Sahabat Sejati

Friday 31 July 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 33

Salam Jumaat.


Kadang-kadang kita tidak menghargai nilai detik-detik waktu kecuali setelah ia menjadi ingatan lampau...!!

Thursday 30 July 2015

Suara alam adalah tasbih..

Di luar terjahan hujan menyimbah bumi. Atap zink rumah pusaka ayahanda pula menyambutnya dengan bunyi bising yang membingitkan. Andai telah berhenti titisan hujan nanti, ada pula suara katak bersahutan di belakang sana. Tanpa irama, tanpa melodi tetapi ia mendamaikan dan melenakan. Biarpun tidak bagi sesetengah orang, namun bagi saya ia sentiasa mengundang bahagia.

Bagaimana mungkin titis hujan, deru alur dan hijau pohonan tidak mendamaikan? Bagaimana mungkin sahutan katak di paya, kokokan ayam di atas tunggul tidak mendamaikan? Bagaimana mungkin sahutan mergastua, reriang dan cengkerik malam tidak mendamaikan? Bagaimana mungkin desir angin dan dedaun kayu yang berlanggaran tidak mendamaikan?

Sesungguhnya Allah SWT telah memberitahu:

 تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚوَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَٰكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗإِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا 
"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun." (Al-Israa` : 44)

Rupa-rupanya suara alam adalah tasbih zikrullah. Biar pun akal tidak memahaminya, namun roh yang asalnya ‘dekat’ dengan Allah, damai dan tenang dengannya. Biar siapa pun kamu, tiada yang tidak tenang mendengar bunyi alam. Kerana roh itu bahasanya satu dan memahami zikrullah penawar yang menenangkan jiwa.

##Berasa tenang, alhamdulillah.

Wednesday 29 July 2015

Tuesday 28 July 2015

Bolehkah menggunakan Tangkal yang bertulisan Arab untuk mengelakkan diri dari kejahatan manusia?

Soalan:

Saya seorang perempuan yang sedang dalam pengajian peringkat siswazah lanjutan. Datuk saya membekalkan saya dengan tangkal yang diperbuat daripada rajah-rajah tertentu dan huruf alif ba ta, bercampur aduk dan angka-angka seperti tulisan Arab untuk saya pakai bagi mengelak dari kejahatan manusia. Katanya jangan niat bahawa tangkal itu boleh menolong, mintalah kepada Allah. Tangkal hanya ikhtiar. Datuk saya sudah menggunakan tangkal itu dan amat mujarab katanya. Bolehkah saya memakai tangkal itu? 

Jawapan:

Permasalahan tangkal adalah masalah lama yang bertapak amalannya dalam masyarakat Arab jahiliyah awal, masuk ke alam Melayu, diterima pakai dan diamalkan oleh masyarakat dahulu hinggalah kepada masyarakat moden sekarang ini. 

Apa yang dilakukan oleh datuk saudari adalah sebahagian daripada kepercayaan masyarakat lama yang dominan dalam masyarakat Melayu. Ketika Rasulullah saw mula menyebarkan Islam kepada masyarakat Arab dan mereka memeluk agama Islam, mereka mengamalkan memakai tangkal. 

Rasulullah bersabda (yang bermaksud): "Sesungguhnya jampi mentera (yang tidak Islamik) dan tangkal-tangkal serta ilmu pengasih adalah syirik." (Hadis sahih riwayat Ahmad dan Abu Daud). 

Jelas dalam hadis ini bahawa tangkal adalah istilah asal tamimah atau tamaim adalah satu usaha manusia, gunakan benang, tali atau sebagainya dijadikan sebagai suatu pakaian yang dipakai di pinggang, di leher, di tangan atau sebagainya dengan tujuan untuk menjadi pelindung seperti yang datuk saudari sebutkan. 

Memakai tangkal seperti ini, disepakati oleh ulama-ulama Islam bahawa ianya adalah haram dan boleh membawa kepada syirik atau senang difaham ianya berdosa besar. Tentang kata-kata yang mengatakan dengan 'niat untuk menolong mintalah kepada Allah, tangkal hanya ikhtiar', itu adalah mengelirukan kerana niat yang baik tidak boleh menghalalkan yang haram. 

Saya umpamakan alasan ini sama seperti, orang yang berniat hendak ke Mekah, tetapi tiada wang, maka dia mencuri wang untuk pergi ke Mekah. Atau orang yang hendak berkahwin tidak cukup wang, maka rasuah diambil untuk menyempurnakan perkahwinan. 

Tamimah atau tangkal adalah haram dan berdosa besar memakainya, kerana kita telah menjadikan makhluk yang bernama tangkal boleh menjaga kita daripada sesuatu yang tidak diingini. 

Dalam Islam telah pasti tiada yang boleh memberi manfaat atau memudaratkan manusia melainkan Allah SWT sahaja. 

Tangkal tidak boleh menjaga manusia, jika dibakar ia akan hangus, digunting atau ditarik nescaya ia akan putus. Hakikatnya ia tidak bernyawa dan tidak bergerak, sudah tentu dia tidak boleh menolong kita. 

Jika datuk saudari beranggapan bahawa ianya membantu, sebenarnya Allah SWT lah yang memeliharanya, tetapi kebetulan dia memakai tangkal. 

Atau jika berlaku sesuatu yang ketara ganjil pada pemakai tangkal itu jika hendak dikaitkan juga tangkal itu memberi kesan, maka ada kemungkinan tangkal itu ada makhluk halus yang jahat, mengambil kesempatan untuk menyesatkan manusia dengan melakukan perkara-perkara yang aneh dan ganjil untuk meyakinkan manusia kepada keunikan pemakai tangkal. 

Jika ini berlaku, manusia telah terjebak ke dalam perangkap syaitan dan iblis yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia dari jalan Allah SWT dengan menggunakan saluran tangkal sebagai sesuatu yang menjayakan usaha mereka menyesatkan manusia. 

