Sahabat Sejati

Friday 31 October 2014

Taman Syurga : Ceramah Perdana Ma`al hijrah


Assalamualaikum warahmatullah.

Berkata Saiyidina Ali ra:
"Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu berkurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu bertambah apabila dibelanjakan."

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan, jangan lupa untuk menghadiri majlis ilmu yang akan disampaikan oleh al-Fadhil YB Ustaz Saiful Bahri Mamat yang juga ADUN Paka. Ceramah Perdana ini akan diadakan pada 01 November 2014 bertempat di Masjid Qaryah Balok Kuantan. Mudah-mudahan ada sesuatu yang bermanfaat daripada majlis ilmu ini.

Jom, semarakkan majlis ilmu! 

Thursday 30 October 2014

True MLM, pahala jariah vs maksiat jariah


“Alhamdulillah, siap.”

Saya menekan butang ‘sent’, proses terakhir menghantar email. 

Semalam saya menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan yang meminta saya membuat ‘artwork’ banner Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Badan Kebajikan Pekerja Islam tempat kerjanya. Tanpa banyak berkira saya segera memberi persetujuan. Sebenarnya banyak juga saya menerima tempahan membuat ‘artwork’ banner dan juga poster. Termasuklah banner atau poster untuk ceramah, kuliah, kursus dan sebagainya. Sekarang ini pun masih ada dua lagi tempahan ‘artwork’ banner dan poster untuk program Ceramah Perdana Ma`al Hijrah dan Backdrop Taklimat GST bersama Pusat Khidmat DUN dan Kastam Pahang. Insya-Allah malam nanti saya akan mula membuatnya. 

Tetapi jika difikir-fikir, nama sahaja tempahan. Sebenarnya saya tidak pernah mengenakan bayaran untuk kerja-kerja tersebut. Yalah, tidak sampai hati pula mahu sebarang meletakkan bayaran, lagipun yang menempahnya terdiri daripada kalangan kenalan saya juga. Hanya sekadar membuat ‘artwork’ tidaklah susah sangat, cuma dari segi masa perlu diuruskan dengan baik kerana saya bukan sepenuh masa membuatnya. Termasuk juga idea dan kreativiti yang kadang-kadang menjadi sedikit masalah. Yalah, idea bukannya datang dengan hanya memetik jari, kena pula saya yang memang tidak berapa pandai membuatanya.

Mahu dikatakan saya mahir dalam kerja-kerja menghasilkan ‘artwork’, tidaklah sampai tahap itu. Tidak. Eh, malu pula rasanya mahu mengaku demikian. Hanya sekadar boleh jika tiada orang lain, itu pun mungkin pilihan yang ke lima belas atau enam belas. Adakalanya terbit juga rasa cemburu tatkala melihat hasil kerja sahabat-sahabat di FB dan blog yang sangat kreatif dan cantik. Ahh, ingin rasanya memiliki kemahiran seperti itu. 

Saya tidak pernah belajar secara formal di dalam bidang penghasilan grafik. Saya hanya belajar sendiri melalui internet terutama blog dan youtube, selebihnya ‘try and error’. Semuanya semata-mata kerana minat yang mendalam di dalam bidang ini. Kata orang kalau sudah minat, apa pun sanggup dilakukan untuk mendapatkannya. Ada betulnya ungkapan ini. Selain daripada itu, selalu saya juga menghasilkan ‘artwork’ yang berisikan ungkapan kata-kata nasihat, tazkirah dan peringatan untuk dipanjangkan melalui sistem whatsapp, fb dan sebagainya. Bukan kerana saya seorang yang baik, bukan begitu maksudnya. Saya manusia realiti bukan manusia mithali. Manusia realiti yang ada buruk dan baik.

 
Sahabat sekelian.. 

Apa yang saya mahu sampaikan bukanlah berkenaan dengan minat dan kerja-kerja saya dalam penghasilan ‘artwork’ tersebut. Ia lebih daripada itu. Saya melihat ini adalah salah satu sumber amal jariah yang sangat mudah. Di zaman ini mahu membuat amal kebajikan cukup senang. Sementelah lagi dengan teknologi di hujung jari yang semakin canggih-manggih ini. Contohnya, selalu kita melihat di dalam fb ‘artwork’ kata-kata nasihat dan peringatan, oleh itu dengan hanya satu klik di butang ‘share’ maka kita telah memanjangkan satu kebaikan kepada ramai orang. Bagaimana pula jika setiap orang yang kita ‘share’, akan ‘share’ pula dengan rakan-rakan mereka. Tidakkah ini akan membina rantaian kebaikan. Bayangkan banyak mana pahala yang diperolehi. Inilah sistem MLM yang pasti tidak akan mengalami risiko kerugian. 

Bayangkan pula jika ketika kita bertemu Allah, tiba-tiba kita melihat catatan amal yang banyak sedangkan setahunya kita tidak pernah melakukan kebaikan sebanyak itu. Rupa-rupanya ada kebaikan yang pernah kita sampaikan telah dipanjangkan pula oleh orang lain, kemudian ia terus bersambungan walaupun setelah kita tiada. Tidakkah ia suatu yang menguntungkan? 

Begitulah sebaliknya, sifir yang amat mudah. Jika ada amal jariah yang sentiasa mengalir pahalanya walaupun selepas ketiadaan si pelaku. Maka di sana ada pula maksiat jariah yang sentiasa mengalir dosa walaupun si pelakunya telah tiada. Jika kita berkongsi sesuatu yang tidak baik, selepas itu mereka akan berkongsi pula dengan orang lain yang akhirnya berkembang dan terus berkembang. Tidakkah kita telah menempah gugusan dosa demi dosa. Bagaimana agaknya tatkala kita bertemu dengan Allah dalam keadaan kita rasakan telah membawa amal kebaikan. Tiba-tiba terlihat kantung amalan kita kosong. Rupa-rupanya kita pernah memanjangkan fitnah dan dikongsi pula oleh orang lain dan begitulah seterusnya ia terus bersambungan. 

Seperti yang telah saya sebutkan tadi, mudahnya mahu membuat pahala amal jariah di zaman ini. Hanya dengan satu klik sahaja, dapat mengundang pahala. Tetapi dengan satu klik juga ia akan mengundang dosa. Maka pilihlah yang mana satu idaman kalbu. Tepuk dada tanya iman, saya bertanya kepada diri sendiri...

Wednesday 29 October 2014

Taman Syurga : Kuliah Maghrib Khas "Sambutan Ma`al Hijrah 1436H"


Assalamualaikum warahmatullah.

 Kepada yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk menghadirkan diri dalam kuliah maghrib khas bersempena dengan sambutan Ma`al Hijrah 1436H pada tarikh 29 Oktober 2014. Kuliah maghrib ini akan diadakan di Masjid Kampung Chendor, Kuantan dan akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Hishamuddin Abd Karim, ADUN Tepoh dan juga merupakan bekas Pegawai Agama Petronas. 

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Monday 27 October 2014

Taman Syurga: Pengajian Kitab Mawa`iz Badi`ah


Assalamualaikum warahmatullah.

Majlis ilmu lagi. Kepada semua pencinta taman syurga yang berdekatan dan berkelapangan, jangan lepaskan peluang untuk menghadiri kuliah maghrib di Masjid Qaryah Balok, Kuantan pada 28 Oktober 2014. Kuliah yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Saharudin Mohamad akan mensyarahkan kitab al-Mawa`iz al-Badi`ah. Kuliah ini diadakan secara bulanan, pada setiap hari Selasa minggu ke 2 dan 4. 

Jom, semarakkan majlis ilmu!

**Kitab Al-Mawa'iz Al-Badi'ah ini membicarakan tentang peringatan-peringatan yang indah buat seorang Muslim yang dikarang oleh Maulana As- Syeikh 'Abdur Rauf Fanshuri Acheh.

