednesday 12 February 2014

Makna khalwat, hukum wanita menerima tetamu lelaki

Soalan:

Salam ustaz, saya mohon pencerahan daripada ustaz. Begini, 3 orang sahabat zaman sekolah saya singgah ke rumah kampung saya sebentar tadi. Mereka sempat bersolat maghrib dan isya' serta djamukan dengan sedikit makanan oleh ibu, nenek dan ibu saudara saya. Namun, sangat mengejutkan bila usai solat isya datuk saya yang baru pulang dari surau mula menegur' sahabat-sahabat saya. Beliau (datuk) menegaskan bahawa beliau tidak ingin bersubahat bersama kerana haram sekumpulan lelaki menziarah seorang wanita bukan mahram. Sungguh saya malu dengan tindakan datuk menegur sahabat saya yang datang menziarah. Soalan saya apakah benar Islam tidak membenarkan had ziarah-menziarahi sebegini? Terima kasih atas perhatian ustaz.

Jawapan:

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah. Nabi SAW menegah lelaki ajnabi* dan wanita ajnabiyah* berduaan sebagaimana sabdaNya; “Janganlah seorang lelaki bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahramnya), dan janganlah seorang wanita bermusafir kecuali dengan disertai oleh mahramnya” (Soheh al-Bukhari; 3006. Soheh Muslim; 424/1341. Dari Ibnu ‘Abbas RA).(*ajnabi/ajnabiyah; yang asing, iaitu tiada ikatan mahram).

Istilah berduaan/bersunyian hilang apabila dihadiri bersama oleh orang lain. Oleh itu, para ulamak (antaranya Imam an-Nawawi) memfatwakan; jika perjumpaan antara lelaki dan wanita disertai oleh orang lain sama ada oleh lelaki yang menjadi mahram wanita itu (bapanya, abangnya, anaknya yang telah baligh dan sebagainya), atau wanita yang menjadi mahram lelaki tersebut (ibunya, kakaknya atau sebagainya), atau dihadiri bersama oleh wanita lain yang dipercayai yang menemani (seperti kes di atas; si yang bertanya ditemani oleh ibu, nenek dan ibu saudara), maka perjumpaan itu dibolehkan pada hukum Syarak kerana ia terkeluar dari makna khalwah (berduaan/bersunyian) yang dilarang Nabi SAW dalam hadis tadi.[1] Namun ia terikat dengan syarat; aman dari fitnah dan keraguan.[2]

Maka yang diharamkan ialah; berduaan/bersunyian antara seorang lelaki dan seorang wanita (keduanya ajnabi) tanpa dihadiri orang ketiga bersama mereka. Menurut Imam an-Nawawi; keharamannya telah diijmakkan ulamak. Menurut beliau lagi; turut diharamkan ialah jika yang hadir bersama mereka itu ialah lelaki yang tidak disegani oleh mereka kerana masih kecil seperti anak berusia dua atau tiga tahun atau seumpamanya kerana kewujudannya sama seperti tiada. Begitu juga, turut diharamkan ialah jika berhimpun ramai lelaki dengan seorang wanita. Adapun jika berhimpun seorang lelaki dengan ramai wanita, mengikut pandangan yang soheh; dibolehkan (*dengan syarat tadi, iaitu; aman dari fitnah dan keraguan). (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Merujuk kepada soalan, maka diboleh seorang wanita menerima tetamu-tetamu lelaki dirumahnya dengan syarat mematuhi hukum-hakam dan adab yang telah ditetapkan Syariat, antaranya:

1. Dihadiri oleh orang lain yang disegani sebagaimana dijelaskan tadi
2. Tidak membuka aurat
3. Selamat dari fitnah dan keraguan
4. Menjaga adab-adab pergaulan lelaki dan perempuan; tidak berlaku ikhtilat.
5. Tidak disertai program maksiat

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi; jilid 9 (hadis; 1341).
2. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/268 (perkataan; ‘khalwah’).
3. Fatawa ‘Ulamak al-Baladil Haram, hlm. 679.

