Sahabat Sejati

Sunday 23 March 2014

Celoteh hari ini...

 Pintu masuk PPTI Kemaman (sumber google)

Ada juga masa terluang hari ini. Dapatlah saya melawat angah di Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman. Kalau diikutkan saya merancang untuk pergi pada hari semalam, tetapi disebabkan ada beberapa jemputan majlis perkahwinan, terpaksalah saya menundanya pada hari ini. Biasalah cuti sekolah sudah bermula, jadi memang banyak majlis perkahwinan. Tidak sedap juga jika tidak memenuhi undangan tersebut. Dulu masa kita kahwin orang hadir, sekarang giliran kita pula kena hadir. Namun saya tidaklah hadir semuanya, mana-mana yang sempat sahaja. Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua, demikianlah sifirnya.

Sepanjang perjalanan ke PPTI Kemaman, saya melihat kesan hutan terbakar di beberapa tempat kiri dan kanan jalan. Ada yang masih berasap. Nampaknya teruk juga akibat kemarau sekarang ini. Semoga ia bukanlah kerana kemurkaan Allah SWT di atas kelalaian dosa kita semua.

Pagi semalam dalam kuliah subuh, ustaz mengingatkan para jemaah dengan musibah yang menimpa negara kita. Bermula dengan banjir, seterusnya cuaca sejuk yang di luar kebiasaan, kemudian datang pula kemarau, selepas itu timbul isu Kassim Ahmad dengan fahaman anti hadisnya, dan yang terkini pula kita dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370. Bermacam-macam teori dan andaian dikemukakan. Sehingga sekarang masih belum ada berita mengenai nasib anak kapal dan semua penumpang. Selamatkah mereka atau tidak, yang penting kita jangan jemu untuk terus berdoa. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan keselamatan kepada mereka semua.

Allah SWT berfirman:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.” (at-Taghaabun: 11-12)

Kita semua menyakini bahawa setiap musibah yang ditimpakan adalah daripada Allah SWT. Bukanlah bermakna Allah SWT itu menzalimi hamba-Nya, kerana zalim itu bukan sifat Allah SWT. Hikmah musibah adalah sebagai peringatan buat semua hamba-Nya. Mudah-mudahan dengan sedikit musibah yang ditimpakan akan menyedarkan daripada perbuatan dosa dan menimbulkan keinsafan untuk kembali semula kepada Allah SWT.

Namun, dalam masa yang sama saya merasa agak pelik kerana dalam keadaan kekalutan menghadapi musibah, ada pula segolongan yang tanpa ada perasaan menganjurkan konsert ‘liar’. Pada mulanya ia seperti agak rahsia, tidak ramai yang tahu. Tetapi setelah berlaku kematian barulah ia tersebar. Dalam berita dinyatakan 6 orang mati setelah mengambil dadah terlarang ketika menonton konsert tersebut.

Sepatutnya pihak yang berkenaan perlu mengambil langkah-langkah yang tegas dalam perkara ini. Kita boleh mengeluarkan arahan solat hajat di seluruh negara. Semua masjid-masjid mesti melakukan solat hajat khusus untuk MH370. Begitu juga kepada jabatan-jabatan kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan Islam. Bagus, saya sangat menyokongnya dan itulah yang sepatutnya dilakukan selain usaha pencarian menggunakan teknologi dan peralatan moden. (Yang guna teropong buluh, bubu, tikar, kelapa dan yang sewaktu dengannya tidak termasuk).

Oleh itu saya merasakan tentu tiada masalah juga untuk mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan apa jua bentuk konsert atau pesta yang tidak bermoral. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Tentu boleh, kan kita ada "kuasa..."

Tepuk dada tanya iman!

Pray4#MH370

0 comments:

Post a Comment