Sahabat Sejati

Thursday 12 January 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (22)

Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (21)

foto hiasan ~ sumber

 Bapa Saudara yang Berusaha Melindungi Sekuat Tenaga 

Abu Talib mengasuh anak saudaranya itu dengan sebaik-baiknya. Dia melayani Nabi Muhammad saw seperti anak kandungnya sendiri, bahkan dalam beberapa hal baginda lebih didahulukan berbanding mereka. Penghormatan dan penghargaan khusus diberikan kepada baginda.

Sehingga berumur lebih daripada 40 tahun pun Nabi Muhammad saw masih hidup dengan selamat di sisi bapa saudaranya. Abu Talib memberikan perlindungan sepenuh hati dan menyokong baginda. Bahkan, demi membela baginda, Abu Talib rela hubungannya dengan Quraisy menjadi dingin. Bahagian ini akan dijelaskan pada tempatnya nanti.

Hujan Dipohon Melalui Perantaraan Wajahnya 

Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Julhamah bin Arfathah bahawa ketika dia mengunjungi Mekah, penduduknya sedang mengalami musim kemarau panjang. Orang Quraisy menjerit, "Hai Abu Talib, lembah telah mengering dan seluruh keluarga terancam kelaparan. mari kita melakukan amalan meminta hujan." 

Maka, keluarlah Abu Talib diikuti seorang anak lelaki (iaitu Nabi Muhammad). Wajahnya bagaikan matahari yang membawa gumpalan awan mendung, yang kelihatan daripadanya gumpalan mendung itu berarak perlahan. Di sekelilingnya juga ada beberapa orang anak lelaki yang lain. Abu Talib memegang tangan Nabi Muhammad, lalu menempelkan belakang baginda ke dinding Kaabah. Jari-jemari Abu Talib masih memegang baginda. Dalam seketika, langit mulai gelap, awan mendung datang dari pelbagai penjuru. Lalu, hujan turun dengan deras, memenuhi lembah dan menghijaukan tanah.(1)

Abu Talib mengisyaratkan peristiwa itu dalam syairnya:

Putih berseri mengundang mendung dengan wajahnya
Penolong anak yatim dan pelindung para janda.(2) 

Rujukan:

(1) Abdullah  bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 15-16

(2) Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 15-16

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

 Bersambung...

0 comments:

Post a Comment