[1] Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi; jilid 9 (hadis; 1341).
[2] Lihat; Fatawa ‘Ulamak al-Baladil Haram, hlm. 679.

(Sumber: Ilmu dan Ulama`)

Tuesday 11 February 2014

Alhamdulillah, buku dah pun sampai

Alhamdulillah, buku yang telah saya 'order' melalui online telah pun sampai. Terima kasih kepada 'brader' posmen yang menghantarnya. Teruja dan bersemangat untuk menatapi isinya. 

Pada mulanya saya mahu membeli 7 buah buku iaitu: 

1 - Institusi Bendahara: Permata Melayu Yang Hilang 
2 - Melayu Islam Beraja: Menggali Hakikat Leluhur 
3 - Mencari Sejarah: Tun Mutahir Tun Ali Bendahara Seri Maharaja Pahang (1857-1863M) 
4 - Tun Habib Abdul Majid: Bendahara Johor Putera Acheh dan Zuriyyah Rasulullah saw 
5 - Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja 
6 - Tun Seri Lanang: Sejarah dan Warisan Tokoh Melayu Tradisional 
7 - Perang Bendahara Pahang 1857 – 63: Pensejarahan Semula Menelusi Peranan Inggeris 

Namun, setelah berbalas email dengan penulisnya, dimaklumkan hanya 2 buah buku sahaja yang masih ada iaitu buku nombor 1 dan 2. Manakala yang lainnya telah pun kehabisan stok. Sedih juga rasanya, tetapi tidak apalah, hendak buat macamana saya terlambat. ‘Ketinggalan keretapi’ istilah yang biasa saya gunakan. Saya pun membeli 2 buah buku yang masih lagi ada stok iaitu Institusi Bendahara: Permata Melayu Yang Hilang dan Melayu Islam Beraja: Menggali Hakikat Leluhur 

Dalam masa yang sama, saya tetap berharap untuk memiliki baki buku yang telah kehabisan stok itu. Kalau pun tidak dapat membeli yang baru, yang terpakai pun tidak mengapa. Untuk itu, nampaknya saya terpaksa mencari alternatif lain. Mungkin juga di pesta-pesta buku atau di jualan buku-buku terpakai. Insya-Allah, semoga dipermudahkan.

Penulis buku-buku ini ialah (tun) Suzana (tun) Hj Othman. Beliau adalah anak ketiga kepada pasangan penghibur 60-an iaitu al-Marhum Hj Othman atau Hj M. Osman dan ibunya Hjh Moliana Afida. Maknanya (tun) Suzana adalah adik-beradik dengan sutradara tersohor Aziz M.Osman. 

Jika diperhatikan, mungkin ada yang merasa pelik mengapa di pangkal nama penulis tertera perkataan (tun). Sebenarnya penulis adalah waris keturunan kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Tun Ali, pemerintah kepada Negeri Pahang bagi tahun 1857 – 1863M. Jadi tidak hairanlah di pangkal namanya serta semua ahli keluarga beliau tertulis (tun). 

Kalau begitu, kenapa waris keluarganya tidak memerintah Negeri Pahang sekarang? Ada kisahnya, tetapi saya tidak berhasrat mahu mencoretkannya di sini. Godek-godeklah di internet, carilah di laman-laman web yang berkaitan, anda akan bertemu sebabnya. Apa pun, semuanya sudah berlalu dan telah menjadi sejarah. 

Saya pula tidak sabar-sabar mahu menikmati santapan minda ini. Insya-Allah jika tiada aral akan saya coretkan ringkasan buku ini.

