Sahabat Sejati

Monday 31 March 2014

Pengubat rindu 'si kecil' Haikal

Cuti sekolah telah pun berakhir. Hari ini para pelajar mula kembali ke sekolah untuk memulakan sesi persekolahan yang baru. Anak-anak saya pun sama, semuanya telah pun pulang ke asrama semalam. Along pulang ke Jerantut, manakala angah kembali ke asramanya di Kemaman. Sunyi sedikit rumah dengan ketiadaan mereka. Jika tidak mereka yang rajin melayan adik-adik terutama si ‘kecil’ Haikal. Insya-Allah, cuti akan datang mereka berdua akan pulang semula.

'Si kecil Haikal dan along'

Seperti biasa sehelai baju along yang belum dibasuh akan di’standby’ sebagai pengubat rindu kepada Haikal. Begitulah kebiasaannya, setiap kali along balik ke asrama, si kecil Haikal akan merengek susah tidur kerana teringatkan alongnya. Walaupun tidak lama sekadar beberapa jam sebelum tidur, tetapi rimas juga dengan rengekannya yang serba tidak kena.

Oleh sebab itu, saya menggunakan petua orang dulu-dulu iaitu dengan memberinya baju along yang belum dibasuh. Alhamdulillah, setakat ini ia menjadi. Sebak juga melihatnya memeluk dan mencium baju alongnya sehingga tertidur. 

Teringat kata-kata guru semasa saya belajar dahulu berkenaan perkara ini. Menurutnya, tidak salah melakukannya berdasarkan kepada satu kisah di dalam al-Quran. Yalah, bimbang juga jika ada orang kata macam-macam. Karutlah, khurafatlah, bidaahlah dan sebagainya.

Firman Allah SWT:
“Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya. Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya). Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama. Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?" (Yusuf: 93 – 96)

Sebahagian ulama berkata Nabi Yaakub tidak bertemu dengan Nabi Yusuf selama 40 tahun, ada pula yang berkata selama 83 tahun. Tetapi Nabi Yaakub tidak pernah berputus asa. Nabi Yaakub berpaling dari anak-anaknya dan berkata seorang diri “sedihnya mengenangkan Yusuf”. Nabi Yaakub sayang sangat kepada Nabi Yusuf, kata ulama sebabnya Nabi Yusuf ini sangat soleh, patuh, taat, akur, tidak membantah sedikit pun.

Kerana terlalu sedih, sampai hilang mata hitam Nabi Yaakub (buta) sebab menangisi kehilangan Nabi Yusuf. Dipendekkan cerita, memberikan bajunya kepada abang-abangnya supaya diletakkan ke muka ayahnya, Nabi Yaakub. Tatkala sampainya anak-anak Nabi Yaakub, mereka meletakkan pakaian Nabi Yusuf ke muka ayah mereka, dengan izin Allah terus celik mata Nabi Yaakub. Itulah mukjizat Nabi Yusuf yang Allah kurniakan. Akhirnya bersatulah semula kesemua ahli keluarga Nabi Yaakub yang terpisah.

Mungkin berdasarkan kisah dan ayat ini, lalu datuk nenek kita mempraktikkannya dalam kehidupan mereka. Alhamdulillah, mujarab.

0 comments:

Post a Comment