Maka nasihat saya, jangan sesekali memakai tangkal, bergantunglah kepada Allah, untuk berlindung diri dari perkara yang tidak baik, bacalah ayat-ayat yang dikenali sebagai al-muawwiyat iaitu Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas.

Sumber: Bersama Dato' Dr Harun Din

Friday 24 July 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 32

Salam Jumaat, salam Syawal.


Kadang-kala kamu melihat...
Kawan menikammu... Musuh menyelamatkanmu...
Kadang-kala kamu melihat...
Orang kaya menerima rasuah... Orang lemah memberi sedekah...
Inilah dunia.

Wednesday 22 July 2015

Risalah Puasa Sunat Enam Syawal: Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabungkan Qadha dan Sunat (2)


3 – Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam 

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu? 

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan maka puasanya tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. 

Ada dikalangan ulama Syafi`iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. (Lihat: Mughni al-Muhtaj 2/184, Hasyiah asy-Syarqawi 1/428, Fatawa al-Azhar 9/261 Al-Maktabah asy-Syamilah) 

Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid). Wallahua`lam. 

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula). 

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw. Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit daripada sunnah Rasulullah saw. 

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan. 

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah SWT akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. 

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya.

Risalah Puasa Sunat Enam Syawal: Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabungkan Qadha dan Sunat (1)

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari Isnin dan Khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan), dan puasa tahunan (hari Arafah, Asyura dan enam hari dalam bulan Syawal). 

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi): “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah saw menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” (Muslim, no: 1151) 

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. 

Abu Said al-Khudri ra. berkata: Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah SWT menjauhkan mukanya daripada api neraka selama 70 tahun.” (al-Bukhari, no: 2840) 

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Risalah ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini. 

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal 

Abu Ayyub al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Muslim, no: 1164) 

Di dalam hadis ini, Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. 

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut, kerana setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Hukum Puasa Enam Syawal 

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam an-Nawawi rham: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafie, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian daripada puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah daripada puasa Ramadhan.” (Syarah Sahih Muslim, 8/56) 

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal? 

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra. berkata: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” (al-Bukhari, no: 1991) 

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal? 

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. 

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama ialah: 

1 – Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus? 

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal. 

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhanmu, dan (ke arah mendapatkannya) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Ali-Imran: 133) 

2 – Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan 

Wujud perbincangan di kalangan para ulama, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat: 

Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil daripada Aisyah rha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya`ban yang akan datang. Aisyah berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bukan Sya`ban.” kerana sibuk melayani Rasulullah saw. (Muslim, no: 1146. Al-Bukhari, no: 1950) Penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa`id. 

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah rha, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya`ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan. 

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari daripada bulan Syawal, maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. 

Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan yang ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal. 

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Ali-Imran yang dikemukan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada yang sunat. 

Namun, sekiranya seseorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah rha. 

Menurut Imam an-Nawawi rham, mazhab Malik, Abu Hanifah, asy-Syafie , Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (`ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya.” (Syarah Sahih Muslim 8/22) 

Menurut al-Khatib asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat.” (Mughni al-Muhtaj 2/181, cet. Darul Kutub al-Ilmiah, Beirut). 

Bersambung...

Monday 20 July 2015

"Hadirmu dinanti, pergimu ditangisi.."


Terasa sayu melambai Ramadhan yang melangkah pergi meninggalkan kita semua. Pemergian yang lama untuk datang berkunjung semula. Menunggu selama 12 bulan untuk bertemu kembali, satu jangka masa yang panjang. 

Benarlah ungkapan ‘Ramadhan, hadirmu dinanti, pergimu ditangisi’. Saya sangat merasakannya. Sekiranya ada upaya mengundurkan masa yang telah berlalu, tanpa bertangguh pasti akan saya lakukan agar sepanjang masa adalah bulan Ramadhan. Namun, mustahil ia dapat dilakukan kerana masa yang telah pergi tidak akan kembali lagi. Ia telah tersimpan kemas di sisi-Nya untuk dibuka semula pada hari akhirat nanti. 

Ya, saban tahun Ramadhan akan tetap datang dan pergi sebelum akhir usia dunia ini. Cuma kita sahaja yang berkesempatan atau tidak bersua dengannya lagi. Hidup dan mati adalah taqdir yang ditentukan oleh Allah SWT. 

Saya sendiri tidak pasti apakan tahun hadapan saya masih lagi berpeluang bertemu dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Allah jua yang Maha Mengetahui segala-galanya. Dia yang menetapkan perjalanan taqdir. Mana tahu ajal terlebih dahulu menjemput pergi, maka Ramadhan kali ini menjadi yang terakhir buat saya. Terkenang pula saudara-mara dan handai-taulan yang tidak sempat bersama dengan Ramadhan tahun ini. Pastinya mereka semua tidak mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka. 

Bagi kita yang sempat memasuki Ramadhan pada tahun ini, apakah natijah Ramadhan buat kita. Bertambah baik atau sebaliknya? Sejauh manakah kita telah mengisi Ramadhan dengan menagih keampunan-Nya yang mahal itu. Berhasilkah kita merebut taqwa yang dijanjikan? Hanya hati kecil yang dapat menjawabnya di dalam diri masing-masing. 

Diceritakan para Salafus-Soleh sentiasa memohon kepada Allah SWT agar menerima segala amal kebaikan yang dilakukan walaupun setelah enam bulan Ramadhan berlalu. Bagaimana mahu melihat tanda-tanda amal kebaikan diterima? Segala puji bagi Allah jika taat dan patuhnya berkekalan sebagaimana yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan, itulah sebenar-benar dan sebesar-besar nikmat kurniaan-Nya. 