Monday 10 February 2014

Enam perkara tercela akibat makan banyak

Diriwayatkan bahawa Nabi Yahya a.s pernah didatangi iblis yang membawa beberapa benda bergantungan pada badannya. Lalu Nabi Yahya bertanya: "Apakah benda yang bergantungan itu?" Jawab iblis; "Inilah syahwat yang aku pergunakan untuk menguasai dan menggoda manusia. "Nabi Yahya kemudian bertanya: "Apakah yang ada pada syahwat itu?" Jawab iblis: "Kadang- kadang dengan syahwat ini engkau kekenyangan lantas aku beratkan engkau daripada mengerjakan solat dan zikir." Nabi Yahya terus menjawab; "Demi Allah, selama- lamanya aku tidak akan memenuhi perut dengan makan hingga terlalu kenyang."


Terlalu banyak makan boleh menyebabkan pekerti tercela iaitu:-

1.Menghilangkan rasa takut kepada Allah daripada hati manusia.

2.Menghilangkan kasih sayang kepada makhluk daripada hati orang yang kenyang kerana menganggap orang lain kenyang seperti dia.

 3.Kenyang boleh menyebabkan seseorang itu berat untuk taat beribadat.

4.Sewaktu mendengar kata-kata hikmah; orang yang terlalu kenyang tidak dapat menangkap dan merasakan kehalusannya.

5.Jika orang yang kenyang itu memberikan nasihat dan hikmah, maka apa yang dikatakan itu tidak dapat meresap ke dalam hati orang yang mendengarnya.

Sumber: halaqah.net

Sunday 9 February 2014

Yang sebenarnya batok, bukan batuk...

'Ini melepaskan senyum di tangga'

Hari ini saya mendapat pengetahuan yang baru. Bukan sesuatu yang besar pun, cuma ia membetulkan pemahaman saya selama ini. Saya percaya orang lain telah pun lama mengetahuinya, cuma saya sahaja yang ‘ketinggalan keretapi’.

Asalnya seorang sahabat sekerja tetapi berlainan jabatan, kakitangan sejabatannya memanggil dengan panggilan Pak Su. Dia bertanya kepada saya mengenai peribahasa yang berbunyi "seperti melepaskan batuk di tangga". Apa yang saya faham dengan tentang maksud batuk di dalam peribahasa tersebut. Dengan yakinnya saya menjawab, batuk itu bermaksud batuk iaitu mengeluarkan nafas dari paru-paru dengan keras dan bising bunyinya, sambil menggayakan seseorang yang sedang batuk, uhuk..uhuk. Memang itulah pemahaman saya sejak sekian lama. 

Tetapi penjelasannya membuatkan saya terkesima sejenak. Sebenarnya pemahaman itu tidak betul. Batuk yang dimaksudkan di dalam peribahasa tersebut merujuk kepada penceduk air yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Ejaan sebenar batuk ialah batok dan bukannya batuk. Pencedok air yang diperbuat daripada tempurung kelapa itulah yang disebut batok. Ia berasal daripada perkataan Jawa. Kebiasaannya batok diletakkan di atas penutup tempayan atau pun disangkut pada sebatang kayu pancang berhampiran tempayan yang berisi air tersebut. Ia digunakan untuk membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Kemudian batok itu di letakkan kembali ke tempat asalnya. Jika batok dilepaskan atau dilempar begitu sahaja, ini menunjukkan perbuatan yang belum selesai. 

Batok di dalam tempayan (sumber foto)

Jika ditilik dalam buku peribahasa, maksud kepada peribahasa ini ialah membuat kerja secara tidak bersungguh-sungguh dan tidak sempurna. Jadi kalau kita katakan batuk adalah batuk (uhuk..uhuk) maka nampak seperti tidak kena maksudnya. Apa kaitan seseorang yang sedang batuk ditangga hatta di mana pun dengan perbuatan yang tidak menyelesaikan kerja dengan sempurna atau kerja sekerat jalan. Nampak tidak ‘sekufu’ di antara keduanya.

Saya mencari-cari maklumat di internet. Betul, batok adalah yang sebetulnya. Kalau begitu, perlulah kita menukar ejaan batuk kepada batok. Menurut pakar bahasa, tidak perlu, kekalkan ejaan yang sedia ada kerana ia telah biasa digunakan. Yang penting kita tahu maksud kata tersebut walaupun telah sekian lama di antara kita yang memegang kata “seperti melepaskan batuk di tangga” adalah betul, seperti saya.

