Sahabat Sejati

Friday, 29 December 2017

Kunjungan yang menginsafkan (syafakallah duhai sahabatku)


Usai menyantuni anak-anak yatim dan kurang berkemampuan dalam program 'Back 2 School' (B2S) di bandar Temerloh, kami (YAMCP) membawa pula mereka menikmati makan tengahari di arked makanan yang berdekatan. Menu nasi ayam Temerloh menjadi habuan perut yang berkeroncong minta diisi. Alhamdulillah, seronok melihat keceriaan yang terpamer diwajah anak-anak yang diraikan. Kami juga turut tersenyum lebar tanda kepuasan.

Teringat nasihat seorang teman, agar tidak menonjolkan kerja-kerja kebajikan serta kemanusiaan yang dilakukan. Katanya, biarlah tangan kiri tidak mengetahui kebaikan yang dilakukan oleh tangan kanan. Maksudnya biarlah kebajikan yang dilakukan dengan disembunyikan. Saya sekadar tersenyum, tetapi hati kecil turut mengiyakan apa yang dimaksudkannya. Benar sahabatku, terima kasih atas nasihat yang sangat baik itu!

Dalam berkira-kira, saya menyimpulkan, pada hakikatnya, apa yang saya lakukan bukanlah atas dasar individu atau menonjolkan diri sendiri semata-mata. Tetapi ianya adalah kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Ada sebab dan alasan mengapa saya sering tonjolkan aktiviti dan program yang melibatkan NGO kami ini.

Bagi saya, ada perbezaan yang ketara di antara sesuatu yang dilakukan oleh individu dan kumpulan atau organissasi.  Jika dari sudut individu, ia adalah suatu yang boleh diterima, "sembunyikan". Namun, bagi pertubuhan atau organisasi yang bergerak di atas sumbangan orang ramai, setiap program kebajikan perlu ditonjolkan. Mengapa? Ianya agar orang ramai dapat melihat apa yang telah dilakukan dengan setiap sen sumbangan mereka. Malahan, dengan menonjolkan gerak kerja yang dilakukan dapat meraih kepercayaan orang ramai dan korporat untuk terus menyumbang.  

Benar, memang kebaikan yang dilakukan individu perlu ‘didiamkan’. Namun, ulama juga mengharuskan sesuatu kebaikan yang dibuat ditunjukkan kepada orang ramai. Ia tidak lain bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan orang ramai yang melihat agar mahu turut sama berbuat kebaikan menuai bakti. Walau bagaimanapun, perlulah berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam jurang gelap riyak yang membinasakan. Sebesar debu sifat riyak yang ada, maka ia akan membakar hangus amalan yang dilakukan dan memufliskan diri di akhirat kelak. 

Ah, jauh pula saya melencong. Apa pun terima kasih sahabat, akan saya ingat nasihat yang dititipkan. Saya mengambil manfaat daripadanya.

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman” (adz-Dzaariyaat: 55)  

Ke kampung Batu Sawar


Destinasi seterusnya adalah kampung Batu Sawar yang terletak di tebing Sungai Pahang. Ia sebenarnya perancangan yang sudah diatur dalam mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang tempohari. Bersama dengan dua lagi sahabat, perjalanan dimulakan. Manakala sahabat di Temerloh tidak ikut serta kerana perlu menghantar pulang anak-anak yatim tadi. Azan zohor sayup-sayup berkumandang tatkala kami bergerak keluar dari pusat bandar.

"Kita solat jamak di Batu Sawar nanti," tukas seorang sahabat, Johari namanya. Seorang yang sangat komited dalam kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan. Beliau baru sebulan pulang dari menyantuni pelarian Rohingya di khemah pelarian di Coxbazar, Bangladesh.

Dari pusat bandar Temerloh, kenderaan pacuan 4 roda yang dinaiki meluncur laju menyusuri aspal jalan menuju ke seberang sungai Pahang. Seterusnya membelok ke kiri memasuki jalan tar yang agak kecil. Sejujurnya saya belum pernah ke kampong Batu Sawar, namun seingat saya ada beberapa tempat yang juga berkongsi nama Batu Sawar seperti di Kuantan dan Kota Tinggi. Tetapi saya belum pernah lagi ke tempat yang bernama Batu Sawar di Kota Tinggi.

Hasrat ke sana semata-mata mahu menziarahi seorang sahabat, Ustaz Suaadi Saad yang sedang terlantar sakit. Dahulunya beliau juga salah seorang daripada ALP Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang, orang kuat rumah anak-anak yatim Permata Camar serta aktif berkuliah di masjid dan surau sekitar Kuantan. Ekoran kesakitan yang dihidapi, terpaksalah beliau melupakan semuanya. (insya-Allah, moga buat sementara waktu dan kembali sihat untuk kembali aktif seperti dahulu)

Ketentuan Tuhan, Ustaz Suaadi diuji dengan masalah kesihatan di bahagian tulang belakang. Sekira-kira sudah 4 tahun beliau terlantar kesakitan. Dunianya hanyalah terbaring di atas katil (Alhamdulillah, ketika ini ustaz Suaadi Saad sudah pun boleh duduk perlahan-lahan walaupun dalam keadaan kepayahan untuk mengangkat tubuhnya).

Ujian yang tanggung beliau tambah berganda apabila isterinya meninggal dunia akibat kanser ketika usia sakitnya memasuki tahun kedua. Ekoran tiada siapa yang dapat menjaganya di Kuantan, beliau dan anak-anak dibawa pulang ke rumah orang tuanya di Batu Sawar, Temerloh. Kiranya bagi saya pula ini adalah kunjungan dan ziarah pertama setelah Ustaz Suaadi dibawa pulang ke kampung halamannya.

Sepanjang perjalanan mata saya dihiburkan dengan pemandangan hijau di kiri dan kanan. Tidak terasa kebosanan walaupun jaringan jalan perhubungannya agak sempit dan kadang-kala mendaki jalan yang berbukit.

Rupa-rupanya ia sebuah kampung di pedalaman. Patutlah banyak rumah kayu bertiang tinggi dengan rekabentuk rumah Pahang tradisional. Manakala di sekeliling rumah penuh dengan pokok buah-buahan. Sememangnya saya mengimpikan suasana seperti ini. Tetapi berlainan pula dengan sahabat yang sedang memandu: “Aii, pecoh kepala duduk di sini.” Katanya sambil tersenyum.

Untuk sampai ke kampung Batu Sawar, perlu melewati beberapa kampung yang agak unik namanya. Beberapa nama kampung yang masih melekat di memori saya seperti kampung Berhala Gantang, kampung Sanggang Seberang, kampung Badok, kampung Bintang dan kampung Teluk Sentang. Kampung-kampung ini berada di sebelah kanan mudik Sungai Pahang.

Manakala di sebelah kiri mudik Sungai Pahang terdapat kampung Loyang, kampung Sanggang, kampung Kuala Sanggang dan kampung Jejawi. Beberapa nama kampung lagi tidak sempat saya simpan di dalam kepala kerana asyik dengan panorama di sepanjang perjalanan.

Kunjungan yang menginsafkan

 'Bersama Ustaz Suaadi Saad. Kagum dengan ketabahan beliau'

Sesungguhnya sakit adalah ujian daripada Allah SWT. Seorang Muslim yang ditimpa sakit lalu bersabar dengannya, maka akan diampunkan dosa-dosanya oleh Allah. Malahan ada hikmah yang besar disebalik ujian tersebut. Mungkin hikmahnya dapat kita singkapkan, tetapi banyak pula yang terhijab dan menjadi rahsia Ilahi. Mungkin suatu hari nanti apabila hijab tersebut disingkap, barulah kita mengetahui akan hikmah kebaikannya. Justeru, sesiapa sahaja yang ditimpa ujian sakit, redhalah dengan memperbanyakkan zikir serta istighfar kepada-Nya.  Saya mengingati diri yang dhaif ini.

Sebagai orang Islam, kita sememangnya digalakkan menziarahi mereka yang sakit. Sesungguhnya ia termasuk hak sesama Muslim yang perlu ditunaikan sebagaimana sabda Rasulullah saw. Tatkala melihat seseorang yang terlantar sakit, maka barulah kita menyedari akan peri pentingnya nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Maka sebab itu Nabi saw memerintahkan rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Antaranya hargailah, manfaatkanlah nikmat sihat yang Allah kurniakan dengan menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya sebelum datang sakit. 

Alhamdulillah, ziarah hari ini saya dan beberapa orang sahabat benar-benar menginsafkan. Hampir tumpah juga airmata saya melihat keadaanya. Saya berpaling ke arah lain lalu menyekanya dengan lengan baju.  Teringat ucapannya satu ketika, "Di perumahan anta, antalah yang ana kenal dan paling rapat.." Benar persahabatan kami sangat akrab, persahabatan yang dibajai dengan ukhuwwah fillah.

Sambil bergebang-gebang, saya menikmati titipan peringatan yang penuh hikmah disampaikan oleh Ustaz Suaadi. Dan yang paling utama, kekaguman dengan kesabaran dan ketabahan beliau dalam menghadapi ujian serta dugaan hidup.

Seputar katanya sebelum kami berangkat pulang, "Kesihatan itu milik Allah, maka Dia berhak mengambilnya tanpa mengira sesiapa. Samada hamba-Nya itu seorang yang taat ataupun engkar. Seorang yang taat akan melihat musibah itu suatu kebaikan walaupun dipandangan makhluk ianya buruk dan tidak baik. Ana redha dengan apa yang berlaku.."  

Syafakallahu duhai sahabatku!

Thursday, 28 December 2017

Mengelamun di sore

'Jalan Tengah'

“Entah berapa orang lagi yang masih tinggal..” Hati berdetik tidak semena-mena. Demikianlah sore itu saya mengelamun dan berkhayal-khayal di jendela.

Ya, entah berapa bilangan lagi generasi tua di kampung saya yang masih tinggal. Mungkin yang masih ada dapat dibilang dengan jari atau mungkin juga telah pun tiada semuanya. Seketika itu saya segera membayangkan satu persatu wajah mereka yang telah tiada. Oh ya, generasi tua yang saya maksudkan ialah mereka yang baya-baya umur arwah orang tua saya.

Dua kematian

Dalam bulan ini (November) dua kematian telah berlaku yang melibatkan generasi lama kampung SKD. Saya menerima berita ini menerusi grup whatsapp kampung kami. Begitulah mudahnya dengan teknologi yang ada hari ini. Walaupun masing-masing bertebaran jauh di serata tempat, mencari rezeki dan membina kehidupan sendiri, namun teknologi ini menyatu dan mendekatkan antara satu sama lain.

Minggu lalu, berita pemergian mak long Munah tertera pada skrin telefon bimbit saya. Lantas rona wajahnya terbayang di hadapan mata. Lama sungguh saya tidak melihatnya, tidak sekali bertembung dengannya sewaktu pulang ke kampung. Seingat saya dulu dia sering menapak di jalan hadapan rumahnya (Jalan Tengah) ke kedai runcit membeli barang keperluan.

Rupa-rupanya beliau dalam keuzuran, terlantar di rumahnya. Seingat saya, usia lebih tua daripada arwah ibu saya hampir sepuluh tahun. Usia arwah ibu saya jika dia masih ada sekarang dalam 70 tahun, maknanya usia mak long Munah pula tentu dalam 80 tahun. Sudah tua benar. 

Rumah mak Long Munah dengan rumah arwah ayahanda saya berada di jalan yang sama (Jalan Tengah). Dulu-dulu, bersebelahan rumahnya terdapat semak belukar tempat saya dan rakan-rakan bermain. Belukar resam yang subur menjadi tempat kami bermain berbagai permainan. Polis sentri, perang combat, tang nusuk (sorok-sorok) dan seribu satu macam permainan budak-budak. Selalu juga mak long Munah menjerit dari pintu rumahnya, bimbang kami terpijak duri atau sembilu. Bagaikan masih terngiang-ngiang jeritannya dalam loghat Terengganu.

Kak Midah 

Terdahulu daripada itu, kematian pertama pada awal bulan. Dalam jam 10 pagi henfon saya menjerit mengabarkan berita ini. "Kak Midah isteri Nik Yahya telah pulang ke rahmatullah. Akan dikebumikan pada jam sekian-sekian....." 

Begitulah susunan ayat yang tertera menerusi aplikasi whatsapp yang saya baca. Kak Midah merupakan di antara sahahat baik arwah ibu saya. Selalu sangat mereka sekeluarga berkunjung ke rumah kami dan begitulah sebaliknya. Sifatnya yang banyak mulut menyebabkan dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Seperti mak long Munah, rumah Kak Midah juga berada di jalan yang sama dengan rumah kami.

Bagaikan masih terbayang di ruangan mata, kak Midah dan suaminya membonceng motosikal lalu di hadapan rumah pusaka kami. Selalu juga bonda melaung seraya melambai dari atas beranda agar mereka suami isteri singgah sebentar. Menikmati juadah petang yang bonda sediakan. 

Kenangan tahun 1984

Menyebut nama kak Midah, lantas mengingatkan saya kepada anak sulungnya, Nik Hamizul, yang pernah menjadi sahabat baik saya, sangat akrab persahabatan kami. Walaupun usianya lebih tua daripada saya kira-kira empat tahun, namun ia bukanlah penghalang untuk kami bersahabat baik. Mungkin disebabkan keakraban orang tua kami, maka ia tumpah pula kepada kami. 

Tetapi anak sulung arwah Kak Midah yang menjadi sahabat baik saya itu telah lama mendahului bertemu Tuhan. Arwah Mizul menghidap sakit jantung sejak kecil. Teringat saya menjelang akhir-akhir usia beliau, pada malam itu saya menemankan arwah emak ke rumah Kak Midah kerana ada perkara yang mahu mereka bincangkan. Sempat pada malam itu saya berborak dan bergurau dengan arwah Mizul sementara menantikan orang tua kami menyelesaikan urusan mereka. 

Masih jelas diingatan, keesokan paginya ketika saya bersiap-siap mahu membersihkan diri sejurus bangkit daripada tidur, sayup-sayup pukulan beduk masjid memecah kesunyian pagi. Sehinggalah ketika hari telah cerah, seorang jiran memaklumkan berita pemergian Mizul. Tersepuk saya di tangga dapur, kaki terasa lemah-longlai tidak bermaya. Serangan jantung sebelum subuh telah menjadi asbab pemergiannya.

Sehingga hari ini saya masih lagi teringat akan wajahnya dan sembang kami pada malam itu. Benar-benar peristiwa di tahun 1984 itu menjadi kenang-kenangan sehingga kini. Moga Allah SWT merahmati mereka yang telah berkelana ke alam abadi terutama ayahanda dan bondaku..

Thursday, 21 December 2017

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (31)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamu `ala Rasulillah (30) di bawah tajuk: Jibril Turun Membawa Wahyu

Gua Hira` ~ sumber foto

Baginda membawa bekal makanan yang mencukupi sepanjang ibadah tersebut. Kemudian, setelah bekal makanan habis, baginda pulang menemui Khadijah untuk mengambil bekalan makanan yang sama. Akhirnya, ketika baginda berada di Gua Hira', datanglah kebenaran kepada baginda.

Malaikat Jibril mendatangi baginda dan berkata, "Bacalah!" Baginda menjawab, "Saya tidak boleh membaca." Baginda menyatakan, "Jibril merangkulku dengan kuat sehingga aku keletihan. Selepas itu dia melepaskanku. Dia kembali memberi perintah kepadaku, "Bacalah!" Maka kujawab, 'Aku tidak boleh membaca'. Maka Jibril merangkulku dengan kuat hingga aku keletihan.

Perbuatan itu berlaku sebanyak tiga kali. Akhirnya Jibril melepaskanku dan membacakan wahyu, 

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq: 1-5) 

Selepas kejadian itu, Rasulullah saw pulang dengan hati yang gementar. Baginda menemui Khadijah binti Khuwailid. Baginda berkata, "Selimutilah aku, selimutilah aku." Keluarganya yang ketika itu berada di situ lantas menyelimuti baginda hingga baginda berasa tenang.

Khadijah bertanya kepada baginda, "Apakah yang terjadi kepadamu?" Baginda menceritakan kejadian yang baginda alami dan berkata dalam nada risau, "Sesungguhya aku takut pada diriku sendiri."

Khadijah menenangkan baginda, "Jangan takut. Demi Allah, Allah tidak akan menghinamu selamanya. Sesungguhnya kamu orang yang gemar menyambung tali silaturrahim, memikul amanahmu sendiri, memberi kepada orang yang tidak berpunya, menjamu tetamu dengan penuh hormat serta menolong sesiapa sahaja yang berusaha menegakkan kebenaran."

Kemudian Khadijah membawa Nabi Muhammad menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, anak bapa saudara Khadijah. Waraqah ialah orang yang memeluk agama Nasrani pada masa jahiliah. Dia giat menulis kitab dalam bahasa Ibrani. Dia juga menulis sebahagian Injil dalam bahasa Ibrani. Umurnya telah tua dan matanya pula buta.

Khadijah berkata kepadanya, :Wahai anak bapa saudaraku, tolong dengar cerita anak saudaramu ini." Maka Waraqah bertanya pada Nabi Muhammad, "Wahai anak saudaraku, apakah yang kamu saksikan?" Rasulullah saw pun bercerita kepadanya tentang apa yang baginda alami.

Mendengar penerangan itu, Waraqah berkata, "Inilah namus (tanda kenabian) yang pernah Allah turunkan kepada Musa. Semoga aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu." Rasulullah saw bertanya, "Adakah mereka akan mengusirku?" Waraqah menjawab, "Ya. Setiap yang datang membawa berita seperti yang engkau bawa, pasti dia akan dimusuhi. Jika aku masih diberi kesempatan hingga hari itu, aku akan menolongmu setakat kemampuanku."

Sayangnya, harapan Waraqah tidak kesampaian. Dia meninggal ketika wahyu berhenti turun sementara waktu.(1)

RUJUKAN:

(1) Sahih al-Bukhari, jil. I, hal. 2-3. Al-Bukhari meriwayatkan juga dengan sedikit perbezaan lafaz dalam kitab tentang tafsir dan kitab tentang tabir mimpi.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Wednesday, 20 December 2017

Kita yang faqir..

Mari sejenak kita mengoreksi perjalanan hidup kita di dunia ini. Alam yang penuh dengan duri dan kabut yang melingkari perjalanan kita. Di sanalah, terkadangnya kita gembira dan berduka. Kadang-kala kita tersenyum dan menangis. Seringkali perjalanan ini terasa terlalu lapang, namun tidak kurang juga sempit yang menghimpit lagaknya.

Itulah hakikatnya kehidupan ini. Semua itu merupakan ujian buat hamba-Nya, siapakah yang terbaik amalannya. Maka laluilah ia dengan penuh kesedaran, sedar bahawa ianya ketentuan dari-Nya, sama ada baik atau buruk.

Kita adalah faqir di sisi-Nya

Kita adalah manusia yang lemah, tidak berdaya dan tidak berkemampuan. Kita semua berhajat kepada-Nya. Hendak atau tidak, setuju atau engkar, manusia memerlukan Allah SWT dalam setiap saat kehidupannya. Tiada siapa yang dapat menafikannya. Walau siapa pun dia.

Allah SWT berfirman: “Wahai manusia! Kamulah yang faqir (sentiasa berhajat) kepada Allah, sedang Allah itu Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Faathir: 15)

Dalam ayat di atas Allah SWT mengatakan bahawa manusia semuanya faqir. Semuanya amat berharap kepada Allah, tiada yang terkecuali.

Faqir lebih rendah tarafnya daripada miskin. Jika miskin memberi makna cukup-cukup makan atau kais pagi makan pagi manakala faqir memberi makna tidak mempunyai apa-apa dan terpaksa meminta-minta. Itu istilah dari sudut bahasa.

Di dalam peristiwa Badar al-Kubra, diceritakan bahawa Rasulullah saw berdoa dan bermunajat pada malam 17 Ramadhan dengan bersungguh-sungguh, khusyuk dan merendah diri sehingga kain rida`nya yang di atas bahu jatuh ke tanah. Sehinggalah Abu Bakar as-Siddiq yang melihatnya lantas memujuk baginda dengan menyatakan:

“Cukuplah wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah SWT mendengar doa permohonanmu.”

Mengapa Rasulullah berdoa dengan begitu bersungguh-sungguh? Sedangkan baginda telah mengetahui bahawa Allah SWT akan memberikan kemenangan dengan bantuan dari para malaikat. Ulama menyatakan baginda mengetahui kemenangan tentera Islam di medan Badar kerana ketika tiba di kawasan yang akan berlaku pertempuran, baginda menunjukkan kepada para sahabat tempat terbunuhnya pemuka-pemuka Quraisy.

“Si polan bin si polan terbunuh di sini.”

“Manakala si polan bin si polan pula terbunuh di sini.”

Terbukti benar apa yang dinyatakan oleh Rasulullah.

Sesungguhnya Rasulullah saw mahu mengajarkan kepada umatnya bahawa faqirnya kita dan amat berhajatnya kita kepada Allah SWT. Maka menunduklah, hanya dengan ketundukan itu kita akan memperolehi keredhaan-Nya.

“Tidaklah Kami yang meminta rezeki daripadamu, bahkan Kamilah yang memberikan rezeki kepada kamu.” (Thaha: 132)

Monday, 11 December 2017

Bicara santai: Celoteh diambang sore..

Pemandangan diambang sore, rumah rakit Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang di Kg Pesagi Chenor Maran. 

Tiada malam yang diseliputi kegelapan kecuali pada akhirnya adalah fajar yang menyinsing cahaya. Tiada pula hilang terik sang matahari kecuali ia terbenam ke hujung barat menyambut datangnya malam. Begitulah Allah SWT menjalankan pergantian keduanya sebagai bahasa untuk umat manusia memahami ketetapan dan kekuasaan-Nya. Namun, ia juga adalah tanda perkiraan masa di dunia ini. Setelah terbenam sang mentari, maka berlalulah satu hari dalam kehidupan.

Memerhati dan merenung kekuasaan Allah SWT pada alam ini tidak terhitung banyaknya. Kita dapat menyaksikan dengan pancaindera, bahkan pada diri sendiri juga begitu luar biasa ciptaan-Nya yang menggambarkan peri kekuasaan Allah SWT. Apatah lagi jika merenung dan mentadabbur akan alam yang terbentang ini. 

Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Yaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka dipeliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali Imran:190-191) 

Kenal dan dekati Tuhan yang Maha Bijaksana dengan membaca ayat-ayatNya, serta merenung alam jagat raya ini. Langit yang menaungi dan bumi yang terhampar tempat manusia melata berserakan. Juga memperhatikan pergantian siang dan malam. Semuanya itu penuh dengan ayat-ayat, tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia...

Sunday, 10 December 2017

Moga Baitul Maqdis sentiasa di dalam peliharaan-Nya

"Baitul Maqdis kini bukan lagi milik Palestin, tetapi menjadi ibu kota Israel." Itulah yang  diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Sehubungan itu, pengiktirafan yang dilakukan dijangka seiring dengan pengumuman memindahkan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Jerusalem yang terletak di Baitul Maqdis.

Baitul Maqdis merupakan kota suci ketiga bagi umat Islam. Setelah dibuka oleh Saiyidina Umar bin al-Khattab, kota ini menjadi simbol keamanan sejagat, apabila menjadi tumpuan kepada penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi dalam satu kawasan yang sama. Sejarah membuktikan bagaimana manusia berbilang agama dan bangsa boleh hidup dalam aman dan harmoni, tanpa sebarang konflik, di bawah keadilan pemerintahan Islam. 

Walaupun Baitul Maqdis pernah menyaksikan pertumpahan darah dalam Perang Salib, tetapi keamanannya berjaya dikembalikan oleh Salahuddin al-Ayyubi. Sejak itu, kota Baitul Maqdis terus menjadi contoh sebuah bandar yang aman. Sehinggalah wujudnya pergerakan Zionis yang melancarkan kempen untuk menjadikan Baitul Maqdis itu sebagai negeri milik bangsa Yahudi, rantau itu mula bergolak. 

Pergerakan Zionis menggunakan proksi kuasa besar dunia untuk memenuhi kehendak politik mereka merampas Baitul Maqdis. Bermula dengan perjanjian Sykes-Pikot pada tahun 1916 yang mengagihkan negara Arab kepada penjajah Barat, diikuti dengan Deklarasi Balfour pada tahun 1917 yang kononnya mengiktiraf tanah Palestin itu sebagai negara bagi Yahudi. 

Beberapa hari yang lalu, 100 tahun selepas Deklarasi Balfour, Zionis melalui sekutu utama mereka, Presiden Amerika Syarikat, sekali lagi telah mencabar keamanan di Baitul Maqdis, apabila mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang baru. Tindakan Donald Trump ini merupakan satu perkara yang perlu dikutuk, kerana bakal mengundang konflik dan sengketa yang baru dan akan berlarutan, bukan sahaja di Palestin, tetapi di seluruh dunia. 

Sebagai seorang Muslim, marilah sama-sama kita menyatakan kemarahan dan ketidaksetujuan kita terhadap tindakan tersebut. Jangan biarkan hari ini berlalu, tanpa kita mengambil tahu terhadap kezaliman yang berlaku ke atas bumi Palestin. Bermunajatlah kepada Allah, agar Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa terpelihara daripada sebarang cubaan rampasan atau penjajahan. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 82: 
"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik."

Allahu al-Musta`an..

Saturday, 9 December 2017

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: Program BTS di Temerloh

Seharian saya dan beberapa rakan berada di daerah Temerloh. Jam 9 pagi diiringi cuaca mendung, kami bergerak dari Kuantan melalui LPT1. Alhamdulillah, kenderaan bergerak lancar menuju destinasi. Manakala sahabat-sahabat dari Maran menunggu di sana. 

Hari ini Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) mengadakan program 'Back To School' (BTS), iaitu meraikan anak-anak yatim serta berpendapatan rendah membeli peralatan sekolah. Program BTS ini adalah di antara program kebajikan yang diadakan saban tahun.  

Objektif utama program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persediaan untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan dengan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.

Usai urusan memilih dan membeli kelengkapan persekolahan, mereka semua diraikan pula dengan jamuan ringan di arked makanan yang berhampiran. Senang sekali melihat kegembiraan yang terpamer di rona wajah masing-masing.

Mudah-mudahan pemberian yang sedikit ini dapat meringankan beban mereka, serta tidak lupa ucapan terima kasih kepada para dermawan yang menyumbang. Jazakallahu khairan jaza'.
  
 Beberapa foto program BTS petang tadi:













Friday, 8 December 2017

Bicara santai: Semalam...

 '1 Malaysia menyambut pengunjung yang datang ke UTC Pahang' ~ sumber foto
 
Alhamdulillah, proses membuat kad pengenalan anakanda Haikal di bangunan UTC berlangsung dengan lancar. Tanpa perlu menunggu lama, tidak sampai 2 jam sudah pun siap sepenuhnya. Melirik senyum anakanda Haikal apabila melihat kad pengenalannya diserahkan oleh petugas kaunter. Saya pun turut tersenyum melihat gelagatnya.

Asalnya saya berkira-kira, samada nak ke pejabat utama Jabatan Pendaftaran Negara negeri Pahang atau ke UTC. Kalau dulu-dulu, pengalaman saya berurusan di pejabat JPN negeri Pahang sebelum wujudnya UTC, memang mengambil masa sedikit menunggu proses selesai. Tetapi itu dulu, sekarang ini entahlah, mungkin tidak lagi. Cuma satu lagi lokasinya di luar pusat bandar.

Dalam keadaan kepala ligat berfikir "ke mana, ke mana", saya  membelok motosikal ke pusat bandar menuju ke bangunan UTC. Rasanya urusan di situ lebih mudah dan pantas, saya 'berijtihad' sendiri. Lagipun ia terletak di pusat bandar. Sementara mahu menunggu kad pengenalan siap bolehlah 'menderak' ke mana-mana dulu bersama anakanda Haikal.  Setidaknya kedai makan berhampiran Masjid Negeri adalah destinasi yang pasti dikunjungi. Melayani anakanda Haikal menikmati roti telur dan milo suam kesukaannya. 

Alhamdulillah, belum pun panas punggung duduk, nombor sudah pun dipanggil. Usai urusan yang perlu, "datang sejam lagi ambil kad pengenalan", kata petugas di kaunter. Teringat ucapan PM Najib sewaktu julung kali merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, katanya falsafah disebalik kewujudan UTC ialah di antaranya, menjimatkan masa. Betullah tu! Tapi ada masa-masa, lambat juga (senyum).

Insya-Allah, sejam lagi kami datang. Sekarang ini kami berdua mahu mengisi perut dahulu. Roti telur dan milo suam menanti di restoran berhampiran Masjid Negeri. Jika masih punya masa lagi, saya akan memimpin anakanda ke Taman Kerang menjenguk-jenguk barang-barang antik yang dijual di situ. Mana tahu jika tersua dengan buku-buku lama yang menarik, pasti saya beli!  

Alhamdulillah, syukur ya Rabb...

Thursday, 7 December 2017

"Sikecil Haikal yang istimewa" sudah 12 tahun


Selamat hari ulangtahun kelahiran buat anakandaku "sikecil Haikal yang istimewa" pada hari ini. 

"Dialah yang meresahkan dada abi dan ummi, dia juga yang menyejukkan mata dan mendamaikan hati abi dan ummi. Dialah 'si kecil yang istimewa'. Mudah-mudahan menjadi penolak kami semua ke syurga Ilahi yang abadi..."

Wednesday, 6 December 2017

#Save Merapoh (Air mata Merapoh)


Setakat ini cuma sekali sahaja saya ke Merapoh, iaitu ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan lebih dua dekad yang lalu. Selebihnya sekadar lalu ketika bermusafir ke Gua Musang di  Kelantan. Beberapa kali saya melalui jalan ini dulu, saya benar-benar 'jatuh cinta' dengannya. Suasana kehijauan di kiri dan kanan laluan amat mengujakan. Hutan yang dikatakan berusia jutaan tahun menggamit rasa. 

Dimana letaknya Merapoh? Merapoh merupakan sebuah pekan di pedalaman Pahang dalam kawasan utara daerah Lipis, Malaysia. Terletak berdekatan sempadan Pahang-Kelantan. Oleh kerana terletak di tengah-tengah laluan jalan raya antara Kota Bharu ke Kuala Lumpur, ianya menjadi tempat persinggahan rehat pengguna jalan raya sebelum menyambung perjalanan. 

Lantas mengapa tajuk coretan ini berjudul demikian? Begini kisahnya. Baru-baru ini seorang sahabat saya yang juga merupakan 'Aktivis Alam Sekitar' mengirim satu video berkaitan apa yang berlaku di Merapoh. Apa yang saya lihat amat mengejutkan! Sebelum ini memang saya ada terdengar mengenai kempen 'Save Merapoh', dan saya fikirkan ia tidak seperti apa yang berlaku sekarang. Rupa-rupanya saya tersilap dan ia jauh dari apa yang saya bayangkan.

Saksikan klip video di bawah yang dihantar oleh sahabat saya.


Betapa sayangnya dengan khazanah alam dan negara jika begini jadinya. Apa yang dibimbangi, ekoran apa yang berlaku akan menjejaskan sektor eko pelancongan dan khazanah alam seperti flora dan fauna unik. Di kawasan itu, terdapat gua batu kapur kedua tercantik di Malaysia dianggarkan berusia antara 230 hingga 350 juta tahun dan habitat hidupan liar gajah, tapir, harimau, beruang, rusa dan kambing gurun serta spesies Bunga Padma Tikus atau nama saintifiknya rhizanthes loweii (Beccari) Harms iaitu keluarga rafflesia terkecil di dunia.

Bahkan, katanya pembalakan serta pembukaan hutan berhampiran gua batu kapur dikenali dengan Gua Hari Malaysia, turut menjejaskan air Sungai Merapoh yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk.

Semoga ada penegasan daripada pihak 'terbabit' dalam menangani perkara ini. Sayang jika ia musnah kerana kerakusan dan ketamakan sesetengah manusia. Moga generasi akan datang dapat melihat keindahan alam semulajadi ini. Insya-Allah..


 Kemusnahan hutan Merapoh ~ sumber foto

Di antara laporan akhbar mengenai kemusnahan hutan Merapoh:

http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/hutan-simpan-merapoh-kini-makin-parah-1.743423

http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/73-pimpinan/fikrah/4144-selamatkan-hutan-merapoh-dan-gua-hari-malaysia

http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/selamatkan-merapoh-daripada-pembalakan-1.557158

http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pahang/peka-bantah-pembalakan-besar-besaran-di-merapoh-1.548056

https://www.hmetro.com.my/utama/2017/11/282575/air-mata-merapoh

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/11/345558/jabatan-perhutanan-diarah-pantau-pembalakan-di-hutan-merapoh

http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pembalakan-emas-ancam-syurga-650-juta-tahun-merapoh

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kontraktor-degil-mkn-diarah-pantau-hutan-merapoh-161647

Thursday, 30 November 2017

Misi Marawi Mindanao pula

Krisis di Marawi ~ sumber foto

"Minta anta gantikan ana kuliah di Masjid Kempadang pada hari Sabtu ni, ana ada jadual di tempat lain". Bunyi whatsapp daripada sahabat saya petang tadi. "Diorang minta kuliah pasal Marawi, Mindanao. Slidenya ada pada ana, nanti copy. Lepas kuliah diorang nak sampaikan sumbangan daripada jemaah masjid..." sambungnya lagi.

Oh, cerita Marawi. Satu lagi siri krisis di bumi umat Islam. Menyambung krisis-krisis yang sedang menimpa di tempat lain yang semuanya adalah wilayah yang diduduki umat Islam. Tentunya yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak, wanita dan warga tua serta orang yang lemah dikalangan mereka.

Saya membaca laporan akhbar, konflik selama lima bulan di Marawi merupakan pertempuran terbesar dan paling lama di negara ini sejak Perang Dunia Kedua. Hampir keseluruhan bandar Marawi musnah akibat serangan udara tentera kerajaan manakala lebih 350 ribu penduduknya menjadi pelarian. 60 peratus adalah kanak-kanak.

Cerita disebalik Marawi

Marawi sebelumnya dikenali dengan nama Dansalan, sebuah Ibu Kota Provinsi Lanao, Filipina, yang terpecah dari 1907-1940. Kota itu kemudian rasmi berganti nama menjadi “Kota Islam Marawi” setelah diusulkan melalui RUU Parlimen 261 di era regim Marcos. 

Lebih dari 90 peratus dari 100 juta orang Filipina adalah warga Kristian. Tapi di Marawi, warga Muslim menjadi majoriti. Pada tahun 1980 Marawi secara rasmi diisytiharkan menjadi ”Kota Islam” dan jadi satu-satunya kota di Filipina dengan sebutan seperti itu. Meskipun menjadi Kota Islam, Marawi juga menjadi penempatan yang damai bagi komuniti Kristian. 

Selama puluhan tahun, perdamaian tercipta di kota ini. Namun, perdamaian di Kota Islam Marawi terkoyak sejak lima bulan lalu. Kelompok militan Maute yang telah menjadi sayap kelompok Islamic State (ISIS) di Filipina tiba-tiba menyerbu kota itu. Serbuan itu sebagai cubaan balas dendam setelah tempat persembunyian pemimpin mereka, Isnilon Hapilon, diserang pasukan Filipina. 

Sejak serbuan kelompok Maute itu, Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengumumkan status darurat militer di kota Islam tersebut. Pasukan Filipina kemudian dikerahkan untuk mengusir kelompok Maute. Pertempuran pun tidak dapat dielakkan. (sindonews.com)

Misi Marawi pula

Alhmadulillah, setelah misi Rohingya, kemudian bersambung dengan misi musim sejuk Syria, kini Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang beralih pula kepada bantuan misi kemanusiaan untuk rakyat Marawi, Mindanao. 

Tetapi tidaklah bererti kami telah 'melupakan' misi-misi yang lain terutama misi bantuan rakyat Rohingya, cuma ia agak perlahan sedikit kerana buat masa ini prioriti lebih kepada rakyat Marawi. Pun begitu masih ada lagi NGO yang menumpu dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Rohingya dan Syria. Baik NGO dalam negara maupun luar negara.

Seperti biasa, kutipan dana melalui sumbangan orang ramai, masjid, sekolah dan syarikat korporat. Termasuk juga sumbangan melalui akaun bank selain serahan tunai. Method yang amat mudah dan berkesan ialah membuat pelancaran dana di masjid atau surau selepas kuliah. Dan ianya sentiasa tidak menghampakan kerana sentiasa ada huluran tangan daripada insan-insan pemurah. 

Alhamdulillah, sehingga kini banyak permintaan daripada masjid, surau dan sekolah yang meminta YAMCP untuk menyampaikan kuliah mengenai penderitaan rakyat Marawi, seterusnya menyerahkan sumbangan yang dikutip daripada jemaah yang hadir.

Moga Allah SWT sentiasa menambahkan rezeki kepada para dermawan. Amiinn.


Monday, 27 November 2017

Kami datang duhai oftalmologi!

'Menunggu hujan teduh di HTAA petang tadi'

Saat jari-jemari saya mengetuk butang-butang huruf pada papan kekunci laptop baru ini, hujan telah pun sidang. Sudah dua hari hujan turun di tempat saya dengan sesekali lebat, sesekali rengai-renyai. Di luar sana suara katak galak bersahutan memanggil hujan agar turun lagi. Terhibur juga deria dengar saya dengan sahutan haiwan dua alam tersebut. Namun, di sisi yang lain, tasbih sang katak yang bersahutan menimbulkan kegusaran. Bimbang jika hujan turun lagi setelah mendapat perkhabaran beberapa tempat telah menakung air.

Pagi tadi sekali lagi saya memenuhi satu lagi temujanji anakanda 'sikecil Haikal yang istimewa'. Kali ini di unit oftalmologi, atau bahasa senangnya klinik mata. Seawal jam 7.30 pagi saya dan anakanda Haikal membelah aspal jalan. Kebetulan pula, ketika itu hujan telah berhenti walaupun di dada langit dengan gumpalan awan hitam yang sedia memuntahkan isinya bila-bila masa. 

Tawakkal, dengan lafaz basmalah dan doa, saya 'berijtihad'.. "bawa motor dah la...insya-Allah sempat sebelum hujan turun." Maka meluncurlah kapcai yang banyak berjasa ini menumpangkan saya dan anak istimewa ke destinasi yang dituju. Alhamdulillah, sempat juga saya dan anakanda Haikal tiba di hospital walaupun dengan sedikit kebasahan. Ditimpa renyai-renyai halus ketika dalam perjalanan. 

Kenapa tak bawa kereta? Oh, bukannya apa, ragam di hospital tempat saya ini sudah pun lali sangat. Mahu mencari 'parking' untuk kenderaan bertayar lebih daripada dua, ya Rabbi.. punyalah seksa. Kekadang dua atau tiga kali berpusing pun belum tentu dapat petak 'parking'. Disebabkan itu saya lebih selesa menunggang motosikal. Cuma di musim hujan ini, mahu tak mahu kena bawa kereta juga jika tiada pilihan. 

Hasil pemeriksaan hari ini ada sedikit rasa gembira. Walaupun beberapa kali bersalin bilik, mula-mula pemeriksaan di bilik 4, kemudian berpindah pula ke bilik 9. Setelah itu perlu ke bilik 13 dan akhirnya balik semula ke bilik 9. Tapi tak mengapalah, semuanya baik-baik aje. Alhamdulillah, gembiranya apabila perawat memaklumkan bahawa anakanda Haikal perlu membuat cermin mata baharu, tetapi 'power' kantanya semakin berkurangan. 

Ya, di situlah letak duduk berita gembira. Tiada dalam jangkauan fikiran saya 'power' kantanya boleh berkurang kerana seingat saya pemeriksaan yang sebelum ini, 'powernya' perlu ditambah ujar sang perawat. Tetapi hari ini sebaliknya pula. Maknanya sekarang mata anakanda Haikal semakin baik kondisinya, demikianlah kesimpulan saya. Mudah-mudahan begitulah perkembangannya di masa-masa akan datang.

'Pameran Kanser Mulut di ruang legar HTAA'

Selesai temujanji, sekira-kira kami mahu pulang, hujan pula turun dengan lebat berserta dengan guruh dan kilat. Terpaksalah melabuhkan punggung sebentar di ruang legar hospital sementara menanti hujan teduh. Kebetulan pula di ruang legar tersebut diadakan pameran kanser mulut, jadi berpusing-pusinglah kami melihat pameran. Tidaklah kebosanan sangat. Disamping itu, sempat juga bertanya itu dan ini kepada petugas pameran berkaitan kanser mulut. Dapat jugalah input serba sedikit.

Apa pun, temujanji hari ini sudah pun selesai. Insya-Allah, bulan depan pula datang bertandang. Apa pula ceritanya, wallahu a`lam. Tidak mahu saya menduga, semua di dalam ilmu-Nya Yang Maha Bijaksana. Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana, "DALAM URUSAN DUNIA LIHATLAH ORANG YANG LEBIH RENDAH DARIPADA KAMU." Pengajarannya, supaya kita sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki, bukan persoal apa yang kita tiada... 

Allahu al-Musta`an...

Friday, 24 November 2017

Moga dipermudahkan...

Alhamdulillahi bissalam. Puji-pujian hanyalah semata buat-Nya. Dialah yang berkuasa mentaqdirkan segala kebaikan buat hamba-Nya.

Kempen sumbangan untuk pelarian Rohingya yang telah dilancarkan sekira-kira empat bulan dahulu berjalan dengan baik. Jumlah 150K yang disasarkan hampir mencapai garisan penamat. Ini semua hasil kerja keras banyak pihak terutama jawatankuasa YAMCP, para asatizah yang membuat kutipan di dalam setiap kuliah dan yang paling utama tentunya para dermawan yang tidak jemu-jemu menyumbang.

Setakat ini, sudah tiga kali YACMP menghantar wakil ke sana bersama-sama dengan NGO lain bagi menyerahkan sumbangan. Melalui sumbangan tersebut, telah dibangunkan beberapa projek yang sesuai bagi kemudahan pelarian. Di antara projek yang sudah dibangunkan ialah pembinaan shelter, surau, sekolah tahfiz, tandas, sumbangan makanan dan peralatan memasak serta berbagai-bagai lagi. 

Kutipan masih lagi berjalan walaupun tidaklah seberapa rancak seperti dahulu. Walaupun selepas sasaran RM150K berjaya dicapai, kutipan akan terus berjalan dan berjalan. Nasib pelarian tidak siapa yang tahu kesudahannya. Justeru, bantuan tetap disampaikan. Malahan NGO dari luar Malaysia juga turut sama menyalurkan bantuan, silih berganti NGO yang datang.

Kempen bantuan musim sejuk Syria

Mengambil manfaat kehadiran Fadhilatus Syeikh Muhammad Ratib an-Nablusi ke Malaysia, kami melancarkan pula bantuan kepada pelarian Syria yang kini sedang menghadapi kedatangan musim sejuk dalam serba kekurangan. Keadaan ini bertambah buruk apabila kerajaan Qatar yang banyak menyalurkan bantuan tidak dapat berbuat demikian seperti sebelumnya kerana menghadapi sekatan.

Untuk kempen ini, pihak YAMCP menyerahkan sepenuhnya diuruskan oleh Persidam. Manakala YAMCP membantu serba sedikit apa-apa yang perlu. Persidam adalah singkatan daripada Persatuan Sinar Damsyik, yang dianggotai oleh mereka yang pernah menuntut ilmu di Syria.

Alhamdulillah, sumbangan sebanyak RM50K telah berjaya dikumpul dalam keadaan masa yang agak pendek. Sumbangan telah diserahkan sebanyak dua kali. Pertama ketika program Multaqa Asatizah dan Pendakwah bersama Syeikh Ratib di Mat`am Abu Aish. Program ini dibuka kepada para asatizah dan mereka yang boleh berbahasa arab, kerana penyampaian sepenuhnya di dalam bahasa arab. 

Manakala penyerahan kedua selepas Syeikh Ratib menyampaikan kuliah maghrib umum salah sebuah masjid di Kuantan. Sahabat saya Ustaz Khairul Azmi al-Hafiz bertindak selaku penterjemah  bahasa.

Moga setiap sumbangan daripada para dermawan mendapat nilaian yang setingginya daripada Allah SWT. 

#Insya-Allah, selepas ini sumbangan untuk umat Islam Marawi, Mindanao.

Wednesday, 22 November 2017

Hari ini di unit audiologi

'Hari ini, temujanji di unit audiology'

Alhamdulillah, selesai sudah temujanji hari ini. Seperti biasa, saya akan mengambil cuti sekiranya ada temujanji 'si kecil Haikal yang istimewa' di HTAA. Malas mahu menggunakan 'time slip'. Bukannya apa, jika 'time slip' terpaksa pula berkejar masuk kerja kembali. Daripada 'duk' terkejar-kejar, ambil cuti sehari terus, senang. 

Begitulah saya, memenuhi temujanji anakanda yang seorang ini di HTAA sejak 12 tahun yang lalu. Mula-mula dulu ada juga rasa sedikit kesulitan, maklumlah dalam sebulan tiga atau empat kali perlu ke HTAA di unit yang berlainan. Itu pun sudah kurang temujanjinya berbanding pada tahun pertama hingga ke tahun kelima kelahirannya. Seingat saya ada lapan temujanji sebulan termasuk perlu berjumpa dengan pakar di IJN. 

Alah bisa tegal biasa kata madah melayu. Memang, dulu-dulu ada juga rasa payahnya, sukarnya. Tetapi sekarang sudah 'lali'. Seronok pun ada kerana dapat menghabiskan masa bersama anakanda Haikal. Selesai temujanji, bersama anakanda Haikal, mencicip roti telur diganding dengan milo tarik di restoran berhadapan Masjid Negeri. Jika ada masa, bolehlah mencuci mata di Taman Kerang melihat-lihat barangan antik yang dijual di situ.

Kebiasaannya, saya lebih gemar menunggang motosikal jika ke hospital. Bukannya apa, ragam di hospital Kuantan ini ialah payah nak mencari 'parking'. Kadang-kadang dua tiga kali berpusing pun belum tentu dapat ruang letak kenderaan. Tak kena gaya, dapat 'parking' tapi jauh dari hospital. Terpaksalah menapak pula. Tetapi jika cuaca tidak berapa baik, mahu tak mahu kena bawa kereta juga.  

Insya-Allah, minggu hadapan ada satu lagi temujanji yang perlu dipenuhi di unit yang berlainan. Dengan senang hati, 'start' motosikal, rempit bersama 'si kecil Haikal yang istimewa'. 

Sunday, 19 November 2017

Aku kepelikan...(??)

sumber foto: FB ALAM Malaysia

Macam ada yang tak kena dengan gambar ini, fikir saya sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Apa agaknya yang pelik tu? Gambar ini sebenarnya terletak di dalam daerah tempat tinggal saya. Atau senangnya tak jauh mana dari tempat tinggal saya. 

Oleh kerana ia berada di dalam daerah saya, maka saya merasa suka(??) untuk mengongsinya dengan sahabat-sahabat. Apa reaksi sahabat semua, kepelikan? Terkejut? Saya bukan sekadar berkongsi gambar, tetapi turut sama berkongsi perasaan. 

Gambar ini saya dapati di dalam FB ALAM Malaysia. Rasanya tidak perlu saya ulas atau dalam bahasa lain ‘membebel’. Cukuplah gambar tersebut menjelaskan apa yang sedang berlaku ni satu sudut negeriku tercinta ini. Dulu bauksit... 

Saya kongsikan apa yang ditulis oleh admin ALAM Malaysia. Renung-renungkan... 

KEGILAAN MELAMPAU?... itulah ungkapan yang mungkin paling sesuai untuk menjelaskan foto ini. Terletak hanya beberapa meter di belakang Pejabat Hutan Daerah Kuantan tetapi penggondolan Hutan Simpan Bukit Galing, Kuantan, Pahang seakan-akan tidak dipedulikan langsung! Di manakah kewarasan pemimpin dan pemerintah Kerajaan Negeri Pahang sehinggakan Hutan Simpan seluas "sekangkang kera" buat menjana oksijen di Bandar Lestari itu pun mahu dikebas? Sekitar tahun 2007, Hutan Simpan Biodiversiti di tapak Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan yang terletak bersebelahan Hutan Simpan Bukit Galing ini juga digondolkan dengan kerjasama "orang dalam". Selepas itu, Kuantan juga menjadi perhatian dunia disebabkan kegilaan bauksit tanpa menghiraukan kesan pencemaran alam sekitar kepada penduduk. Kalau berterusan kegilaaan ini, maka hancurlah agaknya alam semulajadi dan bumi Pahang tidak lama lagi.

Saturday, 18 November 2017

7 bulan dah di perantuan..

 'Anakanda Ikhwan menyumbangkan suara dalam persembahan nasyid di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK)'

Sedar tak sedar genap tujuh bulan anakanda Ikhwan bermukim di Ardhul Kinanah. Nampaknya dia sudah pun dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan keadaan di sana. Tak kiralah dari sudut makanannya, cuacanya, karenah pak arab dan sebagainya. 

Alhamdulillah, sepanjang tujuh bulan ini tidak ada kesulitan yang besar melainkan satu perkara yang sangat  mencetuskan kebimbangan para ibu bapa di Malaysia. Perkara mencemaskan yang saya  dimaksudkan ialah kes visa pelajar. Betapa bimbangnya kami di Malaysia apabila mendengar dan memikirkan keadaan tersebut. Setiap hari tertunggu-tunggu berita di Mesir melalui 'henfon'.

Maklumat yang diperolehi mengatakan beberapa pelajar Malaysia (bukan pelajar Pahang) telah ditahan pihak berkuasa, begitu juga dengan para pelajar dari negara lain. Terpaksalah pihak atase pendidikan negeri menyelesaikannya dengan bantuan kedutaan. Tetapi bukan mudah prosesnya, berbagai-bagai karenah birokrasi yang perlu dihadapi. Menurut anakanda saya, pelajar tersebut akhirnya dibebaskan, tetapi merasa jugalah tinggal di lokap Mesir lebih dari seminggu. 

Memang, mahu menyambung visa di Mesir agak rumit prosesnya. Sebelum boleh memohon visa perlu mendapat ifadhah terlebih dahulu. Menunggu ifadhah pun dah lama tempoh masanya. Sudah dapat ifadhah barulah boleh memohon visa di pejabat imigresen Mesir. Tak mudah juga. Menurut anakanda saya, biasanya dua kaunter sahaja yang dibuka sedangkan yang mahu memohon berganda-ganda ramainya. Tak kena gaya disuruh balik, esok datang semula. 

Akhirnya, melalui campurtangan pihak kedutaan serta Senat Al-Azhar, masalah visa dapat diselesaikan dengan baik. Memang, menurut anakanda saya, ketika kes visa belum selesai, semua pelajar yang tiada visa mengadakan 'mogok' (dengan restu atase pendidikan negeri masing-masing) iaitu tidak ke dewan kuliah. Tak padan kena tangkap nanti, 'beghiok cok' polis berpakaian preman di jalanan mencari mereka yang telah tamat tempoh visa. Ekoran itu, menyebabkan dewan kuliah menjadi lenggang.Maka, pihak universiti terpaksa turut campurtangan. 

Hasilnya, sekarang ini bagi para pelajar khususnya dari Malaysia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyiapkan visa. Syabas dan terima kasih kepada pihak kedutaan serta perhatian pihak al-Azhar berkaitan masalah visa kepada para pelajar.

Kini kehidupan berjalan seperti biasa. Barulah lega hati kami, alhamdulillah...

Friday, 17 November 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 104

Salam Jumaat.


"Saintis barat hari ini berlumba-lumba untuk menjalankan kajian benih tumbuh-tumbuhan. Benih-benih dijaga begitu elok untuk menghasilkan tanaman yang bermutu. Jika benih tumbuh-tumbuhan pun dijaga demikian rupa, kenapa tidak 'benih tamadun' iaitu manusia? Lantaran itu didiklah anak-anak dengan jagaan iman dan taqwa kerana dari benih inilah akan lahirnya tamadun UMMAH.. InsyaAllah.."

~Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat~

Tuesday, 14 November 2017

Fikir-fikir: Umpama rumah labah-labah

Petang yang mendamaikan, di tepi perigi berhampiran pagar yang banyak menyimpan kenangan semasa kecil. Suka dan duka. 

Sungguh asyik saya memerhatikan sang labah-labah membina rumahnya. Ia membina rumahnya dengan benang-benang halus yang dihasilkan tubuhnya dan disulam menjadi sebuah jaring. Ia melempar benang yang dipintalnya ke udara lalu aliran udara ini membawanya ke tempat tertentu dimana ia menempel. 

Lalu kerja menyusun benang-benang itu dimulai. Mula-mula labah-labah menarik tegang benang dari titik pusat ke arah luar untuk mempersiapkan rangkanya. Kemudian menggunakan benang jenis kendur yang melekat untuk membuat lingkaran dari arah luar ke dalam. Benangnya di susun dan dianyam dengan rapi untuk membentuk satu jalinan yang tersusun, cantik.

"Subhanallah...subhanallah..." itulah yang termampu saya ucapkan dengan akal yang pendek dan terbatas ini. 

Rumah labah-labah 

Anda tentu biasa melihat sarang labah-labah. Ianya mudah ditemui dan terdapat di mana-mana hatta di dalam rumah kita. Tidak ada orang yang suka kepada sarang labah-labah kerana mencacatkan pemandangan, dan menandakan sesuatu itu telah usang dan lama apabila sudah dilitupi sarang labah-labah. 

Allah SWT berfirman: "...dan sesungguhnya rumah-rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah, kalau mereka mengetahui." (al-Ankabut: 41) 

Allah SWT menyebut bahawa sarang labah-labah adalah rumah yang paling lemah. Mengapa? Perhatikan, lemah kerana ia paling gagal berfungsi sebagai rumah kerana tidak dapat memelihara penghuninya daripada panas matahari dan siraman hujan. 

Malah jika dirempuh ranting atau dibaling batu kecil pun, rumah ini akan musnah dengan mudah dan tidak akan memberikan perlindungan kepada labah-labah lagi, maka ia terpaksa membina semula rumahnya. Demikianlah keadaannya. Bagaimana pula aqidah yang seumpama sarang labah-labah? 

Islam adalah agama yang berteraskan aqidah atau keyakinan yang luhur kepada Allah SWT kemudian di ikuti kepada malaikat-Nya, Rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari kiamat dan keyakinan kepada qada` dan qadar dari-Nya. Hasil dari keyakinan inilah, lahirnya kesedaran, kesanggupan dan ketaatan dalam melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. 

Ini dapat dilihat dalam sejarah dakwah Rasulullah saw yang berusaha menanam aqidah yang mantap kepada para sahabat ketika di Makkah. Selama 13 tahun Rasulullah saw mengajar dan mendidik mereka sehingga lahir dikalangan mereka yang sanggup mempertahankan Islam tanpa berbelah bagi. 

Kita biasa mendengar nama-nama seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Bilal bin Rabah, Mus`ab bin Umair dan ramai lagi. Mereka membuktikan keimanan mereka yang sejati dan ini tidak mungkin berlaku tanpa aqidah yang mantap dan kukuh. 

Dalam kehidupan di zaman yang amat mencabar ini, kita haruslah memastikan aqidah diri, keluarga serta masyarakat ditanam dengan kukuhnya. Tetapi ini semua bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak faktor yang menyumbang ke arah kerosakan aqidah kini. 

Kita lihat kebejatan akhlaq dan moral serta pemujaan budaya hedonisma yang melampau-lampau dikalangan masyarakat kini. Cuba lihat di televisyen program realiti TV "macam-macam ada" ada untuk kanak-kanak, ada untuk remaja, ada untuk orang dewasa dan untuk yang dihujung senja pun ada. 

Kita amat bimbang kerana ini adalah jarum suntikan yahudi untuk melekakan umat Islam. menurut satu artikel yahudi menggunakan beberapa strategi untuk merosakkan pegangan umat Islam serta menjuhkan mereka dari pegangan agamanya. Strategi tersebut dikenali sebagai 5F-4S: 

-Film -Family -Fashion -Fun -Food -Song -Sex -Smoke -Sport 

Berhati-hatilah sahabat semua, mantapkanlah aqidah dan keimanan kita kepada Allah SWT. Percayalah hanya Islam yang boleh membawa kepada kebahagian. Islam sahaja yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. 

Lebih memerhati 

Oleh itu perhatikanlah ciptaan Allah agar kita dapat mengambil pengajaran dan pelajaran. Sesungguhnya segala ciptaan Allah itu tidak sia-sia, pasti ada manfaat dan gunanya. Hanya kita sahaja yang tidak mengetahui dan memahaminya. 

Inilah yang Allah maksudkan dalam surah Ali-Imran ayat 191: "Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk dan waktu berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit dan bumi, seraya mereka berkata "Wahai Tuhan kami, tidak engkau jadikan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka jauhkanlah kami dari azab neraka". 

Subhanallah! Maha Suci Allah yang bersifat dengan Maha Bijaksana, hanya menggunakan labah-labah yang dikenali oleh siapa sahaja sebagai perumpamaan menggambarkan kerapuhan aqidah dan iman golongan yang menurut hawa nafsu ini sebagai metode paling mudah untuk difahami. 

Labah-labah adalah haiwan kecil berkaki lapan yang memerangkap serangga sebagai makanannya dengan jaring yang juga rumahnya. Semoga kita semua lebih memerhati...

Saturday, 11 November 2017

Menyidai pakaian pada waktu malam

Soalan:

Saya ingin bertanya, benarkah tidak elok menyidai pakaian di waktu malam di luar rumah kerana takut terkena sihir?

Jawapan:

Ada yang menyatakan menyidai pakaian pada waktu malam di luar tidak digalakkan kerana mudah terkena sihir.

Nasihat ini jika diperhalusi ada sandaran secara indirect dari al-Quran dan dari hadis Nabi saw.

Di dalam al-Quran ada dinyatakan gesaan berlindung dari kegelapan malam.

Firman Allah SWT:

(1)Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, 
(2)Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; 
(3)DAN DARI BAHAYA GELAP APABILA IA MASUK;
(4)Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); 
(5)Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".
(Al-Falaq: 1-5)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan:
"Apabila malam tiba atau waktu petang hampir berakhir, maka tahanlah anak-anak kecil kamu dari keluar rumah (dan pastikan mereka tidak bergurau-senda ketika itu) kerana syaitan bertebaran ketika itu. Apabila telah berlalu beberapa waktu malam, maka benarkanlah anak-anak kecil bergerak bebas di dalam rumah. Ketika malam tiba tutuplah pintu dan bekas air serta sebutlah nama Allah ketika menutup pintu dan mengikat bekas air tersebut. Begitu juga hendaklah kamu menutup bekas-bekas makanan atau minuman serta sebutlah nama Allah ketika menutupnya, jika tidak mampu menutup bekas-bekas tersebut, letaklah sesuatu di atasnya (walaupun ranting atau lidi atau seumpamanya) dan padamlah lampu-lampu kamu ketika tidur."

Ayat al-Quran dan hadis di atas secara tidak langsung menjelaskan pada waktu malam perkara bahaya mudah dilakukan, di antaranya ialah sihir.

Adapun mereka yang terpaksa menyidai atau menjemur pakaian pada malam hari, hendaklah sentiasa memagari dirinya dengan zikir-zikir yang diajar oleh Nabi saw.

#Tidak termasuk jemuran di bawah teduhan beratap

Wallahu a`lam

Friday, 10 November 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 103

Salam Jumaat.


"Umur adalah pinjaman daripada Allah SWT, satu masa nanti ia akan ditanya oleh-Nya. Lakukanlah yang terbaik untuk masa depan kita di akhirat dengan bekalan yang ada..."

~Al-Marhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat~

Thursday, 9 November 2017

Unikkan loghatnya...


"Belewat metlah.. Aok memai Tembsor geganey. Pepagi kala tak ngatong de kedai Icong carilah de kedai Yan, sikit hari lagi de Le Cok Cafe Man simpang kuburlah lepaknyeh.." (sumber: Aku Anak Pahang)

Ungkapan di atas adalah salah satu loghat di negeri Pahang. Pelikkah bunyinya? Sekiranya anda orang Pahang, loghat ini tidak pelik mana pun, bahkan sangat unik. Sebenarnya ia adalah loghat orang Tanjung Besar Benta, Kuala Lipis Pahang. Agaknya sahabat-sahabat yang membacanya dapatkah memahami apakah maksudnya? Hmm, orang Pahang mungkin sedikit sebanyak faham akan maksudnya. 

Maksudnya, "Benar sangatlah (Belewat metlah maksud lain: melebihi) awak sememang (orang) Tanjung Besar (semata-mata) (geganey). Pagi hari lagi kalau tidak berehat dan berborak (ngatong) di kedai Icong (nama orang) cuba cari di kedai Yan, sekejap lagi di Le Chok (nama orang) Cafe Man simpang kubur lepaknya.." (sumber: Aku Anak Pahang)

Sedikit maklumat mengenai Tanjung Besar

Kampung Tanjung Besar berada di dalam Mukim Tanjung Besar dan di bawah Dun Benta dan mempunyai seribu lebih penduduk. Kawasan kampung ini terletak kira-kira 45 km dari Bandar Kuala Lipis dan hanya 14 km dari Pekan Benta. Terdapat empat buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) iaitu JKKK Tanjung Besar Hulu, Tanjung Besar Tengah, Bukit Belau dan Rengai Kadok.

Mengikut cerita mulut ke mulut orang terdahulu, Kampung Tanjung Besar dibuka sekitar tahun 1700-an bermula dari Perlong yang terletak di Kampung Kemahang Hilir. Pembukaan kampung itu didakwa diketuai oleh Tok Perlong @ Tok Mohamad @ Tok Pandak yang berasal dari keturunan Tun Ibrahim iaitu orang terawal membuka Lipis dan pengikut-pengikutnya.

Tok Perlong bersama para pengikutnya mudik dari Kampung Pagar dengan menaiki sampan melalui Sungai Lipis hingga tiba di Kuala Rengai. Menurut cerita lagi, rombongan tersebut kemudiannya singgah di Perlong atau kini lebih dikenali sebagai Kuala Kemahang, Mukim Tanjung Besar.

Tok Perlong ini mempunyai 16 orang anak dan salah seorang daripadanya ialah Tok Maulud yang lebih menonjol serta mempunyai tenaga yang kuat. Tok Maulud ini kemudian membawa ahli keluarganya serta beberapa pengikut mudik ke Sungai Rengai sebelum menjumpai sebuah kawasan tanjung. Rombongan tersebut membersihkan kawasan tanjung berkenaan dan bercadang untuk membuat penempatan baharu. 

Mengikut perkiraan Tok Maulud serta pengikutnya, terdapat syarat-syarat yang perlu diambil kira jika nak buka sebuah kampung serta tanah paya iaitu keadaan tanah dan tumbuh-tumbuhan dari sebesar-besar pokok tualang sehinggalah sekecil-kecil tumbuhan renek. Diceritakan, pada suatu malam rombongan berkenaan menjumpai seekor ular tedung yang sangat besar hingga menimbulkan ketakutan dalam diri mereka. Walaupun ular tedung memiliki saiz yang besar tapi ia tak menyerang ataupun ganggu penduduk dan mereka sifatkan kejadian tersebut sebagai amat luar biasa. 

Selepas kejadian itu rombongan tersebut bercadang untuk menamakan kawasan penempatan terbabit sebagai Tedung Besar berikutan penempatan didiami masih tidak bernama.Tetapi lama-kelamaan mereka memikirkan nama Tedung Besar tak sesuai sebab ia melambangkan ganas, jahat dan berbisa. Jadi mereka bersepakat untuk menukar kepada Tanjung Besar. (sumber: Sinar Harian Pahang)

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (30)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamu `ala Rasulillah (29) di bawah tajuk besar (DALAM NAUNGAN KENABIAN DAN KERASULAN)

foto hiasan (sumber)

Jibril Turun membawa Wahyu

Setelah usia baginda genap 40 tahun (yang dianggap sebagai puncak kesempurnaan jiwa manusia dan dikatakan bahawa para nabi diangkat menjadi rasul pada usia ini) bermulalah tanda-tanda kenabian melambai dan memancarkan kilaunya kepada baginda dari balik ufuk kehidupan. Tanda itu berupa mimpi yang benar. Baginda bermimpi kelihatan seperti fajar menyinsing di waktu subuh. Hal itu berlaku selama enam bulan.

Baginda memikul amanah kenabian selama 23 tahun dan mimpi yang benar itu termasuk salah satu daripada 46 tanda kenabian baginda. Hingga akhirnya pada bulan Ramadhan, pada tahun ketiga sejak baginda beruzlah di Gua Hira'. Allah berkenan melimpahkan rahmat kepada baginda untuk menjadi pemimpin bagi seluruh penghuni bumi. Allah memuliakan baginda dengan kenabian dan mengutus Jibril kepada baginda dengan membawa beberapa ayat al-Quran.(1)

Dengan mengamati dan menganalisis pelbagai bukti dan dalil, kita dapat memastikan bahawa peristiwa itu terjadi pada hari Isnin. Secara tepatnya pada malam ke-21 dalam bulan Ramadhan, bertepatan dengan tarikh 10 Ogos 610 M. Ketika itu umur Nabi Muhammad tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari berdasarkan perkiraan bulan. Sedangkan, jika menggunakan perkiraan matahari, umur baginda waktu itu ialah 39 tahun 3 bulan 22 hari.(2)

Kaji perbualan Aisyah, puteri as-Siddiq yang meriwayatkan kisah peristiwa tersebut untuk kita. Peristiwa yang merupakan pancaran sinar Ilahiah, yang menyingkap tabir gelapnya kekufuran dan kesesatan hingga mampu mengubah jalan kehidupan dan meluruskan garis sejarah. Aisyah bercerita:

"Permulaan yang dialami oleh Rasulullah saw menjelang turunnya wahyu adalah mimpi yang benar ketika baginda tidur. Baginda bermimpi melihat fajar menyinsing pada waktu subuh. Semenjak itu baginda mula menyendiri di Gua Hira'. Baginda beribadah di dalamnya untuk beberapa malam, selepas itu baru pulang menemui Khadijah yang juga tinggal berdekatan dengan Gua Hira'.

Rujukan:

(1) Ibnu Hajar mengatakan, "Baihaqi menyatakan bahawa mimpi yang benar itu berlangsung selama 6 bulan. Oleh itu, permulaan mimpi yang benar yang merupakan petanda awal kenabian terjadi pada bulan baginda dilahirkan iaitu, Rabiul Awal. Peristiwa itu terjadi setelah umur baginda genap 40 tahun. Namun, wahtu pertama yang turun kepada baginda dalam keadaan sedar (tidak tidur), terjadi pada bulan Ramadhan." Lihat Fath al-Bary, jil. I, hal. 27.

(2) Para sejarawan berbeza pendapat berkaitan dengan bulan apa Allah memuliakan Nabi Muhammad dengan kenabian dan menurunkan wahyu pertama. Sebahagian mereka berpendapat peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal, sementara sebahagian lain menyatakan ia terjadi pada bulan Ramadhan. Ada pula yang menyebutkan pada bulan rejab. Lihat Abdullah bin Muhammad an-Najdy, Mukhtashar Sirah ar-Rasul, hal. 75.

Saya merajihkan pendapat yang kedua, iaitu terjadi pada bulan Ramadhan. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185, "Bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan al-Quran." Dan dalam surah al-Qadr ayat 1, "Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam al-Qadr." Malam al-Qadr terdapat dalam bulan Ramadhan. Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan ayat 3, "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh keberkatan. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi peringatan." Kesimpulannya "malam yang penuh keberkatan" ini terjadi dalam bulan Ramadhan diambil kerana Rasulullah berdiam diri di Gua Hira' sepanjang bulan Ramadhan dan turunnya Jibril pertama kali kepada Nabi Muhammad dengan membawa wahyu terjadi pada bulan Ramadhan.

Seterusnya para pengkaji masih berbeza pendapat lagi dalam menetapkan hari pada bulan Ramadhan tatkala pertama kali wahyu diturunkan. Ada yang berpendapat pada hari ke-7 bulan Ramadhan. Ada yang mengatakan pada hari ke-17. Ada juga yang mengatakan pada hari ke-18. Lihat Abdullah bin Muhammad an-Najdy, Mukhtashar Sirah ar-Rasul, hal. 75 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. 1, hal. 49. Dalam Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah, jil. I,hal. 69, al-Khudari menekankan bahawa peristiwa itu terjadi pada hari ke-17.

Saya berpendapat peristiwa itu terjadi pada hari ke-21meskipun tidak ada ulama yang mengatakan demikian. Ini adalaj kerana pakar sejarah (majoriti atau bahkan keseluruhannya) bersepakat bahawa pengutusan Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada hari Isnin. Mereka menguatkannya dengan riwayat hadis daripada Abu  Qatadah bahawa Rasulullah pernah ditanya tentang puasa pada hari Isnin, maka baginda menjawab, "Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku." Di tempat lain diriwayatkan dengan lafaz, "Itu adalah hari aku dilahirkan dan hari aku diutus atau diturunkan wahyu kepadaku." Lihat Sahih Muslim, jil. I, hal. 368; Musnad Ahmad, jil. V, hal. 297; Sunan al-Baihaqi, jil. IV, hal. 286, 300 dan Mustadrak al-Hakim, jil. II, hal. 602.

Hari Isnin dalam bulan Ramadhan pada tahun tersebut terjadi pada hari ke 7, ke-14, ke-21 dan ke-28. Sementara riwayat-riwayat sahih menunjukkan bahawa Lailatulqadar terjadi pada malam-malam ganjil, pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Jatuhnya Lailatulqadar untuk setiap tahun selalu berganti-ganti antara malam-malam ganjil.

Oleh yang demikian, apabila kita mengaitkan antara firman Allah, "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh keberkatan," dengan riwayat Abu Qatadah bahawa pengutusan Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada hari Isnin ditambah lagi dengan hitungan secara ilmiah pada hari Isnin bulan Ramadhan yang tahun itu jatuh pada tarikh apa sahaja, maka kita boleh menarik kesimpulan bahawa diutusnya Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada malam ke-21 bulan Ramadhan. 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung...

Saturday, 4 November 2017

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: Misi bantuan Rohingya masih diteruskan

'Acara kemuncak - Pelancaran dana untuk Rohingya'

Kami (Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang) mensasarkan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM150K. Ianya adalah dana sumbangan untuk mangsa pelarian Rohingya di Coxbazar, sempadan Myanmar - Bangladesh. Melihat pada keadaan terkini, saya berkeyakinan jumlah tersebut mampu dicapai, walaupun berkemungkinan mengambil masa yang agak panjang. 

Alhamdulillah, kerjasama yang sangat baik daripada banyak pihak dalam menjayakan misi ini. Termasuk badan-badan yang mengambil bahagian dalam membuat kutipan iaitu masjid, surau, institusi pengajian, syarikat korporat dan lain-lain.  

Sehingga kini, telah tiga kali rombongan misi bantuan ke sana dengan membawa sumbangan daripada rakyat Malaysia. Alhamdulillah, semuanya dapat disempurnakan dengan jayanya. Jika ada kesulitan pun, ianya dapat diatasi dengan baik. Bantuan seperti pembinaan shelter, tandas, surau, bantuan beras, periuk, waqaf al-quran serta pelaksanaan aqiqah.   

Moga rakyat Malaysia akan terus menyumbang untuk membantu meringankan penderitaan saudara seagama di sana.