Sunday 26 October 2014

Bicara santai: Acara sentuh-sentuh

(Sumber: FB)

Entahlah, kisah apa pula yang mahu ditulis. Masa dan idea sering merencatkan’ mahu’ dan ‘mampu’. Dalam banyak keadaan keduanya tidak datang bersama. Kadang-kala ada masa tetapi idea pula entah ke manat. Ada masanya berderet idea tetapi tidak pula punya masa. Bilah jari-jemari telah lama di butang huruf, tetapi masih belum mampu memetik huruf pertama. Akhirnya ‘mahu’ yang tadi bertukar menjadi lesu. Demikianlah masa dan idea bukan milik mutlak kita. 

Mahu menulis isu kenaikan harga minyak. Tak payahlah. Saya bukanlah mahir untuk mengulas perihal kenaikan harga minyak. Lagipun jika diulas, bimbang pula terbawa-bawa dengan rentak panas baran dan hilang pertimbangan. Nanti lain diulas lain yang pula yang difahami. Serah sahaja pada yang pakar. Hmm, pakar apa-apalah. 

Seminggu dua yang lalu kecoh di laman sesawang berkenaan isu acara ‘IWTTAD’. Alaa, program yang ada peluk dan sentuh anjing tu. Berbagai pendapat dan komentar yang dapat dilihat. Ada yang pro dan ada yang kontra. Masing-masing mempertahankan hujah dengan bermacam-macam alasan. 

Saya membaca di laman sesawang, kata pihak penganjur tujuan acara itu adalah untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih peka terhadap makhluk berbulu dan berkaki empat itu. ia juga untuk mendidik orang ramai tentang bagaimana untuk mengamalkan kebersihan. Selain itu, ia adalah satu cara untuk membantu mereka mengatasi rasa takut terhadap anjing dan membawa bersama-sama rakyat Malaysia bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman yang melampaui budaya, bangsa dan agama. Hmm, menarik tu, bagus bunyinya. 

Jika ditanya kepada saya, secara peribadi saya tidak nampak apa manfaatnya program tu. Mahu hilangkan rasa takut terhadap anjing? Jika sudah hilang rasa takut, apa faedah yang Muslim dapat? Sebaliknya, kalau ada rasa takut, apa pula kerugiannya? 

Islam tidak memandang jijik terhadap anjing, bahkan juga bukanlah haiwan yang wajar dicaci, dihina, dibelasah, diseksa, dibunuh sewenangnya atau apa sahaja salah laku. Anjing tetap haiwan yang wajar diberi kasih sayang dan belas ihsan, kerana ia juga makhluk Allah. Ada satu hadis yang mengisahkan tentang seorang yang banyak dosa, kemudian memberi anjing minum, lalu dia dimasukkan ke syurga kerana sifat belas ihsannya memberi minum kepada anjing itu. Namun dalam hadis tersebut tidak pula menyebut si pemberi minum itu mencium, membelai atau memeluk sang anjing. 

Saya beranggapan jika betul kita mahu mengajar mengenai sifat belas ihsan terhadap anjing atau apa sahaja binatang, boleh sahaja dilakukan di dalam dewan. Buat satu seminar, taklimat atau konvensyen yang berkaitan. Tidak perlu rasanya sehingga memeluk dan mencium anjing. 

Benar, wujud khilaf di kalangan ulama mazhab-mazhab dalam bab tubuh anjing itu najis mughallazah atau tidak. Yang pasti, haram SENGAJA menyentuh sesuatu yang akan menyebabkan perpindahan najis ke atas tubuh kita. Jadi, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita basah, lembap dan berair, maka haramlah menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah. Kenapa seluruh tubuhnya dianggap najis berat menurut mazhab syafie? Kerana pastinya anjing membersihkan dirinya dengan menjilat. Maka kemungkinan besar air liurnya ada di tubuhnya. 

Saya bukan mempersoalkan hukum, Siapalah saya untuk itu, tetapi saya melihat dari sudut kewajaran atau tidak. Di dalam suasana masyarakat yang bermazhab Syafie tentu ia akan mengundang fitnah dan kekeliruan di kalangan orang awam yang jahil dalam ilmu fiqh (termasuk saya). 

Apa pun, di dalam akhbar tempohari pihak yang menganjurkan acara sentuh anjing telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Maka, maafkanlah mereka, tetapi jangan diulangi lagi ya..

Fikir-fikir  sejenak

Teringat tulisan Ustaz Khalil tempohari. 

"Daripada sibuk berkempen sentuh anjing lebih baik buat kempen sapu kepala anak yatim. Diriwayatkan bahawa Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap." 

Daripada sibuk berkempen sapu atas belakang anjing lebih buat buat kempen belajar macamana cara nak sapu atas khuf sebagai ganti untuk basuh kaki dalam berwudhu. 

Daripada sibuk berkempen membelai anjing lebih baik belajar cara yang betul untuk membelai dan mengucup hajar aswad di Kaabah. 

Di dalam Al-Quran pun Allah menceritakan kisah ashabul kahfi yang bersama-sama dengan anjing peliharaan mereka. Pengajarannya bukan supaya kita membelai anjing dalam kehidupan kita tetapi anjing pun membantu perjuangan Islam dengan caranya tersendiri. Di dalam hadis pun Nabi saw ada menceritakan kisah perempuan pelacur dimasukkan ke dalam syurga kerana memberikan minum kepada anjing yang dahaga. Menunjukkan anjing tidak boleh disakiti dan berhak untuk dirahmati dalam keadaan yang memerlukan. 

Mungkinkah program membelai anjing untuk mengatasi masalah rakyat yang stress akibat kenaikan harga minyak? Entahlah ..."

**Simpati dengan apa yang berlaku ke atas al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus

Saturday 25 October 2014

Salam Ma`al Hijrah 1436H


Hijrah adalah terlalu agung hikmahnya untuk kita teladani dan hayati. Ia bagaikan sebuah cahaya fajar yang memecah kegelapan dalam sebuah perjalanan hidup. Lalu ia menyinari seluruh perjalanan hidup dan menjadikannya penuh bermakna. Benar-benar hijrah itu pemisah di antara hak dan bathil, di antara kegelapan menuju ke arah terangnya cahaya hidayah. 

"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (an-Nisa`: 100)

Selamat menyambut Ma`al Hijrah 1436H kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan tahun baru ini memberikan tekad dan azam kepada kita semua untuk sentiasa memperbaiki diri dalam kebaikan. 

Friday 24 October 2014

Kome cuti hari ni..!


Daulat Tuanku.

Selamat ulangtahun keputeraan yang ke 84 kepada KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta`in Billah ibni al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri`ayatuddin al-Muadzam Shah. (Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang Darul Makmur serta jajahan takluknya)

Semoga tuanku sultan sentiasa diberikan hidayah dan taufiq untuk memerintah Negeri Pahang yang tercinta ini dengan Islam yang berdaulat.

Sembah takzim daripada hamba rakyat yang taat dalam kebaikan dan kebenaran.

*Kome cuti hari ni..!

Wednesday 22 October 2014

Kuliah Maghrib : Ma`al Hijrah


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua warga Kuantan yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk memeriahkan majlis ilmu kuliah iaitu maghrib bersempena dengan kedatangan Ma`al Hijrah tidak lama lagi. Kuliah ini akan diadakan pada 22 Oktober 2014 dan akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Rosmaini Abd Rahman, seorang pendakwah yang tidak asing lagi di sekitar negeri Pahang. Bertempat di Surau Perumahan Balok Permai, Balok  Kuantan, berhampiran Pasaraya Jaya Gading.

Mudah-mudahan kehadiran semua akan memeriahkan lagi majlis ilmu ini dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Jom, semarakkan majlis ilmu!

  

Bicara santai : Catatan biasa

Assalamualaikum warahmatullah. 

