Sahabat Sejati

Friday 27 February 2015

Alhamdulillah, nikmat rezeki malam ini...


Alhamdulillah, rezeki malam ini untuk dicicip bersama ummu Ikhwan dan juga si ‘kecil’ Haikal. Nasi mandy, kambing basah, ayam bakar dan sambal. Tidaklah terlalu mewah, bahkan semuanya serba sedikit. Mudah-mudahan padanya terkandung keberkatan yang sering didamba. 

Allah ar-Razzaq, Dia yang memberi rezeki. Dia juga yang menciptakan rasa enak dan rasa kenyang. Tentunya, kerana ada orang yang di hadapannya segala macam jenis lauk-pauk yang baik dan hebat, tetapi lidahnya tidak enak berbanding orang yang hanya makan satu dua mata lauk tetapi ia lebih enak dan selesa makannya. 

Kata Buya Hamka: “Lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmat-Nya.” 

Ya, lihatlah nikmat Allah yang amat luas itu. Dengan lafaz ‘Bismillah ar-Rahman ar-Rahim’, maka terkandung sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tanpa kasih sayang Allah kita tidak akan mampu menyuap makanan ke mulut, biarpun ia berada di depan mata. Kita tidak akan mampu mengunyah, menelan dan merasai lazatnya makanan jika tiada kasih sayang Allah. 

Maka ucapkanlah ‘Bismillah ar-Rahman ar-Rahim’ dalam setiap pekerjaan yang dilakukan kerana mengharapkan pertolongan Allah yang bersifat dengan Maha Pemurah dan Maha Penyayang itu. 

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk beribadat dengan rezeki yang Engkau anugerahkan. Jadikanlah kami sentiasa bersyukur dengan limpahan nikmat yang tidak pernah Engkau surutkan, sedangkan ia jarang sekali kami panjatkan dalam doa. Ya Allah, jauhkanlah kami dari mengkufuri segala nikmat pemberian-Mu, sedangkan kami tidak berdaya menahannya, melainkan dengan pertolongan-Mu jua. 

Aminn ya Rabbal `alaminn..

Rehat Minda: Pesan Murabbi 14

Salam Jumaat..


"Kita tanam lada, 40 hari dapat hasil, boleh jual. Tanam terung, dua tiga bulan dapat hasil. Tapi keuntungan tidak besar kerana itu hanya projek kecil-kecilan. Jika projek yang lebih besar seperti tanam getah, bukan 40 hari tetapi memakan masa bertahun. Semakin besar projek tersebut, semakin besar untungnya. Demikianlah juga pahala yang merupakan projek paling besar. Untungnya sangat besar jadi padanlah dengan menunggunya begitu lama iaitu selepas mati baru dapat hasil..." 
(Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)

Wednesday 25 February 2015

Bicara santai: Damai desaku


“Malasnya nak balik esok,” saya mengomel sendirian seraya menguak daun jendela. Angin sejuk berlumba-lumba menerobos masuk. Saya memeluk tubuh, dinginnya terasa menguasai kulit. Cahaya malap bulan malam 2 Jumadil Awwal tersimbah di wajah. Dalam kedinginan malam, hati saya digigit rasa sayu. Ada sesuatu yang menyentuh perasaan. 

Anak-anak sudah lama dibuai mimpi. Keletihan barangkali, berkejaran di laman hijau siang tadi. 

Masih basah di ingatan, bilik inilah dulu saya dan abang-abang bergurau dan bergaduh sementara menanti mata terlelap. Seorang menolak, seorang lagi menepis. Sesekali kaki tertampan ke dinding. 

“Diam!” Jerit emak dari bilik sebelah, dan kami terdiam. Tersengih di dalam gelap, melayan hari-hari remaja menuju dewasa. 

Semuanya sudah lama berlalu. Emak dan ayah saya telah pun tiada, begitu juga abang sulung yang telah mendahului. Kini yang tinggal hanyalah rumah pusaka yang juga semakin sepi dan usang dimamah waktu. Namun rumah ini sentiasa mendamaikan hati yang resah. 