Lihatlah pada diri, seandainya masih mampu untuk istiqamah sebagaimana yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan. Solat berjemaah, membaca al-quran, solat sunat, bersedekah dan sebagainya, mampukah diteruskan? Atau telah terhenti dengannya berakhirnya Ramadhan. Jika demikian, maka benarlah ingatan alim ulama agar kita menjadi hamba Allah bukan hamba Ramadhan. Hamba Allah ialah seseorang yang beramal dan beribadah tanpa mengira musim dan waktu, manakala hamba Ramadhan ialah yang beribadah tatkala masuknya bulan Ramadhan lalu tawaquf seiring berakhirnya Ramadhan. 

Fikirkanlah, apakah makna taqwa yang menjadi natijah kepada bulan Ramadhan? Apakah kita tergolong dalam mereka yang mendapat ijazah taqwa? Maka bertanyalah kepada iman yang ada di dalam dada masing-masing. Tidakkah kita merasa gerun dengan amaran Rasulullah saw tatkala mengaminkan satu persatu apa yang disebutkan oleh Jibril alaihi as-Salam. 

“Jibril mendatangiku seraya berkata; “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lantas tidak mendapat ampunan, kemudian mati, maka ia masuk neraka serta dijauhkan Allah (dari rahmat-Nya)” Jibril berkata lagi, “Ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan “Amin”. 

Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada keadaan sedemikian. Allahu al-Musta`an...

Sunday 19 July 2015

Bicara kepada diri...


Hari ini telah genap 39 tahun usiaku. 

Apa yang ada pada angka yang bertambah saban tahun, melainkan ia memberi makna telah berkurang usia yang berbaki. Setiap kali menjelangnya tarikh seperti hari ini, ia juga memberitahu bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk saya menghampiri kematian. 

Bicara kematian sangat menakutkan. Ya, sangat menakut! Kematian akan menjengah di antara tarikan dan hembusan nafas. Begitu juga di antara pejam dan celik kerdipan mata. Kadangkala saya terfikir, bagaimana kondisinya jika dicabut nyawa ketika ini. Apakah saya telah sedia dengan bekalan yang perlu disiapkan. Tidak berani saya menjawabnya. Semestinya kematian secara husnul khatimah adalah impian dan pilihan. 

Sentiasa mengingati mati akan menghadirkan perasaan takut kepada Tuhannya dan merasakan diri tidak pernah cukup dengan amal kebaikan, oleh itu ia akan sentiasa berlumba-lumba memenuhkan kantung amalan dengan amal kebajikan. Bahkan dengan sentiasa mengingati mati juga akan menjadikannya sentiasa berhati-hati dalam segala tindak-tanduk agar tidak tersasar dari landasan keredhaan-Nya. 

Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma berkata, bahawa ketika dia sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah saw lalu datang seorang lelaki Ansar memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah: “Siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?” Jawab Rasulullah saw: “Orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia.” Kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?” Jawab Nabi saw: “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah) 

Semoga diri ini sentiasa diberi petunjuk dan keinsafan serta termasuk di dalam golongan yang disebut dalam firman-Nya dengan sebab mahu menerima peringatan di usia menjengah 40 ini. 

"Mereka (yang bersifat seperti itu) itulah orang yang Kami terima daripada mereka amalan baik yang mereka telah amalkan dan Kamni ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka." (al-Ahqaf: 16)

Allahu al-musta`an...

Salam kemeriahan `Eidul-Fitrah 1436H (edisi 3 syawal)


Assalamualaikum warahmatullah.

"Ramadhan berlalu melambai pergi
Menggamit aidilfitri di hening pagi
Tangan dihampar sepuluh jari
Salah dan silap harap maafi.."

Marilah kita menjadikan hari raya ini untuk bergembira kerana berjaya menunaikan ketaatan kepada Allah SWT.

Dalam kesempatan yang masih berbaki ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua khususnya kepada pengunjung 'pondok kecil' abuikhwan. Dengan hamparan sepuluh jari saya memohon keampunan, andai ada hati yang terguris dek catatan yang sekadar adanya di laman Kembara Mencari Hamba ini. Tentunya manusia biasa tiada terlepas daripada sebarang khilaf.

Marilah kita mengimbau sejenak, apa yang telah kita lalui sebulan yang lalu. Sesungguhnya puasa Ramadhan adalah madrasah yang mendidik kita semua menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. Mudah-mudahan bekalan taqwa yang disemai selama sebulan yang lalu sentiasa menghiasi kehidupan kita sehinggalah kita bertemu Allah SWT.

Dalam kegembiraan kita menyambut aidilfitri janganlah kita berlebihan sehingga melewati batas syariat. Sebagaimana kita berpuasa mengikut syariat kerana ia adalah ibadah, maka sambutlah aidilfitri dengan mengikut syariat, kerana ia juga adalah ibadat. Seterusnya janganlah kita lupa akan mereka yang tidak bernasib baik serta di dalam kekurangan. Begitu juga saudara-saudara seaqidah di Palestin, Syria, Iraq, Selatan Thai, Rohingya dan sebagainya. Doakanlah mereka semua agar diberikan keselamatan dan kesejahteraan.  

Akhir kata, Salam Aidil Fitri Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu am wa antum bi Alf al-Khair... 

Saudara kalian, 
abuikhwan&keluarga

Thursday 16 July 2015

"Semoga bertemu kembali..."

Entah mengapa terasa sayu benar malam ini. Semacam ada sesuatu yang tidak kena, menusuk-nusuk di ruang hati. Sejak dari terawih tadi perasaan ini sudah membekas. Menghayati bacaan imam Irham yang lunak dan mendayu, menyebabkan semakin bertambah perasaan yang menyesakkan dada. 

