Sahabat Sejati

Wednesday 10 November 2010

Sibukkah diri ini...

Hujung minggu, masa yang terbaik untuk bersantai bersama keluarga. Namun kebelakangan ini istilah tersebut bagaikan tidak ada buat saya. Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu saya terisi dengan program-program kebajikan bersama Jabatan Amal Indera Mahkota.

Alhamdulillah saya bersyukur kepada Ilahi yang memilih dan menjadikan diri ini sentiasa sibuk dengan aktiviti-aktiviti berorganisasi, dakwah, kemanusiaan dan kemasyarakatan. Saya tidak melihat ia sebagai satu bebanan tetapi peluang untuk beramal dan memberi sesuatu kepada mereka di luar sana.

Seperti kata pepatah arab: “Air yang tidak mengalir (statik), akan merosakkan air tersebut. Pemuda yang banyak masa kosong (tidak dinamik), akan dibunuh oleh masa kosong itu.”

Pelancaran Perintis Briged Amal Pahang

Bergambar seusai majlis pelancaran. Semoga menjadi pelapis dan pengganti kepada kami

Seawal jam 8.oo saya bersama Sheikh Azlan membelah aspal jalan menuju ke Pondok An-Nuur. Awan di langit mendung menampung hujan yang akan gugur bila-bila masa sahaja.

Sheikh Azlan memandu tenang melalui jalan Pantai Sepat yang terkenal dengan lembu yang banyak berkeliaran. Rintik–rintik halus mula berguguran berdetap menimpa kenderaan yang sedang meluncur di dada aspal.

“Hujan, nak buat pelancaran macam mana ni,” Sheikh Azlan bersuara sambil memandu berhati-hati.

“Insya-Allah boleh, tak lebat mana ni,” saya menjawab sambil memerhatikan di kiri dan kanan jalan.


Berhati-hati melalui jalan Pantai Sepat kerana kawanan lembu sentiasa ada berkeliaran meragut rumput

Teringat ketika mula-mula melalui jalan Pantai Sepat ini, semasa menyertai kursus motivasi di Kem Ar-Rayyan sepuluh tahun yang lalu. Kursus Bina Insan yang dikendalikan oleh Ustaz Razak dan dibantu oleh Ustaz Nurfitri dan Ustaz Yunan amat membantu dalam membina keyakinan serta mengenalpasti potensi diri. Kini kem itu telah pun ditutup kerana Ustaz Yusof telah memindah pejabat urusannya ke Kuala Lumpur, jadi kem itu juga telah berpindah ke tempat lain. Walaupun demikian, alhamdulillah sehingga kini persahabatan dengan mereka semua masih terjalin.

“Ok, kita dah sampai,” Sheikh Azlan bersuara mengejutkan saya dari lamunan.
Program berjalan lancar di dalam rintik-rintik hujan. Semangat dan keyakinan jelas terpancar di wajah para briged, bersedia menggalas harapan dan berkhidmat secara sukarela untuk membangun semula generasi muda melalui pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan yang berteraskan Islam. Ya, pastinya berteraskan Islam.

Hujan masih lagi turun.

Bowling DPPK Kuantan

Selesai program di Pondok An-Nuur, kami bergegas ke Premium Lanes di bandar Kuantan. Apa yang ada disana? Hari ini DPPK Kuantan menganjurkan bowling peringkat Kawasan Kuantan dan Kawasan Indera Mahkota telah dijemput untuk menyertainya. Setibanya di sana saya lihat gelanggang bowling dipenuhi dengan pemain yang berkopiah putih dan berjanggut panjang. Siapa kata pak haji dan ustaz tidak pandai bermain bowling. Hebat ketika berkuliah, petah ketika berceramah, hebat juga di gelanggang bowling. Baru tau...

Wira-wira bowling Jabatan Amal Indera Mahkota tetapi saya tak bermain hanya menonton sahaja

Jika dulu mungkin susah hendak melihat para ustaz atau golongan agama turun dalam aktiviti seumpama ini. Saya amat teruja dengan perkembangan ini, sekurang-kurangnya dapat menepis andaian dan kata-kata yang tidak benar bahawa Islam melarang bersukan sebagaimana ada orang yang meletak persepsi di dalam kepala mereka bahawa dalam Islam tiada hiburan. Islam melarang muzik dan nyanyian, jika Islam memerintah para artis tidak boleh cari makan. Tetapi langkah yang dimulakan oleh kerajaan Kelantan dalam penganjuran konsert dan nyanyian berteraskan syariat Islam menolak semua itu. Alhamdulillah.

Saya tiba di rumah kira-kira pukul 4.00 petang. Melepek, dengan badan yang letih dan lesu terlelap juga sebentar seusai solat Asar.

Ceramah “Negara Perlukan Islam” di Dataran Musolla ar-Raudhah

Selesai solat maghrib saya seperti biasa bersama Sheikh Azlan menuju ke Musolla ar-Raudhah. Malam ini diadakan satu ceramah yang tajuknya amat menarik, “Negara Perlukan Islam”, yang akan disampaikan oleh penceramah yang hebat-hebat. Jabatan Amal Indera Mahkota telah diminta oleh pihak musolla untuk bertugas menjaga lalulintas, tugas-tugas keselamatan dan sebagainya.

Cukup puas mendengar ceramah yang disampaikan. Rata-rata penceramah menyeru agar pemimpin negara mengambil syariat Islam sebagai teras dalam pemerintahan negara. Dengan berbagai masalah moral seperti zina, pembuangan bayi, rempit, orang hilang serta kemelut rasuah, penyelewengan maka sudah sampai masanya pihak pemerintah memikirkan perkara ini dengan lebih serius. Apa yang kita lihat sekarang banyak program-program yang menjurus ke arah masalah moral subur dan pihak kerajaan bagaikan merestuinya. Sebagai contoh konsert Adam Lambert yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di Kuantan sendiri, baru-baru ini telah diadakan konsert Red on Black. Alhamdulillah pihak Jabatan Amal Negeri Pahang telah turun mengedarkan risalah dakwah pada hari konsert tersebut. Walaupun ada pihak yang tidak senang dan cuba menghalang pada hari tersebut, namun pihak Jabatan Amal mengambil langkah untuk menerang bukan menyerang, kami adalah "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang."

Sibukkah diri ini...

Berteman secawan kopi saya berteleku di meja tulis, merenung dalam diri. Benarkah diri ini sibuk. Tidak, saya terfikir apalah kesibukkan saya ini jika mahu dibandingkan dengan orang lain. Kesibukan saya ini hanyalah sekelumit sahaja. Saya ada membaca satu tulisan yang mengatakan Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kesibukannya kadang-kadang sehingga empat lima hari tidak pulang ke rumah, Ustaz Nasrudin Tantawi pun begitu hanya sehari dua bersama keluarga kemudian keluar mengisi undangan program serta ramai lagi para pendakwah atau lebih sesuai dengan jolokan ‘pejuang’, terkejar ke sana ke mari, meninggalkan keluarga dan anak-anak.

Belum sibuk lagi rupanya diri ini. Segera saya insaf.

Ya Allah, terima kasih kerana jua memberi kesibukan kepadaku walaupun jika mahu dibandingkan tidak sebesar debu pun kesibukan diriku ini. Inilah peluang untuk daku memberi, mudah-mudahan dengan memberi yang sedikit ini, aku akan menerima di akhirat nanti di saat pertemuan dengan-Mu. Ameen ya Rabbal `alameen.

Bersama Timbalan Ketua DPP Pusat, Ustaz Azman Syapawi Abd Rani seusai ceramah di Musolla ar-Raudhah

0 comments:

Post a Comment