Sahabat Sejati

Thursday 29 May 2014

Salam setinggi-tinggi tahniah

(sumber: PAS N12 Beserah)

Sunday 25 May 2014

Balut buah, balut hati...

"Masih banyak yang belum dibalut..."

"Sayang juga jika tak dibalut, lebat buah tu," kata isteri saya, merujuk kepada pokok mangga yang sedang berbuah di hadapan rumah kami. Saya pernah menulis beberapa entry berkenaan pokok mangga ini beberapa ketika dahulu. 

Saya perasaan buahnya kali ini agak lebat berbanding yang lepas-lepas. Beberapa orang jiran setaman yang lalu di hadapan rumah kami turut menegur pokok mangga nan sebatang ini. Geram dengan buahnya yang bulat bergayutan di tangkai kata mereka. Saya dan isteri hanya tersenyum mendengarnya. 

Hari ini saya tidak bekerja. Jadi dapatlah saya meluangkan masa bersama isteri melakukan operasi membalut buah mangga yang bergayutan itu. Memang betul, sayang jika buahnya yang besar bulat itu dibiarkan rosak oleh penangan lalat buah. Tetapi, jika difikirkan semula yang lepas-lepas tiada sebiji pun kami balut. Tak ada pula yang dirosakkan oleh pemangsa buah tersebut. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya ada juga usaha untuk menjaga buah-buah tersebut daripada membiarkannya begitu sahaja. Tetapi saya tahu bukanlah balutan kertas itu yang dapat menjaga buah-buah tersebut. Ia hanyalah satu usaha dan penyebab, semuanya dengan izin-Nya. 

Saya dan isteri tidak dapat menghabiskan membalut semua buah yang ada. Memadai dulu mana yang tercapai oleh tangan. Yang tinggi-tinggi di hujung tangkai kami biarkan dahulu. Nantilah saya habiskan membalutnya dengan menggunakan tangga. Tetapi, entahlah bila. Saya pun tidak tahu. 

Balut buah, balut hati

 Balut hati (sumber foto)

Petang itu... 

Leka saya memerhatikan balutan kertas yang bergayutan terbuai-buai mengikut arah tiupan angin petang. Deruan angin menyejukkan sedikit kepanasan musim kemarau. Sudah lama hujan tidak turun di tempat saya. Bagaimana agaknya jika kemarau ini kerana kemurkaan Allah SWT kepada umat manusia hasil kelalaian yang telah dilakukan. Hmm..takut sangat sekiranya begitu. 

"Ya Allah, janganlah ditahan air hujan kerana dosa dan kesalahan kami. Sesungguhnya kami hamba-Mu yang teramat lemah." 

Melihat balutan buah tersebut mengingatkan saya pada sesuatu. Merenung sedalamnya menembusi pandangan anak mata. Ada sesuatu yang terdetik. Jika buah-buahan perlu dibalut untuk memastikan kualitinya dalam keadaan baik dan elok, serta agar selamat daripada habuan pemangsanya, maka ada sesuatu yang sangat penting yang perlu juga dibalut supaya selamat. Ya, sebagaimana buah perlu dibalut, apatah lagi hati manusia. Hati manusia perlu juga dibalut agar ia selamat daripada pemangsanya. Tetapi hati bukanlah boleh dibalut dengan kertas sama seperti buah. Jika demikian apa susahnya. Tetapi tidak! Hati perlu dibalut dengan sesuatu yang sangat berharga yang digelar iman. Dengan balutan iman maka hati akan sentiasa terpelihara daripada dosa dan keburukan. 

Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda: ” Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadis ini menyebut mengenai hati. Apakah yang dimaksudkan dengan hati tersebut? Ia bukanlah bermaksud hati yang berupa seketul daging berwarna merah gelap, bukan sesuatu objek fizikal, bukan! 

Jika dilihat dalam Kamus Dewan Bahasa, maksud perkataan hati adalah pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1 - organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan di dalam perut di bahagian sebelah kanan. 2 – jantung. 3 - batin (tempat perasaan, pengertian)”. (ibid, 445). 

Demikianlah hati yang dimaksudkan ialah sesuatu yang bersifat abstrak. Ia tidak dapat dilihat dan tidak mampu dipegang. Namun, ia boleh dirasa kewujudannya, boleh menghayati, tahu menampilkan perasaan dalaman seperti gembira, sedih, kecewa, kasihan, marah, sayang dan sebagainya. Itulah hati, sangat unik dan simbolik untuk digambarkan. 

Jika kita merenung, hadis ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya kewujudan hati sebagai asas kehidupan insan. Hati adalah wadah yang menempatkan dua pilihan insan iaitu kebaikan dan dan keburukan. Hati yang diisi dengan pilihan untuk menyandarkan kehidupannya dengan nilai kebaikan, akan berusaha memastikan segala-galanya itu menurut neraca keimanan. Sebaliknya, jika hati diisi dengan kepuasan nafsu maka ia akan senang menjurus ke arah keburukan. 

Disebutkan hati itu ada 4 jenis: 

1. Hati yang tidak berselaput, didalamnya terdapat pelita yang menerangi. Ini hati orang mukmin. 
2. Hati yang hitam tak tentu tempatnya. Ini hati orang kafir. 
3. Hati yang terbelenggu diatas kulitnya. Ini hati orang munafik. 
4. Hati yang mendatar, padanya terdapat iman dan nifaq (kemunafikan). Perumpamaan iman yang meliputinya seperti batang tumbuhan yang disirami air tawar.Sedangkan perumpamaan nifaq seperti setumpuk kudis yang diselaputi nanah dan darah busuk. Maka yang mana diantara keduanya berkuasa,ke situlah hati tertarik. Hati yang ke-4 inilah yang terdapat pada kebanyakan kaum muslimin. Amalnya bercampur aduk sehingga keburukannya lebih banyak daripada kesempurnaannya. 

Oleh itu, koreksi diri. Dimanakah hati kita berada?

Saturday 24 May 2014

Jeng kreng dah kita ni!

(Sumber: FB)

"KKM kesan DNA Babi (Porcine) dalam coklat susu dengan kacang hazel- Cadbury Dairy Milk".

Inilah di antara berita hangat yang sedang berlegar di alam maya selain berita PRK dan berita PANDA.  Rata-rata menyuarakan rasa tidak puas hati dengan berita ini. Memanglah, patut pun tidak puas hati. Sudah berapa lama dan ramai orang Islam yang telah makan produk Cadbury ini. Entah sudah berapa ekor BABI bersarang di dalam badan. Tetapi, baru sekarang dikesan mengandungi bahan berasaskan BABI.  Habis selama ini macamana?

Tetapi hairan dan pelik juga sebab ada sijil HALAL.  Aduh, macamana tu??
 
Pesanan Ketua Pengarah Kesihatan KKM : Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada KKM melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atauwww.facebook.com/bkkmhq

Friday 23 May 2014

Bagaimana mengalihkan orang yang sedang nazak ke arah qiblat?

Soalan:
 
Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu persoalan berkaitan dengan orang yang sedang nazak sakit dan orang mati. Soalan saya. Kemanakah arah kaki orang yang tersebut di atas sepatutnya hendak dihalakan, ketika sesorang itu sedang sakit atau pun meninggal dunia, adakah hendak dihalakan kaki ke arah kiblat ataupun sebaliknya. Saya minta ustaz tolong huraikan kepada saya, berserta dengan hadis dan nas-nas berkaitan soalan saya tersebut, kerana ada sedikit percanggahan pendapat berkaitan hal ini. Terima kasih.