Allah jua yang mengetahui betapa sejuknya hati dapat pulang ke desa. Bertemu sanak-saudara dan handai taulan. Menyantuni pakcik-pakcik dan atuk-atuk yang semakin uzur menghitung usang masa. 

3 hari berada di desa bagaikan tidak mencukupi. Masih banyak lagi ceruk yang tidak sempat dijelajah. Melihat pepohon kelapa yang seperti melambai-lambai, juga rumpun buluh menghijau dan semilir rimba yang memupuk mesra. Bau rumput yang baru dipotong serta bau asap dedaun kering yang dibakar, maka saya menjadi lupa kepada kesibukan dan kekalutan hutan batu. 

Tatkala menyusuri lorong dan denai yang pernah menjadi tempat permainan dahulu, seakan saya seperti dapat melihat, diri saya berdiri di setiap sudut rantaunya. Ah, merista zaman itu menjadikan saya tersenyum sendirian. Semuanya adalah sebahagian perjalanan hidup yang pasti menjadi kenang-kenangan. 

Ingin rasanya menyambung kembali cuti agar dapat menetap lebih lama lagi. Berehat dan bersantai semahunya. Melupakan kebingitan dan meredakan resah jiwa dengan kemelut 1001 macam perlumbaan hidup hari ini. 

Tetapi tatkala memikirkan tugas dan komitmen yang sedang menunggu, ternyata ia bukanlah satu keputusan yang bijak dan terbaik. Allah tidak menjadikan kita untuk membatukan diri di zon selesa. Kita adalah khalifah yang mempunyai peranan dan sumbangan diri. Setidak-tidaknya khalifah kepada diri dan keluarga. 

Kepulangan kali ini cuma 3 hari, insya-Allah nanti kami akan pulang lagi.

Saturday 21 February 2015

Bolehkah berlaku sesuatu ilmu itu menyebabkan suami isteri boleh membenci antara satu sama lain?

Soalan:

Kakak saya telah mendirikan rumahtangga dengan pilihannya sendiri tanpa restu ibu bapa kerana akhlak bakal suaminya tidak sesuai dengan kakak saya. Tidak lama selepas berkahwin, berlaku perselisihan yang membawa kepada perceraian. Keluarga sebelah bekas abang ipar, menuduh ibu bapa saya menjadi punca perceraian. Mereka menuduh ibu bapa saya membuat ilmu pembenci sehingga kakak bercerai. Bolehkah berlaku sedemikian? Apakah nasihat untuk kami sekeluarga, khasnya keluarga sebelah bekas abang ipar saya. Terima kasih.

Jawapan:

Perkahwinan dalam Islam adalah suatu amalan sunnah. Dituntut oleh syarak kepada yang hendak mendirikan rumah tangga, hendaklah memenuhi beberapa kriteria utama. 

Junjungan besar Nabi Muhammad saw menyebut kriteria yang patut ada pada suami mahupun bakal isteri. Biasanya dikahwini seorang perempuan itu kerana ada empat kriteria utama, rupa paras yang cantik; keturunan yang mulia; harta benda yang mencukup dan keagamaan serta akhlaq yang sempurna. Dalam hal ini Nabi menyebut, "Pilihlah yang beragama, berakhlak dengannya kamu memperolehi untung." 

Daripada senario yang disebut dalam soalan, jelas bahawa bakal suami kakak saudari, bahawa akhlaknya tidak secocok dengan bakal isteri. Di sinilah punca letaknya kufu atau kafaa'ah yang disebut dalam kitab fekah sebagai salah satu daripada kriteria yang patut dipenuhi. 

Di samping mengutamakan kriteria keagamaan dan akhlak, keredaan atau restu ayah dan ibu amat-amat diperlukan. Kalau perkahwinan yang ketara tidak secocok kerana akhlak dan ibu ayah pula tidak merestuinya, sepatutnya tidak dilangsungkan. 