Saturday 8 February 2014

Anakandaku, angah@14


Selamat Hari Lahir kepada anakandaku Wan Nur Irsalina@angah, mudah-mudahan menjadi anak yang solehah serta menjadi penyejuk mata dan penenang hati abi dan ummi...

Wednesday 5 February 2014

Singgah sebentar di Jeram Landak


“Kita berhenti di Masjid Jeram Landak”, saya berkata kepada Fazil yang sedang memandu di sebelah. Sepanjang perjalanan silih bergantian di antara kawasan kampung dan kawasan hutan.

“Ok juga, lepas sembahyang boleh rehat-rehat sekejap”, Fazil menjawab sambil memberi fokus kepada pemanduan. Keadaan jalan yang banyak selekoh memerlukannya lebih hati-hati. “Malang tidak berbau” sentiasa menjadi ingatan.

Fazil pernah memberitahu: “Saya kalau lalu jalan ini mesti sebelum pukul 7 malam. Seboleh-bolehnya saya cuba untuk tidak melaluinya selepas masa itu.”

Tanpa sempat saya bertanya dia menyambung lagi, “Laluan ini kalau malam gelap betul. Tengoklah kiri dan kanan hutan je. Bimbang juga kalau kereta rosak atau binatang melintas, kena pula seorang diri.”

Saya mengangguk, mengiyakan kata-katanya. Dia pernah bekerja di daerah Lipis selama 3 tahun. Dalam tempoh tersebut dia selalu menggunakan laluan ini untuk balik ke Kuantan.

“Alhamdulillah, selama ini tiada apa-apa yang buruk berlaku.” Katanya lagi.

Jam sudah menunjukkan hampir 3 petang. Kami berdua dalam perjalanan dari Kuala Lipis untuk pulang ke Kuantan. Keadaan jalan raya yang banyak berselekoh sedikit memeningkan kepala saya. Tentunya ia bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.

Seusai sembahyang Zohor dan Asar secara jamak, kami berdua merebahkan badan sebentar di bawah putaran kipas untuk menghilang lenguh-lenguh sendi. Suasana di dalam masjid sangat mengamankan, hati saya berasa sungguh tenang.

Masjid Kampung Jeram Landak

Masjid Kampung Jeram Landak terletak di tengah-tengah kampung, dan berada betul-betul di tepi jalan besar yang merupakan laluan utama dari Kuala Lipis ke Jerantut. Ia dibina pada tahun 1996 dan khabarnya sangat ceria dengan aktiviti-aktiviti keagamaan.

Saya masih ingat satu peristiwa yang berlaku kepada masjid ini. Saya membacanya di dalam akhbar Sinar Harian edisi Pahang:

“Diberitakan sekumpulan jemaah yang ingin menunaikan solat Subuh awal pagi gempar apabila mendapati keadaan persekitaran masjid di kawasan ini mengalami kerosakan akibat serangan gajah. Kejadian awal pagi itu turut memusnahkan tanaman seperti pokok pisang dan kelapa selain menyebabkan pagar di bahagian belakang masjid itu rosak. 

Haiwan itu turut meninggalkan najis di kawasan bangsal masjid selain merosakkan beberapa peralatan memasak seperti tungku kawah. 

Menurut seorang penduduk tempatan, kejadian serangan gajah itu pertama kali berlaku sepanjang dia tinggal di kampung itu. Beliau yang sudah tinggal di situ selama 63 tahun berkata, tidak pernah kampung ini diserang atau dimasuki gajah. Kejadian pada hari ini (2011) amat menakutkan dan kami sebagai penduduk gusar untuk pergi ke mana-mana kerana takut diserang gajah. 

Katanya lagi, haiwan itu sukakan abu dari dapur kayu dan dipercayai menyerang kawasan masjid kerana terdapat abu di bangsal. 

