Sahabat Sejati

Friday 29 May 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 26

Salam Jumaat.


Jiwa yang terbaik...
Jiwa yang tidak sesekali melupai kebaikan yang pernah dihulurkan kepadanya...
Sekalipun berlaku pertembungan besar antara keduanya.

Tuesday 26 May 2015

Zulmat dan Kehitaman Talmud: Kekarutan dan Songsangnya Kitab Yahudi yang Dirahsiakan


“...Sebahagian teks yang ada dalam Talmud adalah keterlaluan, sebahagiannya lagi menjijikkan, dan sebahagian lagi berisi kekufuran...disebabkan itu banyak raja, penguasa negara dan penguasa agama (Paus) di Eropah mengharamkan kitab ini.” (Joseph Barcley, Ilmuan dan Pengkaji Talmud) 

Bukan saja sebagai kitab suci, ‘kitab lama' ini menjadi landasan agung ideologis kaum Zionis dalam hidup mereka. ‘TALMUD', sebenarnya apa yang tak kena dengan kitab ini? Jelas lagi bersuluh, intipati kitab ini sahih mengariskan panduan sesat dan kabur kepada penganut Yahudi, sehinggakan pelaksanaan ajaran itu menjadikan mereka unggul dalam mendera kaum ‘binatang atau najis' dengan sesungguhnya, tidak ubah seperti binatang buas yang lahap melapah mangsanya! 

Lantaran menganggap mereka sebagai ‘Anak Adam yang terpilih dan disayangi Tuhan', silibus kebenciannya mengizinkan penderitaan yang tidak singkat dalam sejarah manusia, dan masih belum berakhir sehinga kini khususnya di tanah Palestin. Dengan dasar ini, terbinalah tamadun Yahudi baru demi membina sendiri dunia mereka. 

Mudah bicara, dengan mengetahui intisari ‘Talmud' kita akan faham matlamat Zionis, memahami kitab tua ini kita akan jelas tentang cita-cita mendatang mereka. Kitab sesat lagi menghitamkan, dan itulah talmud! 

“Sebaik-baik petunjuk ialah Kitabullah (al-Quran), serta sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Rasulullah, iaitu sunnahnya, dan seburuk-buruk perbuatan dan perkataan ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan ialah bidaah dan setiap kebidaahan itu sesat serta setiap kesesatan itu ialah tempatnya di dalam Naar (Neraka).” (Hadis riwayat Muslim) 

Tajuk : Zulmat dan Kehitaman Talmud: Kekarutan dan Songsangnya Kitab Yahudi yang Dirahsiakan
Penulis : Shahriman Wahap & Aeril Zafrel
Penerbit : Hijjaz Records Publishing
Harga : RM39.90

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!


Monday 25 May 2015

Hulur tali, bukan cambuk api


Dalam berdakwah atau mengajak kepada kebaikan, kita perlu menggunakan pendekatan yang sesuai mengikut keadaan. Kita tidak boleh menggunakan kaedah ‘pukul rata’ terhadap mad`u. Jika mad`u itu orang tua, maka pendekatannya mestilah sesuai dengan jiwa tuanya, jika ia golongan terpelajar, maka mesti didekati dengan cara terpelajar, begitu juga jika berhadapan dengan anak muda, tentulah cara atau kaedah yang digunakan sesuai dengan jiwa muda mereka. Bahkan kepada kanak-kanak juga ada caranya yang tersendiri dan bersesuaian dengan sifat keanakannya.

Analoginya mudah. Ibarat kita mahu memancing, kita gunakan umpan yang ikan suka, bukan umpan yang kita suka. Tentulah jika kita memancing di laut, kita akan gunakan umpan untuk ikan air masin. Kita tidak akan menggunakan umpan untuk ikan air tawar. Sama juga jika kalau kita mahu mengail tenggiri, maka umpannya mestilah umpan tenggiri. Kita tidak akan guna umpan untuk ikan kerisi. Andainya sama sahaja umpan yang digunakan, maka sia-sialah apa yang kita lakukan. 

