Sahabat Sejati

Friday 1 July 2016

Malam yang penuh keberkatan

foto hiasan: sumber

Antara hari dan malam kebesaran dan penuh keberkatan dalam Islam ialah malam al-Qadr atau disebut juga dengan malam nuzul al-Qur`an. Allah menjadikan malam ini penuh keberkatan, ketinggian, kemuliaan dan keagungan, sesiapa menghayatinya kerana mengharapkan keredhaan Allah nescaya diampuni dosa-dosanya yang silam. 

Tiada nas yang menentukan malam al-Qadr berlaku pada malam-malam tertentu secara yakin dan qat`i, seperti malam 27 Ramadhan atau pada malam Jumaat terakhir Ramadhan, malah mengkhususkan beribadat pada malam-malam tertentu atau di tempat-tempat tertentu juga tiada nas yang jelas. Oleh itu, menetapkan sesuatu amalan tanpa nas syar`i yang sahih adalah bid`ah dan bertentangan Sunnah Rasulullah saw. 

Malam al-Qadr sebagaimana dijelaskan di dalam al-Sunnah berlaku mengikut 4 pedoman berikut : 

• Di dalam bulan Ramadhan dan tiada malam al-Qadr dalam bulan-bulan selain Ramadhan. 
• Berlaku dalam 10 akhir Ramadhan, tidak berlaku malam al-Qadr dalam 10 pertama dan 10 pertengahan Ramadhan. 
• Berlaku pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadhan 
• Malam al-Qadr tidak boleh ditetapkan berlaku pada malam-malam tertentu seperti malam 27 Ramadhan atau malam-malam selainnya. 

Ulama mempunyai beberapa pandangan tentang hari dan waktu yang diharap-harapkan berlakunya malam al-Qadr. Pendapat yang paling kuat dan mewakili Jumhur ialah malam 27 Ramadhan dan malam-malam ganjil pada 10 Ramadhan yang akhir iaitu pada 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan, namun seperti yang disebutkan tiada nas menentukan malam al-Qadr pasti berlaku pada malam-malam ini, malah al-Hasan al-Basri berpendapat malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan. 

Antara dalil yang menunjukkan malam al-Qadr tidak boleh ditentukan dengan putus dan yakin ialah hadis riwayat al-Bukhari daripada Ubadah ibn al-Samit ra, katanya: “Nabi saw keluar untuk memberitahu kami tentang malam al-Qadr, kebetulan dua orang lelaki dari kalangan Muslimin sedang bertelagah. Lalu Nabi saw bersabda: Aku keluar untuk memberitahu kamu malam al-Qadr, ketika fulan dan fulan sedang bertelagah, lalu ia pun diangkat (dari ingatanku), semoga pengangkatan itu menjadi kebaikan bagi kamu. Oleh itu, tuntutlah malam itu pada 9, 7 dan 5 Ramadhan.” 

Berkata Ibn Hajar : Maksudnya ialah 9, 7 dan 5 daripada 10 malam Ramadhan yang terakhir, ertinya malam-malam 29, 27 dan 25 pada akhir Ramadhan. 

Kebanyakan ulama dari Syafi`yyah mentarjihkan malam 27 sebagai malam al-Qadr. Sebahagian ulama menyatakan, jika kalimah dalam surah al-Qadr ini dibilang dari awal hingga akirnya maka bilangan ke dua puluh tujuh pada perkataan "هي" yang membawa erti “itulah” (malam ke dua puluh tujuh?) 

Sebenarnya penentuan malam al-Qadr dengan perkiraan tidak bersifat ilmiah. Oleh itu, peminat dan ahli ibadat tidak perlu mencarinya dengan mengambil kira pandangan ini. Sesungguhnya, jika Allah SWT ingin menjelaskan malam ini, nescaya dijelaskan tanpa membiarkan menusia mencarinya dengan teka- teki seperti pengadu nasib yang kehilangan arah. 

Hikmah Allah SWT sengaja menyembunyikan malam ini kerana merangsang manusia melakukan ibadat sepanjang malam dan bulan, sehingga tiada malam yang kosong tanpa sebarang doa dan ibadat. Wallahua`lam.

1 comments:

Normala Saad said...

Betul Abu..kalau masa dulu semua ingat malam lalilatul qadar mutlak jatuh pada hari ke 27...maka banyak malam lain diringan-ringankan....Semoga hayat kita ditemukan malam yang penuh dengan barakah ini. InsyaAllah.

Post a Comment