Oh ya, terawih malam ini merupakan yang terakhir imam Irham al-Hafiz berkhidmat di surau perumahan saya. Esoknya beliau dijadualkan pulang ke kampungnya di Narathiwat, Selatan Thai, setelah hampir sebulan mengimami solat terawih. Khabarnya beliau juga sedang membimbing pengajian tahfiz di sana. Terdapat 24 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di pusat tahfiznya itu. 

Dalam ucapan akhirnya sebelum berpisah, imam Irham menyampaikan hasrat untuk datang lagi ke sini pada tahun hadapan. Layanan dan kemesraan yang terjalin menyebabkan beliau tidak merasa terasing bahkan seperti berada di kampung halamannya sendiri. Biarpun cuma sebulan berkenalan, tetapi persahabatan yang akrab sangat dirasakan. Benarlah eratnya jalinan persaudaraan Islam, ia merentasi sempadan geografi, warna kulit, bahasa serta budaya. Bagaikan tidak terasa bahawa kami berbeza semua itu. Demikian indahnya persaudaraan yang didasari Iman dan Islam. 

Teladan hijrah 

Di dalam peristiwa hijrah, selain membangunkan masjid untuk dijadikan pusat berkumpul dan pertautan hati, Rasulullah saw juga melakukan kerja lain yang disebut oleh sejarah sebagai salah satu peristiwa menakjubkan, iaitu mengikat tali persaudaraan di antara Muhajirin dan Ansar. 

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa ketika kaum Muhajirin datang ke Madinah, Rasulullah saw mempersaudarakan Abdurrahman bin Auf dengan Saad bin Rabi`. Ketika itu Saad berkata kepada Abdurrahman, “Aku adalah orang Ansar yang mempunyai harta paling banyak. Maka bahagilah hartaku menjadi dua. Aku memiliki dua isteri. Maka lihatlah salah seorang yang paling membuatmu takjub, lalu sebutkanlah namanya kepadaku. Aku akan menceraikannya. Sehinggalah apabila masa iddahnya habis nanti, engkau boleh menikahnya.” 

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawasanya dia mengatakan, “Orang Ansar pernah berkata kepada Nabi Muhammad saw, “Bahagilah kebun kurma ini antara kami dan dan saudara-saudara kami.” Nabi Muhammad saw menjawab, “Tidak. Cukuplah kamu memberi bantuan kecil kepada kami. Kami sangat berterima kasih kepada kamu atas pemberian buahnya.” 

Orang Ansar itu pun berkata, “Kami dengar dan kami taat.” 

Perasaan cinta ini bukanlah percikan yang sementara dan mudah berlalu seiring pergantian masa. Makna persaudaraan ini, sebagaimana diungkapkan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali adalah leburnya kefanatikan jahiliah sehingga sehingga tidak ada rasa fanatik kecuali untuk Islam serta gugurnya perbezan atas unsur nasab, warna kulit dan tanahair, sehinggalah seseorang tidak dinilai maju atau tertinggal kecuali berlandaskan maruah dan ketaqwaannya. Tentunya ia bersumberkan keimanan kepada Allah, rasul-Nya, kitab-kitab-Nya. 

Semoga bertemu kembali...

“Doakan saya dapat datang lagi ke sini,” kata imam Irham dalam telo melayu Thai sewaktu kami bersalaman. 

“Insya-Allah, saya doakan,” jawab saya sebelum berpisah di pintu pagar surau. 

“Jangan diucap selamat tinggal, tetapi ucapkanlah semoga bertemu kembali. Jika tidak di dunia ini, insya-Allah di syurga nanti...”

Tuesday 14 July 2015

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah-Adab Berhari Raya (2)

Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah-Adab Berhari Raya (1)
 
Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya 

a - Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit daripada para sahabat Nabi saw. 

b – Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-A`la dan pada rakaat yang kedua membaca surah al-Ghasiyah berdasarkan hadis riwayat Muslim. Atau membaca surah Qaf pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim.Kedua-dua bacaan ini sahih daripada Nabi saw. 

c - Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas rhuma, katanya: "Aku menyaksikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah."

d - Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya.  Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath al-Bari: "Telah sepakat para fuqaha` bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat."

9 - Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya

Ibnu Majah meriwayatkan daipada Ibnu Umar katanya: "Adalah Rasulullah  saw keluar ke tempat solat hari raya  dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan." (sahih Ibnu Majah, hasan)

Kata Ibnu al-Munzir: "Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu`, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan."

Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh daripada musolla/masjid tidak mengapa menaiki kenderaan.

10 - Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya

Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi saw. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah).

Dari Umm `Aisyah rha. katanya: "Kami disuruh oleh Nabi saw untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha. Wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasing dariada tempat sembahyang."

11 - Zakat Fitrah

Nabi saw menyuruh membayar zakat al-fitri sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari awal.

Imam al-Bukhari meriwayatkan: "Adalah mereka (sahabat Nabi saw) mengeluarkan (zakat al-fitri) sebelum hari raya sehari atau dua hari."

KESALAHAN YANG DILAKUKAN PADA HARI RAYA

Ramai dikalangan kita telah mengambil mudah dengan hari raya. Bila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah 'hari free' iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakan lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi). Berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan. Wallahua`lam.

"Semoga `Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan"    

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah-Adab Berhari Raya (1)

Adab-Adab Menyambut Hari Raya 

`Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya, sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadhan. Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah saw menyambut Hari Raya, antaranya ialah: 

1 - Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya 
Imam Malik rah. meriwayatkan: Sesungguhnya Abdullah bin Umar ra. akan mandi pada pagi hari raya al-fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya. Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya. 

2 - Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya `Eid al-Fitri dan untuk `Eid al-Adha makan selepas solat. 
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari raya al-Fitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar…dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (Riwayat al-Bukhari: 953) 

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. 

Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (tanggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Fath al-Bari: 2/446) 

3 - Bertakbir pada Hari Raya 
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu , supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185) 

Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza`ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah imam keluar (untuk menunaikan solat raya).” 

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya. 

4 – Lafaz Takbir Hari Raya 
Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas`ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz: 

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.” 

Al-Mahamiliy meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibnu Mas`ud:


“Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar dan Yang Maha Agung, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.” (Irwa` al-Ghalil: 3/126) 

Kata ulama: Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan diamalkan. Diangkatkan suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar. 

5 – Ucapan Tahniah Pada Hari Raya 
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan: 

"Semoga Allah menerima (amalan) daripada kami dan anda semua"

"(Selamat) hari raya yang diberkati."

Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri daripada ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya, mereka mengucapkan: Ibnu Hajar berkata: Isnad (riwayat ini) hasan. [Fath al-Bari 2/446] 

Antara ucapan yang masyhur juga:

 
 "Setiap tahun kamu sentiasa dalam kebaikan"

6 – Berpakaian baru/cantik di Hari Raya 
Daripada Jabir ra. katanya: “Nabi saw mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (sahih Ibnu Khuzaimah: 1765) 

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. 

Adapun untuk kaum wanita, mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi saw: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian.” (riwayat Ahmad dan Abu Daud, sahih) 

Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. 

Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik. 

7 – Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan lain 
Daripada Jabir bin Abdillah rhuma katanya: “Adalah Nabi saw pada hari raya, baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” (Bukhari: 986) Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini: 

i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari Kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari Kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat. 

ii. Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.

iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SAW iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak-saudara dan menghubungkan silaturrahim. 

8 – Solat Hari Raya 
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/fadhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Imam Mazhab Abu Hanifah. Pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa. 

Bersambung...

Monday 13 July 2015

YAM Pahang: Sumbangan di Kampung Gol Tembeling Tengah, Jerantut

Alhamdulillah, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAM Pahang) beramal lagi. Bersempena dengan bulan Ramadhan al-Mubarak, YAM Pahang telah menyampaikan sedikit bantuan kepada penerima, hasil sumbangan daripada orang ramai. Kali ini lokasinya di Kampung Gol, Tembeling Tengah, Jerantut. Seramai dua puluh keluarga tersenarai sebagai penerima. Semoga dengan sumbangan ini dapat memberi sedikit keringanan kepada penerima untuk menyambut aidilfitri tidak lama lagi. Terima kasih kepada para penderma..

 Memunggah pek sumbangan sejurus tiba di lokasi.



  


 


 
 Acara terakhir sebelum pulang ke Kuantan...

"Wahai orang-orang yang beriman, infakkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata (enggan) terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya, Maha Terpuji." (al-Baqarah: 267)

Sunday 12 July 2015

Lailatul mubarakah, moga ditemukan..


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana masih memberikan hela nafas untuk kita menjalani kehidupan inidan juga masih diberikan kesempatan untuk memasuki sepuluh Ramadhan terakhir.

Tiadalah kemuncak puasa Ramadhan melainkan pada sepuluh Ramadhan terakhir, yang tiada khilaf berlakunya Lailatul Qadar. Sedangkan khilafnya hanyalah pada malam apakah Lailatul Qadar itu, bilakah masanya. Maka, keluarlah daripada kekhilafan tersebut dengan menghidupkan keseluruhan malam sepuluh terakhir itu. I`tikaf adalah ibadah utama Rasulullah saw sepanjang tempoh tersebut. Ia amalan sunnah yang sangat dituntut.

Satu malam yang penuh berkah, kehangatan rahmat, penuh kebaikan, kesuburan dan keredhaan-Nya. Ia malam yang digandakan kehebatannya. Satu malam yang terlebih baik daripada 1000 bulan. Itulah Lailatul Qadar, lailatul mubarakah yang sejahtera daripada sebarang kecelaan sehinggalah fajar menyinsing.

Allah SWT menganugerahi kita dengan Ramadhan. Menghadiahi kita dengan Lailatul Qadar. Syukurilah kedatangannya. Mahukah kita menemui saat kemulian itu? Apakah kita mahu mensiakan diri dengan kedatangan satu malam yang sangat diburu oleh pencinta-Nya? Berelaklah diri daripada melalaikannya.

Ayuh, jangan bertangguh lagi! Bermula malam 21 sehingga seterusnya adalah masa keemasan tahun ini. Kita tidak mungkin menemuinya pada masa-masa akan datang kecuali dengan izin-Nya. Namun, jika sekarang adalah kesempatan untuk kita menggapainya, maka mengapa perlu untuk melalaikannya? Semoga Allah SWT menemukan kita dengan malam yang berkat itu, serta merahmati, mengampuni dan menyelamatkan kita daripada azab-Nya di hari akhirat kelak…

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Qadar itu? Malam Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (al-Qadar: 1-5)  

Ya Allah, temukanlah kami dengan Lailatul Qadar, aminn..

Friday 10 July 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 31

Salam Jumaat, Salam Ramadhan al-Mubarak...


Apa yang Allah takdirkan untuk kita akan dimiliki hatta kalau kita tidak menghendakinya...
Apa yang tidak ditakdirkan untuk kita tidak akan dimiliki hatta kalau kita bermatian untuk mendapatkannya.

Monday 6 July 2015

Badar al-Kubra, pemisah iman dan kufur - Update

Ghazwah Badar al-Kubra atau digelar peperangan Badar bukan suatu yang remeh dalam sejarah Islam. Ianya adalah peperangan pertama, penentu arah tuju sejarah dan ujian getir kepada umat Islam. Peperangan dinamakan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai Hari Furqan, iaitu hari pembeza iman dan kufur.

Peristiwa yang juga berlaku pada tanggal 17 Ramadhan Tahun ke 2 Hijrah (13 Mac 624M) ini adalah peristiwa yang menjadi mercu tanda kehebatan kalimah Tauhid di mata dunia. Pertembungan di antara tentera Islam pimpinan Rasulullah saw seramai 313 hingga 317 orang dengan tentera Musyrikin seramai 1300 orang yang dipimpin oleh Abu Jahal Ibnu Hisham.