Samalah seperti dalam berdakwah, pendekatannya mestilah kreatif dan bersifat meraikan. Bukan pendekatan sehala dan mendatar. Namun, harus diingat walaupun bersifat meraikan tetapi tidaklah sampai melanggar prinsip-prinsip dakwah dan agama.

Ajaklah, biar berhikmah


Contohnya, jika kita mengenali seorang sahabat yang tidak bersolat. Cara bagaimanakah mahu mengajaknya bersolat? Membiarkan sahaja? ikut kamulah, yang penting aku solat. Tentu tidak, kerana menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Bagaimanakah cara ajakan kita?

“Kamu tak sembahyang? Kamu tahu apa dosa orang yang meninggalkan sembahyang, kamu nak masuk neraka! Bla..bla..bla...”

Atau..

Kamu tak sembahyang? Orang yang sembahyang Allah sayang, hatinya akan tenang. Semua masalah akan hilang...bla..bla..bla...” Jika diberi pilihan, agaknya ayat mana yang akan kita gunakan kepadanya. Ayat pertama atau kedua? Saya rasa ramai yang akan menggunakan ayat yang pertama, tidak terkecuali termasuklah saya. Sejujur demikian.

Mungkin kita akan tersenyum puas kerana dapat melepaskan ‘peluru’ yang kita bahasakan ia sebagai dakwah. Kemudian dengan harapan yang menggunung kita kata insya-Allah dia akan berubah atau kita kata, tanggungjawab saya sudah terlepas. Tidak dinafikan inputnya ada, tetapi bagaimana pula dengan ouputnya. Betul, bukan tugas kita untuk memberi hidayah, ia milik Allah SWT. Allah yang memegang hati-hati manusia. Namun, sekurang-kurangnya kita mahu melihat juga hasil daripada kerja-kerja dakwah yang dilakukan.

Jangan salah faham pula, saya tidak pula kata salah menggunakan kaedah yang pertama. Manusia tidak sama jiwanya. Memang tidak dinafikan ada pemilik jiwa yang sesuai dengan pendekatan begini. Mereka perlu dimarahi, dibentak keras barulah peringatan itu boleh menusuk masuk dan mencair hatinya.

Contoh yang mudah. Ibarat sebatang besi buruk, jika dijual begitu sahaja kepada sang peraih besi tentulah harganya entah berapa sen. Tetapi jika besi tersebut dibakar, kemudian ditempa berkali-kali sehingga menjadi sebilah keris, apakah sama harganya dengan besi buruk tadi. Tentu tidak! Mungkin berpuluh ringgit harganya atau mencecah ratusan ringgit jika baik buatannya. 

Walau bagaimanapun, tidak semua orang boleh menerima cara begitu. Bimbang jika tidak kena cara dakwah dan ajakan, boleh menyebabkan bermasam muka dan mencetuskan pergaduhan. Mungkin juga dia merasakan kita telah mengganggu ‘privacy’ hidupnya dan mula menjauhkan diri. Ketika itu ruang dakwah mula tertutup rapat, maka rugilah kita dan semestinya rugilah dia.

Tentu kita biasa mendengar ayat: “Saya bukan tak boleh terima nasihatnya, tapi caranya sangat menyakitkan hati saya..”

Hulur tali, bukan cambuk api


Bukankah Allah telah menyatakan bahawa rahmat-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya?

Bukankah di dalam al-Quran Allah sentiasa menggunakan perkataan ‘basyir’ (khabar gembira) terlebih dahulu sebelum perkataan ‘nazir’ (memberi ancaman)

Ya, marilah kita gunakan kaedah “hulur tali, bukan cambuk api”, atau dengan bahasa yang mudah mengajak bukan membentak, memujuk bukan mengutuk, menerang bukan menyerang. 