Kejadian itu telah dilaporkan kepada Perhilitan, dan akan memantaunya dari semasa ke semasa keadaan kampung itu dan penduduk diminta supaya tidak menoreh getah buat sementara waktu.” 

Begitulah lebih kurang laporan yang tertulis. Kejadian berlaku pada tahun 2011 yang lalu.

Oo..baru saya tahu gajah sukakan abu. Kalau dulu saya dengar orang-orang tua kata, badak sumbu pantang ternampak unggun api. Jika ternampak api ia akan bergegas memadamkannya, dengan mengais-ngais pasir serta dipijak-pijaknya bara tersebut. Wallahua`lam saya tidak pasti akan kebenarannya sementelah lagi saya tidak pernah mengkajinya.

Sebut tentang gajah, sebenarnya saya ada sedikit pengalaman dengan haiwan darat terbesar ini. Pengalaman yang mendebarkan tetapi melucukan. Ia berlaku ketika saya menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan pada tahun 1994. Insya-Allah, jika tiada aral akan saya coretkan kisahnya.

Di internet saya membaca, Kampung Jeram Landak ‘femes’ dengan Nasi Kebuli atau Nasi Keduli. Sedap ke rasanya? Entahlah, saya belum pernah mencubanya. Mendengar namanya pun tidak pernah sebelum ini. Dikatakan ia adalah salah satu hidangan Timur Tengah yang memiliki aroma rempah yang sangat kuat. Hidangan ini biasanya dimasak dengan daging kambing dan ada juga yang dimasak dengan daging ayam. Ia juga disajikan dengan kismis dan bawang goreng sebagai pelengkapnya.

Yang menariknya ia disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung untuk dihidangkan dalam majlis-majlis keraian seperti sambutan hari raya dan sebagainya.

Melihat pada gambar-gambar Nasi Kebuli di internet, nampak macam sedap. Insya-Allah, saya mencubanya pada suatu hari nanti.

 Nasi Kebuli@Keduli sedang dimasak (sumber foto)

Nasi yang hampir masak ditutup menggunakan daun tutor (sumber foto)

Tuesday 4 February 2014

Cepatnya masa berlalu...

“Kakak datang ni nak jemput kamu sekeluarga datang ke majlis perkahwinan along,” kata kakak saya sewaktu berkunjung ke rumah saya petang itu.

“Along dah nak kahwin kak?” Saya bertanya semula, seakan tidak percaya dengan apa yang didengar.

“Yalah, jangan tak datang pula. Kakak harap sangat kamu dan adik-baradik yang lain datang. Bukannya apa, sejak mak dan ayah tiada kita semua sudah jarang berkumpul adik-beradik,” sambung kakak saya lagi dengan nada perlahan. Angin petang yang berhembus meredupkan suasana. Suaminya di sebelah mengangguk-anggukkan kepala.

Saya mengakui kami semua semakin jarang bertemu semenjak emak dan ayah tiada. Masing-masing sibuk dengan urusan kehidupan sendiri. Kalau bertemu pun jika ada majlis kenduri saudara-mara yang lain. Apa pun, jika ada peluang berkumpul bersama, kami tidak akan melepaskan peluang untuk memaksimumkan kualiti pertemuan tersebut.

“Majlis tu buat di rumah Ayah Cik, sebab rumah kakak belum terurus sepenuhnya lagi akibat banjir baru-baru ini. Lagipun Ayah Cik yang bersungguh-sungguh mahu buat di rumahnya,” kakak saya menjelaskan lagi. Ayah Cik yang dimaksudkan adalah adik kepada arwah emak saya.

Daripada kakak, saya mengetahui bahawa pengantin perempuan ada pertalian saudara dengan keluarga kami. Neneknya bersepupu dengan nenek kami. Itupun dapat tahu ketika majlis pertunangan setelah disiasat susur galur keluarga. Hmm, kecilnya dunia ini.

“Insya-Allah kak, jika tiada apa-apa aral saya akan datang,” saya memberitahu kakak sewaktu menghantarnya ke kereta. Sayup-sayup kereta yang mereka naiki hilang di kejauhan. Sewaktu menutup pintu pagar saya termenung sendirian.


