Sahabat Sejati

Saturday 22 May 2010

Bukan Jumaat yang biasa


Hari ini bukan Jumaat yang biasa. Walaupun cuaca cerah, mentari bersinar memancarkan cahayanya tetapi ada sesuatu yang bergetar di perasaan. Sebak. Tatkala membaca SMS yang dihantar oleh rakan.

“Assalamualaikum, sahabat kita saudara Kamaruzaman telah kembali ke rahmatullah pukul 8.00 pagi tadi.”
Saya tersentak. Terasa mustahil berita yang saya terima. Segalanya begitu mengejutkan.

Bagaikan tidak percaya, malam tadi kami bersama rakan-rakan yang lain di dalam program Ijtima` Tarbawi di PUTRA. Sama-sama mendengar pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Ustaz Nasrudin Thantawi. Beliau tidak menunjukkan tanda-tanda kelainan. Semuanya seperti biasa. Namun sudah ketentuan-Nya.

Saya dimaklumkan beliau telah rebah di bilik air pada paginya. Beliau telah dibawa ke hospital tetapi meninggal di dalam perjalanan.

Kenangan

Saya mempunyai banyak kenangan dengannya. Beliaulah yang bertanggungjawab memperkenalkan saya dengan jemaah PAS. Setiap kali ada program baik ceramah, kuliah, tarbiyah dan sebagainya, beliau akan memaklumkan kepada saya.

“Malam ni ada ceramah di markaz, datanglah, ajak kawan-kawan juga,” beliau mengingatkan.

Pernah beliau membawa saya dan beberapa rakan lagi mendengar ceramah di kawasan Jengka. Kami menumpang van sahabat yang tinggal di Sungai Soi, Rahim namanya.

Satu lagi kelebihannya ialah beliau pandai mengurut. Tidak sedikit yang pernah merasai sentuhan tangannya. Sambil mengurut beliau akan berceloteh. Macam-macam cerita yang keluar dari mulutnya, lucu, sedih, pahit jerih perjuangan dan sebagainya. Mungkin dengan kelebihan itu, beliau mempunyai ramai kawan. Seingat saya demikian seadanya.

Ketentuan

Sukar untuk saya ungkapkan apa yang ada di dalam hati. Hanyalah sekalung doa saya panjatkan, semoga Allah swt mengurniakan keampunan serta curahan rahmat yang berterusan kepadanya. Manakala buat keluarga beliau, mudah-mudahan Allah swt memberikan jutaan kesabaran dan ketabahan.

Demikianlah fitrah kehidupan, bertemu janji yang pasti. Siapa yang dulu siapa yang kemudian.

0 comments:

Post a Comment