Mari beranalogi lagi. Seorang penjual madu pasti akan menerangkan dengan panjang lebar kelebihan dan khasiat madu yang dijualnya. Ini kerana sudah menjadi tabiat manusia suka mendengar kepada kelebihan dan kebaikan pada sesuatu. Apabila si penjual berjaya menimbulkan keghairahan di dalam hati-hati pembeli, sudah pasti madunya akan habis terjual. Sebab itulah jika kita perhatikan iklan-iklan di televisyen akan menonjolkan kelebihan-kelebihan barang-barang yang diiklankan. Niatnya agar orang ramai tertawan dan terpesona dengan kebaikan yang terdapat pada barang tersebut. 

Oleh itu, mengapa tidak kita gunakan konsep ini terlebih dahulu. Iaitu menerangkan kebaikan dan kelebihan solat kepada sesiapa yang mendirikannya. 

“Siapa yang bersolat, dia akan dapat begini dan begini...Kelebihannya begini dan begini...” 

Itu dalam perkara solat. 

Saya sering membaca pengalaman-pengalaman individu yang pergi ke Mekah di dalam buku dan majalah. Samada pengalaman mengerjakan haji ataupun umrah. Apa yang saya dapati, kebanyakan (tidak semua) kisah yang dipaparkan berkisar kepada balasan-balasan yang di dapati akibat dosa-dosa yang dilakukan. Ada yang tidak nampak Kaabah, ada yang hilang barang-barang, ada yang tidak dapat makan, ada yang sentiasa dihurung lalat dan sebagainya. Entahlah, tersayat kebimbangan di hati saya kerana secara tidak langsung ia seakan mahu menimbulkan rasa takut dan jeran untuk ke sana. 

Tidaklah saya katakan ia tidak boleh. Ada baik dan bagusnya sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua. Mudah-mudahan ramai yang takut melakukan dosa atau ramai yang berubah menjadi baik setelah membaca pengalaman tersebut. Namun, di sisi yang lain saya tertanya-tanya, mengapa pula tidak dibanyakkan kisah-kisah kelebihan menunaikan haji atau umrah. 

“Orang yang ke Mekah adalah tetamu Allah yakni Allah menjemput mereka datang kepada-Nya. Taubat senang diterima, doa mudah dimakbulkan dan sebagainya”. Saya rasa kisah-kisah begini lebih perlu diperbanyakkan.  Ia boleh jadi seumpama iklan yang boleh menimbulkan keghairahan d hati-hati manusia.

Saya menulis artikel ini bukanlah mahu mengajar cara-cara berdakwah, jauh sekali mahu menafikan usaha dakwah sahabat-sahabat sekelian. Tidak selayaknya saya berbuat demikian. Tulisan ini hanyalah satu perkongsian dan ingatan terutama kepada diri saya sendiri. Mari kita hulurkan tali, bukan cambuk api. Kita adalah pendakwah bukan penghukum. Kita mengajak bukan membentak. Kita memujuk bukan mengutuk. Kita menerang bukan menyerang. 

Mahu membentak keras? Silakan, tetapi biarlah ia menjadi jalan yang kedua, ketiga atau keempat.. 

Anda mampu mengubahnya.

Friday 22 May 2015

Taman Syurga: Kuliah Maghrib bulanan kitab Jam`ul Jawami`


Assalamualaikum warahmatullah.

Siri kuliah bulanan al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus yang akan mensyarahkan kitab Jam`ul Jawami` diteruskan lagi. Kepada yang berdekatan dan berkelapangan dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkannya. Kuliah maghrib ini akan diadakan pada 24 Mei 2015, bertempat di Masjid al-Fattah, Batu 3 Kuantan. 

Untuk tempahan tapak gerai boleh menghubungi/whatsapp saudara Fadli Ismail di talian 019-304 9881.

