Sahabat Sejati

Tuesday 16 May 2017

Selamat Hari Guru 2017


OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut,  merangsangkan
anusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.
Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID, 2 APRIL 1988

2 comments:

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan....

Saya ucapkan Selamat Hari Guru dan mudahan apa yang kita lakukan sebagai guru untuk mendidik anak bangsa akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Saya sangat suka membaca apa sahaja catatan dari Sasterawan Negara A Samad Said. Bahasanya indah dan penuh puitis serta makna yang mendalam. Alhamdulillah, saya juga pernah bertemu dan bercakap dengan beliau beberapa kali.

Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak

paridah said...

Assalam...moga sht sjhtra sekeluarga...sajak sasterawan negara mnyimpul makna sebenar prihal guru..selammat hari guru buat ustaz semua warga pendidik.

Post a Comment