Sahabat Sejati

Friday 25 June 2010

Bicara santai: Cerita ikan

Ada satu cerita.

Kisah ikan tua dengan ikan muda. Satu hari berkata ikan tua kepada ikan muda.

“Wahai ikan muda semua! Ketika kamu berenang-renang di pantai, berhati-hatilah. Jika kamu nampak makanan sedap yang tergantung, jangan makan kerana di dalamnya ada besi cangkuk iaitu mata pancing. Jika kamu makan nanti kamu akan berada di alam yang lain. Jika kamu mahu makan juga, pastikan kamu makan umpan sahaja,” panjang lebar nasihatnya. Kasih yang tua kepada yang muda. Ikan muda mengangguk, akur.

Hari yang lain.

Ketika ikan muda itu berenang-renang, ia ternampak seseorang sedang mencampakkan umpan udang.

“Sungguh cantik udang itu, nampak menyelerakan,” getus hati kecilnya. Lantas ia terasa mahu memakannya. Tiba-tiba ia teringatkan pesan ikan tua tempoh hari.

“Jangan makan! Di dalamnya ada besi, nanti kamu akan di bawa ke alam lain.”

Ikan muda itu segera berenang tanpa menghiraukan udang yang tergantung meliuk-liuk mengikuti arus. Ia terus berenang dan berenang. Tiba-tiba tercetus dibenaknya.

“Entah-entah ikan tua itu yang mahu makan udang tersebut, sebab itu ia berkata demikian untuk menakut-nakutkan aku.”

Ia segera berpatah balik.

“Wah, ada lagi! Memang rezeki aku hari ini,” ia berkira-kira di dalam hati, lalu terus menyambar udang tersebut. Memang sedap rasanya.

Aduh sakitnya!

Tali pancing disentap.

Ikan muda itu terasa ada sesuatu yang mencucuk mulutnya. Ia terasa sakit dan pedih. Ia meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi tidak berjaya. Ia terasa dirinya ditarik ke atas, sehinggalah ia tiba di permukaan air. Ketika itu barulah ia teringat pesan ikan tua tersebut.

“Jangan makan, kerana di dalamnya umpan yang kamu lihat sedap itu ada besi yang mencangkuk. Nanti kamu akan ditarik keluar dari lautan ini kamu akan dibawa ke alam lain.”

Begitulah pesannya.

“Memang benar kata-kata ikan tua itu, kalaulah aku mendengar nasihatnya,” ikan muda itu berkata seakan menyesali kedegilannya, tetapi itu semua tidak berguna lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Pepatah orang dulu-dulu.

Ia ditarik ke atas. Ia melihat pemancing tersebut lalu hatinya menyumpah seranah. Ia cuba menggelepar untuk melepaskan diri. Sia-sia. Lalu tubuhnya dipegang dengan kasar, mata pancing ditarik dengan kuat tanpa belas kasihan. Ia merasa sakit yang amat sangat. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sedangkan jika satu sisik yang tercabut pun amat sakit inikan pula mata kail dicabut dengan segala kekuatan.

“Sakitnya.” Ia menjerit.

Akhirnya, tubuhnya yang lemah itu dicampak ke dalam bakul. Ia cuba melompat tetapi tenaganya semakin berkurangan. Ia melihat kiri dan kanan, ramai yang senasib dengannya.

Ia berkata di dalam hati, “nampaknya bukan aku sahaja, ramai lagi yang tertipu,” ia tersenyum kelat.

Semakin lama tubuhnya semakin lemah. Saat kematiannya telah tiba lalu matilah ia disebabkan kedegilannya itu. Tetapi cerita belum berakhir, walaupun zahirnya ia telah mati tetapi hakikat perasaannya masih ada lagi, masih hidup lagi. Ia melihat jasadnya terkulai di dalam bakul bersama teman yang lain.

Tiba-tiba bakul diangkat, lalu dimasukkan ke dalam kereta. Seumur hidup inilah pertama kali ia naik kereta. Setelah berpusing-pusing, sampailah ia disatu tempat dan ia dilonggok bersama ikan yang lain. Setelah itu jasadnya ditimbus dengan air batu, ia merasa sejuk yang amat sangat. Rupa-rupanya ia berada di pasar. Patutlah ramai manusia yang lalu lalang, getusnya.