Jom, semarakkan majlis ilmu!      

Rehat Minda: Pesan Murabbi 25

Salam Jumaat.


Keyakinan diri paling hebat apabila kamu diam tatkala orang mempersendakanmu, kerana kamu tahu siapa kamu dan siapa mereka.

Thursday 21 May 2015

Hukum mengubati yang kena sihir dengan pengubatan cara sihir juga. Sihir melawan sihir?

Soalan:

Apakah hukum mengubati yang kena sihir dengan pengubatan cara sihir juga. Sihir melawan sihir?

Jawapan:

Orang yang terkena sihir adalah sedang diuji oleh Allah S.W.T, yang boleh diikhtiarkan kesembuhannya melalui amalan yang diluluskan oleh syarak iaitu seperti menggunakan ikhtiar rawatan dengan bacaan doa yang ma'thur. 

Disebut dalam hadis-hadis sahih, iaitu menggunakan daun bidara, ditumbuk dalam batu, dimasukkan ke dalam air, dan didoakan dengan doa-doa daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi, untuk diminum airnya dan dimandikan pesakit. Ini merupakan salah satu dari cara pengubatan. 

Khusus kepada soalan yang dibangkitkan, iaitu diubati atau diatasi penyakit dengan amalan sihir, pada saya seperti yang dijelaskan sebelum ini, sihir merupakan amalan yang ditegah dan diharamkan oleh Islam kerana ia membawa kepada syirik. 

Menggunakan sihir untuk mengubati sihir diistilahkan dalam syarak, dalam Islam sebagai annusyrah yang bermakna mengubati sihir dengan sihir. 

Dalam hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah saw ditanya tentang hukum annusyrah, maka Nabi menjawab bahawa perbuatan itu merupakan perbuatan syaitan. Ertinya Nabi saw melarang pengubatan cara sihir dilakukan. 

Hendaklah difikirkan cara lain selain menggunakan khidmat ahli sihir. 

Jika kita mengetahui orang tersebut ahli sihir dan menggunakan khidmatnya, bermakna kita bersyubahat dengan ilmu yang dilarang oleh Islam. 

Penggunaan ini dalam banyak hal menjerumuskan seseorang kepada tunjuk ajar ahli sihir.
Contohnya berlaku dalam masyarakat apabila ada yang meminta menyembelih seekor ayam atau seekor kambing, menggunakan darah untuk mengubati sesuatu penyakit. 

Perbuatan seperti ini, menyembelih binatang kerana syaitan atau kerana sihir ia tidak menjadi ibadah kerana ia bukan kerana Allah. Jika ini berlaku, ini adalah syirik. 

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Wednesday 20 May 2015

Aduhai, Kuantan Indah Lestari...


Untuk Kesekian Kalinya, isu yang masih menghantui rakyat Kuantan khususnya. Sampai bilakah kita semua harus menanggung derita ini.

Imej "KUANTAN INDAH LESTARI" kini tiada lagi. Ia hanyalah satu slogan yang terucap tanpa realiti. Jalan-jalan di sekitar Bukit Goh Menghala ke Kuantan dan LPT, jalan pintasan menghala ke Gebeng dan juga Pelabuhan Kuantan di Kampung Selamat kini semakin mengerikan. Malah lebih dahsyat dari apa yang digambarkan. Semuanya kerana lori-lori tanah bauksite yang terus beroperasi tanpa penguatkuasaan. 

Sudah puas isu ini dimainkan, tetapi negeri Pahang tercinta ini umpama tiada kerajaan, yang boleh melaksanakan undang-undang dan peraturan. Rakyat terus merana dan tersiksa. Dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri, serahan memorandum, demo dan flashmob, tahan lori, semua sudah. Namun, janji tinggal janji. Hakikatnya imej Kuantan terus tercalar.  'Kuantan Indah Lestari", memalukan!

Angkara siapa?