Alhamdulillah, sempat mengunjungi pondok kecil abuikhwan. Kebelakangan ini hujung minggu saya agak sendat dengan beberapa program. Mujurlah pada hari Sabtu dan Ahad, hari saya tidak bekerja. Kalau program yang berlangsung pada hari biasa, terpaksalah saya menguzurkan diri atau menyertainya dalam masa yang terhad dan sekadar termampu. 

 'Sedang berlangsung salah satu ujian kelayakan'

Hari Sabtu saya menemani anak perempuan menjalani temuduga kemasukan ke tingkatan satu SMA. Temuduga kemasukan ini berjalan serentak di semua SMA seluruh negeri Pahang. Tentu kesibukannya sama seperti yang saya lihat sekarang. Setiap tahun jumlah permohonan ke SMA semakin bertambah. Saya melihat perkembangan ini sebagai satu petunjuk positif, menggambarkan keyakinan ibu bapa terhadap pengajian agama. Saya rasakan demikian. 

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Rupa-rupanya ramai kenalan saya yang turut membuat permohonan ke sekolah tersebut. Sempat juga saya berbual sementara menunggu proses temuduga anak saya selesai. Tidaklah bosan sangat menunggu. 

Saya anggarkan jumlah pelajar yang memohon dalam seribu orang atau lebih, itu pun selepas permohonan ditapis. Anak saya sendiri dengan angka giliran 851. Saya memuji langkah proaktif pihak sekolah membuka banyak kelas sebagai pusat temuduga. Kalau tidak jenuh juga mahu menunggu, tidak kena gaya sampai ke petang. Jam 12 tengahari proses temuduga anak saya selesai. Masih ramai lagi ibu bapa yang sedang menunggu anak-anak mereka yang belum selesai. Tanpa menunggu lama saya segera berangkat pulang untuk menyiapkan laporan yang perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Penerangan Paskim pada sebelah malam. 

Jam 12 tengah malam selesai mesyuarat. Di antara isi perbincangan ialah persiapan untuk mengadakan taklimat GST anjuran Pusat Khidmat DUN bersama pihak Kastam (KDRM). Bahkan pihak Kastam sendiri telah memberikan persetujuan untuk turut sama dalam program taklimat ini. Apa dia GST? Ada teman yang berseloroh, GST katanya "Gasak Sampai Tertiarap". Lucu saya mendengarnya. 

Saya menolak pelawaan rakan-rakan untuk singgah minum seperti kebiasaan selepas mesyuarat. Bukannya apa, kelopak mata bagaikan dijahit-jahit. Tidak mampu saya untuk bertahan. Mengantuk adalah makhluk Allah yang sangat hebat. Segagah mana pun manusia, walau secerdik mana pun dia, pasti tewas dengan mengantuk. Teringat pertanyaan seorang sahabat di tempat kerja: “Apakah ubat untuk tahan mengantuk?” 

“Minum kopi? Makan asam? Gula-gula kopiko?” 

Saya menjawab ringkas: “Tidur.” 

 'Jambatan gantung yang merintangi Sungai Semantan yang bertemu dengan Sungai Pahang di tepi Bandar Temerloh'

Hari Ahad, seawal jam 8.00 pagi saya bersama empat lagi rakan menyusuri dada aspal menuju ke Temerloh. Lebuhraya Pantai Timur tidak terlalu sibuk. Kenderaan hanya sekali-sekala menderu. Mungkin kerana hari cuti, maka ramai yang berehat di rumah, getus hati kecil saya. 

Hari ini saya dan rakan mewakili Penerangan Paskim untuk taklimat PTS. Dengan keadaan kepala yang masih berdenyut-denyut ekoran tidak cukup tidur, saya gagahi juga. Sepatut hari ini saya menyertai rakan-rakan yang lain di dalam kursus FB Ads dan Photoshop anjuran DPPNP di Pusat Tarbiyyah. Namun, atas saranan rakan-rakan yang lain mengkehendaki saya ke Temerloh, saya akur. Berlangsung pada pagi Ahad itu ialah Pertandingan Larian Aman Palestin. Saya yang juga terlibat secara langsung sekali lagi terpaksa menguzurkan diri kerana terlalu banyak pertindihan program.

Banyak input yang di dapati dalam penerangan PTS tersebut. Sehingga saya merasakan sangat rugi jika gagal menghadirinya. Jam 9.00 malam saya tiba di rumah. Dalam keadaan letih yang amat sangat saya cuba bertahan untuk melayan anak-anak. Hasilnya saya tidak tahu bila saya terlelap di atas sofa di ruang tamu. Benar-benar mengantuk makhluk Allah yang sangat gagah. 

Ini adalah catatan biasa. Inilah catatan sekadar melepas rasa cinta. Cinta kepada perkongsian rasa yang mudah-mudahan terkandung di dalamnya sedikit teladan hidup. Mudahan sedikit yang dicicip menjadi ganjaran besar buat si ‘tukang coret’. Niat di hati tidak lain hanya satu iaitu dakwah dan menyebarkan kebaikan. Itulah tujuan “Kembara Mencari Hamba” dibina. Bukan mengharap pujian dan sanjungan kerana hanyasanya DIA yang selayaknya di puji. Kata guru saya: “Pendakwah yang suka dipuji biasanya akan lupa hakikat kelemahan diri. Akhirnya dia kecewa jika ditegur, panas tatkala disanggah, resah tatkala dinasihati. Maka berhati-hati tatkala menerima pujian. 

Tetapi tidak semua pujian itu bersifat demikian. Ada juga pujian yang seumpama sokongan daripada belakang. Yang penting bagaimana kita menerima pujian. Kita yang merasakannya, tepuk dada...

Thursday 16 October 2014

Apabila ada yang menegur, berlapanglah...

Imam al-Ghazali (sumber foto)

Saya menekuni lembaran-lembaran buku kecil karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. 

Bahasanya mudah penuh berhikmah. Terlalu banyak bait-bait mutiara yang mendamaikan untuk dihadam. Buku yang kecil dan ringkas ini besar maknanya bagi sesiapa yang mahu mengambil peringatan sebagai bekalan dalam meniti kehidupan. 

Buku yang saya maksudkan adalah ‘Ayyuhal-Walad’, juga dinamakan dengan 'Ar-Risalah al-Waladiah'. 

Saya membaca sebaris ungkapan pendek. 

“Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya.” 

Terpaku sejenak. Benar sekali torehan minda sang imam ini. 

Sesiapa pun boleh menegur dan mengkritik tetapi tidak semua orang senang menerima nasihat dan teguran. Tidak semua orang boleh berlapang dada dengan teguran, melain orang yang berjiwa besar serta di dalam hatinya ada sifat kerendahan. Sedangkan mereka yang begini tidak ramai jika mahu dibandingkan dengan yang sebaliknya. Saya beranggapan demikian. 

Kita menegur, memberi peringatan dan menyampaikan nasihat kerana ia adalah perintah Allah. Tidak kira bagaimana bentuknya asalkan caranya masih di dalam lingkungan syarak. 

Allah SWT berfirman: 
“Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang yang beriman.” (adz-Zariyat: 55) 

Menerima teguran, berlapanglah 


Tidak dinafikan seni dan bijaksana perlu ada dalam menegur dan menasihati. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia adalah elemen yang sangat penting dalam berdakwah. Tidak boleh semberono melempar teguran tanpa melihat suasana dan realiti. Berapa ramai yang menjadi baik kerana kena dengan cara teguran. Begitu juga berapa ramai yang semakin ‘jauh’ dek salah dalam melontar sesuatu yang baik. Tetapi bagaimana pula teguran dan nasihat yang disampaikan dalam keadaan baik dan berhemah. Itu yang saya bicarakan. Ya, ada sebilangan yang tidak mahu juga menerimanya. Bukan itu sahaja, disindir dan disiniskan pula orang yang menasihatinya. 

