Sahabat Sejati

Friday 12 March 2010

Ketentuan yang pasti

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’uun...

Pagi semalam saya menerima panggilan telefon dari Syeikh Azlan yang memaklumkan bahawa ayah kepada seorang sahabat kami telah kembali ke rahmatullah.

"Anta datang ke tanah perkuburan, kita nak menggali liang," pesannya sebelum mengakhiri perbualan.
Segera saya menukar pakaian, lalu menuju ke tanah perkuburan untuk membantu apa-apa kerja yang patut.

Kelihatan beberapa sahabat telah pun berada di sana. Saya segera menyertai mereka.

Terdengar juga cakap-cakap diantara mereka dihujung telinga, “tak sangka semalam di masjid nampak sihat elok bergurau, berborak.”

“Yelah, selepas isya` semalam saya berborak lama dengannya, ok je,” balas yang di sebelahnya.

“Nak buat macam mana, dah sampai masa,” celah sahabat seorang lagi.

Ada yang mengangguk.

Benar, di masjid semalam beliau kelihatan sihat, tanpa menunjukkan apa-apa kelainan. Bergurau senda dengan ahli jemaah yang lain. Namun siapa sangka pada tengah malamnya beliau telah dijemput oleh malaikat untuk menemui Tuhan Yang Maha Pengasih. Meninggalkan segala-galanya.

Kematian itu pasti

“Dan tidaklah Kami jadikan kekal manusia yang diciptakan sebelum kamu, apakah jika kamu dimatikan maka mereka itu tetap kekal? Setiap jiwa pasti akan merasai kematian, dan Kami akan timpakan fitnah bagimu berupa keburukan dan kebaikan. Dan kepada Kamilah nanti kamu semua dikembalikan.” (Al-Anbiya`: 34-35).

Demikianlah tatkala telah tiba waktunya, maka yang kaya atau miskin, yang kuat maupun lemah, yang cantik atau buruk akan melaluinya. Kerana kematian itu pasti tanpa kecuali. Mana mungkin ada yang terlepas darinya. Ia tidak akan dipercepat atau diperlambat walaupun sedetik cuma.

Maka bermulalah episod perjalanan yang panjang, yang mungkin akan menjadi dahsyat keadaannya. Penghijrahan dari alam dunia ke alam barzakh, dari alam fana' menuju negeri kekal abadi.

Itulah kematian, tiada satu pun tempat menyelamatkan diri daripadanya
Manakala ia telah datang, maka diangkatlah usungan jenazah kerananya
Kita hanya boleh berharap semoga selamat dalam menempuhnya
Dan semoga harapan kita ini tidak sia-sia belaka.

Kita bangun istana-istana dan gedung-gedung nan tinggi
Padahal kita tahu bahawa kita akan binasa dan akan mati
Hanya kepada Allah kita adukan keresahan hati ini
Diwaktu para penasihat kematian setiap waktu menasihati.

Sekalung takziah buat sahabat. Kita jua pasti akan menyusul sebagai mematuhi fitrah yang hidup. Siapa yang dulu siapa yang kemudian...Al-Fatihah.

0 comments:

Post a Comment