Sahabat Sejati

Tuesday 14 December 2010

Bicara santai: Gunakan akal untuk menilai

Dalam perjalanan menuju ke bandar Kuantan, saya terpandang papan iklan besar di tepi jalan yang telah pudar tulisannya dan hampir tumbang. Rupa-rupanya ia adalah tinggalan kempen anti merokok - Tak Nak! yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia beberapa tahun yang lalu. Sejauh manakah kempen ini berjaya menurunkan statistik bilangan perokok dalam negara kita?

Kempen anti merokok - Tak Nak! adalah kempen di peringkat kebangsaan dan perasmian pelancarannya telah dilakukan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri ketika itu). Tujuan kempen ini adalah untuk mewujudkan sebuah negara tanpa perokok serta memberi kesedaran tentang bahaya merokok.

MEROKOK kini bagaikan suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Walaupun banyak tersebar luas tulisan-tulisan yang menjelaskan tentang bahaya merokok dan ramai yang telah menghidap penyakit kronik akibat merokok, namun jumlah perokok semakin meningkat.

Jika dulu para penagih rokok terdiri dari kalangan lelaki dewasa, tetapi hari ini penagih rokok sudah tidak mengira usia dan jantina. Lelaki, wanita, dewasa dan remaja malahan murid sekolah rendah pun sudah ada yang merokok. Apa nak jadi...

Cerita kelkatu

Saya tidak mengerti mengapa ada yang tidak dapat berfikir secara rasional. Bukankah merokok itu membahayakan kesihatan? Dalam setiap batang rokok mengandungi beberapa bahan kimia yangberbahaya seperti Tar, Nikotin, Karsinogen, Benzpyrene, Phenols, Ko-Karsinogen dan lain-lain lagi. Bukankah merokok juga satu pembaziran, sedut asap dan yang dihembus juga adalah asap. Belum pernah lagi yang dihembus keluar gugusan mutiara, contohnya.

Ada juga yang berkata.

“Aku kalau tak merokok sehari buntu rasanya, tak datang ilham.”

“Hilang rasa bosan bila kena sebatang.”

Memang ada yang mendakwa dengan merokok boleh mendatangkan ilham, inspirasi, memberi ketenangan jiwa, hati jadi tenteram. Namun itulah bukanlah keyakinan yang benar, kata-kata yang tidak berpijak di bumi nyata. Sekadar bahasa penyedap kata. Ini kerana menurut kajian pakar psikologi dan juga pakar kesihatan, nikotin yang terkandung di dalam rokok boleh mengurangkan oksigen ke otak sehingga boleh menambahkan lagi kerunsingan dan ketegangan fikiran.

Bagi seorang muslim, ketenangan hati dan jiwa yang tenteram bukanlah diperolehi dengan benda-benda yang memudaratkan dan merosakkan. Sebaliknya ketenangan hanya diperolehi dengan melakukan ibadat dan zikrullah.

Saya ingin berkongsi satu cerita lama.

Pada satu malam yang sunyi dan gelap, keluarlah satu kumpulan kelkatu berterbangan entah dari mana menuju ke satu tempat yang terang dan bercahaya. Berpusu-pusu berterbangan ke arah beberapa buah pelita yang dipasang di halaman rumah. Kesemua kelkatu itu menerkam ke arah pelita tersebut. Setiap kali terkam kelkatu itu jatuh dan binasa satu persatu. Binasa disebabkan oleh api yang panas itu.

Ada seekor yang tidak mati sekaligus lalu mampu terbang lagi. Tetapi ia tidak serik oleh kepanasan, malah ia sendiri lihat dengan mata kepalanya ramai kawannya yang tersungkur ke bumi. Namun itu tidak memberi pengajaran kepada kelkatu itu, mungkin kerana kedegilan dan keseronokan melulu. Tanpa berfikir panjang, kelkatu itu menerkam sekali lagi. Kali ini ia tidak bernasib baik dan menmpah maut.

Saya percaya sahabat sekelian biasa mendengar cerita ini. Tetapi marilah kita mengambil pengajaran darinya. Kerana sebaik-baik manusia ialah yang mahu mengambil pelajaran dan tauladan dari apa yang berlaku disekeliling, manakala sebodoh-bodoh manusia ialah yang tidak mahu mempedulikan sesuatu nasihat dan tidak mahu berfikir panjang tentang kehidupan ini.

Sebodoh-bodoh kelkatu ada baiknya kerana selepas kematian tidak dibangkitkan lagi di akhirat. Tidak ada apa yang nak dipertanggungjawabkan, tiada persoalan yang perlu dijawab. tetapi ramai manusia kini bagaikan kelkatu. Mereka tahu dadah itu merbahaya, namun masih mengambilnya. Mereka tahu merokok itu membahayakan dan tiada faedah langsung tetapi masih menghisapnya, malahan semakin bertambah. mereka tahu tidak bersolat boleh mengundang kemurkaan Allah SWT tetapi masih tidak mengerjakannya. Mereka tahu judi, zina dan arak adalah haram dan boleh merosakkan tetapi masih bergelumang dengannya.

Jadi, apa bezanya dengan kelkatu.




2 comments:

immukmin said...

betul tuh..abu ikhwan..manusia...ini..tak penah puas dengan kehidupan...walaupun harga rokok ini meningkat naik tetapi mereka seperti menganggap rokok adalah oksigen mereka..jadi satu hari tak dapat..boleh membunuh hidup mereka...sedangkan mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri... menyakitkan diri sendiri berdosa.... waallahualam.

abuikhwan said...

moga kita dilindungkan dari perkara-perkara yang merosakkan akal fikiran serta jasad yang telah dikurniakan oleh-Nya

Post a Comment