Penolakan mereka pelbagai. Ada yang menjadikan masa silam sebagai hakim untuk menolaknya. Justeru, diungkitkan apa sahaja keburukan masa silam si penegur. Memperlekeh dan kerana tidak mahu menerimanya. Jika difikir-fikirkan, mengapa sejarah masa silam harus dijadikan tembok untuk menidakkan kebenaran. 

Mungkin ada yang berkata:

"Alahh, kamu bukannya baik sangat dulu, bahkan lebih teruk daripada aku..."

Atau begini: 

“Keluarga sendiri pun tak terjaga. Nasihat keluarga kamu dululah, baru nasihat orang lain...” 

Saya mengiakan. Ada kebenarannya. Namun tidak bolehkah kita mengenepikan sedikit rasa ego untuk menerima teguran. Amat payah, tentunya. Di saat iman sedang mencanak naik, mungkin tiada masalah padanya. Sebaliknya, tatkala graf iman merudum, ia bukan sesuatu yang enteng. Saya juga ada masa-masanya begitu. Sukar benar untuk berlapang dada di sata-saat demikian. Allahu rabbi. Ego? Atau apa? 

Teringat kata-kata guru saya: 
“Mencari kelemahan orang yang menegur kita adalah satu sikap yang tidak sepatutnya berlaku bagi seorang yang ikhlas mencari kebenaran. Mencari selemah-lemah hujah untuk mempertahankan kesilapan kita adalah satu sikap yang menunjukkan kedegilan kita terhadap kebenaran.” 

Setiap orang perlu menegur dan menyampaikan nasihat dengan berhemah, dan setiap orang yang menerima nasihat perlu berlapang dada menerimanya. Walaupun siapa yang memberi nasihat selama mana ia masih di atas jalan kebenaran. Saya tidak pasti apakah manusia ini akan mengambil sikap yang sama jika ia berada di zaman Saiyidina Umar al-Khattab. Apakah ia berani menyatakan begini-begini apabila si khalifah menasihati. 

“Wahai khalifah, tidak perlu menasihati aku. Engkau dulu pun bukannya baik sangat, bahkan hampir-hampir membunuh Rasulullah!”

Ya, Saiyidina Umar hampir-hampir membunuh Rasulullah di zaman jahiliahnya. Tetapi tidakkah kita terfikir, Umar yang menghunus pedang itu kini jasadnya terbaring di sebelah Rasulullah saw, malahan dijamin syurga oleh baginda. 

Sifirnya mudah. Marilah kita membetulkan minda pemikiran kita. Orang yang dahulunya tidak baik tidak semestinya tidak baik di masa akan datang. Begitulah sebaliknya. Berilah peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin berubah. Tidak perlu diungkit apa yang telah berlalu daripada sejarah silamnya apabila ia telah berubah. Dengan hidayah Allah SWT mereka berubah, lalu mereka menyampaikan nasihat kepada orang lain dengan maksud agar tidak terjadi seperti mereka dahulu. 

Sebagai seorang yang beriman, sepatutnya kita terbuka dengan teguran. Memandang teguran dengan positif, iaitu sebagai satu penambahbaikan kepada diri. Sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 55 surah adz-Zariyat, jika kita orang yang beriman maka setiap teguan dan peringatan pasti akan memberi manfaat. 

3 golongan dalam menerima teguran: 

1- Golongan yang apabila menerima teguran, mereka akan mendengar danmenerima dengan terbuka biarpun mereka tidak berada di pihak yang bersalah. 

2 –Golongan yang tidak kisah langsung dengan teguran. Samada bersalah atau tidak, ia tidak mengendahkan tanpa sebarang reaksi. 

3 – Golongan yang akan melontar teguran tersebut kepada orang lain atau kepada si penegur. 

Anda yang mana? 

*Nasihat ini lebih utama buat diri saya

Wednesday 15 October 2014

Jadikan mereka penyejuk mata


Anak-anak adalah kurniaan dan nikmat yang tidak terperi. Ia bagaikan nyawa yang disambung-sambung untuk merentasi masa di dunia ini. Anak-anak yang soleh adalah dambaan setiap ibu bapa. Ibu bapa mana yang tidak gembira melihat anak-anak yang berjaya menjadi ‘insan’ sebagaimana yang sering dipinta dalam doa setiap kali selepas solat. 

Allah SWT berfirman: 
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh daripada isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenang hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa." (al-Furqan: 74) 

Anak-anak adalah amanah. Ia menjadi beban yang tergalas di kedua bahu. Kita terikat dengan amanah ini. Oleh itu, mendidik anak-anak merupakan satu kewajipan yang sangat besar. Kita menentukan corak untuk mereka, jika baik maka baiklah kedapatannya. Jika sebaliknya maka pasti ia mengundang sesal yang tiada kesudahan. 

Daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw bersabda: 
“Setiap anak yang dilahirkan itu telah membawa fitrah beragama (perasaan percaya kepada Allah). Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan anak tersebut beragama Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.” (Riwayat Bukhari) 

Daripada Saiyidina Ali ra; Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: 
"Didiklah anak kalian tiga perkara! Kasih kepada nabi mereka, kasih kepada ahli keluarga Rasulullah dan membaca al-Quran. Sesungguhnya mereka yang memikul al-Quran berada di bawah lindungan Allah ketika tiada lindungan melainkan lindungan-Nya bersama para nabi dan mereka yang suci." (Riwayat at-Thabrani) 

Bukan mudah mahu mendidik agar mereka menjadi ‘insan’ di dunia ini. Namun, di dalam kepayahan itu kita ada panduan yang berdiri di hadapan. Tidak lain ianya adalah qudwah dan contoh ikutan daripada Rasulullah saw. Kita akan mendapati petunjuk yang benar jika meneliti di dalam sirah hidupnya. Seandainya kita mengabaikan qudwah dan panduan ini, lalu mencari jalan yang entah apanya, maka tidak mustahil kita menempah kesudahan yang mencelakakan. Maka ambillah apa yang telah digariskan oleh junjungan besar Rasulullah saw, di sana telah tersedia panduan dan petunjuk yang tidak mengecewakan.

Firman Allah SWT: 
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (al-Ahzab: 21). 

Buku Tarbiyatu al-Aulad fi al-Islam oleh Syeikh Dr Abdullah Nashih Ulwan amat baik sebagai rujukan.

Tuesday 14 October 2014

Kuliah Maghrib - 40 Hadith Penawar Hati


Assalamualaikum warahmatullah. 

Alhamdulillah, kuliah maghrib bulanan kitab 40 Hadith Penawar Hati yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Afis Ibrahim@UAI Junior, pada 15 Oktober 2014. Kuliah maghrib ini akan diadakan di Surau ar-Rayyan Taman Mutiara Mahkota Indera Mahkota 15. 

Kepada yang berdekatan dan berkelapangan amat dialu-alukan kehadiran untuk sama-sama memeriahkan majlis ilmu ini. Bagi yang belum pernah ke Surau ar-Rayyan, boleh menggunakan panduan GPS seperti yang tertera pada poster. 

Mengapa digelar UAI Junior? 

Ustaz Afis Ibrahim digelar UAI Junior kerana gaya penyampaian yang sangat mirip dengan Big Boh Ustaz Azhar Idrus. Sementelah lagi mereka berdua berasal dari negeri yang sama, Terengganu Darul Iman. Berkongsi negeri kelahiran, sudah tentu loghat percakapan mereka juga sama. Dengarkan klip video youtube di bawah ini, dan apa komen ada, hampir sama?


 Jom semarakkan majlis ilmu!

Monday 13 October 2014

Cetusan rasa: Cerita kosong tatkala rahmat mencurah dari langit Ilahi

 'Menunggu-nunggu ilham dari langit Ilahi'

Entah apa yang mahu dicoretkan. Buntu seketika, seumpama menunggu-nunggu ilham dari langit. Adakalanya punya masa tetapi ketandusan ilham. Adakalanya punya ilham tetapi kesempitan masa pula. Seringkali keduanya silih bergantian mencacatkan ‘mahu’. Demikianlah masa lapang dan ilham bukan milik kita. Ia milik hakiki Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki. 

 “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku masa yang lapang serta sesuatu yang bermanfaat agar dapat aku kongsikan bersama hamba-Mu yang lain.” 

Ketika sedang mencoret artikel ini, hujan berguguran dari langit Ilahi. Tidaklah lebat, sekadar renyai-renyai berdetak menimpa bumbung. Jika di desa hujan yang menimpa bumi turut diselangi dengan suara sang katak. Biarpun bising tujahan air hujan menimpa atap zink dan suara katak yang membingitkan, saya tidak pula terganggu dengannya malahan bagaikan melodi yang menghiburkan. Ahh, anak desa... 

Semalam sewaktu menghantar anak kedua saya ke asramanya di PPTI Kemaman, hujan lebat mengiringi di sepanjang perjalanan. Terpaksalah memperlahankan kenderaan kerana penglihatan yang agak kabur. Jika diikutkan sekarang ini memang sudah pun masuk permulaan musim tengkujuh di tempat saya, pantai timur. Mudah-mudahan tidak terjadi seperti tahun lepas. Pertama kali kawasan perumahan saya dinaiki air menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir.

 'Kenangan 'berbulan madu' di Pusat Pemindahan Banjir, menjadi sukarelawan team tukang masak untuk mangsa banjir. Alhamdulillah'

Teringat pada malam tersebut, dalam keadaan gelap-gelita kerana bekalan elektrik telah dipotong atas faktor keselamatan, ditambah dengan hujan yang lebat mencurah, kami sekeluarga meranduk air banjir menuju ke pusat pemindahan. Berbekalkan lampu suluh sambil mendukung ‘si kecil Haikal’ saya melangkah perlahan, manakala isteri dan anak-anak membawa beg plastik berisi pakaian. Gerun dan cuak juga perasaan menghadapi suasana gawat ketika itu. Mujurlah beberapa keluarga lain turut sama berpindah, menambah sedikit rasa berani. Terdetik di fikiran saya, kalau suasana begini sudah menimbulkan kegerunan, bagaimana agaknya keadaan hari Kiamat yang dahsyat itu. Tentu tidak tergambar akan kedahsyatannya.

Di dalam satu hadis, Abdullah bin Umar ra. Berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang ingin melihat gambaran hari Kiamat hendaklah dia melihat surah at-Takwir, surah al-Insyiqaq dan surah al-Infithar, pada surah-surah tersebut tergambar dengan terang tentang hari Kiamat.” (at-Tirmidzi) 

Segala gambaran mengenai Kiamat tergambar dengan jelas melalui tiga surah tersebut. Ia seolah-olah suatu jendela bagi umat manusia memandang ke akhirat. Tentu sekali gambaran Kiamat tidak mungkin dilihat dengan mata, tetapi melalui ayat-ayat di dalam surah ini akan membukakan mata hati orang-orang yang beriman. Buka dan bacalah makna ayat-ayat di dalam surah ini, mudah-mudahan ia dapat memberikan kebaikan dan keinsafan dalam kehidupan ini. 

Tentunya peringatan ini lebih utama buat diriku...

Sunday 12 October 2014

Taman Syurga: KULIAH DHUHA


Alhamdulillah, berita gembira kepada yang berdekatan. Marilah sama-sama kita meluangkan masa untuk menghadiri taman syurga, majlis ilmu yang bertempat di Masjid Saidina Ali Bukit Sekilau. Majlis ilmu kuliah dhuha anjuran Yayasan Paksi Cawangan Pahang dan Masjid Saidina Ali Bukit Sekilau Kuantan diadakan  pada setiap hari Sabtu, bermula jam 9.00 pagi.  Senarai jadual adalah seperti berikut:

Sabtu Minggu 1 (Hadis)
Ustaz Khairul Azmi bin Ismail al-Hafiz
Kitab : Irsyad al-Qari (bi Syarhi Mukhtasar Sahih al-Bukhari)

Sabtu Minggu 2 (Tasawuf)
Ustaz Mohd Hafizuddin bin Hasan
Kitab : Bidayatul Hidayah

Sabtu Minggu 3 (Feqah)
Ustaz Nafis bin Azami al-Hafiz
Kitab : Safinah an-Naja

Sabtu Minggu 4 (Usuluddin)
Ustaz Dr Hasbullah bin Mohamad
Kitab : Raudhatul Jannah

Jangan lupa. Semarakkan majlis ilmu.

Thursday 9 October 2014

Tanamlah dirimu...

Foto hiasan (sumber)

Syair Imam Syafie
"Aku sayangkan orang soleh sekalipun aku bukan di kalangan mereka,
Mudah-mudahan, dengan mereka itu aku mendapat syafaat.
Aku benci orang yang jual belinya maksiat,
Walaupun kami sama-sama berniaga."

Imam Ahmad membalas syair Imam Syafie
"Engkau sayangkan orang soleh sedangkan engkau di kalangan mereka,
Dan engkau telah menambah untuk mereka itu kemuliaan dan kemegahan.
Engkau benci orang yang jual belinya maksiat,
Dan Allah telah memeliharamu daripada jual belinya."

Syaikh Ibnu Atho`illah berkata di dalam al-Hikam:
“Tanamlah dirimu di dalam tanah kerendahan, sebab tiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam, maka tidak sempurna hasil buahnya.” 

Tiada sesuatu yang lebih bahaya bagi seorang yang beramal, daripada menginginkan kedudukan dan terkenal di tengah-tengah masyarakat umum. Dan ini termasuk keinginan hawa nafsu yang utama. 

Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang merendah diri maka Allah akan memuliakannya, dan sesiapa yang sombong (besar diri), Allah akan menghinanya.” 

Ibrahim bin Adham berkata: “Tidak benar-benar bertujuan kepada Allah, siapa yang ingin masyhur (terkenal).” 

Ayyub assakh-Tiyany ra berkata: “Demi Allah tiada seorang hamba yang sungguh-sungguh ikhlas pada Allah, melainkan ia merasa senang, gembira jika ia tidak mengetahui kedudukan dirinya.” 

Mu`adz bin Jabal ra berkata, bersabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya sedikit riya` itu sudah termasuk syirik. Dan siapa yang memusuhi seorang waliyullah, bererti telah berperang kepada Allah. Dan Allah kasih sayang pada hamba yang taqwa, yang tersembunyi (tidak terkenal), yang bila tidak ada, tidak dicari, dan bila hadir, tidak dipanggil dan tidak dikenal. Hati mereka sebagai pelita hidayat, mereka terhindar dari segala kegelapan kesukaran.” 

Ali bin Abi Talib ra berkata: “Hendaklah kamu sentiasa merendah diri, jangan mencari kemasyhuran dan jangan membangga-banggakan kepintaran. Tetapi biasakanlah hidup tenang dan suka berdiam diri, nescaya kamu akan selamat dan disukai oleh kaum solehin.”

Tidak rugi merendah diri...

Wednesday 8 October 2014

Petua, cubalah...InsyaAllah

(kredit foto: FB)

Hari ini ketika membelek-belek laman FB, tersua dengan satu petua perubatan daripada Ustaz Sharhan Syafie.  Siapa yang tidak kenal dengan Ustaz Sharhan Syafie, seorang pengamal perubatan Islam yang banyak menulis buku mengenai perubatan Islam. Selalu juga kelibatnya di televisyen dalam slot-slot yang berkaitan.

Balik pada petua tersebut, hmm..nampak menarik. Petua untuk mengubati penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Penyakit tiga serangkai yang menjadi wabak bagi golongan berusia di Malaysia. Terasa ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat yang lain. Ini petuanya:

1 - Ambil sebiji kelapa muda yang berisi lembut (istilah orang kampung isi berhinggus).
2 - Kemudian ambil 3 batang serai yang diketuk
3 - 7 biji halba

Serai dan halba dimasukkan  ke dalam kelapa dan dipanaskan. Selepas itu diminum airnya. Amalkan selang sehari sebanyak 7 biji kelapa dihabiskan dalam masa 14 hari. Selamat mencuba. InsyaAllah. 

