Sahabat Sejati

Thursday 23 February 2017

Kenangan masih basah: Saya rindukan hari-hari itu...(update)

Kata pujangga: “Rindu itu amat menyakitkan.” 

Benar sekali.

Entah kenapa kebelakangan ini, saya amat rindukan hari-hari yang telah berlalu. Kerinduan yang menyebabkan saya jadi sebak. Jiwa saya sakit merindui hari-hari itu. Kadang-kadang ada air mata yang menitis keluar. Rindu yang keluar dari kenangan itu kadang-kadang amat menekan jiwa. 

Saya dan rindu pada sesuatu 

Saya sering terkenang desa saya yang dahulu. Desa yang belum terusik dengan kemajuan yang rakus, menukar anak-anak kampung menjadi cacat budi dan tidak pandai berbahasa. Di saat semak dan belukar masih luas, ketika paya menerung masih berair, tempat saya meranduk bersama rakan mencari secebis kedamaian dekat dengan alam. 

Tatkala desa diserkup kelam malam, ditemani cahaya andang daun kelapa, kami berduyun-duyun ke rumah tuan guru belajar mengaji, berzanji, marhaban dan seribu satu ilmu bekalan kehidupan. Indahnya zaman itu. Biarpun ketika itu zaman hitam putih, namun perjalanan hidup ketika itu dipenuhi lorekan warna. Di sana ada secebis damai diri yang telah hilang hari ini. 

Kadang-kadang saya merindui zaman kehidupan di asrama dahulu yang penuh disiplin dan menjaga masa. Makan berjadual, solat lima waktu berjemaah dan ada kumpulan mengulangkaji pelajaran. Saya teringat di antara maghrib dan isya` wajib berada di musolla sekolah, berlumba-lumba menghafal surah-surah pilihan jika tiada kuliah yang disampaikan. 

Sebelum tidur mendengar cerita daripada abang-abang senior yang bertandang, selalunya katil saya yang menjadi mangsa berkumpul. Kerapkali mereka akan bercerita kisah-kisah hantu di kawasan asrama untuk menyakat dan menakut-nakutkan kami semua. Walaupun kisah yang disampaikan tidaklah semuanya benar, tetapi waktu itu kami amat mempercayai. Rupa-rupanya cerita tersebut diriwayatkan dari satu generasi ke satu generasi. Malahan saya turut melakukan perkara yang sama tatkala tiba masanya saya pula mengambil tempat abang-abang senior.

Teringat juga kepada teman-teman seperjuangan yang sama-sama mewakafkan diri di medan menuntut ilmu. Tanpa jemu menadah kitab sebagai persedian diri guna hari mendatang. Besarnya erti persahabatan dan ukhuwwah fillah, tanpanya persahabatan tiada nilai, kosong dan suram. Semua itu bagaikan baru semalam berlalu, kadang-kadang ia bertamu di alam mimpi. 

Adakalanya untuk mengubati kerinduan ini, saya akan membelek-belek majmu` hitam yang sederetan di dalam almari. Menyelak halaman demi halaman, lebih terasa tatkala tersua dengan nota-nota kusam yang banyak kedapatan pada Qamus al-Marbawy yang banyak berjasa. Begitu juga dengan lakaran yang lebih kepada contengan di dalam Mukhallis Qawaid al-Lughatul `Arabiyyah dan Matan Ajrumiah. Kebosanan barangkali atau mereda pening kepala yang melanda tatkala ber-`irab dalam subjek Lughah al-`Arabiyyah. 

Akan terubatkah rindu ini? 

Hari-hari yang telah berlalu mencetuskan kenangan yang tersendiri. Ada bau rindu di situ, rindu itulah yang membasahkan perasaan saya hari ini. Saya tahu kesedihan, menangisi hari semalam adalah sesuatu yang sia-sia. Kerana hari-hari yang telah berlalu tidak mungkin berulang kembali. Semuanya telah menjadi kisah dan sejarah, yang telah disimpan di dalam lipatan memori. 

Seandai kita bertanya adakah kita bahagia pada kehidupan yang lalu berbanding hari ini? Tentunya kita ada seribu satu sebab untuk berkata demikian. Sesungguhnya semalam telah pun berlalu, hari ini untuk kita corakkan bahagia atau sengsara dan esok belum tentu kepunyaan kita. Mungkin telah tersurat untuk kita tidak sempat menjengah matahari hari esok. 

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hidup sebenar ialah hari ini, inilah yang realiti. Namun, kenangan semalam yang menjenguk dijiwa selepas perjalanan masa, itulah yang mematangkan fikiran. Nostalgia itulah yang mengajar erti kehidupan, ukhuwah, cinta dan kasih sayang. 

Saat ini saya masih lagi bertanya, AKAN TERUBATKAH RINDU INI?

Sunday 19 February 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (25)

Sambungan daripada : Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (24) di bawah tajuk besar (PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI)

foto hiasan ~ sumber

Pekerjaan Nabi Muhammad saw Ketika Kecil

Ketika mula menginjak usia remaja, Nabi Muhammad saw tidak mempunyai pekerjaan tetap. Ada riwayat hanya menyebut baginda pernah menggembala kambing. Baginda menggembala kambing sejak hidup di perkampungan Bani Saad dan diteruskan ketika berada di Mekah.(1) Di Mekah, baginda menggembala kambing milik penduduk Mekah dengan bayaran beberapa dinar.(2)

Pada usia 25 tahun, Rasulullah saw berdagang ke Syam untuk menjalankan perniagaan saudagar kaya bernama Khadijah. Ibnu Ishaq berkata, "Khadijah binti Khuwailid ialah seorang saudagar wanita yang kaya-raya dan terkenal. Dia biasanya mengupah pekerja lelaki untuk menjalankan perniagaannya atau dengan sistem al-mudarabah iaitu dengan pembahagian hasil keuntungan."

Sementara itu, Quraisy ialah kaum yang terkenal dengan aktiviti perdagangan. Ketika berita tentang kejujuran Rasulullah saw, keteguhannya menjalankan amanah serta kemuliaan akhlaq sampai ke telinga Khadijah, dia segera mengutus seseorang untuk menawarkan pekerjaan kepada baginda. Khadijah memberikan peluang kepada baginda untuk menguruskan perniagaannya ke Syam. Khadijah menjanjikan bayaran lebih banyak dibandingkan dengan bayaran yang selama ini diterima oleh pedagang lain.

Baginda juga dibantu oleh seorang pembantu bernama Maisarah. Tawaran tersebut diterima oleh Rasulullah saw. Baginda pun berangkat ke Syam untuk menjalankan perniagaan Khadijah. Baginda ditemani oleh pembantu Khadijah yang bernama Maisarah hingga sampai ke Syam.(3)  

Rujukan:

(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 166.

(2) Muhammad al-Ghazali, Fiqg al-Sirah, hal. 52.

(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 187-188.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Wednesday 15 February 2017

Tuesday 14 February 2017

Hujan turun lagi!

'Foto 1 ~ YAMC Pahang dalam misi bantuan banjir pada Januari lalu'

Ketika entri ini ditulis, hujan masih lagi menerjah atap anjung rumah saya. Berdetak-detak bunyinya membingitkan telinga. Hujan yang turun, sekejap lebat sekejap perlahan. Musim tengkujuh masih belum berakhir agaknya walaupun kita semua telah pun berada di bulan Februari. 

Jika dulu-dulu, seingat saya, musim tengkujuh dalam lingkungan bulan November dan Disember. Bulan Januari itu sudah dikira permulaan masuk musim panas. Tetapi kebelakangan lima, enam tahun ini ia tidak begitu. Kena gaya bulan Februari pun masih lagi hujan turun mencurah-curah. Macam di tempat saya sekarang ini. 

Minggu lepas, saya membaca dalam laporan Jabatan Meterologi menyatakan beberapa daerah di Pahang mengalami hujan tahap kuning bermula Jumaat sehingga Isnin termasuk tempat saya. Tetapi hari ini sudah pun hari Selasa dan hujan masih ‘beghek’. Yalah nama pun ramalan. Kadang betul kadang silap. Apa pun, ia semua adalah di dalam pengetahuan dan perancangan-Nya. 

'Foto 2 ~ YAMC Pahang  dalam misi bantuan banjir pada Januari lalu'
 
Sebenarnya, dari sebelum subuh lagi hujan telah turun. Malahan, ia telah bermula sejak dua hari yang lalu. Tetapi seperti yang saya katakan hujan tidaklah berterusan turun, melainkan sekejap-sekejap. Ada masa lebat kemudian berhenti, selepas itu turun semula renyai-renyai kemudian sidang semula. 

Belum ada lagi tempat yang dinaiki air. Jika dilihat pada keadaan hujan, secara logiknya tidak akan berlaku banjir. Mudah-mudahan begitulah. Tidak seperti hujan di awal Januari lalu, banyak negeri yang dinaiki air. Saya menonton di televisyen berita banjir di beberapa negeri seperti Johor, Terengganu dan Kelantan. Negeri Pahang juga tidak terkecuali terutama di sebelah Pahang barat. Alhamdulillah, saya turut bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang melancarkan misi bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat. 

Dalam hati, saya sendiri juga merasa cuak, bimbang jika tempat saya dinaiki air. Teringat peristiwa ditimpa bah kira-kira tiga tahun yang lalu. Kami sekeluarga diarahkan berpindah bersama penduduk yang lain. Maka, berpindahlah kami sekeluarga ke dewan orang ramai berhampiran yang dijadikan pusat pemindahan. 

 'Foto 3 ~ YAMC Pahang dalam misi bantuan banjir pada Januari lalu'

Jadi, merasa jugalah pengalaman 'percutian' 4 hari 3 malam di pusat pemindahan. Dengan keadaan yang serba kekurangan dan kurang selesa, kami ‘memaksa’ diri untuk sentiasa ceria sepanjang berada di situ. Itulah pengalaman yang saya kira berharga juga untuk disimpan 

Hujan masih lagi turun. Moga tiada yang buruk berlaku. Allahu al-Musta`an.

Sunday 12 February 2017

Meraikan hari Angah Irsalina di PPTI Kemaman


Kebetulan pula along Ikhwan dan acik Adawiyah sama-sama balik dari asrama minggu ini. Kebetulan juga saya tidak mempunyai apa-apa komitmen, baik di dalam kawasan maupun sebaliknya. Jadi, saya mencadangkan kepada semua untuk menziarahi angah Irsalina di PPTI Kemaman. Semua akur, mengikut sahaja.

Jadi, pada hari Sabtu kami sekeluarga menyusuri jalanraya menuju ke PPTI Kemaman. Cuaca cerah molek mengiringi perjalanan kami. Setibanya di bandar Kemaman, kami singgah sebentar untuk membeli kek sebagai meraikan ulangtahun kelahiran angah. Maklumlah, pada hari ulangtahun kelahirannya, dia berada di asrama. Jadual pulangnya pada akhir bulan ini. Lambat lagi jika mahu meraikannya di rumah. Memikirkan keadaan demikian, biarlah kami yang ke sana untuk meraikannya. Tak apalah cuma lewat tiga hari.

Berazam untuk tidak terlepas meraikan apa-apa 'event' milik anak-anak.  

Apa sahaja, samada majlis hari lahir, majlis khatam al-Quran, hari graduasi, hari anugerah kecemerlangan atau majlis penyampaian hadiah, ia adalah hari untuk meraikan anak-anak kita. Saya sentiasa cuba memastikan dapat hadir apa sahaja program atau majlis untuk anak-anak. Biarpun sejauh di Pulau Tawar, Jerantut, ketika along Ikhwan belajar di sana. Begitu juga menjenguk angah Irsalina di Kemaman. Saya gagahi juga untuk ke sana biarpun dengan menunggang motosikal. Saya tahu betapa bernilai dan besarnya makna majlis ini kepada mereka. Namun, kadang-kadang saya terlepas juga untuk meraikannya apabila bertembung dengan beberapa program kebajikan atau saya terpaksa keluar kawasan. 

Semasa di sekolah rendah, seringkali saya naik ke pentas untuk menerima hadiah kecemerlangan. Bermula dari darjah satu hinggalah darjah enam. Namun, ibu dan bapa saya tidak pernah datang ke sekolah meraikannya. Biasanya abang atau kakak yang datang sebagai pengganti. Begitu juga majlis hari lahir, tidak pernah ibu dan bapa raikannya. Tetapi saya tidak pernah berkecil hati atau menyalahkan mereka, saya benar-benar memahami akan kesusahan mereka pada waktu itu. Kesungguhan mereka menanggung persekolahan saya biarpun mereka sekadar bekerja kampung amat saya hargai. Bahkan ianya satu jasa yang terlalu besar nilainya yang tidak akan mampu saya balas selamanya.

"Mudah-mudahan Allah SWT merahmati kedua ibu bapaku di atas kebaikan mereka..." 

Apapun, hari ini adalah hari anak-anak kesayanganku. Saya akan cuba meraikan mereka biarpun tubuh dan minda bersimpang kepenatannya. Kerana hari ini adalah hari mereka.

Friday 10 February 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 93

Salam Jumaat.


"Jika Allah ingin memenangkan agama-Nya, nescaya teramatlah mudah... tetapi mengapa da`wah banyak dan panjang sekali melalui jalan berliku?? Tidak lain tidak bukan, ia adalah untuk mengangkat darjat para penda`wah dan pejuang agama-Nya, samada berakhir dengan menemui kemenangan ataupun tidak. Rasul-rasul sebelum kita telah melaluinya, maka kita juga harus melaluinya." 

~Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931 - 2015) 

Wednesday 8 February 2017

Sanah Helwah angah Irsalina

'Bersama anakandaku, angah Irsalina'

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat anakandaku, Wan Nur Irsalina (angah) pada hari ini. Seperti insan lain yang digelari bapa, tiadalah doa abi pada usia ini semata mengharapkan moga dirimu sentiasa di dalam rahmat Allah SWT. Moga anakanda membesar menjadi anak solehah. Moga anakanda menjadi penyejuk mata dan penyenang hati abi dan ummi. 

Duhai anakandaku, sekelian selalu kiranya ingin abimu mengingatkan beberapa kalimat mutiara Luqmanul Hakim kepada anaknya tersayang:
"Sepanjang hidupku, aku hanya memilih lapan kalimah daripada pusaka para nabi untuk dijadikan pegangan hidup, iaitu: Apabila engkau solat, jagalah baik-baik fikiranmu. Apabila engkau bertandang ke rumah orang lain, jagalah baik-baik pandangan matamu. Apabila engkau di majlis, jagalah lidahmu. Ingatlah kepada Allah SWT sepanjang masa. Ingatlah akan mati, iaitu bersedia hadapi maut. Lupakan budi baikmu terhadap orang lain dan lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu."

Ingatlah di sepanjang pelayaran hidupmu, walaupun jasad ayahanda telah bergalang tanah. 

#Tahniah di atas pelantikan sebagai Ketua Usrah (K/U) Lujnah Kebajikan di PPTI. Jalankan tugas dengan jujur dan amanah, jangan salahguna kuasa ye....(senyum)

Wordless Wednesday : Anda sendiri menafsirkan (10)

sumber ~ fb

Tuesday 7 February 2017

Alhamdulillah, alhamdulillah, thank you Allah...

'Si kecil Haikal yang istimewa di dalam kelas'
 
Beberapa urusan yang perlu dibereskan pada minggu yang lalu, alhamdulillah dapat diselesaikan dengan baik. Tidak mungkin saya mampu menanganinya, melainkan semata-mata dengan kehendak dan pertolongan-Nya. Segala puji dan bagi-Nya atas kurniaan ini, walaupun setiap patah pujian yang saya lantunkan tidakkan mampu dibanding dengan kurniaan yang dihamparkan kehariba-an saya. Alhamdulillah.

'Si kecil Haikal yang istimewa' telah pun bersekolah sejak Rabu minggu lepas. Lucu juga mengenangkan usia 12 tahun baru masuk sekolah. Jauh sangat ketinggalannya. Saya menyangka dia akan menjadi 'penghuni setia' di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Menjalani latihan demi latihan pemulihan agar dapat  melakukan aktiviti sebagaimana orang biasa. Ataupun sekurang-kurangnya hampir sama.

