Sahabat Sejati

Saturday 27 March 2010

Kerana dirimu amat berharga

Sesungguhnya setiap insan adalah hamba Allah yang diamanahkan supaya memelihara rohani dan jasmaninya. Ini adalah kerana dirinya bukanlah miliknya yang mutlak. Dirinya, fizikalnya serta tubuh badannya adalah milik Allah SWT.

Tidak seharusnya bagi setiap individu muslim yang beriman kepada Allah SWT merosakkan atau mencacatkan dirinya. Apatah lagi menghilangkan nyawanya. Ini termasuk dalam mengkhianati amanah Allah SWT. Segala nikmat yang dikurniakan seumpama kehidupan, kesihatan, harta kesenangan serta kebahagiaan adalah barang pinjaman yang perlu dijaga dan disayangi. Semua ini akan dipertanggungjawab dan dipersoalkan tatkala bertemu Allah SWT di kemudian hari.

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Al-Baqarah:195).

Agama yang menyelamatkan

Islam adalah agama yang paling lengkap dan sempurna. Islam adalah agama yang bersifat selamat dan menyelamatkan, dalam semua aspek kehidupan termasuk pemakanan dan kesihatan. Ia mewajibkan umatnya memilih makanan dan minuman yang halal dan baik. Dengannya akan memperolehi kesihatan jasmani dan keberkatan rohani.


“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari jenis yang baik-baik dari apa yang direzekikan kepada kamu.” (Al-Baqarah: 172)


“Makanlah oleh kamu dari apa sahaja yang telah Allah rezekikan kepada kamu dari (jenis) yang halal lagi baik, dan syukurilah nikmat Allah jika sekiranya hanya Dia yang kamu sembah.” (An-Nahl:114).

Dalam ayat di atas jelas sekali tegasan Allah SWT mengkehendaki manusia memakan makanan yang halal dan baik. Larangan Allah pada sesuatu yang masuk ke dalam perut sama ada memberi mudarat atau tidak berkhasiat. Termasuklah benda-benda yang keji dan busuk seumpama rokok. Sesuatu yang kerap kali kita terlepas pandang.

Nabi Muhammad saw telah mengharamkan pengambilan apa sahaja jenis benda yang memabukkan termasuklah bahan-bahan yang boleh membahayakan kesihatan sehingga membawa kepada kesengsaraan, penderitaan dan kematian, dan tidak terkecuali bahan racun seperti nikotin yang terdapat dalam rokok. Sebagaimana yang disebut:

“Sesiapa yang meminum (mengambil) racun, kemudian sehingga membunuh dirinya, maka dia akan meminumnya pula di dalam neraka Jahanam dan kekal selamanya.” (Bukhari & Muslim).
Tidak seorang pun dari kalangan pakar pemakanan yang menemui apa pun kebaikan atau zat makanan di dalam sebatang rokok. Penagih rokok seolah-olah membeli penderitaan, pemusnah kebahagiaan dan kematian dengan harga yang mahal. Mereka seolah-olah membunuh diri hanya dengan cara menyedut asap dan kimia beracun dari rokok.

Diantara bahan kimia yang merbahaya di dalam setiap batang rokok adalah:

- Tar
- Nikotin
- Karsinogen
- Benzpyrene
- Phenols
- Ko-karsinogen
- Dan lain-lain

Menurut kajian, merokok merupakan penyebab utama berlakunya serangan kanser (barah) paru-paru. Asap tembakau mengandungi sebanyak lebih kurang 4000 jenis kimia yang berlainan. Sekurang-kurangnya 43 daripada bahan kimia ini di ketahui menyebabkan kanser. Terdapat juga bukti meningkat, bahawa seorang yang sering terdedah dengan hembusan asap rokok, dan mereka yang sering berada di persekitaran orang yang merokok (terutama pasangan perokok) boleh mengidap kanser paru-paru walaupun ia tidak merokok (perokok pasif). (Bahagian Pendidikan Kesihatan, kementerian Kesihatan Malaysia).

Maka dengan demikian jelaslah pengambilan atau menghisap rokok amat bertentangan dengan suruhan Allah agar orang-orang yang beriman memilih makanan yang halal lagi baik dan bukan yang keji dan busuk seperti rokok yang amat memudaratkan.

Sumber ketenangan???

“Aku kalau tak merokok sehari buntu rasanya, tak datang ilham.”

“Hilang rasa bosan bila kena sebatang.”

Memang ada yang mendakwa dengan merokok boleh mendatangkan ilham, inspirasi, memberi ketenangan jiwa, hati jadi tenteram. Namun itulah bukanlah keyakinan yang benar, kata-kata yang tidak berpijak di bumi nyata. Sekadar bahasa penyedap kata. Ini kerana menurut kajian pakar psikologi dan juga pakar kesihatan, nikotin yang terkandung di dalam rokok boleh mengurangkan oksigen ke otak sehingga boleh menambahkan lagi kerunsingan dan ketegangan fikiran.

Bagi seorang muslim, ketenangan hati dan jiwa yang tenteram bukanlah diperolehi dengan benda-benda yang memudaratkan dan merosakkan. Sebaliknya ketenangan hanya diperolehi dengan melakukan ibadat dan zikrullah.


“Orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ingatlah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra`d: 28)

Justeru sebagai insan yang waras, marilah kita sama-sama tekadkan diri, berikrar untuk meninggalkan perbuatan yang sia-sia, khususnya merokok. Jika difikirkan seseorang yang merokok, yang dihisap adalah asap dan yang dihembus keluar juga adalah asap. Jadi dimanakah untungnya merokok. Kasihanilah orang lain disekeliling kita terutamanya keluarga yang terpaksa sama menghidu asap rokok.

Sama-sama kita memikirkannya, kerana dirimu amat berharga.




(Petikan akhbar Sinar harian Pahang: 27 Januari 2010)

0 comments:

Post a Comment