Sahabat Sejati

Monday 30 November 2015

Tahniah rakyat Johor!


Tahniah rakyat Johor. Menjunjung kasih tuanku..

Setakat Ketua Pengarah Kesihatan atau ustaz-ustaz bercakap, tak berapa nak dengar. La ni,..

Sunday 29 November 2015

Ngomel-ngomel sahaja...

'Rumah sahabat di Kg Padang'

Hari ini baru ternampak sang mentari malu-malu memunculkan diri. Dapatlah seketika mengeringkan kain di jemuran atau pun membawa keluarga keluar bersiar-siar. Kalau tidak hari cuti begini, cuma dapat terperuk di rumah sambil menongkat dagu di jendela memerhati hujan yang turun. 

Dua hari hujan turun di tempat saya, tetapi hujan tidaklah terus-menerus lebat, adakalanya renyai-renyai kemudian lebat semula. Bimbang juga di hati jika hujan berterusan tanpa henti, ada kemungkinan air akan naik. Ada kata-kata yang tidak berapa enak didengar, katanya: “Jika bah tahun ini, air akan berwarna merah.” Ya, saya bersetuju dengan kenyataan tersebut. Dalam pada hati tetap redha dengan ketentuan.  

Tiga, empat hari yang lalu daerah Jerantut dilanda banjir kilat, kemudian diikuti pula dengan daerah Raub. Saya mendapat laporan mengenai banjir di kedua-dua daerah tersebut melalui aplikasi ‘whatsapp group’ Amal Pahang. Alhamdulillah, petugas Amal di kedua-dua daerah telah memantau keadaan tersebut dan bersedia untuk membantu jika keadaan memerlukan. 

Malam tadi pula beberapa tempat di daerah Kuantan dinaiki air tetapi tidaklah berapa serius. Saya melihat di dalam gambar yang dihantar, air yang memasuki rumah berwarna merah. Sebabnya, semua sudah boleh mengagak. Tidak perlulah saya nyatakan. Kasihan kepada mangsa yang terlibat. Nasib rakyat marhein. Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada mereka semua. 

##Sedih, petisyen hentikan perlombongan bauksit ditolak...

Friday 27 November 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 48

Salam JUmaat.


Jika kamu tidak miliki sesuatu untuk diberikan kepada orang lain...
Sedekahlah dengan ucapan yang baik dan senyuman yang suci. Gaulilah manusia dengan akhlak yang mulia.

Wednesday 25 November 2015

25 November 2015: Penyerahan petisyen rakyat Kuantan ke Parlimen berkenaan perlombongan bauksit

Hari ini penyerahan petisyen rakyat Kuantan ke Parlimen, memohon kuasa Parlimen agar aktiviti perlombongan bauksit dihentikan serta-merta sehinggalah satu peraturan yang perlu dipatuhi dikeluarkan. Berulang-kali tegaskan bahawa kami tidak membantah aktiviti perlombongan bauksit, tetapi bantahan kami kepada pencemaran alam, keselamatan pengguna jalanraya yang lain dan sebagainya.   














Tetapi akhirnya, petisyen yang membawa suara rakyat Kuantan telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat dengan alasan terdapat kesilapan teknikal pada petisyen. Apa boleh buat, berhadapan dengan golongan yang memiliki kuasa, menggelek luka, digelek pun luka. Nampaknya terpaksalah rakyat Kuantan menghidu lagi debu bauksit serta berhadapan dengan lori dan treler bauksit yang bermaharajalela di atas jalan raya.

Namun, perjuangan tetap diteruskan.  

Sunday 22 November 2015

Islam memuliakanmu duhai wanita

 foto hiasan (sumber)
 
Ada suara-suara yang berkata Islam merendahkan martabat wanita. Manakala pengamal media sekular sering menjadikan status wanita Islam sebagai sasaran serangan di dada media mereka. Mereka menjadikan isu hijab, poligami, harta warisan, kesamaan saksi dan sebagainya untuk menunjukkan bahawa Islam mengongkong dan merendahkan martabat wanita. Benarkah demikian? 

Dahulu, sebelum kedatangan Islam, wanita dipandang rendah dan hak mereka dinafikan serta dijadikan alat memuaskan nafsu. Betapa rendahnya martabat wanita ketika itu. Mari kita melihat beberapa contoh status wanita dalam masyarakat sebelum kedatangan Islam. 

Di bawah undang-undang tamadun Babylon, jika seseorang lelaki membunuh seorang lelaki atau wanita, bukan lelaki tersebut yang dihukum sebaliknya isterinya yang dihukum mati. 

Di bawah tamadun Yunani, hak wanita dinafikan. Kaum Yunani menganggap wanita seperti binatang dan lebih rendah martabatnya daripada lelaki. Walaupun kesucian wanita berharga dan disanjung tinggi, kaum Yunani ditenggelami keegoan dan sumbang laku seks. Pelacuran menjadi amalan biasa di kalangan semua golongan masyarakat Yunani. 