SHARE tip penting ini kepada rakan anda yang menghidap sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

 (Gambaran yang lebih jelas - kredit foto: FB)

Biografi ringkas Ustaz Sharhan Syafie:

Berasal dari kampung Air Merah, Machang, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan Air Merah kemudian menyambung pengajian ke sekolah Menengah Arab Syamsul Maarif. Seterusnya menyambung pengajian tinggi ke Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) . Selepas itu meneruskan pengajian ke Al- Azhar Kaherah Mesir selama 3 tahun. Di sana beliau memperdalamkan lagi ilmu perubatan Islam dengan tokoh terkenal iaitu Syeikh Wahid Adb Salam, kemudian menamatkan pengajian di Kolej INSANIAH Kedah.

Suami rimas didekati isteri

Soalan:

Saya sudah berbulan-bulan tidak tidur bersama suami kerana dia menjauhkan daripada saya. Setiap kali saya mendekatinya dia merungut “panas, rimas dan jauh daripada aku, aku tidak boleh mendekati kamu.” Apabila saya mengajaknya berubat dia enggan, sebaliknya mendakwa saya yang sakit dan perlu diubati. Ramai pengubat yang saya temui mengatakan suami saya disihir. Jika benar, apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini yang semakin genting. 

Jawapan:

Masalah dalam rumah tangga memang banyak. Salah satu daripadanya berkenaan kisah yang puan paparkan. Permasalahan sebegini banyak berlaku dan saya selalu diadukan hal-hal seperti ini. 

Ramai ahli perubatan mudah menyimpulkan dan mengaitkan masalah ini dengan sihir. Bagaimanapun saya sendiri tidak pandai untuk mengatakan bahawa suami disihir kerana saya tidak mengetahui perkara yang sebenar. 

Sebenarnya tiada orang yang boleh tahu ia adalah fenomena daripada sihir. 

Sihir memang wujud. Ia perkara ghaib. Nama atau istilah sihir itu sendiri bermakna sesuatu yang disembunyikan atau tersembunyi daripada orang ramai. 

Jika ia sihir, ia dilakukan secara sulit dan penuh rahsia. Jika ia rahsia, bagaimana para pengubat boleh mengatakan ia adalah sihir. 

Jika pengubat berkenaan memberitahu bahawa suami puan terkena sihir, maka ertinya dia mengetahui perkara ghaib. 

Saya pernah menjelaskan dalam ruangan ini sebelum ini, bahawa insan mana pun tidak akan mengetahui perkara yang ghaib kerana Allah berfirman (mafhumnya): "Katakanlah ‘Tiada sesiapapun mengetahui perkara yang ghaib sama ada yang menghuni langit atau bumi, melainkan Allah SWT sahaja...(hingga akhir ayat)." - Surah an-Naml ayat 65.

Firman Allah (mafhumnya): "Allah sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka ada yang dizahirkan keghaiban itu kepada sesiapapun.” - Surah al-Jinn, ayat 26. 

Dalam peristiwa lain dalam hadis sahih diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. disihir seorang Yahudi yang bernama Labeed bin al-A'ksam dan baginda sendiri tidak mengetahui disihir sehinggalah diberitahu oleh Jibril a.s. 

Jika Rasulullah s.a.w. sendiri tidak mengetahui disihirkan, bagaimana kita mudah-mudah mengetahui ada orang disihirkan? 

Oleh yang demikian saya berfikir kes puan ada kaitannya dengan permasalahan suami isteri. 

Ada kalanya saya bersetuju, apa yang dipaparkan ia ada kena mengena dengan sihir. Salah satu senario sihir seperti Firman Allah (mafhumnya): "...Dalam pada itu ada yang mempelajari ilmu sihir daripada Harut dan Marut, dengannya boleh menceraikan antara suami dan isteri...(hingga akhir ayat)." - Surah al-Baqarah, ayat 102. 

Ayat ini jelas menunjukkan wujudnya ilmu sihir dan antara perkara yang boleh berlaku adalah (dengan izin Allah) memusuh, melaga-lagakan sehingga mencerai beraikan suami isteri. 

Apa yang puan alami adalah kerengangan yang merosakkan fungsi perkahwinan. Seolah-olah telah hilang kemesraan dan kasih sayang sudah bertukar kepada permasalahan yang membawa keadaan yang tidak diingini. 

Kejadian seperti ini tidak semestinya daripada sihir perbuatan orang. Jika tidak kerana disihirkan pun, boleh terjadi kejadian sedemikian itu. 

Mungkin antaranya adalah kerana suami berpenyakit mati pucuk (sebagai contoh), dia malu memberitahu isterinya, lalu bersikap dingin, menyalahkan orang lain, kononnya dia disihirkan. 

Atau, suami hilang minat kepada isteri di atas kelemahan-kelemahan isteri yang suami tidak tahu untuk mengatasinya dan tidak mahu membincangkannya. 

Atau, kerana perangai-perangai isteri yang keterlaluan hingga menyebabkan suami menyampah terhadapnya. 

Atau dengan sebab-sebab lain seperti ada campur tangan pihak ketiga dan sebagainya yang menyebabkan suami hilang minat terhadap isteri, maka berlakulah perkara yang puan sebutkan tadi. 

Saya tidak bermaksud untuk meletakkan hal-hal yang sedemikian itu berlaku kepada puan. Saya sekadar ingin mengajak puan dan semua yang berlaku kes seumpama ini pada diri mereka, melihat dahulu faktor-faktor fizikal melanda kehidupan kita. 

Sekalipun berlaku apa yang puan sebutkan itu, maka ubatilah masalah itu dengan bersungguh-sungguh tanpa melabelkan ia perbuatan sihir. 

Ada kemungkinan bahawa hal seperti ini berlaku kerana gangguan syaitan yang tidak disuruh mana-mana atau dipergunakan ilmu sihir yang berinsusiasi dengan makhluk halus. 

Sememangnya syaitan itu musuh utama yang sentiasa berusaha memporak perandakan kehidupan anak Adam. Pun demikian tidak dikatakan sihir, walaupun tanda-tandanya semacam sihir. Jika mudah-mudah dianggap sebagai sihir, ia menimbulkan satu lagi penyakit iaitu sakit hati kepada orang yang buat sihir. 

Lebih malang lagi jika ada yang menuding jari 'si pulan itu membuatnya, si anu itu membuatnya' atau lebih teruk mendakwa jiran, kawan sepejabat atau orang terdekat melakukannya. Keparahan itu menyebabkan penyakit tidak terlerai, penyakit tidak disembuhkan. 

Apapun puan perlu cuba mengubati orang yang berpenyakit, cuba berjumpa orang yang diyakini boleh menolong, tiada penyakit yang tiada penawarnya. 

Sekurang-kurangnya puan dan suami berdoa ke hadrat Allah untuk disembuhkan, beramal dengan ayat-ayat al-Quran seperti yang tersebut dalam hadis-hadis sahih.

"Nabi menyuruh keluarganya beramal dengan membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas, ayat al-Kursyi dan lain-lain." (Hadis riwayat A'ishah r.anha) 

Atau puan dan suami boleh tambah membawa 11 ayat dalam Surah al-Baqarah, ayat 1, 2, 3, 4 dan 5, baca ayat 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286. 

Berbuatlah demikian, lakukan cara yang disarankan oleh syarak untuk mengubati penyakit suami puan. 

Wallahua'lam. 

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Sunday 5 October 2014

Salam Aidiladha 1435H


Assalamualaikum warahmatullah.