Sebabnya Rasulullah saw pernah bersabda (yang bermaksud),"Keredhaan Allah ada bersama dengan keredhaan kedua ibu bapa." 

Apabila ibu bapa tidak redha, maka dibimbangi akan berlaku uquq iaitu derhaka kepada ibu bapa. Allah SWT akan berada bersama dengan keredhaan ibu bapa. Jika keduanya tidak redha, maka Allah juga tidak redha. 

Perkahwinan yang sebegini, besar kemungkinan mengundang padah, atau setidak-tidaknya boleh menjadi salah satu faktor yang membawa kepada ketidakdamaian. Mungkin juga akan membawa kepada porak peranda yang berakhir dengan perceraian. 

Meskipun kita ketahui ada perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa tetapi mereka mendapat kebahagiaan dan beranak pinak. 

Tetapi yang mustahak sekali adalah fakta keagamaan. Bagi kes-kes tertentu ibu bapa tidak restu kerana faktor kedudukan kewangan bakal suami sepadan, atau keturunannya tidak secocok atau tidak sepadan, tanpa mengambil kira faktor yang utama dalam kes kufu ini adalah agama dan akhlak. 

Jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah, maka perpisahan juga termasuk dalam Qada' dan Qadar Allah SWT. Apabila berlaku perceraian, biasanya orang suka melihat kepada kelemahan atau sebab musabab yang menjadi punca ia berlaku. 

Bagi kes yang saudari bawa ini, dituduh pula ia adalah angkara ibu bapa saudari, maka saya ingin menasihati dalam perkara yang sebesar ini, agar tuduh menuduh, syak mengesyaki, buruk sangka kepada seseorang adalah sifat-sifat yang dikeji oleh syarak. 

Tidak sepatutnya insan mudah meletakkan punca perceraian kerana ada orang atau pihak yang melakukan sesuatu ikhtiar atau ilmu pembenci. 

Kita harus akui, memang perceraian akan bermula daripada krisis. Ia berlaku dari sekecil-kecilnya sehingga kepada yang besar. Krisis akan menimbulkan kebencian, hilang rasa sayang, lenyap rasa kasih yang timbul hanyalah permusuhan. 

Ia boleh berlaku secara tabie, di mana tidak secocok akhlak suami dengan akhlak isteri. Ataupun dengan kata lain isteri lebih kuat berpegang kepada agama, suami tidak sedemikian. 

Maka dengan sendiri apabila isteri yang lebih kuat berpegang dengan agama dalam sesuatu perkara, tidak disukai oleh suami yang tidak berpegang kepada hukum agama. 

Ianya adalah sistem nilai yang berbeza antara orang yang taat kepada Allah berbanding dengan orang yang tidak suka kepada perkara-perkara agama. Di sinilah akan berlaku pertembungan yang akan berakhir dengan perceraian. 

Ini fakta fizikal yang saya rasa lebih dekat dengan kes yang saudari bawa, maka saya fikir tidak wajar dituduh mana-mana pihak melakukan ikhtiar yang meruntuhkan sesuatu rumahtangga. 

Bagaimanapun hal ini telah berlaku, saya fikir kita harus mencari jalan damai. Jodoh setakat itu sahaja, mana tahu jodoh itu akan bersambung pada masa akan datang. 

Kerana itu maka tidak elok menyalahkan antara satu sama lain dan melemparkan tuduhan, lebih-lebih lagi jika tuduhan itu tepat dengan apa yang berlaku, ianya hanya mengundang perselisihan dan permusuhan. Kembalilah kepada prinsip asal sesungguhnya umat Islam itu bersaudara. 

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Friday 20 February 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 13

Salam Jumaat..


Biasakan lidahmu menyebut:
"Ya Allah ampunilah aku..."
Sesungguhnya bagi Allah ada beberapa waktu yang tidak ditolak doa hamba-Nya.