Tamadun Mesir (pra-Islam) menganggap wanita sebagai jahat dan petanda syaitan. Manakala, ketika tamadun Rom berada di kemuncak kegemilangannya, seorang lelaki berhak mengambil nyawa isterinya. Manakala pelacuran dan kebogelan menjadi kebiasaan di kalangan di kalangan kaum Rom. 

Sebelum Islam berkembang di tanah Arab, kaum Arab memandang rendah terhadap wanita dan seringkali apabila anak perempuan dilahirkan, ditanam hidup-hidup. Namun, penghinaan terhadap wanita di zaman jahiliyah Arab bukan hanya terbatas kepada penguburan bayi hidup-hidup, tetapi kehinaan itu meliputi seluruh segi kehidupan mereka, seperti wanita dijadikan hamba seks, hamba abdi yang boleh diperintahkan apa saja dan tidak mempunyai apa-apa hak. 

Islam memuliakan para wanita 

Nabi Muhammad saw diutuskan oleh Allah SWT sebagai Rasul terakhir yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Di antara rahmat yang didatangkan melalui syariat yang dibawa oleh baginda ialah mengangkat darjat dan martabat wanita kepada satu kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Islam. 

Islam telah menetapkan hak-hak wanita dengan sempurna tanpa pengurangan sedikitpun. Al-Quran dan hadis membicarakan wanita sepanjang masa. Surah an-Nisa’, an-Nur, at-Talaq dan lain-lain menggambarkan keprihatinan Islam terhadap martabat wanita. 

Di dalam satu riwayat telah diceritakan: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?” Baginda menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi saw menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi saw menjawab, “Ibumu!” Sekali lagi lelaki itu bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi saw menjawab, “Bapamu!” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Di dalam hadis yang lain: “Barang siapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka.” (Riwayat Bukhari)   
Begitu juga bagi mereka yang mempunyai satu atau lebih anak perempuan. 

Termaktub di dalam Islam ini hukum-hakam yang begitu banyak berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan seperti talaq, lian, ila, zihar, nafkah dan lain-lain. Kesemua hukum ini bermaksud menyusun dan membentuk sistem kekeluargaan dengan memberikan keadilan kepada suami dan isteri, lelaki dan wanita. Hak dan tanggungjawab dipertegaskan dalam kesemua hukum ini. Taqwa sentiasa disebut di dalam al-Quran mengiringi hukum talaq dan lain-lain, agar tindakan yang dibuat didasarkan kepada akal waras dan nilai pahala dosa, bukan emosi semata-mata yang kemudiannya menzalimi wanita. 

Alangkah cantiknya hukum Islam ini yang telah mengeluarkan wanita dari lembah kehinaan, alat dan hamba seks semata-mata dan menjadi bahan pemerdagangan manusia tidak bertamadun.  

Umar al-Khattab ra. Berkata: “Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikitpun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

Islam telah memuliakanmu duhai wanita!

Friday 20 November 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 47

Salam Jumaat.


Rumahtangga asasnya bukan simen atau batu-bata...
Sebaliknya adalah perempuan yang solehah.

Wednesday 18 November 2015

Kuliah Maghrib Perdana - "Cinta Kerana Allah" & Pelancaran Dana Pembangunan Surau


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua warga Kuantan yang berdekatan dan berkelapangan dijemput untuk bersama memeriahkan majlis ilmu, Kuliah Maghrib Perdana yang bertajuk "Cinta Kerana Allah". Kuliah maghrib ini akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Pahrol Mohd Juoi, seorang pendakwah dan penulis buku motivasi serta merupakan hos Radio IKIM. Dalam program ini juga akan dilancarkan Dana Pembangunan Surau  untuk kerja-kerja berkaitan dakwah dan kebajikan ummah.

Jom, ilmu dapat pahala pun dapat!    

BIODATA PAHROL MOHAMAD JUOI 

Pahrol Mohamad Juoi dilahirkan di Ipoh, Perak pada 20 hb. Mei 1961. Memulakan pengajian di sekolah kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh dan kemudian ke sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Jitra, Kedah. Walaupun berkelulusan dalam bidang Teknologi Makanan UiTM, namun sejak 1985 lagi beliau telah bergiat dalam bidang penulisan khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam. Ini dibuktikan dengan komitmennya sebagai wartawan, pengarang dan akhirnya Ketua Pengarang kepada beberapa buah majalah bercorak Islam sejak tahun 1986 hingga 1995. 

Pernah menjadi Ko-kaunselor Yayasan Nurul Yaqeen pada tahun 1997/98, namun minat sebenarnya tetap dengan bidang penulisan. Sejak itu hingga kini, komitmennya dalam penulisan diteruskan dengan menjadi kolumnis kepada beberapa buah majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Falsafah, Minda, majalah I dan Anis. 

Selain itu juga beliau aktif menulis lirik-lirik nasyid bagi kumpulan nasyid Tanah Air seperti Hijjaz, Rabbani, Raihan, Inteam, UNIC, Saujana, Mestica, Firdaus, Saffone, Nowseeheart dan lain-lain. Antara lirik nasyidnya yang popular ialah Sumayyah, Suci Sekeping Hati, Mendamba Kasih, Siti Khadijah, Cinta Zainab, Setanggi Kasih, Zinnirah, Umar Al Khattab, Salehuddin Al Ayubi, Ratu Syahadah dan lain-lain lagi. Beliau juga menghasilkan skrip bagi rancangan TV antaranya Raudhah (ASTRO). Menjadi Pengacara dalam rancangan Islam di RTM. 

Kini beliau adalah Pengarah dan Penyelidikan Modul merangkap Pengurus besar Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. sebuah syarikat perunding dan latihan yang terlibat dalam program latihan bagi agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan syarikat-syarikat swasta. Pengalamannya menjelajah negara-negara ASEAN, Uzbekistan, Pakistan, Turki, Jepun, China, Jordan dan Mesir menambah kematangannya dalam bidang penulisan dan latihan. 

Hingga kini beliau telah menulis beberapa buah buku dari pelbagai genre penulisan. Antaranya: Melawan Arus (antologi cerpen), Jendela Hati (antologi Sajak), Turki: Iktibar Sebuah Empayar (kembara), Ideologi Kamal Ataturk dan kesannya terhadap Turki (politik), Tentang Cinta (remaja), Dua hati Satu Rasa, Untukmu yang Tersayang, Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir, Nota Hati Seorang Lelaki, Nota Fikir Untuk Zikir, Dimana Dia Di Hatiku. Terkini, beliau juga adalah ketua editor majalah SOLUSI keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd.

Monday 16 November 2015

Singgah sebentar di Muzium Kemaman


“Ok, dah sampai. Inilah muzium Kemaman.” Saya memberitahu isteri di sebelah. Jari telunjuk dihalakan ke arah bangunan yang bersenibina lama itu. Catnya yang putih membezakan di antara bangunan lain di situ. 

“Jom, alang-alang sampai baik kita singgah.” Saya menggamit isteri sambil memimpin ‘si kecil Haikal yang istimewa’ menaiki anak tangga.

Hari ini (Sabtu) saya bersama isteri dan juga si kecil Haikal bermusafir ke Kemaman. Tetapi bukanlah saya ke sana semata-mata mahu melawat Muzium Kemaman. Asalnya kami mahu menziarahi angah Salina di sekolahnya, Pusat Pengajian Taman Islam Kemaman. Sekarang ini dia sedang menduduki peperiksaan akhir peringkat `Edadie, dan akan menyambung di peringkat Thanawi sekiranya lulus. Sehubungan itu, saya mengajak keluarga ke sana, boleh juga memberi semangat dan motivasi kepadanya untuk menghadapi medan tempur tersebut. 

Dalam perjalanan pulang itulah kami singgah di muzium tersebut. Yalah, alang-alang sudah lalu di hadapan bangunan tersebut, rugi pula kalau tidak singgah. Muzium Kemaman ini terletak di tengah bandar Chukai dan berhadapan dengan Dataran Medan Selera Bandar Chukai. 

Bangunan dua tingkat itu asalnya bekas ibu pejabat bijih besi The Nanyo Kogyo Koshi Company yang menjalankan aktiviti perlombongan bijih besi di Macang Setahun, Kemaman. Ia dibina pada tahun 1920-an. Senibina bangunan konkrit ini merupakan gabungan senibina Inggeris dan senibina Islam sehingga menghasilkan satu bentuk senibina ala Moorish.

Kemudiannya ia dibeli oleh Malayan Banking dan sekaligus berfungsi sebagai sebuah bank. Pada tahun 2008, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Terengganu daripada Majlis Perbandaran Kemaman dan diserahkan kepada pihak Muzium Negeri Terengganu pada 5 Mac 2009 untuk dimajukan sebagai sebuah muzium daerah dan sekaligus sebagai satu destinasi pelancongan baru ke daerah paling selatan negeri Terengganu, iaitu daerah Kemaman. 

Pada 15 oktober 2009, kerja-kerja pemuliharaan bangunan ini telah dilakukan oleh dua buah syarikat yang di lantik oleh pihak Jabatan Kerja Raya Daerah Kemaman. Muzium ini mula dibuka kepada orang ramai pada Julai 2012 yang lalu yang mempamerkan gambar tokoh-tokoh ternama di negeri ini.

