Sahabat Sejati

Thursday 21 October 2010

Hujung minggu yang membahagiakan

Malam ini kuliah maghrib di surau perumahan saya telah disampaikan oleh Ustaz Suhaimi Saad, sahabat baik yang tinggal setaman dengan saya. Beliau merupakan KP DPP Negeri Pahang dan saya telah berkali-kali mengiringinya berkuliah dan berceramah di sekitar negeri Pahang dan sejauh negeri Terengganu serta Kelantan.

Biasanya kuliah serta ceramahnya menggunakan LCD slaid dan ternyata pendekatan dakwah yang sebegini amat berkesan dan mudah difahami. Sebaiknya setiap pendakwah perlu mengambil peluang dengan kemajuan teknologi kini sebagai salah satu cara penyampaian dakwah yang berkesan.

'Ustaz Suhaimi Saad'
 
Malam ini saya diberi tugas untuk merakam kuliah beliau. Alhamdulillah, saya cukup berminat dengan kerja-kerja produksi ini. Bermula dari kerja-kerja rakaman sehinggalah terhasil kuliah dalam bentuk VCD. Bangga. Sesungguhnya cabang dakwah itu amat luas, terpulang kepada individu untuk mencari jalan menurut kemampuan yang ada.

Jangan ada yang kata “saya tak ada ilmu, jadi tak boleh nak berdakwah.”

Program Sabtu dan Ahad

Sabtu. Saya bersama-sama sahabat Jabatan Amal yang lain menuju ke Tanjung Gelang. Apa yang ada di sana? Sebenarnya Jabatan Amal Indera Mahkota menerima jemputan dari pihak TLDM untuk melawat Markas Wilayah Laut atau ringkasnya Mawilla yang merupakan Pangkalan TLDM. Program ini dinamakan dengan “Lawatan Muhibbah ke Mawilla”. Teruja, memang teruja. Banyak info yang berguna dapat dikongsi. Layanan yang mesra dari pihak TLDM amatlah dihargai, sesi soaljawab berlangsung dalam keadaan yang cukup harmoni. Syabas kepada pihak TLDM.

“Ada yang teruja dapat naik kapal dan masuk ke dalam bilik tempat membidik sasaran meriam.”

'Kapal TLDM di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang'

Hari Ahad kami ke Kampung Sungai Karang Darat, untuk satu program khidmat masyarakat. “Tentera merah” turun untuk membaiki rumah salah seorang penduduk kampung yang mengalami sedikit kerosakan. Ada yang membancuh simen, ada yang mengikat bata, ada yang menebas semak, ada yang potong rumput dan berbagai-bagai kerja lagi. Alhamdulillah, kegembiraan yang terpancar diwajah tuan rumah adalah kebahagiaan kami. Sesungguhnya satu kepuasan yang teramat besar tatkala dapat meringankan beban serta membahagiakan orang lain. Teringat kata-kata Cikgu Raja Ismail Raja Shahadan atau lebih mesra dengan panggilan ‘Pak Engku’, seorang pakar motivasi ketika diundang menyampaikan suntikan motivasi di dalam program Jambori Amal Indera Mahkota September yang lalu:

“Sesungguhnya tidak ramai orang menjadikan hidupnya untuk orang lain, membahagiakan orang lain. Anggota Amal menjadikan hidupnya untuk orang lain, anggota Amal menjadikan hidupnya untuk menggembirakan orang lain. Walaupun kadang-kadang mereka sendiri melupakan kesusahan mereka semata-mata untuk menerbitkan senyum di bibir orang lain.”

'Khidmat masyarakat di Sungai karang Darat'

Saya beranggapan kata-kata tersebut lebih sesuai ditujukan kepada ‘Pak Engku’ sendiri, beliau merupakan Pengerusi Rumah Anak Yatim Tengku Ampuan Fatimah, Alor Akar. Umum mengetahui betapa gigihnya beliau mengurus kehidupan anak-anak yatim disitu, kadang-kadang sehingga kekurangan masa bersama keluarga. Terasa sebak yang menggigit perasaan tatkala mendengar cerita beliau mengenai anak-anak yatim di bawah jagaan beliau. Anak anak yatim yang di temui di tepi tong sampah, ada yang ditemui di pagar surau, ada yang menghidap pelbagai penyakit termasuklah HIV Aids dijaga dan diurus dengan penuh kasih sayang. Tumpah juga air mata keinsafan, masih beruntungnya diri ini. Rupa-rupanya masih ada lagi yang lebih berat penderitaannya.

Sesungguhnya kata-kata ‘Pak Engku’ itu amat menyentuh lubuk hati yang paling dalam. “Jadikan hidup kita ini untuk mengukir senyum di bibir orang lain.” Inilah cuba saya hadamkan dalam diri. Insya-Allah saya cuba pastikan seadanya.

'Pak Engku sedang menyampaikan ceramah motivasi dalam Jambori Amal IM yang lalu. Di sini hati tersentuh dengan slaid yang dipertontonkan. Kisah anak yatim...

0 comments:

Post a Comment