Wednesday 18 February 2015

Taubat Pasport Ke Syurga


Wahai insan yang tidak sempurna, bersihkanlah noda yang ada. Mohon hanya pada Yang Berkuasa. Titiskan air mata penyesalan sepenuh jiwa. Menginsafi khilaf diri seikhlas rela. Dunia sekadar pinjaman semata-mata. Tiada yang kekal melainkan DIA. Moga husnul khatimah sebagai pengakhiran hidup kita.

Astaghfirullahalazim… pastikan lisan kita sentiasa dibasahi dengan kalimah ringkas ini. Hikmahnya berupaya menggugurkan sekecil-kecil dosa sehinggalah yang besar, andai bertepatan dengan syarat di samping keinsafan berterusan. Biarpun dosa menggunung, godaan nafsu sukar terbendung, namun rahmat dan kasih sayang Yang Maha Agung… tiada siapa dapat menghitung. 

Taubat Pasport ke Syurga menjadi panduan buat kita yang sering alpa. Tuntutan taubat nasuha menyucikan karat-karat dosa yang meliputi diri kita. Hanya dengan bertaubat, hati akan menjadi tenang dan jiwa kembali ke jalan kebenaran. Moga seikhlas amalan memberi jaminan kita menempah tiket sebagai penghuni syurga yang abadi. Insya-ALLAH… 

Tajuk : Taubat Pasport Ke Syurga
Penulis : Drs Hj Hanafi Mohamed
Penerbit : Alaf 21
Harga: RM11.00
Mukasurat : 200

ANTARA YANG MENARIK: 
Keutamaan Istighfar: 

Kisah-kisah Pengajaran 
Dosa yang Wajib Taubat 
Ruginya Tidak Bertaubat 
Taubat Penyembuh Dosa
Istighfar Para Nabi dan Rasul 
Syarat-syarat Diterima Taubat 
Kesan Dosa Dalam Kehidupan 
Mengapa Kita Wajib Bertaubat? 
Mengapa Kita Melakukan Dosa?

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan"

Saturday 14 February 2015

Kempen: Saya tidak menyambut HARI VALENTINE

Sumber foto: FB Aman Palestin

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keterangan/Hujah:

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah saw:

من تشبه بقوم فهو منهم
 “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” ( Riwayat Abu Daud)

Rasulullah saw juga bersabda:

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang. 

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-menyambut-perayaan-valentines-day

Friday 13 February 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 12

Salam Jumaat..


Bahagiakanlah orang yang kamu kasihi... sebelum kamu tangisi perpisahannya.

#Mood: Hari yang suram...

Berehatlah wahai murabbi ummah

 (sumber foto: FB)

Jam 9.45 malam tadi, telah berangkat ke rahmatullah Murabbi Ummah yang melakar sejarah agung di negeri Kelantan Darul Naim, Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Tepat 12 Februari 2015 bersamaan tarikh kematian pengasas Ikhwanul Muslimin, Hassan Al-Banna yang ditembak mati pada tarikh 12 Februari 1949. 

Berangkatlah menuju Tuhanmu dengan tenang wahai sang murabbi yang telah melahirkan ribuan kader politik dan dakwah sepanjang hayatnya. 

Allah SWT jua yang menjadi saksi terhadap jasa-jasamu di negeri Kelantan nan bertuah ini. Perjuangan tanpa penat dan lelah membangunkan negeri jolokan 'Serambi Mekah' bersama Islam telah menjadi model pentadbiran di seluruh negara. 

Berehatlah sang murabbi yang dirindui, berehatlah, sehingga tibanya waktu dibangkitkan kembali. Mudah-mudahan bersua lagi di akhirat nanti. Titipan doa dan harapan agar di dalam rahmat Allah jua dirimu dinaungi. Nasihat dan tunjuk ajar dalam bicara dakwahmu tidak sekali-kali dilupai..... 

Al-Fatihah, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (10 Januari 1931 – 12 Februari 2015)

Thursday 12 February 2015

Ia adalah masa!


Mari kita berbicara tentang makhluk Allah yang istimewa ini. Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban dan kehebatan ciptaan-Nya. Ia terus berputar tanpa ada makhluk yang dapat menahannya. Sekiranya matahari dan bulan berhenti, masa tetap berjalan sehingga sampai detik ia dihentikan Allah SWT. 