 Jawapan:

1. Mengalihkan orang yang sedang nazak (hampir mati) ke arah qiblat –apabila nampak tanda-tanda hampir mati padanya [1]- adalah sunat dengan sepakat para ulamak kerana qiblat adalah arah yang paling baik sebagaimana sabda Nabi saw: “Sesungguh bagi setiap perkara ada yang terbaik/paling utama. Sesungguhnya yang terbaik bagi segala kedudukan ialah yang menghala ke arah qiblat.” (Al-Mu’jam al-Ausat, Imam at-Tabrani; 2354, dari Abu Hurairah ra. Status hadis: menurut al-Haitsami dan al-Munziri; isnadnya hasan. Lihat; Faidhul Qadier; 2421). 

Diriwayatkan dari Abi Qatadah ra yang menceritakan: Ketika Nabi saw tiba di Madinah baginda bertanya tentang al-Bara’ bin Ma’rur. Orang ramai menjawab: ‘Ya Rasulullah, dia telah meninggal. Dia memesankan agar 1/3 dari hartanya diserahkan kepadamu. Ketika sedang nazak dia memesankan agar dialihkannya ke arah qiblat’. Nabi saw menjawab: “Dia telah menepati fitrah. Aku pulangkan 1/3 hartanya itu kepada anaknya”. Kemudian Nabi saw pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya. Baginda berdoa untuknya: “Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia dan masukkanlah dia ke dalam syurga-Mu. Sesungguhnya Engkau telahpun melakukannya.” (Mustadrak al-Hakim; 1305. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 6604. Status hadis; menurut al-Hakim; hadis ini soheh. Az-Zahabi menyetujuinya). 

Diriwayatkan dari Saidina ‘Umar RA bahawa ia memesan anaknya; ‘Apabila aku hampir meninggal, alihkanlah aku ke arah qiblat’. Pesanan yang sama juga ada diriwayatkan dari Saidina ‘Ali ra (al-Fawakih ad-Dawani, 1/283). 

2. Namun perkara ini tidaklah perlu dititik-beratkan sangat jika memayahkan orang yang sedang sakit itu atau orang lain (kerana rumah sempit dan sebagainya). Sa’id bin al-Musayyab (seorang Tabi’in terkenal) semasa beliau sakit, orang ramai ingin mengubah kedudukannya. Ia bertanya mereka; ‘Apa yang ingin kamu semula lakukan terhadapku?’. Mereka menjawab kepadanya; ‘Kami ingin mengubah kedudukanmu agar menghadap ke arah qiblat’. Ia menjawab: "Bukankah aku dari dulu lagi berada di atas qiblat (yakni berada di atas agama Islam) hinggalah ke hari ini?" (al-Mughni, Ibnu Qudamah; 2/286). 

Berkata Ibnu Hazm; jika dapat diarahkan ke arah qiblat, elok dilakukan. Jika tidak, tidak mengapa mengadap ke manapun kerana Allah SWT berfirman (bermaksud): “Ke mana pun kamu mengadap, di situlah wajah Allah” (surah al-Baqarah, ayat 115). Berkata as-Sya’bi: "(Ketika nazak atau baru kematian) kamu boleh sama ada ingin mengalihkannya ke arah qiblat atau tidak mahu mengalihnya. Namun di dalam kubur, pastikan ia mengadap ke qiblat…” (al-Muhalla, Ibnu Hazm, 3/405). 

3. Adapun cara menghadapkannya ke arah qiblat itu ada dua cara: 

a) Membaringkannya di atas rusuk kanan dengan muka dan dada menghadap ke arah qiblat, iaitu sebagaimana kedudukan mayat dalam kubur. Jika tidak dapat di atas rusuk kanan, di atas rusuk kiri dengan muka dan dada ke arah qiblat.

b) Atau; membaringkannya di atas belakang dengan kaki mengadap ke kiblat dan kepala ditinggikan sedikit (iaitu dengan meletakkan lapik dibawahnya) supaya muka kelihatan mengadap ke qiblat. 

Mana-mana satu dari dua cara di atas boleh dilakukan. Namun para ulamak khilaf pada menentukan mana yang terbaik. Jumhur ulamak (merangkumi mazhab Maliki, Hanafi dan kebanyakan ulamak mazhab Syafiie) menyukai cara (a). Jika tidak boleh cara (a), baru cara (b). Imam Abu Muhammad al-Juwaini dan Imam al-Ghazali menyukai cara (b). Berkata; Imam al-Haramain; cara (b) lah yang biasa dilakukan manusia. (Rujukan; al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116. Hasyiyah al-‘Adawi, 1/407). Wallahu a’lam. 

Rujukan: 

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116. 
2. Hasyiyah al-‘Adawi, Abul Hasan al-‘Adawi al-Maliki, 1/407. 
3. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/286. 
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/80 (perkataan; ‘ihtidhar’), 10/299 (perkataan ‘tahwil’). 
5. al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki, 1/283. 
6. al-Muhalla bil Atsar, Ibnu Hazm, 3/405. 

[1] Sebelum nampak tanda-tanda hendak mati, makruh mengalihkannya ke arah kiblat kerana ia menyakiti orang sakit (al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki, 1/283). 

Sumber: Ilmu dan Ulama

Tuesday 20 May 2014

Lensa Program Sehari Bersama YB (SBYB)

Alhamdulillah, semalam telah berlangsung program Sehari Bersama YB (Dun Beserah), bertempat di Pusat Perkhidmatan Balok. Berbagai-bagai aktiviti menarik telah disediakan kepada para pengunjung, termasuklah pameran, klinik motosikal, rawatan perubatan percuma, pertandingan mewarana, memasak, gubahan dan gusti lengan.

Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat tempatan beramah mesra bersama YB Adun Beserah dan sambutan yang diterima amatlah menggalakkan. Pihak urusetia juga turut menyediakan ruang kepada para pengunjung membuat aduan, cadangan, atau sebarang bentuk pandangan.

Terasa berbaloi penat lelah yang dirasa sejak dua bulan lalu. Bermula dengan cadangan, disusuli pula mesyuarat demi mesyuarat yang kekerapannya melangkaui setiap minggu. Penat memang penat. Tetapi penat hanyalah satu perasaan dan perasaan itu akan hilang. Insya-Allah pahalanya kekal berpanjangan. Terima kasih semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Di antara foto-foto program  SBYB..

 Poster program SBYB


Ketibaan YB Adun Beserah bersama tetamu kehormat


Di antara sebahagian pengunjung yang hadir


 Kaunter yang dibuka, termasuklah kaunter SPR, kaunter Amal Nisa', Perubatan PAPISMA dan Perubatan Darul Syifa'


 Pertandingan gusti lengan


Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berumur 4 - 6 tahun


 Pertandingan gubahan buah tembikai dan pertandingan memasak


 Di antara pemenang hadiah cabutan bertuah


YB Adun Beserah


 Keratan akhbar yang memuatkan berita berkenaan program tersebut (Sinar Harian Pahang / 19 Mei 2014)

Friday 16 May 2014

Tulus pengorbananmu guru...


“Wan, nanti kamu naik sekolah menengah, cikgu harap kamu dapat tinggalkan panas baran kamu. Cikgu bimbang ia akan merugikan kamu satu hari nanti.” Nasihat tulus seorang guru di hari terakhir persekolahan. 

Demikianlah di antara nasihat yang masih saya ingati lebih dua dekad yang lalu. Suasana sungguh bening ketika itu. Benar nasihat seorang pendidik yang mahukan kebaikan buat anak muridnya. Panas baran tidak kemana, yang pasti ia akan merugikan diri pemiliknya. Sedikit demi sedikit saya berubah. Biarpun dalam meniti perubahan itu saya seumpama menggenggam bara api. Perit, tetapi ada nikmat yang terasa. Sakit, tetapi ada sakinah di dalam dada. Seperti ubat yang pahit tetapi menyembuhkan. Semuanya kerana nasihat seorang guru. 

Hari ini 16 Mei. Hari ini merupakan hari yang diingati dengan satu peristiwa. Seluruh negara bergema ucapan oleh semua yang bergelar pelajar atau bekas pelajar dengan ucapan, “Selamat hari guru atau selamat hari pendidik.” 

Tentunya ramai yang bersetuju jika saya katakan bahawa guru adalah di antara peranan utama dalam mencetak peribadi manusia selain ibu bapa. Tidak kira guru di sekolah, universiti, institusi pondok, atau sekadar guru mengajar al-Quran di kampung. Semuanya berperanan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan panduan. Sungguh besar jasa mereka tidak mungkin dapat disangkal oleh sesiapa. 

Guru sewajarnya dihargai dek kerana pengorbanannya. Membentuk anak orang lain yang kadang-kadang langsung tidak dikenali siapa ibu bapa mereka sehingga beroleh kejayaan dan kesenangan. Walaupun kadang-kadang dia sendiri tidak mengetahui akan kejayaan anak-anak muridnya. Tetapi, begitulah peribadi seorang guru. Mendidik, mendidik dan terus mendidik tanpa jemu. Bak kata Sasterawan Negara, Usman Awang di dalam sajak keramatnya:

“...Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, 
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta 
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara 
Jika hari ini seorang ulama yang mulia 
Jika hari ini seorang peguam menang bicara 
Jika hari ini seorang penulis terkemuka 
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Benar, walau luarbiasa mana kejayaan seseorang, tidak keterlaluan dikatakan ianya dimulakan oleh seorang guru biasa.

Walaupun suatu ketika mungkin kita pernah dihukum dengan hukuman yang berat, atau kita pernah didenda dengan sesuatu yang amat memalukan. Namun percayalah, dengan hukuman yang dikenakannya itu maka kita telah menjadi apa yang kita dapati sekarang, begitu juga kita telah berada di mana kedudukan kita berada sekarang. Oleh itu, marilah kita mendoakan kepada seluruh warga guru agar sentiasa di dalam rahmat Ilahi.

Tuesday 13 May 2014

Forum Perdana : ISLAM Agama Kasih Sayang


Forum ISLAM Agama Kasih Sayang
Tarikh : 13 Mei 2014
Hari : Selasa
Masa : 9.15 malam
Tempat : Padang berhadapan Masjid Balok

Semarakkan budaya menuntut ilmu!

Menjadi Golongan di bawah Lindungan ‘Arasy


Tajuk : Menjadi Golongan di bawah Lindungan Arasy
Penulis :Ishak Mat Tahir al-Muadzami
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Harga : SM 19.00 / SS 22.00
Muka surat : 250

Tiada siapa daripada kalangan individu Muslim yang tidak mahu meraih dengan mendapatkan tempat di bawah ‘Arasy Allah pada hari Kiamat melainkan yang tidak waras fikirannya, atau yang memang bermasalah dengan Islam atau yang memiliki hati yang ditakdirkan Allah bagaikan hati serigala yang ditegaskan baginda Rasulullah saw.

Mereka yang mendapatkan lindungan atau naungan Allah pada hari Kiamat adalah mereka yang mengikut landasan ajaran agama Islam dengan betul, sesiapa pun berhak untuk digolongkan dalam kategori manusia yang layak untuk menerima naungan Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan Allah SWT sahaja.

Tetapi siapakah mereka yang mendapatkannya? Sesungguhnya berdasarkan hadis Rasulullah saw, mereka telah simpulkan oleh baginda terdiri daripada tujuh golongan (bukan tujuh manusia), maknanya kita pun berhak untuk tergolong di dalamnya dengan syarat kita menepati piawaian yang telah digariskan melalui hadis Nabi saw.

Tujuh golongan tersebut ialah: Pemerintah yang adil, orang yang mengguna usia mudanya untuk beribadat kepada Allah SWT, manusia yang memiliki hati yang sentiasa terpaut kepada masjid (surau), dua lelaki/wanita yang mencintai antara satu sama lain semata-mata kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita bangsawan yang rupawan (dengan menolak godaannya) dengan berkata; aku takut kepada Allah, lelaki yang bersedekah dengan tangan kanan hingga tangan kirinya tidak tahu (berapa jumlah yang disedekahkan) lantaran ikhlas dan lelaki yang mengingati Allah secara sendirian sehingga berlinangan air mata kerana takut kepada Allah.

Buku Menjadi Golongan di Bawah Lindungan ‘Arasy Allah memaparkan sembilan bab penting untuk diketahui oleh pembaca dari segenap lapisan masyarakat dalam negara ini kerana ia merupakan kupasan daripada sebuah hadis Nabi yang mengajak pembaca agar memahami tuntutan daripada rukun-rukun iman yang enam, mengenai hari perhimpunan yang besar di akhirat adalah antara cara atau kaedah untuk meraih salah satu golongan di atas yang layak untuk dibantu agar berada di bawah ‘Arasy Allah SWT. 

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!"

Sunday 11 May 2014

GUNA MINYAK PENGASIH UNTUK SUAMI

Soalan: 

Assalamualaikum, apakah hukum jika saya menggunakan minyak pengasih kepada suami? Dengan niat ingin menjaga rumah tangga, ingin selalu dikasihi suami, dan untuk elakkan dari pergaduhan. Suami saya seorang yang cepat marah (baran). Kadang-kala bila berbual ada yang tersilap kata, terus marah-marah. Kadang-kala sehingga selalu main-main dengan perkataan cerai. Saya tak mampu lalui segalanya. Saya juga telah menggunakan minyak ‘ANUGERAH SERI DAN SUAMI ISTERI’. Alhamdulilah ada perubahan. Segalanya kerana ALLAH TAALA. Niat saya sangat-sangat inginkan kebahagiaan rumah tangga dan inginkanperubahan suami. 

Harap ustaz dapat bantu menjawab. 

Jawapan: 

Elakkan dari amalan pengasih kerana ia membawa kepada Syirik. Berubat dengan syirik umpama mengambil dadah yang mana ia menenangkan seketika, tetapi membawa derita selama-lamanya di kemudian hari. 

Yakinlah kepada Allah, jangan berputus asa mengharap kepada-Nya, jaga solat fardhu, banyakkan solat hajat dan beristighfar, manfaatkan ketika sujud untuk memohon hajat kepada Allah. Penyelesaian dengan minyak pengasih akan membawa kemusnahan di kemudian hari, bayangkan bagaimana jika suami mengetahui? Namun penyelesaian dari Allah akan membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Yakinlah kepada Allah dan jangan berputus asa dari rahmah dan kurniaan-Nya. Wallahu a'lam. 

Sumber: Ilmu dan Ulama

Saturday 10 May 2014

Kuliah Maghrib Perdana

Kuliah Maghrib Perdana bertempat di dua lokasi yang berlainan. Menampilkan 2 ikon pendakwah yang cukup dikenali. Ayuh warga Kuantan sekelian, jangan lepaskan peluang untuk menambah ilmu dan menambah tabungan akhirat. Jom kita semarakkan majlis ilmu! Jumpa di sana...!!






Friday 9 May 2014

Perpisahan terakhir, memotong keseronokan


Perpisahan terakhir.

Petang semalam saya dikejutkan dengan berita pemergian seorang sahabat sekerja. Usianya dalam lingkungan 40-an. Difahamkan allahyarham mengalami masalah jantung yang mengakibatkan kematiannya. Dalam tahun ini sudah beberapa orang sahabat sekerja saya yang meninggal dunia. Itu belum termasuk sahabat yang lain, sahabat sekampung, sepengajian serta kenalan biasa.
 
Bercerita mengenai kematian amat menakutkan. Sememangnya bicara kematian akan mengundang ketakutan. Mungkin sebab itu lagu “Selimut Putih” pernah diharamkan tidak lama dulu atas sebab yang sama. Entahlah, saya sendiri pun berasa takut, bimbang pun ada tatkala berbicara atau mengingati kematian. Bagaimana? Bila? Tiada seorang pun yang mengetahuinya. Tentunya ketakutan itu kerana merasakan persediaan belum mencukupi.

Alhamdulillah, mujur Allah SWT dengan sifat ehsan-Nya tidak mengkhabarkan tarikh kematian kita. Kalau tidak haru-biru dan kelam-kelibut jadinya. Saya pernah mendengar ada orang berkata, “Kalau tahu mati bila senang, duduk beramal tepi kubur sahaja.” Oh, pelik saya mendengarnya. Senang ke jika tahu bila waktu mati. Bayangkan situasi jika ada yang bertanya: “Bila tarikh mati.” Jawab kita: “Lusa...”

Agak-agak mudah ke mahu menjawab lusa. Tetapi takut mati pun mati, berani mati pun akan mati juga. Maka yang paling penting adalah bagaimana persiapan yang mahu dibawa. Oleh itu perbanyakkan muhasabah terhadap kematian, yang mana ia pasti akan menghantar kepada kita jiwa seorang hamba yang taat. Renungkan... 

Daripada Abi Ya’la Syaddad Bin Aus Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah S.A.W sabdanya : “Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikutinya hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT (untuk mendapat kebahagian dan pengampunan daripadanya tanpa beramal soleh) (Hadith riwayat Imam Al-Turmuzi)

#Al-Fatihah, Mohd Harun Salikan

Sunday 4 May 2014

Alhamdulillah, nikmat yang tampak kecil tetapi besar.


"Berrp..alhamdulillah, lega rasanya." 

Dapat membasahkan tekak dengan segelas air kelapa muda di tengahari yang terik adalah satu nikmat yang tidak terperi. Kedinginannya menyelinap ke dalam anak tekak lantas menyegarkan kembali badan yang tidak bermaya. Biarpun sekadar singgah minum di gerai kecil tepi jalan, gerai rakyat marhein seperti saya. Namun, seteguk kedinginan air kelapa muda di tengah terik musim panas seolah-olah menyebabkan saya terlupa akan nikmat-nikmat sebelum ini.

Manusia, memang begitu sifatnya. Kata Buya Hamka "Manusia seringkali bertanya kepada nikmat yang mendatang, tetapi jarang melihat nikmat yang telah ada." Benar, seringkali kita tertanya-tanya nikmat yang belum dimiliki sedangkan kita seakan lupa kepada nikmat yang telah lama ada pada diri kita.

Saya teringat satu cerita sufi yang pernah saya dengar ketika bersekolah arab dahulu. Suka saya untuk berkongsi kisahnya.

Seorang ahli sufi, Ibnu Sammak mengadap raja dengan membawa secangkir minuman. Raja itu meminta sedikit nasihat daripada Ibnu Sammak. Ibnu Sammak bertanya raja, "Katakan tuanku dalam kehausan yang amat sangat dan hanya terdapat secangkir minuman yang ada di tangan saya ini.Relakah tuanku membayar secangkir minuman ini dengan seluruh harta benda tuanku?"

Raja itu mengatakan, " Sudah tentu."

Ibnu Sammak meneruskan, " Kalau tuanku terpaksa menyerahkan tahta kerajaan tuanku untuk menghilangkan kehausan itu, bagaimana, bolehkah tuanku serahkan?"

Raja menjawab, "Sudah tentu aku serahkan!"

