Sahabat Sejati

Friday 29 July 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 76

Salam Jumaat.


"Jika anak-anak kita akan menghadapi peperiksaan, kita akan berpesan kepadanya, jawab sebagaimana yang cikgu ajar. Jika betul, lulus. Jika salah jawabnya, gagal. Di akhirat kelak, peperiksaan di hadapan Allah SWT nanti juga memerlukan kepada jawapan yang sama dengan cikgu ajar. Cikgu itu ialah Rasulullah saw yang diutuskan oleh Allah SWT. Jawab seperti yang cikgu ajar, syurga balasannya. Gagal menjawabseperti yang diajar cikgu, nerakalah balasannya..."

(Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)

Thursday 28 July 2016

Taman Syurga: Ceramah Perdana


CERAMAH PERDANA

Tajuk: Ikhtibar Dari Ghazwah al-Hunain
Penyampai: Al-Fadhil Ustaz DR Riduan Mohamad Nor al-Jundi
Tarikh: 29 Julai 2016
Hari: Jumaat
Masa: 7.30 Malam
Tempat: Musolla ar-Raudhah, Taman Pelindung Perdana, Kuantan

Kepada yang berkelapangan khususnya warga Kuantan dijemput hadir beramai-ramai.

Wednesday 27 July 2016

Alhamdulillah, mudahnya hari ini..

'foto hari raya 1437H tempohari'

Alhamdulillah, selesai sudah satu amanah yang terpikul. Cepat pula urusan temujanji hari ini, lebih daripada biasa. Sebenarnya saya hari ini sekali lagi membawa si Haikal memenuhi temujanji di klinik mata HTAA. Seperti biasa, setiap kali ada temujanji di hospital saya akan mengambil cuti. Kalau ambil 'time slip' bimbang tidak sempat. Masa urusan tidak tentu, kadang-kadang cepat, kadang-kadang mengambil masa yang agak lama. Bermula dengan mengambil nombor giliran sehinggalah bertemu dengan doktor pakar. 

Tetapi hari ini urusan selesai agak cepat, tidak sampai pun satu jam. Mudah sahaja satu-satu proses. Bermula pendaftaran, kemudian ambil nombor giliran. Tidak lama nombor dipanggil untuk proses titis ubat mata untuk mengembangkan anak mata. Selalunya si Haikal memerlukan sampai tiga kali titis barulah anak matanya dapat kembang. Jika satu kali titis jangan harap! Itulah yang seringkali terjadi sejak mula-mula menjalani rawatan mata di hospital. Belum pernah lagi sekali titis, terus ok!

Bayangkan sekali titis perlu menunggu selama dua puluh atau tiga puluh minit, barulah jururawat bertugas memeriksa samada anak mata sudah kembang atau tidak. Jika tidak perlu dititis sekali lagi. Kena tunggu lagi. Kadang-kadang rasa iri hati melihat orang lain yang cukup sekali titis sudah kembang anak mata dan sudah boleh bertemu doktor pakar. Alhamdulillah, hari ini sekali titis sudah kembang. Tidak lama menunggu, nombor pun dipanggil untuk urusan bertemu doktor pakar.     

Hasil pemeriksaan hari ini, doktor pakar memberi dua cadangan untuk memulihkan penglihatan si Haikal. Pertama, melalui pembedahan memasukkan kanta dalaman. Namun, pembedahan dilakukan di Hospital Selayang kerana ketiadaan pakar di hospital sini. Kosnya pula... terduduk saya mendengarnya (kebetulan saya sedang duduk ketika itu). Walaupun dengan pembedahan ini, cermin mata tetap perlu dipakai. Tetapi tahap 'power' kantanya dapat dikurangkan. Cuma kata doktor risikonya tetap ada. Ahh, ini yang tidak berapa sedap didengar. Lepas satu, satu risiko dikhabarkan. Pilihan kedua ialah dengan memakai cermin mata yang berkapasiti tinggi tahap 'power' kantanya. Doktor mencadangkan pilihan yang kedua, dan saya bersetuju dengan dada yang terbuka. Melupakan terus pilihan yang pertama daripada minda.    
  
Usai temujanji, saya memimpin tangan si Haikal menuruni anak tangga hospital. Tidak ramai yang menggunakan tangga. Saya pula sengaja tidak mahu menggunakan perkhidmatan lif kerana menyokong kempen 'naik dan turunkan tangga untuk jantung'. Lagipun tidaklah tinggi mana cuma satu tingkat sahaja. Pernah saya tekadkan diri untuk menapak anak tangga setinggi tujuh tingkat sewaktu melawat seorang kenalan di dalam wad. Naik mengah dibuatnya. Maklumlah lama sangat tidak 'exercise'. Kalau zaman belajar dulu, jolokan 'sport man' memang sinonimlah. Itu dulu, cerita lama.    

Sebelum pulang ke rumah kami berdua singgah dulu di kedai makan yang berhadapan dengan Masjid Negeri. Lama tak mencicip menu di situ. Pekena roti telur dulu. Sementelah lagi roti telur memang di antara kesukaan si Haikal. Minuman pula, si Haikal sukakan 'milo', samada suam atau sejuk. Maka menciciplah kami berdua dengan rasa syukur, masih ada rezeki untuk kami. Masing-masing dengan sebiji roti telur dan segelas milo suam. Alhamdulillah.

Tulisan ini bukan ilmiah, jauh sekali berfalsafah. Tulisan ini biasa-biasa daripada seorang yang biasa-biasa, sementara menanti hujan teduh di luar. Selepas hujan sidang, ada pula sahutan katak yang menjadi hiburan halwa telinga. Peneman sebelum melelapkan mata.           

Tuesday 26 July 2016

Taman Syurga: Jihad Akbar


Kuliah Maghrib

Tajuk: Jihad Akbar
Penyampai : Maulana Johari Ali al-Jenderaki
Tarikh: 27 Julai 2016
Hari: Rabu
Tempat: Masjid Imam Ash-Shafie Kotasas Kuantan

Kepada yang berkelapangan khususnya warga Kuantan dijemput hadir beramai-ramai.

Sunday 24 July 2016

Tuan Guru Salleh Musa kembali ke rahmatillah


Daripada Abdullah bin 'Amru fin al 'Ash Rodiyallahu 'anhuma, aku mendengar Rasulullah saw bersabda: "Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekali gus dari dada manusia, tetapi Allah menghilangkan ilmu dengan mematikan alim ulama'. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama', orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka, dan apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang yang lain." (Riwayat Muslim) 

Meninggalnya ulama adalah satu musibah yang besar kepada ummah, dan satu kelompongan yang tidak mampu ditampal semula. Walaupun ada kalimat yang berbunyi, "Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti", namun tidak mungkin ia akan sama dengan yang sebelumnya.

Dengan penuh dukacita, hiba dan redha dengan ketentuan-Nya, saya melahirkan ucapan takziah kepada keluarga, handai taulan serta seluruh murid Allahyarham Tuan Guru Haji Salleh Musa, Mudir Madrasah ar-Rahmaniah, Sik, Kedah, yang telah kembali ke rahmatillah pada 22 Julai 206, jam 8.15. 

Tiadalah perkataan yang diucapkan melainkan apa yang baik berkenaan beliau. Beliau adalah seorang yang alim dan sangat berjasa besar dalam menyumbang kepada perkembangan ilmu dan dakwah. Saya percaya pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar kepada umat Islam, khususnya penduduk negeri Kedah Darul Aman.

Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat, keampunan dan dikurniakan kebaikan serta ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmat-Mu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya. Amiinn.

 'Perjalanan terakhir'

Friday 22 July 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 75

Salam Jumaat Mubarakah.


"Bila kita membeli belah di kedai, kita tukarkan duit dengan barang. Oleh yang demikian, kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di depan mata. Namun sedarkah kita bila kita laburkan duit untuk kebaikan, seperti kita membeli pahala dengan duit kita. Walaupun pahala ini benda yang tidak nampak, tetapi itulah duit kita di akhirat..."

~Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat~ 

Thursday 21 July 2016

Taman Syurga: Kuliah Khas THIBBUN NABAWI


KULIAH KHAS THIBBUN NABAWI

Penceramah: Dato' Ustaz Sharhan bin Shafie
Tarikh: 23 JULAI 2016
Hari: Sabtu
Tempat: Masjid Imam Ash-Shafie Kotasas, Kuantan

(Kuliah selepas maghrib, rawatan perubatan selepas solat isyak)

"Kepada yang berkelapangan khususnya warga Kuantan dijemput hadir beramai-ramai"

Wednesday 20 July 2016

Seronoknya...

foto hiasan (sumber: whatsapp group Rakan Masjid Qaryah Balok)

Seronok melihat surau dan masjid meriah dengan kebanjiran para jemaah. Ada sesetengahnya sehingga melimpah keluar. Golongan dewasa serta kanak-kanak berduyun-berduyun memakmurkan rumah Allah. Jika sebelum ini ada yang jarang-jarang datang ke surau atau masjid, tetapi berkat bulan ini mereka meringankan kaki untuk melangkah. Silaturrahim terjalin mesra sesama ahli qaryah. 

Seronok mendengar alunan kalamullah yang berkumandang. Gemersik kemerduan suara para hafiz yang dijemput menjadi imam terawih menggamit sesiapa yang mendengar. Kemudian ada pula majlis tadarrus al-Quran setelah selesai berterawih. Tidak cukup di surau dan masjid, bersambung pula di rumah. Pendekata, al-Quran menjadi sibuk dibuka dan dibelek helaiannya. Tidak seperti bulan-bulan sebelumnya, al-Quran diselimuti habuk kerana jarang bersentuh. 

Seronok melihat huluran tangan-tangan kemurahan. Infaq, sumbangan, derma dan sebagainya bagaikan bersambungan memenuhkan harapan si peminta. Bermacam-macam tabung yang tersedia menanti untuk diisi. Si pemberi menghulur tanpa berkira, si peminta pula wajah tersenyum girang. 

Alhamdulillah, inilah rahmat dan keberkatan yang satu, suasana yang jarang kedapatan di bulan-bulan lain. Inilah Ramadhan yang mampu menukar watak sesetengah insan. Menundukkan nafsu yang sekian lama menjadi bak raja. 

Mudah-mudahan ia menjadi kesinambungan pada bulan-bulan seterusnya... Syawal, Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram.. sehinggalah bertemu Ramadhan kembali.. 

Seputar pesanan ulama, “Jadilah hamba Allah, jangan menjadi hamba Ramadhan...”

Taman Syurga: Ceramah Perdana bersama Ustaz Azhar Idrus


CERAMAH PERDANA BERSAMA USTAZ AZHAR IDRUS

Tarikh : 20 Julai 2016
Hari : Rabu
Masa : 9.00 Malam 
Tempat : Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota Kuantan
Tajuk : Cabaran Perniagaan di Akhir Zaman

Dijemput hadir kepada semua yang berkelapangan khususnya warga Kuantan!

Tuesday 19 July 2016

Selamatkanlah kami di usia 40 tahun

 'sudah usia 40'

"Assalamualaikum, tahniah." Pesanan diterima.

"Alaikum salam, kenapa ye?" Saya membalas.

"Anta sudah 40 hari ini.." Dia menyambung pesan.

"Oh itu..." Ketawa kecil, sambil meraba-raba rambut di kepala. Sudah ada beberapa helai yang berwarna putih.

Pantasnya masa berlalu dan merubah sesuatu.

"Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan muda sebelum kedatangan waktu tuamu, keadaan sihatmu sebelum kedatangan sakitmu, keadaan kaya (berada) sebelum ketibaan keadaan fakirmu, keadaan lapangmu sebelum kedatangan waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya kematianmu." (Diriwayatkan Imam al-Hakim daripada Ibnu Abbas radhiallahuanhu)

Allahu Rabbi...

Friday 15 July 2016

Selamat Hari Raya dari Kemboja

Assalamualaikum warahmatullah. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin serta salam Jumaat yang diberkati.  Semoga sahabat-sahabat sentiasa diberikan rahmat dan kebaikan di dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

Lama juga 'Kembara Mencari Hamba' tidak bersiaran, maklumlah bercuti raya, maka blog pun turut bercuti. Tatkala membelek-belek blog beberapa sahabat, terkesan dan seronok melihat foto-foto suasana sambutan aidilfitri baru-baru ini. Jadi, hari ini dengan senyuman ceria dan semangat yang berkobar-kobar terasa ingin juga berkongsi beberapa foto kemeriahan hari raya. Tetapi ia bukanlah foto saya, ianya adalah foto kiriman sahabat saya Ustaz Yusuf 'Kemboja' melalui whatsapp group kami. Yalah, tengok pada tajuknya pun dan sentap, seolah-olah saya beraya di Kemboja. Sebenarnya tidak.