 "Viva celup tepung"

Monday 18 May 2015

Rileks sekejap: Ubat anti gempa

Di suatu sudut kaki lima di sebuah kota, terdengar suara seorang penjual ubat sedang mempromosi ubat jualannya. 

Penjual ubat: "Mari! Mari! Adik ,abang, kakak, pak cik dan mak cik! Sebentar lagi bandar ini akan dilanda gempa tepat pukul 11.30 pagi nanti! Sekiranya anda mahu selamat, cubalah ubat saya ini!"

Jam sudah menghampiri pukul 11.30 pagi. Semakin ramai orang yang berkerumun membeli ubat tersebut. Dalam ramai-ramai itu, adalah seorang seorang pak cik yang tergesa-tergesa membelinya kerana waktu gempa semakin hampir.

Pakcik tersebut dan orang lain pun terus memakan ubat berkenaan untuk mengelak dari merasakan gempa bumi dahsyat yang bakal berlaku.

Sekarang... jam sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Seminit berlalu... dua minit... tiga minit... hingga minit yang kesepuluh, pak cik tadi pun berteriak kepada penjual ubat tersebut.

Pak cik: "Eh! Dah lama ni... Mana gempanya? Awak tipu kami ye?!"

Penjual ubat: "Hah! Kan betul apa yang saya cakap! Pak cik tak rasa apa-apa gegearan gempa selepas memakan ubat saya! Itu petanda ubat saya amat mujarab!"

##Ceria-ceria di hari Isnin...

Friday 15 May 2015

Taman Syurga : Haflah Ilmi Cinta Rasul & Forum Penyelamat Ummah

Assalamualaikum warahmatullah. Jemputan kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan.  

Haflah Ilmi Cinta Rasul
Tajuk: "Pemilik Cintaku Selepas Allah dan Rasul"
Oleh: Ustazah Fatimah Syarha
16 Mei 2015 Sabtu
Jam 10.00 pagi
Perkarangan Masjid Imam as-Syafie, Kota SAS



Forum Penyelamat Ummah
Tajuk : "Hudud Penyelesai Masalah"
Oleh: Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ustaz Dr Zaharuddin Mohamad
16 Mei 2015 (Sabtu)
Selepas maghrib
Surau Salahuddin al-Ayubi, IM 15


Rehat Minda : Pesan Murabbi 24

Salam Jumaat.


"Jangan bersedih jika urusan kehidupan menyempitkanmu... 
Sesungguhnya bulan bertambah menawan apabila bertambah kegelapan di sekitarnya."

Thursday 14 May 2015

Taman Syurga: Kuliah Maghrib Perdana


Assalamualaikum warahmatullah. 

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk memeriahkan majlis ilmu Kuliah Maghrib Perdana, yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Nazri Ahmad (Mudir Maahad Tahfiz al-Quran al-Ahmadi, Rompin). Kuliah maghrib ini akan diadakan di Masjid Qaryah Balok Kuantan pada 15 Mei 2015 (Jumaat).

Jom datang beramai-ramai semarakkan majlis ilmu!

Dua pemilik cinta tanpa syarat

“Ya Allah, ampunkanlah dosa kami terhadap kedua orang tua kami. Kami pernah berkata kasar di hadapan mereka. Kami pernah meninggikan suara di hadapan mereka. Kami pernah mengguriskan hati mereka. Kami pernah mencalarkan perasaan mereka. Kami pernah melihat air mata mengalir lesu di pipi mereka. Sesungguhnya kami tidak sengaja melukakan hati mereka. Kami tahu mereka sangat menyayangi kami. 

Ya Allah, sewaktu kami kecil, pipi ini dicium bertalu-talu. Dahi ini dikucup semahunya. Ketika kami kesejukan, mereka memeluk kami dengan penuh kasih sayang. Ketika kami dalam ketakutan, mereka memberi kekuatan kepada kami. Ketika kami kecewa dan berputus asa, mereka memberikan harapan kepada kami. 