Di dalam al-Quran, banyak ayat yang Allah SWT bersumpah dengan peringatan masa. Allah SWT menyebut di antaranya : 

“Demi waktu asar.” 
“Demi waktu dhuha.” 
“Demi waktu fajar.” 
“Demi waktu malam apabila ia telah gelap.” 
“Demi waktu siang apabila ia telah terang benderang.” 

Ia adalah masa! 

Kita dicipta dan diletakkan dalam perjalanan masa. Tiada siapa yang yang mampu memutarkannya ke belakang. Tidak mungkin! Apabila masa telah berlalu maka banyak perubahan yang terjadi. Yang muda akan menjadi tua, yang cantik mulai menjadi kusam. Yang gagah menjadi lemah, yang baru akan menjadi buruk. Manakala sesuatu yang disayangi maka akan beransur-ansur tidak diendahkan. Setelah ia berlalu maka yang tinggal hanya menjadi sejarah dan kenangan yang sesekali diingati. Demikianlah ajaibnya makhluk yang bernama masa ini. 

Masa bukanlah seperti botol plastik, bukan seperti lembaran-lembaran kertas. Tiada istilah kitar semula atau guna semula. Sesungguhnya masa akan terus bergerak dan ia tidak akan pulang kembali setelah ia berlalu. Apabila masa mengucapkan selamat tinggal, maka ia benar-benar memaksudkannya. Kerugian masa ialah kerugian yang sebenarnya. Kita tidak akan mendapati masa yang sama jika ia telah terlepas. Analoginya mudah, ibarat kita mencelupkan kaki ke dalam sungai, maka tatkala kita mengangkat kaki, aliran itu telah pun berlalu. Jika kita mencelupkan kaki sekali lagi, maka ia adalah aliran yang lain pula. 

Berkata seorang ahli hikmah:
“Barangsiapa yang meneliti dan memikirkan dunia ini sebelum dia dilahirkan, dia mendapati ia adalah suatu masa yang panjang. Maka apabila dia meneliti dan berfikir pada dunia ini selepas dia keluar daripadanya, dia mendapati ia adalah suatu masa yang panjang. Dan tentu dia mengetahui tinggal di alam kubur adalah suatu masa yang panjang. 

Maka apabila dia berfikir kepada hari akhirat tentu dia sudah mengetahui ia adalah suatu masa yang panjang. Dan apabila dia berfikir dan meneliti kedudukan menetap di syurga atau di neraka Jahanam tentu dia mengetahui ia adalah abadi dan tidak akan berakhir.” 

Satu kisah motivasi.. 

Saya teringat satu kisah yang pernah saya baca. 

Seseorang berkata kepada seorang tokoh tabi’in iaitu 'Amir bin Abdi Qais: "Bercakaplah denganku..." Lalu 'Amir bin Abdi Qais menjawab: "Peganglah matahari." 

Maksud beliau, "Hentikanlah pergerakan matahari dan sekatlah ia daripada terus bergerak, barulah aku akan bercakap denganmu." 

Betapa ia tidak mahu ada waktu tersia-sia! 

Imam Ibnu Rajab al-Hambali rah. ketika menulis biografi Ibnu Uqail berkata: ”Ibnu Uqail memiliki banyak karya dalam berbagai disiplin ilmu. Karyanya yang paling besar adalah kitab ‘Al-Funun’ yaitu kitab yang besar sekali.” Al-Hafiz Az-Zahabi rah. berkata: ”Tidak pernah ditulis di dunia ini yang lebih besar dari kitab ‘Al Funun’. Saya diberitahu oleh orang yang pernah melihatnya milik seseorang, kitab ini lebih dari 400 jilid.” Ibnu Rajab rah. menambahkan: ”Sebahagian orang menyebutkan kitab Al-Funun terdiri dari 800 jilid.” 

