Sahabat Sejati

Sunday 14 March 2010

Cinta yang sejati


Kalimah cinta sering diungkapkan, tetapi adakalanya ungkapan itu tersasar dari makna sebenar. Akibatnya cinta menjadi kotor, jijik dan murahan. Sedangkan jika dilihat dari sudut yang benar cinta itu sifatnya suci, murni dan mahal harganya.

Fitrah manusia diciptakan dengan rasa cinta. Cinta pada diri sendiri, cinta pada keluarga, cinta pada agama, cinta pada harta, cinta pada tanahair dan 1001 cinta lagi.

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kecintaan kepada syahwat (apa-apa yang diingini) iaitu wanita dan anak pinak, harta yang banyak dari jenis emas dan perak, kuda peliharaan yang terlatih, dan haiwan-haiwan ternakan serta kebun-kebun tanaman, semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Ali-Imran: 14)

Menyintai dan dicintai adalah lumrah. Sebagaimana jasad yang memerlukan makanan, begitu juga hati yang memerlukan cinta. Dengan cinta lahirnya kasih sayang, kedamaian dan keamanan.

Kata hukama`: “Kita dapat mengubati penyakit fizik dengan ubat-ubatan. Tetapi satu-satunya ubat untuk kesepian, keputus asaan dan hilangnya harapan adalah kasih. Banyak di dunia ini yang mati kerana kurang makan, tetapi lebih banyak yang mati kerana haus cinta dan kasih sayang.”

Cinta yang sejati



Setiap mukmin dituntut supaya mencintai segala sesuatu di dunia ini selepas daripada mencintai Allah. Mencintai Allah hendaklah mengatasi segala kecintaan, hingga sanggup mengorbankan apa sahaja. Cinta Allah cinta yang paling agung, cinta yang hakiki dan sejati.

Cinta hakiki ialah cinta yang ditautkan di antara hati dan akal. Tautan yang dapat dirasakan kegadirannya, walaupun tanpa dilihat kerana yang bercantum adalah hati dan disimpul kemas oleh tali Allah. Tidak sekali-kali terlerai oleh badai nafsu dan dunia yang menggoda.

Bayangkan bagaimana besarnya kebahagiaan dan bertuahnya kita jika terpilih untuk mendapat cinta Allah. Cinta Allah memutikkan kebahagiaan, memudarkan kepahitan. Cinta Allah melahirkan ketenangan, menyingkirkan keresahan.

“Allah itu indah dan Dia suka pada keindahan”, demikianlah ungkapan tinggi sabda junjungan Rasulullah saw pada menyatakan sifat kesempurnaan Allah SWT, suci dari sifat kekurangan. Fikirkan, indahnya cinta kerana dicipta oleh Allah Yang Maha Indah.

Setiap perkara itu nampak cantik dan indah apabila ada peraturan. Dimanakah cantiknya permainan bolasepak? Cantiknya permainan itu kerana ada peraturan dan undang-undang. Bayangkan jika permainan bolasepak tiada peraturan, pemain bebas memegang bola, boleh bermain kasar atau pun memukul pemain lain sesuka hati serta pemain boleh membawa bola ke mana sahaja hatta keluar stadium. Tentu lucu bukan?

Begitulah cinta, Allah mengurniakan rasa cinta dan Dia juga membekalinya dengan peraturan cinta. Dengan peraturan, maka cinta akan menjadi cantik dan indah. Cinta membahagiakan dan mententeramkan jiwa.

Hukum atau peraturan cinta perlu dipatuhi dan diikuti agar maksud penciptaannya tercapai. Selama mana peraturan ini dijaga selagi itulah cinta akan terpelihara dari kekotoran noda dan dosa. Cinta menjadi penyelamat dan menyelamatkan, bukan merosakkan dan meruntuhkan.

Contohilah cinta para sahabat kepada Allah dan Rasul-Nya. Bagaimana mereka semua menunjukkan rasa cinta mereka. Walaupun diancam, diugut namun sedikit pun tidak berganjak, kerana cinta telah bersemi kukuh di dalam hati. Nama-nama seperti Abu Bakar As-Siddiq yang sanggup membiarkan tangannya dipatuk ular demi semata-mata untuk melindungi Rasulullah. Lihat pula bagaimana Jaafar ibn Abi Thalib yang dicantas kedua tangannya di medan Mu`tah, semata-mata cinta kepada Islam. Kenanglah pula pengorbanan Mus`ab bin Umair yang tega meninggalkan segala kemewahan hidup. Sejarah mencatatkan dia mati dalam keadaan tidak cukup kain kafan, dia yang dulunya sebelum Islam terkenal dengan wanginya athar yang dipakai. Serta ramai lagi para sahabat yang cinta mereka kepada Allah dan Rasul amat mengagumkan. Cinta sepenuh hati.

Carilah cinta sejati berdoalah, semoga akan ketemu akhirnya

Maha Suci Allah yang bersifat dengan kemurahan lalu menganugerahkan kasih sayang dan melimpahkan rasa cinta ke dalam hati-hati makhluk-Nya.

Tetapi, lahirkah kecintaan kita kepada Allah, disudut manakah Allah kita letakkan dalam hati kita?

Ya Allah aku cintakan-Mu, sudikah Kau membalas cintaku?


0 comments:

Post a Comment