Di kala kami ditimpa sakit, mereka turut sakit bersama kami. Di waktu kami keresahan tidak dapat tidur, mereka turut bersengkang mata berjaga bersama kami. Di kala kami membesar, mereka membanting tulang empat kerat di bawah panas terik dan simbahan hujan, bahkan mereka berhutang keliling pinggang untuk memenuhi keinginan kami. 

Ya Allah, apakah dengan dosa ini menyebabkan hati kami menjadi keras. Apakah dengan dosa ini anak-anak kami enggan mendengar kata bicara kami. Apakah dengan dosa ini Engkau memalingkan rahmat-Mu daripada kami. 

Ya Allah, seburuk dan sekeji manapun kami, sebanyak manapun dosa dan keaiban kami, sejelek manapun perbuatan kami, pandanglah kami dengan pandangan rahmat-Mu ya Allah. Pada siapa lagi kami mahu mengadu dan merintih doa ini melainkan pada-Mu ya Allah...” 

Entah mengapa tiba-tiba hati rasa tersentuh dengan doa yang dilafazkan. Sedangkan telah berkali-kali saya melafazkannya. Apakah kerana kerinduan saya kepada keduanya yang telah lama berkelana dijemput Tuhan? 

“Ya Allah, ampunkanlah dosa kami terhadap kedua orang tua kami...” 

Itulah doa dihening subuh tadi. 

Ya, saya benar-benar rindukan ayah dan ibu. Saya rindukannya di saat hidup saya diasak cabaran dan kesukaran. Usapan tangan dan kata bicara lembut mengusir jauh kerunsingan dan keresahan. Kemudian kerunsingan yang berkeliling itu semakin mengecil dan terbang bersama angin lalu. 

Saat matahari pagi memancarkan cahaya redupnya bersama hembusan angin lembut, saya singkap selembar demi selembar kenangan bersama ibu. 

Masih saya ingat, sejuta kenangan yang amat membekas di hati. Ketika saya masih kecil, bonda menyuap nasi ke mulut di beranda rumah pusaka ayahanda. Sambil makan bonda bercerita kisah-kisah yang mencuit hati. Bonda tunjukkan burung yang melompat-lompat di atas ranting pohon jambu air. Kata bonda, burung itu Allah yang jadikan. Lalu saya berkata, saya juga mahu terbang seperti burung itu. Bonda tergelak sambil mengusap kepala saya. Oh Tuhan, manisnya saat itu. 

Ibu, saya mengenalinya seorang insan kental menongkah arus kehidupan. 

Ayahanda, saya tiada kenangan bersamanya. Perginya terlalu awal dikala saya masih bertatih mengenal kehidupan. Hanyalah fotonya sahaja yang menjadi pengubat rindu. Mudah-mudahan Allah SWT mengizinkan agar saya dapat berjumpa dengannya di akhirat nanti, insya-Allah. 

Ayah dan ibu, memberi segalanya dengan hati. Tidak pernah memikirkan ganjaran dan balasan. Itulah hakikatnya pemilik cinta tanpa syarat. 

Kadang-kala saya seakan-akan menyesali kesilapan diri. Banyak yang tidak sempat saya lakukan sebagai amal bakti untuk keduanya. Hari-hari yang pergi umpama mewarisi kesedihan yang terpalit dalam memori. Saya merintih memohon keampunan-Nya atas ilmu-Nya Yang Maha Tahu. 

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’: 24)

Sunday 10 May 2015

Jernihkan kembali - updated


“Hish…serabutnya kepala, semuanya tak kena. Buat ini salah, buat itu pun salah, tak buat lagi salah.” 

Adakalanya hati resah tidak keruan. Jiwa tertekan, emosi berkecamuk membungkam fikiran. Semuanya tidak menjadi. Mengapa? 