Sebahagian bahan pameran










Muzium Daerah Kemaman, 
Lot 132, Jalan Sulaimani, 
24000, Kemaman, Terengganu Darul Iman. 
Lokasi adalah berhadapan Dataran Medan Selera Bandar Chukai 

Waktu Operasi:
Sabtu - Khamis 9.00 am - 5.00 pm 
Jumaat - tutup 
Kelepasan Am - 9.00 am - 5.00 pm 
Hari Raya Puasa / Haji Ditutup pada Hari Raya 1 & 2

Moh, singgah sebentar sekiranya anda datang ke Kemaman!

Itulah yang bernama hati (update)

Foto hiasan (sumber)

Senangnya hatiku... 
Sedihnya hatiku... 
Sakitnya hatiku... 

Ungkapan yang sering meluncur dari bibir sehari-hari. 

Hati membentuk lahiriyah. Jika kehidupan lahiriyah baik dan menurut tuntutan Islam, maka sesungguhnya hati itu telah menerima pengaruh kebaikan. Demikianlah sebaliknya, kerana ia adalah raja. Amat malang jika hati tidak diguna untuk merasai kebesaran Tuhan dan memahami kebenaran. 

“Dan sesungguhnya Kami jadikan isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami (petunjuk Allah) dengan hati itu. Dan mereka mempunyai mata, tetapi tidak mereka gunakan untuk melihat (jalan yang lurus). Dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mereka gunakan untuk mendengar (yang hak). Mereka umpama binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Merekalah orang-orang yang lalai (dari memahami ayat-ayat Allah). (Al-A`raaf: 179). 

Fikir-fikir dalam diri...

Friday 13 November 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 46

Salam Jumaat.


Ramai yang mengucapkan: "Semoga kamu memperolehi mimpi bahagia."
Tiadakah ucapan: "Semoga kamu memperolehi realiti menarik?"

Apa guna mimpi bahagia sedangkan realiti menyedihkan?

Tuesday 10 November 2015

Bahasa Arab, semakin jauh aku ditinggalkan...

“Anta ada masa ‘free’ tak, malam? Nak minta tolong mengajar kelas bahasa arab, boleh?” 

“Kelas dewasa...” 

Pesanan yang saya terima daripada seorang sahabat melalui aplikasi whatsapp. 

Lama sungguh saya tidak beri`rab. Maksud ‘lama’ itu, bukannya tiada langsung tetapi jarang sangat-sangat setelah berada di alam pekerjaan. Jika ada pun cuma sekali-sekala apabila bertemu sahabat-sahabat yang ‘reti’ bahasa arab. Bolehlah ber`ana - anta` seketika, mengingatkan kembali apa yang pernah dipelajari.

 'Matan Ajrumiah, kita asas bahasa arab, masih dalam keadaan baik di dalam simpanan. Sangat besar manfaatnya, tidak setanding dengan harganya yang sangat murah'

Sekarang ini pun sudah banyak bilah kalimah yang kian ‘terdelete’ daripada peti minda. Benarlah kata syair arab: “Bahasa itu hidup. Jika kamu tinggalkan ia, maka ia akan tinggalkan kamu.” Saya bagaikan merasai kesannya. Ya, sedikit demi sedikit saya jauh ditinggalkannya. Justeru, saya cuba juga membelek buku-buku yang pernah digunakan ketika zaman belajar dulu, ataupun sesekali melayari laman sesawang berbahasa arab. Semua itu agar tidak semakin jauh ditinggalkan, sekurang-kurangnya. 

Teringat pula pengalaman pertama mengajar bahasa arab. Ketika itu masih menetap di kampung, baru habis belajar, kerja pun tiada lagi. Lalu, apabila diminta oleh abang-abang dan pakcik-pakcik untuk mengajar di surau kecil berhampiran rumah pusaka almarhum ayahanda, tanpa berbasa-basi saya memberi persetujuan. Walaupun pada mulaya terbit juga debaran, "boleh ke aku mengajar ni?" Namun, saya mengambil fikiran positif, cari pengalaman, sekurang-kurangnya terisi juga masa sambil-sambil mengintai peluang pekerjaan. 

Kelas yang saya kendalikan itu dalam dua sesi, iaitu kelas dewasa dan kelas budak-budak. Bukan mengajar bahasa arab tinggi pun cuma kelas asas sahaja. Mudah perkataan, bahasa arab peringkat darjah satu. Yalah, saya pun bukannya MAHIR sangat dalam ertikata yang sebenar. Jangan kata saya mahu mengangkat diri dengan coretan ini, “Aku pandai bahasa arab”. Jangan, bukan begitu! Bimbang benar jika ia disalah erti. 

“Jika kita pandai ada lagi yang lebih pandai, jika kita hebat ada lagi yang lebih hebat.” Apa jua keadaan begitulah sifirnya, saya sentiasa mengingat diri. Coretan ini, begitu juga yang telah ada di dalam blog ini hanyalah sebagai perkongsian pengalaman dan untuk tatapan saya pada hari-hari hadapan. 