Dikesempatan yang ada ini saya ingin mengucapkan Selamat hari raya aidiladha kepada semua pengunjung pondok kecil ABUIKHWAN, sejujurnya saya amat berbesar hati dan menghargai sokongan dan kunjungan sahabat sekelian ke sini. Tiada yang lebih gembira melainkan setiap sahabat yang berkunjung dapat mencicip biarpun sedikit kebaikan dan manfaat yang ada.

Aidiladha datang kembali. Tanpa lagu raya, tanpa kuih raya, tanpa bazar menjual juadah, namun sambutannya tetap meriah. Meriahnya kerana ada ibadah korban yang disyariatkan untuk kita mengerjakannya. Kita mengenang kembali pengorbanan yang dilakukan oleh datuk kita Nabi Ibrahim Khalilullah. Tidak mudah untuk melakukan pengorbanan tersebut, namun atas ketaatan perintah Allah baginda akur dan patuh melakukannya. Mungkin kita tidak merasai apa yang dirasai oleh baginda kerana kita telah mengetahui babak akhirnya, bagaimana Allah SWT menggantikan dengan seekor kibas yang besar. Tetapi tidak bagi Nabi Ibrahim, baginda tidak mengetahui apakah taqdir yang Allah SWT tetapkan kepadanya. Di antara kasih sayang kepada anak dan perintah Allah, baginda memilih untuk tunduk kepada perintah Allah yang akhirnya melayakkan baginda mendapat gelaran Khalilullah.    

Firman Allah SWT: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar." (as-Saff: 102-107)

Oleh itu, para sahabat sekelian marilah kita menghayati dengan sebenarnya peristiwa besar ini. Kita hayati makna pengorbanan dengan petunjuk ar-Rasul. Jangan hanya kita membaca kisah korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as ke atas Nabi Ismail as, tetapi sekadar bacaan yang hanya terlepas di bibir mulut, namun tembusnya tidak sampai ke hati. 

Mudah-mudahan kita semua dipilih oleh Allah SWT menjadi hamba-Nya yang istiqamah dalam perjuangan agama-Nya serta sanggup berkorban tanpa mengira harta, masa, tenaga hatta nyawa sekalipun untuk melihat syariat Allah didaulatkan di dalam negara Malaysia yang tercinta ini.

Saturday 4 October 2014

Entry 1000 # Alhamdulillah, seronoknya semua ada

'Foto hiasan - Terminal Sentral Kuantan'

Alhamdulillah. 

Anak-anak semua sudah pun berada di rumah sempena cuti hari raya korban. 

Semalam anak sulung yang belajar di Jerantut selamat sampai di rumah. Biarpun tiba lewat malam kerana terlepas bas akibat terlambat bergerak dari sekolahnya. Sewaktu tiba di stesen bas Jerantut, bas sudah pun bertolak kira-kira 10 minit. Mujurlah bapa kepada rakannya di Jerantut tidak keberatan mahu menghantar beliau ke stesen bas Temerloh kerana tiket di Jerantut telah habis. Terpaksalah membeli tiket sekali lagi untuk pulang ke Kuantan. Tetapi tidak mengapa, yang penting selamat sampai. 

Manakala anak perempuan yang belajar di Kemaman, terlebih dahulu balik kerana negeri Terengganu mula bercuti pada hari Jumaat. Saya mengambilnya pada petang Khamis setelah tamat waktu persekolahan. Terpaksalah (sebenarnya bukan terpaksa) pula saya bercuti separuh hari untuk urusan itu. Tidak mungkin saya membenarkan dia balik sendiri dengan bas kerana suasana sekarang tidak memberi rasa percaya untuk berbuat demikian. Saya sentiasa menaruh kebimbangan. Tentunya bimbang dengan perlakuan jenayah hari ini. Macam-macam yang berlaku sehingga kadang-kadang tidak masuk dek akal. Biarlah bersusah sedikit mengambil dan menghantarnya asalkan tidak menyesal kemudian hari. 

Sudah tentu saat yang amat gembira ialah tatkala dapat berkumpul sekeluarga. Saya tahu sahabat-sahabat turut bersetuju dengannya. Dan tidak dapat disangkal hari raya adalah waktu yang paling sesuai untuk mengiakannya. Tidak kisahlah raya aidilfitri atau raya korban, yang penting dapat berkumpul. Gembira benar Acik dan juga si ‘kecil Haikal’, dapat berjumpa abang dan kakaknya. Abi dan ummi pun turut gembira. Bermacam-macam cerita di sekolah yang di bawa balik oleh keduanya itu. Saya dan isteri terhibur mendengarnya. Alhamdulillah, penyejuk mata dan hati.. 

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” (al-Furqan: 74)

PANDUAN QURBAN, AQIQAH DAN KHITAN - IBADAH YANG AMAT DIGALAKKAN


Tajuk : PANDUAN QURBAN, AQIQAH DAN KHITAN - IBADAH YANG AMAT DIGALAKKAN
Penyusun : Muhammad Husnan Karim
Penerbit : Berlian Publications Sdn Bhd
Mukasurat : 256
Harga : RM14.00

Dalam buku ini dihuraikan secara terperinci segala masalah yang berkaitan dengan tiga bentuk amalan yang telah menjadi kelaziman kaum muslimin dari dahulu hingga sekarang. Tiga ibadah yang kami maksudkan ialah: ibadah qurban, aqiqah dan berkhitan. Walaupun ketiga-tiga ibadah ini sunat hukumnya, tetapi ketiga-tiganya mempunyai hikmah yang besar dan ganjaran yang hebat.

Benar, mereka mengkhitankan anak-anak mereka, tetapi hal itu mereka lakukan tidak disertai dengan penghayatan terhadap makna khitan. Mereka merasa cukup dengan membawa anak mereka ke klinik dan membayar upah sekian ringgit, lalu selesai. Mereka tidak pernah mencuri tahu makna apa yang ada di sebalik khitan itu, sehingga mereka tidak peduli dengan aspek spiritual dan sosial dari berkhitan itu.

Demikian pula halnya dengan aqiqah. Bahkan mungkin ada sesetengah orang yang menganggap aqiqah sebagai sesuatu yang melanggar prinsip ekonomi, sebagai penghamburan wang untuk sesuatu yang tidak nyata manfaatnya. Atau ada pula orang malah mengganti aqiqah itu dengan berpesta ria menyambut kelahiran bayi yang tidak boleh kita temukan dasarnya dalam agama.

Buku ini disusun berdasarkan keperluan praktikal tersebut. Yakni di samping memberi gambaran tentang berkhitan dan aqiqah juga seboleh mungkin mengungkap hikmatut tasyri' berkhitan dan aqiqah. Namun demikian, kami berusaha untuk tidak melupakan dimensi keilmuan dengan tetap menampilkan khazanah pemikiran Islam dalam masalah berkhitan dan aqiqah. - Penyusun 

KANDUNGAN BAHAGIAN 1: SEJARAH QURBAN
- Asal-Usul Qurban
- Qurban Pada Masa Nabi Adam A.S.
- Qurban Pada Masa Nabi Ibrahim A.S.
- Qurban Pada Masa Nabi Musa A.S.

