Sahabat Sejati

Tuesday 30 August 2016

"Ikut faraid dulu..."

Usai solat asar di surau pejabat tadi, saya berbual-bual dengan beberapa orang rakan yang sama berjemaah. Duduk di tangga surau sambil memakai kasut, banyak perkara yang menjadi tajuk perbualan. Daripada satu topik bertukar ke topik yang lain. Daripada cerita kipas dan karpet surau hinggalah merebak ke cerita politik. Daripada kisah 'pokemon go' melarat pula kepada kisah anak panda yang akan dibawa pulang ke negara asal ibu bapanya.

Setelah beberapa rakan berlalu, akhirnya tinggallah saya berdua dengan abang Suhaimi. Di kalangan kami dia lebih dikenali dengan panggilan Pak Mi. Mungkin disebabkan faktor usia dan merupakan 'otai' di situ, maka dia digelar begitu. Pak Mi seorang yang ringan tulang dan suka bergurau. Ramai orang senang dengannya.

"Boleh tak kita bahagi harta pusaka tak guna hukum faraid, maksudnya kita bagi sama rata. Tapi masing setuju, ikhlas dan redha bahagi macam tu." Pak Mi bertanya kepada saya.

"Banyak ke hartanya Pak Mi? Kalau banyak sedekahlah kat saya juga." Saya menjawab sambil ketawa kecil. Pak Mi turut ketawa menampakkan giginya yang putih. Dia tahu saya sekadar berlucu.

Setelah ketawa kami mengendur, saya kembali menutur kata, "Saya ni taklah mendalami sangat ilmu faraid ni Pak Mi, sikit-sikit tu bolehlah. Kalau mahukan jawapan yang terperinci saya bukanlah tempat yang sepatutnya menjadi rujukan." Jujur saya memberi jawapan agar dia tidak tersalah-sangka. Bimbang juga ditanya dengan soalan yang pelik-pelik.

"Tetapi soalan yang Pak Mi tanyakan ini menyebabkan saya teringat kembali soalan yang pernah ditanyakan oleh guru kami sewaktu zaman belajar dahulu. Memang sama soalannya." Saya menyambung kata. Masih terbayang suasana ketika bergulat di medan tempur menuntut ilmu dahulu. Ramai rakan-rakan yang telah terputus hubungan. Yalah, masa itu tiada lagi kemudahan whatsapp, facebook, instagram dan sebagainya seperti hari ini. 

"Habis, apa jawapannya?" Soal Pak Mi. Wajah saya direnung, menunggu-nunggu jawapan yang bakal keluar daripada mulut saya.

"Agak-agak Pak Mi apa jawapannya?" Saya menyoalnya kembali, sengaja mahu menduga. Sekurang-kurangnya dapat mendengar pendapatnya.

Jawab Pak Mi, "Rasanya boleh, sebab semua dah setuju dan redha...ikhlas lagi."

"Ya, itulah juga jawapan kami semua. Yalah, masing-masing dah setuju, saling redha-meredhai, selesai." Saya membalas sambil tersenyum. Ikut logik, masing-masing bersetuju, puas hati, makna tidak timbul lagi sebarang isu. Itu jika ikut logik.

"Maknanya bolehlah, janji semua setuju begitu?" Pak Mi menyoal sekaligus menyimpul jawapan sendiri.

Saya ketawa kecil.

"Pak Mi tahu apa jawapan guru kami?"

"Apa katanya?"  Soal Pak Mi ingin tahu.

"Kamu semua ikhlas dan redha meninggalkan perintah Allah!

Ahh, terkejut kami semua. "Kamu ikhlas dan redha meninggalkan perintah Allah!" Bagaikan sebiji batu yang besar menghempap di kepala rasanya.

"Jadi tak boleh bahagi sama rata walaupun sama-sama setuju, kena ikut faraid juga?" Soal Pak Mi.

"Hukum faraid adalah yang terbaik, itu kita kena akui kerana ia adalah perintah Allah yang termaktub di dalam al-Quran. Tapi jika nak bahagi sama rata pun boleh.." Saya memberi sedikit penerangan kepada Pak Mi yang kelihatan mendengar dengan penuh minat.

"Macamana pula, tadi macam tak boleh."

"Boleh Pak Mi, tapi ada kaedahnya. Mula-mula bahagikan dulu mengikut hukum faraid. Buat pengiraan di atas kertas berapa banyak setiap orang dapat."

"Lepas tu?" soal Pak Mi lagi.

"Selepas masing-masing dah tahu jumlah yang didapati mengikut faraid tadi, dan setuju, barulah dibahagi sama rata pula. Tak susah mana pun, yang penting dahulukan hukum Allah Taala, barulah berkat dan berpahala."

Ooo.., macam tu. Bahagi ikut faraid dulu, lepas tu baru bahagi sama rata. Hmm, barulah Pak Mi faham," jawabnya sambil menyeringai senyum.

"Jangan lupa bahagian saya ye Pak Mi, 25 persen." kami sama-sama ketawa seraya berlalu menuju ke pejabat.

Friday 26 August 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 80

Salam Jumaat.


"Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan merasa bahawa disisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT sedang memantau... Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita terus lakukan dosa... Tanpa ada yakin seperti ini manusia akan hilang brek... Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung, tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka..."

~Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat

Monday 22 August 2016

Taman Syurga: Kembara Dakwah Kuantan - Haji Shamsul "Ghau-Ghau"


Tajuk : Kembara Dakwah Kuantan - Haji Shamsul "Ghau-Ghau"

Jumaat 26 Ogos 2016
Kuliah Maghrib
Surau al-Mukmin Taman Impian, Kuantan

Sabtu 27 Ogos 2016
Kuliah Subuh
Masjid ar-Rayyan Indera Mahkota 15, Kuantan

Sabtu 27 Ogos 2016
Kuliah Dhuha Muslimat
Surau al-Kalthumiah Pondok Pemuda Batu 3, Kuantan

Sabtu 27 Ogos 2016
Kuliah Maghrib
Masjid Kampung Kempadang, Kuantan

Ahad 28 Ogos 2016
Kuliah Subuh
Masjid Fatimah az-Zahra, Indera Sempurna Kuantan

Ahad 28 Ogos 2016
Kuliah Maghrib
Masjid Pandan 2 Jalan Bypass Kuantan

Kepada yang berkelapangan khususnya warga Kuantan, dijemput hadir untuk memeriahkannya.

Walimah Perdana, moga dipermudahkan...

Jam sudah pun menunjukkan pukul 12.30 pagi. Kami melafazkan tasbih kaffarah dan surah al-`Asr, menandakan telah usai mesyuarat pada kali ini. Saya terkuap-kuap menahan mengantuk. Umur yang semakin meningkat menyebabkan saya tidak mampu bertahan. Tidak seperti muda-muda dulu. Jika berborak, sampai ke santak pagi pun tidak mengapa terutama ketika tinggal di rumah bujang. Lepas satu topik ke satu topik, sedar-sedar ayam sudah berkokok. Kisah lama...

Bulan ini (termasuk bulan-bulan lain) saya agak sibuk dengan beberapa program. Jika dilihat dalam catatan diari, hampir setiap malam saya keluar berprogram dan bermesyuarat. Malam ini saya menghadiri mesyuarat bagi pelaksanaan majlis Walimah Perdana pula, yang dijadualkan pada hujung bulan hadapan. Jika diikutkan pada bulan ini saya mahu mengikuti program dakwah dan kebajikan di pedalaman Sabah bersama Yayasan Amal, namun disebabkan terikat dengan komitmen ini, saya melepaskan sahabat-sahabat yang lain ke sana. Pagi tadi, seorang sahabat mengirim foto-foto program di sana, tak apalah tengok foto pun jadilah. Insya-Allah, di masa yang lain saya akan menyertainya. Selain daripada walimah perdana, saya juga terlibat dalam kerja-kerja penerangan RUU 355 yang sedang diperkatakan ketika ini.  

Balik semula kepada judul entri. Apakah walimah perdana yang dimaksudkan ini? Sebenarnya, ia adalah satu majlis perkahwinan beramai-ramai yang melibatkan 3 kawasan (parlimen) iaitu Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar. Seramai 30 pasangan dari 3 kawasan terbabit akan disatukan dalam satu majlis. Bunyinya sangat meriah tetapi persiapan untuk menjayakannya membuatkan urusetia yang terlibat tidak cukup masa tidur. Ia adalah program besar dengan anggaran kehadiran tetamu seramai 20 ribu orang. Saya sendiri telah diamanahkan sebagai setiausaha program, dan juga merangkap ajk publisiti.

Tujuan program walimah ini diadakan ialah untuk memudahkan pasangan mendirikan rumah tangga. Penganjur cuma menetapkan bayaran sebanyak RM1500. Manakala yang lain-lain ditanggung oleh pihak penganjur. Daripada persiapan jamuan hinggalah kain untuk membuat pakaian serta promosi juga kami sediakan, Mudahkan! Dengan keadaan yang serba-serbi meningkat hari ini, maka walimah perdana adalah satu usaha dan alternatif yang bijak dan baik kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi kurang berkemampuan. 

Prosesnya tidaklah sesukar mana. Bakal-bakal pengantin perlulah mengisi borang permohonan yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Setiap permohonan tidaklah diterima terus melainkan ada kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi dan ia ditapis terlebih dahulu oleh penemuduga. Bukannya apa, sebagai langkah untuk mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari. Taklimat kepada pemohon diberikan termasuk kepada ibu bapa pemohon setelah permohonan mereka diterima. Alhamdulillah, sahabat-sahabat di pejabat agama Islam daerah juga turut menyumbang peranan memudahkan urusan. Tinggal lagi mencari dana yang menelan belanja puluhan ribu ringgit itu.

Allahu al-Musta`an...

Saturday 20 August 2016

Hukum Menyimpan Daging Korban Lebih Daripada 3 Hari

Soalan: 

Terdapat hadis daripada Nabi saw bahawa Baginda saw melarang untuk menyimpan daging korban lebih dari 3 hari. Bagaimana untuk memahami hadis tersebut? 

Jawapan: 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda saw, sahabat baginda saw serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda saw. 

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa para ulama telah berbeza pendapat terhadap hukum menyimpan daging korban melebihi 3 hari 3 malam kepada dua pendapat yang masyhur iaitu: 

Pertama: Haram menyimpan daging korban melebihi 3 hari. Ini adalah pendapat Ali ra. dan juga pendapat Ibn Umar r.anhuma. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim iaitu daripada Abu Ubaid bahawa beliau berkata:

 شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَبَدَأَ بِالصَّلاَةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ وَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَانَا أَنْ نَأْكُلَ مِنْ لُحُومِ نُسُكِنَا بَعْدَ ثَلاَثٍ 

Maksudnya: Aku telah bersama’Ali bin Abi Talib ketika hari raya (korban) maka beliau memulakannya dengan solat sebelum berkhutbah dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah saw telah menegah kita daripada memakan daging korban melebihi 3 hari”. Riwayat Muslim (1969) 

Seterusnya, Ibn Umar r.anhuma juga ada menyebutkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda: 

لاَ يَأْكُلْ أَحَدٌ مِنْ لَحْمِ أُضْحِيَّتِهِ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ 

Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu memakan daripada daging korban melebihi 3 hari. Riwayat Muslim (1970) 

Di dalam sebuah athar juga ada menyebutkan bahawa Ibn Umar r.rnhuma tidak memakan daging korban melebihi 3 hari dan ini diriwayatkan sendiri oleh anaknya Salim. 

Kedua: Dibolehkan untuk menyimpan daging korban melebihi 3 hari dan hadis mengenai larangannya itu telah dimansukhkan. Ini adalah pendapat jumhur para ulama’. 

Terdapat banyak hadis yang menunjukkan kepada keharusan menyimpan daging korban melebihi 3 hari, antaranya riwayat daripada Abdul Rahman bin ‘Abis daripada bapanya telah bertanyakan kepada ‘Aisyah r.anha adakah Rasulullah saw telah melarang dari memakan daging korban melebihi 3 hari dan jawab ‘Aisyah r.anha:

 مَا فَعَلَهُ إِلاَّ فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ 

Maksudnya: Tidaklah Rasulullah saw melakukannya (iaitu melarangnya) pada tahun di mana manusia berasa lapar dan demikian itu Rasulullah saw mahukan akan yang kaya dapat memberi makan kepada yang miskin. Namun kemudiannya kami juga menyimpan bahagian kaki kambing dan memakannya 15 hari kemudiannya. Riwayat Al-Bukhari (5423) 

Begitu juga dengan beberapa hadis yang menunjukkan bahawa larangan tersebut telah dimansukhkan, antaranya: 

i- Daripada Salamah bin al-Akwa’, telah berkata Rasulullah saw:

 ‏ مَنْ ضَحَّى مِنْكُمْ فَلاَ يُصْبِحَنَّ بَعْدَ ثَالِثَةٍ وَفِي بَيْتِهِ مِنْهُ شَىْءٌ‏‏.‏ فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَفْعَلُ كَمَا فَعَلْنَا عَامَ الْمَاضِي قَالَ :‏‏ كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا فَإِنَّ ذَلِكَ الْعَامَ كَانَ بِالنَّاسِ جَهْدٌ فَأَرَدْتُ أَنْ تُعِينُوا فِيهَا 

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan korban janganlah kamu menyimpan sesuatu pun daripada daging tersebut di rumah. Ketika mana tibanya tahun hadapan, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah saw, adakah perlu kami melakukan sepertimana tahun lepas. Jawab Baginda saw: “Makanlah kalian, berikanlah makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu yang lain”. Riwayat Al-Bukhari (5569) & Muslim (1974)

ii- Daripada Abu Said al-Khudri ra, bahawa Rasulullah saw telah bersabda:

 يَا أَهْلَ الْمَدِينَةِ لاَ تَأْكُلُوا لُحُومَ الأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلاَثٍ‏.‏ وَقَالَ ابْنُ الْمُثَنَّى ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ‏.‏ فَشَكَوْا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنَّ لَهُمْ عِيَالاً وَحَشَمًا وَخَدَمًا فَقَالَ ‏كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَاحْبِسُوا أَوِ ادَّخِرُوا ‏‏.‏ 

Maksudnya: Wahai ahli Madinah. Janganlah kalian makan daging korban melebihi tiga (hari). Maka para sahabat mengadu kepada Rasulullah saw sesungguhnya mereka mempunyai anak-anak dan juga hamba yang perlu diberi makan maka Rasulullah saw berkata: “Makanlah, dan berikan makan kepada orang lain dan simpanlah (daging tersebut)”. Riwayat Muslim (1973) 

Kesimpulan 

Melihat kepada perbahasan ini, kami katakan bahawa pendapat kedua lebih tepat dan ianya telah memansukhkan pendapat yang pertama sepertimana yang telah dinukilkan riwayat-riwayat yang berkaitan dengannya sebelum ini. 

Al-Imam al-Nawawi rahimahullah menyebutkan: “Dibolehkan untuk menyimpan sebahagian daripada daging korban. Adapun larangan menyimpan daging korban melebihi tiga hari dilarang oleh Nabi saw kemudian Baginda saw telah mengizinkannya dan ianya thabit di dalam hadis yang sahih lahi masyhur.” [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 8/418] 

Ianya juga melihat kepada ‘illah (sebab) mengapa Rasulullah saw melarangnya kerana pada waktu itu telah berlakunya musim kelaparan dan tujuan larangan tersebut adalah untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan. Sekiranya daging korban di simpan melebihi tiga hari, maka tujuan memberi makan mereka yang memerlukan tidak tercapai. Ini juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’. 

Semoga dengan pencerahan ini, maka kita dapat memahami akan illah dan juga sebab dalam sesuatu bentuk arahan serta larangan yang berkaitan dengannya daripada Rasulullah saw. Wallahu a'lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Friday 19 August 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 79

Salam Jumaat.


"Tapak kaki kita kalau dah keras, pijak paku dan duri pun tidak terasa apa, sebab tumitnya sudah keras. Tetapi kalau tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit sahaja sudah berdarah. Demikian jugalah hati, kalau ia dah keras tak terasa lagi bersalah kalau buat dosa."

Murabbi Ummah
~Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat~

Tuesday 16 August 2016

Ampunkan hamba yang sentiasa lemah dalam keyakinan kepada-Mu.

'Set alat pendengaran si kecil Haikal yang istimewa'

Terpancar kegembiraan di wajah ‘si kecil Haikal yang istimewa’ tatakala dipakaikan alat bantuan pendengaran di telinganya. Bising sekali mulutnya berceloteh dengan bahasa yang tidak kami fahami. Maklumlah hampir setahun menunggu ia diluluskan, setelah alat yang pertama dulu mengalami kerosakan dan tidak dapat dibaiki lagi. 

Alhamdulillah, mujurlah ada tambahan peruntukan daripada pihak kebajikan hospital untuk membeli alat tersebut. Jika tidak, terpaksalah saya membayar sepenuhnya yang berharga dalam linkungan enam ribu lebih. Demikianlah kata guru saya, selagi ada perkataan ‘mujur’ dan ‘nasib baik’, selama itulah bukti adanya rahmat Allah SWT. Sekali lagi, alhamdulillah. 

Dalam keasyikan melihat dan mendengar celoteh ‘si kecil haikal yang istimewa’ yang tidak tentu butir perkataan, saya teringatkan sesuatu. Pernah ketikanya tiba-tiba terdetik di hati kecil saya yang dhaif ini. 

“Bagaimanakah agaknya si Haikal mahu mmeneruskan kehidupan sekiranya saya dan ummu Ikhwan tiada nanti..” 

Tidak semena-mena perasaan saya menjadi sebak. Lama lidah saya kelu tanpa bicara. 

Ya, bagaimanakah kehidupannya nanti. Tanpa pendengaran, tanpa suara, masalah pada penglihatannya, jantungnya dan berbagai-bagai lagi. Mampukah dia berdikari? Atau samakah orang lain yang menjaganya sebagaimana kami menjaganya? Mandi, memakai pakaian, menceduk makanan dan menuang minuman memerlukan bantuan orang lain. 

Malahan jika mahu melangkah di tempat yang kurang rata pun terpaksa menggagau atau menupang pada orang lain. Jika tidak dipimpin tangannya, jenuhlah menunggu dia melangkah dalam keadaan takut-takut. Ada satu kejadian, dia langsung tidak melangkah. Berdirilah dia di situ dalam keadaan resah. Kasihan melihatnya, saya berpatah balik lalu menyambut tangannya melangkah perlahan-lahan. Sebenarnya niat saya mahu melatihnya melangkah sendiri, sebab itu saya meninggalkannya agak jauh sedikit di belakang.  

Bermacam-macam pula kebimbangan yang terbit bersarang di fikiran dan mendodoi-dodoi perasaan.

Ah, mengapa pula jauh lajak fikiran saya. Cepat-cepat saya menepis sangkaan buruk yang mengocak batin ini. Insan tidak sentiasa kuat. Ada masa iman mencanak, ada ketika iman menjunam. Ada masa hati berhubung dengan Allah, ada ketika kita jauh dengan Allah. Ketika itulah mudahnya kita berfikir yang tidak sepatutnya. Syaitan pula sentiasa mengintai-intai dan mahu mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kelalaian kita. Rasulullah saw juga menyebut di dalam hadisnya yang mulia.

Sejujurnya, demikianlah diri saya. Ada ketika kuat, ada masanya lemah. Tidak mungkin ada yang sentiasa kuat tanpa ada sesekali yang melemahkannya, begitulah sebaliknya. Namun apa yang penting bagaimana keadaan diri ketika lemah itu. Pesan Rasulullah saw, mafhumnya, sentiasalah di atas petunjuk Allah SWT biarpun ketika kamu lemah. Akhirnya saya kembali mempositifkan diri. Merenung firman Allah SWT:
 
“Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahwa Sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan (rezeki itu). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.” (Ar-Rum: 40) 

Firman-Nya lagi:

“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh).” (Ar-Ra’d: 26) 

Astaghfirullah, ampunkan hamba yang sentiasa lemah dalam keyakinan kepada-Mu.

Sunday 14 August 2016

Pokemon go, oh... pokemon go

Dah jadi virus la ni...

'sumber: whatsapp group'
 
#Harap-harap...tak ada di kalangan ustaz-ustaz yang memainkan permainan ini...buat malu je hehe...

Saturday 13 August 2016

Program Kemanusiaan bersama Yayasan Amal Malaysia

'foto hiasan ~ Misi Kemanusiaan di Sudan dan Kemboja'

Selepas bulan syawal, program mula bersambung. Saya merasa kembali kesibukan dengan susunan jadual program yang padat. Selepas program KERAH 2016 (entri terdahulu) berakhir, menanti pula program dakwah di pedalaman Sabah. Insya-Allah rombongan kami di bawah NGO Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang akan berangkat ke sana selama 4 hari bermula pada 19 Ogos ini. 

Rombongan yang ke sana akan terbang sekali dengan buku pelajaran Iqra` dan buku Asas Solat untuk kegunaan di tempat tersebut. Difahamkan sudah ada beberapa tenaga pengajar dari kalangan penduduk tempatan yang akan menguruskan urusan pembelajaran. Cuma ianya dengan kemudahan yang kurang. Jadi, kami di sini pula bertungkus-lumus mencari dana dan sumbangan untuk di bawa ke sana. 

 'foto hiasan ~ Misi Dakwah di Perkampungan Orang Asal (lokasi: Kampung Bot-Bot dan Sungai Mas)'

Satu lagi program yang sama yang sudah pun dimasukkan ke dalam diari iaitu program dakwah di perkampungan orang asal. Hasil perbincangan di dalam mesyuarat, tempat yang dipilih ialah Pos Betau. Dimana? Katanya terletak di kaki banjaran Titiwangsa. Saya belum pernah lagi sampai ke sana. Entahlah bagaimana situasi dan keadaannya tidak dapat saya bayangkan. Apakah sama dengan perkampungan orang asal lain yang pernah kami ziarah dalam misi dakwah sebelum ini seperti di Bukit Ibam atau Sungai Mas. Atau mungkin lebih dhaif lagi. 

Menurut sahabat saya (dia pernah sampai sekali) yang telah pun ke sana dalam misi dakwah terdahulu, keadaan agak dhaif dan yang pasti tiada liputan telefon. Aduhai, masalah juga tu. Orang bandar ni, kalau tak ada telefon macam tak boleh hidup. (senyum). Apa pun tunggulah apabila pergi nanti. 

Manakala program tahunan sejak 12 tahun dulu iaitu qurban dan aqiqah di kawasan mustad`afin Islam diteruskan seperti biasa. Tahun ini Yayasan Amal Cawangan Pahang diamanahkan untuk melaksanakan qurban dan aqiqah di Sudan, Sri Lanka, dan India. Manakala cawangan negeri lain pula dengan lokasi masing-masing yang telah ditetapkan. Sebenarnya ia telah dibahagi-bahagi di dalam mesyuarat Yayasan Amal Pusat. Setiap negeri akan melaksanakan misi aqiqah dan qurban di lokasi/negara yang berbeza. 

'foto hiasan ~ Misi Kemanusiaan di India dan Sri Lanka'

Lokasi yang dipilih adalah kawasan mustad`afin Muslim. Memang benar-benar dhaif. Menurut sahabat saya yang menyelia program ini, keadaan lokasi yang dipilih, jika kita tidak melaksanakan aqiqah atau qurban di situ maka tidak dapat merasa daginglah mereka untuk tahun tersebut. Maknanya mereka makan daging setahun sekali sekiranya ada yang melaksanakan aqiqah atau qurban. Sebak tengok mereka makan tanpa bersisa, ujar sahabat saya lagi. Jika di tempat kita mewah dengan daging. Hari selain hari raya qurban pun boleh menikmati daging dengan pelbagai resepi yang boleh menaikkan tahap kolestrol. 

Alhamdulillah, penyertaan aqiqah dan qurban di luar negeri sentiasa bersambung setiap tahun. Rezeki umat Islam di sana. Kami hanya merancang dan melaksanakan, sedangkan semuanya telah berada di dalam aturan Allah SWT. Mudah-mudahan ia menjadi amal yang tidak sia-sia disisi-Nya. Amiinn. 

Saya mencoretkan ini bukanlah bermaksud mahu menunjukkan setiap kebajikan yang kami lakukan. Tidak sekali-kali. Bimbang benar jika ada sahabat yang tersalah erti. Dalam setiap entri yang berkaitan, tujuannya adalah mahu merangsang atau menggalakkan orang lain agar turut sama melakukannya. 

Seperti yang pernah saya coretkan, ulama mengharuskan perkara kebaikan diperlihatkan agar dapat menggalakkan orang lain untuk turut sama mahu melakukan. Syaratnya jangan sampai terbit perasaan riyak. Kalau tidak habis hangus, rentung tidak bersisa pahala amalannya. Ibarat debu yang ditiup angin lalu. Lagipun ia dilakukan atas nama NGO dan bukannya individu. Jika tidak ditunjukkan, bagaimana kami mahu mencari dana untuk membiayai satu-satu program. Sungguh, kami banyak bergerak atas sumbangan orang ramai yang prihatin dan empati. Demikianlah seadanya.

#Alhamdulillah...

Rehat Minda: Pesan Murabbi 78

Salam Jumaat.


"Bila kita membeli-belah di kedai, kita tukarkan duit dengan barang. Oleh yang demikian, kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di depan mata. Namun, sedarkah kita bila kita laburkan duit untuk kebaikan, seperti kita membeli pahala dengan duit kita. Walaupun pahala ini benda yang tidak nampak, tetapi itulah duit kita di akhirat..."

~Almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat~

Wednesday 10 August 2016

Taman Syurga: Kuliah Maghrib UAI

Assalamualaikum warahmatullah.


Progam: KULIAH MAGHRIB
Penyampai: Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus
Tarikh: 10 Ogos 2016 (Rabu)
Tempat: Masjid Fatimah Zahra, Taman Indera Sempurna, Kuantan

Kepada yang berkelapangan khususnya warga Kuantan dijemput hadir beramai-ramai! 

Tuesday 9 August 2016

Karnival Rakyat DUN Beserah (KERAH) 2016


Assalamualaikum warahmatullah.

Sepatutnya entri ini dikongsi pada minggu lepas sejurus berakhirnya program tersebut. Tetapi disebabkan beberapa urusan yang mengekang, ia tertangguh sehingga ke hari ini. Lama juga saya berfikir, perlu atau tidak saya berkongsi mengenainya. Yalah, sudah seminggu ia berlalu, bimbang jika ia sudah basi dan tidak relevan lagi. 

Namun, tatkala saya memikirkan semasaknya, terasa ada kewajaran juga untuk berkongsi mengenainya. Sekurang-kurangnya dapatlah juga sahabat-sahabat merasa tempias kemeriahan sambutannya. Mudah-mudahan begitu hendaknya. 

Seperti biasa persiapan untuk menjayakannya telah bermula dua bulan dahulu, iaitu sebelum masuknya bulan Ramadhan. Beberapa siri mesyuarat rasmi dan tidak rasmi (melalui aplikasi whatsapp) telah diadakan, dan saya turut terlibat sebagai urusetia. Kesibukan dan kepenatan sudah semestinya apabila menganjurkan program-program besar seperti ini. 

Bukan sekali dua mesyuarat yang diadakan termasuk mesyuarat di luar jangka atau dalam kata lain mensyuarat mengejut. Banyak perkara yang perlu dilumat dan dihadam agar ia dapat dilaksanakan mengikut perancangan semaksimum mungkin. Bukan tiada langsung masalah dan kesulitan, tetapi ianya dapat di atasi dengan sebaiknya. Sahabat-sahabat yang biasa menganjurkan atau pernah terlibat dengan program-program besar tentu tahu bagaimana.

Dipendekkan kisah, setelah selesai program maka melepeklah masing-masing dek kepenatan yang juga mencapai tahap maksimum. Bukan melepak ye! Apa pun, selain penat, kepuasan juga turut dirasai kerana dapat menceria dan menghiburkan setiap pengunjung yang hadir.

Beberapa perkongsian foto:





Sunday 7 August 2016

Perihal payung emas

 foto hiasan: sumber

Soalan:

Apakah sahih berkenaan payung emas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda saw, sahabat baginda saw serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda saw.

Berkenaan dengan payung emas, tidak terdapat di dalam al-Qur’an ataupun al-Hadis tentang payung emas. Ini bermakna, payung emas adalah satu rekaan semata-mata dan ia hanyalah satu perspektif yang tidak benar. 

Di dalam al-Qur’an memang terdapat ayat-ayat yang menyentuh tentang alam perkahwinan atau hubungan sesama suami dan isteri tetapi payung emas tidak disebut sama sekali. Begitu juga dalam al-Hadith, ada disebut tentang kelebihan seorang isteri yang mentaati suaminya dan sabar dalam menghadapi alam rumah tangga. 

Contoh ayat al-Qur’an yang bercerita tentang hubungan sesama suami dan isteri adalah:

Firman Allah SWT: Maksudnya:
“Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka”. (An-Nisa:34)

Di dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda: Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya dan ta'at kepada suaminya, Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. (Riwayat Ibn Hibban, 9/471)

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi ayat al-Qur’an dan al-Hadith yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri tetapi tidak terdapat sepotong ayat al-Qur’an atau al-Hadith yang menceritakan tentang payung emas sebagaimana yang didakwa. Wallahua'lam

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my

Friday 5 August 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 77

Salam Jumaat.


"..Allah menciptakan di dunia ini orang-orang kurang upaya untuk menjadi ujian kepada orang yang sempurna. Di akhirat kelak akan ditanya, setakat manakah kita orang-orang yang cukup upaya ini menghulurkan bantuan kpada mereka yang kurang upaya. Sebab itu, saudara-saudara kita yang kurang upaya sedikit untung kerana terlepas daripada soalan ini di akhirat nanti. Manakala yang sempurna tubuh badan pula perlulah pastikan duit yang dia ada hari ini sedikit sebanyak dia peruntukkan untuk beli pahala lain selain beli lauk-pauk, beras dan keperluan hidup..."

~Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat~

Thursday 4 August 2016

Alhamdulillah, 19 tahun...


Alhamdulillah thumma innal hamdalillah. Sebaik-baik pujian adalah milik-Nya.

Hari ini telah pun menjangkau 19 tahun usia perkahwinan saya dan ummu Ikhwan. Kami menyambutnya dengan sujud dan syukur atas anugerah ini. Pantasnya masa bergulir, rasanya baru lagi saya mencoretkan angka ke 18 di pondok kecil abuikhwan ini. Pejam dan celik dalam hela nafas, hari ini angka tersebut telah berubah. Pastinya ia juga seiring dengan pertambahan usia kami setakah demi setakah.

Tiadalah yang dipanjatkan dalam doa tertinggi melainkan rumah tangga kami sentiasa di dalam kebaikan dan rahmat-Nya. Tersenyum saya mengingatkan perjalanan hidup kami berdua seawal lafaz "aku terima nikahnya" termeterai. Suka duka, pahit manis, arus dan gelombang yang telah diredah. Tidak mungkin sepanjang kehidupan manis sentiasa tanpa ada derita, dan tidak pula pahit sepanjang masa tanpa ada bahagia walau seketika. Bak kata seniman agung, allahyarham Tan Sri P. Ramlee, "sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri." Alhamdulillah, kami melalui semua itu, dan ia telah mematang dan mendewasakan.
    
Sesungguhnya perkahwinan adalah proses yang telah diambil perjanjian di dalamnya. Pada saat akad nikah, si suami telah mengikat perjanjian akan melaksanakan hak-hak isteri secara sempurna dan sungguh-sungguh. Melafaz kalimah keramat "aku terima nikahnya" bermaksud menerima seorang isteri dan apa yang ada padanya. Kebaikan, kelebihan, kelemahan, kekurangan, kejelekkan dan seribu satu macam yang ada padanya. Demikianlah amanah yang amat besar dari Allah SWT. 

Setiap kali saya mengharapkan isteri yang solehah, saya tahu sepuluh kali pula isteri mengharapkannya daripada saya. Malahan ia sentiasa tergalas di atas pundak yang dibawa kemana derap kaki melangkah. Allah jua tempat memohon pertolongan! 

Semoga pelayaran bahtera ini sentiasa tenang menongkah arus kehidupan. Amiinn.