Allah… cepatnya masa berlalu. Bagaikan masih terasa baru lagi saya mendukung dan membawanya berjalan-jalan di sekitar halaman. Hari ini sudah pun mahu berumahtangga. Sudah lebih 2 dekad ia berlalu. Bagaikan tidak tersedar masa yang laju memecut meninggalkan kita yang masih terkial-kial mencari kehidupan. Saya pula sudah pun menghampiri usia 40 tahun. Satu usia yang amat memberi makna dan pengertian yang mendalam. (Bicara menjelang usia 40)

Allah SWT berfirman:
“Dan kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan dan tempoh mengandung berserta menceraikan susunya ialah 30 bulan. Setelah dia besar sampai mencapai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang menyerah kepada-Mu).” (al-Ahqaf: 15)

Usia 40 disebut dengan jelas di dalam ayat ini. Usia 40 adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih sepenuhnya kepada masa dewasa. Ia adalah usia matang untuk kita bersungguh dalam hidup, membuang kejahilan ketika usia muda, mengambil iktibar daripada pengalaman dan bertindak dengan hikmah dan bijaksana.

Mereka yang berumur 40 tahun ke atas dianjurkan sentiasa membaca doa yang terdapat di dalam ayat ini. Jelas di dalamnya terkandung penerimaan nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal soleh, mempunyai keluarga yang harmoni dan keinginan untuk bertaubat kembali kepada Allah SWT.

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kepada hidayah dan taufiq untuk sentiasa istiqamah pada jalan-Nya menjelang usia 40.

Sunday 2 February 2014

Beli buku lama, buku lagi...

Sementara menunggu sahabat saya sampai untuk sama-sama minum di restoran berhampiran Jalan Mahkota, saya berjalan-jalan sebentar di Taman Kerang. Kanopi yang dituju tidak lain semestinya yang menjual barangan antik. Niat saya sekadar mahu mencuci mata melihat lambakan barangan yang mungkin dianggap sampah oleh sesetengah orang.

Akhirnya dalam suasana ‘awal bulan’ saya layu juga di kanopi yang menjual barangan antik itu. Bukan membeli barangan antik tetapi, macam biasa. Tak apa awal bulan.

Pagi itu saya telah membeli 4 buah buku. Kesemuanya adalah buku lama, bergenre sejarah yang saya kira telah tiada cetakan ulangan. Sebagai peminat sejarah, tentunya saya sangat teruja dan ceria kerana dapat memiliki buku yang boleh dikira termasuk dalam kategori barangan antik.  Kalau tidak antik sekarang pun, mungkin sepuluh atau lima tahun akan datang.

Senarai buku yang telah dibeli:

1. Sejarah Pahang oleh Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan pertama pada tahun 1972 dan pembetulan pada tahun 1984.


2. Siapa sebenarnya Tok Guru Peramu? oleh Azahar Rahman terbitan Pustaka Azam, tahun 1982.


3. Jurnal Inderapura oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang, edisi 1/2001.

 
4. Sejarah Ringkas Masjid-Masjid Negeri Pahang, edisi buku mewah bersaiz besar, berkulit tebal serta kertas 'glossy'. Diterbitkan oleh al-Wahidah Kreatif Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Negeri Pahang Darul Makmur. Diterbitkan pada tahun 2003


Alhamdulillah, tidak sabar mahu menghadam kesemuanya.

Saturday 1 February 2014

Semoga berjaya...

 Terminal Sentral Kuantan (TSK)

Semalam saya menjemput anak sulong yang pulang dari asrama di Terminal Sentral Kuantan. Dalam sebulan dua minggu sekali dia kena balik. Mungkin sekolah tidak cukup ‘badget’, jadi terpaksalah para pelajar pulang ke rumah yang disebut ‘wajib balik’. Kadang-kadang jika tidak balik ke Kuantan anak saya akan ke rumah rakan sekelasnya di Kuala Tahan. Hasil daripada keakraban mereka berdua memanjang hingga terjalin pula persahabatan kedua keluarga. Sementelah lagi ayah sahabat anak saya itu juga berasal dari daerah Kuantan.