Ustaz Yusuf adalah seorang imam tahfiz yang berasal nun jauh di Kemboja. Sudah beberapa tahun beliau dijemput menjadi imam tarawih di masjid tempat saya. Dek kerana kekerapan datang ke Malaysia, samada menjadi imam tarawih atau mencari dana untuk pondoknya, beliau sudah boleh berbahasa melayu walaupun dalam keadaan pelat-pelat. Paling lucu tatkala membaca whatsapp yang dihantar dengan ayat yang 'tunggang-langgang'. Ada ketikanya saya terpaksa mengambil masa untuk memahami apa yang ditulis. Mujurlah ia dihantar melalui group, jadi adalah sahabat lain yang membetulkannya.

Apapun, saya amat memuji semangat dan kegigihan beliau menyebarkan dakwah di tempatnya walaupun dalam serba kekurangan. Selamat maju jaya duhai sahabatku!

##sumber foto: (group whatsapp Rakan Masjid Qaryah Balok)


 'Sungai Mekong'


'Alhamdulillah, surau dengan pembesar suara yang baru hasil sumbangan dana jemaah masjid kami. Semoga Allah SWT membalas dengan sebesar-besar ganjaran'


'Suasana berbuka puasa di masjid di Kemboja'


'Berbuka puasa bersama para pelajar'


'Kemeriahan aidilfitri tetap disambut biarpun serba kekurangan'




'Alhamdulillah, pemberian duit raya yang juga merupakan sumbangan daripada para jemaah masjid kami. Mudah-mudahan sumbangan yang sedikit ini dapat mengukir senyuman di wajah mereka'


 'Allah SWT jua yang membalasi para penyumbang dengan sebesar-besar ganjaran'

 'Suasana perkampungan di Kemboja. Saya pula teruja dengan rumahnya. Katanya masih ada bahagian rumah yang berdindingkan kulit kayu'


'Di antara juadah. Kuih gulung dan roti Kemboja'

Wednesday 6 July 2016

Rindu...


Rindu yang sangat meruntun jiwa ialah rindu kepada insan yang telah pergi buat selama-lamanya. Tiada mungkin untuk bertemunya kembali di dunia ini melainkan di akhirat dengan izin-Nya...

Jangan lafazkan selamat tinggal tetapi katakan semoga bertemu kembali. Jika tidak di dunia ini, insya-Allah di akhirat nanti...

Amiinn.

#abuikhwan01Syawal1437H@kampung

Eid Mubarak 1437H


Assalamualaikum warahmatullah, 

Allah SWT berfirman: “.....(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185) 

Pejam dan celik, Ramadhan berlalu mengundurkan diri. Kini tibanya aidilfitri yang disyariatkan untuk kita menyambutnya.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Dengan hamparan setulus hati, saya memohon ampun dan maaf andai ada gurisan hati disebabkan perbuatan, perkataan maupun tulisan. Saya hanya insan biasa, tentu tidak dapat lari daripada sebarang kesilapan. 

Syawal adalah satu anugerah. Manusia dijadikan tidak sama dengan bermacam-macam tabiat dan pekerti. Oleh yang demikian, sudah pasti timbul berbagai-bagai khilaf dan berbeza kata serta fikiran. Tidak sedikit kelainan itu menyebabkan tercetusnya bibit-bibit pertelingkahan. Namun, Allah SWT Maha Mengetahui apakah yang terbaik buat para hamba-Nya. Maka, dengan kesantunan-Nya, telah dianugerahkan aidilfitri untuk kita melupakan kekhilafan tersebut. 

Oleh itu, jadikanlah Syawal ini sebagai ruang dan peluang untuk kita kunjung-mengunjung serta bermaaf-mafan bagi memutikkan kembali jalinan kemesraan. Tentunya ini sesuatu yang amat sukar untuk kita lakukan di bulan-bulan yang lain. 

Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan syurga yang penuh kenikmatan pada hamba yang sentiasa memperbaiki hubungan sesama insan. Apakah kita tidak tertawan dengan janji Allah itu. Bukankah Allah tidak sekali-kali memungkiri janji-Nya. Oleh itu, ambillah kesempatan dengan kedatangan aidilfitri ini dengan sebaik-baiknya... 

Akhir kalam, Eid Mubarak Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu am wa antum bi Alf al-Khair... 

Saudara kalian, 
abuikhwan&famili

Tuesday 5 July 2016

Berbuka puasa di bawah langit terbuka

'Tahun ini pihak Majlis Perbandaran Kuantan memasang skrin besar di padang'

Kelmarin saya membawa keluarga berbuka puasa di luar. Lokasinya bukanlah di hotel atau pun restoran mewah. Cuma di tempat biasa iaitu padang Majlis Perbandaran Kuantan yang berhadapan dengan Masjid Negeri. Ia adalah lokasi pilihan kebanyakan rakyat Kuantan termasuk juga dari luar untuk berbuka beramai-ramai. Saya pula boleh dikatakan setiap tahun berbuka puasa di situ. Hmm, sudah jadi seperti acara tahunan keluarga pula. Alah, setahun sekali. Itu pun di akhir-akhir Ramadhan, biasanya sehari sebelum pengumuman tarikh hari raya. 

Saya memilih hari tersebut kerana anak-anak yang tinggal di asrama semuanya sudah pulang ke rumah. Jadi, dapatlah kami semua pergi, itu yang seronoknya. Manakala yang kedua, keadaan jalan raya yang kurang sesak tidak seperti di awal dan pertengahan Ramadhan. Mungkin kerana ramai yang telah pulang ke kampung. Tetapi mahu dikatakan kurang sesak pun tidak juga. Jem semacam juga! Cuma kuranglah sedikit. Bab nak mencari 'parking' pun satu hal. Tidak kena gaya, ‘parking’ nun jauh dari tempat ifthar. Terpaksalah menapak pula. Masa inilah terasa beruntungnya menunggang motosikal, mudah menyelit dan ‘mencilok’. Namun, setakat ini belum pernah lagi saya 'parking' kenderaan jauh dari padang tersebut. Kira beruntung lagilah. 

Seronok berbuka beramai-ramai di bawah langit terbuka. Sesekali terasa kerdilnya diri tatkala menikmati rezeki Tuhan di bawah langit nan terbentang. Untuk mendapatkan juadah brbuka tidaklah menjadi satu masalah kerana di sebelah padang tersebut letaknya bazar Ramadhan yang menjual aneka jenis juadah. Jika mahu lebih jimat boleh sahaja berbuka di Masjid Negeri, kerana pihak masjid juga saban tahun menaja majlis berbuka di sepanjang Ramadhan. 

'Pemandangan dari udara' ~ sumber: FB 

Untuk kami sekeluarga, tentunya kami lebih suka membawa sendiri makanan yang dimasak di rumah. Itu lebih jimat. Maklumlah sekarang ini serba-serbi mahal. Minyak pun sudah naik 5 sen awal Julai baru-baru ini. Mungkin kenaikan sempena aidilfitiri agaknya. Alahai naik 5 sen pun nak bising, jangan nanti ada warga yang berkata begitu. Minyak naik, barang lain pun naik juga.  Itu sudah pasti.

Apa pun Ramadhan tahun ini sudah pun berlalu pergi. Meninggalkan kita semua dan akan kembali pada tahu hadapan dan tahun seterusnya selagi belum berakhir dunia ini. Cuma adakah kita sempat bertemu dengannya? Allah jua yang mengetahui. Allahu al-Musta`an.

Monday 4 July 2016

Rileks sekejap: "Bawa berbincang elok-elok.."

sumber: FB

#Selamat balik kampung kepada semua. Senyum.

"Jangan tangan kiri tahu" pesan seorang sahabat


Usai tarawih, bergegas saya menuju ke Pusat Tarbiah untuk menyertai sahabat-sahabat yang lain. Memandangkan tarawih habis agak lewat tadi kerana ada tazkirah di pertengahannya, itu yang menyebabkan saya agak tergesa-gesa. Tazkirah malam ini sangat menarik, mengupas surah al-Qadr, yang berkaitan dengan satu malam yang agung iaitu malam al-Qadar.

Surah al-Qadar diturunkan di Makkah, sebanyak 5 ayat. Dinamakan surah al-Qadar kerana dipermulaan surah ini Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar, iaitu malam kemuliaan dan kebesaran. 

Di dalam surah ini juga Allah SWT menyatakan bahawa ibadat yang dilakukan pada malam yang mulia ini, ganjarannya lebih daripada seribu bulan yang lain. Seribu itu sudah pasti, tetapi kalimah 'lebih' itu hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui sebanyak mana ia. Oleh itu, tidak sepatutnya seseorang berkesempatan melalui 10 malam terakhir Ramadhan mensia-siakan peluang untuk beribadat padanya.

Di akhir surah ini Allah SWT menceritakan keadaan pada malam tersebut, iaitu para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhannya. Di dalam Tafsir Pimpinan Rahman disebutkan bahawa mereka turun dengan membawa segala perkara yang ditaqdirkan berlaku pada tahun yang berikutnya. Wallahua`lam.  

Kenyang dan sarat minda saya dengan penyampaian ustaz yang dijemput. 

‘Packing’ barang 


Setiba di Pusat Tarbiah, beberapa orang sahabat sudah pun menunggu. Malam ini kerja-kerja 'packing' barang sumbangan Ramadhan kembali bersambung. Program sumbangan Ramadhan ini adalah program tahunan, dan kebanyakan dananya adalah hasil sumbangan orang ramai yang akan diagihkan kepada penerima di dalam Parlimen Indera Mahkota. Peringkat pertama sudah pun selesai dan telah diagihkan kepada penerima pada minggu lepas. Anggaran penerima pada tahun ini ialah seramai hampir 1000 orang. Agihan pula mengikut zon yang telah ditetapkan. Ini untuk memudahkan kerja-kerja agihan melalui wakil-wakil yang telah dilantik. 

Alhamdulillah, walaupun penat dan ‘berperang’ dengan masa yang sentiasa mencemburui, tetapi hakikatnya kerja-kerja begini amat menggembirakan. Walaupun sumbangan yang diberikan tidaklah banyak dan mewah, hanya berupa beras, gula, minyak, susu, kopi, tepung dan sebagainya, tetapi sekurang-kurangnya dapatlah mengurangkan sedikit belanja dapur penerima. Lebih-lebih lagi dalam suasana mahu menyambut hari perayaan yang bakal menjelang. 

Semua kepenatan tidak terasa apabila melihat wajah-wajah penerima mengukir senyuman. Rasulullah saw sendiri menghabiskan masa hidupnya untuk mengukir senyuman diwajah umatnya. 

‘Jangan tangan kiri tahu’ 


Ada seorang sahabat menegur saya, katanya: “Sedekah tangan kanan, jangan tangan kiri mengetahuinya.” Maksudnya biarlah kebaikan yang dibuat itu disembunyikan. Ia adalah berkenaan keikhlasan dalam melakukan kebaikan. Sangat benar kata-katanya, saya mengakui. Keikhlasan dalam membuat kebaikan adalah pra-syarat agar ianya diterima oleh Tuhan. Barulah ia layak mendapat ganjaran di atas kebaikan tersebut. Tanpa ikhlas, maka sia-sialah apa yang dikerjakan. 

Kata-kata sahabat tersebut menusuk masuk ke dalam hati sanubari. Ia adalah lebih kepada peringatan seorang sahabat yang mendambakan kebaikan terhadap sahabatnya. Mungkin kerana beliau sering melihat saya menulis entry berkenaan program-program kebajikan dan kemanusiaan saya bersama NGO. Lalu beliau menitipkan nasihat agar saya menyembunyikannya, agar keikhlasan dapat dijaga. Demikianlah penilaian saya. 

Tetapi saya melihat dari sudut yang lain. Memang ada kebaikan yang dibuat perlu ‘didiamkan’. Namun, ulama juga mengharuskan sesuatu kebaikan yang dibuat ditunjukkan kepada orang ramai. Ia tidak lain bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan orang ramai yang melihat agar mahu turut sama berbuat kebaikan menuai bakti. Walau bagaimanapun, perlulah berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam jurang gelap riyak yang membinasakan. Sebesar debu sifat riyak yang ada, maka ia akan membakar hangus amalan yang dilakukan dan memufliskan diri di akhirat kelak. 

Apa pun, terima kasih kepada sahabat tersebut di atas peringatan yang sangat bermanfaat itu. Sesungguhnya saya sangat mendambakan peringatan dan nasihat agar tidak tersilap dalam melangkah.Kepada Allah SWT jua dikembalikan segala urusan samada yang zahir maupun yang tersembunyi.

Allahu al-Musta`an...

Saturday 2 July 2016

Catatan di akhir-akhir Ramadhan

'si kecil Haikal yang istimewa'

Alhamdulillah, anak-anak  semuanya sudah pun berada di rumah. Cuti sekolah sempena hari raya sudah bermula. Barulah terasa riuh-rendah dengan suara dan celoteh mereka. Tentunya yang paling gembira adalah 'si kecil Haikal yang istimewa'. Mana tidak gembira, apabila dapat berjumpa dengan abang dan kakak-kakaknya. Bising mulutnya dengan celoteh yang entah apa buah butirnya. Hanya Allah dan dia sahaja yang mengetahui apa yang mahu disampaikan oleh isi hatinya. Saya dan ummu Ikhwan sekadar menumpang gembira dengan karenah anak-anak. 

Minggu lepas, pihak HTAA telah menghubungi saya agar datang pada  pagi Jumaat (semalam) untuk mencuba alat bantuan pendengaran si Haikal. Memandang saya tidak mendapat cuti, lalu, ummu Ikhwan yang membawa si Haikal ke HTAA untuk mencuba alat tersebut. Itulah ceritanya yang menyebabkan si Haikal bising sangat mulutnya. Maklumlah, selama ini dia tidak mendengar apa-apa ekoran masalah pendengaran yang dihidapinya. Dunia pada pandangan matanya berwarna-wani tetapi senyap dan sunyi tanpa sebarang suara. 

Jadi, apabila telinganya sudah dapat menangkap bunyi dan suara, mulalah mulutnya bising cuba mengajuk apa yang didengar. Tetapi yang keluar daripada mulutnya hanyalah aaaa... aaaa... eeee... akkkk... akkkk.... Begitulah keadaannya, ibarat seseorang yang baru mendapat telinga. Tak apalah asalkan si Haikal gembira, kami sekeluarga turut gembira.       

Usai urusan di hospital, bergegas pula ummu Ikhwan ke sekolah acik Adawiyah untuk membawanya pulang. Along Ikhwan pulang sendiri dengan menaiki bas dari Pekan. Manakala angah Irsalina kami mengambilnya di PPTI pada hari Rabu sebelum itu. Sekaligus dengan jemputan ifthar perdana di sekolahnya. Selesai ifthar dan solat maghrib, saya memutuskan untuk terus bersolat isyak dan tarawih di situ. Ummu Ikhwan tiada masalah dan mengikut sahaja. Tidak sempat jika hendak balik bersolat tarawih di tempat saya kerana perjalanan pun mengambil masa kira-kira satu jam. Sememang tiada masalah untuk mengerjakan solat tarawih di rumah, tetapi dengan keadaan badan yang penat memandu, bimbang akhirnya saya terkulai layu tanpa sempat bersolat tarawih.     

Sejuk mata melihat para pelajar berduyun-duyun menuju ke masjid. Pelajar perempuan dengan telekung dan niqab, manakala pelajar lelaki berjubah dan berserban. Teringat apa yang pernah saya alami ketika zaman belajar dahulu. Sembahyang diimamkan oleh seorang pelajar tahfiz. Memang menjadi tugasan para pelajar bergilir-gilir mengimamkan sembahyang lima waktu dan solat tarawih. Saya yang berada di dalam saf bagaikan larut dalam perasaan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci sang imam tahfiz yang menembusi anak telinga. Bait-bait kalamullah dilantunkan dengan lancar dan merdu sekali. Allahu rabbi, cemburu pula rasa dihati. Saya tidak dikurniakan dengan kelebihan itu. Tetapi harapan untuk menjadi seperti itu sentiasa ada.

Allahu rabbi..Allahu al-Musta`an..

Friday 1 July 2016

Malam yang penuh keberkatan

foto hiasan: sumber

Antara hari dan malam kebesaran dan penuh keberkatan dalam Islam ialah malam al-Qadr atau disebut juga dengan malam nuzul al-Qur`an. Allah menjadikan malam ini penuh keberkatan, ketinggian, kemuliaan dan keagungan, sesiapa menghayatinya kerana mengharapkan keredhaan Allah nescaya diampuni dosa-dosanya yang silam. 

Tiada nas yang menentukan malam al-Qadr berlaku pada malam-malam tertentu secara yakin dan qat`i, seperti malam 27 Ramadhan atau pada malam Jumaat terakhir Ramadhan, malah mengkhususkan beribadat pada malam-malam tertentu atau di tempat-tempat tertentu juga tiada nas yang jelas. Oleh itu, menetapkan sesuatu amalan tanpa nas syar`i yang sahih adalah bid`ah dan bertentangan Sunnah Rasulullah saw. 

Malam al-Qadr sebagaimana dijelaskan di dalam al-Sunnah berlaku mengikut 4 pedoman berikut : 

• Di dalam bulan Ramadhan dan tiada malam al-Qadr dalam bulan-bulan selain Ramadhan. 
• Berlaku dalam 10 akhir Ramadhan, tidak berlaku malam al-Qadr dalam 10 pertama dan 10 pertengahan Ramadhan. 
• Berlaku pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadhan 
• Malam al-Qadr tidak boleh ditetapkan berlaku pada malam-malam tertentu seperti malam 27 Ramadhan atau malam-malam selainnya. 

Ulama mempunyai beberapa pandangan tentang hari dan waktu yang diharap-harapkan berlakunya malam al-Qadr. Pendapat yang paling kuat dan mewakili Jumhur ialah malam 27 Ramadhan dan malam-malam ganjil pada 10 Ramadhan yang akhir iaitu pada 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan, namun seperti yang disebutkan tiada nas menentukan malam al-Qadr pasti berlaku pada malam-malam ini, malah al-Hasan al-Basri berpendapat malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan. 

Antara dalil yang menunjukkan malam al-Qadr tidak boleh ditentukan dengan putus dan yakin ialah hadis riwayat al-Bukhari daripada Ubadah ibn al-Samit ra, katanya: “Nabi saw keluar untuk memberitahu kami tentang malam al-Qadr, kebetulan dua orang lelaki dari kalangan Muslimin sedang bertelagah. Lalu Nabi saw bersabda: Aku keluar untuk memberitahu kamu malam al-Qadr, ketika fulan dan fulan sedang bertelagah, lalu ia pun diangkat (dari ingatanku), semoga pengangkatan itu menjadi kebaikan bagi kamu. Oleh itu, tuntutlah malam itu pada 9, 7 dan 5 Ramadhan.” 

Berkata Ibn Hajar : Maksudnya ialah 9, 7 dan 5 daripada 10 malam Ramadhan yang terakhir, ertinya malam-malam 29, 27 dan 25 pada akhir Ramadhan. 

Kebanyakan ulama dari Syafi`yyah mentarjihkan malam 27 sebagai malam al-Qadr. Sebahagian ulama menyatakan, jika kalimah dalam surah al-Qadr ini dibilang dari awal hingga akirnya maka bilangan ke dua puluh tujuh pada perkataan "هي" yang membawa erti “itulah” (malam ke dua puluh tujuh?) 

Sebenarnya penentuan malam al-Qadr dengan perkiraan tidak bersifat ilmiah. Oleh itu, peminat dan ahli ibadat tidak perlu mencarinya dengan mengambil kira pandangan ini. Sesungguhnya, jika Allah SWT ingin menjelaskan malam ini, nescaya dijelaskan tanpa membiarkan menusia mencarinya dengan teka- teki seperti pengadu nasib yang kehilangan arah. 

Hikmah Allah SWT sengaja menyembunyikan malam ini kerana merangsang manusia melakukan ibadat sepanjang malam dan bulan, sehingga tiada malam yang kosong tanpa sebarang doa dan ibadat. Wallahua`lam.

Rehat Minda: Pesan Murabbi 73

Salam Jumaat. Salam Ramadhan.

Kita mampu memiliki hati manusia dengan:

Akhlak yang mulia
Sabar yang cantik
Baik tutur kata
Diam yang menawan
Interaksi yang elok