Sahabat Sejati

Thursday 10 February 2011

Ada alam lain selain di bumi ini?


Soalan:

Mohon pandangan mengenai kepercayaan sesetengah saintis berkenaan kewujudan alam yang diistilahkan sebagai 'parallel universe' iaitu alam semesta, terdapat lebih daripada satu. Hal ini juga mengundang banyak versi mengenai diri kita dalam alam-alam tersebut. Mohon penjelasan.

Jawapan:

PARA saintis senantiasa meneroka alam semesta dengan pelbagai kegiatan, kajian untuk mencari jawapan kepada pelbagai persoalan, mengenai keunikan kejadian alam semesta.

Bermula dengan hipotesis (teori), yang mereka kaji daripada eksperimental hingga kepada penemuan-penemuan dalam pelbagai ragam. Malah hampir setiap minggu, wujud suatu penemuan baru yang mereka temui.

Apa yang anda sebut atau saintis menyebut sebagai 'parallel universe', pernah juga disebut sebagai 'multiple universe'. Sebenarnya bagi kita umat Islam, tidak harus berasa asing untuk memahaminya.

Alam di dalam al-Quran, disebut dengan istilah 'aalamin yang bermaksud banyak alam.

Daripada awal al-Quran di surah al-Fatihah, kita berjumpa ayat kedua yang mafhumnya, "Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam." Ertinya alam itu banyak, malah teramat banyak.

Kita mengetahui banyaknya alam itu menerusi ayat dan tafsirannya dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar antaranya di dalam kitab Tafsir al-Qurtubhi, juzuk 1 di halaman 138 disebut padanya: "Berkata Wahb bin Munabbih, sesungguhnya bagi Allah azzawajalla ada 18,000 ribu alam. Dunia ini salah satu daripada alam yang banyak itu."

"Berkata Saa`id al-Khudri, sesungguhnya bagi Allah ada 40,000 alam. Dunia ini seluruhnya, dari timur ke barat, hanya satu daripadanya."

Diriwayatkan daripada ar-Rabi`e bin Anas, daripada Abi al-Aliyyah, katanya: "Al-Jinn satu alam, manusia satu alam, binatang satu alam, malaikat satu alam dan makhluk-makhluk di angkasa mempunyai alam masing-masing."

Banyak lagi riwayat-riwayat lain menyebut tentang banyaknya alam ciptaan Allah SWT.

Oleh kerana itu perkataan `aalamin", berulang banyak kali di dalam al-Quran iaitu sekurang-kurangnya terdapat lebih kurang 74 kali pengulangan itu bagi menyatakan bahawa sahlah alam Allah SWT itu banyak banyak, maklumat kita sahaja yang belum sampai kepada alam hakikat alam-alam sebegitu.

Banyaknya alam ini menunjukkan hebatnya kudratullah dalam penciptaan-Nya. Semuanya adalah hak-Nya dan semuanya tunduk kepada-Nya.

Allah berfirman mafhumnya: "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah.Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam fasa, Dia bersemayam di atas Arash, Dia menyelubungkan malam dan siang dan mengiringinya dengan pantas, dan Dialah yang menciptakan matahari dan bulan serta bintang-bintang. Semuanya patuh kepada perintah-Nya. Ingatlah urusan penciptaan dan pemerintahan hanyalah hak Allah. Maha suci Allah Maha Pencipta dan mentadbir segala alam." (al-A`raaf: 54)

Seterusnya Allah bertanya kepada orang yang ingkar kepada-Nya, sebagaimana firman-Nya (mafhumnya): "Kejadian alam semuanya adalah ciptaan Allah. Maka cubalah kamu tunjukkan kepada-Ku apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadanya yang mereka sembah. Tidak ada satu pun yang mereka lakukan, bahkan orang-orang yang zalim berada di dalam kesesatan yang amat nyata." (Luqman: 11)

Wallahua`lam.

Sumber: Dato Dr Harun Din




0 comments:

Post a Comment