“Aduii...dah 20 kali baca tak ingat-ingat lagi, macamana ni esok dah nak kena ‘test’ dah.” 

Adakalanya ingatan menjadi pudar. Di hadapan semuanya hitam dan kelam. Buntu dan kelu. Benak semakin senak. Mengapa? 

Carilah puncanya... 

“Perbuatan baik adalah sesuatu yang menenangkan jiwa dan mententeramkan hati, sedangkan dosa adalah sesuatu yang tidak menenangkan jiwa dan tidak mententeramkan hati, meskipun engkau mendapat fatwa dari orang ramai.” (Riwayat Imam Ahmad) 

“Sesungguhnya mukmin itu apabila berdosa akan meninggalkan titik hitam dihatinya. Jika ia bertaubat dan berhenti melakukan dosa serta memohon ampun terhapuslah titik hitam itu dari hatinya dan jika bertambah dosa, maka titik hitam itu akan bertambah besar. Itulah dosa yang disebut oleh Allah dalam kitab-Nya.” (Riwayat Ibnu Majah dan Imam Ahmad) 

Ya, sedikit sebanyak mungkin kerana dosa kita kepada Allah. Dosa yang mengundang keresahan, kegoncangan dan gejolak di dalam jiwa. Dosa yang menimbulkan kegelapan hati dan apabila hati menjadi gelap, ia pun menjadi keras dan jauhlah pemilik hati itu dari Allah. Lalu tertutuplah pandangan daripada kebenaran. 

Ubatilah ia. Jangan bertangguh-tangguh.

Maka penawar yang paling mujarab adalah dengan bertaubat kepada Allah. Taubat yang seenar-benarnya. Itulah rahmat dan nikmat yang dikurniakan kepada kita, hamba yang lalai dan leka. Tiap detik dan ketika. 

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya. Mudah-mudahan Tuhanmu menghapuskan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai...” (at-Tahrim: 8) 

Taubat adalah jalan menuju keampunan Tuhan. Maka ia akan menyingkirkan perasaan-perasaan yang meresahkan. Menjernihkan jiwa, menguraikan kekusutan. 

“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami dan jika Engkau tidak mengampuni dan mengasihani kami, nescaya kami menjadi orang-orang yang merugi.” (al-A`raf: 23) 

Bertaubatlah sementara masih diberikan kesempatan. Selagi pintunya masih terbuka, ketika nyawa belum menjengah halkum, maka lunakkan hati dan titiskan air mata penyesalam. Tentu Dia akan menerima kerana rahmat-Nya sentiasa mendahului murka-Nya.

"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang luasnya langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (ali 'Imran: 133) 

Bukankah rasa ingin bertaubat itu rasa seorang hamba? 

##Peringatan buat diriku...

Friday 8 May 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 23

Salam Jumaat.


Berkata Hukama:
Aku pernah menangis kerana berjalan tanpa kasut.. tetapi aku berhenti menangis bila melihat lelaki kudung tanpa kaki!

Sentiasalah ungkapkan Alhamdulillah atas segalanya.

Wednesday 6 May 2015

Taman Syurga: Ceramah Perdana & Kutipan Dana Pembinaan Surau Al-Furqan Taman PSJ

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh”. (al-Munafiqun: 10)

Mengapa agaknya dia tidak berkata supaya aku dapat bersolat, atau berpuasa, atau sebarang kebaikan yang lain. Sesungguhnya tidaklah seseorang yang telah mati itu menyebut untuk bersedekah melainkan kerana telah melihat betapa besarnya ganjaran pahala daripada bersedekah, yang telah dilihat selepas kematiannya.

Kata Ibnu Qayyim: "Kalaulah orang yang bersedekah itu mengetahui dengan sebenarnya dan dapat menggambarkan bahawa sedekah itu diletakkan di dalam 'tangan Allah' sebelum ia sampai ke tangan orang faqir, nescaya kelazatan orang yang memberi lebih terasa besar daripada kelazatan si penerima."