Satu pertembungan yang getir sehingga Rasulullah saw menadah tangan sehingga jatuh selendang rida`nya di bahu, baginda merintih dalam munajat yang masyhur:

“Ya Allah Ya Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Ya Tuhanku, jika binasa pasukan ini, nescaya tiada siapa lagi yang menyembah-Mu di dunia ini.”

Rasulullah saw memanggil para sahabatnya dari kalangan Muhajirin dan Ansar untuk bermusyawarah bagi menghadapi situasi yang getir ini. apakah mereka bersedia untuk berperang dalam keadaan negara Islam yang masih diperingkat awal, atau mengelak dari peperangan. 

Tanpa lengah, al Miqdad bin al Aswad dari kalangan Muhajirin tampil seraya berkata:
“Wahai Rasulullah, teruskan apa yang telah ditunjukkan kepadamu dari Allah nescaya kami bersama, demi Allah kami tidaka akan berkata kepadamu sebagaimana berkata Bani Israel kepada Nabi Musa, pergilah kamu bersama tuhanmu, berperanglah kamu berdua, kami mahu tinggal di sini sahaja. Tetapi kami akan berkata: Pergilah kamu bersama tuhanmu, kami akan berperang bersama kamu berdua, maka demi tuhan yang membangkitkan dengan kebenaran. Kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al-Ghimad (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai, walau apa pun yang terjadi.”

Rasulullah saw memuji sikap tegas al-Miqdad lalu mendoakannya. 

“Berilah pendapat kamu wahai manusia.” Rasulullah saw meminta pendapat pihak Ansar yang sejak dari mula hanya mendiamkan diri. Dalam iqrar `Aqaba, mereka bersetuju akan melindungi Madinah daripada sebarang serangan musuh tetapi mereka tidak mengadakan iqrar akan menyerang keluar dari Madinah.

Tiba-tiba tampil Saad bin Muadz ra. wakil dari Ansar lalu berkata, “Demi Allah, seperti kamu mahukan kenyataan dari kami pula, ya Rasulullah!”

Rasulullah saw menjawab, “Ya!”

Lalu Saad bin Muadz menegaskan:
“Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu, percaya kepadamu, kami bersaksi bahawa apa yang kamu datangkan kepada kami itu adalah benar dan kami berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan kesetiaan. Kami sedia mendengar dan taat kepadamu. Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki. Maka demi Tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran, kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya nescaya kami akan mengharunginya bersamamu. Tiada seorang pun di antara kami yang akan berundur kebelakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersama kamu esok.

“Sesungguhnya kami adalah orang –orang yang sabar di medan perang, benar mengotakan apa yang kami kata sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah-mudahan Allah membuktikan kepadamu dari kami, apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan. Marilah kita teruskan perjalanan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.”

Rasulullah tersenyum senang hati mendengar penegasan dari pihak Ansar, wajah baginda yang mulia berseri-seri. Baginda segera bangkit lalu mengerahkan para sahabat untuk berangkat menuju ke medan dengan sabdanya:

“Berangkat dan bergembiralah kamu, sesungguhnya Allah SWT telah berjanji kepadaku salah satu dari dua pasukan (pasukan pimpinan Abu Sufian atau Abu Jahal) Demi Allah, seakan-akan aku nampak tempat binasa mereka.”

Bermula perang

17 Ramadhan 2 Hijrah (13 Mac 624M), pagi itu cuaca tenang. Padang pasir yang sunyi sepi tidak berpenghuni bakal berubah wajah. Dua pasukan sedang mengatur pertarungan yang bakal menjadi perang pertama dalam sejarah Islam. Kedua-dua pasukan saling berhadapan. Lalu bergema suara takbir dari pasukan tentera Islam. Menerawang ke udara. 

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! 

Bergerincing mata pedang membelah sunyi... 
Bersimpang-siur anak panah menghujani langit... 
Debu dan pasir halus berterbangan memenuhi udara... 
Dihenyak kencang kuda dan unta...

Laungan takbir pembakar semangat... 
Malaikat turun membantu dengan izin-Nya... 
Bersulam dentingan pedang berlaga nyaring... 
Darah pekat mengalir membasahi padang pasir...

Ketika pertempuran sedang memuncak, kelihatan seorang anak muda bernama Muadz bin Amru sedang mencari sesuatu. Matanya melilau memerhatikan tentera Quraisy yang sedang di asak tentera Islam.

“Tunjukkan kepadaku di mana Abu Jahal! Tunjukkan kepadaku di mana Abu Jahal!” Teriaknya.

Ibnu Ishaq menyebut di dalam kitabnya Sirah an-Nabawiyyah bahawa Muadz bin Amru bin Jamuh telah berjaya merempuh benteng yang dibuat dari lembing dan tombak untuk melindungi Abu Jahal sehingga Muadz berjaya menetak di tengah betis Abu Jahal.

Malangnya, tanpa disedari datang Ikrimah anak Abu Jahal lalu menetak dan terkena tangan kanannya sehingga hampir putus. Muadz akhirnya mengheret tangannya yang terkulai untuk meneruskan peperangan dan apabila terasa sakit, dia memijak tangannya dan menyentap sehingga putus.

Tanpa menghiraukan kesakitannya, Muadz menyerang Abu Jahal sekali lagi dan berjaya menetak sehingga hampir maut. Sejurus itu, datang pula Abdullah bin Mas`ud memancung leher Abu Jahal hingga bercerai dari badan. Lalu beliau membawa kepala Abu Jahal kepada Rasulullah saw, lantas baginda bersabda:

“Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia, Allahu Akbar. Segala puji bagi Allah yang benar janji-Nya. Dan Dia yang menolong para hamba-Nya. Dan menghancurkan tentera bersekutu dengan sendirinya.”

Kemudian Rasulullah saw menyambung: "Inilah fira`un kepada ummat ini.” 

Perang Badar berakhir dengan kemenangan tentera Islam. Seramai 70 orang tentera Quraisy terbunuh dan 70 orang lagi dijadikan tawanan perang. Manakala pihak tentera Islam pula 14 orang yang syahid. Mereka terdiri daripada 6 orang Muhajirin dan 8 orang dari kalangan Ansar.

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berit gembira dan supayahati kamu tenang tenteram dengannya, dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Anfaal: 9-10) 

Allahu Akbar!

Friday 3 July 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 30

Salam Jumat, salam Ramadhan.


Jangan melampau dalam mencintai sesuatu.. 
Seumpama petani yang terlalu cintakan tanamannya..
Lalu disiramnya dengan air yang berlebihan..
Mati tanamannya dalam usia yang muda!!!

Thursday 2 July 2015

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Lailatul Qadar dan I`tiqaf (2)

Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Lailatul Qadar dan I`tiqaf (1) 

b) I`tiqaf 

Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadhan ini ialah digalakkan beri`tiqaf padanya. Apakah erti i`tiqaf I`tiqaf dari segi bahasa ialah: Menahan, menetap dan melazimi sesuatu. 

Dari segi istilah i`tiqaf ialah: Melazimi masjid oleh individu tertentu dengan niat. Sesetengah ulama manambah”...untuk melakukan ketaatan.” 

Tujuan ditambah ayat ini untuk memberi isyarat bahawa hendaklah memulakan ibadah ini dengan niat ikhlas kerana Allah. Bukan datang ke masjid kerana ingin berbual-bual dengan rakan-rakan. Bukan juga kerana semata-mata ingin mengasingkan diri daripada orang lain. Tetapi mestilah datang untuk membuat ketaatan kepada Allah. 

Hukum beri`tiqaf 

Beberapa ulama ijma` menaqalkan bahawa hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Ia hanya menjadi wajib sekiranya dinazarkan. 

Kata Ibnu Syihab: “Alangkah peliknya orang-orang muslimin yang meninggalkan i`tiqaf, sedangkan Rasulullah saw tidak pernah sekalipun meninggalkannya semenjak baginda masuk ke Madinah.” 

Walaupun i`tiqaf boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tetapi terdapat galakan khusus untuk beri`tiqaf pada sepuluh terakhir Ramadhan. 

Aisyah rha. berkata: “Nabi saw beri`tiqaf pada sepuluh terakhir Ramadhan sehingga Allah mewafatkan baginda. Kemudian, isteri-isterinya terus beri`tiqaf selepasnya.” (Riwayat Bukhari) 

Amalan ketika beri`tiqaf 

I`tiqaf adalah di antara ibadat yang terkumpul di dalamnya banyak amalan-amalan soleh dan ketaatan seperti membaca al-Quran, solat, zikir, doa dan sebagainya. 

Satu perkara yang sepatutnya diketahui oleh orang-orang yang beri`tiqaf ialah hukum, syarat, peraturan dan adab beri`tiqaf. Secara ringkas, orang yang beri`tiqaf tidak dibenarkan keluar daripada masjid sehinggalah selesai pada waktu yang sepatutnya. 

Keringanan untuk keluar hanyalah bagi, memenuhi hajat-hajat yang lazim untuk keperluan diri seperti mencari makanan dan ke tandas. Sepatutnya mereka juga meninggalkan apa jua urusan yang tidak berkaitan dengan ibadat seperti urusan keduniaan dan cakap-cakap kosong. 

Sesetengah ulama mengatakan digalakkan juga dalam tempoh i`tiqaf ini menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid tempat i`tiqafnya. Ini kerana menuntut ilmu adalah salah satu ibadah kepada Allah SWT sebagaimana sesetengah ulama salaf mengatakan: “Tiada ibadah kepada Allah yang lebih baik daripada menuntut ilmu.” 

Hikmah digalakkan beri`tiqaf pada sepuluh malam terakhir 

* Supaya seorang muslim lebih terjaga dirinya daripada terlalai dan melakukan larangan Allah. Apabila berada di dalam masjid peluang untuk membuat maksiat adalah terhad. 
* Supaya mudah dan dekat dengan ibadah-ibadah dan ketaatan 
* Mengharapkan supaya bertemu dengan Lailatul Qadar, kerana ia hanya berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sahaja. 

Penutup 

Sabda Rasulullah saw sewaktu menaiki mimbar di Madinah: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi) 

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seseorang muslim yang berakal melepaskan yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia bukanlah satu masa yang panjang. Hanya beberapa malam yang boleh dihitung dengan jari. Boleh jadi, pada malam-malam ini seseorang muslim mendapat pemberian daripada Tuhannya, lalu dia termasuk di kalangan orang yang berbahagia di dunia dan akhirat. 

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah supaya kita semua dapat mengambil peluang keemasan ini. Ia adalah peluang untuk menggandakan amalan dan peluang untuk mendapatkan keampunan Allah SWT. Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan dalam keadaan melakukan amal soleh dengan sepenuhnya.

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Lailatul Qadar dan I`tiqaf (1)

Bersyukur kepada Allah SWT, kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, sekali lagi pada tahun ini kita dipertemukan dengan Ramadhan. 

Alangkah bertuah bagi sesiapa yang menyambutnya dengan ibadah dan mengharapkan keampunan serta ganjaran daripada-Nya. Dan alangkah ruginya bagi sesiapa yang tidak bertambah iman dan amal di bulan yang berkat ini. 