TUJUAN BERQURBAN

BAHAGIAN 2: QURBAN, FADHILAT DAN HUKUMNYA
- Pengertian Qurban
- Fadhilat Berqurban
- Hukum Berqurban

HAIWAN QURBAN
- Buta Sebelah Matanya
- Pincang
- Sakit
- Kurus
- Berkudis
- Taula'
- Tanggal Giginya

MENUNGGANG HAIWAN QURBAN PENYEMBELIHAN
- Dasar Penyembelihan
- Rukun Dan Syarat Menyembelih
- Waktu Penyembelihan
- Hal-Hal Yang Disunatkan Ketika Menyembelih
- Alat Menyembelih
- Penyembelihan Dengan Alat Moden
- Sembelihan Janin

DAGING QURBAN

BAHAGIAN 3: BEBERAPA KEMUSYKILAN TENTANG QURBAN
- Haiwan Yang Boleh Dijadikan Qurban
- Manakah Yang Lebih Afdhal?
- Haiwan Qurban Yang Gemuk, Cantik Dan Bertanduk
- Boleh Berqurban Dengan Haiwan Jantan Atau Betina
- Haiwan Qurban Tidak Boleh Yang Bercacat
- Umur Haiwan Yang Dapat Dijadikan Qurban

BAHAGIAN 4: MATLAMAT BERQURBAN
- Dasar Berqurban
- Mengikhlaskan Niat Kerana Allah
- Haiwan Qurban Yang Memenuhi Syarat
- Tidak Mencukur Bulu Dan Tidak Memootong Kuku
- Menyembelih Mengikut Syariat
- Cara Menyembelih Qurban
- Dilarang Menjual Daging Qurban
- Berbuka Puasa Dengan Daging Qurban

BAHAGIAN 5: BILANGAN HAIWAN QURBAN
- Satu Qurban Untuk Satu Keluarga
- Qurban Atas Nama Orang Yang Sudah Mati
- Qurban Gotong Royong
- Berqurban Dengan Cara Menabung

BAHAGIAN 6: AQIQAH
- Pengertian Aqiqah
- Dalil Disyariatkan Aqiqah
- Hukum Aqiqah
- Haiwan Untuk Aqiqah
- Pesta Aqiqah

BAHAGIAN 7: 'ATIRAH, FARA' DAN NAZAR
- Pengertian 'Atirah
- Pengertian Fara'
- Hukum Penyembelihan 'Atirah Dan Fara'

NAZAR
- Pengertian Nazar

BAHAGIAN 8: BERKHITAN
- Pengertian Khitan
- Dalil Pensyariatan Berkhitan
- Hukum Berkhitan
- Yang Dipotong Ketika Mengkhitan Anak Lelaki
- Yang Dipotong Ketika Mengkhitan Anak Perempuan
- Waktu Berkhitan
- Orang Yang Mengkhitan
- Pesta Berkhitan

BAHAGIAN 9: HIKMAH BERQURBAN SETIAP PERISTIWA BERLAKU ADA HIKMAHNYA
- Qurban Yang Dibakar
- Qurban Penebus Dosa
- Qurban Untuk Keselamatan

BAHAGIAN 10: HIKMAH AQIQAH DAN BERKHITAN

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Friday 3 October 2014

Salam Jumaat: 10 perkara sia-sia

Seorang ulama, Sufyan at-Thauri pernah memberi nasihat mengenai 10 perkara yang termasuk dalam sesuatu yang sia-sia:

1 - Lelaki atau wanita yang berdoa untuk dirinya sendiri, tetapi tidak memohon doa untuk ibu bapanya dan kaum Muslimin.

2 - Orang yang kerap membaca al-Quran, tetapi tidak membaca secara tertib sampai seratus ayat setiap hari.

3 - Lelaki yang masuk ke dalam masjid, kemudian dia keluar dari masjid itu tanpa mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid.

4 - Orang yang melewati tanah perkuburan tetapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan roh mereka.

5 - Lelaki yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian ia keluar dari kota tersebut tanpa mengerjakan solat Jumaat berjemaah.

6 - Lelaki atau wanita yang tinggal di suatu lingkungan dengan seorang ulama tetapi dia tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.

7 - Dua orang laki- laki yang bersahabat, tetapi mereka tidak saling bertanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.

8 - Lelaki yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tetapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamu itu.

9 - Orang muda yang membiarkan zaman mudanya berlalu begitu sahaja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.

10 - Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang ia sendiri makan kekenyangan di dalam rumahnya.      
Ringkasan biografi Imam Sufyan at-Thauri:

Sufyan Ats-Tsauri bernama lengkap Sufyan bin Sa'id bin Masruq bin Habib bin Rafi' bin Abdillah, dan dipanggil pula dengan sebutan Abu Abdillah Ats-Tsauri. Dilahirkan di Kufah pada tahun 96 H bersamaan dengan tahun 716 M. Manakala wafat di Bashrah pada bulan Sya'ban tahun 161 H,  bertepatan dengan tahun 778 M. Dia tercatat sebagai salah seorang tokoh ulama di masanya. Imam dalam bidang hadis, juga bidang keilmuan lainnya. Terkenal juga memiliki peribadi yang wara' atau sangat hati-hati, zuhud, ahli fikih dan dinilai setara dengan para imam fikih yang empat: Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi'i, dan Imam Ahmad bin Hambal. (wiki)

Wednesday 1 October 2014

Syafakallah duhai sahabatku...bersabarlah

Insaf! 

Mungkin itulah kalimah yang tepat dapat saya gambarkan perasaan ketika ini. Ia bukan suatu yang dibuat-buat tetapi memang benar-benar dirasai.

Semalam saya menyertai beberapa rakan mewakili jabatan, menziarahi seorang sahabat yang terlantar di hospital. Beliau telah pun dua bulan bercuti sakit. Manakala semalam genap seminggu menjalani pembedahan kedua setelah pembedahan pertama yang memakan masa selama 13 jam, mengalami masalah kerana terdapat kebocoran pada ususnya di bahagian yang disambung. Ngeri juga mendengarnya. Selang tiga hari pembedahan kedua terpaksa dilakukan. Ibarat kata kesan bius pun belum hilang sepenuhnya, terpaksa merelakan diri ditolak ke bilik bedah sekali lagi.

Terkejut saya melihat susuk tubuhnya. Jelas sekali dia agak kurus berbanding sebelum ini. Dua tiga wayar berselirat bersambung ke tubuhnya, manakala ususnya pula terletak di luar perut. Ia seakan menceritakan betapa seriusnya penyakit yang dihidapi.

“Nanti kena ‘operation’ sekali lagi, nak masukkan semula usus ni.” Katanya perlahan tetapi masih mampu menguntumkan senyuman.

“Hmm, tabah sungguh sahabat ini.” Saya berkira-kira di dalam hati.

Ujian kesakitan


Kita semua menginginkan kesihatan yang baik. Tanyalah sesiapa pun, jawapan tetap sama: “Kami tidak mahu sakit.”

Kesihatan adalah di antara nikmat yang tidak terperi. Ia bagaikan kehidupan itu sendiri. Harganya terlalu mahal, bahkan tidak mampu dibayar oleh sekaya mana orang pun. Kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik. Ya, bagaimana mahu berseronok dengan kehidupan jika tiada kesihatan yang baik. Bayangkan, makanan yang lazat, tilam yang empuk dan harta yang banyak, apakah ia memberi makna? Sudah tentu tidak. Lazimnya nikmat sihat dirasai berharga apabila ditimpa sakit.

Sesetengah golongan solehin adakalanya waktu sakit menjadi saat yang paling subur untuk beribadah kepada Allah. Mereka tahu bahawa ujian kesakitan yang dihidapi adalah peringatan dan pelajaran yang disampaikan ‘direct’ kepada mereka, lalu mereka bersyukur dengan kesakitan itu. Bahkan mereka sentiasa merasakan ujian kesakitan tersebut, adalah waktu Allah sedang mengambil tahu hal keadaan mereka. Oleh itu, mereka akan beribadah dengan sekhusyuk dan sebanyak mungkin kerananya.

Sebaliknya bagi sesetengah orang awam, ketika sakit adalah ruang alasan untuk meninggalkan ibadat. Ramai yang begini. Apalah yang mahu diharapkan tatkala badan sedang sakit, yang pasti kemalasan mula menguasai diri. Lantas ibadah yang fardhu banyak yang tertinggal atas alasan ‘SAKIT’. Mudah-mudahan kita semua dilindungi daripada keadaan ini. Allahu al-musta`an.

Syafakallah duhai sahabatku...

Cukuplah kesakitan itu sebagai pengajaran dan peringatan kepada sesiapa yang mahu berfikir...