Ayuh, perbanyakkanlah bersedekah kerana mereka yang telah meninggalkan alam ini memohon kepada Tuhan mengharapkan dapat kembali ke dunia untuk bersedekah dan melakukan amal soleh. Oleh itu, ketika kesempatan yang masih ada ini, janganlah dilepaskan begitu sahaja. Bahkan orang yang memberi sedekah akan berada di bawah lindungan arasy Allah pada hari akhirat kelak dikala tiada sebarang perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT. 


Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan khususnya warga Kuantan, dijemput hadir untuk memeriahkan program Ceramah Perdana & Kutipan Dana Surau al-Furqan Taman PSJ. Surau ini masih di dalam pembinaan dan amat memerlukan sumbangan daripada anda semua untuk menyiapkannya.

Maklumat Program:

Penceramah : al-Fadhil Ustaz Che Amran Md Yusoff aka Bollywood (Hos rancangan Tanyalah Ustaz TV9, Halaqah TV9 dan penceramah jemputan Radio Malaysia Pahang) 

Tarikh : 06 Mei 2015 (9.15 malam)

Tempat : Padang Bola Taman PSJ Sungai Karang, Kuantan

Ayuh, warga Kuantan yang berdekatan jangan lupa. Sambil mendengar tazkirah ilmu, boleh pula menderma untuk tabungan akhirat. Insya-Allah 2 dalam 1...

Sabda Rasulullah saw:
“Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (dari kalanganmu) dengan bersedekah dan persiapkan doa untuk menghadapi datangnya bencana.” (Riwayat Imam Ath-Thabrani)

Tuesday 5 May 2015

Melepek bukan melepak


Saya benar-benar maksudkannya.

Kepenatan, 3 hari 2 malam melayani karenah adik-adik pelajar. Seramai 30 orang pelajar yang tidak mengenali di antara satu sama lain dikumpulkan bersama. Hasilnya, berbagai pe`el yang dapat dilihat. Pening juga kepala, tetapi tidaklah insiden yang serius melainkan semuanya dapat dihadapi dengan baik. Alhamdulillah.

Penat memang penat, tetapi penat itu satu perasaan dan perasaan itu akan hilang. Setelah ia hilang, maka yang tinggal adalah kebahagiaan dan kegembiraan kerana dapat memberi sesuatu. Betapa besarnya makna kehidupan apabila diri bukan lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi turut mengajak orang lain untuk gembira, dan bahagia bersama. Tentunya apa yang diberi, itulah yang akan dimiliki. Memberi yang baik akan menghasilkan kebaikan, begitulah sebaliknya.

Rasulullah saw adalah contoh terbaik seorang insan yang menjadikan kehidupannya untuk membahagiakan orang lain. Lihatlah di dalam sirah bagaimana pengorbanan baginda dalam menyebarkan Islam untuk seluruh umat manusia. Tidak sedikit dugaan dan tentangan yang dihadapi oleh baginda demi untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada terang cahaya iman, yang memberi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Dengan pengorbanan tersebut, maka kita telah menikmati cahaya petunjuk di atas jalan agama Islam yang suci ini tanpa kesukaran dan kesulitan. Ibarat hidangan yang telah tersedia di hadapan mata, lalu kita cuma perlu menghulur tangan mencicip manis dan enaknya hidangan tersebut. Demikianlah, alangkah ruginya jika kita masih mencuaikan nikmat iman yang telah dikecapi ini.     

Mudah-mudahan kita semua sentiasa dipermudahkan untuk menyebarkan kebaikan, insya-Allah. 

Friday 1 May 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 22

Salam Jumaat.


"Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan dan kelalaian. Kesusahan dan penderitaan itu, selalunya membawa kekecewaan dan putus asa, kecuali orang mukmin." (Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat rahimahullah)

##Selamat Hari Pekerja...