Balik semula, semua yang datang belajar langsung tiada asas bahasa arab. Baik kelas dewasa, maupun kelas kanak-kanak. Jadi, wajarlah saya katakan ia kelas darjah satu. Sukar juga, terutama kelas dewasa. Maklumlah, masing-masing umur sudah lanjut, ingatan pun semakin berkurang. Tetapi ada positifnya iaitu keseronokan. Sekurang-kurangnya ia sebagai latihan menguji kesabaran saya sebelum berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar pada masa hadapan. Dan yang paling utama sebagai ‘refresh’ kepada apa yang saya telah belajar. Maknanya, dalam mengajar saya turut belajar. Melihat mereka bersemangat saya tambah semangat. Mereka tambah semangat, saya tambah-tambah semangat. 

Zaman mengaji dulu-dulu 

Tersenyum saya tatkala merista zaman itu. 

Kalau masa belajar dulu, boleh dikatakan bahasa arab menjadi seperti makanan ataupun pakaian. Setiap hari tidak sah jika bibir tidak melantunkan kalimah arab. Ketika itu semua orang berlumba-lumba mahu menguasainya. Jadi, setiap orang akan menggunakan apa sahaja cara untuk menghafal qawa`id. Sampai ‘herot-merot’ mulut menghafal nahu dan sorof. Termasuk juga ma`ani, bayan dan badek di dalam ilmu balaghah. Bangga dan gembira sangat apabila berjaya menguasai satu-satu qa`edah. 

Di dalam kelas matapelajaran Bahasa Arab, memang sudah menjadi kewajipan untuk bertutur dengannya. Itu sudah semestinya. Apa sahaja kena berbahasa arab. Tengok buku tidak nampak buku tetapi nampak kitab. Tengok pen nampak qalam, tengok papan hitam nampak sabburah. Pendekata, sudah macam orang arab (perasan), cuma kulit sahaja tidak berapa nak cerah dengan hidung yang penyek dan pesek. 


“Maafkan saya wahai ustaz. Saya mahu pergi ke bilik air.” 

Tergeliat lidah mahu menuturkannya. Bukan senang mahu menyusun bilah-bilah perkataan. 

"Mengapakah kamu mahu ke bilik air?"
 
Aduh, Ustaz Zaman bertanya mengapa saya mahu ke bilik air. Takkanlah saya mahu ke bilik air untuk membaca surat khabar atau pun sekadar pergi bersiar-siar. Tentulah kerana sebab yang sudah sedia maklum. 

“Kerana sesungguhnya saya mahu pergi menunaikan hajat.” 

 “Silakan.”

Alhamdulillah, lega. Mujur tidak berterusan soal jawab. 

Kamus yang pernah diguna

Kamus pula merupakan satu benda yang wajib ada. Sekiranya tiada, maka akan terencatlah sesi pengajian. Dengan adanya kamus, maka dapatlah mengetahui makna perkataan untuk menambah perbendaharaan kata. Masih saya ingati, kamus yang saya gunakan dulu adalah kamus al-Marbawi karangan Tuan Guru Syeikh Idris al-Marbawi rahimahullah. Masa itu, memiliki kamus al-Marbawi terasa ‘hebatlah’. Kamus-lah yang hebat, tuan punya kamus (saya) belum tentu lagi. Kamus al-Marbawi turut digunakan oleh para penuntut di al-Azhar. Mungkin hebatnya letak disitu. Wallahua`lam. 

 'Kamus al-Marbawi'

Kamus al-Marbawi milik saya berkulit tebal dengan warna hijau yang menyerlahkan. Selain itu, ada banyak yang selain daripada warna tersebut. Tetapi saya membeli yang berwarna hijau. Mengapa? Entahlah, sejuk mata memandang barangkali. 

'Kamus Arab - Indonesia'

Manakala kamus yang tidak kurang hebatnya yang turut saya miliki ialah kamus Arab-Indonesia karangan Prof. Mahmud Yunus rahimahullah. Berkulit nipis warna kuning yang menyerlahkan. Kertasnya sama seperti kertas kitab lama atau lebih dikenali dengan kitab kuning. Kertas mudah terkoyak jika tidak berhati-hati membelek helaiannya. 

Kedua-dua kamus tersebut masih saya simpan dengan baik. Cuma kamus yang disusun oleh Prof. Mahmud Yunus sudah banyak helaian yang berlubang ditebuk bubuk buku, namun dalam kondisi yang masih boleh dibaca. Allahu rabbi, besar sungguh jasa kedua-dua kamus tersebut kepada saya di sepanjang tempoh belajar bahasa arab. Semoga Allah merahmati kedua-dua pengarangnya. Selain daripada itu ada beberapa lagi kamus yang saya beli, antaranya Kamus Jamak Taksir susunan Ustaz Abu Zar.

Hari ini bermacam-macam kamus yang terdapat di toko buku. Ada kamus al-Khalil, kamus al-Farid, kamus al-Munawwir dan sebagainya. Tetapi saya rasa isi kandungannya lebih kurang sama, jika berbeza pun dalam peratus yang amat sedikit. 

Seingat saya, dulu belajar apa yang ada di dalam buku sekolah.Tidak banyak sumber tambahan yang lain. Oleh kerana itu sahaja sumber-sumber pembelajaran yang ada, maka sudah semesti ia dijaga dengan baik. Tetapi akhirnya lunyai juga. Yalah, hari-hari membeleknya. Tetapi ada juga buku-buku yang masih dalam keadaan baik sehingga sekarang. 

Zaman ini pula, saya melihat tidak terlalu sukar untuk belajar bahasa arab. Banyak sumber yang boleh didapati. Pusat-pusat tuisyen bahasa arab tumbuh di merata-rata. Pilih sahaja mahu kelas dewasa, kelas remaja, kelas kanak-kanak dan sebagainya. Selain daripada itu, bahan-bahan bacaan berbahasa arab termasuk buku-buku belajar bahasa arab pun banyak. Kunjungilah toko-toko buku, anda pasti menemuinya. Pilih sahaja yang mana satu idaman kalbu. 

Begitu juga di dalam internet, melalui youtube, laman web dan page group FB, pun boleh belajar. Bahkan sekarang ini ada juga whatsapp group belajar bahasa arab. Canggih! Semua itu menjadi wasilah untuk meneroka dan mempelajari bahasa arab biarpun tidak berapa lengkap dan sempurna berbanding kita berdepan dengan guru. Sekurang-kurangnya ada juga usaha dan ikhtiar untuk memahami bahasa rasulullah saw ini. Tunggu mahu atau tidak mahu sahaja. 

'Al-Lughatul `Arabiyah Li As-sanah Al-Rabi`ah - Hadiah daripada seseorang yang bergelar abang senior'

Ayuh sahabat-sahabat, pelajarilah bahasa arab jika ada ruang dan peluang. Saya sendiri secara peribadi pun mahu belajar lagi untuk memperkemas mana-mana yang longgar. Tidak rugi! Insya-Allah kita akan merasa kelainan sekiranya dapat memahami bahasa arab biarpun sedikit. Tentunya apabila bersembahyang, membaca al-quran dan sebagainya, kita akan lebih terisi dan menjiwai kerana memahami apa yang dibaca. Sekurang-kurangnya jika tidak memahami sepenuhnya ayat yang dibaca, kita tahu apa yang mahu disampaikan oleh ayat tersebut. 

Tiba-tiba rindu zaman belajar dulu... 

Eh, saya belum memberikan jawapan kepada pertanyaan sahabat saya tadi. 

Bagaimana ya? 

“Insya-Allah, tengok jadual dulu...” Saya membalas.

Monday 9 November 2015

Entahlah, tanpa tajuk...

Tiada kena-mengena dengan politik (sumber: Whatsapp)

Seorang sahabat berkongsi foto ini di dalam whatsapp group kami. Saya lihat ramai yang membalas dengan icon ibu jari menunjuk ke atas, tanda bagus dan bersetuju. Saya, pada asasnya juga bersetuju dengannya. Memang benar yang akan menguruskan jenazah kita tentunya yang seagama dan seaqidah, yang akan membacakan Fatihah dan Yaasin juga yang seagama dan seaqidah, yang akan mentalqinkan pun sama. Tiada siapa pun menafikannya.

Tetapi saya cuba melihat dari sisi pandang yang lain. Lalu saya menjawab: 
"Amatlah tidak cerdik jika kita mengharapkan mereka (bukan Islam) melakukan itu untuk kita. Sedangkan keber-adaan mereka di dunia ini adalah untuk kita sama saling mengenal. Begitu juga sebagai ujian untuk kita, sejauh mana kesungguhan kita berdakwah kepada mereka, seterusnya sama-sama berada di atas jalan yang lurus lagi benar. Wallahua`lam." 

Fikir-fikir.

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat. Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat. Aminn..  

"Tak apa, saya hadiahkan untuk anak..."

 'si kecil Haikal yang istimewa'

"Tak apa bang, saya belanja." Kata tukang gunting muda tersebut. Sejemput janggut menghiasi dagunya.

"Eh, macamana tu?" Saya bertanya kembali, terkejut bercampur serba-salah. Beberapa mata memandang ke arah kami.

"Lain kali kalau abang nak bergunting bawa je. Biar saya yang gunting, percuma je." Sambungnya lagi menawarkan perkhidmatan.

"Kalau macam tu agaknya sekali inilah sahaja saya datang." Saya berkata kepadanya dengan nada bergurau.

"Jangan macam tu bang. Anggap sahaja sebagai amal jariah. Abang cuma tolong doakan saya sahaja." Sambungnya lagi sambil tersenyum. Kami bersalaman sebelum berpisah.

Petang semalam saya membawa 'si kecil Haikal yang istimewa' bergunting rambut di kedai gunting berhampiran rumah. Selalunya saya memotong sendiri di rumah menggunakan mesin rambut. Tidak susah mana pun, setkan 'level' yang dikehendaki kemudian potong sahaja. Kalau mahu bergunting fesyen macam itu, macam ini, memang saya tidak reti. Tetapi semalam mesin rambut buat hal pula, motornya tidak berfungsi. Lantaran tersebut terpaksalah saya membawa Haikal ke kedai gunting. Setelah selesai bergunting, lalu terjadilah dialog seperti di atas.      

Bukan itu sahaja, kadang-kadang jika bertemu sahabat-sahabat samada di bandar, di pasar malam, ada yang menghulur wang, makanan dan sebagainya kepada anak saya yang seorang ini. Serba-salah juga dibuatnya. Itu tak mengapa lagi, kadang-kadang orang yang tidak dikenali pun melakukan perkara yang sama. lagi tambah serba-salah. 

Biasanya saya bertanya juga: "Eh apa ni?"

Jawab mereka: "Tak apa, hadiah kat anak..."

Mahu menolak bimbang mereka berkecil hati. Yalah, mana tahu mereka ikhlas memberikannya dan mengharap pahala semata-mata daripada Allah SWT. Keikhlasan adalah rahsia Allah SWT, bukan boleh ditafsir oleh mata dan hati. Hanya Allah dan diri pelaku yang mengetahuinya, kita hanya bersangka baik. Cuma tinggal saya yang berasa serba-salah, malu dan segan pun ada kerana banyak mata yang memandang. Tak apalah bukan kita yang meminta pun, seringkali saya meredakan perasaan dengan ingatan tersebut.   

Pernah terjadi satu peristiwa, sewaktu saya membawanya menjalani rawatan di IJN. Usai semua urusan rawatan, kami berdua menapak keluar menuju ke jalan besar. Tiba-tiba berhenti sebuah kereta, pemandunya menghampiri kami dan menghulurkan sejumlah wang seraya berkata: "Sedekah untuk anak."

Dalam keadaan tergamam, saya menjawab: "Maaf encik, kami tak boleh terima sedekah."

"Kalau begitu saya hadiahkan..." Lalu menutup pintu kereta meninggalkan kami dalam keadaan terkebil-kebil.

Allahu rabbi...

Friday 6 November 2015

Majlis Ilmu sekitar Kuantan. Pilih-pilih...

Assalamualaikum warahmatullah. Kepada semua yang berdekatan, dijemput hadir ke majlis ilmu di sekitar Kuantan. Pilih yang mana satu idaman kalbu...

Kuliah Maghrib Perdana oleh Ustaz Azhar Idrus
06 November 2015 (Jumaat)
Masjid Tepian Putra (Berhampiran ECM)


 Kuliah Muslimat (Soal Jawab Agama Fiqh Wanita) bersama Ustaz Azhar Idrus
07 November 2015 (Sabtu) Jam 9.00 pagi
Surau ar-Rayyan Indera Mahkota 15


Kuliah Ilmu Ustaz Aswad Nasron

06 November 2015 (Jumaat)
Khutbah Jumaat - Masjid Batu 11
Kuliah Maghrib - Masjid Tg Afzan Indera Mahkota

07 November 2015 (Sabtu)
Kuliah Subuh - Surau Tajul Akhbar Indera Mahkota
Kuliah Zuhur - Masjid Tepian Putra ECM
Kuliah Maghrib - suru ar-Rayyan, IM 15

08 November 2015 (Ahad)
Kuliah Subuh - Surau Tmn LKNP Bkt Setongkol
Kuliah Dhuha - Masjid Fatimah az-Zahra Indera Sempurna
Kuliah Maghrib - Masjid KOTASAS


Kuliah Maghrib Berganda di Masjid Fatimah az-Zahra Indera Sempurna

07 November 2015 (Sabtu)
Ustaz Aris hazlan

08 November 2015 (Ahad
Ustaz Norazli Musa (Ustaz Taliban)

##Jom semarakkan majlis ilmu!

Wednesday 4 November 2015

Tuesday 3 November 2015

Jengka Street dan Pulau Tawar


Pada Sabtu yang lalu, sekali lagi kami sekeluarga ke Pulau Tawar. Kebiasaannya saya ke sana bersama isteri serta si kecil Haikal. Kebetulan pula minggu ini serentak angah Salina dan acik Adawiyah pulang dari asrama, maka dapatlah kedua turut bersama. Maklumlah, seorang bersekolah di Pahang, manakala seorang lagi di Terengganu. Jadi, berlainan hujung minggu, itu yang jarang dapat bertemu. 

Tujuan kami ke sana kerana mahu melawat anak sulung yang belajar di SMAPT. Sebulan lebih beliau tidak pulang dari asrama. Tentunya, kerana sibuk dengan persiapan menghadapi peperiksaan SPM. Katanya setiap hari Sabtu dan Ahad ada kelas tambahan, itu yang menyebabkan dia tidak dapat pulang ke Kuantan. Oleh itu, disamping melawat dan bertanya khabar, dapat juga kami semua memberi semangat dan motivasi bagi menghadapi medan tempur tersebut. Semoga dipermudahkan semua urusannya. 

Selain itu, angah Salina juga bakal menduduki peperiksaan akhir peringkat Rabi’ - E’dadie pada 05 November ini. Sekiranya lulus, maka akan dapat menyambung pengajian di peringkat Thanawi. Jika gagal, maka terpaksalah mengulang semula selama setahun. Insya-Allah mudah-mudahan lulus. 

Seawal 7 pagi, roda motokar meluncur perlahan di dada aspal. Cuaca mendung seakan mahu menumpahkan hujan. Biasalah, saya kira ia sudah permulaan memasuki musim tengkujuh. Bimbang hati saya sekiranya banjir tahun ini. Sudah terdengar cakap-cakap, banjir tahun mungkin teruk angkara bauksit. BAH MERAH! Wal’iyazubillah, semoga Allah melindungi kami semua. Oh ya, memang sengaja kami keluar awal kerana ada rancangan yang telah diatur. Bukan rancangan besar pun cuma biasa-biasa sahaja. Sebenarnya kami merancang mahu singgah di Jengka Street sebelum ke Pulau Tawar. Saya percaya orang Pahang tentu tahu. Kak Paridah (karyaku-paridahishak.blogspot.my) pun tentu biasa dengannya.  Betul tak?


Jengka Street merupakan antara pasar borong terbesar di Pahang. Terdapat pelbagai produk pakaian amnya. Dulu ia lebih dikenali dengan nama Pasar Panas. Sebabnya saya tidak pasti. Tetapi saya beranggapan kerana kanopinya yang rapat bersambung dan panjang. Jadi, bila berjalan memang panas meruap-ruap. Saya sendiri basah lencun dengan peluh dek jauh berjalan dari satu kanopi ke kanopi yang lain. Mujurlah baru-baru ini cuaca mendung. Tapi itu cuma anggapan sahaja daripada pengalaman sendiri. Kalau salah maafkan saya. 

Pasar Borong Jengka Street juga menawarkan harga borong dan tolak bagi para peniaga runcit dan potongan harga menarik bagi pengunjung yang datang. Dibuka pada setiap hari Sabtu, bermula jam 7.30 pagi hingga 3 petang. Pelbagai produk berasaskan kain menanti dengan harga yang sangat menarik. Datanglah, anda pasti teruja! 

Setelah lebih sejam menapak dan mencuci mata di Jengka Street, kami mula bergerak ke Pulau Tawar. Pemanduan cukup lancar dengan cuaca mendung yang mengiringi perjalanan. Dipendekkan cerita, setiba di SMAPT dapatlah bertemu dengan anak sulung dan memberi sedikit nasihat dan motivasi. Alhamdulillah. 


Dalam perjalanan pulang saya telah berkira-kira mahu singgah di Galeri Mat Kilau yang baru dibuka. Letaknya di kepala simpang masuk ke Pulau Tawar di kampung Bukit Rang. Saya perasan papan tandanya sewaktu perjalanan datang tadi, tertera “GALERI MAT KILAU – 200 meter”. Wah, sebagai peminat sejarah terutama sejarah negeri Pahang, ia tentu sesuatu yang sangat menarik. Saya membaca pada banner yang digantung dalam pagar, majlis Perasmian Galeri Mat Kilau telah diadakan pada 29 September 2015 (Selasa) pada jam 3.00 petang bertempat di Galeri Mat Kilau , Pulau Tawar Jerantut. Perasmian telah dilaksanakan oleh YB. Dato' Dr. Ahmad Shukri bin Haji Ismail, DSAP., DIMP. Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar. Galeri ini dibuka setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Tiada bayaran masuk dikenakan. 

Namun cukup menghampakan kerana pintu pagarnya tertutup dan tidak ada tanda-tanda petugas di dalamnya. Pelik juga. Melihat pada bannernya sudah betul, saya datang pada hari dan masa yang ditetapkan untuk melawat. Tetapi mengapa jadi begini? Saya meninjau-ninjau juga dari luar pagar untuk mensahihkan bahawa memang tiada orang. Ya, saya tidak melihat seorang pun kelibat petugas. Tidak mengapa, saya akan datang lagi pada hari yang lain, insya-Allah. Namun rasa terkilan tetap ada.