Tiba-tiba ia dimasukkan ke dalam plastik bersama dengan sawi, bayam dan lain-lain lagi. Seorang perempuan tua telah membelinya. Lalu ia dibawa naik kereta sekali lagi menuju ke rumah perempuan tua tersebut. Setelah tiba di rumah, ia diletakkan di dalam sinki.

Tidak berapa lama, ia melihat perempuan tua tadi datang kembali dalam keadaan bengis, berbeza dengan dipasar tadi, cantik. Ditangannya ada sebilah pisau. Ia merayu agar dirinya tidak diapa-apakan. Tiba-tiba tubuhnya dipegang, tanpa belas kasihan perutnya dibelah. Pada masa itu ia merasa kesakitan, tetapi apakan daya tubuhnya tidak boleh bergerak hanya boleh merayu. Siapa yang mahu mendengar. Selepas itu isi perutnya dikeluarkan dan dibuang. Ia melihat isi perutnya banyak yang hitam dari yang putih. Kemudian sisiknya dibuang, amat sakit.

Tubuhnya dikelar satu-satu. Tubuhnya dibasuh. Dibuang segala kotoran dan dipotong dua. Lalu tubuhnya ditoskan sebentar. Syukur. Ia merasa azabnya telah berakhir.
Rupa-rupanya tidak, tubuhnya yang telah terpotong itu digaul pula dengan garam dan kunyit.

“Sakitnya......” ia menjerit.

Ia melihat api dihidupkan dan diletakkan kuali. Ia merayu, “tolong...jangan azab diriku! Aku sudah tidak mampu menahannya...Tolong!

Setelah itu minyak pun dituang ke dalam kuali, setelah minyak itu panas mendidih perempuan tersebut mengambil tubuhnya lalu dicampakkan ke dalam minyak yang sedang mendidih itu. Ia dibiarkan seketika, dipusing ke kiri dan kanan. Bayangkan dalam keadaan tubuh yang dikelar, digaul dengan garam dan kunyit, lalu dicampakkan ke dalam minyak panas yang mendidih, betapa azabnya. Sehingga keluar mata keluar isi-isi tubuhnya.

Akhirnya ia dikeluarkan lalu diletakkan ke dalam pinggan yang cantik berukir. Ia merasa tenang seketika. Ia merasakan telah berakhir azab yang ditanggungnya selama ini.

“Azabku telah berakhir..azabku telah berakhir...”

Tiba-tiba ia melihat disekelilingnya ada lelaki, ada perempuan, ada yang muda dan ada yang tua. Lalu dagingnya ditarik, dicabut, dimamah sehingga tinggal tulang. Lalu tulang itu pula dicampakkan kepada kucing. Tulangnya, kepalanya dimakan pula oleh kucing. Tamatlah riwayat seekor ikan.

Apa pengajarannya

Mungkin anda bertanya mengapa saya menceritakan kisah ikan ini terlalu terperinci, satu persatu. Sedangkan semua sudah mengetahui memang begitu keadaannya. Sebenarnya sengaja saya berbuat demikian supaya sahabat sekelian turut sama membayangkan keadaan dan situasi yang berlaku, tiap detik dan ketika apa yang sedang dihadapi oleh ikan muda tersebut. Demikianlah kesakitan yang terpaksa ditanggung, betapa azabnya.

Sahabat sekelian! Itulah kehidupan dunia, nampak cantik tetapi sangat bahaya, di dalamnya ada 1001 kemungkinan.

Kepada anak-anak muda, apabila ada ulama’ yang memberi nasihat, berhati-hati dengan kehidupan dunia, walaupun nampak cantik tetapi waspada. Walaupun kita mendapat sesuatu yang cantik dan menggembirakan tetapi jika ia tidak memberi manfaat maka tiada gunanya. Sebagaimana nasihat ikan tua kepada ikan muda, walaupun kamu nampak udang itu cantik, merah menyelerakan, berhati-hati kerana di dalamnya ada besi yang akan mencangkuk kamu.

Dunia ini sifatnya sementara, tiba masa kita akan disentak oleh malaikat dan akan dibawa ke alam barzakh, alam yang tidak pernah kita fikir dan kita lihat keadaannya. Ingatlah betapa pangkat, harta benda, kedudukan dan pengaruh tidak semua menjadi kebaikan, jika tidak dilapisi dengan iman dan taqwa.

Cerita ikan itu adalah cerita kita, untuk kita jadikan renungan dan ingatan.

Demikianlah berakhir kehidupan di dunia.

0 comments:

Post a Comment