Sahabat Sejati

Tuesday 2 February 2016

Andai tidak mampu melakukan kebaikan, jangan pula melakukan keburukan...

Beg plastik di sisi saya ambil, lalu ikatannya saya rungkai perlahan-lahan. Lantas saya keluarkan buku yang baru dibeli tadi, satu lagi koleksi untuk perpustakaan peribadi saya. Senyum sendirian tatkala menatap kulit hadapan, ada riak-riak mendamaikan. Sambil-sambil menunggu waktu solat bolehlah saya isi dengan membaca, sekurang-kurangnya tidaklah membuang masa walaupun ianya sebentar. 

Di beberapa sudut saya melihat ada yang sedang membaca al-Quran, ada yang sedang berbual-bual, ada yang menyandar di tiang sambil jari mengira butiran tasbih, dan ada juga sedang berbaring. Masing-masing dengan urusan sendiri. Hakikatnya mereka semua sedang menunggu masuknya waktu solat. 

Buku telah pun ditangan. Helaian-demi helaian saya selak. Tiba-tiba mata saya tertumpu pada perenggan sebelah atas. Teruja dengan coretan pengarangnya. 

 foto hiasan - sumber

Suatu hari seorang guru berkata kepada muridnya: “Wahai Ahmad, jadilah kamu bintang; jika tidak mampu menjadi bintang, maka jadilah bulan, dan jika kau tak mampu menjadi bulan, maka jadilah kamu matahari.” 

Sang murid kemudiannya bertanya: “Wahai guru, sesungguhnya bulan lebih terang dibandingkan dengan bintang dan matahari lebih terang daripada bulan, mengapa guru membalikkan urutannya?” 

Sang guru menjawab: “Wahai muridku, yang aku maksudkan adalah jadilah kamu seperti bintang yang muncul pada awal malam dan tenggelam pada waktu fajar, maka bangunlah untuk beribadah kepada Rabbmu sejak awal malam hingga akhir malam. Jikalau engkau tidak mampu solat malam setiap hari, maka jadilah kamu laksana bulan, yang terbit pada sebahagian malam kemudian lenyap, maka bangunlah pada sebahagian malam untuk beribadah kepada Rabbmu. Jika kamu tidak mampu juga untuk solat malam, maka jadilah kamu laksana matahari, terbit sejak awal pagi hingga tenggelam pada petang hari; jikalau kamu tidak kuasa untuk solat malam, maka jangan sekali-kali kamu bermaksiat kepada Allah SWT pada siang hari!” 

Membaca coretan ini benar-benar menginsafkan. Betapa indah perumpamaan yang diberikan. Sifirnya mudah, jika tidak mampu berbuat kebaikan, jangan pula kita menjadi pelaku keburukan. Saya membuat contoh, jika tidak mampu bangun sembahyang malam, janganlah pula kita sesekali terlupa berniat untuk bangun malam. Seandainya tangan kita tidak mampu untuk bersedekah, maka kawallah ia daripada membuat aniaya dan kerosakan. Janganlah sampai tangan itu kita jadikan untuk menzalimi makhluk yang lain, mengambil hak orang dan sebagainya.  

Demikianlah agama mendidik kita agar sentiasa melakukan kebaikan, tetapi andainya tidak mampu atau kuat untuk melakukan kebaikan, maka jagalah ia daripada melakukan keburukan.

Dunia untuk akhirat (ingatan buat diriku) 

Kehidupan kita di dunia ini adalah medan untuk kita membina akhirat kita. Ikhtiar untuk membina kehidupan kedua iaitu di akhirat nanti bergantung kepada kehidupan di sini. Di sana tiada lagi ikhtiar dan usaha, yang ada hanyalah balasan semata-mata. Oleh itu, peluang yang ada ini hendaklah digunakan sebaiknya untuk mencorak kehidupan di akhirat. Kebahagiaan di akhirat ada kekal, begitulah sebaliknya. Tiada ruang untuk kembali semula memperbaiki kehidupan. Masanya adalah ketika ini. 

Maka, bagaimana kita mahu membina kehidupan di dunia ini? Tidak lain dan tidak bukan berpandukan kepada Islam yang diturunkan oleh Allah SWT. Islam mengajak dan mengajar manusia untuk membina kehidupan yang seimbang dan sempurna. Baik dari sudut fizikal maupun dari sudut kejiwaan. Marilah kita menyusun dan merancang kehidupan kita dengan baik. Kita akan lihat banyak ruang yang kita miliki untuk diisi. Susunlah kehidupan kita, contoh teladan yang terbaik adalah melalui akhlaq yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Rasulullah saw. 

Sa`ad bin Hisham pernah bertanya kepada ‘Aisyah rha. tentang akhlaq Rasulullah saw, maka `Aisyah rha menjawab: “Akhlaq baginda ialah al-Quran.” Lalu Sa`ad berkata: “Sungguh aku ingin berdiri dan tidak lagi menanyakan sesuatu yang lain.” (Riwayat Muslim) 

Bahagia dunia. 

Bahagia akhirat. 

Mudah-mudahan.

2 comments:

paridah said...

Assalam...n3 yg sgt memotivasikan diri...benar sekali jika xmampu melakukan kebaikan yg banyak walau sedikit sdh memadai n jgn sesekali berbuat kerosakan n saling memperhatikan antara kita kerana dlm kehidupan di dunia sementara ini biarlah harmoni sentiasa.

abuikhwan said...

Salam kak Paridah,
Terima kasih atas kujungan. Semoga memberi manfaat.

Post a Comment