Rupa-rupanya perancangan Allah SWT berbeza dengan apa yang saya jangka. Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, di usia 12 tahun 'si kecil Haikal yang istimewa'  menjejakkan kaki ke sekolah. Duduk bersama rakan-rakan yang sepertinya di kelas mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Walaupun masa saya semakin padat kerana terpaksa (bukanlah terpaksa sebenarnya) menghantarnya pergi (sebelum ke tempat kerja) dan balik sekolah (keluar waktu rehat tengahari, hantar ke rumah kemudian masuk kerja semula), tetapi hakikatnya saya gembira.

Alhamdulillah, 'si kecil Haikal yang istimewa' tidak menghadapi kesulitan untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang baru. Sayu perasaan saya melihat dia berpakaian seragam sekolah dengan menggalas beg di belakang. Memegang pensil dan menconteng kertas serta berkomunikasi dengan rakan sekelasnya biarpun sekadar isyarat tangan dan jari. Masing-masing saling mengerti apa yang mahu disampaikan.

Alhamdulillah, dapat juga anak saya yang seorang ini merasai suasana alam persekolahan. Tentunya bagi saya ia adalah di antara nikmat kegembiraan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Thank you Allah!

Friday 3 February 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 92

Salam Jumaat.


"Sekiranya dunia yang seluas mata memandang kamu rasakan sempit...
Keluar dan lihatlah bagaimana langit diangkat!
Tidakkah kamu tahu bahawa Allah yang mengangkatnya... 
Mampu untuk menyelesaikan kesulitan sebesar manapun ia..."

Thursday 2 February 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (24)

Sambungan daripada : Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (23) di bawah tajuk besar (PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI)

foto hiasan ~ sumber

Menghadiri Hilful Fudhul

Penyelesaian dari Perang Fijar ialah Hilful Fudhul (sebuah perjanjian gencatan senjata) pada salah satu bulan haram iaitu Zulkaedah. Perjanjian ini dipelopori oleh beberapa buah kabilah Quraisy iaitu Bani Hasyim, Bani Mutalib, Asad bin Abdul Uzza, Zuhrah bin Kilab dan Taim bin Murrah.

Semua pihak yang terlibat berkumpul di rumah Abdullah bin Jad`am at-Taimy kerana faktor usia dan ketokohannya. Mereka semua berjanji dan bersepakat agar jangan sampai ada penduduk Mekah maupun bangsa lain yang dizalimi di Mekah. Jikalau ianya terjadi, maka mereka semua akan berdiri membela orang yang dizalimi itu. Meraka akan bersama-sama memusuhi pihak yang menzalimi hingga kezalimannya terbalas setimpal.

Rasulullah saw datang dan menyaksikan secara langsung perjalanan perjanjian tersebut. Ketika Allah telah memuliakan baginda dengan risalah Islam, baginda mengulas kembali tentang perjanjian tersebut, "Sesungguhnya aku telah menyaksikan sebuah perjanjian di rumah Abdullah bin Jad`an, ia perjanjian yang lebih aku sukai daripada keldai terbaik. Andaikata aku diundang untuk menghadiri perjanjian itu pada masa kini (zaman Islam), pasti aku mendatanginya."(1)

Kesan daripada perjanjian ini wujud keinginan untuk menghapuskan nafsu jahiliah yang ditimbulkan oleh fanatisme kesukuan. Ada yang mengatakan bahawa, sebab diadakan Hilful Fudhul adalah kerana kedatangan seorang lelaki dari Zubaid di Mekah dengan membawa barang dagangan. Barang dagangan itu dibeli oleh Ash bin Wail al-Sahmy, namun Ash berusaha untuk tidak membayarnya.

Maka, lelaki itu meminta bantuan kepada beberapa suku Quraisy iaitu Abdud Dar, Makhzum, Jumuh, Sahm dan Ady tetapi mereka tidak mempedulikannya. Lelaki itu lantas menaiki bukit Abu Qubais, membaca syair-syair yang menggambarkan kezaliman yang dia alami dengan suara lantang.

Ketika itu, Zubair bin Abdul Mutalib melintas, Zubair lalu bertanya kehairanan kepada orang ramai, "Bagaimana boleh ada orang yang tertinggal (masih juga dizalimi setelah selepas perang)?" Pertanyaan pedas itu mendorong pihak-pihak yang disebut sebagai pelopor Hilful Fudhul tadi untuk berkumpul mengadakan Hilful Fudhul. Setelah isi-isi perjanjian disahkan, mereka mendatangi Ash bin Wail dan menuntutnya agar memenuhi hak lelaki tadi.(2)   

Rujukan:

(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 1 dan 113, 135 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 30-31.

(2) Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 30-31.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Wednesday 1 February 2017

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (9)

sumber ~ fb

Moga cita-cita anakanda Ikhwan tercapai, Allahu al-Musta`an

Hari ini merupakan hari terakhir anakanda Ikhwan bekerja di pasaraya pakaian milik usahawan bumiputera tersebut. Setelah dua bulan bekerja, bermula cuti sekolah pada Disember tahun lalu, maka semalam, notis menamatkan perkhidmatan pun dihantar kepada pengurus cawangan yang baik hati itu. “Kita masuk bekerja secara baik, jadi nak berhenti pun biarlah dengan cara yang baik”, saya memberitahunya. 

Semasa mula-mula dia menyuarakan hasrat untuk bekerja sementara menunggu keputusan STAM diumumkan, saya tidak membantah. Yalah, daripada duduk melangut sahaja di rumah, baik bekerja. Sekurang-kurangnya dapat juga menambah duit belanja selain mencari pengalaman bekerja. Selebihnya bolehlah juga merasa letih dan penat sebagaimana abi bekerja menyara kehidupan sekeluarga.(senyum) 

Berhampiran dengan tempat tinggal saya terdapat beberapa buah pasaraya, pasar mini dan kedai-kedai yang beraneka. Pilih sahaja yang mana sesuai, tak perlu cari yang jauh-jauh sehingga ke bandar Kuantan. Jika bernasib baik akan diterima bekerja. Pergi bekerja dengan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, malah mahu berjalan kaki pun boleh kerana jarak yang dekat. 

Saya menyarankan agar dia memohon pekerjaan di Pasaraya Sakan yang terletak tidak jauh dari rumah. Dipendekkan cerita, setelah mengisi boring pada siangnya, lalu pada malamnya pengurus pasaraya tersebut menelefon beliau agar masuk bekerja pada keesokannya. Alhamdulillah, dia diterima bekerja di pasaraya tersebut sebagai ‘customer service’. Tak kisahlah jawatan apa pun, yang penting dapat kerja. Lagipun kerja sementara sahaja, sambil menunggu keputusan STAM diumumkan. 

Pasaraya Sakan adalah pasaraya yang menjual pakaian dan milik sepenuhnya bumiputera. Pengasasnya ialah Haji Omar, orang Perak kalau tak silap. Satu lagi pengurusan pasaraya ini ada memperuntukkan waktu untuk bersolat. Ini yang bagusnya. Alhamdulillah, jika diikutkan lumayan juga gaji yang diterima sebulan, dalam 1K lebih. Lepaslah buat belanja dirinya, nak beli pakaian atau apa yang dihajati. 

Setelah dua bulan berlalu, hari ini menjadi hari terakhir dia bertugas di situ. Sebabnya, anakanda Ikhwan perlu mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBAR) di tempat belajarnya dahulu. Keputusan STAM yang diumumkan baru-baru ini melayakkan dia memohon untuk menyambung belajar di Timur Tengah. Maka, al-Azhar, Mesir menjadi pilihan destinasi untuk menyambung pengajian peringkat seterusnya. Oleh itu, setiap pelajar yang mahu ke Mesir diwajibkan mengikuti program KIBAR.

Insya-Allah, hari Ahad ini saya akan menghantarnya kembali ke Kulliah al-Lughah Waddin di Pekan untuk pendaftaran kursus KIBAR. Jangkamasa kursus ialah selama tiga bulan. Seterusnya membuat persiapan ke Timur Tengah untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang pendakwah. Doakan sahabat-sahabat!

Allahu al-Musta`an.