Kini sepuluh terakhir Ramadhan menjelma lagi. Allah SWT menyediakan bagi para hamba-Nya segala kebaikan, ganjaran, keampunan dan kelebihan yang tidak mampu dihitung oleh kita. 

a) Lailatul Qadar 

Di dalam Ramadhan yang mulia ini Allah SWT menghadiahkan kepada para hamba-Nya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar. Malam ini dinamakan dengan Lailatul Qadar, diambil daripada kalimah al-Qadar yang bererti kemuliaan atau kedudukan yang tinggi kerana malam ini adalah malam yang sangat mulia. 

Ataupun diambil daripada kalimah qadar atau taqdir, kerana pada malam ini Allah SWT memutuskan urusan-Nya dan menetapkan taqdir segala perkara. 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan malaikat Jibril akan turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu penuh dengan kesejahteraan sehinggalah terbit fajar.” (al-Qadar: 1-5) 

Firman-Nya lagi: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati (Lailatul Qadar) dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (ad-Dukhan: 3-6) 

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan Ihtisab, maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Beberapa kelebihan tentang Lailatul Qadar yang dapat diambil daripada surah al-Qadar antaranya ialah: 

* Allah SWT menurunkan al-Quran pada malam tersebut yang mana ia memberi petunjuk kepada manusia dan memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat. 
* Ia lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 3 bulan) 
* Para malaikat akan turun ke bumi pada malamnya dengan membawa kebaikan, keberkatan dan rahmat. 
* Malam ini adalah malam kesejahteraan sehingga terbitnya fajar. Iaitu kesejahteraan daripada neraka dan azab Tuhan bagi hamba yang menghidupkannya dengan ibadah. 

Rugilah orang yang mensia-siakan umurnya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Tampunglah segera kelalaian yang lalu dengan mencari Lailatul Qadar. Sesungguhnya ia menyamai umur manusia bahkan lebih daripada itu. Apakah tempoh 83 tahun 3 bulan sesuatu yang singkat? 

Bilakah Lailatul Qadar 

* Bulan Ramadhan 
Tidak syak bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan berdasarkan ayat-ayat bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Lailatul Qadar, dan diturunkan pada bulan Ramadhan. Maka semestinya ia berlaku pada bulan Ramadhan. 

Dalam satu hadis, Abu Zar ra. bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang Lailatul Qadar, adakah ia pada bulan Ramadhan?” Jawab baginda saw: “Bahkan pada bulan Ramadhan.” (Riwayat Ahmad dan Nasaie) 

* Sepuluh terakhir Ramadhan 
Lebih dikhususkan pada sepuluh terakhir Ramadhan berdasarkan banyak hadis, antaranya hadis muttafaqun ilaihi: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir daripada Ramadhan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Aisyah rha. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir melebihi kesungguhannya pada masa-masa lain. 

Aisyah rha juga meriwayatkan: “Adalah Rasulullah saw pada dua puluh malam terawal mencampurkan antara solat dan tidur. Apabila tiba sepuluh terakhir, baginda bersungguh-sungguh dan mengetatkan kainnya.” (Riwayat Ahmad) 

Menghidupkan malam bukan hanya dengan solat, malahan dengan pelbagai jenis ibadah seperti zikir, membaca al-Quran, beristighfar, berdoa dan lain-lain. Oleh itu apa yang dimaksudkan oleh Aisyah rha: “Aku tidak mengetahui Rasulullah saw pernah mendirikan malam sehingga pagi.” Maksudnya Rasulullah saw tidak pernah solat sahaja sepanjang malam. 

Rasulullah saw juga mengambil peluang sepuluh terakhir Ramadhan ini dengan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Baginda mahu supaya mereka juga tidak ketinggalan di dalam mendapatkan kebaikan yang disediakan Allah SWT. 

* Tujuh malam terakhir 
Bagi mereka yang tidak mampu menghidupkan pada pemulaan sepuluh terakhir, maka boleh memulakan pada tujuh malam terakhir. Sabda Rasulullah saw: “Carilah pada sepuluh terakhir. Jika salah seorang di kalangan kamu lemah dan tidak berupaya, maka janganlah dia tertewas pada tujuh yang berbaki lagi.” (Riwayat Muslim) 

* Malam-malam ganjil (21, 23, 25, 27, 29) 
Malam-malam ini lebih diharapkan adanya Lailatul Qadar, kerana warid bahawa Rasulullah saw menyebut malam-malam tersebut. 

* Malam 27 Ramadhan 
Boleh jadi malam yang sangat diharapkan ialah pada malam 27, ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubai bin Ka`ab ra. beliau berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia. Itulah malam yang mana Rasulullah saw telah menyuruh kami untuk bangun beribadah, iaitu malam yang ke 27.” Dan Ubai berkata lagi: “Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada pagi harinya tiada sinarnya.” 

Namun ramai ulama berpendapat malam al-Qadar berpindah di antara malam-malam witir, tetapi yang ghalib kebanyakannya pada malam 27. Dan bukanlah suatu yang tepat sekiranya kita menganggap pada malam tersebutlah sahaja akan berlaku Lailatul Qadar. Wallahua`lam. 

Bacaan malam al-Qadar

Aisyah rha berkata: “Wahai Rasulullah sekiranya aku dipertemukan dengan Lailatul Qadar, apakah yang harus aku ucapkan?” Rasulullah saw menjawab: 

“Ucapkanlah: Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pemurah dan suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi, sahih) 

Hikmah disembunyikan Lailatul Qadar 

Hikmahnya banyak samada diketahui oleh kita atau tidak. Antara yang jelas ialah: 
* Sebagai rahmat kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka memperbanyakkan amalan untuk mencari Lailatul Qadar. Jika hanya tertentu pada suatu malam, mereka hanya akan bersungguh-sungguh pada satu malam itu sahaja. 
* Ujian terhadap hamba-hamba-Nya supaya nyata siapakah yang benar-benar ingin mendapatkannya, dan nyata siapakah yang hanya berolok-olok, bermain-main dan bersikap sambil lewa. 

Bersambung...