‘Al-Funun’ merupakan sebuah ensiklopedia yang memuatkan berbagai ilmu yang sangat berharga. Terdapat di dalamnya berbagai macam nasihat, tafsir, fiqih, ushul fiqih, aqidah, bahasa Arab, sya’ir, sejarah, bahkan juga hikayat. Kitab ini hanya salah satu karya beliau selain mempunyai karya-karya lain yang sangat banyak. 

Isilah masa dengan sebaiknya 

 
Kisah ini benar-benar memotivasikan. Saya melihat disiplin dalam kehidupan dan bijak mengatur masa ialah kunci kejayaan para ulama terdahulu. Ditambah pula dengan keberkatan waktu yang dikurniakan oleh Allah, maka terhasil satu keajaiban yang jarang mendapat perhatian manusia melainkan bagi mereka yang meneliti. 

Kesibukan yang melanda bukanlah satu alasan yang bijak untuk saya berhenti menulis. Menulis dan berkongsi apa sahaja yang baik adalah di antara keberkatan masa. Untuk itu saya akan terus menulis untuk mengisi masa yang terluang agar ianya bernilai di sisi Allah SWT. 

Bagaimana agaknya Ibnu 'Aqil Al-Hanbali mampu mengarang kitab Al-Funun yang tersangat besar kuantitinya? Jumlah keseluruhannya memenuhi sebuah perpustakaan!

“Mungkinkah tempoh satu hari bagi Ibnu 'Aqil melebihi 24 jam?” 

Mungkinkah? 

"Bercakaplah denganku..." 

"Peganglah matahari." 

Kata Imam Hasan Al-Banna: "Masa itu kehidupan." 

Hargai masa... Ia akan terus pergi dan pergi, biarpun kita menyayanginya dan berharap ia menunggu kita. 

Andai ku mampu menghentikan pergerakanmu sang mentari, getus hati kecilku...

Wednesday 11 February 2015

Cetusan rasa: Allah sebaik perancangan, "janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata.."


Berterusan pula hujan yang turun. Dari pagi semalam membawa ke santak tengahari ini. Alhamdulillah, mujur renyai-renyai sahaja, kalau lebat saya rasa akan ada tempat yang dinaiki air. Jauh di sudut hati, harap-harap tidak begitu. Bukannya apa, jika boleh tidak mahu berlaku bah kali kedua. Banyak kesulitan dan kesukaran yang akan dihadapi. Tetapi jika berlaku juga banjir, apa yang boleh dilakukan, terima sahajalah dengan berlapang dada. 

Setiap yang berlaku termasuk di dalam pengetahuan-Nya yang azali. Segala urusan di bawah pentadbiran-Nya. Kita selaku hamba hanya menerima dengan pasrah dan redha. Apa sahaja yang berlaku pasti ada kebaikan yang tersembunyi, demikianlah pujukan hati agar tidak berkeluh kesah dengan ujian atau musibah. 

Di dalam kuliah maghrib semalam, ustaz telah membacakan satu doa yang sangat menarik hati saya. Doa yang diajarkan oleh junjungan mulia Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam an-Nasaie: 


“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata.” (Riwayat an-Nasaie, dinilai sahih oleh al-Albani). 

Tersentuh dengan maksud doa ini. 

Benar, dalam kita mengharungi kehidupan seharian, pasti akan ada masa-masa yang mendatang bersama cabaran dan kepayahan. Kadang-kadang jika kita bergantung dengan kemampuan sendiri, kita merasakan kita boleh menghadapinya. Namun, sebenarnya kita tidak mampu menempuhinya walaupun sedikit. Mungkin kita telah membuat perancangan serapi mungkin, yang pada kita adalah perancangan yang hebat. Namun siapa tahu pada pandangan Allah, ia adalah sebaliknya. 

Kepada Allah jua tempat pergantungan. Jika Allah SWT yang merancang dan menguruskan perjalanan hidup kita, maka ia akan menjadi cantik dan indah sekali, walaupun pada mulanya kita melihat ia seperti tidak baik. Tentunya begitu, tidak mungkin Allah mahu menzalimi hamba-Nya sedangkan Dia bersifat dengan Maha Pemurah dan Penyayang. 

Doa ini amat besar maknanya. Ia menggambarkan kebergantungan dan pengharapan yang amat tinggi kepada Tuhannya. Tidakkah dengan menghayati dan menghadam doa ini akan datang rasa sakinah dan tawakkal yang tinggi kepada-Nya? 

Bukanlah doa ini menyuruh kita duduk menupang dagu selepas membacanya sambil menunggu-nunggu pertolongan Allah. Tidak begitu! Kita wajib merancang dan berusaha kerana ia juga termasuk dalam perintah Allah. Walhal, biarlah kita fahami bahawa perancangan dan usaha kita hanya satu perancangan tetapi sebaik perancangan adalah milik Allah SWT. Yang penting ialah kita mahukan segala usaha dan perancangan kita selari dengan taqdir dan keredhaan Allah SWT. 

Di kesempatan yang ada sentiasalah lafazkanlah doa ini dan hayatilah maksudnya. Mudah-mudahan Allah akan memberkati usia dan membantu seluruh urusan kehidupan kita. 

“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata.”

Ameen...

Monday 9 February 2015

Apakah ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak untuk mengubati pesakit yang kena sihir?

Soalan:

Apakah ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak untuk mengubati pesakit yang kena sihir? 

Jawapan:

Oleh kerana penyakit yang disebutkan sihir ini berlaku di alam rohani, yang sebab-sebabnya tersembunyi atas tabiat sihir yang terselindung, maka sukar diketahui cara pengubatannya dengan mudah. 

Kebanyakan sihir dilakukan secara tersembunyi, khususnya pada waktu malam.

Ikhtiarnya adalah terbuka seperti:

Menggunakan ayat-ayat untuk menentang sihir yang telah saya sebutkan. Banyak ayat dalam al-Quran menyentuh tentang berlaku sihir dalam alam manusia. Yang jelas ketara bahawa apabila sihir berlaku pada zaman Nabi Allah Musa as, baginda menghadapi sihir dengan kekuatan jiwa dan menggunakan kaedah bantuan Allah SWT sehingga ahli-ahli sihir kecundang, menyerah kalah dan beriman kepada Nabi Musa. 

Ulama muktamar menyarankan dalam kitab mereka untuk kita membaca, 10 ayat dalam Surah al-Baqarah iaitu ayat 1 hingga 5, ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir, 284, 285 dan 286. 

Ada juga ulama yang menyarankan kita membaca Surah al-Fatihah, ayat 255 Surah al-Baqarah, ayat 117 dan 119 Surah al-A'raaf, 79 dan 82 Surah Yunus, ayat 65 hingga 69 Surah Thaha, ayat 82 dan 83 Surah Yunus, ayat 118 Surah al-A'raaf dan ayat 70 Surah Thaha. 

Disarankan ayat-ayat ini dibaca oleh orang yang terkena sihir ataupun orang yang mengubati penyakit akibat sihir dengan memohon perlindungan daripada Allah SWT.

(Sumber : Bersama Dato Dr Harun Din)

Friday 6 February 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 11

Salam Jumaat


Setiap kali perasaan putus asa mengetuk pintu hatimu... bukalah kitab Allah. Dan bisikkan kepada hatimu:

Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan... Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan...

Thursday 5 February 2015

Taman Syurga: AMANAH


Assalamualaikum warahmatullah.

Ibnu Hatim ada menceritakan bahawa Mujahid berkata apabila Allah jadikan langit dan bumi lalu dibentangkan kepada mereka amanah. Namun, kedua-duanya menolak tawaran Allah itu. Akan, tetapi apabila dijadikan Nabi Adam as, amanah itu ditawarkan pula kepadanya.
Nabi Adam berkata: “Apa ini, ya Tuhan?”
Jawab Allah: “Ini jika kamu tunaikan dengan baik akan diganjarkan pahala, tetapi seandainya kamu cuai, kamu akan diazab”.
Kemudian Nabi Adam berkata: “Aku sanggup menanggungnya”. 