Dalam perjalanan pulang anak saya memaklumkan, tahun ini dia terpilih sekali lagi mewakili sekolah dalam kejohanan Masisupa atau Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Ugama Pahang. Masisupa terbahagi kepada 2 kategori, iaitu kategori sukan dan ilmiah. Kategori sukan termasuklah bolasepak, badminton, bola tampar, ping pong, dan sebagainya, manakala ilmiah pula seperti syarahan, nasyid, spell it right dan kuiz. Anak saya pula sejak daripada tingkatan satu mewakili sekolahnya dalam sukan bolasepak, melainkan ketika di tingkatan tiga tawaquf sementara kerana menumpukan perhatian kepada PMR.

Sebenarnya saya ada juga merasa hairan, sewaktu di sekolah rendah dulu dia bukan pandai pun bermain bolasepak, mudah kata seorang kaki bangku. Jangankan mewakili sekolah, mewakili rumah sukan pun tidak layak. Entah macamana naik sekolah menengah lain pula jadinya. Sesekali saya terfikir, mungkin ‘bakat’ saya turun kepadanya tapi lambat sedikit. Sebenarnya saya dulu pun bermain bolasepak juga bermula dari sekolah rendah bersambung ke sekolah menengah sehingga ke peringkat daerah.

 Bongo (sumber foto)

Selain itu, dia turut terpilih menganggotai kumpulan nasyid sebagai pemain alat muzik. Dua alat muzik yang dimainkan iaitu kongga dan bongo. Ini pun satu, saya tidak pernah tahu dia mempunyai kemahiran memainkan kedua-dua alatan muzik tersebut. Bukannya senang mahu memainkan kedua-duanya jika tidak belajar. Bila masa pula dia belajar bermain alat muzik tersebut. Saya lagilah buta alat muzik biarpun zaman sekolah dulu ada juga minat belajar bermain alat muzik.

Dulu, akibat terpengaruh dengan suasana semasa, saya cuba belajar bermain alat muzik. Alat muzik apa? Biarlah ia menjadi rahsia. Bukan masuk kelas muzik, sekadar belajar dengan kawan-kawan sahaja. Tetapi biasalah memang saya tiada bakat dalam muzik, hasilnya tidak pernah menjadi. Belajar hari ini, esok lupa, belajar esok, lusa pula lupa. Memang betul-betul tiada bakat, ibarat kata orang tua “Kalau dah tak berbakat, rebus alat muzik itu dan minum airnya pun tak pandai juga.” Betullah tu, tapi saya tidaklah sampai peringkat merebus alat muzik tersebut untuk jadi pandai. Akhirnya ‘fed up’ langsung tinggal terus, lebih-lebih lagi setelah bersekolah agama. Tetapi saya tidak kata muzik itu haram. Ada perbahasan yang panjang mengenainya.


“Mana belajar main alat muzik tu?” Saya bertanya.

Katanya, “Tak belajar mana-mana, cuma dengar lagu kemudian ketuk-ketuk meja.”

“Senangnya begitu je, macam tok wali ni,” saya menjawab dengan nada bergurau.

Jika dilihat memang susah memainkan bongo dan kongga kerana setiap satu mempunyai dua set. Jadi ada 4 alat yang perlu dimaikan dalam satu lagu. Di dalam rakaman video saya melihat senang sahaja dia memainkannya siap dengan bunga-bunga melodi lagi.

Alhamdulillah, saya sentiasa memberikan galakan dan dorongan kepadanya. Mudah-mudahan dengan ketekunan dan kesungguhan, dia memperolehi kejayaan di dalam minatnya itu. Tetapi bak kata Zizan Raja Lawak, "Main jangan sampai jadi najis."

Insya-Allah...

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud).