Sahabat Sejati

Saturday 13 August 2016

Program Kemanusiaan bersama Yayasan Amal Malaysia

'foto hiasan ~ Misi Kemanusiaan di Sudan dan Kemboja'

Selepas bulan syawal, program mula bersambung. Saya merasa kembali kesibukan dengan susunan jadual program yang padat. Selepas program KERAH 2016 (entri terdahulu) berakhir, menanti pula program dakwah di pedalaman Sabah. Insya-Allah rombongan kami di bawah NGO Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang akan berangkat ke sana selama 4 hari bermula pada 19 Ogos ini. 

Rombongan yang ke sana akan terbang sekali dengan buku pelajaran Iqra` dan buku Asas Solat untuk kegunaan di tempat tersebut. Difahamkan sudah ada beberapa tenaga pengajar dari kalangan penduduk tempatan yang akan menguruskan urusan pembelajaran. Cuma ianya dengan kemudahan yang kurang. Jadi, kami di sini pula bertungkus-lumus mencari dana dan sumbangan untuk di bawa ke sana. 

 'foto hiasan ~ Misi Dakwah di Perkampungan Orang Asal (lokasi: Kampung Bot-Bot dan Sungai Mas)'

Satu lagi program yang sama yang sudah pun dimasukkan ke dalam diari iaitu program dakwah di perkampungan orang asal. Hasil perbincangan di dalam mesyuarat, tempat yang dipilih ialah Pos Betau. Dimana? Katanya terletak di kaki banjaran Titiwangsa. Saya belum pernah lagi sampai ke sana. Entahlah bagaimana situasi dan keadaannya tidak dapat saya bayangkan. Apakah sama dengan perkampungan orang asal lain yang pernah kami ziarah dalam misi dakwah sebelum ini seperti di Bukit Ibam atau Sungai Mas. Atau mungkin lebih dhaif lagi. 

Menurut sahabat saya (dia pernah sampai sekali) yang telah pun ke sana dalam misi dakwah terdahulu, keadaan agak dhaif dan yang pasti tiada liputan telefon. Aduhai, masalah juga tu. Orang bandar ni, kalau tak ada telefon macam tak boleh hidup. (senyum). Apa pun tunggulah apabila pergi nanti. 

Manakala program tahunan sejak 12 tahun dulu iaitu qurban dan aqiqah di kawasan mustad`afin Islam diteruskan seperti biasa. Tahun ini Yayasan Amal Cawangan Pahang diamanahkan untuk melaksanakan qurban dan aqiqah di Sudan, Sri Lanka, dan India. Manakala cawangan negeri lain pula dengan lokasi masing-masing yang telah ditetapkan. Sebenarnya ia telah dibahagi-bahagi di dalam mesyuarat Yayasan Amal Pusat. Setiap negeri akan melaksanakan misi aqiqah dan qurban di lokasi/negara yang berbeza. 

'foto hiasan ~ Misi Kemanusiaan di India dan Sri Lanka'

Lokasi yang dipilih adalah kawasan mustad`afin Muslim. Memang benar-benar dhaif. Menurut sahabat saya yang menyelia program ini, keadaan lokasi yang dipilih, jika kita tidak melaksanakan aqiqah atau qurban di situ maka tidak dapat merasa daginglah mereka untuk tahun tersebut. Maknanya mereka makan daging setahun sekali sekiranya ada yang melaksanakan aqiqah atau qurban. Sebak tengok mereka makan tanpa bersisa, ujar sahabat saya lagi. Jika di tempat kita mewah dengan daging. Hari selain hari raya qurban pun boleh menikmati daging dengan pelbagai resepi yang boleh menaikkan tahap kolestrol. 

Alhamdulillah, penyertaan aqiqah dan qurban di luar negeri sentiasa bersambung setiap tahun. Rezeki umat Islam di sana. Kami hanya merancang dan melaksanakan, sedangkan semuanya telah berada di dalam aturan Allah SWT. Mudah-mudahan ia menjadi amal yang tidak sia-sia disisi-Nya. Amiinn. 

Saya mencoretkan ini bukanlah bermaksud mahu menunjukkan setiap kebajikan yang kami lakukan. Tidak sekali-kali. Bimbang benar jika ada sahabat yang tersalah erti. Dalam setiap entri yang berkaitan, tujuannya adalah mahu merangsang atau menggalakkan orang lain agar turut sama melakukannya. 

Seperti yang pernah saya coretkan, ulama mengharuskan perkara kebaikan diperlihatkan agar dapat menggalakkan orang lain untuk turut sama mahu melakukan. Syaratnya jangan sampai terbit perasaan riyak. Kalau tidak habis hangus, rentung tidak bersisa pahala amalannya. Ibarat debu yang ditiup angin lalu. Lagipun ia dilakukan atas nama NGO dan bukannya individu. Jika tidak ditunjukkan, bagaimana kami mahu mencari dana untuk membiayai satu-satu program. Sungguh, kami banyak bergerak atas sumbangan orang ramai yang prihatin dan empati. Demikianlah seadanya.

#Alhamdulillah...

2 comments:

paridah said...

ASSALAM USTAZ MOGA SJHTRA WAAFIAT BERSAMA FAMILI...SELAMAT KE KEMBOJA MELAKUKAN AMAL KEBAJIKAN MEMBANTU SDRA2 SEISLAM YG MEMERLUKAN MOGA ALLAH PERMUDAHKAN SEGENAP URUSAN TERLAKSANA SEBAIKNYA...

abuikhwan said...

salam kak paridah, terima kasih atas kunjungan...terima kasih atas doanya..semoga kita semua dipermudahkan dalam melakukan kebajikan..amiinn

Post a Comment