Allah SWT berfirman: 
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan." (al-Ahzab: 72)

Besarnya makhluk Allah yang bernama langit, bumi dan gunung. Matahari dan bumi berputar pada paksinya tanpa sedikit pun melencong ke arah lain. Begitu juga langit, gunung, lembah, bintang-bintang, awan dan angin yang semuanya menjalankan tugas dan peranan sesuai dengan sunnatullah.

Manusia pula yang tinggal di dalam alam ini kelihatan kecil dan kerdil berbanding makhluk Allah tersebut. Namun, manusia sanggup memikul amanah menjadi khalifah di bumi ini. Amanah yang pernah ditawarkan kepada langit, bumi, dan gunung, namun mereka menolak untuk memikulnya dan khuatir tidak mampu menjalankan amanah tersebut.

Landskap kehidupan dalam masyarakat dan negara pasti sangat kondusif, penuh keberkatan, aman dan harmoni jika setiap manusia memiliki sifat amanah. Seandainya semua manusia baik pemimpin maupun rakyat biasa sedar dan insaf mengenai menjaga amanah Allah ini, sudah pasti tidak akan timbul sama sekali gejala salah laku moral seperti  rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)”. (an-Nisa': 58)

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan dijemput untuk mengikuti kuliah maghrib yang akan disampaikan oleh al-Fadhil ustaz Suhaimi Md Saad  pada 05 Februari 2015. Kuliah maghrib ini akan diadakan di Surau Perumahan Balok Permai, Kuantan dengan tajuk yang sangat menarik iaitu 'AMANAH'.

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Wednesday 4 February 2015

Nabi-Nabi Allah di Bumi Palestin


"Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk seluruh manusia." (al-Anbiya': 71)

Sesungguhnya Palestin adalah Ardhu al-Hijrah (tanah hijrah), dan juga tempat perlindungan para nabi dan rasul daripada musuh-musuh agama Allah.

Bumi Palestin merupakan saksi terawal para utusan Allah menyebarkan ajaran Islam. Tanah tumpahnya kelahiran agama [Millah] Ibrahim, yang juga menjadi teras ajaran Rasulullah. Kini Nabi Muhammad menjadi penyempurna serta penutup risalah-risalah agama yang diajarkan para nabi dan rasul terdahulu.

Palestin juga menjadi bukti di atas turunnya wahyu-wahyu Allah kepada para nabi dan rasul-Nya, sebagaimana yang tersurat dalam kitab suci agama Samawi, Yahudi, Nasrani dan Islam. Di tanah yang diberkati inilah, disemadikan jasad para nutusan Allah, antaranya ialah; Ibrahim as, Luth as, Ishaq as, Ya’qub as, Yusuf as, Daud as, Sulaiman as, Zakaria as, Yahya as, serta para nabi dan utusan Allah lainnya.

Bermula daripada generasi Ibrahim as, maka lahirlah dua keturunan agung yang dikenali sebagai Bani Israel dan juga Bangsa Arab. Dua keturunan yang saling bermusuhan sehingga membawa kehancuran Negara Palestin sehingga kini.

Bersama-samalah kita membaca serta menghayati perjuangan dan pengorbanan para utusan Allah terdahulu. 

Rasulullah saw mengajar kita supaya sentiasa berdoa untuk mendapatkan rahmat Allah. Baginda mengajarkan doa, "Ya Allah, ampunilah dosaku, berilah Rahmat kepadaku, tunjukkanlah aku jalan yang lurus (baik dan benar), cukupkanlah aku, selamatkan aku daripada penyakit dan musibah, berikanlah kepadaku rezeki yang halal dan tinggikan darjatku." (Riwayat Ibnu Majah)
 
Tajuk : Nabi-Nabi Allah Di Bumi Palestin
Penulis : Abu Marwan
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Mukasurat : 165
Harga : SM 16.00 / SS 19.00

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan"