Sahabat Sejati

Thursday 27 July 2017

Celoteh sebentar..

Lebih tiga bulan anakanda Ikkhwan mengharungi kehidupan di bumi Mesir, kota Kaherah jolokan kota seribu menara. Alhamdulillah, sepanjang berada di sana tiada pernah lagi terjadi apa-apa masalah yang menyukarkan. Moga-moga begitulah hendaknya sentiasa. Meskipun begitu, jika ada sebarang kesulitan, biarlah ianya dapat diatasi dengan sebaik mungkin. Maklumlah, terpisah jauh beribu batu, hanyalah doa yang mampu dipanjatkan dengan harapan yang disandarkan semata-mata kepada-Nya. 

Rindu? Sudah semestinya. Bak kata Hijjaz: “Rindu itu adalah anugerah dari Allah, Insan yang berhati nurani punyai rasa rindu..” Ya, saya dan ummu Ikhwan punyai rasa rindu terutama di usia ini. Semakin bertambah usia, semakin menebal rasa rindu. Sementelah lagi anak-anak yang lain juga turut tinggal di asrama. Angah Irsalina di PPTI, acik Adawiyah di SMKAA. Di rumah ini tinggallah abi dan ummi, bersama ‘si kecil Haikal yang istimewa’. Sedikit sebanyak terhibur juga dengan keletahnya biarpun lidahnya hanya mampu mengeluarkan suara, “aaa.. eee..” 

Telefon bimbit menjadi alat perhubungan yang sangat penting, untuk mendekatkan jarak kami. Aplikasi whatsapp, voice mail, serta video call banyak membantu. Dapatlah mengubati kerinduan hati kepada anak sulung kami ini. Cuma, kadang-kadang hiba juga tatkala melihat keadaan 'si kecil Haikal yang istimewa'. Beberapa kali saya perasan, linangan air matanya yang membasahi pipi tatkala dia membelek foto-foto abangnya di dalam telefon bimbit ummu Ikhwan. Sambil itu dia menggayakan isyarat tangan dengan maksud, "mana along, (lama along tak balik)? 

Ramadhan dan Syawal baru-baru ini adalah sambutan yang pertama tanpanya. Terasa seperti ada sedikit kelainan. Maklumlah, biasa beraya berenam, tahun ini tinggal berlima. Jangkamasa 5 tahun mungkin boleh terasa sekejap detiknya. Pejam dan celik, malam berganti siang, tanpa sedar lima tahun berlalu. Itu jika dalam keadaan biasa. Tetapi hakikatnya, di ketika ini, ketika rindu mengisi penuh kolong hati, apabila menyebut 5 tahun, terasa lama sangat masanya. Bahkan masa juga terasa bergerak terlalu perlahan.

Moga anakandaku semua berada di dalam limpahan rahmat dan redha-Nya, serta di dalam jagaan-Nya yang sebaik-baik penjaga...

Thursday 20 July 2017

Rileks sekejap: Jika orang Pahang...

Sewaktu beratur mahu membeli tiket tadi tiba tiba penyokong Pahang yang berada didepan saya terlupa membawa IC. Ini menyebabkan penjual tiket tiada pilihan selain melakukan temuduga untuk memastikan penyokong tersebut adalah Bangsa Pahang... Berikut adalah rakaman temuduga antara penjual tiket dan penyokong yang terlupa membawa IC. 

Penjual tiket : Nama lama Indera Mahkota mende?

Penyokong : Atabara

Penjual tiket : Pekan Sari Derian Tawor hari mende?

Penyokong : Hari Rabu

Penjual tiket : Kalau gelas tepi meja dekat dekat nak jatuh, orang Temeloh panggil Coper.. Orang Lepih panggil mende?

Penyokong : Tekih

Penjual tiket : Orang Temeloh panggil ikan Seluang, orang Taman Negara panggil Ikan Halus, orang Lepih panggil ikan mende?

Penyokong : Ikan Bador

Penjual tiket : Padang Majlis Daerah Pekan te orang Pekan panggil padang mende?

Penyokong : Padang Beng

Penjual tiket : Kepala hotok betei budak ni, semua mende dia tau. Nah ambik 4 tiket.. Berambusss

sumber: FB

Wednesday 19 July 2017

Doakanlah insan ini...

Coret seorang penyair di dalam lembaran puisinya: “Kalau boleh aku ingin hidup seribu tahun lagi!” 

Aku jua bernafsu begitu. Namun, manakan tercapai duhai diri akan anganmu itu, kerana telah datang ingatan junjungan mulia yang benar-benar menggentarkan perasaan: “Umur umatku antara 60-70 tahun, hanya sedikit daripada mereka yang usianya lebih daripada itu.” (Riwayat Tarmizi) 

Dengan izin-Nya, sekali lagi aku menyambut hari ulangtahun kelahiran pada hari ini. Seperti insan lainnya, aku ingin beroleh nikmat usia dipanjangkan agar dapat meningkatkan kematangan dan kebijaksanaan. Malahan, semestinya meningkatkan kesolehan yang akan dibawa bertemu Tuhan. 

Abuikhwan, telah lama merakap di bumi Tuhan. Telah banyak nikmat-Nya yang diperoleh, telah jenuh ujian dalam meraih kehidupan. 

Pantasnya masa bergulir. Usia semakin dimamah waktu. Apa yang ada pada angka yang bertambah saban tahun, melainkan ia memberi makna telah berkurang usia yang berbaki. 

Setiap kali menjelang tarikh seperti ini ia hanyalah mengingatkan bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk menghampiri kematian. Ucapan demi ucapan selamat hari lahir rupanya seumpama memendekkan masa lalu mendekatkan langkah kaki menghampiri liang lahad. 

Doakanlah agar insan ini sentiasa di dalam kebaikan, rahmat dan redha Ilahi.

Friday 14 July 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 101

Salam Jumaat.


"Orang yang terlalu sedih akan menangis kesedihan, manakala orang yang terlalu gembira juga akan menangis kegembiraan. Namun kedua-dua tangisan tiada nilai di sisi Allah, melainkan tangisan kesabaran dan keredhaan bagi mereka yang diuji dengan kesedihan. Manakala tangisan kesyukuran bagi yang diuji dengan kesenangan. Senyum."

~Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man

Thursday 13 July 2017

Rumah terbuka, jangan lupa puasa 6

Bulan Syawal telah hampir memasuki minggu yang ketiga. Bahang kemeriahannya pun telah semakin berkurangan. Malahan kehidupan seharian juga telah berjalan seperti biasa. Cuma jika ada pun jemputan rumah terbuka yang menyajikan lagu-lagu raya yang bagaikan memaksa-maksa diri agar merasakan kita masih lagi sedang beraya.

Raya tahun ini saya mendapat banyak undangan rumah terbuka berbanding tahun lalu, samada daripada sahabat maupun pertubuhan. Boleh dikatakan setiap hari Sabtu dan Ahad ada sahaja jemputan. Manakala hujung minggu ini adalah yang terbanyak. Lebih kurang sepuluh jemputan yang diterima untuk dipenuhi. Entahlah, saya sendiri tidak berkeyakinan dapat memenuhi semua undangan. Mustahil, sememangnya mustahil untuk menghadiri kesemua sekali. 

Namun begitu, dalam keghairahan kita menghadiri jamuan rumah terbuka, janganlah pula lupa untuk menyempurnakan puasa 6 hari di dalam bulan Syawal. Tidak kisahlah samada enam hari berturut-turut atau secara terputus. Walaupun enam hari berturut-turut adalah sunat dan lebih afdhal bermula 2 Syawal, tetapi ulama juga sepakat bahawa ia bolehkan secara terputus asalkan cukup enam hari di dalam bulan Syawal.   

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun.

Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Dari Abu Ayyub al Anshari ra. Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti puasa sepanjang tahun”. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasaie dan Ibnu Majah).

Maka ambillah peluang ini dengan sebaiknya kerana puasa enam ini berserta kelebihan-kelebihannya hanya hadir setahun sekali. Jadi janganlah ia dilepaskan begitu saja. Betapa ruginya nanti!

Monday 10 July 2017

Alhamdulillah, lega..lega

'sebahagian yang telah siap dicetak'

Alhamdulillah, lega betul rasanya. Barulah boleh menarik nafas panjang-panjang. Mana tidaknya, hmm, tidak terkejar masa, sampai mahu memblog pun agak terbantut. Sekali lagi ucapan syukur - Alhamdulillah.

Bahan-bahan promosi untuk misi ibadat korban dan aqiqah, termasuk juga badal haji melalui pengurusan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang  (YAMCP) telah pun siap sepenuhnya. Setiap tahun saya diberi tanggungjawab untuk menyediakan bahan-bahan promosi tersebut. Bermula daripada menyediakan artwork poster, bunting, banner, brosur, sehinggalah ia selesai di'print'. Setelah itu, bahan-bahan tersebut diagihkan kepada semua wakil YAMCP di seluruh negeri Pahang.    

Tahun ini pelaksanaan korban dan aqiqah masih di tempat yang sama iaitu Sudan, Sri Lanka dan India. Manakala di dalam negara selain pedalaman Sabah, tahun ini ditambah satu lagi lokasi iaitu perkampungan orang asal di sekitar Pahang. Sebelum ini kami turut melakukan misi kemanusiaan ibadat korban dan aqiqah di Vietnam, Kemboja, Filipina dan pedalaman Sarawak.

Namun, setelah dibuat penyelarasan semula oleh YAM Pusat, lokasi-lokasi tersebut diserahkan kepada cawangan negeri lain. Alhamdulillah, ringan sedikit beban kerja, bayangkan berapa ramai sukarelawan yang diperlukan untuk menguruskannya. Tetapi, walau apa keadaan sekalipun, amanah dan tanggungjawab yang diberikan tetap dipikul dengan senyuman yang paling 'menawan'.

Berkunjung ke lokasi-lokasi dalam misi kemanusiaan ini amat menginsafkan. Apa yang boleh dikatakan, terdapat lokasi yang dikunjungi boleh diibaratkan 'makan daging setahun sekali'. Maknanya jika tiada siapa yang membuat ibadah korban atau aqiqah di situ, maka tidak merasa daginglah mereka pada tahun itu. Benar-benar dhaif. Dan sememangnya lokasi-lokasi yang sedemikian dipilih untuk misi kemanusiaan ini.

Seronok dan bahagia sekali tatkala melihat senyuman yang terpamer di wajah-wajah mereka apabila dihulurkan bungkusan berisi daging korban. Tetapi sangat menginsafkan apabila melihat mereka mencicip sehingga 'licin' tidak tersisa apa yang ada di dalam pinggan. (untuk aqiqah - kami memasak dan menjamu mereka). Inilah di antara nikmat dalam menyertai misi kemanusiaan. Semuanya menerbitkan keinsafan dan rasa syukur dengan apa yang dimiliki berbanding mereka yang diuji dengan kesusahan.

Moga Allah SWT mempermudahkan urusan kami dalam setiap misi kemanusiaan yang sertai. 

Monday 3 July 2017

Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul



Kisah yang ditulis ini bertujuan untuk menyerlahkan sesusuk peribadi suami yang boleh dicontohi dengan watak Dr. Muslih. Ia digarap dalam bentuk bingkisan hati oleh watak isterinya, Qani`ah. Semoga, ia berguna kepada pembaca untuk mendapatkan panduan yang praktikal dalam membangunkan sebuah keluarga yang barakah.

Tajuk : Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul
Penulis : Fatimah Syarha Mohd Nordin
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
M/S : 91
Harga : SM 12.00/SS 14.00

Bingkisan Qani`ah buat suaminya ini ingin dikongsi denganmu...

BUAT ADIK-ADIK REMAJA yang baru nak mengenali cinta, ketahuilah bingkisan ini ingin membenihkan sebuah impian padamu agar memelihara kesucian cinta yang kerap teruji di alam remaja, dengarilah pesanku, cintailah Allah, nescaya cinta pasangan soleh turut kau miliki.

BUAT BAKAL PENGANTIN-PENGANTIN BARU, ketahuilah bingkisan ini ingin memberikan gambaran kepadamu tentang hari-hari awal pernikahan supaya kau lebih bersedia membuat persiapan.

BUAT PENGANTIN BARU, ketahuilah bingkisan ini ingin membuktikan kepadamu bahawa kebahagian itu bermula apabila kau menjaga keberkatan pertunanganmu.

BUAT PARA SUAMI, ketahuilah bingkisan ini menyingkap tip untuk memenangi hati isterimu.

BUAT PARA ISTERI, ketahuilah bingkisan ini akan memotivasikan suamimu untuk lebih kreatif dalam membahagiakanmu dan mencuit kebijaksanaanmu untuk membahagiakannya.

BUAT IBUBAPA, ketahuilah bingkisan ini berguna untuk menyemarakkan cintamu di alam rumah tangga dan berguna untuk anak-anakmu membina paradigma baru agar tak tertipu mengejar cinta sebelum kahwin.

Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul terbahagi kepada beberapa bab:

Bab 1: Tiada Cinta
Bab 2: Mengikat janji
Bab 3: Diari Cinta Pengantin Baru
Bab 4: Halakah Cinta Keluarga
Bab 5: Perencah Bismillah
Bab 6: Menikmati Cinta Halalmu
Bab 7: Tip memiliki Syurga Dunia
Bab 8: Bercinta lagi di Syurga

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!