Ibnu Sammak lantas berkata, "Nah tuanku, janganlah tuanku bergembira dengan tahta kerajaan yang nilainya hanya seteguk minuman!"

Kisah ini sangat menginsafkan.

Setiap benda akan berharga atau bernilai apabila berada pada tempatnya. Sebaliknya jika ia diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya, maka hilanglah nilainya. Orang tua-tua dahulu menyebut peribahasa, "seperti si kudung mendapat cincin" serta "seperti kera mendapat bunga". Apakah nilai sebentuk cincin kepada si kudung? Sekadar boleh melihat tanpa dapat memakainya. Apakah pula nilai sekuntum bunga pada seekor kera. Kosong. Tidak sampai seminit hancur kelopak bunga dikerjakan oleh sang kera. Tetapi jika sekuntum bunga berada di tangan seorang gadis, maka akan terserlah nilainya.

Kita beranalogi lagi.

Orang yang sedang lemas sangat-sangat memerlukan sesuatu untuk berpaut, tidak kira sebatang buluh atau sepotong kayu. Ketika itu harta dan wang ringgit langsung tidak memberi makna. Bahkan jika ketika itu isterinya memberikan keizinan untuk berkahwin satu lagi pun tidak diendahkan. Tentunya pada masa itu yang paling penting ialah sebatang buluh atau sepotong kayu yang jika di atas daratan mungkin tidak akan diendahkan.

Begitulah juga agama Islam yang mulia ini. Cantiknya Islam apabila ia berada pada mereka yang mahu beramal dengannya. Ketika itu akan ternampaklah kecantikan dan keindahan Islam. Tetapi jika ia berada pada mereka yang hanya memakai nama Islam, sudah tentu akan terhijab indahnya Islam. Bahkan boleh menjadi fitnah keburukan pula terhadap Islam. Berapa ramai orang yang memakai gelaran Islam tetapi peel kelakunya tidak menggambarkan seorang Islam. Lihat dunia hari ini, ramainya orang Islam yang terlibat dengan rasuah, menyalahguna kuasa, melakukan kezaliman, mencuri hak orang lain, merompak harta negara dan sebagainya.

Daripada Ali bin Abi Talib ra. berkata: “Telah bersabda Rasulullah saw; “Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya...” (Riwayat al-Baihaqi)

Wal`iyazubillah.

Seperti segelas air kelapa muda yang saya minum, sangat-sangat terasa nilainya kerana diminum ketika tekak sedang haus di bawah cuaca panas. Saya seakan terlupa akan nikmat yang lain kerana air kelapa tersebut. Tetapi jika air kelapa muda yang dingi berais tersebut dibawa ke kutub utara, saya tidak rasa ia menjadi sesuatu yang berharga. Entah-entah tiada siapa yang sudi mengendahkannya.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"

Saturday 3 May 2014

Alhamdulillah, moga Allah redha

(Harian Metro : 1 Mei 2014)

"Dengan rasa syukur kepada Allah (SWT) saya mengumumkan bahawa esok (hari ini) fasa pertama undang-undang syariat akan dilaksanakan dan akan diikuti dengan fasa berikutnya." (Sultan Brunei)

Alhamdulillah, puji-pujian kepada pemilik dunia. Tahniah Sultan Brunei.

Tentunya ini adalah satu berita yang amat menggembirakan. Walaupun ia bukan berlaku di negara saya yang tercinta ini, tetapi atas dasar ukhuwah Islamiyyah saya menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan yang tidak terhingga. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan rahmat dan keberkatan kepada negara Brunei Darussalam atas ketegasannya dalam mahu melaksanakan undang-undang syariat. Di harap dengan terlaksananya di Brunei, ia akan menjadi role-model kepada negara lain serta memperlihatkan kebaikan dan keberkesanan syariat ini.    

"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi..." (al-A`raaf: 96)

Bila pula negaraku yang tercinta ini?